Home Cerpen Seram/Misteri Santau
Santau
Isha Idiaz
4/7/2013 00:09:10
4,851
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Cerpen: Santau

Oleh : Isha Idiaz

*****

AZAN maghrib jelas kedengaran daripada masjid Uwais Al-Qarni iaitu satu-satunya masjid di dalam kampus itu.Mira melihat ke seluruh isi biliknya. Teman sebiliknya masih sibuk bercerita. Belum ada tanda-tanda mereka mahu pergi ke kamar mandi dan mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat maghrib.

Akhirnya Mira mengambil keputusan untuk ke kamar mandi yang terletak di hujung blok itu sendiri. Dia bangkit menuju ke pintu bilik. Belumpun dirinya lolos dari bilik itu, Mira ditegur oleh temannya.

“Nak pergi mana tu Mira?” soal Fitri sambil mengangkat keningnya.

“Ambil wudhu’,” ujar Mira sambil menghadiahkan Fitri sebuah senyuman.

“Tak elok pergi tandas waktu tengah azan,” ujar Lina pula.

“Hmm?” hanya itu yang keluar dari mulut Mira. Hairan. Sejak pula ada mitos tak baik pergi tandas waktu azan berkumandang.

“Ustaz aku cakap, waktu azanlah, semua syaitan lari lintang pukang dan menyorok dalam tandas tu. Tu sebab tak elok pergi tandas waktu tengah azan,” Hajar pula menambah.

“Isy. Macam-macamlah kau orang ni. Aku pergi niat baik. Nak ambil wudhu’ je pun solat maghrib,” ujar Mira selamba. Walhal hatinya juga kecut waktu itu.

Pintu bilik ditutup rapat. Mira berjalan menuju ke tandas nun di hujung blok kediamannya. Mira harus melintas di hadapan sepuluh buah bilik jika dia mahu ke tandas. Dikuatkan hati. Mira melangkah laju. Suara-suara orang berbicara dan tawa dari bilik-bilik yang dilewatinya menjadi peneman sepanjang dia mahu ke tandas itu.

Lima bilik sudah dilewati, langkah kaki masih laju seperti tadi. Namun, tiba-tiba langkah kaki Mira terhenti. Ya, dia merasakan sesuatu. Sesuatu yang aneh tatkala dia melewati tangga betul-betul di sebelah bilik ke lima tadi. Bulu romanya berdiri.

Mira menoleh ke belakang. Tiada sesiapa di koridor itu melainkan dia seorang diri. Dan sekejap-kejapan, dia rasakan angin berhembus kuat ke arahnya hingga menerbangkan rambutnya yang dibiarkan tidak berikat.

Seram!

Entah dari mana angin itu tiba-tiba dating dia juga tidak pasti. Setahunya, sudah sepuluh hari bumi Jengka ini tidak pernah dibasahi hujan. Malah, hari ini sahaja, dia bermandi keringat.

Sekali lagi angin itu menampar pipinya sekaligus membawa sesuatu ke pendengaran di telinganya.

“Miraaaa…..”

“Miraaaa…..”

Tidak berfikir panjang, Mira pantas berlari semula ke biliknya. Badannya menggigil kesejukan. Dia tidak tahu suara apa yang memanggil namanya tadi. Mira langsung berselubung di bawah selimut. Dia ketakutan.

“Eh kau kenapa ni?” tegur Lina.

“Mira, kenapa ni?” Hajar pula bersuara.

“Miraaaa…”

Dan suara itu masih berbisik di telinganya.

“Pergi! Pergi! Jangan ganggu aku!” Mira berteriak sendiri.

*****

DARAH menyembur keluar daripada mulut Mira. Masuk kali ini sudah hampir lima kali Mira muntah darah sejak kejadian Maghrib tadi.

“Kau kenapa ni Mira?” soal Hajar dalam nada risau. Tidak pernah Mira sakit sebelumnya. Bahu Mira diurut perlahan.

Setiap kali Mira batuk, menyembur darah keluar dari mulut gadis itu. Dan setiap kali itu juga mereka dapat lihat serpihan kaca di dalam besen yang mereka gunakan untuk menampung muntah Mira.

Peluh sejuk memercik di dahi Lina dan Fitri. Hanya Hajar yang berani mendekati Mira. Suara Lina dan Fitri yang hilang timbul membaca ayat-ayat suci Al-Quran tidak dapat menenangkan Mira.

Tiba-tiba badan Mira kaku. Matanya melolot ke atas. Lama-kelamaan matanya memerah. Giginya diketap kuat. Tanggannya mula mencakar katil.

“Ingat Allah Mira. Ingat Allah,” ujar Hajar sambil memegang kuat tangan Mira.

“Arghhhhh!” Mira melaung kuat. Serentak itu genggaman Hajar terlepas dari tangan Mira. Kerana terkejut dengan laungan itu, Hajar terjatuh dari katil.

Fitri dan Lina langsung menarik Hajar ke arah mereka. Mira yang berada di depan sekarang ini bukan Mira yang mereka kenal. Itu bukan Mira.

Mira menghempas-hempaskan tubuhnya di atas tilam. Jeritan dan ketawa datang silih berganti dari mulut Mira. Dan akhirnya tubuh Mira berada di awangan. Kaku.

Hajar, Fitri dan Lina ketakutan. Namun mereka tidak boleh meninggalkan Mira seorang di dalam bilik itu. Hajar cuba merapati katil Mira, namun tiba-tiba tubuh Mira yang berada di awangan mula bergerak lagi dan seolah-olah mahu menghentam dirinya. Dan tidak sampai beberapa saat, Mira sudah dalam posisi duduk di awangan. Wajah Hajar, Fitri dan Lina direnung tajam.

“Kau tahu aku siapa!” bentak Mira kuat.

Ketiga-tiga mereka menggelengkan kepala. Masing-masing ketakutan.

“Aku kawan kau! Kawan sebilik kau! Hahaha!” laung Mira.

“Tak, kau bukan kawan aku! Keluar kau dari badan kawan aku!” akhirnya Fitri yang sedari tadi berdiam diri menjerit kuat. Entah dari mana dia dapat kekuatan untuk berkata waktu itu. Mungkin kerana rasa sayangnya pada Mira.

“Kenapa kau kacau Mira? Keluar! Keluar!” Lina juga menjerit. Terketar-ketar badan mereka ketakutan.

“Siapa suruh dia malukan aku!” Mira menjerit lagi dalam keadaan marah. Sebentar kemudian, Mira ketawa lagi. Hilai tawanya makin menjadi-jadi. Jawapan Mira tadi membuatkan seluruh isi bilik memandang antara satu sama lain. Dan tubuh Mira akhirnya jatuh ke lantai. Longlai.

Malu? Mira memalukan siapa?

*****

Sebelum kejadian…

SEPERTI biasa,Mira dan rakan sebiliknya akan membeli makanan di Café Mama yang terletak di dalam kawasan kolej kediaman mereka.

“Nak makan apa hari ini?” soal Hajar. Petang-petang begini, Café Mama hanya menyediakan menu Ala Carte’. Tiada nasi campur. Kalau ada pun hanya saki-baki lauk daripada menu tengah hari tadi. Nasi lemak berlauk pun ada jika mahu.

Fitri dan Lina masing-masing melihat daftar menu. Hajar tumpang sekaki. Setelah mengamati menu satu-persatu, keempat-empat mereka memesan makanan. Fitri memesan mee ladna, Lina pula memesan nasi goreng pataya, Hajar lebih gemar makan mee goreng mamak. Mira yang awalnya agak ragu-ragu mahu memilih mee ataupun nasi akhirnya memesan nasi dan telur bungkus.

Sementara menunggu makanan yang dipesan, Mira melihat kuih-muih. Padahal dia sudah memesan makanan. Namun, entah kenapa hatinya kuat memanggil Mira untuk merapati ke arah bekas yang berisi kuih karipap. Dua biji karipap diletakkan ke dalam piring dan dibawa ke meja.

“Bukan ke dah ada makanan tu Mira?” Hajar menegur.

“Entah. Tak tahu kenapa nak makan sangat karipap ni.”

Dan sebiji karipap selamat masuk ke dalam perut Mira. Karipap kedua dimasukkan ke dalam mulut. Cebisan terakhir dimasukkan langsung ke dalam mulut. Dan tiba-tiba, Mira tergigit sesuatu. Ketiga-tiga pasang mata memandang Mira apabila bunyi gigitan Mira tadi turut mereka dengar.

Split it out Mira,” ujar Lina.

Mira hanya menurut. Mulut mereka terlopong apabila melihat sisa karipap yang digigit oleh Mira tadi bercampur dengan kaca yang halus.

“Kaca ke?” Fitri ragu.

Mira menjungkit bahu. Halus, kilat dan bewarna putih. Tajam. Mira cuba memegang serpihan-serpihan kaca itu.

“Ouch!” jerit Mira. Menitis darah keluar dari jarinya yang tertusuk serpihan kaca tadi. Memang betul kaca.

Yang lain berpandangan sesama sendiri. Tidak pernah jadi kes pula mereka jumpa kaca dalam makanan sepanjang makan di Café Mama ini. Ini pertama kali.

*****

TIDAK betah melihat keadaan Mira yang semakin parah, Hajar, Fitri dan Lina mencari akal untuk menyelesaikan masalah Mira.

“Kita jumpa Ustaz Ali la,” Lina memberi cadangan. Yang lain mengangguk laju.

Tidak berapa lama kemudian, Ustaz Ali tiba di bilik mereka berempat. Belum pun masuk ke dalam bilik mereka, Ustaz Ali sudah merasakan sesuatu yang aneh di bilik itu.

“Astaghfirullah,” ujarnya apabila melihat Mira yang terbaring lemah di atas katil.

“Kenapa kawan awak ni?” soal Ustaz Ali sambil melihat keadaan Mira. Ayat kursi di baca tiga kali.

“Dudukkan kawan awak membelakangkan saya,” arah Ustaz Ali.

Hajar, Lina dan Fitri cepat-cepat mengampu Mira dari depan untuk membuat Mira berada dalam posisi duduk.

Ustaz Ali meletakkan kedua belah tangannya ke belakang badan Mira.

“Astaghfirullah,” ujarnya perlahan. Sebelah badan Mira terasa seperti air panas yang baru mendidih dan sebelah lagi badannya sejuk seperti ais. Ustaz Ali membaca beberapa ayat Al-Quran sehingga tiba-tiba Mira menjerit kuat.

“Panas! Panas!”

“Siapa kau?” keras suara Ustaz Ali melawan suara itu.

“Aku kata panas bodoh!” Mira menjerit lagi. Suaranya garau dan menakutkan.

“Siapa kau?” soal Ustaz Ali lagi. Kali ini belakang Mira ditekan kuat.

“Aaaaa! Sakitttttttt!” Mira melaung kuat.

“Aku benci dia! Dia malukan aku!” jerit Mira lagi. Hajar, Lina dan Fitri berpandangan sesama sendiri.

Ayat itu lagi.

*****

“BILA kau nak pulangkan duit aku?” soal Mira bersahaja.

“Kan aku cakap nanti,” ujar Alif.

“Yelah. Nanti tu sampai bila? Bertahun dah aku tunggu,” Mira membidas kata-kata Alif. Masuk kali ini sudah hampir dua puluh kali dia menagih hutang daripada Alif. Kalau setakat sepuluh ringgit, dia mungkin boleh halalkan. Tapi ini lapan ratus ringgit. Takkan nak bagi halal macam tu je. Nama pun pinjam. Haruslah dibayar kembali. Lagi-lagi saat dia terdesak nak pakai duit macam sekarang ni.

“Kan aku cakap aku tak ada duit,” Alif berdalih lagi.

“Dah tu kau ingat aku ada duit ke sekarang? Sebab kaulah aku susah dan merempat macam sekarang ni. Kau tahu tak?” suara Mira sudah naik satu oktaf.

“Kan aku dah cakap nanti aku bayar. Kau tak faham bahasa ke?” Alif mula hilang sabar.

“Wei, kau nak tahu tak?” ujar Mira sambil menampar bahu Alif kuat. Kali ini leher baju Alif dicengkam kuat.

“Aku ni, nak beli pad pun tak ada duit kau tahu tak? Dah tu aku nak pakai apa kalau period? Tepek pakai daun pokok tu?” soal Mira selamba sambil menghalakan mulutnya ke arah pokok rambutan yang kebetulan ada di hadapan Foyer itu. Marahnya tidak dapat ditahan lagi. Puas diminta elok-elok tapi Alif tidak pernah membayar hutangnya.

Orang yang lalu-lalang di sekitar Foyer Library itu tergelak mendengar kata-kata Mira. Mereka berbisik-bisik sesama sendiri dan mentertawakan Alif.

“Kau ingat bro, bayar hutang aku tu. Kalau tak, sampai mati pun aku tak halalkan,” ujar Mira lagi. Leher baju Alif dilepaskan dan badan lelaki itu ditolak ke belakang.

“Kau nak sangat mati?” ujar Alif selamba lalu meninggalkan Mira yang terpinga-pinga di situ.

*****

MIRA menjerit menjawab semua pertanyaan Ustaz Ali. Sehingga akhirnya, Ustaz Ali menepuk belakang Mira sambil membaca ayat Al-Quran sehingga Mira muntah darah lagi. Kali ini bukan setakat kaca yang keluar, malah besen itu penuh dengan paku dan juga jarum.

Akhirnya, Mira terbaring tidak sedarkan diri.

“Macam mana ustaz?” soal Hajar ingin tahu.

“InsyaAllah tak ada apa dah. Serahkan semua pada Allah. Jangan lupa beri kawan awak minum air Yaasin ni,” ujar Ustaz Ali.

“Habis tu kalau kena lagi macam mana Ustaz?” soal Lina pula. Tubuh Mira dipandang sayu.

“Esok awak tengoklah siapa yang terkena,” ujar Ustaz Ali lalu meminta diri.

*****

GEMPAR satu universiti dengan berita kematian Alif. Alif ditemui mati di rumah sewanya. Dalam kejadian malam tadi, Alif ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bilik tidurnya. Teman serumah mengatakan mereka mendengar Alif menjerit sebelum mendapati badan Alif penuh dengan jarum dan paku dan Alif dalam keadaan nazak sewaktu mereka memasuki bilik tidur Alif.

“Kami tak pernah tahu apa dia buat dalam bilik,” ujar Afiq apabila dia ditanya oleh pihak polis.

Dia dan teman serumah yang lain turut terkejut apabila melihat bilik Alif dipenuhi dengan lilin dan diasapkan dengan kemenyan. Malah di dalam bilik itu terdapat beberapa patung yang menyerupai bentuk manusia dan satunya diukir mirip wajah Mira.

*****

WALAUPUN tidak terlalu kuat, Mira kini beransur pulih. Berita kematian Alif sampai ke pendengarannya.

“Ustaz Ali cakap, santau tu makan tuan dia balik,” ujar Lina menerangkan duduk perkara apabila Mira bertanya mengenai sebab kematian Alif.

Mira beristighfar. Sebuah keluhan berat dilepaskan. Dia tidak sangka Alif akan menggunakan cara keji itu semata-mata mahu menuntut bela kerana dimalukan oleh dirinya. Jujur, waktu itu dia tidak berniat untuk memalukan Alif. Dia hanya tidak dapat mengawal marahnya.

Alif, matinya sia-sia. Mira masih diberikan peluang untuk mengambil iktibar dari perbuatannya.

Santau. Kita tidak tahu, bila dia datang mencari kita!

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.