ZANNA
memandang wajah Alynn yang duduk di hadapannya. Wajah gadis itu sembab. Mungkin
gadis itu menangis lagi malam tadi. Zanna melepaskan sebuah keluhan. Dia tidak
tahu sampai bila gadis ini mampu bertahan. Alynn memberikan sebuah senyuman
kepada Zanna.
“Kenapa
akak pandang Alynn macam tu?” soal Alynn yang dari tadi melihat Zanna
memandangnya tanpa berkedip.
Zanna
menggeleng perlahan. Sebuah lagi keluhan dilepaskan. “Alynn, sampai bila…”
“Alynn
dah buat keputusan kak,” ujar Alynn memotong kata-kata Zanna.
Bulat
mata Zanna memandang Alynn. Kali ini dia lihat mata Alynn sudah berkaca.
Perlahan tangan Alynn diusap dan digenggam erat dalam genggaman tangannya.
“Alynn
dah fikir masak-masak?” soal Zanna inginkan kepastian.
Alynn
angguk. Matanya dipejamkan rapat. Setitis air mata jatuh juga ke pipi.
“Sabarlah
dik. Kalau ada jodoh tak ke mana,” pujuk Zanna.
Alynn
menggeleng. Dia sudah penat. Lima tahun bukan masa yang singkat. Malah dia
sendiri tidak tahu kalau dia mampu bertahan selama lima tahun ini hanya kerana
seorang lelaki bernama Azwan. Namun, kali ini, buat pertama kali, Alynn rasa
dia sudah penat dengan cinta Azwan. Dia sudah penat menanti. Dia sudah penat
bersabar.
“Alynn
dah penat kak,” luah Alynn sambil mengesat air matanya.
“Akak
faham dik. Tapi akak tak rasa Azwan ada orang lain selain daripada adik. Di
rumah, nama adik yang selalu disebut-sebut,” terang Zanna bagai memberikan
sebuah harapan lagi kepada Alynn.
“Tapi
depan Alynn dia tak pernah cakap apa-apa. Alynn pernah cakap dengan akak, kalau
Azwan tak terima Alynn sampai ke akhir pun, Alynn tetap akan berkorban hingga
akhir kan? Alynn akan lupakan Azwan mulai hari ini kak. Alynn akan pergi jauh
dari hidup Azwan,” ujar Alynn seraya mengucapkan salam dan meninggalkan Zanna dalam
seribu pertanyaan.
NOMBOR
telefon Alynn didail sekali lagi. Azwan mundar-mandir sementara menunggu talian
bersambung.
“Nombor
yang anda dail tidak ada dalam perkhidmatan kami.”
Azwan
melempar telefon bimbitnya ke atas meja. Sudah lima kali dia cuba menghubungi
Alynn, namun hanya suara operator yang kedengaran. Azwan berjalan ke tingkap
kaca di pejabatnya. Tangannya memegang kisi-kisi tingkap sambil memandang
bangunan yang jauh lebih rendah daripada bangunan pejabatnya ini. Cuba
meredakan perasaan yang bercampur-baur di dalam hatinya.
Teringat
sesuatu, Azwan kembali ke mejanya dan mencari sesuatu di dalam setiap laci
mejanya. Sekeping gambar dikeluarkan daripada buku kecil miliknya. Gambar itu
ditatap lama. Seorang gadis berwajah bulat dengan tudung bewarna coklat
tersenyum manis di dalam gambar itu. Azwan tersenyum sendiri. Dia tahu dia
banyak melukakan hati gadis itu. Gambar itu dibawa ke dadanya. Setitis air mata
jatuh ke pipi.
‘Alynn,
awak pergi mana?’
Telefon
yang berdering mematikan lamunan Azwan. Cepat-cepat dia menekan butang menerima
panggilan tersebut tanpa melihat nama pemanggil.
“Alynn?”
duga Azwan.
“Azwan,
akak ni.”
Dijauhkan
sedikit telefon daripada telinga dan tertera jelas nama Zanna di skrin
telefonnya. Hampa. Azwan melepaskan keluhan. Dia mengira Alynn yang
menelefonnya.
“Kenapa
kak?” soalnya acuh tidak acuh.
“Alynn
jumpa akak semalam,” ujar Zanna tenang.
Mendengar
nama Alynn, Azwan memasang harapan tinggi. Dia berharap Kak Zanna tahu di mana
Alynn berada sekarang.
“Alynn…
Dia dekat mana sekarang kak?”soal Azwan ingin tahu. Puas dia berfikir kemungkinan
Alynn ke mana sahaja. Namun semakin dia fikir, semakin otaknya buntu. Dia
perlukan pertolongan Kak Zanna.
Kali
ini Kak Zanna pula hanya melepaskan keluhan di hujung talian.
“Dia
dah pergi Wan,” ujar Zanna.
“Pergi?
Pergi mana?” cemas kedengaran suara Azwan di hujung talian.
“Akak
pun tak tahu. Tapi Alynn cakap dia akan pergi jauh daripada hidup Wan,” terang
Zanna.
Jawapan
Kak Zanna tadi menghancur luluhkan hati Azwan yang baru memasang harapan untuk
mengetahui di mana keberadaan Alynn. Alynn betul-betul marahkan dirinya. Bukan
marah, merajuk barangkali.
AZWAN
tersenyum memandang Alynn. Gadis itu biasa-biasa sahaja di matanya. Tiada apa
yang istimewa. Namun dia tidak tahu kenapa dia sukar mengalihkan matanya
daripada menatap wajah gadis itu setiap hari.
Alynn
menoleh memandang ke arah Azwan. Azwan memandang ke arah mamak yang sedang
galak menebar roti canai yang dipesan oleh pengunjung Restoran Alif itu.
Restoran mamak muslim ini penuh dari dalam sampai ke luar terutamanya hujung
minggu. Mungkin penangan kari mamak yang umphh dibuat cicah dengan roti canai
itu yang buat ramai orang datang ke sini. Konsentrasi Azwan memerhatikan Alynn
terganggu apabila petugas di restoran itu datang ke mejanya.
“Encik
boleh pindah meja tak sharing dengan itu
perempuan sana?” soal petugas restoran tersebut.
“Saya?
Duduk mana?”soal Azwan inginkan kepastian.
“Sana.
Itu sana ada satu perempuan cantik duduk. Dia juga sendiri macam Encik,” terang
petugas restoran.
Azwan
memandang pelik wajah petugas restoran. Rasanya setiap minggu dia datang
restoran ni, tak ada pulak kena tukar-tukar tempat duduk. Tapi hari ini, mamak
ni mintak dia tukar tempat duduk. Dan tempat duduk tu pula adalah meja Alynn.
“Ini
hari restoran banyak penuh. Itu family ada anak kecik. Tada muat duduk sana,”
ujar petugas sambil menunjukkan meja kosong yang menempatkan dua buah kerusi
sedangkan keluarga yang datang itu punya dua anak.
Azwan
angguk dan berlalu meninggalkan mejanya dan mengarah ke meja Alynn. “Terima
kasih banyak encik!” laung petugas tadi sambil menerima pesanan daripada
keluarga yang baru menempati meja Azwan tadi.
Alynn
sudah serba tidak kena. Azwan merapati mejanya lalu menarik kerusi di
hadapannya dan langsung duduk. Kancing lengan baju dibuka dan lengan bajunya
dilipat hingga siku.
“Mamak
tu suruh saya duduk sini,” terang Azwan tanpa di minta. Alynn mengangguk tanda
faham.
“Sendiri?”
soal Azwan. Dia rasa nak hantuk kepalanya atas meja apabila soalan bodoh itu
terkeluar daripada mulutnya.
Alynn
tergelak kecil. Lucu dengan pertanyaan Azwan tadi.
“Tadi
sendiri. Tapi sekarang dah berdua,” ujar Alynn sambil merenung meja. Tidak
berani dia mengangkat muka memandang lelaki di hadapannya ini.
“Pandai,”
ujar Azwan memuji. Sebenarnya sekadar menutup rasa malu yang bertandang di
hatinya. Tulah, gelojoh sangat nak bercakap dengan orang yang dia tak kenal.
“Saya
Azwan,” ujar Azwan memperkenalkan diri.
“Alynn,”
ujar Alynn rendah.
“Nama
betul?” soal Azwan spontan. Maklumlah sekarang banyak orang nak pasang
sparepart dua tiga. Jadi setiap kali kenal dengan orang baru mereka tukar nama.
“Tak.
Nama tipu,” ujar Alynn selamba sekaligus mencetuskan tawa antara mereka.
“Awak
suka bergurau ea?” soal Azwan lagi sambil menikmati roti canai yang masih
panas. Diambil secubit roti canai telur itu dan dicicah ke dalam piring berisi
kuah dhal lalu dimasukkan ke dalam mulut.
“Tak,”
sepatah jawapan yang keluar dari mulut Alynn. Air teh tarik disedut perlahan
bagi membasahkan tekak yang terasa kering.
“Jangan
cakap awak suka makan roti canai,” duga Azwan sekaligus membuat Alynn ketawa.
Mujur air yang disedut tadi sudah melewati epiglottis. Kalau tidak, merasalah
Azwan kena semburan air teh tarik pagi-pagi ni.
“Mana
awak tahu saya nak cakap macam tu?” soal Alynn buat pertama kali.
“Sebab
saya tahu awak suka buat lawak,” ujar Azwan.
“Awak
tak kenal saya,” komen Alynn.
“Apa
kata saya belajar untuk kenal awak dari sekarang?” Azwan sengaja mencari
peluang di situ.
Alynn
jungkit bahu. Masih mencubit sedikit roti canai dan mengunyah perlahan roti
tersebut. Sunnah nabi, kalau makan kunyah 40 kali.
“Kalau
saya tak nak?” Alynn cuba memprovokasi.
“Tak
kenal maka tak cinta.” Ringkas namun sangat berarti kata-kata yang baru sahaja
diucapkan oleh Azwan.
“No comment.” Jawapan nak selamatkan diri
daripada Alynn. Cinta? Ingat senang macam tu je ke? Orang yang dah kahwin berpuluh
tahun tu kenapa boleh bercerai? Tak mungkin mereka tak kenal sedangkan dah hidup
sebumbung.
“AWAK
sibuk?” soal Alynn apabila daripada tadi Azwan hanya mendiamkan diri. Kredit
telefon ni berjalan beb. Kalau dia merangkak, Alynn tak kisah sangat.
“Sibuk
sikit. Saya tengah buat design ni.
Esok client nak,” ujar Azwan acuh tak
acuh. Mata masih tak lepas memandang komputer. Tangannya juga masih laju
menekan tetikus. Sewaktu Alynn telefon tadi, dia sudah siap-siap memasang handsfree.
“Owh.
Tak apalah kalau macam tu. Awak buatlah kerja awak,” ujar Alynn.
“Okey,”
ujar Azwan seraya memutuskan talian dan kembali fokus menghadap komputer. Laju
tangannya menekan sana sini di papan kekunci.
“Saya
rindukan awak,” ujar Alynn walaupun tahu talian sudah terputus. Gambarnya
bersama Azwan yang diletakkan di hujung mejanya ditarik perlahan.
“Tak
kenal maka tak cinta. Saya tahu awak sibuk, tapi takkanlah nak cakap dengan
saya lima minit pun tak boleh,” ujar Alynn pada Azwan di dalam gambar.
Badannya
direbahkan ke atas katil. Air mata mula mengalir. Empat tahun hidupnya begini.
Azwan sibuk dengan kerjanya yang tak pernah berhenti. Malah boleh dihitung dengan
jari berapa kali sahaja mereka keluar bersama. Boleh juga dihitung dengan jari
berapa kali Azwan menelefonnya. Jika bukan kerana soal kerja, Azwan tidak
mungkin akan menelefonnya. Memori bersama Azwan kembali bermain di ingatan.
“Alynn
awak boleh online sekejap tak?”
“Kenapa?”
“Tengok
design yang saya buat untuk client
tu. Okey tak?”
“Awak
telefon saya untuk cakap pasal ni je?”
“Nanti
dah tengok beritahu saya okey. Thank you Alynn.”
Dan
talian diputuskan. Alynn tidak pernah bekecil hati. Apalagi berdendam. Dia tahu
Azwan bekerja bersungguh-sungguh kerana mahu hidup mereka terjamin di masa akan
datang.
“KAHWIN?”
soal
Azwan buat kesekian kalinya.
Alynn
mengangguk. Rasanya setiap kali topik ini dibincangkan, Azwan seakan-akan
mengelak. Apakah kerana Azwan tidak mencintai dirinya? Atau dia sahaja yang
fikir yang bukan-bukan.
“Sampai
bila awak nak kita macam ni?” soal Alynn inginkan kepastian.
Tali
leher dilonggarkan. Azwan rasa macam lehernya dijerut setiap kali Alynn membicarakan
tentang hal ini.
“Saya
tak bersedia lagi. Masih banyak lagi benda saya nak buat Alynn,” tenang Azwan
menuturkan ayat itu.
Alynn
cuba bersabar. Badannya disandarkan ke kerusi. Menarik nafas dalam-dalam dan
menghembusnya perlahan.
“Tapi
sampai bila Wan? Sampai saya dah mati? Sampai saya dah tak ada dekat dunia ni
lagi?” soal Alynn bertubi-tubi. Usahanya untuk bersabar sebentar tadi nampaknya
tidak berhasil. Dia seolah-olah meluahkan rasa tidak puas hatinya pada Azwan
saat itu.
“Kalau
saya kahwin dengan awak sekarang ni Alynn, saya nak bagi awak makan apa? Batu?
Pasir? Awak nak makan benda-benda tu?” sinis Azwan berbicara.
“Rezeki
tu ada Wan. Rezeki Allah bagi ada di mana-mana. Yang penting kita berusaha,”
luah Alynn. Pandangan dilemparkan jauh ke air tasik yang berombak tenang.
“Dan
saya sekarang sedang berusaha. Awak tak boleh nak tunggu lagi dah ke? Atau awak
dah ada orang lain?” Sekali lagi Azwan seolah-olah menyindir Alynn.
Alynn
memandang Azwan dengan perasaan kecewa. Tidak pernah dia bermain kayu tiga hatta
kayu sepuluh pun di belakang Azwan. Biarpun Azwan bersikap dingin, dia tidak
pernah berfikir untuk berpaling daripada cinta Azwan. Biarpun sepuluh tahun,
hatta sampai nyawanya habis pun dia sanggup menunggu Azwan. Namun kata-kata
Azwan tadi betul-betul mencalarkan hatinya.
“Kalau
awak dah tak suka pada saya, awak boleh cakap terus-terang Wan. Tapi jangan
tuduh saya ada orang lain,” protes Alynn.
“Siapa
tahu kan,” ujar Azwan selamba.
“Perempuan
mana yang sanggup bersabar macam saya tunggu awak Wan? Perempuan mana yang
sanggup tahan bila awak tak peduli pun perasaan saya pada awak? Awak fikir awak
cakap macam tadi tu saya boleh terima sebagai gurauan Wan? Yes, saya suka bergurau. Tapi benda macam ni saya tak pernah ambil
enteng.”
Azwan
tahu Alynn betul-betul marah saat ini. Mata Alynn sudah merah dan berkaca saat
itu. Tangan Alynn cuba diraih. Alynn menepis.
“Awak
dah lain Wan,” ujar Alynn penuh kesal.
“Saya
tak pernah minta awak jadi macam awak waktu pertama kita kenal dulu. Cukuplah
awak jadi diri awak sendiri. Tapi awak terlalu ego Wan. Awak terlalu ego sebab
awak tak pernah fikirkan pasal saya. Awak hanya fikirkan diri awak,” ujar Alynn
panjang lebar.
“Saya
tak pernah niat nak buat awak macam tu,” ujar Azwan rendah. Ada nada kesal di
situ. Alynn menyeka air mata yang keluar tanpa diminta.
“Lima
tahun Wan. Lima tahun saya berkorban untuk awak. Tunggu awak setiap hari. Dengan
harapan awak akan telefon saya cakap awak rindukan saya. Tapi setiap hari saya
tunggu awak sampai saya tertidur tapi telefon saya tak pernah berdering.”
“Saya
minta maaf Alynn.” Sungguh, Azwan tidak tahu Alynn terluka begini. Dia tidak
tahu dia telah menyiksa Alynn selama lima tahun ini.
“Awak cakap awak nak hidup dengan
saya sampai hujung nyawa? Hidup yang macam mana Wan? Hidup yang macam ni?
Hidupnya yang hanya saya mencintai awak tapi awak tidak pernah mencintai saya?”
“Alynn, please stop this.”
“Dengar
Wan. Dengar. Hari ini saya cuma minta awak pinjamkan telinga awak untuk saya.
Dengar apa yang saya nak cakap pada awak selama lima tahun ni. Saya dah penat
Wan. Penat bercinta seorang-seorang ni. Macam orang syok sendiri,”ujar Alynn
sambil tertawa. Air mata yang jatuh di seka lagi. Dia sendiri tidak tahu kenapa
mulutnya tidak mahu berhenti bicara hari ini.
“Saya
pernah cakap dekat awak, kalau sampailah satu hari nanti awak minta saya
berkorban, saya tetap akan berkorban untuk awak. Walaupun pengorbanan yang
terpaksa saya buat tu adalah melepaskan awak. Dan hari ini, saya rasa saya
sudah sampai pada tahap itu Wan,” ujar Alynn dengan suara yang tertahan-tahan.
“Jangan
cakap macam tu Alynn. Saya cintakan awak,” ujar Azwan rendah.
Alynn
membuang pandangan ke tengah tasik. Angin yang bertiup lembut diharapkan dapat
membawa kekacauan hatinya saat ini.
“Kembalilah
pada saya bila awak dah bersedia untuk jadi imam saya.” Ujar Alynn sebelum
meninggalkan Azwan di tasik itu.
SEBIJI
batu dilempar ke dalam sungai itu. Bayangnya di dalam air menghilang dan
kembali ada apabila air yang berkocak kembali tenang. Ya, Alynn membawa hatinya
pulang ke kampung halamannya. Duduk di tebing sungai yang jernih di belakang
rumahnya saat ini. Membawa hatinya yang parah dilukakan oleh Azwan.
Pagi
tadi setelah siap memasak untuk makan tengah hari, cepat-cepat dia datang ke
sungai ini. Dia mahu mengadu pada sungai tentang kekejaman Azwan pada dirinya.
Dia mahu sungai ini jadi saksi yang air matanya pernah menyumbang pada
pertambahan isipadu air sungai ini.
“Kau tahu Azwan kejam pada aku? Sampai hari
ini dia tak cari aku,” ujar Alynn pada sungai.
Air
sungai mengalir laju menuju ke hilir.
“Bukan
dia tak tahu rumah mak dekat kampung ni. Tapi tak pernah dia cari aku sampai
sini. Kejam betul dia pada aku,” ujar Alynn lagi. Seketul batu lagi dibaling ke
sungai.
Kakinya
dipeluk rapat. Mukanya disembamkan pada lutut. Alynn menangis lagi.
“Azwan
bukan kejam pada Alynn. Tapi dia tak tahu nak cari Alynn dekat mana,” ujar
Azwan sambil merapati ke arah Alynn yang sedang teresak-esak menangis.
Alynn
mengangkat mukanya. Tidak berani menoleh apabila dia pasti suara tadi milik
Azwan.
“Tapi
salah Alynn juga sebab tak pernah bawak Azwan datang dekat sini. Tempat yang
ada sungai ni. Azwan sesat tiga hari tiga malam nak cari tempat ni,” tambah
Azwan lagi sambil duduk di sebelah Alynn menghadap sungai di hadapan mereka. Alynn
membeku ditempatnya.
“Azwan
dah cakap Alynn dah ada orang lain sekarang ni. Tapi Alynn cakap tak. Habis
sungai ni siapa?” Azwan berpura-pura protes. Menunggu reaksi daripada Alynn.
“Sungai
bukan orang,” ujar Alynn dengan suara yang antara dengar dengan tidak.
“Ingatkan
orang tu dah tak ada suara. Ada rupanya. Tapi serak-serak macam Ella. Berapa
banyak dah air kau bertambah sungai? Kejam betul kau buat Alynn menangis,” ujar
Azwan tenang. Wajah Alynn yang sembab di pandang penuh kasih.
“Kenapa
datang sini?” soal Alynn perlahan.
“Sebab
Wan rasa Wan dah bersedia nak jadi imam Alynn,” ujar Azwan bersungguh-sungguh.
Alynn
memandang wajah Azwan tanpa perasaan. Susah untuk dia percaya kata-kata Azwan
saat ini.
“Tak
percaya? Tu tengok berapa orang tercangak berdiri dekat sana bawak dulang
hantaran,” ujar Azwan cuba meyakinkan Alynn.
Alynn
menoleh ke belakang. Gila. Alynn dapat lihat mak dan ayahnya sedang menyambut
rombongan lima buah kereta yang datang ke rumahnya pagi itu. Dan rombongan itu
bukan rombongan biasa. Rombongan dengan tepak sirih dan dulang hantaran.
“Aku
dah cakap dengan kau sungai, Azwan ni kejam. Kau tengok sekarang ni, dia bawak
rombongan meminang tapi tak beritahu aku. Aku dengan muka tak mandi ni kena
pinang dengan orang, nak hadap muka bakal mak dan bapak mertua dengan muka tak
mandi, tak ke kau rasa Azwan ni kejam?” Alynn berbicara lagi pada sungai.
Azwan
ketawa berdekah-dekah.
“Tak
mandi pun tak apa. Kan sungai ada. Terjun jelah
mandi dalam sungai,” ujar Azwan mengusik Alynn.
“Awak
memang kejam,” ujar Alynn perlahan.
“Pergi
mandi cepat. Kalau lambat nanti tak jadi mak dengan abah saya nak masuk
meminang. Anak dara tak mandi pagi. Ingat pukul berapa ni? Pukul sebelas dah.”
“Tak
mandi pun tak apa. Sungai kan ada.”
“Alynn,
Azwan, apa buat dekat sungai tu. Isy budak-budak ni. Orang sibuk bincang soal
nikah kahwin dia, dia sibuk berdating
dekat sungai. Alynn pergi mandi. Azwan sini,” laung Kak Zanna dari rumah.
Alynn
dan Azwan ketawa bahagia.
©Hak
Cipta Terpelihara : Isha Idiaz