Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Budak 30
Budak 30
21/6/2016 15:31:53
3,934
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“Bang! Macam biasa!” jeritku dari jauh. Panas petang yang membahang tu membuatkan aku berpeluh-peluh lalu topi yang melekat di kepala, ku cabut laju.

“Siap!” laung lelaki itu seraya tangannya pantas menarik 30 cucuk sate ayam lalu diletakan di atas tempat membakar. Selang beberapa minit…

“Nah Khai.” Sebungkus pelastik diletakkan di atas meja. Betul-betul dihadapanku.

“Berapa?” soalku sambil meraba poket hadapan.

“Tak payahlah, aku belanja.” Ujarnya dengan senyuman manis ala-ala mamat gatal dilemparkan buatku.

“Eh, mana boleh macam tu. Rugi la kau nanti.” Tangan kananku yang sedang meraba poket terhenti.

“Tak apa, aku ikhlas.” Katanya lagi. Berharap pemberiannya tidak ditolak.

“Okey! Aku ambil, tapi janji sesuatu dengan aku dulu,” wajahku bertukar serius.

“Apa dia?” soalnya pelik.

“Janji yang kau tak akan ungkit apa yang kau kasi ni, kalau ungkit juga aku tumbuk muka kau.” Tegas suaraku berkata. Aku mengempal penumbuk dan ku ajukan dihadapan wajahnya. Walaupun kedengaran entah apa-apa. Sudahlah orang nak belanja, tapi begitu pula penerimaanku.

“Dengan ini saya Zulazizi bin Abdul Yusof berjanji, tidak akan mengungkit segala pemberian saya kepada awak yang bernama Khairunnisa binti Kamarul.” Siap diangkat tangan serupa orang berikrar pula. Tawanya meletus bila melihat wajahku yang berkerut melihat dia berikrar.

“Terima kasih!” terus aku menyambar topi dan bungkusan sate ayam itu dan berjalan laju kearah motor kesayanganku itu.

Dari jauh ku lihat dia tersenyum. Aku ni kelakar sangat ke?

***

Motorku laju meluncur dan berhenti secara tiba-tiba di bawah sebuah jambatan. Di sini tempat aku membuang masa bersama ‘kawan-kawan’ku. Mereka yang memahami aku lebih dari manusia memahami aku. Hidup aku sunyi, tetapi mereka ni yang menceriakan kembali hari-hariku.

‘Meowwwww.’ Suara ngiauan kucing di kaki mematikan lamunanku.

“Kau rupanya, Maumau. Mana kawan-kawan yang lain?” Walaupun aku tahu soalanku itu tidak mungkin mendapat jawapan. Tapi, aku senang berbicara dengan mereka. Kucing itu pula cuma mengesel-gesel menyerlahkan lagi sifatnya yang manja.

Aku bingkas bangun dan mencapai sate ayam yang baru dibeli tadi. Aku mengasingkan isi ayam dari lidinya dan aku letakkan di bawah untuk mereka.

Mulutku yang termuncung-muncung itu galak memanggil kucing-kucing yang lain. Kemana mereka merayau sehingga tidak sedar kehadiranku? Ada juga kelihatan beberapa ekor kucing yang berlari laju bila terdengar siulan aku memanggil mereka.

Sudah menjadi kebiasaa aku sebenarnya, bila aku pulang dari kerja aku akan membelikan ayam untuk ‘anak-anak angkat’ ku di bawah jambatan ini. Kadang-kadang ayam atau ikan akan aku gaul sekali dengan nasi. Kalau sudah gaji aku belikan mereka sate ayam ni. Merasa la mereka makan mahal sikit.

“Ha, makan-makan. Rezeki kau orang hari ni. Ada orang belanja tau.” Galak pula aku bercerita kepada kucing-kucing yang sedang lahap menjamah sate ayam itu. Aku menepuk-nepuk perlahan belakang kucing yang berwarna hitam itu. Aku namakan dia, Tam Tam.

Dia yang memerhati dari jauh tersenyum melihat kemesraanku dengan kucing-kucing itu.

"Patutlah kau selalu order sate 30 cucuk dan selalu singgah di kedai makan Mak Melah. Rupanya nak tapau bekalan untuk kucing-kucing terbiar di bawah jambatan ini." Tiba-tiba dia menegurku dari belakang.

Kepalaku terdongak bila ada yang menegur. ‘Apa mamat ni buat kat sini?’ sempat lagi hatiku mencemuh.

Tanpa menunggu jawapan dariku, dia dengan selambanya terus duduk disebelahku. Siap terkena lutut lagi. Ini sudah lebih!

“Buat apa kat sini?” soalku sedikit kasar.

“Saja nak tengok kau. Eh, bukan-bukan. Aku nak tengok kucing!” Nasib baik dia cepat betulkan. Kalau tidak melekatlah buku lima aku ni ke mukanya.

Aku menjeling dirinya sekilas, lalu berdiri mendapatkan motor ku. Enjin motor di hidupkan dan terus aku berlalu meninggalkan Zulazizi yang terkulat-kulat di situ.
“Tu la kau, salah cakap lagi!” Tangannya menampar-nampar mulut.

***

‘Pagi-pagi ni la kau nak buat hal, kan?’ gerutuh hatiku bila motor aku tak boleh hidup pagi ni. Puas aku cuba, masih tak mahu hidup.

Nak minta tolong Sarah, kawan serumah aku tu? Dia dah pergi kerja awal-awal lagi tadi. Maklumlah dia kerja sebagai jururawat, pasti kena pergi awal. Lainlah aku, aku kerja dekat kedai jual barang perabot terpakai, kedai pun buka jam 10 pagi. Dan sekarang sudah jam 10.15pagi!

“Aduh, gatal pula kepala aku dok fikir ni,” sempat pula aku membebel. Habis kusut rambut pendek aku bila aku garu secara kasar. Serabut!

“Macam mana nak buat ni? Apa masalah pulak la motor ni. Aduhhh sayang, sayang jangan macam ni, hidup laaaa… aku nak pergi kerja ni,” dah macam orang tak betul pula dok bercakap dengan motor. Eh tapi biarlah, mana tahu motor ni dengar! Kau orang jangan nak cakap aku gila pula!

“Huiii, cik adik. Apasal tuuuu?” Tegur sesorang dari belakang. Terperanjat juga aku. Nasib baik aku cuma terperanjat dalam hati je. Buatnya aku melatah, mati la!

“Motor ni ha, buat hal pula pagi ni. Aku dah lambat nak pergi kerja ni. Kejap lagi mesti supervisor aku bising.” Ujarku lebih kepada mengadu. Habis dengan siapa lagi aku nak mengadu? Tak kan dengan pokok rambutan ni?

“Kalau macam tu, jom aku hantar. Motor tu biar je kat situ, malam nanti aku tolong baiki.” Bagaikan orang mengantuk disorong bantal. Aku pun apa lagi, terus melompat naik ke belakangnya dan menyambar topi keledar aku yang tersangkut di cermin pandang belakang.

“Cepat-cepat, jalan.” Kataku lagi sambil menepuk-nepuk belakangnnya kuat.

‘Baik juga mamat ni.’ sempat lagi hatiku memuji.

“Janganlah tepuk kuat-kuat!” jeritnya dari depan lalu laju dia memulas handle motor. Hampir terangkat juga motornya bila dia press laju-laju macam tu. Cepat je tangan aku mencengkam bahunya.

Selang beberapa minit aku sampai ke kedai. Laju juga motor cabuk dia ni! hahaha…

“Nanti balik nak aku ambil tak?” Sempat lagi dia menjerit.

“Tak payah, tak payah!” tergesa-gesa aku meninggalkannya dan terus masuk ke dalam. Pasti kena ceramah! Siap-siap la kau telinga…

***

Habis je kerja aku terus keluar dari kedai. Hari ni aku kena balik lambat sebab aku sampai lambat pagi tadi. Di kejauhan aku dah nampak kelibat dia yang setia menunggu aku. ‘Bukan aku cakap tak payah ambil ke?’

“Kau buat apa kat sini? Nak jemput aku ke?” Soalku. Walaupun aku yakin dia memang ke sini nak ambil aku pun.

“Eh, siapa cakap? Aku nak beli meja la.” Jawapannya membuatkan mataku terbeliak. Kurang asam!

“Ah kau! Kedai dah tutup. Datang esok je.” Pantas aku berjalan laju meninggalkannya. Aku nampak dia sedikit kalut. Kedengaran dia menghidupkan enjin motornya dan mengikut aku dari belakang. Siap di ‘pin-pin’ kan aku!

“Kau apahal?” bengang pula aku bila dia tekan hon lama dan panjang!

“Hoi minah senget! Aku datang nak ambil kau la. Kau ingat suka-suka je ke aku nak datang sini?” Dengan muka bersaja dia berkata.

‘Minah senget kau pangil aku!’ jeritan itu cuma terlaung dalam hatiku je. Entah kanapa? Aku selesa dengan dia. Walaupun dia panggil aku minah senget. Rugi betul aku tak berkawan dengan dia dari dulu.

“Aku tahu kau memang nak jemput aku.” Ujarku ceria lalu kepalanya yang sudah siap memakai helmet itu aku ketuk laju.

Jadi tak perlulah aku menapak!

***

“Wei yol! Lama lagi ke?” Tanyaku bila dia masih lagi tidak berjaya membaiki motor kesayangan aku tu.

“Yol? Apa tu?” Bukannya dia mahu menjawab soalanku, malah aku pula disoalnya.

“Yol untuk biyol! Hahaha…” Jawabku sambil tertawa besar.

“Kurang gula punya minah senget!” Spanar yang erat di dalam genggamannya diluku ke kepala ku. Sakit woi!

“Nah kau punya gula!” jeritku seraya mencampakkan biji-biji rambutan yang sudah licin aku makan tadi. Terus aku berlari masuk ke dalam rumah. Malas aku nak tunggu ‘Yol’ siap repairmotor aku tu.

“Jangan lupa siapkan motor aku tu!” sempat lagi aku jeritkan kepadanya.

Dia hanya tersenyum bawah mata kanannya ditarik dengan jari menampakan biji matanya yang terjegil dan terus dia menjelirkan lidah kepadaku. Mengejek!

Aku terus mencampakkan buah rambutan yang belum aku kopek tadi tepat mengenai mukanya. Terkulat-kulat dia kat situ. Hahaha! Padan muka!

Satu permulaan yang baik!

***

Satu hari, dia telah meminta aku untuk berjumpa dia di bawah jambatan tempat aku selalu lepak lepas balik kerja tu. Entah apa yang dia mahu? Lagipun dia dah tolong repair motor aku hari tu. Tak sedap pula kalau aku tolak.

Aku sampai saja di sana, aku sudah nampak dia sedang duduk di kelilingi oleh ‘anak-anak angkat’ aku tu. Bila aku intai, rupanya dia sedang memberikan mereka makanan. Patutlah mereka semua mengelilinginya.

“Apahal nak jumpa aku?” soalku dari belakang. Dia yang tidak sedar akan kehadiranku sedikit terperanjat.

“Kau ni, terkejut aku!” Kepalanya melangoi memandang aku. Tanganya pula ditepuk-tepuk isyarat supaya aku duduk di sebelahnya. Aku hanya menurut.

“Sedapnya bau.” Kataku bila terbau sate ayam yang menaikkan seleraku.

“Nak ke?” soalnya sambil menayang-nayang secucuk sate ayam dihadapanku.

“Bak la satu.” Mintaku sambil menadah tangan. Dia menghulur bungkusan sate itu kepadaku, bila sikit lagi aku mahu mencapai dia terus menarik kembali bungkusan itu sambil ketawa terbahak-bahak. Terjegil aku memandangnya.

‘Oh, nak main-main ya!’ desis hatiku. Terus aku rampas bungkusan itu lalu aku sorokkan disebelahku. Tersentak dia, tapi dia biarkan.

“Aku ada benda nak cakap dengan kau ni.” dia memulakan mukadimah. Aku hanya mengangguk dan mengangkat kening isyarat menyuruh dia meneruskan bicara. Aku malas mahu menjawab, mulut sudah penuh dengan sate ayam!

“Jom kahwin!” Tanpa teragak dia mengajak. Habis tersembur semua isi-isi ayam di dalam mulutku!

“Phuiii! Macam tu je kau ajak aku kahwin?” Soalku sedikit terjerit.

“Habis tu kau nak aku melutut dan hulur cincin, macam dalam drama tu ke?” Soalnya menatapku lama. Tak karuan pula aku di buatnya. Dalam hati berdebar juga.

“Ye la.” Jawapku malu-malu menatapnya. Entah kenapa aku yang kasar ni boleh malu-malu begitu? Bikin malu je!

“Weiii, minah senget maluuuu.” Ejeknya sambil tangannya menggosok-gosok kepalaku laju-laju. Habis kusut rambut aku ni.

Aku yang bengang bila diejak begitu terus menumbuk tepi perutnya. Dia mengaduh perlahan dan terus kami berdua tertawa bersama…

Macam ni ke rasanya cinta?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.