Home Cerpen Keluarga Ramadhanku Yang Pertama
Ramadhanku Yang Pertama
29/6/2016 11:13:18
2,857
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Part 1

3 Ramadhan…

Sulia berjalan laju melintasi jalan yang semakin sibuk. Bayu pagi menyapa lembut tubuhnya yang cuma berbungkus dengan baju t-shirt kuning dan seluar paras lutut. Rambutnya yang keperangan paras bahu dibiarkan lepas beralun lembut.

Langkah kaki yang diatur semakin pantas. Hari ini dia diarahkan untuk terbang ke Pulau Pinang bagi meninjau keadaan cawangan baru kedai kek dan roti milik ibunya. Setakat ini, mereka cuma ada lima cawangan kedai kek dan roti iaitu di Kuala Lumpur, Selangor (dua cawangan), Johor, dan yang terbaru di Pulau pinang.

Dek kerana desakkan ibunya, Puan Sarimah dia terpaksa menurut walaupun tidak bersetuju. Jadi dia terpaksa pergi - balik hari. Balik dari sana dia perlu menyiapkan laporan kawasan yang menjadi tinjauannya hari ini. Dia juga perlu memikirkan beberapa strategi jualan untuk cawangan di sana nanti.

"Lia, perlahanlah sikit! Penat aku nak kejar kau ni. Berpeluh ketiak!" Jerit Mawar dari belakang. Dirinya yang sedikit ‘katik' itu membentuk langkah yang kecil. Jika hendak dibandingkan dengan Sulia yang tinggi lampai itu, Sulia lebih luas langkahnya!

Mawar, gadis genit yang menjadi penemannya hari ini. Syarat yang Puan Sarimah harus patuhi adalah bila dia meminta seorang teman berbual di sepanjang perjalanan ke sana. Mawar juga adalah pembantu atau orang kepercayaan Puan Sarimah merangkap kawan baiknya juga.

"Hush… lambatlah kau ni. Terkedek-kedek!" terus langkah kakinya diperlahankan supaya Mawar bisa mengejar.

"Chill lah, masih awal ni." Jawab Mawar sedikit termengah.

"Awal apanya? Aku tak nak kita terlepas flight." Ujar Sulia lalu meninggalkan Mawar yang baru sempat mencuri nafas. Mawar berdengus perlahan.

Langkah Mawar semakin laju bagi bersaing langkah dengan Sulia.

***

Pulau pinang

Sulia terpegun melihat kedai kek dan roti yang sudah di hias cantik. Hampir 70% kedainya siap. Di dinding kedai tertampal segala sijil dan keratan akhbar yang telah menaikkan lagi nama kedainya. Gambar Puan Sarimah menerima anugerah usahawan wanita berjaya juga tergantung di dinding. Sekarang, tinggal lagi mahu mengatur kerusi dan meja supaya menampakkan kelainan saja.

Cadangan Sulia meletakkan beberapa buah kerusi dan meja di dalam kedainya untuk mereka yang mahu makan di situ diterima baik oleh Puan Sarimah. Pengubahsuaian yang dilakukan hanyalah mahu menaikkan jualan dan memperkenalkan jenama mereka pada khalayak.

Sulia juga memberikan buah fikirannya bahawa bersempena hari pembukaan itu nanti dia mahu memberi kek potong dan aneka roti kepada pelanggannya secara percuma. Tidak salah rugi dulu, untung kemudian.

Sulia juga telah mengarahkan Mawar supaya menubuhkan beberapa laman sesawang seperti facebook dan instagram bagi memperkenalkan lagi kedai dan cawangan terbarunya dengan nama Rotilicious crew. Di zaman IT ini, segalanya perlu seiring. Jika dia tidak berbuat begitu, maka ketinggalanlah dia. Ini strategi berniaga.

Sulia galak menangkap gambar ruangan kedai dan ruangan dapur (tempat pembuatan roti) malah bahagian kaki lima di luar juga dia ambil gambar. Semua itu bakal ditunjukkan kepada ibu. Kawasan sekitar juga memainkan peranan dalam berniaga. Jika kawasan bandar, ramailah orang. Melihat pada kawasan sekitar kedainya, Sulia berpuas hati. Walaupun ada juga satu dua kedai yang jualannya hampir sama. Tapi tak apa, perubahan dan kelainan akan menarik pelanggan.

"Lama lagi ke Lia?" soal Mawar kemalasan.

"Kenapa?" soalan dibalas soalan. Sulia menjeling Mawar yang dari sampai tadi cuma duduk bermalas-malasan main telefon bimbit.

"Aku lapar," adu si Mawar.

Lantas Sulia mengerling jam di tangan kirinya. ‘Hush… hampir jam tiga.'

"Jom kita makan sebelum balik ke KL," ajak Sulia.

Mereka berdua bergerak keluar dari kedai dan terus menghilang masuk ke dalam kereta yang memang sudah disediakan khas untuk membawa mereka sepanjang mereka berada di sana. Puan Sarimah sudah mengaturkan segalanya.

Sepanjang jalan kedai makan tutup. Perut mereka sudah mula berlagu. Pak Samad, pemandu mereka tu teragak-agak mahu menuruti permintaan gadis berdua itu. Iya la, di bulan puasa begini mana ada kedai makan yang buka. Lagi-lagi waktu siang.

Mawar yang duduk di sebelahnya merengus kuat. Mulutnya tak henti-henti merungut. Lapar semakin menjadi-jadi. Dari mereka datang tadi mereka tidak menjamah apa-apa pun. Pak Samad ada mengajak mereka berdua pulang saja ke rumahnya dan berbuka puasa sekali dengan isterinya. Tetapi Sulia menolak lembut. Masakan dia mahu berbuka jika berpuasa pun tidak?

Selang beberapa ketika Sulia terfikir, mengapa mereka tidak makan KFC atau Pizza Hut saja? Pasti kedainya buka. Lantas Sulia mengarahkan Pak Samad untuk mencari mana-mana yang paling hampir.

Mahu atau tidak, Pak Samad terpaksa menurut. ‘Mungkin ‘sakit' orang perempuan yang tidak membenarkan mereka berpuasa,' Pak Samad bersangka baik.

"Jom makan sekali Pak Samad. Saya belanja." Sulia mengajak setelah Pak Samad menghentikan keretanya di hadapan KFC. Tetapi air muka Sulia berubah bila Pak Samad menolak, katanya dia berpuasa dan dia hanya mahu menunggu di dalam kereta saja.

Part 2

7 Ramadhan…

"Ibu… jiran sebelah rumah kita ni rajin pergi surau depan tu, kan?" Sulia cuba mengajak Puan Sarimah berbual. Bosan juga bila hanya bermenung begitu.

"Hemm…" jawab Puan Sarimah, malas.

Sulia termati bicara. Puan Sarimah sedang khusyuk meneliti setiap laporan dan susun atur cawangan barunya itu. Mungkin mahu menambah sesuatu yang lebih menarik?

Sulia bangun dan terhendap-hendap jiran baru mereka. Seorang wanita tua bertelekung dalam lingkungan 50-an dan dua orang anak muda, mungkin anaknya? Mereka sedang membuka kunci pagar. Sulia terus keluar untuk menegur jiran barunya itu.

"Hello." Sulia menyapa terlebih dahulu.

Wanita tua dan anaknya tu saling berpandangan lantas senyuman manis dilemparkan kepadanya. Wanita tua itu menghampirinya sambil menghulurkan tangan mahu bersalam. Sulia teragak-agak mahu menyambut.

"Assalamualaikum, nama makcik Itam. Anak boleh panggil Mak Tam." Hampir terburai tawa Sulia bila mendengar nama Mak Tam. Macam tak ada nama lain pula. Tetapi tawanya tertahan bila melihat anak-anak Mak Tam yang memandangnya dengan pandangan yang pelik.

"Err… saya Sulia, panggil Lia." Jawab Sulia teragak-agak.

"Sedap namanya. Ni anak Mak Tam. Amar dan Amira." Sempat Mak Tam memuji lalu memperkenalkan anak-anaknya. Sulia laju menyambut huluran tangan Amira.

Mata anak-anak Mak Tam berdua ini tetap tidak lepas dari memerhatikan Sulia. Pelik sangatkah pakaiannya ini? Biasalah, t-shirt dan seluar pendek. Bukan seksi pun. Yang mereka pandang macam tak pernah pandang orang tu, dah kenapa? Dari pengamatannya, Amira dan Amar seperti kembar. Tapi perwatakan Amar ni macam lembut je?

"Mereka ni kembar tahun. Amira lahir bulan 1, Amar lahir bulan 12." Bagaikan mengerti apa yang bermain dibenaknya, Mak Tam pantas menjawab.

"Ohh… rajin Mak Tam pergi surau tu, eh?" sekadar berbahasa.

"Ya, Mak Tam pergi terawih. Itu yang rajin ke surau. Lagipun surau dekat sangat, rugi kalau tak pergi." Kata Mak Tam. Sulia terasa dirinya diperli.

"Ohh…" Cuma itu yang terkeluar dari rengkungnya. Terawih tu apa? Dia mahu bertanya. Tetapi rasa segan dan malu lebih menguasai dirinya. Malulah!

***

10 Ramadhan…

"Lia…" tegur Mak Tam yang sedang tersenyum melihat dirinya.

Kala itu Sulia baru saja pulang dari kedai. Puan Sarimah terus berlalu masuk tanpa secarik senyuman pun. Mungkin runsing? Manakan tidak, kedai mereka yang baru hendak beroperasi di Pulau pinang tu terpaksa ditunda kerana ada sedikit masalah yang masih belum tahu puncanya. Itu yang muka Puan Sarimah macam ikan keli tu!

"Ya, Mak Tam." Jawab Sulia.

Walaupun letih dia tetap tersenyum. Sulia senang dengan Mak Tam. Mak Tam yang ramah tu kerap sekali menegurnya. Tuturnya yang lembut dan sopan itu membuatkan dia selesa. Bukan seperti jiran-jiran lain. Masing-masing bila pulang dari kerja terus terperuk dalam rumah. Tak reti bermasyarakat betul! Samalah juga seperti Sulia, cuma sejak Mak Tam berpindah, dia jadi kerap bersembang. Dah macam ahli mesyuarat pagar pula.

"Ni Mak Tam ada buatkan karipap. Makanlah waktu berbuka nanti." Kata Mak Tam sambil menghulur sepinggan karipap yang masih panas kepada Sulia.

"Wah! Mak Tam yang buat? Bestnya…," teruja sekali Sulia.

Laju tangannya mencubit sedikit dan mengunyah perlahan. Matanya membulat ke arah Mak Tam yang setia tersenyum memandangnya. Isyarat tangan ‘thumbs up' dilayangkan di hadapan Mak Tam lalu secubit lagi disuap ke dalam mulutnya dan dikunyah perlahan.

"Nanti bila Lia senang, marilah berbuka sekali kat rumah Mak Tam." Ujar Mak Tam ikhlas.

Sulia terkesiam. Berbuka? Dari kecil Sulia tidak diajar berpuasa. Puan Sarimah juga tidak berpuasa. Jadi bagaimana?

"Tapi Mak Tam… Lia tak puasa." Jujur dia mengaku. Malu, tapi dia sendiri tak tahu kenapa dia membuat pengakuan itu.

"Tak apa, belajar perlahan-lahan." Mak Tam masih lagi tersenyum. Baiknya Mak Tam.

"Tapi, macam mana?" Soal Sulia memohon penjelasan.

"Esok pagi, dalam jam 5 pagi tu Lia bangun dan makan. Nanti Mak Tam masakan untuk Lia ye." Ikhlas sekali Mak Tam. Terharu Sulia mendengarnya. Dia mengangguk perlahan. Mungkin ini masanya untuk dia berubah?

Sejak itu, Sulia kerap berulang-alik ke rumah sebelah iaitu rumah Mak Tam. Puan Sarimah perasan akan perubahan anaknya, tapi dia diamkan saja. Bagi Puan Sarimah masalah kedai di Pulau pinang itu lebih penting dari perubahan anaknya itu.

Part 3

16 Ramadhan…

Puan Sarimah naik hantu bila Sulia menyuarakan hasratnya mahu mengikut Mak Tam pulang ke kampung halamannya di perak. Sulia, tidak pernah ada kampung. Selama hidupnya dia dibesarkan di bandar. Jadi apa salahnya jika dia mahu merasa suasana kampung?

Puan Sarimah juga perasan Sulia sudah mula mengenakan selendang setiap kali keluar. Walaupun masih menampakkan rambutnya. Pakaian juga sudah mulai berubah. Tiada lagi seluar pendek, tiada lagi t-shirt ketat. Yang dipakai kini baju t-shirt yang longgar dan seluar jeans panjang.

Sekarang, Sulia sudah pandai mahu mengikut orang lain pulang ke kampung. Orang yang baru dikenali pula tu. Dan meninggalkan dia berseorangan di rumah ini. Puan Sarimah tidak bersetuju langsung!

"Bukan lama pun. 3 hari je. Bolehlah ibu." Sulia cuba memujuk Puan Sarimah yang sedang berdiri memeluk tubuh. Matanya tajam menikam wajah anak kesayangannya itu.

"No! tengok apa perempuan tua tu buat pada Lia?" Puan Sarimah sememangnya ibu yang sangat tegas. Sejak kematian suaminya, dia lebih tegas dan garang dari sebelumnya. Puan Sarimah tidak menyukai perubahan Lia. Baginya itu kolot!

"Perempuan tua tu ada nama, namanya Mak Tam. Ibu, please…" Sulia juga mula bertegas. Dia tidak faham, mengapa Puan Sarimah menentang perubahannya itu. Dia berubah ke arah kebaikan. Semua ibu di dunia ini mahu anaknya menjadi baik. Tapi ibunya - sudah terbalik!

"Ibu tak izinkan!" melengking suara Puan Sarimah. Tulang pipinya mulai bergerak menandakan dia geram. Geram bila Sulia melebihkan perempuan tua tu.

"Ibu izinkan atau tidak, Lia tetap akan ikut Mak Tam balik ke kampungnya!" Sulia sedikit membentak. Lalu dia laju menaiki anak tangga masuk ke biliknya. Sengaja kakinya dihentak kuat tanda protes. Puan Sarimah tidak mampu berkata apa-apa. Anaknya degil!

***

18 Ramadhan

Sulia terpegun melihat kecantikan kampung halaman Mak Tam. Sikit pun dia tak tidur. Semata-mata mahu menghayati keindahan kampung. Sejuk matanya memandang sekeliling, hijau mendamaikan rasanya kala itu. Amira yang duduk di sebelahnya sudah lama berdengkur. Rasanya dari mula masuk highway tadi Amira sudah terlena. Memang tidak boleh dibuat kawan!

"Cantik la daun-daun tu." Ujar Sulia sekadar memecah kesunyian. Kehijauan yang menyapa matanya sangat cantik. Lagipula susunan daun itu selari dan sekata menambahkan lagi rasa kagum dalam jiwa Sulia.

Tiba-tiba Amar ketawa keras. Mak Tam juga ikut ketawa. Tapi tawa Mak Tam lebih sopan bunyinya. Sulia terpinga-pinga seketika.

"Ada ke panggil daun. Itu pokok padi lah!" kata Amar dengan tawa yang masih bersisa.

Sulia yang tercengang-cengang baru tahu cerita. Patutlah mereka gelakkan dirinya. Sulia menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Selendang yang menutupi separuh kepalanya dibetulkan supaya lebih kemas letaknya. Dia tersengih-sengih sendiri.

"Ohh…" hanya itu terkeluar dari mulut Sulia. Malu sebenarnya.

***

Sampai saja di halaman rumah Mak Tam, Sulia sekali lagi terpegun dengan keunikan rumah kampung itu. Dengan susun-atur pokok bunga yang mengelilingi rumah dan ada sebahagian pokok bunga yang diletakkan di tangga menyerlahkan lagi seri rumah kampung itu.

‘Cantiknya!' desis hatinya sendiri.

Pada tanggapan Sulia sendiri, jika rumah kampung mesti rumah kayu dan buruk. Mesti keadaan rumah pun berlubang sana-sini. Tapi kini, di hadapannya sebuah rumah yang sangat cantik. Walaupun rumah kayu. Ukiran pada tingkap rumah itu pun unik.

"Jom naik." Amar mengajak. Amira dan Mak Tam sudah lama masuk ke dalam untuk membersihkan habuk dan sawang kerana rumah itu sudah lama ditinggalkan. Maklumlah, mereka sudah merantau ke bandar. Jadi rumah ini cuma menjadi persinggahan bila terasa rindu dengan suasana kampung.

"Wei nyah, jom naik!" Amar menyergahnya lagi. Sulia yang terleka tersengih-sengih macam kerang busuk bila Amar melentuk-lentukkan badannya. Lawak betul Amar ni. Sudahlah berpakaian berwarna pink, lagi terserlah ‘kelembutannya'.

"Sekejaplah, nak tengok suasana kampung." Sulia masih lagi ralit memerhati.

"Hey, suka hati kau lah. Kau ingat ye, kau tu puasa. Kalau penat nanti jangan gatal nak berbuka pula." Sempat lagi Amar meninggalkan pesan. Sulia hanya mengangguk dan tersenyum.

Sulia teruja bila dia terpandang pohon rambutan yang rendang terletak betul-betul di jalan masuk ke halaman rumah Mak Tam. Macam mana dia boleh tak perasan pokok rambutan tu masa kereta membelok masuk tadi? Dia terus berjalan dan mencapai buah rambutan yang bergayutan itu. Di sapu perlahan di bajunya dan terus dia mengiggit untuk membuka kulit rambutan itu. Isinya ditiup-tiup dan terus disua ke dalam mulut.

"Heyyy… puasaaa…" belumpun sempat isi rambutan itu masuk ke mulut Sulia, Amar sudah menjerit nyaring. Habis terlepas rambutan itu jatuh ke tanah.

"Eiii, kau ni. Puasa la…" ujar Amar seraya berlari dengan kedua tangannya di kipas-kipas secara laju ke arah Sulia.

"Opss… lupa…" Sulia tersengih.

"Kau dah makan ke belum? Baik mengaku?" soalnya lagi. Risau juga kalau Sulia sudah termakan. Amar menghembuskan nafas lega apabila melihat Sulia mengeleng.

"Malam nanti kau makan rambutan tu puas-puas. Tapi sebelum tu kau kena ikut kami pergi solat terawih di surau kampung ni dulu. Dah, jom naik." Kata Amar lagi dan terus melenggang berjalan meninggalkan Sulia yang berlari-lari anak mengekori langkahnya.

Di kejauhan ada sepasang mata yang memerhati mereka dari jauh. Sepasang mata yang dari tadi lagi sudah mengekori jejak mereka. Sepasang mata upahan!

Part 4

Bila dapat tahu Sulia mengikut Mak Tam pulang ke kampung, Mawar terus menghasut Puan Sarimah supaya mengintip pergerakkan mereka.

"Kenapa saya nak kena intip mereka pula?" Soal Puan Sarimah pelik. Memang dia marah bila Sulia tetap pergi. Tetapi tidaklah sampai mahu mengintip anaknya.

"Yalah puan, katakanlah mereka tu orang jahat? Macam mana? Entah-entah mereka mengajar ajaran sesat ke? Tak pasal-pasal kawan saya tu terjebak sama." Bersungguh Mawar menyuarkan andaiannya itu.

"Ish, saya tak percayalah. Betul ke apa yang awak cakapkan ni, Mawar?" Puan Sarimah juga kurang yakin. Masakan wanita yang tampak alim itu guru ajaran sesat?

Bila melihat Mawar terangguk-angguk, Puan Sarimah mula termakan hasutannya. Puan Sarimah terus bangun dari kerusinya dan berjalan ke hulur ke hilir. Dia lagi memikirkan apa yang harus dilakukan sekarang?

"Apa kita nak buat? Saya tak sangka, perempuan tua tu guru ajaran sesat. Patutlah si Lia, sudah pandai melawan cakap saya sekarang ni." Ujarnya risau. Siapa yang tak sayang anak?

"Mari kita pergi ke kampung perempuan tua tu dan bawa balik Lia. Saya risau Lia menjadi korban." Kata-kata berbaur hasutan terus-terusan disalurkan kepada Puan Sarimah. Sedangkan Mawar sendiri tidak tahu, sama ada andaiannya betul atau tidak?

Puan Sarimah mundar-mandir memikirkan segala kemungkinan yang Mawar baru suarakan tadi. Sedang dia sebagai seorang ibu masih tetap berdiam di sini. Puan Sarimah tidak tahu mana kampung Mak Tam, jadi bagaimana dia mahu menyusul?

Mawar memberikan alamat kampung Mak Tam pada Puan Sarimah. Awal-awal lagi dia sudah mengupah orang untuk mengekori mereka. Mawar sebenarnya takut kehilangan kawan baiknya. Kerana itu dia berlebihan dalam menjaga Sulia. Kalah Puan Sarimah sendiri!

***

Kala itu Sulia duduk di pangkin bawah pokok rambutan usai solat terawih di surau kampung. Sebakul buah rambutan sudah tersedia elok di atas pangkin. Mungkin Amar yang letakkan di situ. Sulia mengunyah buah rambutan itu sambil mendengar Mak Tam bercerita.

Sulia tekun mendengar Mak Tam bercerita pasal kelebihan solat terawih. Walaupun Sulia tidaklah tahu dan faham sepenuhnya. Tetapi dia cuba untuk belajar. Semasa mula-mula dia mahu belajar solat pun, bukan ada apa-apa bacaan. Sulia cuma mengikut saja pergerakkan yang dilakukan oleh Mak Tam.

Sekarang ni Alhamdulillah, Sulia sudah mula menghafal sedikit bacaan dalam solat dan beberapa lagi surah lazim yang pendek supaya senang dia mengingati. Sulia tekun belajar. Dia nekad. Ramadhan kali ini dia mahu berubah dan dia berdoa supaya perubahan ini akan kekal selamanya.

Mak Tam telah mengajarnya sedikit sebanyak tentang islam. Terkadang Sulia malu sendiri. Islam dia cuma atas kad pengenalan sedangkan dia dan ibunya hidup bukan dalam cara islam itu sendiri.

Nasiblah ada Mak Tam yang sanggup membantu dan mengajar dia berkenaan islam. Mak Tam tak pernah perlekehkan Sulia. Apa yang Sulia tak tahu, sedaya upaya akan Mak Tam terangkan.

"Lia tahu pasal malam Lailatul Qadar?" Soal Mak Tam sambil tersenyum. Lia hanya menggeleng. Memang dia pernah dengar malam Lailatul Qadar tu, tapi dia tak pernah ambil tahu.

"Carilah lailatul qadar pada 10 malam terakhir dari bulan ramadhan." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Mak Tam membacakan hadis itu dan menanyakan pada Sulia apakah dia tahu apa maksud hadis yang baru dibaca tadi? Bila melihat Sulia hanya menggeleng, Mak Tam terus menyambung…

"Biasanya malam lailatul qadar ni terjadi pada malam-malam ganjil terakhir dalam bulan ramadhan. Kebiasannya juga, tak ramai dah yang akan mencari malam lailatul qadar ni sebab orang sudah sibuk dengan persiapan raya. Tapi kita janganlah jadi macam tu pula, ya Lia." Terang Mak Tam Lagi.

Terangguk-angguk Sulia mendengar penjelasan Mak Tak. Buah rambutan yang terletak di hadapan Sulia, satu-satu dicapai. Buahnya yang manis itu membuatkan Sulia tidak perasan yang dia sudah menghabiskan hampir separuh bakul!

"Macam mana nak tahu malam tu adalah malam lailatul qadar, Mak Tam?" Soal Sulia pingin tahu.

Mak Tam lantas menerangkan tanda malam lailatul qadar. Kata Mak Tam, biasanya malam lailatul qadar cuma akan disedari selapas malam itu berlalu, yakni pada keesokkan harinya. Keadaan matahari di pagi hari yang terbit berwarna putih tanpa memancarkan sinar ke segala penjuru bumi ataupun keadaan matahari yang tidak begitu cerah tampak kemerah-merahan. Kata Mak Tam lagi, terkadang malam juga bisa dirasa, yakni malam yang tidak terlalu panas dan tidak juga terlalu dingin.

Sulia mengangguk tanda mengerti.

***

‘Srretttt'

Bunyi seretan tayar kereta yang membrek secara mendadak menghentikan cerita Mak Tam. Mereka berdua terus bangun dan menanti dengan sabar, siapakah geranganya yang datang malam-malam begini?

"Ibu!" terkejut Sulia dengan kunjungan ini. Baru sehari dia tiada di rumah. Takkan ibu sudah merindui dirinya?

"Kenapa tak call sebelum datang?" soal Sulia tanpa prasangka.

Tanpa memberikan apa-apa jawapan, Puan Sarimah terus menarik anaknya dan memaksa Sulia masuk ke dalam perut kereta. Tetapi Sulia menolak. Dia menarik kembali tangannya yang dalam genggaman Puan Sarimah.

"Apa ni, ibu?" soal Sulia pelik. Mak Tam juga sedikit kaget. Tetapi Mak Tam memilih untuk berdiam diri. Tidak mahu mencampuri urusan ibu-anak ini.

"Ibu tak mahu Lia berkawan lagi dengan perempuan tua ni!" melengking suara Puan Sarimah memarahi Sulia. Matanya mencerlung memandang Mak Tam.

"Tapi… ibu…" Sulia cuba bertanya namun bicaranya dicantas laju.

"Perempuan ni anak beranak cuma nak kenakan Lia je. Mereka ni semua ada kumpulan ajaran sesat! Ibu tak mahu Lia terbabit sama!" bicara Puan Sarimah yang kasar itu menyentak hati Sulia. Sulia terus merentap tangannya dari genggaman Puan Sarimah.

"Astagfirullahhalazimmm." Mengucap panjang Mak Tam bila dituduh begitu. Amar yang sudah naik amarahnya cuba untuk membalas kata-kata Puan Sarimah tapi lekas dihalang oleh Mak Tam. Nafas Amar sudah turun-naik menahan marah. Tapi rasa hormat pada Mak Tam mematikan hasratnya untuk ‘menyerang’ balas.

"Ibu! Mak Tam bukan macam itu!" kecewa suara Sulia.

"Sudah! Mari balik." Puan Sarimah mengajak. Dia tidak mahu mendengar penjelasan Sulia. Mawar yang berdiri di sebelah Puan Sarimah tersenyum. Senyuman yang sukar ditafsirkan.

"Mawar?"

"Mawar yang ceritakan semuanya pada ibu. Sekarang ibu nak Lia balik!" Puan Sarimah cuba mencapai tangan Sulia. Tapi sempat dia mengelak.

"Lia tak nak balik! Lia nak tinggal kat sini!" Sulia berlari menyorok di belakang Mak Tam.

"Lia jangan degil!" Puan Sarimah naik berang bila Sulia lebih memilih Mak Tam dari dirinya!

"Lia, dengar cakap Mak Tam. Kebenaran pasti akan muncul. Lia baliklah. Ingat, syurga Lia bawah tapak kaki ibu." Mak Tam memujuk Sulia dengan suara yang lirih. Dia sayangkan Sulia seperti anaknya sendiri. Amar dan Amira diam menjadi pemerhati.

Sulia yang duduk di belakang memandang sayu ke arah Mak Tam, Amar dan Amira. Air matanya berjejeran jatuh membasahi pipi. Dia tidak percaya, ibunya sanggup mempercayai orang lain dari anaknya sendiri. Mawar pula, menuduh tanpa usul periksa!

Part 5

28 Ramadhan…

Walaupun Sulia dilarang keras berjumpa dengan Mak Tam tetapi dia tetap degil. Sulia curi-curi keluar untuk bertemu dengan Mak Tam. Terkadang Mak Tam rasa bersalah. Dia tidak mahu menjadi punca perbalahan mereka anak-beranak. Tetapi dia punya satu niat, dia mahu membawa Sulia kembali kepada ajaran agamanya sendiri. Bukan sekadar dalam IC, tapi dalam kehidupan hariannya juga.

Bagi Sulia pula, pada mulanya susah juga untuk dia melakukan perubahan ini. Tetapi kehadiran Mak Tam membimbing dia kembali ke pangkal jalan itulah yang menguatkan semangatnya. Dia merasa tenang dan yakin.

Hari ini, kebenaranya terbongkar. Semuanya berpunca dari Mawar. Dia cemburu dan dengki dengan perubahan Sulia, kerana itu dia menghasut Puan Sarimah. Dihasutnya Puan Sarimah supaya membenci Mak Tam. Bila Sulia dapat tahu, Sulia terus meminta penjelasan dari Mawar.

Memang Mawar dengki! Mawar tak suka orang lain rapat dengan Sulia. Mawar cuma mahu Sulia berkawan dengan dia je. Ada ke patut? Kita hidup di zaman bila ni? Kenapa masih ada orang yang macam ni? Takkanlah Sulia hanya ada seorang kawan saja? Sulia sendiri tak faham dengan kenyataan Mawar ni.

Kata Mawar, dia risau Sulia salah memilih kawan. Dia bimbang jika Sulia berkawan dengan orang yang mengamalkan ajaran sesat, risau jika Sulia menjadi korban. Banyak tengok dramalah si Mawar ni!

“Aku maafkan kau.” Kata Sulia.

“Kau… maafkan?” Soal Mawar seakan tak percaya. Bila melihat Sulia mengangguk dia terus mendakap erat tubuh Sulia.

“Tapi dengan syarat.” Kata Sulia lagi. Kali ini lebih tegas.

“Apa syaratnya?” wajah Mawar yang tadi ceria kini suram kembali.

“Aku nak kau minta maaf dengan Mak Tam sekeluarga.” Usul Sulia. Mawar mengangguk saja.

***

Mak Tam memang baik, dia menerima kata maaf dari Mawar dengan tenang. Malah Mak Tam tanpa segan memeluk Mawar. Lagilah Mawar rasa bersalah. Sungguh dia khilaf. Tak patut dia memfitnah Mak Tam dulu.

Mereka berdua, Sulia dan Mawar telah menjadi anak angkat kepada Mak Tam. Mak Tam sikit pun tak simpan perasan dendam pada Mawar. Baginya, apa yang dah lepas biarkan berlalu. Ambil pengajarannya saja. Mawar juga semakin dekat dan rapat dengan keluarganya.

“Mak Tam harap Ramadhan kali ni akan membuka lembaran baru dalam hidup Lia dan Mawar.” Ujar Mak Tam sambil kedua tangannya diletakkan di atas bahu anak-anak angkatnya. Senyuman bahagia jelas terukir diwajahnya.

“Jadikan Ramadhan kali ni semanis buah rambutan!” tiba-tiba Amar menyergah dari belakang dengan sebakul buah rambutan di tangannya. Terus mereka tertawa bersama melihat gelagat Amar yang tiba-tiba nak terjatuh. Hampir-hampir buah rambutan itu jatuh sama.

~TAMAT~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.