ADAM (CERITA 4)
“Benarkah wanita dan lelaki tidak seharusnya bersahabat?”
“Kenapa?”
“Lambat laun pasti akan jatuh.”
“Maksud kau..jatuh cinta ya.”
“Ya…Betulkah?”
“Karut, tak mungkinlah. Kalau mungkin, aku bukanlah di
antaranya.” Aku ketawa pecah perut,
sedang Aminah merah padam wajahnya. Mungkin geram ataupun mungkin malu.
Kalau malu kenapa pula?
Pagi itu adalah kali terakhir aku berjumpa sahabatku Aminah.
Dia hilang entah ke mana. Kenapa, mengapa sebabnya tidaklah aku tahu.
“Kau tak rindu Aminah?” Ali merenung tajam.
Aku tidak mengendahkan soalan Ali, tanganku pantas menaip.
Seorang yang memegang jawatan sebagai pengurus cawangan sepertiku pasti waktu
sentiasa menghambat. Mataku ralit memerhati skrin computer. Nampaknya akaun
kredit ada kesalahan, aku resah. Aliran tunai kurang berbanding kredit yang
ditanggung syarikat, ini bermakna syarikat menghadapi masalah bagi tahun kedua
berturut-turut.
“Kenapa kau senyap? Aku lihat gambar kau dan Aminah masa di
asrama dulu.”
Aku masih memikirkan apakah yang harus aku laporkan kepada Board director. Tahun kedua kegagalan
bermakna aku bukanlah pengurus cawangan yang cekap. Aku cuba meneliti mengesan
kemungkinan jalan keluar dari kemelut yang dihadapi.
“Hello..ada orang
di sana tidak?” Ali mengetuk-ngetuk kecil mejaku. Aku ketawa, sudah lumrah Ali
suka menyakat. Dialah teman pengganti ketika Aminah menghilang dahulu.
Rata-rata berkata Aminah pindah semula ke kampung halamannya
di pantai timur, aku tidak terkejut kerana aku tahu ayahnya datang ke bandar
ini pun tanpa sebarang kelulusan atau kenalan, mereka datang hanya sekadar
mencuba nasib di rantau orang. Aminah sahabatku, sukar sekali untuk aku
nyatakan seperti apakah dia. Dialah sahabat yang paling memahami aku. Orangnya cantik, persis
gadis arab dengan alis lentik bulan sabit, matanya bundar sayu, mungkin
kemiskinan menyembunyikan kegembiraannya, bibirnya merah merekah. Pendek kata
dia sememangnya cantik, rebutan pelajar asrama.
Berbeza dengan aku ketampanan menjadi bala terbesar dalam
hidupku. Bila aku kata begitu ramai yang terkejut malah menyangka aku hanya
bercanda merendah diri. Aku dipulau adik-beradik malah ayah kandungku hanya
kerana ketampananku. Di asrama aku dipulau teman-teman juga kerana parasku.
Mujurlah hadir Aminah. Bila aku dekat dengannya hatiku senang sekali. Bukan
kerana wajahnya tetapi pertuturannya malah tingkahnya begitu suci bagiku.
Di hari dia bertanyakan aku, benarkah wanita dan lelaki
tidak harus bersahabat kerana akhirnya mereka akan jatuh cinta. Aku sebenarnya kelu
tidak tahu apakah yang harus aku katakan padanya. Apakah aku sudah jatuh cinta padanya?
“Menung..pulak. Dengar tidak aku tanya tadi?” Ali mengetuk
kepalaku dengan gulungan akhbar.
“Barang yang lepas jangan dikenang kawan.” Aku kenyitkan
mata.
“Jadi gambar tu?” Giliran Ali mengenyitkan mata.
Aku hanya senyum. Telefonku berbunyi, tertera nama Tan Sri
Hassan, dengan pantas aku menekan punat hijau dan berkata “hello Tan Sri.”
Ali senyap tiba-tiba.
“Hello Adam. Mesyuarat minggu depan ditunda, kita akan
adakan mesyuarat minggu seterusnya di Pulau Wan Man. Kamu datang dua hari awal,
saya mahu tunjukan tapak projek baru.” Telefon dimatikan serta merta. Itulah
sikap Tan Sri Hassan, hanya memberi arahan kemudian mematikan perhubungan. Aku
terduduk masih cuba mencari penyelesaian, ternyata kali ini kadudukan aku goyah.
“Macam mana Pasaran Saham hari ini?” Aku menukar topik.
“Komoditi masih utuh.” Ali kemudiannya berlalu pergi.
Malam terakhir sebelum aku bertolak ke Kuala Terengganu, aku
sempat bersembang dengan mamaku. Dia memandangku seolah-olah aku tidak pernah
berpisah dengannya. Aku tidak meghiraukan tigkahnya, mungkin kerana aku sudah
terbiasa sendirian.
“Adam mahu mama masukan kamera sekali?” Mama memasukan
kameraku ke dalam bagasi.
“Adam mahu pegang saja. Senang buat tangkap gambar.” Aku
mengeluarkan semula kamera dari bagasi.
Mama masih memandang, membuatkan aku hairan. Jarang benar
dia disamping jika aku terpaksa ke luar daerah atau negeri.
“Ada sesuatu mama mahukan?” Aku renungi wajah tua mama,
kedut pada wajahnya bergerak-gerak seolah-olah menghalang dia menyatakan
rasanya.
“Ada sesuatu yang mama mahu katakan?” Aku mendesak lembut.
“Mama mahu kamu cari abang kamu.” Laju ayat itu meluncur
daripada bibir mama.
“Abang! Maksud mama?” Aku ketawa kecil, mungkin mama mahu
menyakat tetapi wajahnya kelihatan keruh.
Aku hanya diam dan kembali mengemas bagasiku, namun hati
kecilku masih bersoal jawab. Aku bukanlah seorang yang gemar bercakap, mungkin
kerana dipulau keluarga sendiri menjadikan aku begitu.
“Kamu ada abang. Mama berikan dia kepada orang. Dia anak
daripada suami terdahulu mama. Selepas mama berkahwin dengan ayah kamu, mama
serahkannya kepada orang lain.”
“Mama... Ingat cerita Melayu ke? Mama berseloroh ya?”Aku
ketawa kecil dan yang pasti ketawa itu hanya dibuat-buat.
Mama hanya diam. Kain pelikat dan kemeja polo adalah
pelengkap bagasiku. Selesai berkemas aku renungi lagi wajah mama, wanita itu
hanya senyum kelat. Aku tidak tahu mengapa. Mama bangun lalu beredar tanpa
sebarang kata, namun itu bukanlah keganjilan bagiku. Selesai mandi aku kembali
menyemak laporan yang bakal aku bentangkan lagi tiga hari. Esok pagi-pagi lagi
aku akan bertolak, jika lewat pasti akan terperangkap dalam kesesakan lalu
lintas. Aku tarik laci, sesuatu
membuatkan aku kembali senyum, terasa serabut kepalaku hilang entah ke mana.
Senyuman pada gambar itu cukup menyamankan hatiku. Wajah sahabatku Aminah,
wajah yang aku gelar wajah kesucian.
Sedar-sedar sudah pukul lima setengah pagi. Aku sendiri
tidak tahu bila aku tertidur. Gambar Aminah kembali aku simpan, aku lurut-lurutkan
gambar itu agar tiada kesan renyuk akibat ditindih aku sewaktu tidur.
Selesai solat aku berdoa agar Allah mudahkan segala
urusanku. Aku turun laju dari tingkat dua, sedikit terkejut aku pagi itu.
Apabila pintu rumah kukuak, mama sedang duduk di halaman dengan wajah kelat.
Bingkas dia bangun bila melihatku. Cepat-cepat dia serahkan sekeping gambar. Sesuatu
tercatit di belakang gambar itu, belum sempatku baca, mama berkata.
“Mama merayu..Tolonglah carikan abang kamu. Mama rasa
bersalah kerana tinggalkan dia. Mama kejarkan harta, itu sebab mama tinggalkan
dia.” Mama berlari masuk ke dalam rumah.
Aku kelu di antara percaya dengan tidak. Mana mungkin skrip
drama bertukar menjadi realiti. Aku larut seketika, kemudian tersedar bahawa
aku harus cepat jika tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Proton Pesona aku
hidupkan, aku panaskan dahulu enjinnya, banyak kawanku menegur kenapakah aku
menggunakan kereta murah, tidak setanding jawatanku? Aku senyum dan menjawab
“Aku bangga dengan ciptaan negaraku.”
“Kenapa Pesona, tidak yang lain.” Temanku menduga.
“Andai aku guna yang lain pasti kau akan bertanya soalan
yang sama.” Aku senyum.
Tanda biru pada pemuka kereta sudah menghilang, bermakna aku
sudah boleh bertolak, seperti biasa tiada yang melambai mahupun menghadiahkan
peluk cium. “Ah..Aku tidak kisah sedikit pun. Selama ini aku memang sendiri.”
Kuala Terengganu, Bandaraya Pesisir Pantai, Dimana bumi
dipayungi adat. Cantik bandarnya, namun aku harus cepat mencari hotel
penginapan kerana hari sudah gelap. Berpandukan GPSaku menemui hotel yang di tuju, sememangnya kemodenan telah
membawa bersamanya kemajuan dari segala segi, inilah yang dinamakan kemajuan
seiring pembangunan. Selesai mendaftar dan bila sampai di bilik, pertama yang aku lakukan adalah
tidur. Aku seorang yang lasak, jadi tidur bukanlah sesuatu yang patut aku
lakukan, namun mungkin akalku yang letih sebenarnya. Aku lelap tiba-tiba.
*******
“Ya! Tan Sri, maaf terlelap.” Aku bingkas bangun. Hari sudah
siang, matahari memancar lembut.
“Kamu sudah siap, saya tunggu di lobi hotel.” Tan Sri Hassan
mematikan telefon bimbitnya. Walaupun sudah mandi sebelum solat subuh , namun
aku lebih gemar mandi semula jika ada urusan di sebelah siang. Setelah siap berpakaian,
aku rapikan rambut, ternyata wajahku menahan getir, mungkin berjumpa Tan Sri
Hassan mengunkit keresahanku.
Lobi hotel dengan marmar bercorak itu kelihatan mewah, Pada
sudut kolam kelibat Tan Sri Hassan aku perhatikan. Lelaki tegas yang sentiasa
mementingkan masa, baginya falsafah Kaizen sudah mendarah daging di dalam
jasadnya. Aku menuju ke arahnya, semakin
jelas baju kemeja polka dot yang
dipakai. Tidak rasmi namun masih segak bagi seorang yang bergelar Tan Sri.
“Assalamualaikum Tan Sri.” Beliau memandang serius. Aku menghulurkan
tangan dan segera disalami beliau.
“Kita bertolak sekarang. Saya jenis yang tak suka
bertangguh.” Laju Tan Sri Hassan bangun dan beredar.
Belum sempat aku melangkah, perutku berbunyi sekaligus
menyebabkan Tan Sri Hassan senyum sinis.
“Kamu ok?”
“ok..Tan Sri.”
“Kalau begitu kita teruskan kerja kita.” Beliau kembali
melangkah.
Sepanjang perjalanan sudah beberapa kali perutku berlagu,
namun tidak diendahkan Tan Sri Hassan seolah-olah beliau tidak mendengar walau
sekalipun permintaan perutku. Perjalanan
menyelusuri jalan persisir pantai itu menyajikan keindahan yang tiada ganti.
Langit begitu biru bagiku pada hari ini, dipadankan dengan hijaunya laut
menjadikan suasana begitu menyenangkan. Sengaja tingkap kereta aku buka begitu
juga Tan Sri Hassan. Segar bila angin laju bertiup memasuki kereta ‘BMW’ milik
Tan Sri Hassan. Lebih kurang setengah jam perjalanan kami sampai ke destinasi,
oleh kerana tidak mahu menanggung risiko tayar kereta terbenam pada pasir maka aku letakkannya di bawah pokok ru, agak jauh
dari pantai.
Aku capai kamera kemudian turun dari kereta, begitu juga Tan
Sri Hassan. Kami berjalan beiringan menuju ke tepian pantai. “Sungguh damai.”
Aku mendongak kepala memerhati langit kemudian senyum.
“Kenapa?” Tan Sri Hassan bertanya.
“Saya teringat sahabat lama bila lihat langit.”
“Maksud kamu?”
“Kita mungkin terpisah beribu batu jauh, mungkin juga
keadaan sekeliling banyak berubah sehingga menyesakkan hati. Namun kita masih
berkongsi langit yang sama, langit yang tidak pernah berubah. Jadi bila rindu
dongaklah kepala melihat langit. Siapa tahu kita berkongsi rindu yang sama.”
Ralit mataku memerhati langit sambil mengungkap kembali kata-kata Aminah.
Dari jauh seorang budak menghampiri. Dia menjinjing
bungkusan plastik, semakin menghampiri
aku semakin pasti isinya empat bungkusan kecil, mungkin nasi lemak. Sebaik
budak itu berdepan denganku, dia berhenti lalu tersengih.
“Apa tu?” Budak itu menunding jari pada kemera di leherku.
“Itu pula apa? Aku menunjuk pada isi bungkusan plastik yang
dijinjing budak itu.
“Nasi lemak sambal kupang! Kakak bungkus bagi adik. Dua buat
makan pagi, lagi dua buat makan tengah hari.” Budak itu membilang jari-jarinya.
‘Nasi lemak kupang’ aku kembali teringat Aminah, saban
minggu ibunya membawa nasi lemak kupang buat aku dan Aminah. Sememangnya lazat
dan aku masih ingat kepekatan sambal kupang itu dan lemaknya nasi itu. Aku
merapati budak itu kemudian membongkok. Aku kembali bertanya.
“Abang beli dua, boleh?”
“Boleh! Tapi adik nak tangkap gambar adik.” Budak itu sengih
lagi.
“Boleh! Kita makan dulu ya.” Aku menunjuk pada bungkusan
nasi lemaknya.
Tanpa berlengah budak itu mengeluarkan tiga bungkus nasi
lemak daripada plastiknya. Aku yang sememangnya kelaparan laju menjamah tanpa
mempedulikan Tan Sri Hassan dan budak itu, ternyata tekaanku tepat rasa nasi
lemak itu serupa benar seperti nasi lemak ibu Aminah. Sekali lagi ingatanku
kepada Aminah datang, namun akalku sukar menerima rumusan hatiku. Mana mungkin
aku ingat rasa yang sudah bertahun aku tinggalkan. Sedang aku menjamah, budak itu menghulurkan bungkusan
terakhir kepadaku. Tan Sri Hassan senyum isyarat memahami kehendak perutku.
Apalagi aku terus menyambut bungkusan terakhir itu dan menghabiskannya. "Puas,"
itulah yang mampu aku katakan.
“Dekat kampung ni, ibu dengan kakak je pandai buat nasi
lemak sambal kupang. Orang lain tak pernah buat.” Budak itu berkata bila dia
lihat aku begitu menyukai nasi lemak itu.
“Mari abang ambil gambar kamu” Aku bangun diikuti budak itu.
Beberapa keping figura budak itu aku rakam, walaupun tersenyum gembira tetapi wajah
pucat budak itu menjadi tanda tanya buatku. Pergerakannya agak lambat dengan
rambut yang semakin menipis. Kegusaran tiba-tiba singgah di hatiku. Pelbagai
kemungkinan yang bermain di benakku.
“Abang hantar pulang.” Aku menawar.
“Tak mahu!” Budak itu mencebik bibirnya.
“Kenapa?”
“Kakak marah ikut orang yang adik tak kenal.”
“Nama adik siapa? Di mana rumah?” Tan Sri Hassan menghampiri
kami.
“Suri..Rumah hujung sana dekat Kampung Jeti Dua.” Kakinya
sedang menguis-nguis pasir.
“Marilah abang hantarkan.” Aku kembali memujuk, entah kenapa
aku begitu risaukan Suri mungkin kerana nasi lemak sambal kupangnya yang lazat.
Aku sendiri tidak pasti.
“Tak mahu! Kakak tak bagi.” Suri masih menolak. Aku terus
juga memujuk, entah kenapa hatiku begitu degil hari ini, hajatku mahu
menghantar Suri pulang. Tan Sri Hassan hanya memerhati kelakuan aku dan Suri.
Akibat desakanku, Suri menjadi tidak selesa dan terus melarikan diri.
Berkali-kali aku memanggilnya, namun tetap dia tidak berhenti dan semakin lama,
semakin menghilang daripada pandanganku. Tan Sri Hassan ketawa besar melihat
kejadian itu. Ini merupakan kali pertama aku lihat beliau ketawa sebegitu,
akhirnya aku senyum.
“Sudahlah tu. Kamu terlalu memaksa sampai budak itu lari
ketakutan.” Tan Sri Hassan menepuk-nepuk bahuku.
“Kawasan ini bakal dimajukan. Suatu projek yang angkanya
sukar saya nyatakan. Bagaimanapun ianya menjadi rebutan beberapa syarikat
besar, termasuk syarikat saya.”
“Syarikat kita telah terpilih untuk memajukan dan
membangunkan taman laut di sini. Saya pasti kamu adalah calon terbaik untuk
projek ini.” Tan Sri Hassan merenungku, meminta kepastian.
Tidak dapat aku gambarkan perasaan aku ketika itu adakah
patut aku melompat kegembiraan atau adakah patut aku memeluk Tan Sri Hassan dan
mengatakan betapa gembiranya aku. Namun yang pasti aku bersyukur kepada Allah
s.w.t atas rahmatNya. Tanpa bertangguh, terus aku bersetuju dengan tawaran
beliau.
Pesisir pantai itu aku jelajahi lagi, berhadapannya sebuah
pulau kelihatan. Aku belum pasti namanya. Bagaimanapun pulau itu termasuk
lingkungan kawasan yang akan diwartakan sebagai taman laut. Aku senyum tak
sudah begitu juga dengan Tan Sri Hassan. Langit biru aku renung, terus aku
kirimkan salam gembira itu kepada Aminah. Moga-moga dia juga memandang langit
ketika ini dan merasai apa yang aku rasa.