Part 1
3 Ramadhan…
Sulia
berjalan laju melintasi jalan yang semakin sibuk. Bayu pagi menyapa lembut
tubuhnya yang cuma berbungkus dengan baju t-shirt kuning dan seluar paras
lutut. Rambutnya yang keperangan paras bahu dibiarkan lepas beralun lembut.
Langkah
kaki yang diatur semakin pantas. Hari ini dia diarahkan untuk terbang ke Pulau Pinang
bagi meninjau keadaan cawangan baru kedai kek dan roti milik ibunya. Setakat
ini, mereka cuma ada lima cawangan kedai kek dan
roti iaitu di Kuala Lumpur,
Selangor (dua cawangan), Johor, dan yang terbaru di Pulau pinang.
Dek
kerana desakkan ibunya, Puan Sarimah dia terpaksa menurut walaupun tidak
bersetuju. Jadi dia terpaksa pergi - balik hari. Balik dari sana dia perlu menyiapkan laporan kawasan
yang menjadi tinjauannya hari ini. Dia juga perlu memikirkan beberapa strategi
jualan untuk cawangan di sana
nanti.
"Lia,
perlahanlah sikit! Penat aku nak kejar kau ni. Berpeluh ketiak!" Jerit
Mawar dari belakang. Dirinya yang sedikit ‘katik' itu membentuk langkah yang
kecil. Jika hendak dibandingkan dengan Sulia yang tinggi lampai itu, Sulia
lebih luas langkahnya!
Mawar,
gadis genit yang menjadi penemannya hari ini. Syarat yang Puan Sarimah harus
patuhi adalah bila dia meminta seorang teman berbual di sepanjang perjalanan ke
sana. Mawar
juga adalah pembantu atau orang kepercayaan Puan Sarimah merangkap kawan
baiknya juga.
"Hush…
lambatlah kau ni. Terkedek-kedek!" terus langkah kakinya diperlahankan
supaya Mawar bisa mengejar.
"Chill lah, masih awal ni." Jawab
Mawar sedikit termengah.
"Awal
apanya? Aku tak nak kita terlepas flight."
Ujar Sulia lalu meninggalkan Mawar yang baru sempat mencuri nafas. Mawar
berdengus perlahan.
Langkah
Mawar semakin laju bagi bersaing langkah dengan Sulia.
***
Pulau pinang
Sulia
terpegun melihat kedai kek dan roti yang sudah di hias cantik. Hampir 70%
kedainya siap. Di dinding kedai tertampal segala sijil dan keratan akhbar yang
telah menaikkan lagi nama kedainya. Gambar Puan Sarimah menerima anugerah
usahawan wanita berjaya juga tergantung di dinding. Sekarang, tinggal lagi mahu
mengatur kerusi dan meja supaya menampakkan kelainan saja.
Cadangan
Sulia meletakkan beberapa buah kerusi dan meja di dalam kedainya untuk mereka
yang mahu makan di situ diterima baik oleh Puan Sarimah. Pengubahsuaian yang
dilakukan hanyalah mahu menaikkan jualan dan memperkenalkan jenama mereka pada
khalayak.
Sulia juga
memberikan buah fikirannya bahawa bersempena hari pembukaan itu nanti dia mahu
memberi kek potong dan aneka roti kepada pelanggannya secara percuma. Tidak
salah rugi dulu, untung kemudian.
Sulia
juga telah mengarahkan Mawar supaya menubuhkan beberapa laman sesawang seperti facebook dan instagram bagi memperkenalkan lagi kedai dan cawangan terbarunya
dengan nama Rotilicious crew. Di
zaman IT ini, segalanya perlu seiring. Jika dia tidak berbuat begitu, maka
ketinggalanlah dia. Ini strategi berniaga.
Sulia
galak menangkap gambar ruangan kedai dan ruangan dapur (tempat pembuatan roti)
malah bahagian kaki lima
di luar juga dia ambil gambar. Semua itu bakal ditunjukkan kepada ibu. Kawasan
sekitar juga memainkan peranan dalam berniaga. Jika kawasan bandar, ramailah
orang. Melihat pada kawasan sekitar kedainya, Sulia berpuas hati. Walaupun ada
juga satu dua kedai yang jualannya hampir sama. Tapi tak apa, perubahan dan
kelainan akan menarik pelanggan.
"Lama
lagi ke Lia?" soal Mawar kemalasan.
"Kenapa?"
soalan dibalas soalan. Sulia menjeling Mawar yang dari sampai tadi cuma duduk
bermalas-malasan main telefon bimbit.
"Aku
lapar," adu si Mawar.
Lantas
Sulia mengerling jam di tangan kirinya. ‘Hush… hampir jam tiga.'
"Jom
kita makan sebelum balik ke KL," ajak Sulia.
Mereka
berdua bergerak keluar dari kedai dan terus menghilang masuk ke dalam kereta
yang memang sudah disediakan khas untuk membawa mereka sepanjang mereka berada
di sana. Puan
Sarimah sudah mengaturkan segalanya.
Sepanjang
jalan kedai makan tutup. Perut mereka sudah mula berlagu. Pak Samad, pemandu
mereka tu teragak-agak mahu menuruti permintaan gadis berdua itu. Iya la, di
bulan puasa begini mana ada kedai makan yang buka. Lagi-lagi waktu siang.
Mawar
yang duduk di sebelahnya merengus kuat. Mulutnya tak henti-henti merungut.
Lapar semakin menjadi-jadi. Dari mereka datang tadi mereka tidak menjamah
apa-apa pun. Pak Samad ada mengajak mereka berdua pulang saja ke rumahnya dan
berbuka puasa sekali dengan isterinya. Tetapi Sulia menolak lembut. Masakan dia
mahu berbuka jika berpuasa pun tidak?
Selang
beberapa ketika Sulia terfikir, mengapa mereka tidak makan KFC atau Pizza Hut
saja? Pasti kedainya buka. Lantas Sulia mengarahkan Pak Samad untuk mencari
mana-mana yang paling hampir.
Mahu
atau tidak, Pak Samad terpaksa menurut. ‘Mungkin ‘sakit' orang perempuan yang
tidak membenarkan mereka berpuasa,' Pak Samad bersangka baik.
"Jom
makan sekali Pak Samad. Saya belanja." Sulia mengajak setelah Pak Samad
menghentikan keretanya di hadapan KFC. Tetapi air muka Sulia berubah bila Pak
Samad menolak, katanya dia berpuasa dan dia hanya mahu menunggu di dalam kereta
saja.
Part 2
7 Ramadhan…
"Ibu…
jiran sebelah rumah kita ni rajin pergi surau depan tu, kan?" Sulia cuba mengajak Puan Sarimah berbual.
Bosan juga bila hanya bermenung begitu.
"Hemm…"
jawab Puan Sarimah, malas.
Sulia
termati bicara. Puan Sarimah sedang khusyuk meneliti setiap laporan dan susun
atur cawangan barunya itu. Mungkin mahu menambah sesuatu yang lebih menarik?
Sulia
bangun dan terhendap-hendap jiran baru mereka. Seorang wanita tua bertelekung
dalam lingkungan 50-an dan dua orang anak muda, mungkin anaknya? Mereka sedang
membuka kunci pagar. Sulia terus keluar untuk menegur jiran barunya itu.
"Hello." Sulia menyapa terlebih
dahulu.
Wanita
tua dan anaknya tu saling berpandangan lantas senyuman manis dilemparkan kepadanya. Wanita tua itu menghampirinya
sambil menghulurkan tangan mahu bersalam. Sulia teragak-agak mahu menyambut.
"Assalamualaikum,
nama makcik Itam. Anak boleh panggil Mak Tam." Hampir terburai tawa Sulia
bila mendengar nama Mak Tam. Macam tak ada nama lain pula. Tetapi tawanya
tertahan bila melihat anak-anak Mak Tam yang memandangnya dengan pandangan yang
pelik.
"Err…
saya Sulia, panggil Lia." Jawab Sulia teragak-agak.
"Sedap
namanya. Ni anak Mak Tam. Amar dan Amira." Sempat Mak Tam memuji lalu
memperkenalkan anak-anaknya. Sulia laju menyambut huluran tangan Amira.
Mata
anak-anak Mak Tam berdua ini tetap tidak lepas dari memerhatikan Sulia. Pelik
sangatkah pakaiannya ini? Biasalah, t-shirt dan seluar pendek. Bukan seksi pun.
Yang mereka pandang macam tak pernah pandang orang tu, dah kenapa? Dari
pengamatannya, Amira dan Amar seperti kembar. Tapi perwatakan Amar ni macam
lembut je?
"Mereka
ni kembar tahun. Amira lahir bulan 1, Amar lahir bulan 12." Bagaikan
mengerti apa yang bermain dibenaknya, Mak Tam pantas menjawab.
"Ohh…
rajin Mak Tam pergi surau tu, eh?" sekadar berbahasa.
"Ya,
Mak Tam pergi terawih. Itu yang rajin ke surau. Lagipun surau dekat sangat,
rugi kalau tak pergi." Kata Mak Tam. Sulia terasa dirinya diperli.
"Ohh…"
Cuma itu yang terkeluar dari rengkungnya. Terawih tu apa? Dia mahu bertanya.
Tetapi rasa segan dan malu lebih menguasai dirinya. Malulah!
***
10 Ramadhan…
"Lia…"
tegur Mak Tam yang sedang tersenyum melihat dirinya.
Kala itu
Sulia baru saja pulang dari kedai. Puan Sarimah terus berlalu masuk tanpa
secarik senyuman pun. Mungkin runsing? Manakan tidak, kedai mereka yang baru
hendak beroperasi di Pulau pinang tu terpaksa ditunda kerana ada sedikit
masalah yang masih belum tahu puncanya. Itu yang muka Puan Sarimah macam ikan
keli tu!
"Ya,
Mak Tam." Jawab Sulia.
Walaupun
letih dia tetap tersenyum. Sulia senang dengan Mak Tam. Mak Tam yang ramah tu
kerap sekali menegurnya. Tuturnya yang lembut dan sopan itu membuatkan dia
selesa. Bukan seperti jiran-jiran lain. Masing-masing bila pulang dari kerja
terus terperuk dalam rumah. Tak reti bermasyarakat betul! Samalah juga seperti
Sulia, cuma sejak Mak Tam berpindah, dia jadi kerap bersembang. Dah macam ahli
mesyuarat pagar pula.
"Ni
Mak Tam ada buatkan karipap. Makanlah waktu berbuka nanti." Kata Mak Tam
sambil menghulur sepinggan karipap yang masih panas kepada Sulia.
"Wah!
Mak Tam yang buat? Bestnya…," teruja sekali Sulia.
Laju
tangannya mencubit sedikit dan mengunyah perlahan. Matanya membulat ke arah Mak
Tam yang setia tersenyum memandangnya. Isyarat tangan ‘thumbs up' dilayangkan di hadapan Mak Tam lalu secubit lagi disuap
ke dalam mulutnya dan dikunyah perlahan.
"Nanti
bila Lia senang, marilah berbuka sekali kat rumah Mak Tam." Ujar Mak Tam
ikhlas.
Sulia
terkesiam. Berbuka? Dari kecil Sulia tidak diajar berpuasa. Puan Sarimah juga
tidak berpuasa. Jadi bagaimana?
"Tapi
Mak Tam… Lia tak puasa." Jujur dia mengaku. Malu, tapi dia sendiri tak
tahu kenapa dia membuat pengakuan itu.
"Tak
apa, belajar perlahan-lahan." Mak Tam masih lagi tersenyum. Baiknya Mak
Tam.
"Tapi,
macam mana?" Soal Sulia memohon penjelasan.
"Esok
pagi, dalam jam 5 pagi tu Lia bangun dan makan. Nanti Mak Tam masakan untuk Lia
ye." Ikhlas sekali Mak Tam. Terharu Sulia mendengarnya. Dia mengangguk
perlahan. Mungkin ini masanya untuk dia berubah?
Sejak itu,
Sulia kerap berulang-alik ke rumah sebelah iaitu rumah Mak Tam. Puan Sarimah
perasan akan perubahan anaknya, tapi dia diamkan saja. Bagi Puan Sarimah masalah
kedai di Pulau pinang itu lebih penting dari perubahan anaknya itu.
Part 3
16 Ramadhan…
Puan Sarimah
naik hantu bila Sulia menyuarakan hasratnya mahu mengikut Mak Tam pulang ke
kampung halamannya di perak. Sulia, tidak pernah ada kampung. Selama hidupnya
dia dibesarkan di bandar. Jadi apa salahnya jika dia mahu merasa suasana
kampung?
Puan Sarimah
juga perasan Sulia sudah mula mengenakan selendang setiap kali keluar. Walaupun
masih menampakkan rambutnya. Pakaian juga sudah mulai berubah. Tiada lagi
seluar pendek, tiada lagi t-shirt ketat. Yang dipakai kini baju t-shirt yang
longgar dan seluar jeans panjang.
Sekarang,
Sulia sudah pandai mahu mengikut orang lain pulang ke kampung. Orang yang baru
dikenali pula tu. Dan meninggalkan dia berseorangan di rumah ini. Puan Sarimah
tidak bersetuju langsung!
"Bukan
lama pun. 3 hari je. Bolehlah ibu." Sulia cuba memujuk Puan Sarimah yang
sedang berdiri memeluk tubuh. Matanya tajam menikam wajah anak kesayangannya
itu.
"No! tengok apa perempuan tua tu buat
pada Lia?" Puan Sarimah sememangnya ibu yang sangat tegas. Sejak kematian
suaminya, dia lebih tegas dan garang dari sebelumnya. Puan Sarimah tidak menyukai perubahan Lia.
Baginya itu kolot!
"Perempuan
tua tu ada nama, namanya Mak Tam. Ibu, please…"
Sulia juga mula bertegas. Dia tidak faham, mengapa Puan Sarimah menentang
perubahannya itu. Dia berubah ke arah kebaikan. Semua ibu di dunia ini mahu
anaknya menjadi baik. Tapi ibunya - sudah terbalik!
"Ibu
tak izinkan!" melengking suara Puan Sarimah. Tulang pipinya mulai bergerak
menandakan dia geram. Geram bila Sulia melebihkan perempuan tua tu.
"Ibu
izinkan atau tidak, Lia tetap akan ikut Mak Tam balik ke kampungnya!"
Sulia sedikit membentak. Lalu dia laju menaiki anak tangga masuk ke biliknya.
Sengaja kakinya dihentak kuat tanda protes. Puan Sarimah tidak mampu berkata
apa-apa. Anaknya degil!
***
18 Ramadhan
Sulia
terpegun melihat kecantikan kampung halaman Mak Tam. Sikit pun dia tak
tidur. Semata-mata mahu menghayati
keindahan kampung. Sejuk matanya memandang sekeliling, hijau mendamaikan
rasanya kala itu. Amira yang duduk di sebelahnya sudah lama berdengkur. Rasanya dari mula masuk highway tadi Amira sudah terlena. Memang tidak boleh dibuat kawan!
"Cantik
la daun-daun tu." Ujar Sulia sekadar memecah kesunyian. Kehijauan yang
menyapa matanya sangat cantik. Lagipula susunan daun itu selari dan sekata
menambahkan lagi rasa kagum dalam jiwa Sulia.
Tiba-tiba
Amar ketawa keras. Mak Tam juga ikut ketawa. Tapi tawa Mak Tam lebih sopan
bunyinya. Sulia terpinga-pinga seketika.
"Ada ke panggil daun. Itu
pokok padi lah!" kata Amar dengan tawa yang masih bersisa.
Sulia
yang tercengang-cengang baru tahu cerita. Patutlah mereka gelakkan dirinya.
Sulia menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Selendang yang menutupi separuh
kepalanya dibetulkan supaya lebih kemas letaknya. Dia tersengih-sengih sendiri.
"Ohh…"
hanya itu terkeluar dari mulut Sulia. Malu sebenarnya.
***
Sampai
saja di halaman rumah Mak Tam, Sulia sekali lagi terpegun dengan keunikan rumah
kampung itu. Dengan susun-atur pokok bunga yang mengelilingi rumah dan ada
sebahagian pokok bunga yang diletakkan di tangga menyerlahkan lagi seri rumah
kampung itu.
‘Cantiknya!'
desis hatinya sendiri.
Pada
tanggapan Sulia sendiri, jika rumah kampung mesti rumah kayu dan buruk. Mesti
keadaan rumah pun berlubang sana-sini. Tapi kini, di hadapannya sebuah rumah
yang sangat cantik. Walaupun rumah kayu. Ukiran pada tingkap rumah itu pun
unik.
"Jom
naik." Amar mengajak. Amira dan Mak Tam sudah lama masuk ke dalam untuk
membersihkan habuk dan sawang kerana rumah itu sudah lama ditinggalkan. Maklumlah,
mereka sudah merantau ke bandar. Jadi rumah ini cuma menjadi persinggahan bila
terasa rindu dengan suasana kampung.
"Wei
nyah, jom naik!" Amar menyergahnya lagi. Sulia yang terleka
tersengih-sengih macam kerang busuk bila Amar melentuk-lentukkan badannya.
Lawak betul Amar ni. Sudahlah berpakaian berwarna pink, lagi terserlah
‘kelembutannya'.
"Sekejaplah,
nak tengok suasana kampung." Sulia masih lagi ralit memerhati.
"Hey,
suka hati kau lah. Kau ingat ye, kau tu puasa. Kalau penat nanti jangan gatal
nak berbuka pula." Sempat lagi Amar meninggalkan pesan. Sulia hanya
mengangguk dan tersenyum.
Sulia
teruja bila dia terpandang pohon rambutan yang rendang terletak betul-betul di
jalan masuk ke halaman rumah Mak Tam. Macam mana dia boleh tak perasan pokok
rambutan tu masa kereta membelok masuk tadi? Dia terus berjalan dan mencapai
buah rambutan yang bergayutan itu. Di sapu perlahan di bajunya dan terus dia
mengiggit untuk membuka kulit rambutan itu. Isinya ditiup-tiup dan terus disua
ke dalam mulut.
"Heyyy…
puasaaa…" belumpun sempat isi rambutan itu masuk ke mulut Sulia, Amar
sudah menjerit nyaring. Habis terlepas rambutan itu jatuh ke tanah.
"Eiii,
kau ni. Puasa la…" ujar Amar seraya berlari dengan kedua tangannya di
kipas-kipas secara laju ke arah Sulia.
"Opss…
lupa…" Sulia tersengih.
"Kau
dah makan ke belum? Baik mengaku?" soalnya lagi. Risau juga kalau Sulia
sudah termakan. Amar menghembuskan nafas lega apabila melihat Sulia mengeleng.
"Malam
nanti kau makan rambutan tu puas-puas. Tapi sebelum tu kau kena ikut kami pergi
solat terawih di surau kampung ni dulu. Dah, jom naik." Kata Amar lagi dan
terus melenggang berjalan meninggalkan Sulia yang berlari-lari anak mengekori
langkahnya.
Di
kejauhan ada sepasang mata yang memerhati mereka dari jauh. Sepasang mata yang
dari tadi lagi sudah mengekori jejak mereka. Sepasang mata upahan!
Part 4
Bila
dapat tahu Sulia mengikut Mak Tam pulang ke kampung, Mawar terus menghasut Puan
Sarimah supaya mengintip pergerakkan mereka.
"Kenapa
saya nak kena intip mereka pula?" Soal Puan Sarimah pelik. Memang dia
marah bila Sulia tetap pergi. Tetapi tidaklah sampai mahu mengintip anaknya.
"Yalah
puan, katakanlah mereka tu orang jahat? Macam mana? Entah-entah mereka mengajar
ajaran sesat ke? Tak pasal-pasal kawan saya tu terjebak sama." Bersungguh
Mawar menyuarkan andaiannya itu.
"Ish,
saya tak percayalah. Betul ke apa yang awak cakapkan ni, Mawar?" Puan
Sarimah juga kurang yakin. Masakan wanita yang tampak alim itu guru ajaran
sesat?
Bila
melihat Mawar terangguk-angguk, Puan Sarimah mula termakan hasutannya. Puan
Sarimah terus bangun dari kerusinya dan berjalan ke hulur ke hilir. Dia lagi
memikirkan apa yang harus dilakukan sekarang?
"Apa
kita nak buat? Saya tak sangka, perempuan tua tu guru ajaran sesat. Patutlah si
Lia, sudah pandai melawan cakap saya sekarang ni." Ujarnya risau. Siapa
yang tak sayang anak?
"Mari
kita pergi ke kampung perempuan tua tu dan bawa balik Lia. Saya risau Lia
menjadi korban." Kata-kata berbaur hasutan terus-terusan disalurkan kepada
Puan Sarimah. Sedangkan Mawar sendiri tidak tahu, sama ada andaiannya betul
atau tidak?
Puan
Sarimah mundar-mandir memikirkan segala kemungkinan yang Mawar baru suarakan
tadi. Sedang dia sebagai seorang ibu masih tetap berdiam di sini. Puan Sarimah
tidak tahu mana kampung Mak Tam, jadi bagaimana dia mahu menyusul?
Mawar
memberikan alamat kampung Mak Tam pada Puan Sarimah. Awal-awal lagi dia sudah
mengupah orang untuk mengekori mereka. Mawar sebenarnya takut kehilangan kawan
baiknya. Kerana itu dia berlebihan dalam menjaga Sulia. Kalah Puan Sarimah
sendiri!
***
Kala itu
Sulia duduk di pangkin bawah pokok rambutan usai solat terawih di surau kampung.
Sebakul buah rambutan sudah tersedia elok di atas pangkin. Mungkin Amar yang
letakkan di situ. Sulia mengunyah buah rambutan itu sambil mendengar Mak Tam
bercerita.
Sulia tekun
mendengar Mak Tam bercerita pasal kelebihan solat terawih. Walaupun Sulia
tidaklah tahu dan faham sepenuhnya. Tetapi dia cuba untuk belajar. Semasa
mula-mula dia mahu belajar solat pun, bukan ada apa-apa bacaan. Sulia cuma
mengikut saja pergerakkan yang dilakukan oleh Mak Tam.
Sekarang ni
Alhamdulillah, Sulia sudah mula menghafal sedikit bacaan dalam solat dan
beberapa lagi surah lazim yang pendek supaya senang dia mengingati. Sulia tekun
belajar. Dia nekad. Ramadhan kali ini dia mahu berubah dan dia berdoa supaya
perubahan ini akan kekal selamanya.
Mak Tam
telah mengajarnya sedikit sebanyak tentang islam. Terkadang Sulia malu sendiri.
Islam dia cuma atas kad pengenalan sedangkan dia dan ibunya hidup bukan dalam
cara islam itu sendiri.
Nasiblah
ada Mak Tam yang sanggup membantu dan mengajar dia berkenaan islam. Mak Tam tak
pernah perlekehkan Sulia. Apa yang Sulia tak tahu, sedaya upaya akan Mak Tam
terangkan.
"Lia
tahu pasal malam Lailatul Qadar?" Soal Mak Tam sambil tersenyum. Lia hanya
menggeleng. Memang dia pernah dengar malam Lailatul Qadar tu, tapi dia tak
pernah ambil tahu.
"Carilah lailatul qadar pada 10 malam
terakhir dari bulan ramadhan." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Mak
Tam membacakan hadis itu dan menanyakan pada Sulia apakah dia tahu apa maksud
hadis yang baru dibaca tadi? Bila melihat Sulia hanya menggeleng, Mak Tam terus
menyambung…
"Biasanya
malam lailatul qadar ni terjadi pada malam-malam ganjil terakhir dalam bulan
ramadhan. Kebiasannya juga, tak ramai dah yang akan mencari malam lailatul
qadar ni sebab orang sudah sibuk dengan persiapan raya. Tapi kita janganlah
jadi macam tu pula, ya Lia." Terang Mak Tam Lagi.
Terangguk-angguk
Sulia mendengar penjelasan Mak Tak. Buah rambutan yang terletak di hadapan
Sulia, satu-satu dicapai. Buahnya yang manis itu membuatkan Sulia tidak perasan
yang dia sudah menghabiskan hampir separuh bakul!
"Macam
mana nak tahu malam tu adalah malam lailatul qadar, Mak Tam?" Soal Sulia
pingin tahu.
Mak
Tam lantas menerangkan tanda malam lailatul qadar. Kata Mak Tam, biasanya malam
lailatul qadar cuma akan disedari selapas malam itu berlalu, yakni pada
keesokkan harinya. Keadaan matahari di pagi hari yang terbit berwarna putih
tanpa memancarkan sinar ke segala penjuru bumi ataupun keadaan matahari yang
tidak begitu cerah tampak kemerah-merahan. Kata Mak Tam lagi, terkadang malam
juga bisa dirasa, yakni malam yang tidak terlalu panas dan tidak juga terlalu
dingin.
Sulia
mengangguk tanda mengerti.
***
‘Srretttt'
Bunyi
seretan tayar kereta yang membrek secara mendadak menghentikan cerita Mak Tam.
Mereka berdua terus bangun dan menanti dengan sabar, siapakah geranganya yang
datang malam-malam begini?
"Ibu!"
terkejut Sulia dengan kunjungan ini. Baru sehari dia tiada di rumah. Takkan ibu
sudah merindui dirinya?
"Kenapa
tak call sebelum datang?" soal
Sulia tanpa prasangka.
Tanpa
memberikan apa-apa jawapan, Puan Sarimah terus menarik anaknya dan memaksa
Sulia masuk ke dalam perut kereta. Tetapi Sulia menolak. Dia menarik kembali
tangannya yang dalam genggaman Puan Sarimah.
"Apa
ni, ibu?" soal Sulia pelik. Mak Tam juga sedikit kaget. Tetapi Mak Tam
memilih untuk berdiam diri. Tidak mahu mencampuri urusan ibu-anak ini.
"Ibu
tak mahu Lia berkawan lagi dengan perempuan tua ni!" melengking suara Puan
Sarimah memarahi Sulia. Matanya mencerlung memandang Mak Tam.
"Tapi…
ibu…" Sulia cuba
bertanya namun bicaranya dicantas laju.
"Perempuan
ni anak beranak cuma nak kenakan Lia je. Mereka ni semua ada kumpulan ajaran
sesat! Ibu tak mahu Lia terbabit sama!" bicara Puan Sarimah yang kasar itu
menyentak hati Sulia. Sulia terus merentap tangannya dari genggaman Puan
Sarimah.
"Astagfirullahhalazimmm."
Mengucap panjang Mak Tam bila dituduh begitu. Amar yang sudah naik amarahnya cuba untuk
membalas kata-kata Puan Sarimah tapi lekas dihalang oleh Mak Tam. Nafas Amar
sudah turun-naik menahan marah. Tapi rasa hormat pada Mak Tam mematikan
hasratnya untuk ‘menyerang’ balas.
"Ibu!
Mak Tam bukan macam itu!" kecewa suara Sulia.
"Sudah!
Mari balik." Puan Sarimah mengajak. Dia tidak mahu mendengar penjelasan
Sulia. Mawar yang berdiri di sebelah Puan Sarimah tersenyum. Senyuman yang
sukar ditafsirkan.
"Mawar?"
"Mawar
yang ceritakan semuanya pada ibu. Sekarang ibu nak Lia balik!" Puan
Sarimah cuba
mencapai tangan Sulia. Tapi sempat dia mengelak.
"Lia
tak nak balik! Lia nak tinggal kat sini!" Sulia berlari menyorok di
belakang Mak Tam.
"Lia
jangan degil!" Puan Sarimah naik berang bila Sulia lebih memilih Mak Tam
dari dirinya!
"Lia,
dengar cakap Mak Tam. Kebenaran pasti akan muncul. Lia baliklah. Ingat, syurga
Lia bawah tapak kaki ibu." Mak Tam memujuk Sulia dengan suara yang lirih.
Dia sayangkan Sulia seperti anaknya sendiri. Amar dan Amira diam menjadi
pemerhati.
Sulia
yang duduk di belakang memandang sayu ke arah Mak Tam, Amar dan Amira. Air
matanya berjejeran jatuh membasahi pipi. Dia tidak percaya, ibunya sanggup
mempercayai orang lain dari anaknya sendiri. Mawar pula, menuduh tanpa usul
periksa!
Part 5
28 Ramadhan…
Walaupun
Sulia dilarang keras berjumpa dengan Mak Tam tetapi dia tetap degil. Sulia
curi-curi keluar untuk bertemu dengan Mak Tam. Terkadang Mak Tam rasa bersalah.
Dia tidak mahu menjadi punca perbalahan mereka anak-beranak. Tetapi dia punya
satu niat, dia mahu membawa Sulia kembali kepada ajaran agamanya sendiri. Bukan
sekadar dalam IC, tapi dalam kehidupan hariannya juga.
Bagi
Sulia pula, pada mulanya susah juga untuk dia melakukan perubahan ini. Tetapi
kehadiran Mak Tam membimbing dia kembali ke pangkal jalan itulah yang
menguatkan semangatnya. Dia merasa tenang dan yakin.
Hari
ini, kebenaranya terbongkar. Semuanya berpunca dari Mawar. Dia cemburu dan
dengki dengan perubahan Sulia, kerana itu dia menghasut Puan Sarimah.
Dihasutnya Puan Sarimah supaya membenci Mak Tam. Bila Sulia dapat tahu, Sulia terus meminta
penjelasan dari Mawar.
Memang
Mawar dengki! Mawar tak suka orang lain rapat dengan Sulia. Mawar cuma mahu
Sulia berkawan dengan dia je. Ada
ke patut? Kita hidup di zaman bila ni? Kenapa masih ada orang yang macam ni?
Takkanlah Sulia hanya ada seorang kawan saja? Sulia sendiri tak faham dengan
kenyataan Mawar ni.
Kata
Mawar, dia risau Sulia salah memilih kawan. Dia bimbang jika Sulia berkawan
dengan orang yang mengamalkan ajaran sesat, risau jika Sulia menjadi korban.
Banyak tengok dramalah si Mawar ni!
“Aku
maafkan kau.” Kata Sulia.
“Kau…
maafkan?” Soal Mawar seakan tak percaya. Bila melihat Sulia mengangguk dia
terus mendakap erat tubuh Sulia.
“Tapi
dengan syarat.” Kata Sulia lagi. Kali ini lebih tegas.
“Apa
syaratnya?” wajah Mawar yang tadi ceria kini suram kembali.
“Aku
nak kau minta maaf dengan Mak Tam sekeluarga.” Usul Sulia. Mawar mengangguk
saja.
***
Mak
Tam memang baik, dia menerima kata maaf dari Mawar dengan tenang. Malah Mak Tam
tanpa segan memeluk Mawar. Lagilah Mawar rasa bersalah. Sungguh dia khilaf. Tak
patut dia memfitnah Mak Tam dulu.
Mereka
berdua, Sulia dan Mawar telah menjadi anak angkat kepada Mak Tam. Mak Tam sikit
pun tak simpan perasan dendam pada Mawar. Baginya, apa yang dah lepas biarkan
berlalu. Ambil pengajarannya saja. Mawar juga semakin dekat dan rapat dengan
keluarganya.
“Mak
Tam harap Ramadhan kali ni akan membuka lembaran baru dalam hidup Lia dan
Mawar.” Ujar Mak Tam sambil kedua tangannya diletakkan di atas bahu anak-anak
angkatnya. Senyuman bahagia jelas terukir diwajahnya.
“Jadikan
Ramadhan kali ni semanis buah rambutan!” tiba-tiba Amar menyergah dari belakang
dengan sebakul buah rambutan di tangannya. Terus mereka tertawa bersama melihat
gelagat Amar yang tiba-tiba nak terjatuh. Hampir-hampir buah rambutan itu jatuh
sama.
~TAMAT~