Pagi ini cerah, walau
malam tadi hujan lebat. Air hujan membasahi halaman rumah. Aku termanggu
seketika di muka pintu. Nikmat sungguh dapat merasai suasana pagi yang hening
sebegini!.
“Ah! Futsal pagi ni!
mujur teringat”
Aku bingkas bersiap-siap.
“Payad!” Aku melaung
nama itu sebaik memberhentikan motosikal. Sekali lagi aku melaung hingga perit
anak tekak. Aku berharap sangat siapa-siapa di dalam rumah itu boleh mendengar.
“Hoi bangkit!! Iddin
dah sampai no” Aku mendengar suar Mak Cu Kiah menjerit dari dalam rumah. Bunyi
pintu diketuk berulang kali turut kedengaran. Payad mesti belum bangun-bangun
lagi sebab ada perlawanan bola awal pagi
tadi. Dia memang tak pernah ketinggalan mengikuti perlawanan bola secara
langsung. Baru tidur agaknya!.
Sekoyong-koyong tubuh
lelaki berselimutkan kain pelikat muncul di jendela. Matanya masih mengecil
terkelip-kelip memandang ke arah aku.
“Awal sampai. Nak pegi
mana?” Tanya Payad yang masih menguap. Dia antara sedar dengan tidak. Masih
mamai lagi.
“Awal apanya! . Dah
dekat pukul lapan ni. Kau main tak Futsal pagi ni!” Tegas aku.
“Alamak!!” Payad tersentak
dan kembali ke dunia nyata. Dia macam teringatkan sesuatu lalu bergegas masuk
ke dalam. Lima minit kemudian dia keluar dengan berpakaian sukan dengan
menjinjing kasut bola futsal.
“Kau sempat mandi tak?”
“Kau jangan tanya
boleh!”
“Stop! Stop! Sekejap”
jerit Payad sambil menepuk belakang aku. Terhoyong hayang aku memberhentikan motosikal di bahu
jalan. Mujur tiada kenderaan lain yang lalu.
“Kenapa?”
“kau pegang bootaku kejap” Payad berlari ke arah
belakang dan masuk ke dalam kawasan semak berhampiran. Mata aku menerjah ke
kawasan semak itu hingga kelihatan susuk perempuan berbaju lusuh dengan memakai
topi besar menutupi kepala.
“Ah! Dia nampak Uyung
rupanya. Ada la tu”
Payad menghampiri Uyung
yang sibuk mencebik pucuk-pucuk paku pakis dan dimasukkan ke dalam raga yang dikendongnya.
Hampir sarat bakul itu tapi dia masih memetik.
“ Rajin Yong kutip
pucuk paku. Sayur tengahari ni ke ?” Uyung hanya diam. Mungkin takut, mungkin
juga malas untuk melayan karenah Payad.
“Ada tak. Sikit pun tak
apa?” Sambung Payad lagi dengan muka tak malu. Uyung berpusing membelakangkan
Payad dan menyeluk ke dalam baju.
Note berwarna hijau
diserahkan kepada Payad. Payad mencium note itu sebelum menyelitkannya di dalam
poket. Senyumnya memanjang. Uyung langsung tidak melayan. Mata dan tangannya
fokus kepada pucuk-pucuk paku segar di depan mata.
Payad berlari ke arah
motosikal. Dipanjatnya tempat duduk belakang.
“Pagi-pagi ni pun kau
pau duit Uyung… Payad.Payad!” aku menyerahkan semula kasut Futsal Payad.
“Rezeki jangan ditolak,
Bro” Balas Payad bersahaja. Muka tak bersalah “Jom la cepat. Nanti dioarang
bising pulak.”
“Bukan dua hari lepas
ke kau dapat gaji. Cepatnya habis duit kau” Leter aku. Payad bekerja sebagai
juruwang di pasaraya berdekatan kampung.
“Dah! Dah! Jalan.
Jangan banyak tanya”
Nama Uyung adalah
singkatan daripada perkataan sulung. Dia anak perempuan sulung Pak Bakar.
Dialah anak gadis kampung paling naïf yang pernah aku jumpa. Pendiam. Tak
pernah aku nampak bersolek. Sentiasa sahaja bermuka kusam dan kadangkala berminyak.
Dia bersekolah setakat darjah enam sahaja. Satu sekolah dengan aku dan Payad.
Masa sekolah tadika kami bertiga memang rapat sebab selalu berjumpa semasa
berjalan kaki ke sekolah. Pernah main bersama-sama, berkubang dan memancing di
tali air. Haluan kami berubah setelah memasuki alam remaja dan dewasa.
Sikap Uyung macam anak
dara kampung dulu-dulu. Seakan sezaman Mak aku atau Mak Cu Kiah masa diaorang muda-muda
dulu. Anak perempuan memang kena pandai membuat semua kerja-kerja rumah. Mereka
sahaja yang boleh diharap untuk memasak, mengemas atau membasuh, sewaktu emak
dan ayah bekerja di ladang atau ke bendang .
Emak Uyung memaksa dia
berhenti sekolah selepas habis darjah enam. Hanya itu sahaja jalan bagi
membolehkan adik-adiknya yang lain meneruskan persekolahan. Dia terpaksa
membantu emaknya menguruskan keluarga. Adik-adiknya seramai sebelas orang
kesemuannya. Yang paling kecil pun berumur dua tahun.
Uyung tidak pernah
memegang telefon bimbit. Apatah lagi berwasap atau Facebook. Yang dia tahu
adalah memastikan adik-adiknya dapat bersekolah, emak dan ayahnya pula tidak
pening kepala. Dia akan membuat apa sahaja kerja-kerja kampung yang termampu
dan halal. Dari mengutip sayur-sayuran liar di sekitar kampung, mengail ikan
atau menolong orang membuat kerja-kerja rumah. Ibunya tidak membenarkan Uyung
untuk berkerja tetap kerana ada ketikanya dia perlu menjaga adik-adiknya di
rumah.
Cuma Uyung tidak
sukakan budak-budak sekampung. Sebab
ramai budak-budak kampung suka mengejek dia kalau berselisih. Ada yang
menggelarnya budak busuk, orang gila dan macam-macam panggilan lagi. Dia tidak
membalas. Cuma kalau mendengar kata-kata yang menyakitkan hatinya, dia akan
berjalan cepat-cepat. Uyung juga tidak suka bertengkar atau bergaduh.
Payad memicit kakinya
yang membengkak kemerahan. Aku menghulurkan plastik berisi ais untuk dia
mengurangkan bengkak.
“Kau nak main lagi ke
lepas ni!” Dia mengangguk. Mukanya berkerut menahan sakit.
“Kaki dah merah tu,
berjengket nanti kalau kau main jugak”
“Budak kita kan tak
cukup. Tak aci la kalau bagi team lawan menang macam tu je” Tegas Payad.
Aku faham sangat hati
Payad. Pendirian dia tetap dan tak mudah untuk mengalah.
Aku angkat tangan tanda
bagus pada budak yang tanya pasal kaki Payad tadi. Dia nak tahu Payad boleh
sambung main atau tidak.
Kalah atau menang, adat
pertandingan. Main tetap main. Aku tahu Payad masih mengantuk!.
“ Uyung tu Payad!” Aku
mencuit pinggang Payad. Telunjuk aku menghala ke arah kelibat Uyung yang sedang
menuruni tangga.
Aku dan Payad sama-sama
ditugaskan membasuh pinggan mangkuk di Kenduri Haji Hamidon ini. Kerja yang
paling serasi dengan kami berdua. Walaupun hanya diberikan upah kain tuala
‘good Morning’ sahaja. Kami tetap melaksanakan tugas itu dengan cemerlang.
Payad bangun menuju ke
arah Uyung yang berbaju kurung jingga dan bertudung kuning cair yang kini
berada di kawasan hidangan. Gadis itu ingin mengambil sedulang hidangan. Wajah
hitam manisnya nampak lebih ceria dengan pakaian itu.
“Yong!” Hampir sahaja
terlepas dulang yang dipegang Uyung sebaik disapa Payad di tepi telinga.
“Nak apa Payad, Aku nak
hantar lauk ni kat Kak Siah” Bising Uyung. Dia tak suka kerjanya diganggu.
“Ada tak!” tanya Payad.
Uyung memandang mata Payad dengan mulut muncung.
“Kejap lagi, jumpa kat
belakang. Dah makan belum”
“Dah ! Makan awal-awal tadi,
kejap lagi nak sambung lagi” Balas Payad sebelum kembali menyambung kerja di
sebelah aku.
“Woi nak ke mana tu?”
Payad bangun sambil mencapai bunga telur yang tuan rumah agihkan tadi. Kami
mendapat seorang satu. Payad mengambil kedua-duanya.
“Hey, Tu aku punya!”
Berdesup dia bangun meninggalkan aku seorang membasuh pinggan. Mata aku sempat
melihat kelibat Uyung yang menunggu di belakang rumah.
Payad menyerahkan
kedua-dua bunga telur tadi kepada Uyung.
Note merah dari tangan Uyung beralih ke tangannya. Aku menggeleng kepala. Masa
kenduri pun kau sempat pau Uyung!!
Aku membuat muka serius
sebaik dia duduk untuk menyambung kerja.
“Takkan tu pun merajuk
kot. Aku bagi bunga telur tu kat Uyung pasal adik beradik dia ramai. Kau kira
sedekah sudahlah”
Aku mencelup tangan dan
menyimbah air basuhan pinggan mangkuk ke arah Payad.
“Hoi! Basahlah baju
aku”
Aku mengekek berlari ke
khemah DJ. Uyung menggeleng kepala dari jauh.
Dari tadi, Aku
terdengar bunyi orang marah-marah tidak jauh dari rumah. Sebaik membuka jenang
tingkap, jelas kelihatan Pak Bakar sedang memukul Uyung sambil marah-marah di
hadapan rumah Makcik Rubiah. Aku mencapai suis motor dan segera memakai baju.
Cepat-cepat aku memecut ke situ.
“ Apa ni Pak Bakar?”
Aku bertanya sebaik menahan dia dari terus memukul Uyung dengan pelepah kelapa.
“Ni namanya anak tak
makan diajar. Ada ka dia curi kain tudung orang. Kalau nak cakap..Aku boleh
beli!!!! “ Jerkah Pak Bakar. Bergetar gegendang telinga aku mendengar suara
bass lelaki separuh umur itu.
Uyung terbaring di
tanah dengan kesan lelehan darah di bibir. Hanya esakan yang terdengar dari
bibirnya. Hanya anak tudung berwarna hitam masih terlekat di kepalanya.
Belakang bajunya bertanah dengan kesan kotor akibat pukulan ayahnya. Anak jiran
aku Saleha dan ibunya juga ada di situ.
“Dia curi tudung Saleha
Iddin. Patut la bergaya dia pagi ni. Pakai tudung curi… Kan aku dah cakap,
budak ni bukan baik sangat” Bebel Makcik Rubiah, Ibu Saleha.
“Bila hilangnya?”
“Minggu lepas. Tadi
Leha nampak Uyung pakai. Sebab tu Leha suruh mak cari Pak Bakar dan tunjuk
bukti ni!” Saleha menunjukkan kain tudung yang disentap dari Uyung tadi.
“Kalau ye pun Leha,
jangan la diserang Uyung macam ni”
Aku duduk di tepi Uyung
yang mengaduh kesakitan. Pak Bakar yang mahu menghayun lagi pelepah kelapa
sempat aku halang.
“Betul Yong yang curi
kain tudung Saleha” dia menggeleng.
“Eleh.. Kalau dah Pencuri…takkan
nak mengaku punya” Bantah Makcik Rubiah. Pak Bakar menggetap bibir menahan
marah.
Aku melihat Uyung
bercakap sesuatu tetapi tidak jelas, lalu aku dekatkan telinga untuk mendengar
lebih jelas.
“Panggil Payad!”
Aku menyeluk poket
mengeluarkan telefon.
“Payad, Mari kat rumah
Mak Cik Rubiah kejap. Uyung cari”. Mendengar ayat akhir aku di talian, Payad terus
mematikan panggilan.
Payad datang dengan berbasikal.
Entah basikal siapa yang dipinjamnya. Mulutnya masih berminyak. Mungkin baru
lepas makan sarapan pagi.
“ Kenapa ni Pak Bakar?”
Jeritnya sebaik nampak Ayah Uyung di situ.
“Kau tanya Iddin apa
yang jadi. Aku malas nak ulang cerita”
“Uyung curi kain tudung
Saleha” Jawab aku sambil menunjukkan ke Uyung yang kini duduk diatas tangga.
“Tak mungkin Uyung
mencuri!!” tegas Payad yang bergegas ke arah Uyung. Cepat sahaja dia mengelap
kesan darah di bibir Uyung. Uyung tersentak sebaik Payad menyentuh belakang
bajunya. Matanya terpejam menahan sakit.
Payad bangun di hadapan
Uyung.
“Siapa yang tuduh Uyung
mencuri?” Tanya Payad garang. Matanya mulai berkaca.
“Leha nampak dia pakai
ni pagi tadi!” Jawab Saleha.
“Kau nampak dia pakai,
lepas tu senang-senang je kau rampas”
“Leha dah tanya Pak
Bakar tadi. Dia cakap memang dia tak belikan Uyung tudung tu. Lagipun Uyung
mana mampu nak pakai tudung macam ni?”
“ Kami pun boleh cam la
fesyen tudung Uyung selalu pakai macam mana” Mak Cik Rubiah menokok.
“Mak Cik suka kalau saya
tarik tudung Leha tiba-tiba, kalau saya rasa tu saya punya. Ikut suka hati
saya..Boleh” Marah Payad sudah tidak ditahan-tahan.
“Bukan macam tu!!”
“Kau pun Leha belajar
je sampai diploma, adab langsung tak ada. Boleh cerita elok-elok apa. Uyung ni
bukan orang ke, yang kau suka-suka nak
buli. Kalau tudung macam tu berpuluh aku boleh beli la..” Tegas Payad. Muka
Saleha mulai merah. Ada tanda-tanda ingin sebak sebab dimarahi.
Pak Bakar melepaskan
pelepah kelapa yang digunakan untuk memukul Uyung tadi.
Payad berpaling semula
pada Uyung yang hanya menunduk. Mungkin malu dengan apa yang terjadi.
“Uyung cerita kat Payad
macammana Uyung dapat tudung tu” tanya Payad.
Uyung mulai bersuara.
Cuma terlalu perlahan untuk kami dengar. Payad mengangguk-ngangguk beberapa
kali. Sebelum berpaling dia sempat mengesat air mata di tubir mata Uyung.
“ Leha sidai tudung tu
kat mana?” Payad berpaling mengadap Saleha. Gadis itu menunjuk ke arah ampaian
yang diikat dari rumah ke galang kayu yang dipaku pada pohon kelapa.
“ Letak penyepit baju
tak?”
“Entah, tak ingat”
“ Uyung jumpa tudung tu
dekat tali air depan rumahnya. Payad agak tudung tu diterbangkan angin ke tali
air. Lepas tu arus bawak sampai ke depan rumah Uyung. Sebab tu Uyung ambik…Minggu
lepas lagi dia tanya sapa-sapa yang ada hilang tudung. Tapi tak ada pulak yang
mengaku. Sebab tu dia pakai minggu ni, kalau-kalau tuan punya tudung boleh cam.
Uyung nak bagi balik ja. Tapi, tak sangka pulak nak jadi macam ni…” jelas
Payad.
Mak Cik Rubiah dan Pak
Bakar terdiam. Mudah sangat mereka membuat keputusan!.
Saleha sudah malu alah
dengan tindakannya tadi dan tuduhan terhadap Uyung.
“Bagi kunci moto Iddin.
Aku nak bawa Uyung gi klinik” Aku menjegil mata kerana tak nak balik dengan
berjalan kaki.
“Ambik basikal aku.
Rumah kau pun tak sampai dua ratus meter. Kata atlit sukan!” sempat dia memerli
aku. Aku mengalah dan menyerahkan kunci motosikal.
“Jom naik sayang!”
Semua yang ada terpana dengan ayat yang keluar dari mulut Payad. Lagi-lagi Pak
Bakar.
Uyung bangun
tersipu-sipu dan duduk di belakang motosikal.
“Peluk Abang kat
pinggang” Sekali lagi Pak Bakar berpaling. Tangannya cepat mencapai pelepah
kelapa tadi. Uyung hanya menggenggam kuat bucu baju Payad kiri dan kanan.
Aku melihat Payad
tersenyum memboncengkan Uyung menghala ke klinik. Uyung pun turut tersenyum.
“Pak Bakar bagi pulak
Payad bawak Uyung” Kata aku sambil
menolak basikal Payad sebelum mengayuh.
“Tak sempat aku nak
cakap apa-apa tadi, dia dah angkut anak aku.”
Aku tersenyum. Mesti bahagia Payad hari ni!
Aku tertidur selepas
solat Zohor. Aku bangun pun selepas emak mengejutkan aku secara tiba-tiba.
“Din, Payad dan Uyung
dah tak ada!” satu persatu ayat Mak sampai ke telinga aku. Selebihnya tak
sempat aku hadam.
“Apa Mak?”
“Payad dan Uyung dah
meninggal. Dia eksiden dengan moto kamu!”
Aku kelu untuk berkata
apa-apa. Cuma tubuh berasa seakan mengeletar dari dalam. Hati aku sebak sebab
kehilangan kawan rapat secara tiba-tiba. Sekelip mata sahaja semua ini berlaku.
“Mayat kat mana mak?”
“Dua-dua tu, orang
kampung nak uruskan dekat surau. Kejap lagi Mak pun nak ke sana dengan abah kau”
Kawasan surau dipenuhi
orang ramai. Mayat Payad dan Uyung diuruskan bergilir-gilir di tempat mandi
mayat. Jasad Uyung diuruskan oleh kaum ibu terlebih dahulu. Diikuti dengan
mandian untuk jasad Payad. Kedua-duanya akan disembahyangkan dan dibawa ke
kubur bersama.
Aku jadi kelu dan kaku.
Hanya mampu untuk melihat orang-orang kampung menguruskan mayat mereka berdua.
Kalau sebelum ni, aku dan Payad gigih untuk menyelesaikan mana-mana upacara
pengkebumian orang-oarng sini. Dari menggali tanah kubur hinggalah memasukkan
mayat ke liang lahat. Cuma kali ini aku tak mampu!
“Payad dah tak ada. Aku
tak sempat nak minta maaf kat dia” Baim.
“Aku pun” Aku menjawab
perlahan.
Dua minggu telah
berlalu. Sikap murung aku berterusan dari hari Payad di kebumikan lagi. Sunyi
sangat aku rasa sebab kehilangan sahabat baik sejak kecil. Apa yang aku buat,
masih lagi terbayang-bayang kelibat dia. Semua aktiviti yang aku selalu buat
dengan Payad aku tinggalkan.
Treet!!treet!!
Aku terkejut melihat
nombor Payad tertera di skrin.
“Assalamualaikum..Mak
Cu Kiah ni” Ibu Payad bersuara di talian.
“Waalaikum salam..Ada
apa Mak Cu?”
“Kamu datang rumah Mak
Cu petang nanti boleh tak?”
“Boleh je. Nanti petang
saya ke sana” Janji aku. Cuma hati aku berat untuk berhadapan dengan semua
memori lama bersama Payad.
Aku pergi juga ke rumah
Payad seperti yang dijanjikan dengan Mak Cu Kiah. Hati aku sayu sangat apabila
memijak kaki ke rumah Payad. Macam terngiang-ngiang lagi suara dia.
“Kau ni kalau datang
sini tak kacau aku tak sah!” Antara ayat yang sering Payad utarakan kalau aku
datang mengajak dia kemana-mana.
Cuma yang paling
terkesan, dia pernah berpesan pada aku.
“Din..Kita kawan dari
kecik. Sampai sekarang. Kau kenal aku atas bawah, kiri kanan…Cuma aku nak minta
kau tolong satu hal..kalau aku tak ada..tolong tengok-tengokkan Mak aku tau.
Abang dan Kakak aku duduk jauh-jauh. Aku kesian kat Mak Aku”
“Insya Allah Payad. Mak
kau tu dah macam Mak aku”
Rasa bersalah timbul
dalam hati aku sebab dua minggu aku langsung tidak datang menjenguk Mak Cu
Kiah.
Mata aku sempat mengimbau
kenangan-kenangan bersama Payad dari kecil sehingga kami besar. Banyak yang
kami kongsikan bersama. Basikal buruk, tayar lama,
gasing..lastik..ah..macam-macam perkara yang ada di bawah rumah yang mengaitkan
pengalaman kami bersama. Aku dibuai dengan kisah-kisah lama.
Lama juga Aku terpaku seketika di
halaman rumah Mak Cu Kiah. Birai mata aku memberat dan mulai berkaca.
“La..Iddin..Kenapa tak
masuk?” Suara Mak Cu Kiah menyedarkan aku dari lamunan.
“Siapa yang ada dengan
Mak Cu?” Aku bertanya sebaik duduk di sofa ruang tamu.
“Kakak Payad, Seha, ada
temankan Mak Cu. Dia duduk Sampai dia start semester bulan depan.”
“Maaf la Mak Cu. Lama
Din tak ke sini”
“Mak Cu faham. Kamu
takut teringat-ingat pada Payad kan” Aku mengangguk.
“Mak Cu panggil kamu ni
ada hal sebenarnya. Kamu tunggu sekejap” Mak Cu Kiah masuk ke dalam bilik
Payad. Dia keluar dengan sebuah akuarium plastik berisi wang kertas dan
syiling. Akuarium itu diletakkan di hadapan aku.
“Ini sahaja yang Mak Cu
dapat bagi untuk ganti moto kamu yang rosak tu” Ujar Mak Cu Kiah.
“Tak apa Mak Cu. Din
boleh claim insurans. Tak payah bayar pun tak apa”
“Mak Cu tak tahu nak
bagi kat sapa dah duit Payad dan Uyung ni. Cuma Mak Cik tahu, Payad mesti nak
gantikan moto kamu kalau dia yang rosakkan” jelas Mak Cu dengan mata berkaca.
“Tabung Payad dengan
Uyung?”
“Kamu kan rapat dengan
Payad. Kamu tahu kan yang dia selalu minta duit dengan Uyung. Dia simpan dalam
tabung ni la…Baki duit gaji dia pun dia simpa dalam ni”
“Kenapa Payad nak ada
tabung dengan Uyung?”
“Sebab diaorang berdua
tu dah rancang nak kahwin sebenarnya. Uyung pulak taknak Payad seorang sahaja
yang kumpul duit. Dia pun nak simpan jugak. Kalau simpan di rumah dia, duit dia
habis untuk adik-adik dia sahaja”
“Jadi..Payad dengan
Uyung tu..”
“Ya..diaorang tu
sama-sama suka.. Cuma Payad tak nak kahwin cepat-cepat. Dia tahu Uyung ramai
adik beradik. Uyung yang tanggung diaorang. Jadi dia tak nak susahkan Pak Bakar
kalau ambik Uyung jadi isteri sekarang. Dia sanggup tunggu sampai adik-adik
Uyung besar sikit”
“Payad tak pernah
cerita pun kat Iddin”
“Dia segan kat kamu la
tu…Mak Cu pun tahu lepas tanya dia sebab apa dia selalu minta duit dekat
Uyung.. Baru dia cerita semuanya..Dia mengaku yang dia sayangkan Uyung”
“Dia ada cerita sebab
apa dia sukakan Uyung”
“Makcik pun heran sebab
apa dia sukakan Uyung. Nak kata cantik,taklah sangat. Ramai lagi budak
perempuan kampung ni yang sukakan Payad..tapi Payad hanya sukakan Uyung.. Dia
suka Uyung sebab Uyunglah satu-satunya budak perempuan kampung ni yang masih
kekal macam orang dulu-dulu. Tak ada Facebook, Intagram..Whatapps…Tak berkepit
dengan henset langsung. Uyung pulak pandai jaga family dia betul-betul. Payad yakin kalau
dia kahwin dengan Uyung..Uyung akan jaga dia betul-betul..Sakit dia ke..susah
dia ke..Uyung akan sentiasa bersama-sama. Sebab Uyung ada ciri-ciri perempuan
yang macam tu..Sama macam perangai Mak Cu dulu-dulu”
“Pandai Payad
sembunyikan rahsia. Dulu-dulu..memang kami bertiga rapat. Dah besar ni
masing-masing bawak diri. Tak sangka Uyung pun sayangkan Payad”
“Mungkin jodoh diaorang
tak sampai..setakat tu sahaja. Payad pun ada cakap, kalau dia kahwin dengan
Uyung, Dia tak risaukan masa hadapan sangat. Kalau dia tak ada pun, Uyung masih
boleh jaga dan sara anak-anak dia. Sebab Uyung rajin dan pandai buat semua
kerja kampung…Payad takut kalau dia pun nanti sakit-sakit macam Pak Cu kamu.
Dia bimbang kalau dia pun akan pergi awal macam Pak Cu kamu..tak sangka, dia
memang pergi awal..sekali dengan orang yang dia sayang.. .” Sambung Mak Cu
Kiah. Mata dia berkaca. Aku pun turut sama terasa hibanya.
“Banyak duit ni Mak Cu”
Aku mengubah topik, sebaik terpandangkan tabung Payad dan Uyung. Aku tak mahu
Mak Cu Kiah terus menerus bersedih.
“Kamu buatlah apa yang
patut Iddin. Barang-barang Payad kat dalam bilik tu, mana yang kamu berkenan,
ambiklah. Mak Cik tak nak barang-barang dia terbiar macam tu sahaja.”
“Terima kasih Mak Cu.
Cuma…saya ingat nak bagi duit dalam tabung ni pada Pak Bakar, biar ringan sikit
beban dia menanggung adik-adik Uyung yang masih ada. Lagipun ni duit Uyung
jugak” Cadang aku.
“Terpulang pada kamu
lah. Mak Cu ikut jer.”
“Boleh saya masuk bilik
Payad tak Mak Cu? “
“Kamu masuklah..buat
macam rumah sendiri”
Bilik Payad sederhana
besar sahaja. Mata aku cepat sahaja menangkap tag nama yang dilekatkan pada
cermin yang dilekatkan di dinding : Muhammad
Fayyad Bin Muslim. Dia atas itu terdapat satu-satunya gambar berbingkai di
atas meja, selain minyak rambut dan sikat. Gambar aku, Payad dan Uyung masa kami bersekolah tadika. Aku pun
sudah tidak ingat bila gambar itu diambil. Payad menyimpan gambar itu
baik-baik. Mungkin itulah gambar tiga orang insan yang paling rapat dengan
dirinya. Mungkin itu juga satu-satunya gambar Uyung yang dia ada sebab Uyung
memang tidak suka bergambar. Payad memang menghormati kehendak Uyung yang satu
itu, walaupun dia boleh memetik kamera di telefon untuk mengambil gambar Uyung
pada bila-bila masa. Mungkin juga gambar Uyung sentiasa terselit di hatinya.
Air mata aku menitis
juga sebaik aku duduk diatas katil Payad. Bau badannya yang masih ada
mengingatkan aku sewaktu kami sama-sama membonceng motosikal. Dia akan mengikut
aku di ke mana sahaja. Dan kalau aku memecut, dia akan memeluk aku kuat-kuat.
Terasa sangat yang dia ni sahabat aku yang paling rapat.
Aku juga baru tahu
daripada abang Payad, Faiz yang dia ni rabun. Dia cerita pun masa kenduri arwah
Payad dan Uyung tempoh hari. Sebab tu Payad jarang bawa motosikal. Kalau bawa pun, kena ada
orang yang boleh tolong dia tentukan arah yang betul. Kalau tidak mungkin dia
akan melanggar apa sahaja yang ada di hadapan. Dia tak pakai cermin mata sebab
malu pada aku dan kawan-kawan yang lain. Dan aku yakin, sebab itu jugalah dia
kemalangan hari itu.
Aku memalingkan pintu
almari payad untuk melihat apa yang disimpan didalamnya. Sebaik terpusing,
perkataan Payad sayang Uyung tertera diatas papan belakang pintu almari itu.
Siap dengan tanda “Love” lagi. Aku tersenyum sendirian. Ada taman juga dalam
hati sahabat aku yang entah apa-apa ini. Semoga kau bahagia kat sana, Payad. Dengan orang yang kau sayang!
Aku mengesat air mata
dan meletakkan bingkai gambar diatas meja semula. Tidak ada perkara yang tidak
mengingatkan aku pada Payad di dalam bilik ini. Aku rasa bersalah sangat kalau ubah atau ambil
apa-apa yang ada. Biarlah memori kami bersama sentiasa terpahat di sini. Kalau
nak ubah atau ambil barang di bilik Payad, aku bukanlah orangnya kerana aku
tidak sanggup. Biarlah Payad “ada” dalam memori, dengan apa yang
ditinggalkannya.
Aku sempat sedekahkan al
Fatihah untuk Uyung dan Payad. Aku yakin, kalau orang baik-baik, tempatnya di
sana pun baik-baik.
SELAMAT TAHUN BARU 2017