Home Cerpen Seram/Misteri Intai
Intai
Zhar Aruzi Hairi
17/6/2016 06:46:36
3,983
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Intai

Oleh : Zhar Aruzi Hairi.

Bunyi radio yang semakin kuat menyebabkan Kumai menekup telinganya. Telinganya tidak tahan mendengar lagu-lagu dangdut yang didengarnya berulang-ulang dari tadi. Cuma dia seronok melihat rentak gadis-gadis Indonesia pekerja kilang itu terliuk-liuk mengikut rentak lagu. Ada yang sempat membuat goyang gerudi lagi. Walaupun ruang antara alang rumah dan lubang yang digunakan untuk mengintai itu sempit, dia masih lagi menunggu untuk aksi-aksi yang mungkin tidak dijangka.

Matanya lebih tertumpu kepada Lisa. Gadis Indonesia yang sentiasa menjadi mangsa gangguannya setiap kali lalu di hadapan gerai burger Mail, tempat lepak rasmi dia dan rakan-rakan. Bukan mudah bagi Kumai untuk menatap wajah gadis manis itu tanpa hijab. Tangannya mengeluarkan telefon bimbitnya untuk merakam gambar-gambar yang lebih menarik. Dia tidak sabar untuk melihat riak muka rakan-rakannya sebaik dia berkongsi video yang diambil. Kumai tersenyum sendirian.

“Henti semua!!!”Tiba-tiba sahaja gadis gempal yang berseluar tracksuit dan berbaju biru mengangkat tangan.

“Kenapa Su, Kami baru sahaja mahu berseronok?” Tanya gadis kurus yang hanya berseluar pendek. Dia mematikan radio yang dibawanya dan menjinjing dengan tangan kiri.

“Haah..Kenapa Mbah? Ini kan pesta hari jadi aku” sahut seorang rakannya yang memakai tiara di kepala. “Mbah” adalah gelaran kepada Sulastri yang kadangkala bersikap seperti orang tua. Suka membebel dan bersuara lantang.

“Pulang ke bilik masing-masing. Tutup lampu dan tidur. Jangan tanya aku apa-apa lagi” Tegas sekali Sulastri memberi arahan sebelum semua rakan-rakannya beransur pulang ke bilik masing-masing. Dia mengekor setiap mereka yang keluar dengan hujung matanya. Nina yang menjadi rakan sebiliknya hanya berteleku diatas tilam.


Setelah keadaan mulai tenang, Sulastri membuka bungkusan kuning yang sering dibawa di dalam begnya kemana-mana. Bungkusan yang amat penting baginya.Kalau di tempat kerja sekalipun, dia akan menyimpan di dalam loker.

Sebaik bungkusan dibuka, beberapa batang tulang kecil yang sudah kekuningan kelihatan berselerakan.Tidak semena-mena seluruh bilik itu berbau kapur barus. Nafas Sulastri mulai turun naik.

“Apa tu Mbah?” tegur Nina, kehairanan. Dia masih berpeluh-peluh kerana ligat menari sebentar tadi.

Sulastri hanya mendiamkan diri sebelum menggenggam kedua-dua tangannya dan duduk berteleku di hadapan tulang temulang tersebut. Sedang mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

Nina yang tadinya begitu teruja untuk mengetahui kandungan bungkusan kuning itu mulai meremang bulu roma. Semakin lama dirasakan udara di dalam bilik semakin sejuk dan bauan kapur yang kurang menyenangkan tadi ditambah dengan bau busuk yang tidak diketahui puncanya. Bilik mereka kini seolah-olah dipenuhi oleh sesuatu yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Nina mulai menarik selimutnya menutupi seluruh badan sebelum memejamkan mata serapat-rapatnya. “Apa pula yang dibuat oleh Sulastri ni?”soalnya di dalam hati sambil bernafas keras. Rintik-rintik peluh di dahinya keluar tanpa disedarinya.

Sulatri bangun dari berteleku dengan mata yang membulat. Matanya meliar ke seluruh bahagian bilik. Sesekali dia memusingkan kepalanya ke belakang seolah-olah memerhatikan sesuatu yang berada di ruang itu.Bilik itu kini seolah-olah dikelilingi oleh sekumpulan makhluk yang menunggu arahan untuk bertindak.

“Kalian adalah leluhurku, untuk menjaga kebajikan dan nyawaku” Sulastri memulakan bicaranya. Dia langsung tidak menghiraukan Nina yang menggeletar di sebalik kali selimutnya.

“Aku mahu banjingan yang mengintai di atas siling tadi diberi pengajaran. Tetapi jangan dibunuh. Kita tak mahu melanggar pantang larang luluhur dan nenek moyang” Pesan Sulastri yang kemudiannya dia sendiri yang mengangguk-ngangguk. Angin-angin yang seakan ribut kecil bertebaran di serata bilik sebelum tiba-tiba senyap.

Sulastri cepat-cepat membalut semula tulang-temulang kecil yang kelihatan dengan kain kuning yang dibawanya. Dia pula kelihatan takut-takut. Lain benar dari reaksinya sebentar tadi. Dia merebahkan badan ke atas katil sebelum membalut keseluruhan badannya dengan kain selimut. Langkah yang sama dibuat oleh roommatenya sebentar tadi. Hanya bunyi kipas siling yang kedengaran. Sulastri menanti dengan hati yang berdebar untuk menyaksikan apa yang mungkin berlaku.


Kumai mulai panik sebaik lampu asrama pekerja perempuan itu dipadamkan. Kayu-kayu galang digunakan untuk berpijak tadi langsung tidak kelihatan. Kalau mahu melangkah pun dia terpaksa meraba-raba sebelum memijakkan kaki. Malang sekali telefon bimbit yang digunakannya langsung tidak mempunyai fungsi lampu suluh. Dia hanya mengagak-ngagak jarak yang telah dilaluinya sebelum sampai ke lubang yang digunakan untuk masuk ke dalam siling asrama tersebut. Laluan masuknya bermula dari lubang siling yang dibukanya di hujung bangunan.

Haba panas yang dirasakannya tadi mulai berganti dengan suhu yang mulai sejuk. Kumai menggaru kakinya yang mulai calar balar kerana bergesel dengan kayu-kayu galang pada siling. Sesekali suhu sejuk dirasakan mencengkam hingga ke tulang hitam. Rasa seronoknya diganti dengan perasaan cemas. Dia merasa seolah-olah ada ‘benda’ lain yang kini merayap sekitar tempat dia memegang dan berpaut. Sesekali terasa jari jemari kecil yang berkuku tajam mencengkam hujung ibu jari kiri dan kanannya. Lidah-lidah yang berlendir turut dirasa menjilat luka-luka kecil dikakinya.

“Aku mesti cepat pergi dari tempat ni. Rasa semacam jer” luah Kumai di dalam hati.

Hatinya lega melihat lubang keluar yang hanya beberapa ela jaraknya. Tiba-tiba sahaja kaki kanannya seolah-olah kejang dan menyakitkan. Mujur dia sempat melintangkan kakinya pada galang kayu yang berukuran empat kali empat kaki itu. Kalau terpijak pada siling sudah tentu badannya akan berdentum jatuh menghentam simen.

“Apa yang Mbah lakukan ni” Nina masih mahu menyoal walaupun terlindung di sebalik kain selimut. Dia tahu yang Sulastri dapat mendengar soalannya dengan jelas.

“Entah.Aku sendiri pun takut Nina” akui Sulastri yang turut berselimut penuh.

“Mbah yang lakukannya tadi, sekarang Mbah sendiri yang ketakutan”

“Bukan aku yang lakukan tadi, leluhuran aku yang datang menolong” Ujar Sulastri dengan nada ketakutan.

“Mbah sedar atau nggak apa yang dilakukan?” Sambung Nina.

“Aku sadar dan aku takut”

“Abis. Gimmana sekarang?”

“Kita tunggu sampai sore aja. Lagipun esok kita masih lagi cuti kan. Ayuh tidur aja” ajak sulastri.

“Jangan sampai apa yang kamu nampak dan dengar tadi ketahuan sama kawan-kawan yang lain” Pesannaya lagi.

“Aduh!!” Kumai menjerit kesakitan. Kaki yang tadinya kejang, berasa seakan-akan dicucuk dengan beberapa batang jarum. Serentak dengan itu darahnya dirasakan dihisap dengan begitu rakus. Jantungnya mulainya berdetak dengan lebih laju sehingga di berasa mahu pitam. Kesakitan yang ditanggungnya semakin kuat. Cuma dia teragak-agak untuk menjerit lebih kuat kerana takut diketahui orang.

Lama-kelamaan Kumai mulai mengantuk. Mungkin kerana kehilangan banyak darah. Matanya mulai mengesan penampakan beberapa makhluk botak seakan-akan bayi yang berkulit keperangan. Semuanya bermata merah dengan rakus sedang melekatkan taring dan menghirup darah dari perut betisnya. Kaki kananya itu langsung tak mampu digerakkan lagi. Lagi lama dibiarkan, lagi menderita dirinya nanti.

“Sakit siallll !!!” Jerit Kumai. Kali ini dia sengaja memijak kakinya yang satu lagi ke siling dan..

Berdebomm!!! Tubuh Kumai menjunam mencecah lantai koridor. Serpihan siling dan kayu-kayu berselerakan. Kumai mengesot dan merapatkan dirinya ke dinding koridor.


Bunyi kayu patah dan jatuhan Kumai mengejut semua penghuni asrama dan rumah-rumah berdekatan. Lampu-lampu rumah yang tadinya gelap bernyala satu persatu. Disusuli dengan bunyi pintu dibuka dan derap kaki menuju ke arah Kumai.

Kumai mengaduh sendirian. Kaki kanannya dicengkam sekuat hati. Dia tidak lagi mampu menyembunyikan rasa sakit. Rasa takut dan malu pada orang ramai sudah tidak dihiraukan. Bayangan makhluk-makhluk yang kelihatan tadi bertaburan jatuh dan ada yang sempat bergayutan pada kayu siling. Masing-masing memaparkan riak muka marah dengan menyeringai taring yang bercucuran darah. Kumai sendiri sudah nyawa-nyawa ikan. Ditambah dengan kesakitan akibat jatuh dari siling tadi.

“mujur aku tak mati” luahnya sebaik melihat makhluk-makhluk kecil tadi bertempiaran lari sebaik orang ramai mula menghampiri.

“pencuri ni. Kita belasah”Jerit seorang pemuda seraya menghenyak kaki ke dada Kumai. Beberapa tendangan tambahan turut diterima Kumai dengan jeritan maki hamun yang bertalu-talu.Ada yang sempat merakam gambarnya dengan telefon bimbit.

“Inilah agaknya orang yang kebas barang kemas orang rumah aku hari tu!”Jerit satu suara garau sebelum sebiji penumbuk singgah ke muka Kumai. “Bagi balik!!!”. Marah sungguh lelaki tersebut.

“Dah telefon polis ke belum!!!”Satu suara yang lebih kuat kedengaran. Seorang tua berkupiah putih berdiri di kalangan mereka sambil bercekak pinggang!!

“Entahlah Haji” sahut satu suara dari belakang. Suara-suara lain turut kedengaran yang entah apa butir perkataannya.

“Malik, Kau telefon polis sekarang.Kalau tidak, lunyai budak ni dibuatnya nanti” Arah Haji Ismail, ketua JKK penduduk di situ. Dia menghampiri Kumai yang kini sudah tak bergerak-gerak. Tangannya merasa nadi pada tengkok pemuda itu. “Panggil Ambulan sekali!!”

“Mujur belum habis nyawa. Kalau tidak kamu semua ke Mahkamah nanti” Ujarnya kepada semua yang hadir.

Ada yang masih belum berpuas hati sempat melontarkan seketul bata ke tubuh Kumai. Kelibat yang melontar segera menghilang disebalik orang ramai sebelum dilihat oleh Haji Ismail.

“Ini Kumai Tok, Anak Dollah Kasmin” Luah seorang pemuda sebaik Haji Ismail memalingkan kepala Kumai kearah orang ramai.

“Kamu kenal mak ayah budak ni Bahar?” Soal Haji Ismail. Bahar yang menghampiri tubuh Kumai mengangguk.

“Pergi panggil mereka sekarang? Nanti polis sampai lagi senang kita cerita” Arah Haji Ismail. Pemuda tersebut menceceh mencari motosikalnya sebelum berderum menghala ke jalan luar.

Bunyi kenderaan polis masuk menyebabkan orang ramai yang berkumpul tadi mulai bersurai. Yang tinggal hanyalah Haji Ismail dan beberapa orang AJK JKK kawasan perumahan tersebut. Selang beberapa ketika, Ambulan pula muncul.


Suasana di bilik persalinan mulai sunyi. Sulastri memang selalu menjadi yang akhir keluar dari situ. Dialah juga yang membawa pulang barang-barang yang ditinggalkan oleh orang lain. Beg sandang yang tersimpan di dalam loker dikeluarkan dengan penuh tertib dan berhati-hati.

“Mbah!” Sulastri terkejut ditegur sebegitu dari belakang. Hampir-hampir sahaja beg yang dipegangnya ke lantai.

“Kenapa kejutkan aku macam ni, Nina” Sulastri bersuara garang. Begnya dipeluk rapat-rapat. “Kamu memang suka mengintip aku ya ?”

“Mbak terkejut atau takut” Nina tersenyum mengejek.

“Kamu buat apa di sini? Kenapa belum pulang?”

“Aku mahu pulang beriringan dengan Mbah” Jawab Nina ringkas.

“Kamu ni kenapa? Buang tebiat?”

“Sebenarnya aku masih mahu tahu apa sebenarnya di dalam beg itu, Mbak” Rayu Nina.

Sulastri berjalan ke tepi dinding sebelum duduk di kerusi. Dia terdiam sebelum memandang tepat ke muka Nina.

“Betul kamu nak tahu?” Soalnya tegas. Nina mengangguk.

“Kamu janji pada aku yang tiada sesiapa yang akan tahu hal ini” Nina mengangguk sekali lagi.

Sulastri membuka beg dan mengeluarkan bungkusan kuningnya. Bungkusan itu ditatang dengan penuh kasih sayang.

“Ini tulang anak-anak aku” Cerita Sulastri hiba. Matanya sedikit berkaca. Nina kaget namun masih teruja mahu mendengar.

“Aku pernah berkahwin semasa di kampung dahulu. Dari umur aku 15 tahun hingga 22 tahun, kami akhirnya bercerai.” Sambung Sulastri sebelum berhenti sebentar. Dia mengusap-ngusap bungkusan tulang ditangannya.

“Setiap tahun aku mengandung. Dan setiap tujuh bulan juga aku pasti keguguran. Dan yang keluar hanyalah ketulan-ketulandaging, darah dan tulang temulang ini” Titis-titis jernih mengalir dari kolam matanya yang tadi hanya berkaca.

“Aku simpati Mbah. Kenapa berlaku begitu?”

“Inilah sumpahan nenek moyang keturunanku. Anak perempuan sulung akan menanggungnya seumur hidup. Bayiku akan jadi makanan leluhur keturunan kami”

“Dan satu dari tulang mereka dipilih untuk dijadikan azimat” Sambung Sulastri dengan sendu yang semakin memanjang. Kepalanya disembam ke bahu Nina.

“Tulang-tulang ini seharusnya aku agih-agihkan kepada sanak saudaraku yang memerlukannya. Tapi aku tak sanggup berbuat begitu. Aku sayangkan anak-anak aku. Sebab itu aku lari ke sini untuk bekerja”

Nina hanya menarik nafas. Segala yang selama ini menjadi misteri baginya sudah mulai terungkai. Cerita yang disampaikan Roomatenya itu masih mengundang seribu persoalan.

“Kita balik ya Mbah”


Sulastri tersenyum kepada pengawal berbangsa Nepal yang mengangkat tangan kepadanya tadi. Dia sendiri tidak tahu senyuman pengawal itu ditujukan kepadanya atau Nina.

“Sekejap Mbah, Aku perlu ke tandas” Kata Nina sebelum berpaling dan berjalan pantas menuju semula ke arah kilang. Pengawal yang tersenyum tadi teruja menghampiri Nina sebelum ditepis olehnya.

“Kenapa ni Miss?” Jerkah pengawal itu.

“Kau diamlah” Jerit Nina sebelum bergegas berlari anak mencari tandas.

Sulastri hanya memerhati dari jauh. Sayu.

“Nampaknya anak-anak Mbah ni tak suka berkongsi rahsia” ucapnya sambil menggosok-gosok begnya sambil tersenyum.

Dari jauh kedengaran jeritan yang kuat dari arah kilang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.