Kasih hilang tiada bicara,
Setelah cintaku kau puja,
Rintihan rindu terus melanda,
Redup cahaya hati lara,
Fahamkah kalian akan erti cinta? Lantas,
suara-suara itu mula menjawab. Mentafsir cinta berlandaskan pada pengertian
akal dan nafsu semata-mata. Tanpa sedikitpun mengambilkira tentang maksud
tersirat yang berlindung di bawahnya. Ah, bukankah pengertian cinta itu
subjektif? Lantas, perlukah untuk kita mempersoalkannya. Benar! Alangkah
indahnya andai manusia mengerti akan keagungan cinta yang sebenarnya, yang
menyatukan ikatan antara Zulaikha dan Yusuf. Yang membawa Zulaikha kepada
penemuan cinta teragungnya, yakni Allah yang memiliki segala zat dan kekuasaan.
Allahuakbar!
“Cinta itu pengorbanan,” desis seorang
lelaki. Pengorbanan menuntut kepahitan dan kelukaan yang mendalam dalam
melaksanakannya. Bukankah begitu? Lama dia mengelamun. Jam berdetik lagi.
Menghampiri angka satu pagi. Renik-renik peluh mula muncul di dahinya namun,
dia tidak menghiraukannya. Malah, tidak dipedulikan sama sekali. Apa yang
bermain-main dalam fikirannya kini adalah tentang keadaan satu-satunya insan
yang paling dia kasihi. Yang selama ini belum pernah dia sedar tentang
kewujudannya. Yang selama ini dibiarkan insan itu sepi, melalui hari-hari yang
mendatang dalam hidup tanpa sokongan darinya. Ya, insan itu kini yang bergelut,
bergelut bertarung nyawa dengan maut. Ya Ghaffar, dia berdosa! Dia berdosa, Ya
Rahman.. Dia meraup mukanya. Ada air mata yang bergenang di pelupuk matanya
kini.
“Ya Allah, jangan biar aku menangis, aku
tahu akan takkan kehilangannya, “ Hatinya berbisik perlahan. Cuba menenangkan
gelora yang menghimpit jiwanya. Ah, alangkah terseksanya. Terasa nafasnya cukup
payah untuk dihela. Dia terseksa akan perilakunya. Terseksa akan perbuatannya
terhadap srikandi yang selayaknya mendapat perlindungan darinya. Srikandi
bergelar isteri! Lantas, satu persatu kenangan silam yang pernah muncul dalam
lipatan memorinya kembali bertamu dalam ingatannya ketika itu.
***
“Abang, abang tahu tak, pagi tadi Ina
dengar ustazah mengajar kat masjid belakang rumah tau.” Si isteri memulakan
bicara dalam senyuman. Ketika itu, mereka sedang menikmati makan malam di ruang
makan. Hafiz mendengus. Terasa mati tiba-tiba seleranya. Terasa si isteri tidak
memahami kepenatannya setelah seharian bekerja. Gagal memahami kehendak Ina yang
ingin memulakan interaksi.
“Abang, abang dengar tak ni?” soal si
isteri. Tangannya masih tetap menyuap makanan ke mulut. Tetap berselera.
“Iye, saya dengarlah ni, “ dia membalas,
acuh tak acuh.
“Abang tahu tak kenapa seorang wanita tu
dijadikan dari tulang rusuk sang suami? Sebab dekat dengan hati untuk disayangi
dan dekat dengan bahu untuk dilindungi. Ia tidak dijadikan dari kepala untuk
dijunjung atau dari kaki untuk dialasi, “ Hafiz berhenti menyuap makanan. Dia
kemudian merenung isterinya tajam.
“Yang awak ni kenapa, yang tu saya pun
tahulah. Awak tak reti ke saya penat? Penat tahu tak. Tak boleh nak diam sikit.
Mulut tu tak habis-habis nak sakitkan hati orang. Yang awak tahu, semua tentang
awak,awk, awak je. Sikit pun awak tak tanya keadaan saya kan? Dah la kat office tadi banyak kerja, tak
habis-habis la! Kalau aku tahu, aku tak balik rumah tahu tak?“ gumam Hafiz. Dia
segera bangun. Melangkah ke dapur dan kemudian memanjat tangga ke bilik tidur.
Membiarkan si isteri terkulat-kulat keseorangan menyeka air mata yang gugur di
pipi. Ina bangkit. Perasaan sesal bertamu di kalbunya. Sesal kerana mengundang
kemarahan sang suami. Ah,bukankah syurga di bawah tapak kaki suami? Tegakah dia
menyakiti suaminya? Tapi, dia tidak sengaja.. Segera dia bangkit, meninggalkan
meja makan, mendapatkan sang suami. Cuba menyusun kata-kata maaf, mengharapkan
keredhaan Allah. Namun, Hafiz ternyata sudah diulit mimpi. Ina tersenyum. Suka
merenung ke arah wajah suaminya yang tatkala tidur. dia yakin, insan yang Allah
kurniakan padanya ini memiliki hati yang sangat mulia. Namun, dia belum
menemukan cara untuk melihatnya. Belum menemukan cara untuk menyaksikan
keindahan pekerti manusia bernama Hafiz itu.
“Abang, Ina yakin, satu hari nanti,
abang akan jadi suami yang baik. Abang tahu kenapa? Sebab Allah sayangkan Ina.
Dan Dia takkan berlaku kejam pada Ina.” Ina berbisik perlahan. Dia mengucup
dahi suaminya dan membiarkan api kesedihan hilang disirami titis-titis
kemaafan. Andai seorang wanita berasa bahagia andai baktinya didiringi
kata-kata penghargaan dari sang suami, dia tidak pernah mendapatkan itu. Malah,
kata-kata celaan dan hinaan yang terpaksa ditadahnya meskipun kadang-kadang
perasaan sebak bertandang jua. Mengguris hati kecilnya. Andai seorang wanita
berasa bahagia dibelai dengan tutur lembut dari sang suami, dia hanya mampu
mendengar kata-kata kemarahan yang terbit dari mulut sang sumi. Dan andai
seorang wanita berasa selamat di pangkuan seorang suami, jujurnya, dia
melakukan segalanya sendiri. Jarang sekali lelaki tersebut bertanyakan keselamatannya.
Jarang sekali lelaki tersebut mempersoalkan tindakannya meskipun kadang-kadang
dia sengaja berbuat salah untuk mendapatkan perhatian. Namun, yang anehnya,
lelaki tersebut tidak marah andai kesalahannya dilakukan dengan sengaja.
Kadang-kadang dia geram! Namun, kadang-kadang dia merasa kelakar. Kelakar
dengan tingkahlaku suaminya itu. Dan entah bila, dia terlena.
***
Hari itu, Hafiz pulang dengan
tergesa-gesa. Raut wajahnya garang. Ina yang setia menanti di muka pintu mula
berasa takut. Ya, dia takut dengan kemarahan suaminya. Dia takut, takut andai
ada yang dilakukannya tidak kena. Hatinya diserang rasa gundah-gulana. Sebaik
sahaja dia mencapai briefcasedi
tangan suaminya, Hafiz meluru masuk. Melabuhkan punggung ke atas sofa.
“Abang, nak apa…”belum sempat dia
menghabiskan ayat, Hafiz meluru ke dapur. Membuka tudung saji.
“Huh, mana lah aku ada mood nak balik rumah. Kalau setakat
goreng sayur dengan ikan,aku pun boleh buat la. Aku tak faham, apa kau buat
seharian dari pagi kat rumah sebenarnya ha? Hisyh, isteri tak boleh diharap
sebenarnya kau ni, kau tahu? Aku dah la penat-penat.. “ Nada suaranya
melengking. Ina tersepit antara dua keadaan. Kalau diikutkan hati, dia ingin
diam. Bimbang kata-katanya nanti akan memancing kemarahan suaminya. Namun,
andai diam bisa memutuskan hubungan, mungkin bersuara dapat menyelamatkannya.
Sejujurnya, entah mengapa dia berasa kepalanya sangat berat sejak akhir-akhir
ini. Malah, rambutnya seringkali gugur dan darah kerap keluar dari hidungnya.
Dia juga pernah berkali-kali pengsan sewaktu melakukan kerja rumah. Jauh di
sudut hati, dia juga sangat bimbangkan kesihatan dirinya sendiri. Benar, dia
ada migraine. Sejak dari zaman sekolah rendah lagi. Dan mungkin penyakitnya itu
sudah bertambah serius sekarang memandangkan dia jarang mendapatkan pemeriksaan
kesihatan disebabkan Hafiz berkeras ingin menghantarnya sendiri ke klinik
walhal, dia yakin suaminya tidak punyai masa sebanyak itu untuk dirinya. Pagi
tadi, entah mengapa, dia diserang sakit kepala yang teramat. Namun, dia cuba
menggagahkan dirinya melakukan kerja harian seperti biasa.
“Ina ingat abang tak balik sebab sepanjang
minggu ni abang lewat malam baru balik makan kat rumah. Jadi…” terketar-ketar
dia membalas.
“Ah, tu bukan alasanlah Ina! Abang balik ke
tak ke, Ina tu isteri, pandai-pandailah. Ina kena ingat, kenapa abang kahwin
dengan Ina..” Kali ini nada suaranya sedikit lembut bila melihatkan keadaan Ina
yang sudah tersedu-sedan. Ina memandang muka suaminya. Ya, Ina ingat.. Abang
kahwin dengan Ina sebab ibu abang yang minta kan? Sebab abang pernah tabur
janji kosong untuk menikahi Ina satu masa dahulu sewaktu usia ini mula
menginjak remaja. Sewaktu Ina mula nak mengenal dunia. Dan, pada saat itu, Ina
serahkan seluruh hati Ina pada abang. Menjaga jarak dan kesetiaan untuk abang
meskipun abang tak pernah sedar atau hargai. Sehingga Ina tak kenal erti cinta
pada orang lain, sehingga Ina jaga diri dan hati supaya tidak jadi perlabuhan
sang kumbang yang lain. Dan kerana Ina terlampau percayakan abang. Percaya yang
abang takkan sia-siakan Ina. Dan Ina beruntung, beruntung kerana ibu abang
memahami Ina dan kasihankan Ina, hingga akhirnya segala mimpi yang Ina sulam
agar abang menjadi imam dalam setiap solat Ina terlaksana akhirnya. Tapi, Ina
tak tahu yang abang menyesal. Ina tak tahu yang selama ini Ina hanya melukut di
tepian gantang, dan ternyata apa yang abang buktikan pada Ina selama ini adalah
penipuan semata-mata. Ina membiarkan airmata mengalir di pipinya. Dia menyeka
air matanya dan berlari ke kamar mandi. Teresak-esak sepuasnya.
“Aku serabut tahu tak? Serabut..” Dia
mendengar pintu rumah dibanting sebelum kelibat suaminya hilang.
***
Sudah dua hari suaminya tidak pulang.
Kerisauan mula melanda. Segala panggilan suara yang dibuat hanyalah masuk ke
dalam peti suara. Dan, segala pesanan ringkas yang dihantar ternyata tidak
berbalas.
“Abang, Ina sakit abang.. Ina sakit ni. Ina
dah tak tahan. Ina nak mengadu pada abang tapi, mana abang sekarang? Ina nak
minta abang tolong hantar Ina ke klinik, tapi abang tak ada. Abang, tolonglah.
Ina minta maaf, “ Dia merintih kesayuan. Terasa pedih menggigit-gigit tangkai
hatinya. Sepanjang dua hari ini, macam-macam sajian yang digagahinya untuk
disediakan dengan harapan suaminya akan pulang. Namun, hampa. Kepalanya semakin
berdenyut-denyut sebelum dia mengambil keputusan untuk keluar ke klinik. Ya
Allah, berdosakah dia untuk keluar ke klinik tanpa izin suaminya? Dia pernah
mendengar kuliah agama yang menyatakan bahawa tidak salah andai seorang isteri
keluar untuk membeli barang dapur walaupun tanpa izin suami. Lantas, dia
mengambil keputusan untuk singgah di pasar raya berdekatan terlebih dahulu.
Lagi pula, barang-barang dapur semuanya sudah habis. Menunggu masa untuk
digantikan. Dia mencapai telefon bimbit.
“Abang, Ina keluar kejap tau, Ina nak beli
ubat dan barang dapur, nanti dah balik Ina bagitahu,” satu pesanan lagi
dihantar. Namun, dia tahu suaminya itu pasti sedang menutup telefon bimbitnya.
Dia berpakaian apa adanya. Seringkas mungkin. Namun, tetap kemas pada pandangan
mata. Tambahan pula, dia dikurniakan dengan raut wajah yang sangat menarik. Ina
melangkah. Berpanas ke perhentian bas berdekatan. Lama dia menunggu, namun bas
tidak juga tiba. Dalam fikirannya, seribu satu kemungkinan menyerang. Ya,
bagaimana kalau suaminya pulang dan mendapati dirinya tiada di rumah? Dan
bagaimana pula jika suaminya lupa membaca pesanan ringkas yang dihantarnya atau
pihak perkhidmatan prabayar yang dilanggannya lambat menghantar mesej tersebut?
Pasti dia akan dianggap nusyuz. Menyesal kerana tidak meninggalkan nota
bertulis di atas meja. Dia teragak-agak sama ada mahu berpatah balik ataupun
meneruskan perjalanan. Dalam hati, dia hanya mampu berdoa agar dipermudahkan
segala urusan. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada Yang Maha Memiliki
sekalian alam.
Tiba-tiba satu kereta proton waja putih
berhenti di hadapannya. Hon dibunyikan nyaring.
“Eh,
Joe. Nak ke mana?” Dia cuba berbahasa.
“Saya nak ambil isteri saya kat sekolah ni
kak,dah habis waktu pejabat ni. Akak ni nak ke mana? Nak tumpang saya tak? Dah
tengahari buta ni kak. Tak ada bas masa ni..”
“La, betul ke? Tak apalah,Joe. Akak nak ke
klinik swata depan tu. Tak apalah, nanti Abang Hafiz tahu nanti karang marah
pula dia tu. Akak balik aje lah, Joe.” Dia menolak penuh sopan.
“Eh, hidung akak berdarah tu kak.. Saya
rasa.. “ Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, Ina sudah terkulai di bahu
jalan. Dia pengsan lagi.
***
Hari itu, Hafiz pulang jua. Setelah tiga
hari sepi tanpa berita. Yang anehnya, kali ini raut wajahnya berseri-seri. Ina
bersyukur, kerana Allah akhirnya mengembalikan senyuman yang amat dirinduinya
pada wajah suaminya itu. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian
alam.
“Ina,abang nak minta maaf tau sebab abang
berkasar pada Ina tempoh hari.” Hafiz menggenggam tangannya. Terasa sejuk
hatinya ketika itu. Bahagia sekali. Dia tersenyum lagi.
“La, tak apalah. Ina tak pernah salahkan
abang. Ina cuma risau abang tak balik. Abang, Ina nak bagitahu sesuatu ni, “
Ina kemudian diam. Dia ingin memberitahu suaminya bahawa Joe yang menghantarnya
ke klinik. Doktor sudah melakukan analisis dan keputusannya akan diketahui
minggu depan. Agak lambat memandangkan doktor tersebut terpaksa menghadiri satu
mesyuarat antara bakal doktor-doktor bawah pemerhatian universiti di luar
negara selama beberapa hari.
“Ha, abang pun nak bagitahu Ina sesuatu.
Tapi, Ina bagitahu abang dulu, sebab Ina yang cakap dulu tadi. Aci?”Hafiz
menarik isterinya duduk. Ina menggeleng. Dia tidak mahu suaminya menuduhnya
mementingkan diri sendiri andai dia mula bercerita dahulu. Lagi pula, bukankah
dalam apa-apa hal sekalipun, suami harus diutamakan?
“Tak, abang dulu. Alah, bukan penting pun
apa yang Ina nak bagitahu tu. Tak ada apa pun lah, abang,” Dia merenung ke
dalam mata suaminya. Hafiz tersenyum lagi.
“Baiklah. Ina, Ina ngat tak pada kawan abang
yang namanya Nur tu? Entahla Ina, abang rasa, abang serius dengan dia, Ina. Dia
baik, Ina. “ Ina cuba menelan liur. Terasa pahit. Namun, dia masih cuba
mengukir senyuman. Ya, isteri mana boleh mencemburui suami. Kufur nikmat
namanya.
“Ha, ingat-ingat. Yang pernah jumpa Ina
dulu tu kan? La, kenapa abang tak bagitahu? Memang, bagi Ina, dia baik sangat.
Eh, abang, kenapa tak cerita kat Ina yang abang ada apa-apa dengan dia?”Ina
menyoal.
“Sebenarnya dah lama abang nak bagitahu
tapi, abang risaukan Ina. Abang takut nanti Ina kecil hati dengan abang. Ina
jangan salah faham, tau. Abang pun tak tahu macamana abang dengan Nur tu boleh
jadi seserius ni. Tapi, kalau Ina tak suka, tak apa, abang dah tak kawan dengan
dia lagi dah.” Ujar Hafiz bersungguh-sungguh. Ina memandang suaminya. Abang,
pertama kali Ina tengok abang segembira ni, tegarkah hati Ina nak padam cahaya
kegembiraan ni dari raut wajah abang?
“Ish, apa pulak yang Ina tak suka. Ina
lagi suka. Dapatlah tambah ahli keluarga kita nanti. Nanti kalau abang kerja,
tak adalah Ina kesunyian sorang-sorang kat rumah. Ada kawan yang nak Ina
sembang dan ada kawan untuk Ina mengadu tentang sifat panas baran abang tu.”
Dia tertawa kecil sambil mengusik suaminya. Menutup pilu di sudut hati.
“Eh, abang panas baran ye? Tak adalah,
mana ada, Ina. Dan, apa maksud Ina nak tambah ahli keluarga ni? Abang tak ada
niat pun..” Ina menggeleng sambil tersenyum. Dia meletakkan jari telunjuk di
bibir suaminya.
“Abang, Ina perempuan abang. Sampai hati
abang main-main dengan dia kalau tak ada niat nak serius. Sampai hati abang
kan? Dah lah, Ina pinangkan dia untuk abang ya?” Gemersik suara Ina menyentuh
gegendang telinga Hafiz. Perasaan serba salah tiba-tiba menyerang.
“Ina tak kisah?”Soalnya.
“Tak, Ina lagi suka.. “ Hafiz tersenyum.
Dia kemudiannya teringat akan sesuatu dan menyoal Ina tentang perkara yang
ingin disampaikan oleh Ina sebentar tadi. Dia tiba-tiba berang semula saat Ina
menjelaskan yang dia dihantar oleh Johan ke klinik. Bertubi-tubi dia menyoal
kenapa Ina tidak memberitahunya terlebih dahulu. Bermacam prasangka buruk
berlegar di ruang matanya. Dan kali ini dia menolak Ina saat Ina melutut
memeluk lututnya memohon keampunan.
“Dah, kalau kau rasa aku ni dah tak guna
jadi laki kau, kau cakap. Tak adalah aku macam tunggul, yang kau boleh buat
sesuka hati. Buat apa-apa bukan nak bagitahu aku kan. Ya, aku memang jahat.
Tapi, aku still suami kau. Kau tak
boleh jadikan tu alasan untuk menentang aku. Kau faham tak?” Ya Allah, baru
sebentar tadi dia merasakan hangatnya belaian sang suami. Kenapa semuanya perlu
hilang sekelip mata? Ya, Allah, dia tahu berdosa untuk mempersoalkan takdir.
Tapi, salahkah dia, Ya Allah. Salahkah dia?
“Abang….” Tutur tersebut mengiringi
kepergian Hafiz pada malam itu dengan deraian air mata.
# Pembaca boleh mendapatkan 'ANTOLOGI ORANG BERDOSA 2013' yang sudah diterbitkan di pasaran untuk mengetahui kesudahan kisah ini.