Home Cerpen Islamik ANTOLOGI ORANG BERDOSA : Haruman Setanggi Syurga
ANTOLOGI ORANG BERDOSA : Haruman Setanggi Syurga
Syafeza Sauli
28/3/2013 13:26:00
7,293
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Bayu,
Ketahuilah betapa aku ingin ingin untuk meluahkan segala-galanya,
Ketahuilah betapa peritnya aku memikul segala kepedihan ini,
Mengapa dunia terlalu kejam?
Membiarkan aku sesat dalam mencari sebuah kepastian,
Wajarkah andai hati ini terus didustai?
Dan dibiarkan bertambah pilu?
Sedang aku hanyalah insan biasa,
Yang mendamba sebuah pengertian
.

     Nur Mawaddah meraup wajahnya beberapa kali. Sebentar kemudian, seuntai tasbih kristal yang berada di atas meja berhampiran katil dicapai. Nur Mawaddah tersenyum. Bibirnya kelihatan basah melagukan zikir Allah yang lantas melemaskannya dalam sebuah keasyikan. Keasyikan yang ternyata terlalu sukar untuk dimengerti, yang membawa kepada sebuah ketenangan yang nyata tidak berkesudahan. Dan kini, keteguhan itulah jua yang memaksanya untuk terus mengorak langkah tanpa berundur meskipun setapak. Mengapa tidak? Dia insan lemah.. Dialah insan yang telah tewas dalam menghadapi sebuah mainan duniawi yang ternyata, dirinya sendiri tidak mampu mengerti. Nur Mawaddah tersenyum lagi. Kali ini, Nur Mawaddah berusaha menghafal Surah Al-Baqarah. Namun, bicaranya tiba-tiba terhenti pada ayat ke-83. Bibirnya bergetar. Ada tangis yang cuba ditahan. Ahh, dia tidak mampu! Titik-titik mutiara jernih mulai bertakung memenuhi seluruh kelopak matanya.

     “Dan berbuat baiklah kamu kepada anak-anak yatim.”

     Ada sendu yang bertaut di penghujung suaranya. Mama…terlalu sukarkah untuk mama menerima kehadiran Nur dalam hidup mama? Mengapa mama tidak pernah membenarkan Nur mengisi zarah-zarah kekosongan di segenap ruang kehidupan mama? Hakikatnya Nur rindu… Rindu untuk merasai kehangatan pelukan kasih seorang ibu.

     “Ya Allah, betapa aku memerlukan pertolongan-Mu ketika ini. Teguhkanlah jiwaku untuk menerima segala ujian-Mu ketika ini.” Nur Mawaddah merintih perlahan. Sungguh…dia tidak mahu tergelincir ke dalam perangkap iblis yang berusaha membuat dirinya tersungkur di sejadah kekesalan. Dan..perkara itulah yang paling dia takuti. Nur memejamkan matanya. Rapat. Kata-kata mama yang sempat didengarinya ketika melewati kamar mama tempoh hari kembali terngiang-ngiang di cuping telinganya.

     “Papa nak apa lagi? Kan mama dah bagitahu, mama dah tak sanggup nak jaga Nur!” Mama membentak marah. Nada suara mama agak meninggi. Nur mawaddah menjadi takut. Namun, di sebalik ketakutan itu, ada suatu perasaan lain yang seolah-olah meresap lalu menghiris seluruh tangkai kalbunya. Alangkah sakitnya!

     “Mama cakap apa ni? Nur anak mama… Lagipun Nur kan…” Kata-kata papa termati di situ. Papa kemudian tunduk. Membiarkan mama menghela nafas panjang.

     “Nur apa? Cacat? Buta? Itu bukan alasan untuk dia lari dari tanggungjawab.” Kali ini, mama mendengus.

     “Tanggungjawab apa lagi? Tak cukupkah dengan mama melayan Nur macam orang gaji mama sendiri? Tak cukupkah?”

     “Ya.. memang tak! Mama benci Nur sebab Nur buta. Nur tidak sempurna. Mama rela tak ada anak daripada dikurniakan anak yang cacat macam Nur. Nur berbeza daripada Hana.”

     Nur Mawaddah terkesima. Sungguh.. Belum pernah dia menyangka bahawa mama terlalu membencinya. Ya Allah.. salahkah andai Nur dilahirkan tidak sempurna? Salahkah andai Nur cacat? Ya Allah, bantulah Nur. Nur perlukan jawapan itu. Tolonglah..! Nur menangis sepuas-puas hati. Dia tidak sanggup terus-menerus mendengar tohmahan daripada mama, namun langkahnya terasa begitu berat untuk diatur meninggalkan kamar itu. Dia terduduk longlai. Entah bila, Nur sendiri tidak sedar bila saatnya dia dipapah oleh Mak Mah menuju ke kamar.

     Nur cuba mengukir senyuman. Sambungan dari petikan ayat Surah Al-Baqarah kembali meniti di bibir mungilnya. Perlahan-lahan, memori tersebut cuba dilontarkan jauh dari kotak fikirannya. Tapi kenapa? Kenapa setiap kali dia mencuba, ada kesakitan yang bakal dia rasai? Dan yang pasti.. kesakitan itu pasti bakal membuahkan air mata. Nur kemudian membuka telekung solatnya. Persoalan demi persoalan kian mengasak-asak seluruh jiwanya. Bertalu-talu menagih sebuah jawapan. Nur penat. Terlalu penat untuk memikirkan segala-galanya. Nur Mawaddah sendiri tidak sedar, bila masanya dia terlelap.

***

     “Lailahailallah.. Lailahailallah.. Lailahailallah”

     Nur Mawaddah memandang sekeliling. Bunga-bunga di taman tersebut seolah-olah sedang berbicara merdu melafazkan kalimah-kalimah agung yang seterusnya menyentap seluruh jiwanya. Nur kagum.. Taman itu sungguh indah. Terlalu indah untuk digambarkan. Ada satu jalan yang kemudiannya terbentang di hadapannya dan seolah-olah mengundang Nur untuk berjalan di atasnya. Pada bahagian kiri dan kanan, pohon-pohon melambai dan tanpa henti malaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ yang diselang-selikan dengan tasbih dan tahmid. Dan yang anehnya, Nur Mawaddah mampu menyaksikan semua itu. Ya.. Nur tidak lagi buta!

     “Ya Allah.. Alangkah besar kekuasaan-Mu.” Ada air mata yang mengalir di pipinya kini. Terasa dia tidak layak untuk berada di situ menyaksikan keagungan Allah Yang Maha Esa. Nur berjalan lagi. Di sana, dia menemui sebuah kolam. Terpancur air jernih yang kelihatan persis butiran-butiran mutiara di udara. Alangkah indahnya!

- “Assalamualaikum, Nur Mawaddah.”

     Nur tersentak. Ada seorang lelaki berwajah mulus yang tercegat di hadapannya kini. Berjubah dan berserban putih. Nur Mawaddah sedikit terkesima.

- “Waalaikumussalam. Anta siapa? Mengapa anta di sini?”

- “ Ana hanyalah seorang hamba Allah dan akan kembali pada-Nya jua. Anti telah dizalimi bukan? Adakah anti menyesal?”

- “Tidak… Ana yakin Allah akan mendatangkan rahmat buat hamba-Nya yang bersabar.”

- “Alhamdulillah. Anti tahu bukan, Nabi Muhammad S.A.W pernah dizalimi? Dan anti tahu bukan, alangkah tabahnya baginda?”

- “Ya, ana tahu.. Dan demi Allah baginda adalah seorang ‘uswatul hasanah’ yang terlalu ana kagumi.”

- “Dan sesungguhnya baginda telah menjadi kecintaan kepada sesiapa sahaja yang mengenalinya. Bahkan, Saidina Abu Bakar sendiri rela dipatuk oleh seekor ular ketika menemani baginda bersembunyi di Gua Thur. Pada saat itu, Rasulullah S.A.W sedang tidur di atas ribanya. Namun, oleh sebab tidak mahu mengejutkan baginda, Saidina Abu Bakar telah menahan kasakitan sehingga mengalir air mata di kedua-dua belah pipinya. Anti ingin mendengar satu cerita?”

- ”Anta ceritakanlah.”

- “Pernah satu ketika, Rasulullah S.A.W. didatangi oleh seorang lelaki. Namun, disebabkan baginda ketika itu, baginda sedang bersiap untuk berperang, baginda telah memukul kudanya sehingga terkenalah pukulannya pada tubuh lelaki tadi. Setelah itu, lelaki itu pergi menemui baginda dan meminta pengadilan.

-“Lalu, apa terjadi?”

-“Maka, Rasulullah S.A.W menyuruh lelaki tersebut memukulnya. Pada mulanya, baginda dihalang oleh cucunya, Hassan dan Hussin yang sanggup menggantikan tempat baginda. Lalu baginda berkatalah bahawa bagindalah yang berhak menerima hukuman tersebut dan bukannya mereka. Ditakdirkan baginda telah memukul lelaki tersebut dalam keadaan tidak berbaju maka, lelaki tersebut juga meminta baginda membuka baju. Pada saat itu, sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. berusaha menghalang baginda. Namun, setelah itu, lelaki tersebut menjatuhkan rotannya seraya berkata,

“Sesungguhnya, wahai kekasih Allah, aku tidak berniat untuk memukulmu, aku hanya ingin untuk menyentuh tubuhmu yang begitu mulia ini.”Lantas, lelaki tersebut memeluk baginda dengan penuh kasih sayang.

     Nur Mawaddah menangis keharuan. Alangkah besarnya cinta mereka terhadap Rasulullah S.A.W. Ah, andai sahaja dia bisa memiliki perasaan cinta yang begitu agung, lantas menjadi insan yang dimuliakan darjatnya di sisi Allah S.W.T. Nur Mawaddah kemudian mengangkat wajahnya. Ada satu cahaya kesedihan yang cukup sukar ditafsir barkaca di sebalik pandangan tulus yang dihadiahkan kepadanya. Nur Mawaddah mengerutkan keningnya. Hairan.. Dia? Kenapa dengan dia? Entah mengapa, perasaan kurang enak kian lama kian menusuk ke kalbunya. Barangkali…

-“Anta siapa? Kenapa anta sedih. Marahkah anta pada ana?”

     Senyap. Persoalan tersebut kemudiannya dibiarkan berlalu ibarat desir-desir angin yang tanpa sedar semakin jauh meninggalkan susuk-susuk tubuh mereka. Lelaki tersebut tunduk. Memandang sepatu. Kemudian, tanpa diduga, melemparkan sebuah senyuman yang cukup menyenangkan. Menyerlahkan keindahan raut wajah anugerah Allah kepada insan bergelar manusia.

-“Nur Mawaddah.. Kebahagiaan akan datang kepada anti kelak seandainya anti tabah dan bersabar atas segala ujian yang muncul dalam hidup anti. Anti jangan risau, Allah itu Maha Pengasih kepada setiap hamba-Nya yang soleh dan solehah. Insya-Allah, anti salah seorang dari mereka.”

-“Tapi, anta siapa?”

-“Ana…Imran Jazimin.”

***

     Nur tersentak. Ah, dia bermimpi rupa-rupanya. Jelas terngiang-ngiang di cuping telinganya suara-suara asing berbicara mengenai sesuatu. Namun, butir bicaranya cukup sukar untuk difahami. Dia di mana? Serentak, dia tiba-tiba diserang perasaan takut.

     “Bagaimana, doc? Dia tidak apa-apa bukan?” Soalan papa,entah ditujukan kepada siapa menerjah gegendang pendengarannya.

     “Well, shall we talk abaut it outside?” Tidak lama selepas itu, derap kaki seseorang berlalu meningalkan ruangan tersebut semakin menghilang. Sekaligus, melenyapkan kegusaran Nur Mawaddah.

     “Mak Mah..”Lemah sahaja getar nada suaranya ketika itu. Namun, cukup kuat untuk sampai ke pendengaran pembantu rumah yang hampir menjangkau usia setengah abad tersebut. Mak Mah menghampiri Nur. Menggenggam tangan Nur yang dirasakan cukup sejuk.

     “Mak Mah tahu Nur di mana? Nur… Kenapa dengan Nur? Tadi doktor kan Mak Mah?” Soalan yang bertalu-talu diajukan meskipun dia sebenarnya tidak berminat menagih sebarang jawapan. Cukuplah dengan kehadiran perempuan tersebut. Itu sudah cukup memadai baginya.

     “Shh,rehat ya sayang? Nur kat bilik Nur. Mak Mah jumpa Nur pengsan dalam telekung solat kat bilik Mak Mah. Semua orang risaukan Nur. Nur baring dulu ya?” Nur mangangguk. Dia kembali merebahkan tubuhnya ke atas katil.

     “What the hell! Look, mama! She is just about to attract your attention,actually! She is nothing but such of big trouble. Hana ada temujanji dengan kawan tau, mama?” Ah,Nur cukup kenal dengan suara tersebut. Itu pasti Hana,seorang insan yang cukup dicemburuinya. Adik yang sering mendapat perhatian dan kasih sayang mama. 'Hana, betapa akak terlalu teringin untuk diberikan peluang meskipun hanya untuk sesaat untuk menatap wajahmu yang bisa menjadi permata di hati mama. Tapi, andai sahaja akak bisa,' suara hati Nur merintih perlahan..

***

     Papa menekan punat kunci tombol pintu dari dalam. Mama kaget. Tidak mengerti maksud papa bertindak sedemikian. Ada seribu satu persoalan yang menyerang benaknya kini. Sejak papa bertemu dengan Doktor Ezani yang ditugaskan untuk memeriksa keadaan kesihatan Nur tempoh hari, sifat papa bertukar aneh. Dan, keanehan itulah yang memaksa mama untuk bertanya namun, ternyata dia tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk berbuat sedemikian. Papa kemudiannya menarik tangan mama. Mendesak mama supaya duduk di birai katil.

     “Papa kenapa?” soal mama tiba-tiba. Kemudian mendengus kurang senang.

    “Selama ni kan mama, kita tak pernah ambil berat pasal Nur kan, mama?” Mama mengukir senyuman paksa mendengar soalan yang meluncur dari bibir papa. Baginya, tiada apa yang perlu dibincangkan mengenai isu tersebut.

     “Soal apa” Tanya mama, acuh tak acuh. Mama kemudian mengerutkan keningnya. Meminta pengertian.

     “Nur sebenarnya boleh diubati. Peratus kemungkinan untuk Nur kembali melihat semula adalah tinggi. Doctor beritahu papa yang mereka boleh bantu Nur..” Terang papa bersungguh-sungguh. Mama bangkit. Seolah-olah cuak mendengar penjelasan papa. Langkahnya pantas sahaja dikorak menghampiri pintu.

     “Mama,nanti! Nama Nur telah diletakkan sebagai satu-satunya waris yang bakal mewarisi syarikat hartanah peninggalan arwah bapa saudara papa. Sebaik sahaja Nur berkahwin, atau usianya menjangkau 21 tahun, Nur bakal memiliki senua aset malah, dividen saham sepenuhnya.” Mama terpaku. Dia memanggung kepalanya. Matanya dibutangkan tepat ke arah papa. Apa yang pasti, mama cukup tersentak. Berita tersebut benar-benar menguji kekuatannya.

***

     Nur Mawaddah membetulkan selendangnya. Jam satin berwarna hitam di pergelangan tangan kanannya ditilik beberapa kali. ‘Ah, lewat lagi,’desis hati Nur perlahan. Masa ternyata begitu pantas berlalu. Tidak lama lagi dia bakal diiktiraf sebagai peneraju utama Syarikat Forerunner Holdings Sdn. Bhd. Namun, bukan itu yang manjadi kerisauannya sekarang. Mama memintanya supaya menerima lamaran Doktor Ezani. Sedang pada hakikatnya, perkara itu tidak mungkin berlaku. Dia tidak mahu atau lebih tepat lagi, dia sedang menantikan seseorang. Nur Mawaddah sedikit berlari-lari anak. Hari ini, dia diminta malakukan sedikit pemeriksaan susulan setelah pembedahan dilakukan ke atas kedua-dua belah matanya.

     “Ops, maaf!” Ujar Nur Mawaddah sebaik sahaja menyedari dia terlanggar seorang nurse perempuan yang sedang bertugas menolak kerusi roda pesakit. Nur tunduk. Mengutip kunci kereta yang terjatuh dari genggamannya. Suasana hospital kelihatan sedikit lengang ketika itu.

     “Maaf, cik.." Sekali lagi, dia memohon maaf. Jururawat muda tersebut tersenyum. Nur Mawaddah sedikit tersipu-sipu. Malu dengan kecuaian diri sendiri.

     “Tidak mengapa,,, Err, Encik Imran Jazimin tak apa-apa kan?” Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan. Nur Mawaddah terkesima. Susuk tubuh lelaki tersebut kemudiannya diperhatikan.

     “Anta???”

# Untuk mengetahui kesudahan cerpen ini, pembaca boleh mendapatkan 'Antologi Orang Berdosa' yang sudah diterbitkan di pasaran.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.