Kuala Lumpur
2013
Seorang gadis yang terlantar di Wad VIP
Kenanga bernombor K39 mengerang-ngerang kesakitan. Tetapi, tidak lama. Dia
kemudiannya diam. Lima minit kemudian, tingkahnya berubah lagi, kali ini dia
mengesat-ngesat air mata yang bergenang di pelupuk matanya . Dia menghadapkan
pandangannya ke luar tingkap. Termenung agak lama.
-Vee..kaki kau dah tak cantik Vee. Haha. Kau dah tak boleh
jalan.
Suara
mengejek-ejek tersebut terus terngiang-ngiang di cuping telinganya. Tapi gadis
tersebut tidak mempedulikannya. Dia menyelak selimut, menampakkan bahagian
kakinya hingga ke betis. Kemudian, dia membelai-belai kakinya sendiri.
“Vee nak
jadi model.. Kalau Vee nak jadi model, kaki Vee kena cantik. Vee kena jadi
tinggi. Vee nak jadi model..” Antara dengar atau tidak, dia bersuara.
“Vee nak
jadi model.. Vee nak jadi model.” Kali ini, dia bernyanyi-nyanyi pula sambil
mengulang perkataan yang sama. Rambutnya yang sedikit ikal mayang paras bahu
dipintal-pintal dengan hujung jari sebelum wajahnya berubah kelat dan
masam.
“Ala, kenapa
tak dapat rasa apa-apa ni..” Dia menekan-nekan bahagian kakinya sambil
memicit-micit. Kecewa..dia berhenti berbuat demikian. Jururawat yang
memandangnya dari jauh hanya tergeleng-geleng.
“Cik Vee,
kaki Cik Vee tak mengalami apa-apa masalah pun Cik Vee. Kemalangan kecil
sahaja. Menurut perkiraan pihak kami, Cik Vee akan boleh berjalan semula dalam
masa yang singkat, lebih kurang dalam tiga bulan sahaja lagi. Itu pun kalau Cik
Vee rajin mengikuti sesi physioteraphy
yang pihak kami sediakan. Pengurus Cik
Vee dah aturkan appointment dengan specialist kami untuk setiap sesi treatment. Lagipun, masalah saraf yang
kecil sahaja.” Terang jururawat tersebut, berusaha menenangkan. Dia kemudiannya
membetulkan kembali selimut yang hampir-hampir terjatuh ke bawah. Vee mengangkat
wajahnya. Kemudian, tertawa.
“Iya? Yay!
Vee nak jadi model!” Riang sekali wajahnya. Dia kemudian berbaring kembali
sambil tersenyum-senyum.
-Vee nak jadi model, tapi Vee tak
boleh jalan. Kasihan! Haha..
Suara
tersebut mengejek-ngejek lagi. Gadis tersebut tersentak. Dia kemudian
serta-merta terduduk. Kali ini, muncul pula lembaga hitam, menari-nari mengejek
di hadapannya. Gadis itu mendengus kasar.
“Cik Vee
kenapa? Rehat sahaja ya?
“Shhhhh…!
Dengar tak suara tu? “ Soal gadis itu. Jururawat sedikit terpinga-pinga.
“Suara apa
tu Cik Vee?” Jururawat itu menoleh-noleh seketika. Kemudian,dia cepat-cepat
menyusun ubat-ubatan di atas meja, menuang air masak ke dalam gelas dan
beredar. Takut untuk berlama-lama di situ.
“ Vee nak
jadi model! Jangan cakap Vee pendek. Pergi main jauh-jauh!” Terjerit-jerit
sedikit gadis tersebut kali ini. Terlihat akan kelibat hitam tersebut masih jua
mengganggunya, dia mencapai selimut, kemudian terus menutup wajahnya.
Tiga malam sebelumnya…
“Come on, Vee.. They are waiting..” Vee menoleh sekilas.
Kemudian, mengangguk-angguk. Sebaik sahaja dia melangkah, tepukan bergema.
Langkahnya diatur satu-persatu, penuh dengan pesona yang terlalu memukau.
Susunan langkahnya begitu cantik sekali, kaki kanan sentiasa berada dalam
garisan yang sama dengan kaki kirinya. Dia memiliki sepasang kaki panjang yang
cukup cantik, meskipun pernah satu ketika dia digelar ‘si pendek’. Dagunya sedikit didongak manakala tangan
kanannya terus berada di pinggang. Dia berpusing-pusing seketika. Mata-mata
penonton masih kaku, terpukau dek kemegahan yang mengekori setiap gerakannya.
Bibirnya langsung tidak lekang dengan senyuman. Senyuman yang menjadi ekspresi
karisma dalam dirinya. Padanlah dia tidak sunyi dari projek-projek baru. Malah,
projek-projek yang ditandatanganinya melibatkan komitmen dari syarikat-syarikat
antarabangsa yang terkemuka. Bukan calang-calang orang mampu membayarnya.
Harganya boleh mencecah ribuan ringgit untuk beberapa jam sahaja. Sebaik sahaja
melangkah turun ke belakang pentas, tepukan bergema lagi. Kali ini, lebih kuat.
Vee tersenyum puas. Dia tahu, Victoria Legend pasti berasa begitu beruntung
memilihnya sebagai model untuk mempromosikan fesyen musim panasnya yang
terbaru.
“David, panaslah. Cepatlah sikit..” David, jurumekapnya datang
dengan sedikit lemah-gemalai. Vee mendengus. Mafela berbulu yang melingkari
lehernya cepat-cepat ditanggalkan dan dicampakkan ke atas meja mekap. David
memperkemaskan lagi mekapnya, meletakkan lapisan bedak tabur dan mengoles-oles
berus ke sekitar wajahnya.
“Dah ok lah, Vee.” Komen David sepatah. Mengambil mafela yang
dicampakkan olehnya sebentar tadi dan berlalu. Vee duduk di hadapan meja mekap.
Memerhatikan wajahnya, kalau-kalau terdapat cela pada mekapnya sebentar tadi.
Wajahnya didekatkan ke arah cermin, memeriksa solekan mata. Dia cukup maklum,
dalam sifir asas solekan, mata merupakan salah satu sisi yang perlu dititikberatkan.
“Vee, orang tua tu nak jumpa kau. Event dah habis kan?” Vee memanggung kepalanya. Kemudian, kembali
memandang cermin dan membetulkan kanta lekapnya.
“Who?” Ujarnya
sepatah. Soalan tadi berbalas soalan kembali.
“Dato’ Dahlan lah Vee, siapa lagi. Untung you Vee. I pun tak seuntung you walaupun I
lagi lama dalam bidang ni berbanding you.”
Nada Neldya berbaur sedikit cemburu. Dia meletakkan kotak mewah berbalut baldu hitam
di hadapan Vee. Vee senyum lagi. Kalau bukan jam pasti sahaja gelang tangan,
dia mengagak-agak sendiri. Dia suka dengan kehidupannya kini. Sentiasa
dilimpahi kemewahan.
“Dia tunggu I ke?
Cakap kat dia, nanti I datang..” Kali
ini, dia mencapai tas tangannya dan masuk ke bilik persalinan.
“You ni berani
sangatlah Vee.. You tak takut ke bini
dia datang serang you?” Kata-kata
Neldya membuatkan langkah Vee terhenti seketika. Dia kemudian memandang Neldya
tajam.
“Apa nak takut? Habis harta dia I kikis nanti, I
tinggalkanlah dia. Dasar orang tua tak sedar diri.” Seloroh Vee sambil tergelak
besar. Namun, jauh di sudut hati, dia benar-benar memaksudkan setiap butir
bicaranya. Neldya tergeleng-geleng. Vee menyanyi-nyanyi kecil, lagu Rihanna
meniti di bibir mungilnya sebelum bayangnya hilang di sebalik daun pintu bilik
persalinan kecil.
Neldya mencebik. Rasa cemburunya tiba-tiba sahaja
meluap-luap. Beg solekan berjenama Louis
Vilton milik Vee di atas meja tiba-tiba diselongkarnya. Dia sendiri tidak
tahu mengapa, sekadar memuaskan hatinya. Terasa seronok benar menceroboh
kehidupan peribadi gadis berkenaan. Sebaik sahaja tangannya tercapai sesuatu,
wajahnya berubah ceria. Dia mengetap bbir sambil akalnya ligat menyusun sesuatu
agenda.
“You buat apa tu
Neld?” Neldya sedikit tersentak. Cepat-cepat tangannya disorokkan ke belakang.
Kunci kereta milik Vee digenggam erat.
“Err..tak ada apalah, Neld.. Aku, aku, aku dah nak balik. Aku
minta diri dulu lah ya..” Neldya sedikit tergagap-gagap sebelum beredar
perlahan-lahan. Tanpa sebarang curiga, Vee mencapai beg solekannya dan mengatur
langkah untuk bertemu dengan seseorang, mangsanya yang entah ke berapa puluh!
Kampung Bagan Datoh.
1995
Anak kecil
tersebut mengerutkan wajahnya geram. Marah benar akan sikap mereka yang tidak
mahu mengerti. Rakan-rakan yang lain terus mentertawakan dia. Dia hanya diam.
Merenung tajam ke arah guru perempuan di hadapannya.
“Awak ni
biar betul Vanidah? Saya tanya cita-cita lah. Awak nak jadi model? Tak ada
impian langsung. Jadi model awak tak boleh cari makan awak tahu?” Tempelak guru
itu lagi sambil menekup mulutnya menahan tawa. Terasa lucu di pendengarannya,
kanak-kanak berusia 7 tahun boleh berfikiran sebegitu. Lantas, dia terfikir,
mungkin sahaja pengaruh sekeliling? Tetapi, terasa benar-benar lucu pula.
“Model tu
apa cikgu?” soal salah seorang kanak-kanak perempuan yang lain kebingungan.
Yang lain sudah mula terbahak-bahak. Ada sesuatu yang cukup mencuit hati
mereka.
Model tu,
orang yang pergi bergaya-gaya atas pentas tu.. Macam gini, macam gini..” Ujar
guru tersebut lagi sambil meniru-niru gaya model sedang berjalan dan
memuncungkan bibirnya. Gelak kanak-kanak lain meledak lagi.
“Ala, tapi
kan, Vanidah tu pendek? Orang pendek tak ada kaki cantik macam Erra Fazira kan
cikgu? Macamana nak jadi model nanti?” soalnya sambil menggaru-garu kepala.
Naïf. Langsung tiada niat untuk menyindir sahabatnya. Kanak-kanak perempuan
yang sedang berdiri itu sudah mula mengeluarkan air mata. Hanya suara sahaja
yang tidak berbunyi. Dia marah! Dia kecewa!
“Vanidah
akan jadi model!” Ujarnya. Serta-merta, dia berlari keluar dari bilik darjah
berkenaan. Suasana bingit seketika sebelum guru perempuan tersebut berusaha
menenangkan para pelajarnya.
“Dah lah
pergi sekolah pun comot. Anak orang susah, ada hati nak jadi model?” Ujarnya
kuat. Sempat didengar oleh gadis perempuan berkenaan sebelum berlalu pergi. Dia
mengesat-ngesat air matanya yang jatuh kemudiannya.
***
“Vee, are you okay?” Neldya menyentuh bahu
rakannya yang kelihatan sedang termenung jauh. Jauh di sudut hati, dia berasa
cukup bersalah kerana mengakibatkan keadaan rakannya begitu. Dia berasa
bersalah kerana telah mengakibatkan Vee ditimpa kemalangan. Dia tidak
sepatutnya melakukan sesuatu yang boleh mencelakakan Vee. Dia tidak sepatutnya
membiarkan perasaan cemburu terus menguasai dirinya malam itu.
Vee diam.
Memandang jauh, menembusi dinding. Situasinya sama. Langsung tidak berubah
selepas dari kemalangan tersebut. Neldya dipalu rasa kecewa. Air mata di
pipinya jatuh perlahan-lahan.
“Shh..” Vee
meletakkan jari telunjuk di bibirnya lagi.
“Tu,
tengok.. Dia kata aku tak boleh jadi model.” Dia menunjuk-nunjuk ke arah
jendela.
“Vee, aku
minta maaf.” Ujarnya sepatah. Cuma, dia tidak menerangkan kenapa dia berbuat
demikian, kenapa dia meminta maaf. Dia takut untuk mengaku, dia takut sekiranya
perkara ini sampai ke pengetahuan pihak polis. Dia boleh dipenjarakan dan
kariernya juga akan musnah. Dia takut akan hal itu.
Vee tidak
mempedulikan gadis itu sama sekali. Dia kini dalam dunianya yang paling
tersendiri. Neldy memejamkan matanya rapat.
“Neld..”
Ujar Vee tiba-tiba. Lembut sekali. Neldya tersenyum, mengangkat wajahnya.
“Ye, Vee.
Vee, kau okey kan? Kau dah sihat
kan?” Vee tertawa.
“Vee nak
jadi model.. Vee nak jadi model..” Vee bernyanyi-nyanyi lagi. Neldya menghela
nafas. Menurut doktor, Vee hanya mengalami kemalangan kecil. Cuma, buat
seketika, dia mungkin tidak boleh berjalan. Saraf-saraf pada bahagian kakinya
masih belum mampu bertindakbalas dengan sempurna selepas kemalangan. Tiada
hentakan pada bahagian kepala. Tapi, kenapa Vee begini?