Home Cerpen Keluarga Kaku
Kaku
Syafeza Sauli
20/11/2013 19:52:27
2,729
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

I

Bagai siang bila hilang cahaya matahari,
Bagai malam yang sunyi tanpa terangnya cahaya purnama.

Bila sahaja cahaya cinta kian suram, senyuman yang dulu terukir juga tidak lagi sama. Perlahan-lahan kian pudar, pudar ditelan abad. Makin lama, makin suram. Melalui jendela, seraut wajah wanita ditatap, diiring keluar oleh seorang lelaki dari sebuah perut kereta Mercedes hitam. Langsir dikuak, direnung langkah dari jauh. Bila sahaja tombol pintu dipulas, lambaian mesra dengan senyuman paling manis dihadiahkan sebelum kereta tersebut pun menderam laju.

Tubuh susut itu ditinggalkan. Kot pejabat dilemparkan ke atas sofa. Beg berjenama diletakkan di atas meja. Sekilas, pandangan singgah pada seseorang yang berdiri di jendela. Hanya sekilas, dan kemudian berlalu tanpa sebarang perasaan. Ruang-ruang likup suram, angin berhembus terasa bahang. Langkah terus diatur, menjejaki raut yang di luar tadinya. Tanpa sepatah kata, masih lagi direnung wajah yang leka menghadap cermin solek berwarna coklat tua. Lama. Aroma minyak wangi menusuk, memasuki rongga-rongga penafasan.

Langkah diatur lagi. Menapak ke ruang tamu dan menuju ke pintu. Mercedes yang sama, menunggu di luar. Tidak berpaling walau sekilas, raut yang dilihat terus berlalu. Tanpa lambaian, tanpa senyuman. Pintu dihempas. Juga tidak dikunci. Tubuh susut itu menutupnya perlahan. Berlalu semula ke kamar yang baru sahaja ditinggalkan. Menghampiri meja solek. Memandang refleksi diri. Fungsi kewujudan tidak lagi ditemukan,semakin samar untuk dimengerti.

ii

Koyak lamunan dalam ilusi dangkal
Letak tafsiran dalam puisi bias

Laci dibuka perlahan. Gunting, sampul surat, setem lama dan sebuah diari di dalamnya dipandang. Diari dikeluarkan. Helaian demi helaian diselak. Wajah pucat, tanpa senyuman. Terperangkap dalam jasad, terpenjara dalam rasa. Tulisan demi tulisan ditatap

“Abang kenapa berubah? Kenapa tak pedulikan saya lagi? Salah apa saya? Saya rindukan abang. Kenapa buat saya macam ni? Kenapa?”

Diari ditutup. Refleksi wajah pada cermin ditatap lagi. Rambut diramas perlahan. Gumpalan yang gugur pada tangan direnung. Melangkah ke bakul sampah. Dibuang. Kemudian, tubuh susut itu menapak. Raut wanita yang direnung dari luar jendela hampir tiap kelmarin-kelmarin memulas tombol pintu kamar. Dengan senyuman yang tiba-tiba sahaja redup. Persekitaran umpama kosong. Atmosfera terasa sesak. Melangkah raut tersebut ke katil dan merebahkan diri. Berlalu tanpa sapaan. Tubuh dipaling ke kiri. Tubuh susut itu mengira setiap detik kaku. Jendela dihampiri. Kelam. Malam kelam.

iii

Terpenjara dalam lamunan
Terperangkap dalam caturan takdir

Bukan mudah sembunyikan gundah dalam senyum. Raut wajah yang diperhatikan saban ketika sepurnama dahulu tidak begitu. Munculnya dengan senyuman. Matanya gemilang memancarkan kebahagiaan. Sepulangannya membawa catatan cinta, kucupan jarang dilupakan. Dengan titipan tawa, bercerita dengan penuh emosi. Tiba-tiba dalam sekelip mata, semuanya lenyap. Lenyap dalam atmosfera bungkam.

Urat-urat hijau yang semakin timbul pada tubuh susut diperhati. Terasa pelukan kejap dihadiahkan di belakang. Dia berpaling. Dalam ilusi, dilihat raut wajah tersebut menghadiakan senyuman. Membisikkan azimat-azimat cinta yang dinantikan saban ketika. Dalam ilusi cuma. Bayangan tersebut kemudian lenyap. Susuk susut terbatuk-batuk kecil. Ditekup dengan tangan. Bila terasa basah, dilihat lendir merah pada telapak tangan. Segera melangkah ke bilik air. Semakin payah untuk berdiri. Nafas terasa sesak. Payah untuk bergerak namun digagahkan. Komplikasi makin nyata. Hanya detik dihitung, menanti tibanya saat penghujung, tanpa raut tersebut di sisi. Kenangan dibina menghiasi tiap sunyi, berlegar-legar menjadi ilusi bagai nyata.

iv

Tolehan terakhir terhenti terpaku,
Susuk Izrail menyapa pandangan,

Tubuh susut membaringkan dirinya perlahan, atas katil yang sudah dirapikan cadarnya. Merenung ke atap dengan pandangan tembus. Nafas naik sedikit demi sedikit. Cuba ditahan. Dilepaskan dengan perlahan-lahan. Semakin lama semakin laju. Terasa sakit pada bahagian kaki, menuju ke pinggang, terus tertarik ke atas. Mulut yang dirapatkan dibukakan sedikit. Tercungap-cungap menarik nafas paling panjang. Sepanjang-panjangnya. Mulut terkumat-kamit, mengucap kalimat paling agung. Mata terbelalak dalam kesakitan amat. Bila nafas terakhir dilepaskan, jasad tertinggal dalam tampak yang tenang. Kaku ibarat pemimpi yang mengulit lena.

v

Tamat ilusi dalam dunia maya
Memori terimbas tinggal dalam kenangan

Raut wajah yang kelmarin-kelmarin diperhatikan seperti rutinnya, kembali setelah cahaya matahari bersembunyi. Mencari-cari kelibat tubuh susut yang sering memerhatikan di balik tingkap, tapi tidak pada hari itu. Menapak ke kamar. Dilihat tubuh susut terbaring kaku. Perlahanlahan dihampiri. Dibelai rambut dalam elusan lembut. Teraba-raba tangan pada katil sebelum menyentuh sesuatu. Kertas bersaiz A4 diambil dan ditatap.

“Mar, abang tak pernah abaikan Mar. Abang sayangkan Mar. Kasih abang pada Mar tak pernah walau secuit pun beralih arah. Cuma, abang kena redha yang abang tak boleh selama-lamanya hidup di samping Mar. Sebelum abang pergi, abang nak tengok Mar bahagia, dan abang bahagia, bila cita-cita abang yang satu ni,tercapai.

Mar, masa abang dah tiba. Ada sesuatu yang Mar tak tahu, yang Mar tak sedar. Abang sakit. Sakit abang, tak perlu abang ceritakan. Cuma abang nak Mar tahu, abang sayang Mar. Dalam sampul surat, abang sediakan sedikit wang. Mungkin tak banyak. Tapi, abang harap cukup untuk majlis perkahwinan Mar dengan dia nanti. Abang bahagia melihat senyuman Mar dengan dia..”

Belum habis bacaan, air mata menitis setitik demi setitik. Makin lama makin laju. Tubuh kaku digerak-gerakkan, tiada nafas. Tiada perrgerakan. Bibir diketap, ketar menahan tangis. Dada jasad tersebut disentuh, tiada degupan. Tiada degupan!

Raungan sekuat-kuatnya muncul dari tubuh longlai yang terjelepok menerima hakikat maha pedih. Suami yang disayangi, bukan lagi di alam yang sama kini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.