Home Cerpen Thriller/Aksi Kau Milikku
Kau Milikku
Syafeza Sauli
2/4/2013 12:26:38
12,161
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang

3 Disember 2012
12.00 Tengahari.
Kolej Kediaman Siswi.
Laporan : Seorang siswi Semester 3 dilaporkan dibunuh.

      Gempar! Pembunuhan seorang gadis dengan cara yang begitu mengerikan cukup memeranjatkan warga kolej kediaman Blok B pada senja yang hening itu. Tapi, benarkah ini perbuatan mereka yang layak digelar manusia? Tidak ada walau secebis belaskah pembunuh berkenaan? Wajah mulus milik seorang gadis cantik disiat-siat halus dengan menggunakan belati yang masih belum diketahui jenisnya. Beberapa orang penuntut perempuan sudah teresak-esak menekup mulut. Tidak sanggup sekali menyaksikan insiden berkenaan. Pada tubuh wanita berkenaan, terdapat kesan-kesan lebam seolah-olah didera namun, tiada kesan tikaman. Namun, apa yang paling perit untuk disaksikan adalah keadaan gadis tersebut yang kian lama kian berubah fiziknya. Wajahnya, tubuhnya kian menyusut. Menyusut akibat kehilangan air. Akibat dehidrasi! Sekali imbas, mayat seolah-olah sudah berusia 70-an. Hanya tinggal rangka dan kulit semata-mata. Keji! Perbuatan siapakah? Ahli bedah forensik sudah lama tiba di tempat kejadian. Pembunuh bukan calang-calang orang! Intelektualnya begitu kreatif, melakukan pembunuhan dengan begitu licik sekali, sehinggakan tidak akan pernah sesekali tercapai dek akal penuntut lain.

     “Pembunuh orang gila agaknya”

     “Tak! Masakan orang gila begitu cerdik! Dia psiko!”

     “Sudah klise bukan? Pembunuhan dengan cara kejam, pembunuh hanya inginkan perhatian. Dambakan populariti! Seolah-oleh semakin kejam cara pembunuhannya, semakin hebat dirinya. Salahkan sahaja mereka-mereka yang menggalakkan manusia berinovatif! Nah, inilah hasilnya!”

     Tohmahan demi tohmahan dilemparkan oleh mereka-mereka yang menyaksikannya. Tidak mengapa! Bukan mereka yang berada di tempat mangsa. Lalu, untuk apa mereka cuba mengerti? Siren polis masih jua kedengaran. Seorang lelaki hanya memandang dari jauh, semakin lama matanya semakin kabur. Setitik demi setitik air matanya jatuh jua.

     “Ku ingin engkau menjadi milikku,
     Aku akan mencintaimu..menjagamu selama hidupku,
     Dan aku kan berjanji hanya kaulah yang ku sayangi,
     Ku akan setia di sini.. Menemani..” Lagu ‘Ku Ingin Kamu’ dendangan Romance Band meniti perlahan-lahan di bibirnya.

7 Mac 2012

     Kamarul Azam menukar-nukar siaran radio beberapa kali. Ah! Bosan betul! Dirasakan tiada satu lagu pun yang bisa menghiburkannya ketika ini. Laporan mengenai eksperimen yang dikendalikan oleh Dr. Lily masih jua belum disentuhnya. Esaimen apatah lagi. Nah! Padan muka dia. Siapa suruh bergelar siswa Fakuti Sains? Terpaksalah berhadapan dengan rutin harian bergelar pelajar. Sudah nasib agaknya! Dia mengeluh-ngeluh sendiri.

     “Rul,siapkan assignment aku eh?” Satu suara garau menyergahnya dari belakang. Kamarul Azam terpinga-pinga seketika. Dilihatnya dari belakang, Hashim sudah tersengih-sengih bagaikan kerang busuk.

     “Ala, tapi assignment aku pun tak siap lagi lah, Hashim.” Dia membetul-betulkan cermin matanya yang jatuh ke tulang hidung yang paling atas. Mata empat! Itu gelaran mereka kepadanya. Namun, dia tidak kuasa melayan mereka. Lambat-laun, mereka akan diam juga. Begitulah fikirnya. Lagi pula, bagaimana dia mampu melihat tanpa bantuan benda alah tersebut. Hisham mencerlungnya tajam. Dia malas membalasnya. Mahu tidak mahu, dia bersetuju sahaja. mungkin ramai akan mengatakan dia seorang yang lemah, masakan mempertahankan diri sendiri sahaja sudah tidak mampu? Tapi, dia tidak kisah, dia percaya pada karma. Perbuatan baik akan dibalas baik,begitulah sebaliknya. Hashim tersengih-sengih lagi. Menonong-nonong sahaja langkahnya bergerak menghampiri pintu sambil bersiul-siul. Badrul Azam memandangnya sekilas sahaja. Itu pun, tidak lama sebelum dia membuang pandangannya jauh ke luar jendela.

     Sunyi! Langit tampaknya seakan-akan begitu sunyi seredup pandangannya. Hanya sesekali diliputi awan-awan putih yang menjengah namun, berlalu pada kesudahannya. Memang begitu aturannya, mahu tidak mahu manusia perlu pasrah menerima hakikat, hakikat bahawa tiada apa yang akan kekal. Hakikat bahawa lambat-laun akan ditinggalkan jua. Namun, pasrahkah dia? Tidak! Ini tidak adil! Tidak harus berlaku kepadanya. Sekurang-kurangnya bukan dia.

     Sesekali mengeluh, firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu . Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui" menjengah . Allahu Akbar! Astaghfirullah! Dia tidak sepatutnya memepersoalkan takdir. Allah pasti sudah mengatur satu kisah hidup yang paling baik untuknya. Ustaz Zamri pernah berpesan, redha dengan apa yang Allah telah tentukan untuk meraih redha Allah. Ustaz Zamri baik orangnya, tidak pernah lekang dari memberi nasihat dan tunjuk ajar padanya. Dirinya diasuh dan dididik dengan penuh ilmu agama, untuk bekalan akhirat, pesan Ustaz Zamri.

     Kamarul Azam perlahan-lahan membuka suis yang terletak bersebelahan dengan meja belajarnya. Dia membuka perisian Microsoft Word. Sesekali menongkat dagu dan mula menaip-naip sesuatu.

12 Disember 2012

     Ketukan bertalu-talu dari luar membuatkan Kamarul Azam bangkit dari tempat tidurnya, katil bujang bercadarkan kain cotton berwarna biru. Dia terpisat-pisat sebelum melangkah menghampiri pintu. Sebaik sahaja pintu bilik kolej kediamannya terkuak, dua orang anggota polis lengkap beruniform, meluru ke arahnya. Kamarul Azam sedikit terpinga-pinga sebelum tangannya digari.

     “Ikut kami ke balai..” Gesa salah seorang dari anggota polis berkenaan. Kamarul Azam akur meskipun seribu satu persoalan tanpa jawapan mulai perlahan-lahan menerjah. Tanpa segan silu menerobos hingga ke sel-sel otak yang tidak tercapai dek akalnya untuk berfikir. Jujur, dia tidak tahu mengapa dan apa kesalahan yang sudah dia lakukan. Ya Allah, bermimpikah dia? Pandangannya kabur-kabur sahaja tatkala dibawa keluar. Mana tidaknya, dia tidak sempat pun mencapai cermin mata miliknya di atas meja. Dia hanya mendengar-dengar bunyi suara yang tidak begitu jelas butir percakapannya. Sinaran flash kamera sekejap-kejap mengenai anak matanya. Wajahnya ditundukkan. Tidak mampu menahan sinaran flash tersebut tanpa bantuan cermin matanya.

     “Encik, benarkah ini pembunuh yang telah disabitkan dengan kesalahan membunuh seorang siswi yang bernama Siti Shuhada Binti Aziz? Wajahnya tidak kelihatan seperti seorang pembunuh.” Komen salah seorang wartawan seraya mengaju soalan ke arah salah seorang aggota polis yang bertugas.

     “Buat masa sekarang, pihak kami masih menyiasat. Mohon beri laluan.” Anggota polis yang berpangkat koperal tersebut menjawab. Kamarul Azam sedikit tersentak. Riak wajahnya benar-benar terperanjat. ‘Ya Rabb, bala apakah ini? Shu.. Shu… siapa yang sanggup buat macam tu pada Shu? Kau dah tak ada, Shu? Shu.. Tak mungkin,’ hatinya merintih perlahan. Seingatnya, sudah lama benar dia tidak berjumpa dengan gadis berkenaan. Ya, sejak kebenaran mengenai sesuatu sampai ke pengetahuannya. Kalau diikutkan, hampir sahaja dia terjelepok menerima berita tersebut. Namun, dia masih jua menggagahkan dirinya. Sedaya upaya dikuatkan kudratnya yang masih bersisa. Untuk seketika, dia tidak dapat menerima hakikat. Masakan! Masakan Syu pergi pada usia yang begitu muda? Ah, bukankah ajal dan maut, semuanya urusan yang berada luar dari jangkaan manusia? Tapi, nanti! Siti Shuhada dibunuh? Angkara siapa? Dan kini, adakah dia kambing hitam?

     Langkahnya menuntuni langkah anggota-anggota polis yang lain menuju ke kereta yang sirennya masih menyala tatkala diasak-asak dari belakang. Segala-galanya berlaku begitu pantas sekali, terlalu pantas sehinggakan dia tidak mampu berbuat apa-apa!

31 Mac 2012

     “Andai sahaja bisa hati menuturkan kata-kata yang paling indah, takkan pernah sesekali terzahir dek perkataan betapa indahnya pekertimu yang menggugat kedamaian jiwa ini..” Meluncur ayat tersebut satu persatu, umpama syair indah yang menyapa gegendang telinga Kamarul Azam. Dia senang sekali, hatinya berbunga-bunga indah. Dia kemudian menatap wajah Siti Shuhada yang merupakan salah seorang pelajar Fakulti Pengajian Bahasa di Universiti tersebut.

     “Ah, ada-ada sahaja kamu, Shu.. Aku tidak seperti yang kamu gambarkan. Bahkan, kamu yang tidak mampu melihat kekurangan pada diri aku. Hakikatnya, aku bukan sepertimu, kasturi yang sentiasa mengharum, menebarkan ketenangan. Kalau benar sekalipun, gandinganku hanya layak pada bunga tahi ayam sahaja.” Ujar Kamarul Azam membuatkan gadis genit tersebut mengekek kecil. Sesekali, orang-orang lain yang lalu-lalang menjeling ke arah kejelitaan gadis berkenaan. Kamarul Azam perasan sekali akan hal itu. Bohong kalau tidak tercuit walau sedikit rasa cemburu yang kian bercambah di dasar hatinya.

     “Aku bukan tidak melihat pada kekuranganmu, cuma kamu yang tidak pernah sedar akan kelebihanmu. Bunga tahi ayam, meskipun berbau kurang menyenangkan, rupanya molek. Malah, moleknya mungkin sahaja bisa mengalahkan kasturi. Benar bukan, Zam?” Siti Shuhada berhujah pintar, meggunakan segala kemahirannya dalam menggubah bahasa. Kamarul Azam tergeleng-geleng. Untuk berbahas, nyata sesekali dia tidak akan pernah dan mampu menang. Siti Shuhada terlalu bijak mengatur hujah-hujahnya. Dia lain, dia miliki kelebihan yang bukan semua wanita milikinya. Kelebihan yang mampu membuatkan seorang lelaki cair, ditambah dengan kejelitaannya yang begitu memukau. Kalau tidak, Siti Shuhada tidak akan menjadi gadis rebutan. Cuma, gadis tersebut sahaja yang jual mahal. Memilih kaca jika dibandingkan dengan permata. Begitulah yang sesekali terlintas di benak Kamarul Azam.

     “ Shu..kalau sahaja aku pintal segala rasa-rasaku menjadi untaian sajak, nescaya takkan pernah habis helaian-helaiannya, nescaya tinta akan kering jua pada penghujungnya. Aku berasa terlalu beruntung mengenalimu, Syu. Bahkan, aku merasakan aku adalah jejaka yang paling bertuah, kerana kau lebih memilih diriku. Cuma, aku sangsi sekali, sangsi dengan dirimu, Syu..” Kamarul Azam melepaskan satu keluhan. Siti Shuhada berkerut-kerut menerima pengucapan lelaki tersebut.

     “Sangsi? Kenapa? Aku berbuat silapkah, Zam? Katakan sahaja, apa kamu tidak berkenan padaku? Apa aku tidak layak untukmu Zam? Atau, kau sendiri sudah punya sang bunga yang bertakhta di hatimu sekian lama, dan aku hanyalah perlabuhan yang lambat laun akan ditinggalkan kesepian oleh sang peraih kapal? Begitukah Zam?” Begitu sayu sekali nada suaranya. Riak wajahnya juga berubah kelat. Kamarul Azam tersenyum.

     “Tidak, Syu! Cuma, aku bukan siapa-siapa. Kau berhak mendapat seseorang yang jauh lebih baik dariku. Aku takut, aku takut seandainya setelah aku curahkan segala rasa padamu, kau meninggalkan aku jua Syu, atas alasan aku tidak memiliki kesempurnaan yang kau cari..” Kamarul Azam menjelaskan. Kali ini, Siti Shuhada menghela nafas.

     “Zam, aku tidak mencari kesempurnaan. Aku mencari nakhoda untuk melayarkan bahtera, yang mampu membimbing, menjadi ketua dengan segala buah-buah fikirannya, yang aku yakin aku mampu. Andai kesempurnaan yang aku cari, nescaya tenggelamlah bahteraku lantaran aku tidak akan pernah menemuinya sampai kiamat sekalipun. Aku sudah memilihmu, dan aku akan meyakinkanmu dengan kesetiaanku. Belum cukupkah Zam?” kali ini Kamarul Azam terdiam seketika. Merenung jauh ke hadapan.

     “Boleh kau berjanji, Syu? Yang kau takkan pernah tinggalkan aku?” Siti Shuhada tertawa. Sesekali, dia mengerling ke arah Kamarul Azam.

     “Mohamad Kamarul Azam, saya berjanji akan sentiasa menemani awak dalam setiap langkah yang saya atur, dalam setiap nafas yang saya hela dan dalam setiap nadi yang berdenyut. Tidak akan pernah saya meninggalkan awak sendirian sebab cinta saya…”dia berhenti seketika. Jari jemarinya menjamah pepasiran pantai tempat mereka berteleku, mengembil segenggam pasir dan melepaskan ke udara.

     “..umpama pepasir ni.. Tidak akan pernah terbilang.” Dia tersenyum. Kamarul Azam mulai merasa matanya sudah berkaca-kaca namun, cepat-cepat dia menyembunyikannya. Dia berdiri.

     “Kalau begitu Syu, cinta saya seluas lautan ni, tak ada penghujungnya dan tidak bertepi. Sentiasa mengalir deras tanpa henti, dan sentiasa menjadi peneman kepada pepasiran. Pepasiran… kamu tidak kesunyian.” Dia berteriak. Kemudian, mereka sama-sama tergelak mesra. Cuaca cerah, secerah cinta mereka..

15 Disember 2012

     “Encik, mungkin ada kesilapan. Tak mungkin saya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 364 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan menculik untuk tujuan membunuh. Saya masih waras. Lagipun, gadis yang terbunuh tu..dia..dia gadis yang paling saya cintai segenap jiwa dan raga saya.” Kamarul Azam bersuara sayu saat dia disoal. Itu pun setelah ditahan di dalam sel selama 3 hari. Anggota polis yang menyoalnya merenungnya tajam. Tubuhnya ditopang dengan meletakkan kedua-dua belah tangan di atas meja. Ahli pakar psikologi yang berada di sisi anggota polis berkenaan hanya diam sahaja. dia memerhati. Cuba mencari tingkahlaku kalau-kalau apa yang dipaparkan oleh Kamarul Azam adalah lakonan semata-mata. Dia sudah lama dalam bidang ini. Dia tahu persis kalau-kalau pesalah cuba untuk berbohong. Malah, dia juga mahir untuk menggunakan kaedah psycho untuk membuatkan seseorang pesalah itu mengaku.

     “Ehem..” pakar psikologi itu berdehem. Dia duduk dengan tenang, berhadapan dengan Kamarul Azam. Sesekali memerhati kalau-kalau tangannya berpeluh, atau kedudukan bola mata Kamarul Azam berubah-ubah atau dia cuba mengubah kenyataan dan aliby, dia akan menggunakan kaedah probability untuk mengesan mana-mana tingkahlaku yang dirasakan mampu untuk menyabitkan pesalah dengan jenayah yang telah dilakukan olehnya. Tetapi, Kamarul Azam,dia tidak ada tanda-tanda tersebut.

     “Saya dengar, awak berkrisis dengan mangsa, benar bukan?” soalnya. Kamarul Azam tunduk. Terasa perit menusuk ke hulu hatinya. Ada sesuatu yang dirasakan menikam-nikam perasaannya. Soalan tersebut benar-benar membunuh jiwanya yang sudah lama mati.

     “Benar!” ujarnya sepatah.

     “Kenapa?”

     “Mungkin jodoh kami tak ada.”

     “Dia tinggalkan awak untuk lelaki lain?”

     “Cukup! Saya tidak mahu mengenanginya.”

     “Lantas, awak membunuhnya?” Kamarul Azam mengangkat wajahnya.

     “Tidak! Saya sudah lama memaafkannya, saya percaya dengan Qada’ dan Qadha. Saya orang Islam, saya percaya dengan ketentuan takdir. Apa yang berlaku, sudah menjadi aturan Allah dan saya tidak berhak menyoal. Lagipun, saya bahagia melihat dia bahagia.”

     “Tapi, dia tidak berhak menyeksa kamu. Mempermain-mainkan perasaan kamu.”

Diam. Kamarul Azam diam, dia merenung jauh. Seolah-oleh berlaku satu renjatan elektrik, dia diam.

     “Hidup mempermainkan kamu dengan kejam. Hidup telah menyeksa kamu. Dan perempuan itu, dia ragut kebahagiaan kamu, dia berpura-pura pada kamu. Dia berhak dibunuh! Dia patut merasakan sakit yang kamu rasakan!” Semakin rancak pakar psikologi tersebut melancarkan jeratnya tatkala melihat Kamarul Azam mula memberi reaksi positif.

     “ Ya.. dia berhak dibunuh. Dia patut merasakan sakit yang Kamarul Azam rasakan..” Kali ini, umpama dipukau, Kamarul Azam mengulangi semula ayat yang diucapkan oleh pakar psikologi tersebut.

     “Jadi Kamarul Azam telah membunuhnya?”

     “Haha.. Padan muka kau betina! Tu semua salah kau, jangan salahkan aku. Aku takkan bunuh kau kalau kau tak bunuh aku dulu, kalau kau tak bunuh jiwa aku..” kali ini, masing-masing terperanjat, Kamarul Azam sudah berubah seratus peratus menjadi orang lain kini. Mereka sebenarnya sudah yakin bahawa mereka tersalah menahan orang. Mereka baru sahaja yakin bahawa Kamarul Azam bukan pembunuhnya. Tapi kini, apa sudah jadi? Kenapa sebenarnya?

31 November 2012

     “Tolong..Tolong! Lepaskan saya! Saya merayu, encik.” Siti Shuhada merayu pada seorang lelaki yang berpakaian hitam, dengan memakai topeng muka berwarna hitam juga. Lelaki tersebut hanya diam, pada tangannya terdapat sebilah pisau belati yang dilekatkan pada wajah wanita berkenaan.

   

    # Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, pembaca boleh mendapatkan 'Antologi Jiwa Kacau di pasaran

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.