Home Cerpen Cinta Setiaku Hanya Padamu
Setiaku Hanya Padamu
3/3/2016 12:41:58
4,020
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

AKU tahu dia berbohong tentang usianya. Kala dia tersenyum tiada garis kedutan langsung. Entah mengapa dia berbohong tentang usianya itu, aku ingin tahu. Namun kemudian aku rasa usia tidak lagi penting.

Apa yang lebih penting kini kami mulai berkawan. Aku kembali tidak sabar menunggu bermulanya hari-hari baru dalam hidupku seperti saat pertama kali aku jatuh cinta.

Kini duduk-duduk di pinggir Tasik Geneva, menikmati aiskrim gelato dari sebuah gerai di situ sudah menjadi rutin setiap petang. Aku cemburu pada itik dan angsa yang berenang bebas di dalam tasik. Sebagai manusia aku terbelenggu oleh satu perkataan yang bernama kesetiaan.

Aku mahu jadi wanita setia, meskipun suamiku jauh. Angin sejuk di awal musim bunga membelai pipiku dengan lembut menambah dinginnya tubuh. Musim berganti lagi. Manusia jua masih belum berubah dan menyedari bahawa perjalanan hidup mereka kian tiba di garis penamat.

“Sal, saya ada kat depan awak pun awak masih lagi berkhayal.”

“Awak membosankan saya Juan,” balasku sengaja mengusik.

“Ooo, saya membosankan? Jom kita pergi dari sini!”

Juan membayar harga aiskrim gelato yang sudah tinggal sisa. Aku mengekori Juan yang berjalan laju meninggalkanku di belakangnya. Sempat aku memerhati tubuh Juan yang nampak besar dalam balutan jaket tebal. Rambut Juan lurus, liar dimain angin lewat. Sesekali dia memakai topi atau french beret. Aku pernah katakan padanya, dia lebih tampan tanpa topi.

Sejak itu dia tidak lagi memakai topi apabila kami mengatur pertemuan. Ah! Gilakah aku? Gila kerana berkawan dengan seorang lelaki yang umurnya jauh dari lebih muda dariku. Aku berbohong jua tentang umurku yang hampir meniti angka empat puluh. Semasa pertemuan kedua atau ketiga, dia bertanya tentang usiaku. Sambil menggigit bibir, aku kemudian memberitahu Juan umurku tiga puluh dua.

“Wah! Saya lebih tua. Umur saya 35.” Katanya teruja.

Semasa pertemuan ke empat, dia tidak lagi memanggilku dengan panggilan ‘Puan’. Dengan beraninya dia menyebut namaku hanya singkatan ‘Sal’ dan aku membiarkannya, seolah-olah rela. Beberapa hari selepas dia mulai memanggil aku Sal, aku menerima mesej dari telefon bimbitku dengan ucapan selamat pagi sayang. Kini hal itu menjadi rutin mengucapkan selamat pagi sayang dan selamat malam si manis sebelum aku melelapkan mata. Aku pun sama gila dengan Juan, membalas ucapannya dengan senang hati.

Seminggu kemudian dia menghantar sejambak bunga pada awal pagi. Aku bergegas membuka pintu setelah mendengar ketukan singkat, lalu dikejutkan dengan mawar merah walaupun di penghujung musim dingin. Aku mengambil bunga itu dengan hati curiga. Aku terus menutup pintu, langsung tidak mencium bunga itu lantaran aku bimbang dia sedang mengintaiku dari sebalik pohon di tepi jalan.

Aku sedang berjalan dengan Juan, teman yang baru aku kenali kira-kira tiga bulan yang lalu. Nama penuhnya Ridzuan tetapi disingkatkan kepada Juan, agar mudah disebut. Lidah orang-orang Barat ini memang tidak boleh menyebut Bahasa Melayu dengan betul.

Aku dan Juan semakin mesra, lantaran kami berkongsi kesepian dan kerinduan yang sama pada tanahair. Dia sudah hampir sepuluh tahun di kota ini.

“Ehhh, ni macam jalan menghala ke rumah awak,” kataku setelah kami berjalan lebih kurang dua puluh minit melalui lorong yang sepi.

Udara bertambah sejuk bersama datangnya malam. Di kiri kanan jalan itu bangunan-bangunan klasik berdiri dengan angkuh dalam remang senja. Lampu-lampu di sepanjang jalan mulai terpasang terang. Dua tiga orang manusia yang berselisihan di jalanan, pantas melangkah untuk segera memanaskan badan di dalam rumah. Kami terus berjalan lagi hingga akhirnya Juan berhenti di hadapan sebuah pintu. Ada tangga panjang menghala ke tingkat atas.

“Jom ke rumah saya. Saya nak tunjukkan awak satu lukisan. Awak pasti teruja. Saya yakin awak akan gembira melihatnya nanti. Saya berani potong rambut!”

Dia ketawa sambil mengusap rambutnya yang bebas di atas bahu.

Aku turut ketawa.

“Tak percaya pada saya? Saya takkan pernah apa-apakan awak Sal!”

Dia mengangkat keningnya yang lebat.

Matanya memanah tepat ke dalam mataku. Bukan sedikit jantungku berdegup. Mengapa jantungku begitu hebat getarannya? Hati berbisik spontan. Sal! Kau wajib setia pada suamimu walaupun dia jauh.

“Okey, sekejap saja.”

Juan melangkah gerbang pintu yang tinggi tetapi sempit, memanjat tangga dengan gagah hingga terdengar bunyi derap kasutnya. Aku mengekori dari belakang berteman rasa gelisah yang luar biasa. Debaran dada kian memuncak, rasa ingin tahu yang mengocak.

Juan menghidupkan semua lampu hingga suasana jadi terang benderang. Ruang tamu sederhana luas itu, dipenuhi dengan pelbagai barang. Barang kesayangannya, timbunan lukisan-lukisan yang sudah siap dibingkai dan diikat kemas terletak di satu sudut.

Sudut lain sofa panjang berwarna coklat yang kian pudar kelihatan dipenuhi baju dan jaket. Bantal dan selimut juga. Tidak kemas langsung. Aku tahu dia sibuk untuk pameran lukisan tidak lama lagi.

“Bila pameran tu?”

“Lusa.”

Dia bergerak ke arah stand lukisan, masih terdapat kanvas di situ. Oh Tuhan! Itu hasil lukisan yang disembunyikannya sebelum ini. Dia enggan membenarkan aku melihat hasil karyanya yang terakhir sebelum dia membawa semua hasil kerjanya ke galeri.

Galeri lukisan milik teman Juan, terletak di Geneva Old Town. Galeri itu besar dan luas, menjadi tumpuan ramai pelancong. Juan telah menyiapkan banyak koleksi lukisan bertema Asia Tenggara berserta portfolio. Dia berharap koleksinya kali ini akan membawa kejayaan yang lebih besar. Ada pelabur yang tertarik pada hasil karya Juan yang tebal warna Asia dan Melayunya lalu ingin membiayai pameran yang lebih besar di New York. Itu harapan Juan untuk mengembangkan sayapnya lebih jauh di bumi Amerika.

Juan pernah menceritakan padaku dia terlalu ingin pulang ke pangkuan bonda. Pun sebelum niat itu terkabul, bondanya telah pergi mengadap Ilahi lebih dahulu. Meskipun sekali sekala dia rasa sedih, tetapi dia tidak pernah menyesal.

“Ini jalan hidup yang saya pilih. Saya akan jalaninya dengan sebaik mungkin, sebelum ajal saya tiba.”

Dia melarikan diri dari rumah ketika berusia dua puluh tahun, kemudian merantau di sini kerana merajuk. Rajuk yang mungkin tidak akan terpujuk lagi. Awal remaja jiwa Juan penuh dengan pemberontakan, kerana merasa kurangnya kasih sayang bonda. Dia merasakan kasih sayang itu telah pecah berantakan dek pilih kasih antara adik beradik yang lain. Dia keciciran dalam pelajaran. Dia dikatakan bodoh dan tolol kerana menyimpan cita-cita ingin jadi seorang pelukis.

Juan menarik kain penutup lukisan perlahan-lahan. Mataku tidak lepas dari memandang ke arah lukisan yang masih menjadi rahsia. Mataku terbelalak luas ke arah lukisan yang terpamer dengan penuh kesenian. Wajah yang terpamer di lukisan itu seakan-akan hidup, mata yang sedang menatap dengan pandangan lembut, melimpah dengan kasih sayang. Lama aku terdiam, kaku dan hilang suara.

Aku masih terkejut melihat batang tubuhku berdiri seperti hidup di atas kanvas lukisan itu. Tiba-tiba menyeruap rasa marah dalam dada. Lukisan itu terasa mengaibkan. Juan tersenyum menanti hamburan pujian dariku, sebaliknya aku dengan wajah merah lantaran malu, sepantas kilat memaling badan menuju ke pintu.

“Sal!” panggil Juan kaget.

Aku terus berjalan menuruni tangga dengan langkah yang besar dan laju walaupun aku mulai merasa kakiku sakit. Akhirnya aku terpelecot jatuh di tepi anak tangga lantai paling bawah berdekatan dengan pintu.

Juan yang mengejarku dari belakang terus meluru ke arahku.

“Sal!” serunya dengan cemas.

Aku yang sudah pun terduduk di lantai berusaha untuk bangun. Ketika dia menghulur tangan untuk membantu, aku malah menepisnya dengan kasar. Aku berpaut pada selusur tangga untuk berdiri.

“Beraninya awak Juan! Awak betul-betul dah jadi macam mereka. Kita orang Melayu, Islam, Juan! Awak dah lupa?”

“Sal! Saya minta maaf.”

“Siapa izinkan awak Juan? Siapa izinkan awak lukis saya dalam keadaan macam tu? Apa yang awak bayangkan selama ni adalah satu kegilaan dan satu dosa. Kegilaan apa ni Juan?”

“Sal! Saya minta maaf, ok?”

“Saya rasa aib sangat. Awak ingat saya apa?”

“Saya tak pernah sekali pun memandang rendah pada awak Sal! Tak ada niat langsung. Awak berada di sini, di jantung hati saya dan selalu berada dalam fikiran saya.”

“Imaginasi awak kotor, Juan. Awak dah terikut-ikut dengan cara hidup orang-orang kafir tu.” Aku tidak dapat membendung marah.

“Ya, mungkin betul kata awak Sal. Saya terikut-ikut dengan mereka. Tapi perasaan saya pada awak adalah benar Sal. Saya sayang, saya cintakan awak.”

Aku tidak menghiraukan ucapannya yang lirih itu. Bukan itu yang aku mahu dengar. Dengan suara yang menggeletar aku berkata kepada Juan.

“Tolong musnahkan lukisan tu. Kalau tidak, jangan harap kita akan berjumpa lagi.”

Juan diam dan menunduk. Kemudian dengan wajah sedih dan iringan maaf beberapa kali dia mengangguk.

“Sebenarnya lukisan tu bukan untuk pameran. Saya ingin meminta izin dari awak untuk menyimpannya, kerana saya tahu saya takkan dapat memiliki awak, Sal! Tapi percayalah, saya akan bakar lukisan tu sekarang juga.”

Aku terus berlalu pulang. Selama beberapa hari kami tidak bertemu. Tiada teks mesej, tiada panggilan telefon. Segalanya senyap dan menyendiri. Aku meneruskan kerja-kerja di Universiti Of Geneva, seperti biasa. Sebagai pensyarah jemputan, kontrakku akan berakhir pada musim panas nanti. Aku akan segera meninggalkan tempat ini, meninggalkan Juan bersama kenangan pahit manis yang tidak akan berulang semula.

Suatu petang sebaik habis kuliah, aku berjalan sendiri. Bersendirian sudah menjadi rutin pula dan mulai terbiasa. Mataku memerhati sahaja ke arah beberapa orang lelaki yang sedang bermain catur gergasi. Di antara lelaki itu, aku terlihat Juan. Dia terus berhenti bermain, bergerak ke arahku bersama senyumannya yang biasa. Mesra. Rambutnya masih seperti dahulu, kusut menentang angin.

“Hai!” tegurnya ramah.

Aku hanya membalas dengan anggukan. Kukunci bibir dari senyuman. Dia kelihatan janggal berdiri di hadapanku yang sedang membina tembok dingin.

“Saya rindu awak,” ucapnya perlahan hampir-hampir tidak terdengar.

Aku diam.

“Saya rindu nak makan aiskrim gelato dengan awak di tepi tasik.”

“Saya nak balik cepat!” balasku dengan pantas berlalu pergi.

“Sal!”

Dia terus memanggil aku beberapa kali hingga suaranya hilang dibawa desah angin yang kian deras. Aku terus berjalan laju mengejar trem yang baru tiba. Aku tidak menoleh ke arah Juan. Aku lebih takut pada perasaanku sendiri. Kala aku memandang wajahnya tadi, aku mengaku ada rindu yang tersimpan jauh di sudut hati kecil ini. Aku rindu untuk bertemu, berbual dan bercerita bukan sekadar menikmati aiskrim gelato di tepi tasik.

Sebaik masuk ke lobi apartment yang aku sewa, terlihat seorang lelaki sedang menunggu bersama sebuah beg pakaian.

“Abang?” aku terkejut melihat kedatangan suamiku.

Surprise!” katanya sambil tersenyum lebar.

Beberapa hari yang lalu suamiku menyatakan dia amat sibuk dan tidak sempat untuk menziarahiku.

“Abang dah seminggu di London. Lari sekejap jumpa Sal di sini. Abang rindu. Esok kita ke Paris, bulan madu kali ke dua!” kata suamiku dengan wajah gembira.

Aku tersenyum bahagia. Saat ini aku merasakan begitu besarnya cinta suamiku yang selama ini tidak pernah aku sedari. Kami sudah menikah hampir lima belas tahun tetapi belum jua dikurnia zuriat.

“Terima kasih sebab datang tepat pada waktunya, bang. Sal memang sangat memerlukan abang sekarang.”

Esoknya awal pagi aku dikejutkan dengan secebis mesej daripada Juan.

Hidup saya macam sudah hilang kawalan. Lebih baik saya pergi buat selamanya.

Aku terus memadam mesej Juan dari telefon bimbit bimbang ketahuan oleh suamiku yang masih tidur. Namun kata-kata Juan tetap bermain dalam fikiranku sepanjang pagi kami bersiap untuk ke Paris. Dua hari di Paris terasa seperti berbulan-bulan lamanya. Setelah suamiku pulang ke London bagi menyambung persidangan yang dihadirinya aku buru-buru ke rumah Juan. Pintu rumah Juan berkunci rapat.

Tiga bulan kemudian aku kembali ke Malaysia. Kini aku sedang hamil muda. Tidak sia-sia perjalanan singkat kami ke Kota Cinta.

Pada suatu pagi yang hening, kala aku mengadap laptop terus mataku terpandang pada gambar lukisan di dinding muka buku milikku. Lukisan itu amat aku kenal, hasil karya Juan. Namun bukan gambar lukisan bogel tanpa seurat benang yang pernah dilakarnya. Lukisan itu adalah gambar wajahku dengan jubah hitam dan bertudung litup.

Aku baca status Juan di dinding muka bukanya. Kini dia berada di Amerika Syarikat. Senyumanku kembang dan lebar. Juan, kau sudah terbang bebas seperti burung, menggapai impian.

Aku jua sedang bahagia kerana aku memilih jalan yang betul. Aku memilih untuk terus setia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.