Home Cerpen Cinta Aku, Payad dan Uyung
Aku, Payad dan Uyung
Zhar Aruzi Hairi
30/12/2016 16:22:41
3,933
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Pagi ini cerah, walau malam tadi hujan lebat. Air hujan membasahi halaman rumah. Aku termanggu seketika di muka pintu. Nikmat sungguh dapat merasai suasana pagi yang hening sebegini!.

“Ah! Futsal pagi ni! mujur teringat”

Aku bingkas bersiap-siap.



“Payad!” Aku melaung nama itu sebaik memberhentikan motosikal. Sekali lagi aku melaung hingga perit anak tekak. Aku berharap sangat siapa-siapa di dalam rumah itu boleh mendengar.

“Hoi bangkit!! Iddin dah sampai no” Aku mendengar suar Mak Cu Kiah menjerit dari dalam rumah. Bunyi pintu diketuk berulang kali turut kedengaran. Payad mesti belum bangun-bangun lagi sebab ada perlawanan bola awal pagi tadi. Dia memang tak pernah ketinggalan mengikuti perlawanan bola secara langsung. Baru tidur agaknya!.

Sekoyong-koyong tubuh lelaki berselimutkan kain pelikat muncul di jendela. Matanya masih mengecil terkelip-kelip memandang ke arah aku.

“Awal sampai. Nak pegi mana?” Tanya Payad yang masih menguap. Dia antara sedar dengan tidak. Masih mamai lagi.

“Awal apanya! . Dah dekat pukul lapan ni. Kau main tak Futsal pagi ni!” Tegas aku.

“Alamak!!” Payad tersentak dan kembali ke dunia nyata. Dia macam teringatkan sesuatu lalu bergegas masuk ke dalam. Lima minit kemudian dia keluar dengan berpakaian sukan dengan menjinjing kasut bola futsal.

“Kau sempat mandi tak?”

“Kau jangan tanya boleh!”



Stop! Stop! Sekejap” jerit Payad sambil menepuk belakang aku. Terhoyong hayang aku memberhentikan motosikal di bahu jalan. Mujur tiada kenderaan lain yang lalu.

“Kenapa?”

“kau pegang bootaku kejap” Payad berlari ke arah belakang dan masuk ke dalam kawasan semak berhampiran. Mata aku menerjah ke kawasan semak itu hingga kelihatan susuk perempuan berbaju lusuh dengan memakai topi besar menutupi kepala.

“Ah! Dia nampak Uyung rupanya. Ada la tu”


Payad menghampiri Uyung yang sibuk mencebik pucuk-pucuk paku pakis dan dimasukkan ke dalam raga yang dikendongnya. Hampir sarat bakul itu tapi dia masih memetik.

“ Rajin Yong kutip pucuk paku. Sayur tengahari ni ke ?” Uyung hanya diam. Mungkin takut, mungkin juga malas untuk melayan karenah Payad.

“Ada tak. Sikit pun tak apa?” Sambung Payad lagi dengan muka tak malu. Uyung berpusing membelakangkan Payad dan menyeluk ke dalam baju.

Note berwarna hijau diserahkan kepada Payad. Payad mencium note itu sebelum menyelitkannya di dalam poket. Senyumnya memanjang. Uyung langsung tidak melayan. Mata dan tangannya fokus kepada pucuk-pucuk paku segar di depan mata.

Payad berlari ke arah motosikal. Dipanjatnya tempat duduk belakang.

“Pagi-pagi ni pun kau pau duit Uyung… Payad.Payad!” aku menyerahkan semula kasut Futsal Payad.

“Rezeki jangan ditolak, Bro” Balas Payad bersahaja. Muka tak bersalah “Jom la cepat. Nanti dioarang bising pulak.”

“Bukan dua hari lepas ke kau dapat gaji. Cepatnya habis duit kau” Leter aku. Payad bekerja sebagai juruwang di pasaraya berdekatan kampung.

“Dah! Dah! Jalan. Jangan banyak tanya”


Nama Uyung adalah singkatan daripada perkataan sulung. Dia anak perempuan sulung Pak Bakar. Dialah anak gadis kampung paling naïf yang pernah aku jumpa. Pendiam. Tak pernah aku nampak bersolek. Sentiasa sahaja bermuka kusam dan kadangkala berminyak. Dia bersekolah setakat darjah enam sahaja. Satu sekolah dengan aku dan Payad. Masa sekolah tadika kami bertiga memang rapat sebab selalu berjumpa semasa berjalan kaki ke sekolah. Pernah main bersama-sama, berkubang dan memancing di tali air. Haluan kami berubah setelah memasuki alam remaja dan dewasa.

Sikap Uyung macam anak dara kampung dulu-dulu. Seakan sezaman Mak aku atau Mak Cu Kiah masa diaorang muda-muda dulu. Anak perempuan memang kena pandai membuat semua kerja-kerja rumah. Mereka sahaja yang boleh diharap untuk memasak, mengemas atau membasuh, sewaktu emak dan ayah bekerja di ladang atau ke bendang .

Emak Uyung memaksa dia berhenti sekolah selepas habis darjah enam. Hanya itu sahaja jalan bagi membolehkan adik-adiknya yang lain meneruskan persekolahan. Dia terpaksa membantu emaknya menguruskan keluarga. Adik-adiknya seramai sebelas orang kesemuannya. Yang paling kecil pun berumur dua tahun.

Uyung tidak pernah memegang telefon bimbit. Apatah lagi berwasap atau Facebook. Yang dia tahu adalah memastikan adik-adiknya dapat bersekolah, emak dan ayahnya pula tidak pening kepala. Dia akan membuat apa sahaja kerja-kerja kampung yang termampu dan halal. Dari mengutip sayur-sayuran liar di sekitar kampung, mengail ikan atau menolong orang membuat kerja-kerja rumah. Ibunya tidak membenarkan Uyung untuk berkerja tetap kerana ada ketikanya dia perlu menjaga adik-adiknya di rumah.

Cuma Uyung tidak sukakan budak-budak sekampung. Sebab ramai budak-budak kampung suka mengejek dia kalau berselisih. Ada yang menggelarnya budak busuk, orang gila dan macam-macam panggilan lagi. Dia tidak membalas. Cuma kalau mendengar kata-kata yang menyakitkan hatinya, dia akan berjalan cepat-cepat. Uyung juga tidak suka bertengkar atau bergaduh.



Payad memicit kakinya yang membengkak kemerahan. Aku menghulurkan plastik berisi ais untuk dia mengurangkan bengkak.

“Kau nak main lagi ke lepas ni!” Dia mengangguk. Mukanya berkerut menahan sakit.

“Kaki dah merah tu, berjengket nanti kalau kau main jugak”

“Budak kita kan tak cukup. Tak aci la kalau bagi team lawan menang macam tu je” Tegas Payad.

Aku faham sangat hati Payad. Pendirian dia tetap dan tak mudah untuk mengalah.

Aku angkat tangan tanda bagus pada budak yang tanya pasal kaki Payad tadi. Dia nak tahu Payad boleh sambung main atau tidak.

Kalah atau menang, adat pertandingan. Main tetap main. Aku tahu Payad masih mengantuk!.



“ Uyung tu Payad!” Aku mencuit pinggang Payad. Telunjuk aku menghala ke arah kelibat Uyung yang sedang menuruni tangga.

Aku dan Payad sama-sama ditugaskan membasuh pinggan mangkuk di Kenduri Haji Hamidon ini. Kerja yang paling serasi dengan kami berdua. Walaupun hanya diberikan upah kain tuala ‘good Morning’ sahaja. Kami tetap melaksanakan tugas itu dengan cemerlang.

Payad bangun menuju ke arah Uyung yang berbaju kurung jingga dan bertudung kuning cair yang kini berada di kawasan hidangan. Gadis itu ingin mengambil sedulang hidangan. Wajah hitam manisnya nampak lebih ceria dengan pakaian itu.

“Yong!” Hampir sahaja terlepas dulang yang dipegang Uyung sebaik disapa Payad di tepi telinga.

“Nak apa Payad, Aku nak hantar lauk ni kat Kak Siah” Bising Uyung. Dia tak suka kerjanya diganggu.

“Ada tak!” tanya Payad. Uyung memandang mata Payad dengan mulut muncung.

“Kejap lagi, jumpa kat belakang. Dah makan belum”

“Dah ! Makan awal-awal tadi, kejap lagi nak sambung lagi” Balas Payad sebelum kembali menyambung kerja di sebelah aku.



“Woi nak ke mana tu?” Payad bangun sambil mencapai bunga telur yang tuan rumah agihkan tadi. Kami mendapat seorang satu. Payad mengambil kedua-duanya.

“Hey, Tu aku punya!” Berdesup dia bangun meninggalkan aku seorang membasuh pinggan. Mata aku sempat melihat kelibat Uyung yang menunggu di belakang rumah.

Payad menyerahkan kedua-dua bunga telur tadi kepada Uyung. Note merah dari tangan Uyung beralih ke tangannya. Aku menggeleng kepala. Masa kenduri pun kau sempat pau Uyung!!

Aku membuat muka serius sebaik dia duduk untuk menyambung kerja.

“Takkan tu pun merajuk kot. Aku bagi bunga telur tu kat Uyung pasal adik beradik dia ramai. Kau kira sedekah sudahlah”

Aku mencelup tangan dan menyimbah air basuhan pinggan mangkuk ke arah Payad.

“Hoi! Basahlah baju aku”

Aku mengekek berlari ke khemah DJ. Uyung menggeleng kepala dari jauh.



Dari tadi, Aku terdengar bunyi orang marah-marah tidak jauh dari rumah. Sebaik membuka jenang tingkap, jelas kelihatan Pak Bakar sedang memukul Uyung sambil marah-marah di hadapan rumah Makcik Rubiah. Aku mencapai suis motor dan segera memakai baju. Cepat-cepat aku memecut ke situ.

“ Apa ni Pak Bakar?” Aku bertanya sebaik menahan dia dari terus memukul Uyung dengan pelepah kelapa.

“Ni namanya anak tak makan diajar. Ada ka dia curi kain tudung orang. Kalau nak cakap..Aku boleh beli!!!! “ Jerkah Pak Bakar. Bergetar gegendang telinga aku mendengar suara bass lelaki separuh umur itu.

Uyung terbaring di tanah dengan kesan lelehan darah di bibir. Hanya esakan yang terdengar dari bibirnya. Hanya anak tudung berwarna hitam masih terlekat di kepalanya. Belakang bajunya bertanah dengan kesan kotor akibat pukulan ayahnya. Anak jiran aku Saleha dan ibunya juga ada di situ.

“Dia curi tudung Saleha Iddin. Patut la bergaya dia pagi ni. Pakai tudung curi… Kan aku dah cakap, budak ni bukan baik sangat” Bebel Makcik Rubiah, Ibu Saleha.

“Bila hilangnya?”

“Minggu lepas. Tadi Leha nampak Uyung pakai. Sebab tu Leha suruh mak cari Pak Bakar dan tunjuk bukti ni!” Saleha menunjukkan kain tudung yang disentap dari Uyung tadi.

“Kalau ye pun Leha, jangan la diserang Uyung macam ni”

Aku duduk di tepi Uyung yang mengaduh kesakitan. Pak Bakar yang mahu menghayun lagi pelepah kelapa sempat aku halang.

“Betul Yong yang curi kain tudung Saleha” dia menggeleng.

“Eleh.. Kalau dah Pencuri…takkan nak mengaku punya” Bantah Makcik Rubiah. Pak Bakar menggetap bibir menahan marah.

Aku melihat Uyung bercakap sesuatu tetapi tidak jelas, lalu aku dekatkan telinga untuk mendengar lebih jelas.

“Panggil Payad!”

Aku menyeluk poket mengeluarkan telefon.

“Payad, Mari kat rumah Mak Cik Rubiah kejap. Uyung cari”. Mendengar ayat akhir aku di talian, Payad terus mematikan panggilan.



Payad datang dengan berbasikal. Entah basikal siapa yang dipinjamnya. Mulutnya masih berminyak. Mungkin baru lepas makan sarapan pagi.

“ Kenapa ni Pak Bakar?” Jeritnya sebaik nampak Ayah Uyung di situ.

“Kau tanya Iddin apa yang jadi. Aku malas nak ulang cerita”

“Uyung curi kain tudung Saleha” Jawab aku sambil menunjukkan ke Uyung yang kini duduk diatas tangga.

“Tak mungkin Uyung mencuri!!” tegas Payad yang bergegas ke arah Uyung. Cepat sahaja dia mengelap kesan darah di bibir Uyung. Uyung tersentak sebaik Payad menyentuh belakang bajunya. Matanya terpejam menahan sakit.

Payad bangun di hadapan Uyung.

“Siapa yang tuduh Uyung mencuri?” Tanya Payad garang. Matanya mulai berkaca.

“Leha nampak dia pakai ni pagi tadi!” Jawab Saleha.

“Kau nampak dia pakai, lepas tu senang-senang je kau rampas”

“Leha dah tanya Pak Bakar tadi. Dia cakap memang dia tak belikan Uyung tudung tu. Lagipun Uyung mana mampu nak pakai tudung macam ni?”

“ Kami pun boleh cam la fesyen tudung Uyung selalu pakai macam mana” Mak Cik Rubiah menokok.

“Mak Cik suka kalau saya tarik tudung Leha tiba-tiba, kalau saya rasa tu saya punya. Ikut suka hati saya..Boleh” Marah Payad sudah tidak ditahan-tahan.

“Bukan macam tu!!”

“Kau pun Leha belajar je sampai diploma, adab langsung tak ada. Boleh cerita elok-elok apa. Uyung ni bukan orang ke, yang kau suka-suka nak buli. Kalau tudung macam tu berpuluh aku boleh beli la..” Tegas Payad. Muka Saleha mulai merah. Ada tanda-tanda ingin sebak sebab dimarahi.

Pak Bakar melepaskan pelepah kelapa yang digunakan untuk memukul Uyung tadi.

Payad berpaling semula pada Uyung yang hanya menunduk. Mungkin malu dengan apa yang terjadi.

“Uyung cerita kat Payad macammana Uyung dapat tudung tu” tanya Payad.

Uyung mulai bersuara. Cuma terlalu perlahan untuk kami dengar. Payad mengangguk-ngangguk beberapa kali. Sebelum berpaling dia sempat mengesat air mata di tubir mata Uyung.

“ Leha sidai tudung tu kat mana?” Payad berpaling mengadap Saleha. Gadis itu menunjuk ke arah ampaian yang diikat dari rumah ke galang kayu yang dipaku pada pohon kelapa.

“ Letak penyepit baju tak?”

“Entah, tak ingat”

“ Uyung jumpa tudung tu dekat tali air depan rumahnya. Payad agak tudung tu diterbangkan angin ke tali air. Lepas tu arus bawak sampai ke depan rumah Uyung. Sebab tu Uyung ambik…Minggu lepas lagi dia tanya sapa-sapa yang ada hilang tudung. Tapi tak ada pulak yang mengaku. Sebab tu dia pakai minggu ni, kalau-kalau tuan punya tudung boleh cam. Uyung nak bagi balik ja. Tapi, tak sangka pulak nak jadi macam ni…” jelas Payad.

Mak Cik Rubiah dan Pak Bakar terdiam. Mudah sangat mereka membuat keputusan!.

Saleha sudah malu alah dengan tindakannya tadi dan tuduhan terhadap Uyung.

“Bagi kunci moto Iddin. Aku nak bawa Uyung gi klinik” Aku menjegil mata kerana tak nak balik dengan berjalan kaki.

“Ambik basikal aku. Rumah kau pun tak sampai dua ratus meter. Kata atlit sukan!” sempat dia memerli aku. Aku mengalah dan menyerahkan kunci motosikal.

“Jom naik sayang!” Semua yang ada terpana dengan ayat yang keluar dari mulut Payad. Lagi-lagi Pak Bakar.

Uyung bangun tersipu-sipu dan duduk di belakang motosikal.

“Peluk Abang kat pinggang” Sekali lagi Pak Bakar berpaling. Tangannya cepat mencapai pelepah kelapa tadi. Uyung hanya menggenggam kuat bucu baju Payad kiri dan kanan.

Aku melihat Payad tersenyum memboncengkan Uyung menghala ke klinik. Uyung pun turut tersenyum.

“Pak Bakar bagi pulak Payad bawak Uyung” Kata aku sambil menolak basikal Payad sebelum mengayuh.

“Tak sempat aku nak cakap apa-apa tadi, dia dah angkut anak aku.”

Aku tersenyum. Mesti bahagia Payad hari ni!



Aku tertidur selepas solat Zohor. Aku bangun pun selepas emak mengejutkan aku secara tiba-tiba.

“Din, Payad dan Uyung dah tak ada!” satu persatu ayat Mak sampai ke telinga aku. Selebihnya tak sempat aku hadam.

“Apa Mak?”

“Payad dan Uyung dah meninggal. Dia eksiden dengan moto kamu!”

Aku kelu untuk berkata apa-apa. Cuma tubuh berasa seakan mengeletar dari dalam. Hati aku sebak sebab kehilangan kawan rapat secara tiba-tiba. Sekelip mata sahaja semua ini berlaku.

“Mayat kat mana mak?”

“Dua-dua tu, orang kampung nak uruskan dekat surau. Kejap lagi Mak pun nak ke sana dengan abah kau”



Kawasan surau dipenuhi orang ramai. Mayat Payad dan Uyung diuruskan bergilir-gilir di tempat mandi mayat. Jasad Uyung diuruskan oleh kaum ibu terlebih dahulu. Diikuti dengan mandian untuk jasad Payad. Kedua-duanya akan disembahyangkan dan dibawa ke kubur bersama.

Aku jadi kelu dan kaku. Hanya mampu untuk melihat orang-orang kampung menguruskan mayat mereka berdua. Kalau sebelum ni, aku dan Payad gigih untuk menyelesaikan mana-mana upacara pengkebumian orang-oarng sini. Dari menggali tanah kubur hinggalah memasukkan mayat ke liang lahat. Cuma kali ini aku tak mampu!

“Payad dah tak ada. Aku tak sempat nak minta maaf kat dia” Baim.

“Aku pun” Aku menjawab perlahan.



Dua minggu telah berlalu. Sikap murung aku berterusan dari hari Payad di kebumikan lagi. Sunyi sangat aku rasa sebab kehilangan sahabat baik sejak kecil. Apa yang aku buat, masih lagi terbayang-bayang kelibat dia. Semua aktiviti yang aku selalu buat dengan Payad aku tinggalkan.


Treet!!treet!!

Aku terkejut melihat nombor Payad tertera di skrin.

“Assalamualaikum..Mak Cu Kiah ni” Ibu Payad bersuara di talian.

“Waalaikum salam..Ada apa Mak Cu?”

“Kamu datang rumah Mak Cu petang nanti boleh tak?”

“Boleh je. Nanti petang saya ke sana” Janji aku. Cuma hati aku berat untuk berhadapan dengan semua memori lama bersama Payad.



Aku pergi juga ke rumah Payad seperti yang dijanjikan dengan Mak Cu Kiah. Hati aku sayu sangat apabila memijak kaki ke rumah Payad. Macam terngiang-ngiang lagi suara dia.

“Kau ni kalau datang sini tak kacau aku tak sah!” Antara ayat yang sering Payad utarakan kalau aku datang mengajak dia kemana-mana.

Cuma yang paling terkesan, dia pernah berpesan pada aku.

“Din..Kita kawan dari kecik. Sampai sekarang. Kau kenal aku atas bawah, kiri kanan…Cuma aku nak minta kau tolong satu hal..kalau aku tak ada..tolong tengok-tengokkan Mak aku tau. Abang dan Kakak aku duduk jauh-jauh. Aku kesian kat Mak Aku”

“Insya Allah Payad. Mak kau tu dah macam Mak aku”

Rasa bersalah timbul dalam hati aku sebab dua minggu aku langsung tidak datang menjenguk Mak Cu Kiah.



Mata aku sempat mengimbau kenangan-kenangan bersama Payad dari kecil sehingga kami besar. Banyak yang kami kongsikan bersama. Basikal buruk, tayar lama, gasing..lastik..ah..macam-macam perkara yang ada di bawah rumah yang mengaitkan pengalaman kami bersama. Aku dibuai dengan kisah-kisah lama.

Lama juga Aku terpaku seketika di halaman rumah Mak Cu Kiah. Birai mata aku memberat dan mulai berkaca.

“La..Iddin..Kenapa tak masuk?” Suara Mak Cu Kiah menyedarkan aku dari lamunan.



“Siapa yang ada dengan Mak Cu?” Aku bertanya sebaik duduk di sofa ruang tamu.

“Kakak Payad, Seha, ada temankan Mak Cu. Dia duduk Sampai dia start semester bulan depan.”

“Maaf la Mak Cu. Lama Din tak ke sini”

“Mak Cu faham. Kamu takut teringat-ingat pada Payad kan” Aku mengangguk.

“Mak Cu panggil kamu ni ada hal sebenarnya. Kamu tunggu sekejap” Mak Cu Kiah masuk ke dalam bilik Payad. Dia keluar dengan sebuah akuarium plastik berisi wang kertas dan syiling. Akuarium itu diletakkan di hadapan aku.

“Ini sahaja yang Mak Cu dapat bagi untuk ganti moto kamu yang rosak tu” Ujar Mak Cu Kiah.

“Tak apa Mak Cu. Din boleh claim insurans. Tak payah bayar pun tak apa”

“Mak Cu tak tahu nak bagi kat sapa dah duit Payad dan Uyung ni. Cuma Mak Cik tahu, Payad mesti nak gantikan moto kamu kalau dia yang rosakkan” jelas Mak Cu dengan mata berkaca.

“Tabung Payad dengan Uyung?”

“Kamu kan rapat dengan Payad. Kamu tahu kan yang dia selalu minta duit dengan Uyung. Dia simpan dalam tabung ni la…Baki duit gaji dia pun dia simpa dalam ni”

“Kenapa Payad nak ada tabung dengan Uyung?”

“Sebab diaorang berdua tu dah rancang nak kahwin sebenarnya. Uyung pulak taknak Payad seorang sahaja yang kumpul duit. Dia pun nak simpan jugak. Kalau simpan di rumah dia, duit dia habis untuk adik-adik dia sahaja”

“Jadi..Payad dengan Uyung tu..”

“Ya..diaorang tu sama-sama suka.. Cuma Payad tak nak kahwin cepat-cepat. Dia tahu Uyung ramai adik beradik. Uyung yang tanggung diaorang. Jadi dia tak nak susahkan Pak Bakar kalau ambik Uyung jadi isteri sekarang. Dia sanggup tunggu sampai adik-adik Uyung besar sikit”

“Payad tak pernah cerita pun kat Iddin”

“Dia segan kat kamu la tu…Mak Cu pun tahu lepas tanya dia sebab apa dia selalu minta duit dekat Uyung.. Baru dia cerita semuanya..Dia mengaku yang dia sayangkan Uyung”

“Dia ada cerita sebab apa dia sukakan Uyung”

“Makcik pun heran sebab apa dia sukakan Uyung. Nak kata cantik,taklah sangat. Ramai lagi budak perempuan kampung ni yang sukakan Payad..tapi Payad hanya sukakan Uyung.. Dia suka Uyung sebab Uyunglah satu-satunya budak perempuan kampung ni yang masih kekal macam orang dulu-dulu. Tak ada Facebook, Intagram..Whatapps…Tak berkepit dengan henset langsung. Uyung pulak pandai jaga family dia betul-betul. Payad yakin kalau dia kahwin dengan Uyung..Uyung akan jaga dia betul-betul..Sakit dia ke..susah dia ke..Uyung akan sentiasa bersama-sama. Sebab Uyung ada ciri-ciri perempuan yang macam tu..Sama macam perangai Mak Cu dulu-dulu”

“Pandai Payad sembunyikan rahsia. Dulu-dulu..memang kami bertiga rapat. Dah besar ni masing-masing bawak diri. Tak sangka Uyung pun sayangkan Payad”

“Mungkin jodoh diaorang tak sampai..setakat tu sahaja. Payad pun ada cakap, kalau dia kahwin dengan Uyung, Dia tak risaukan masa hadapan sangat. Kalau dia tak ada pun, Uyung masih boleh jaga dan sara anak-anak dia. Sebab Uyung rajin dan pandai buat semua kerja kampung…Payad takut kalau dia pun nanti sakit-sakit macam Pak Cu kamu. Dia bimbang kalau dia pun akan pergi awal macam Pak Cu kamu..tak sangka, dia memang pergi awal..sekali dengan orang yang dia sayang.. .” Sambung Mak Cu Kiah. Mata dia berkaca. Aku pun turut sama terasa hibanya.

“Banyak duit ni Mak Cu” Aku mengubah topik, sebaik terpandangkan tabung Payad dan Uyung. Aku tak mahu Mak Cu Kiah terus menerus bersedih.

“Kamu buatlah apa yang patut Iddin. Barang-barang Payad kat dalam bilik tu, mana yang kamu berkenan, ambiklah. Mak Cik tak nak barang-barang dia terbiar macam tu sahaja.”

“Terima kasih Mak Cu. Cuma…saya ingat nak bagi duit dalam tabung ni pada Pak Bakar, biar ringan sikit beban dia menanggung adik-adik Uyung yang masih ada. Lagipun ni duit Uyung jugak” Cadang aku.

“Terpulang pada kamu lah. Mak Cu ikut jer.”

“Boleh saya masuk bilik Payad tak Mak Cu? “

“Kamu masuklah..buat macam rumah sendiri”



Bilik Payad sederhana besar sahaja. Mata aku cepat sahaja menangkap tag nama yang dilekatkan pada cermin yang dilekatkan di dinding : Muhammad Fayyad Bin Muslim. Dia atas itu terdapat satu-satunya gambar berbingkai di atas meja, selain minyak rambut dan sikat. Gambar aku, Payad dan Uyung masa kami bersekolah tadika. Aku pun sudah tidak ingat bila gambar itu diambil. Payad menyimpan gambar itu baik-baik. Mungkin itulah gambar tiga orang insan yang paling rapat dengan dirinya. Mungkin itu juga satu-satunya gambar Uyung yang dia ada sebab Uyung memang tidak suka bergambar. Payad memang menghormati kehendak Uyung yang satu itu, walaupun dia boleh memetik kamera di telefon untuk mengambil gambar Uyung pada bila-bila masa. Mungkin juga gambar Uyung sentiasa terselit di hatinya.

Air mata aku menitis juga sebaik aku duduk diatas katil Payad. Bau badannya yang masih ada mengingatkan aku sewaktu kami sama-sama membonceng motosikal. Dia akan mengikut aku di ke mana sahaja. Dan kalau aku memecut, dia akan memeluk aku kuat-kuat. Terasa sangat yang dia ni sahabat aku yang paling rapat.

Aku juga baru tahu daripada abang Payad, Faiz yang dia ni rabun. Dia cerita pun masa kenduri arwah Payad dan Uyung tempoh hari. Sebab tu Payad jarang bawa motosikal. Kalau bawa pun, kena ada orang yang boleh tolong dia tentukan arah yang betul. Kalau tidak mungkin dia akan melanggar apa sahaja yang ada di hadapan. Dia tak pakai cermin mata sebab malu pada aku dan kawan-kawan yang lain. Dan aku yakin, sebab itu jugalah dia kemalangan hari itu.

Aku memalingkan pintu almari payad untuk melihat apa yang disimpan didalamnya. Sebaik terpusing, perkataan Payad sayang Uyung tertera diatas papan belakang pintu almari itu. Siap dengan tanda “Love” lagi. Aku tersenyum sendirian. Ada taman juga dalam hati sahabat aku yang entah apa-apa ini. Semoga kau bahagia kat sana, Payad. Dengan orang yang kau sayang!

Aku mengesat air mata dan meletakkan bingkai gambar diatas meja semula. Tidak ada perkara yang tidak mengingatkan aku pada Payad di dalam bilik ini. Aku rasa bersalah sangat kalau ubah atau ambil apa-apa yang ada. Biarlah memori kami bersama sentiasa terpahat di sini. Kalau nak ubah atau ambil barang di bilik Payad, aku bukanlah orangnya kerana aku tidak sanggup. Biarlah Payad “ada” dalam memori, dengan apa yang ditinggalkannya.

Aku sempat sedekahkan al Fatihah untuk Uyung dan Payad. Aku yakin, kalau orang baik-baik, tempatnya di sana pun baik-baik.


SELAMAT TAHUN BARU 2017

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.