AKU DAN LELAKI DARI GUNUNG AIS.
HUJAN lebat menyambut kedatangan kami sebaik sahaja tiba di tebing
Sungai Berakit. Namun itu tidak menjadi masalah bagiku. Dalam hujan ribut pun
aku akan tetap meneruskan kerja. Bagiku kerja itu amanah. Amalina mengupahku untuk
menemaninya di hutan ini hampir sebulan. Dia ingin mencari sesuatu yang berbeza
di sini.
Aku mulai menurunkan barang-barang perkhemahan yang
terikat di atas bumbung pajero Amalina.
Aku biarkan sahaja Amalina duduk sendirian di dalam pajeronya, namun aku tahu
dia memerhati setiap pekerjaanku. Khemah aku dirikan dalam hujan lebat yang
menggila. Baju dan seluarku sudah basah lencun. Rambutku juga sudah basah
kuyup. Dua buah kanopi sudah aku dirikan dalam masa yang singkat. Kanopi berukuran 6 kaki kali 9 kaki akan
dijadikan tempat memasak dan makan. Sehelai kanvas besar dibentang sebagai
lantai. Sebuah lagi kanopi, akan digunakan sebagai tempat berehat. Di situ
Amalina akan meletakkan meja kecil, kerusi dan katil besi beralas kanvas yang
boleh dilipat.
Sesekali aku memandang ke arah Amalina yang masih duduk terpaku
di dalam pajero. Tentu dia takut hendak turun dalam hujan lebat. Takut bajunya
basah dan rambutnya lencun. Tentu kelihatan tidak cantik lagi. Sedangkan aku
hujan ini adalah rahmat dan kebahagiaanku. Gembira sekali berbicara dengan
hujan! Hilang keletihanku dek hambatan mentari terik.Aku menggoyang-goyangkan kepala hingga rambutku yang panjang
melepasi tengkuk, beralun lembut dalam derai hujan.
Amalina cepat-cepat turun apabila hujan mulai sidang. Dapur gas kecil dinyalakan
dan cerek berisi air segera dijerang. Setelah berhujan, kopi panas terasa
sangat mengujakan. Malam mulai mengintai kami. Matahari cepat sekali hilang
dari pandangan selepas turunnya hujan.
“Ni tilam angin. Kau gunalah ya,” kata Amalina sambil
meletakkan tilam angin yang baru sahaja dipam. Aku memerhati sahaja tilam itu
diletakkan di bawah kanopi. Selama ini aku tidur di atas lantai sahaja. Entah
bagaimana rasanya tidur di atas tilam?
“Tapi aku tak pernah tidur di atas tilam.” Kataku dengan
yakin.
“Guna aje lah. Nanti kau akan dapat tidur dengan
nyenyak.”
“Aku takkan tidur. Aku akan berjaga sepanjang malam. Bukan ke aku dibayar untuk menemani kau dan
menjadi pengawal kau di hutan ni?”
Amalina hanya mengangkat bahu dan berlalu menghala ke
khemahnya.
Aku pula menuju ke unggun api. Kesunyian malam terasa
kian mencengkam. Malam pertama di hutan, berteman seorang gadis dari kota Kuala
Lumpur. Aku tidak pernah ke sana. Hidup matiku di perkampungan orang asli ini,
selamanya.
Akhirnya rasa mengantuk datang jua menyerang diriku.
Kupandang tilam angin yang kelihatan menggamitku untuk berbaring di atasnya.
Aku melangkah ke arah tilam dan mulai merebahkan tubuh. Dalam beberapa minit
sahaja aku terus tertidur dan memasuki dunia mimpi. Mimpi yang tidak pernah aku
alami sebelum ini.
Aku membuka mata dengan cepat apabila terdengar suara
nyanyian. Suara itu amat merdu, lembut dan syahdu menusuk hati. Dari manakah
datangnya suara nyanyian itu? Soalku sendiri. Pandangan mataku sungguh kelam.
Aku hanya melihat bayangan yang ditutupi kabut putih. Aku menggosok-gosok mata
beberapa kali. Aku ingin melihat wajah perempuan yang berlagu merdu itu. Terasa
nyanyiannya begitu mesra dan penuh kasih sayang.
“Assalamualaikum
sayang. Sudah jaga?” Tegur suara itu dengan mesra.
“Mari dekat bonda sayang. Biar bonda dukung. Sudah lapar
ya?”
Aku semakin hairan. Bonda? Suara itu adalah suara
bondaku? Suara wanita itu menyanyi membuai perasaanku hingga aku terpukau,
tidak mampu berbuat apa-apa.
Aku menangis tanpa sedar. Betapa sempurna hidupku. Dia
punya ibu dan ayah. Ahh… aku tak ingin bangun dari mimpi indahku ini. Namun
malang sekali. Mimpi itu terpotong dengan pantas tanpa sebarang amaran.
Tiba-tiba aku sedang berlari-lari dengan laju. Terasa
seperti sedang dikejar sesuatu. Penat terasa. Tubuhku bergoncang, dadaku panas.
Aku menoleh ke belakang, ke arah lorong
yang hitam. Tidak terlihat lagi orang yang mengejarku tadi. Aku
kepenatan lalu rebah. Kepalaku terhantuk pada seketul batu besar. Darah panas
membuak, membasahi wajahku. Aku meraba-raba
dahiku yang luka.
Nafas terasa kian semput. Aku tidak berdaya lagi untuk
menghela nafas. Tiba-tiba aku terdengar suara Mak Upeh “Bangun cu! Bangun!”
Aku tercari-cari wajah Mak Upeh dalam suram cahaya di
lorong itu. Telingaku terdengar bunyi kocakan air. Aku bangun dan melangkah perlahan.
Terlihat anak sungai tidak jauh di hadapanku. Aku kini berada di mulut gua, di hadapanku terlihat air terjun yang mengalir ke dalam sungai.
Aku lihat wajah
tua Mak Upeh. Dia tersenyum lembut sebelum datang mendekati dan menyentuh
pipiku.
“Baliklah…” Rayu Mak Upeh.
“Kau mesti balik. Kau diturunkan oleh dewata, sebagai
cucu Mak Upeh. Baliklah. Sebab kau adalah lelaki dari Gunung Ais.”
“Gunung Ais!” Seruku perlahan.
Badanku bergoncang keras lalu terus terjaga dari tidur. Aku
memerhati sekeliling, menyedari bahawa hari sudah pun terang. Bau kopi dan roti
bakar menyengat hidung. Amalina sudah berada di bawah khemah. Dia sedang
menyediakan sarapan. Apabila melihat aku bangun duduk dengan wajah bingung, dia
menegur;
“Kau tidur nyenyak sangat, jadi aku tak mahu kejutkan.
Marilah bersarapan!”
“Sekejap,” kataku sambil bangun dan bergerak ke tepian
sungai yang berair jernih lalu membasuh muka.
Fikiranku terus mengembara, mengingati mimpi yang baru
kualami. Entah mengapa, setiap kali tidur di atas tilam aku akan tidur nyenyak dan bermimpi. Mimpi yang
sentiasa menemani tidurku. Mimpi itu
selalu buat aku rasa keliru, bimbang dan kadangkala takut. Mengapa aku harus
bermimpi tentang ibubapaku? Apakah mimpi itu ingin memberitahu aku sesuatu?
Dalam mimpi aku punya satu kehidupan lain yang amat berbeza dengan kehidupanku
sekarang.
Aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama aku tinggal di
kampung orang Asli itu. Terkadang aku hairan, mengapa aku tidak mengingati
waktu lampau? Kenapa aku tidak punya
kenangan? Tapi pentingkah semua kenangan lalu bila aku hidup gembira di samping
Mak Upeh? Tidak lama lagi aku akan menikahi Pilar, anak Tok Batin. Kami sudah
pun ditunangkan pada tahun lepas.
Pilar cantik, masih remaja berusia lapan belas tahun.
Aku tidak membantah apabila Mak Upeh mahu mengahwinkan aku dengan Pilar. Jika
baik bagi Mak Upeh, baik juga bagiku. Tiada sebab mengapa aku harus mengengkari
seorang wanita yang menjagaku dengan penuh kasih sayang selama ini.
Ahh… aku tidak mahu tidur lagi di atas tilam itu malam
esok. Aku tidak mahu diganggu mimpi!
“Mata kau merah,” tegur Amalina semasa kami bersarapan.
“Aku tak boleh
tidur. Dah pukul empat pagi baru terlelap, tapi bermimpi yang bukan-bukan
pulak,” Jawabku perlahan sambil meneguk kopi.
“Nampaknya kau ada masalah. Kau pernah jumpa doktor?
Doktor akan melakukan pemeriksaan kegiatan otak melalui elektro-ensefalografi…”
“Tak. Tak perlu. Aku bukannya sakit sehingga mesti
jalani pemeriksaan otak! Aku bukannya gila.” Balasku memotong percakapannya
yang belum selesai.
Aku tidak suka mendengar dia berkata begitu. Berlagak
pandai, marah hatiku. Aku dan dia baru kenal semalam. Aku tidak akan mengikuti
nasihatnya walaupun bersifat ikhlas.
“Aku tak nak jumpa dengan sesiapa. Doktor ataupun
dukun…”
“Dukun?” Amalina mengerut kening.
Mesti dia fikir aku ni kuno, ketinggalan zaman. Mesti dia tidak pernah berubat dengan dukun. Pasti
Amalina fikir dukun dan tok bomoh itu hanya mengarut sahaja.
“Nenek pernah bawa aku berjumpa dukun. Katanya aku
sakit… Tapi aku tak pernah rasa sakit. Aku rasa tubuhku sihat walaupun aku
tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam. Hanya dua tiga jam sahaja aku tertidur.
Tapi tidur yang berkualiti lebih baik daripada tidur yang asyik diganggu mimpi
sepanjang malam.”
Amalina memandang tepat ke wajahku. Kata-kataku amat mengejutkan Amalina. Aku sendiri
terkejut dan hairan bagaimana boleh terkeluar kata-kata itu dari bibirku. Namun jauh di sudut hatiku mengakui, bahawa
aku bukan bodoh. Aku boleh berfikir secara mendalam dan logik, sesuatu yang
tidak terjangkau oleh fikiran penduduk kampungku.
Apabila mereka ada masalah, mereka akan datang kepadaku
dan aku dapat menyelesaikannya dengan mudah. Aku tahu ada yang cemburu dengan
kebijaksaanku ini. Aku tahu siapa orangnya. Perus… bakal abang iparku.
Walaupun sering menyelesaikan masalah orang lain, tapi
masalah hidupku sendiri tidak pernah selesai. Aku sering tertanya-tanya siapa
diriku? Benarkah aku lahir dalam golongan keluarga asli yang tinggal jauh di
tengah-tengah hutan ini?
“Kau beragama
Islam? Tok Batin dan orang-orang kampung juga beragama Islam?” tanya Amalina,
matanya memandang tidak berkelip ke wajahku.
“Kau memang macam ni ke? Suka banyak tanya walaupun baru
kenal?” Soalku pula tidak senang dengan sikap terus terangnya itu.
“Hei! Aku ni cuba nak beramah tamah dengan kaulah!
Memandangkan kita akan bekerjasama dalam hutan ni, kan baik kalau kau cerita
sikit asal usul kau. Aku tak kenal kau, macam Hashim. Hashim tu dah biasa masuk
hutan dengan kau kan? Bagi aku ini pertama kali aku dengan kau bekerjasama. Aku
percayakan kau sebab Hashim selalu puji-puji kau.”
Aku tersenyum pendek mendengar kata-kata Amalina yang
panjang lebar.
“Ya, aku Islam. Tok Batin bukan Islam… Orang-orang
kampung ada yang Islam, ada juga yang bukan Islam,” beritahuku.
“Sejak bila kau
memeluk Islam?” Soal Amalina lagi.
Aku termenung. Ya sejak bila aku menganut Islam? Memang
ramai juga dari kalangan masyarakat orang asli yang menganut agama Islam
setelah mereka dewasa. Sebahagian dari mereka ada juga yang berfikiran bebas,
tanpa menganut sebarang agama.
Aku termangu-mangu kebingung. Setiap orang Islam percaya
kepada Allah dan RasulNya. Sekonyong-konyong aku teringat sesuatu. Jauh di
sudut hatiku tahu tentang rukun Islam yang lima perkara. Aku mengakui sebagai
orang Islam tapi aku tidak pernah sembahyang. Mak Upeh tidak pernah sembahyang.
Mak Upeh tidak pernah bercakap tentang agama di hadapanku.
Amalina kelihatan tidak puas hati apabila aku belum
menjawab pertanyaannya.
“Kau tak suka bercakap tentang hal peribadi ataupun kau tak suka bercakap tentang agama
Islam?” soal Amalina.
“Kedua-duanya sekali.” Jawabku dengan pantas.
“Semua masyarakat orang asli pendiam macam kau? Tak suka
bercakap? Atau kau tak ada jawapan pada soalan-soalan aku. Susah sangat kau nak
jawab ya?” tanya Amalina lagi, menduga kesabaranku.
Aku termenung lagi. Bukankah soalan dia tadi begitu
mudah. Mengapa berat sekali untukku untuk menjawabnya. Lidah terasa kelu dan
fikiranku bercelaru. Aku masih tercari-cari ungkapan yang sesuai. Tiba-tiba
datang satu ingatan menerpa kotak fikiranku. Aku terus membaca surah Al-khlas
dengan lancar sekali. Aku hairan sendiri bagaimana ingatanku datang tanpaku
pinta. Kemudian kuungkapkan sekali maksudnya dengan lancar juga.
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang. Katakanlah; Dialah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang
bergantung kepadaNya segala sesuatu, Dia tiada beranak dan tiada pula
diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.”
Mata Amalina terbeliak. Dia tidak menyangka langsung
kata-kata itu meluncur dari mulutku.
“Kau boleh baca surah al-Ikhlas?” Tanya Amalina.
“Sekarang kau
puas hati aku ni seorang Islam. Kau percaya?” Tanyaku menduga. Sebenarnya aku
menduga hatiku sendiri. Benar… aku seorang yang beragama Islam, tapi mengapa
aku tidak pernah beramal dengannya?
Bersama Amalina di pinggir Sungai Berakit ini telah
mengembalikan ingatanku terhadap sesuatu yang bersifat misteri. Perihal itu
sering bergelut dalam fikiranku sahaja, kini semuanya terluah tanpa sedar. Aku
memerhati Amalina yang sedang tekun menulis di dalam diarinya sebaik sahaja
selesai sarapan. Sepanjang hari ini ada pelbagai kegiatan yang sudah dirancang
gadis itu.
Kami akan masuk ke dalam hutan di seberang sungai untuk
mengambil gambar kijang dan kehidupan liar yang lain. Amalina terlalu cekal
orangnya. Dia memikul kamera dan rakaman video sendiri, tanpa memerlukan
sebarang pertolongan dariku. Dia sanggup meranduk air sungai, mendaki tebing
tinggi dan bukit. Malah meredah semak samun dan hutan bukan satu kesukaran
baginya. Dia tidak akan terjerit, terloncat-loncat melihat pacat dan katak.
Sebaliknya dengan gembira dia akan merakam dan mengambil gambar.
Dia seorang gadis kota yang lasak. Sudah lama bertugas
sebagai wartawan. Amalina bercerita serba sedikit tentang dirinya. Dia sudah bosan
dengan suasana kota. Lalu tawaran untuk menulis sebuah buku dokumentari
kehidupan liar di Malaysia diterima dengan gembira. Tawaran itu datang dari
sebuah syarikat penerbitan yang diterajui oleh seorang hartawan, Tuan Syed
Mokhtar. Amalina sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat akhbar dan menyertai
syarikat Tuan Syed Mokhtar.
***
TIGA MINGGU KEMUDIAN
MEMANG perasaanku sungguh aneh sejak akhir-akhir ini, Amalina. Sejak
aku bertemu denganmu, aku semakin tidak suka pada diriku sendiri. Aku merasakan
yang aku amat berbeza dengan dirimu. Mengapa aku harus hidup di hutan ini?
Mengapa aku tidak lahir di kota, supaya antara kau dan aku tiada bezanya? Kini
aku melihat antara kita terlalu dalam jurangnya dan tembok yang memisahkan pula
begitu tinggi. Mengapa ditakdirkan aku menjadi seorang pemuda keturunan asli
dan dia seorang gadis Melayu. Tapi benarkah aku keturunan asli?
Rupa aku seperti seorang pemuda Melayu. Rambutku sengaja
dibiarkan panjang, kulitku cerah. Kata Pilar, wajahku kacak. Aku sendiri
melihat ketampanan wajahku kala bercermin. Aku tidak nafikan perbezaan rupaku dengan
pemuda-pemuda sekampung.
Kenapa dan mengapa kami berbeza? Soalku kala aku teringat
wajah Perus, Terjudi dan teman baikku, Damak.
Aku tahu kau akan
kembali ke dalam masyarakatmu tidak lama lagi. Kerja-kerja kau sudah hampir
selesai. Sudah hampir separuh dari hutan sudah kubawa kau menjelajahinya.
“Esok kau bawa aku ke tempat gajah,” kata Amalina
mengejutkanku dari lamunan.
Kami bertolak awal pagi. Aku mendahului, berjalan menuju
ke hulu sungai. Matahari baru muncul dari celah dedaun. Semakin lama semakin
tinggi. Tubuh Amalina mulai melekit bermandi peluh. Kami berehat sejenak sambil
meneguk minuman. Aku membantu Amalina memikul kamera video. Aku turut membawa
senapang yang digayut kemas di belakang sementara parang pendek tersisip
dipinggang. Amalina membawa beg sandang berisi minuman dan makanan. Kamera
tersangkut di bahu. Sepanjang perjalanan menyusuri tebing, kami tidak menemui
apa-apa binatang pun. Kawasan itu sungguh lengang, seolah-olah tiada kehidupan.
“Mengapa tak dengar suara burung ataupun monyet kat
sini?” Tanya Amalina sambil memandang ke arah pokok besar yang tinggi menjulang
ke langit.
Aku tidak menjawab hanya mengangkat bahu. Tiba-tiba langkahku
terhenti, mengawasi sesuatu. Amalina melanggar tubuhku dari belakang.
“Lain kali kalau nak berhenti beritahulah! Jangan
berhenti mendadak macam tu!” Kata Amalina bagaikan memberi amaran. Kedengaran
marah suaranya.
“Shhh….” Bisikku sambil meletakkan jari telunjuk di
bibir.
Amalina diam. Wajahnya nampak tegang.
“Tengok sana!” Tunjukku ke arah sungai. Di tengah-tengah
sungai kelihatan berpuluh-puluh ekor itik liar sedang berenang dengan bebas.
“Cantiknya!” Seru Amalina sambil mengangkat kameranya. Wajah
yang tegang bertukar ceria. Dia tersenyum sambil menaikkan ibu jarinya ke atas
ke arahku.
Kami meneruskan perjalanan ke habitat gajah yang
terletak jauh dari situ. Hampir separuh dari hari sudah pun berlalu. Waktu
hampir beranjak ke jam dua petang. Kami berehat sejenak untuk makan tengahari. Kami
hanya makan dua keping sandwich dan air kosong. Sepanjang masa Amalina
kelihatan ceria, tidak langsung menunjukkan riak keletihan biarpun sudah hampir
lima jam berjalan kaki.
Peluh memercik dari seluruh tubuh kami. Baju kemeja yang
dipakai Amalina sudah basah lejut. Amalina merungut menyatakan beg sandang
berisi air dan makanan terasa kian berat.
“Rasa macam nak campak saja beg ni!”
“Aku ingat kau kuat sangat, mengalah orang lelaki.”
Kataku menyakat sambil menoleh dan tersenyum ke arahnya. Dia pula memandang ke belakang, ke arah jejak yang
sudah kami tinggalkan. Sudah semakin
tinggi kedudukan kami mendaki lereng bukit. Tidak lama kemudian kami sampai jua ke tanah yang lebih rata.
“Lega….” Keluh Amalina sambil mencari tempat untuk
duduk.
Aku turut duduk di atas salah satu tunggul kayu. Kulepaskan
lelah dengan meneguk air minuman, kemudian menjirus kepala dengan sisa-sisa air
yang ada di dalam botol. Amalina memerhati perbuatanku sambil menggelengkan
kepala.
Aku tersenyum lalu memberitahu kepalaku terasa sedikit sejuk
selepas dijirus dengan air.
“Yalah. Bagus! Tapi jangan minta air aku nanti. Air kau dah
habis.”
“Tak apa. Tak jauh dari sini ada sumber air… Dengar tak
bunyi air terjun?”
“Kita dah sampai?” Tanya Amalina rasa teruja.
“Hampir sampai.” Jawabku sambil memerhati ke arah hutan
tebal di hadapan kami.
“Sejam lagi!” sambungku kemudian.
“Apa? Sejam lagi? Aku ingatkan dalam sepuluh atau dua
puluh minit.” Amalina mengerdipkan matanya beberapa kali.
“Aku rasa macam nak pitam,” katanya.
Kelopak matanya kelihatan terpejam. Tubuhnya terjelepuk.
Mulanya aku sangka dia pura-pura pengsan. Tapi dia benar-benar pengsan!
Aku terpaksa memikul tubuhnya. Namun mujur jua
perjalanan kini tidak lagi mendaki bukit. Perjalanan di atas tanah datar yang
lembab, dilindungi pepohon yang merimbun dan hijau. Akhirnya aku tiba jua
di muka pintu gua tempat aku pernah
berlindung suatu masa dulu. Tidak jauh dari situ ada air terjun dan anak sungai
yang terbentuk bagaikan sebuah kolam yang besar.
Segalanya masih sama… bisik hatiku sambil memerhati
sekeliling. Tidak lama lagi hari bakal menjadi gelap walaupun jam di tangan
Amalina baru menunjukkan ke angka lima petang.
Aku mengisi botol yang kosong dengan air. Kemudian aku menyapu
air itu perlahan-lahan ke wajah Amalina.
Kulit Amalina yang putih kemerahan itu kelihatan bertambah merah dan hangat
saat dia membuka mata dan mendapati aku berada begitu dekat dengannya. Telapak
tanganku masih memegang pipinya.
“Leo! Kau buat apa?” katanya sambil menepis tanganku
dengan keras.
“Kau pengsan.” Beritahuku lalu bangun dengan menjauhi
Amalina.
“Aku dukung kau
sampai ke sini.”
“Ohhh… eh, terima kasih.” Ucapnya serba salah.
“Tak sangka aku
boleh pitam sebab penat sangat.” Akuinya kemudian.
“Rehatlah. Aku
nak mandi. Bahu aku ni rasa sengal-sengal!” kataku lalu terus turun ke anak
sungai.
Di dalam gua batu itu, suasana tambah dingin kala
menjelang tengah malam. Kami berdua duduk di hadapan unggun api.
“Dah berapa lama kau bercinta dengan dia?” Tanyaku
tiba-tiba. Aku ingin tahu hubungan Amalina dan Hashim. Amalina sering memuji
pemuda itu yang sentiasa dibawa-bawa namanya dalam perbualan kami.
“Tak… aku dengan
Hashim hanya kawan baik. Kami tak pernah bercinta. Kami berkawan sejak di
universiti,” jawab Amalina.
“Jadi, kau tak ada pakwe?”
“Ada,” jawab Amalina perlahan tetapi jelas.
“Nama dia Airil. Kami dah bercinta lebih kurang dua
tahun.”
Kecewa hatiku mendengarkannya. Entah mengapa kekecewaan
itu pula yang mengisi hatiku. Bukankah aku juga bakal jadi milik Pilar? Kenapa
hatiku sedikit hampa mengunyah kenyataan ini?
“Macamana pula
kau dengan Pilar? Sejak bila kau dengan dia bercinta? Aku dah kau dah nak
kahwin.”
“Pilar dan aku
bertunang kerana pilihan keluarga.” Suaraku tergantung.
Amalina mengangkat kening dan berkata, “Pilihan
keluarga? Tapi tentu kau sukakan dia, sebab dah kenal lama sejak kecil kan?”
Aku diam sejenak, berfikir. Aku tidak ingat. Sejak bila aku
kenal Pilar? Apakah sejak aku masih kecil? Aku tidak tahu. Apa sudah jadi?
Mengapa aku tidak ingat sejak bila kenal Pilar?
“Dah berapa lama kau tinggal di kampung tu?”
Aku diam. Buntu. Tiada jawapan untuk soalannya itu.
“Kau bersekolah
di mana? Kau pandai membaca dan menulis?”
Sekolah? Aku pernah bersekolah? Tapi di mana? Kebanyakan
anak-anak generasi baru di kampungku bersekolah di Sek. Keb. Kampung Gelugor.
Malah Pilar sendiri bersekolah di situ hingga darjah enam.
Bagaimana aku boleh tahu membaca dan menulis dengan
baik? Bagaimana? Apakah aku juga bersekolah di situ seperti Pilar?
“Aku tak tahu…” balasku perlahan.
“Kau ni pelik,” kata Amalina.
Amalina menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan
sebuah diari kecil. Diari kecil itu dihulurkannya ke arahku.
“Cuba kau baca apa yang tertulis dalam diari aku ni.”
Aku membuka diarinya secara rambang. Mataku menangkap
tulisan tangan Amalina yang cantik. Dia menulis dalam bahasa Inggeris. Aku
tersenyum tanpa sedar kerana otakku memberitahu yang aku boleh membacanya
dengan lancar dan aku memahami maksudnya dengan tepat. Amalina menulis;
Leo was lost in
his own misery, pain and unusual
indecisiveness. No one could listened to his heart. I believed, there is one
big secret lay in his heart. He wasn’t
sure what he was looking for, what he want in his life but deep in his heart he
still searching for the truth about himself.
And he felt
something for me, I can see it thru his eyes. I don’t believe myself either… Am
I falling in love with a man like him?
Benarkah begitu? Soal hatiku pula sambil merenung
wajahnya.
***
“HARI NI hari terakhir di sini. Kerja-kerjaku dah siap semuanya,” kata
Amalina yang sibuk mengemas barang-barang lalu memasukkannya ke dalam pajero.
Tidak lama kemudian kami bergerak meninggalkan Sungai Berakit menghala ke
kampungku. Perkampungan orang asli itu terletak lebih kurang dua jam perjalanan
dari Sungai Berakit.
“Kau nak ke mana lepas ni?” Tanya Amalina tanpa
memandang wajahku. Tangannya melekat di stering pajero yang dikendalikannya
dengan cekap.
“Balik ke kampung.” Jawabku sepatah.
“Balik kampung… kahwin dengan Pilar.” Kata Amalina
dengan suara mendatar.
Aku berpaling, mencari maksud disebalik kata-katanya.
“Ya, kami dah bertunang. Entah-entah nenekku dah pun
buat persiapan.”
Kau juga akan pulang ke pangkuan orang yang kau cintai,
bukankah begitu? Kita bertemu di sini hanya sejenak. Namun kenangan yang diukir
di sini akan kuingati sampai bila-bila.
“Jadi, ucap selamat tinggal macam tu je?” Tanya Amalina
sebaik sahaja kami tiba di kampung. Pajeronya diberhentikan di tubir jalan
kecil tanpa tar.
“Ya.”
Amalina menyerahkan sampul surat berisi wang.
“Dalam sampul surat ni ada upah kau, Leo.” kata Amalina
perlahan tetapi tegas.
Aku membuka sampul surat itu dan terkejut melihat
isinya.
“Terlalu banyak duit ni,” kataku dengan jujur.
“Tolong terima,
Leo. Aku sengaja bagi lebih, untuk belanja perkahwinan kau dengan Pilar,” ujar
Amalina tanpa memandang wajahku. Matanya terarah ke hadapan. Aku menjeling
wajahnya. Kulihat wajah Amalina kaku, melawan emosi yang datang dari hati. Matanya tersembunyi di sebalik kaca mata
hitam.
“Kenapa kau buat macam tu? Aku tak patut terima melebihi
dari upahku. Aku tak nak dikatakan mengambil kesempatan atas sorang perempuan.”
“Tak timbul masalah ambil kesempatan tu Leo. Aku tahu
kau jujur, baik.”
“Jujur dan baik saja tak cukup kan?” soalku perlahan.
Aku hampir-hampir menuturkan bahawa selama hampir sebulan ini aku mulai
menyukai dirinya. Jatuh cinta padanya dengan sesungguh hati tetapi segalanya
tersekat di kerongkong. Kelu. Aku malu untuk meluahkan rahsia hati kerana aku
menyedari titik perbezaan yang begitu antara kami. Biarlah dia pergi… bisik
hatiku sendu. Kami takkan berjumpa lagi.
“Selamat tinggal!” ujarnya masih enggan memandangku.
Aku terdiam. Hati kecil terasa ngilu, mendengar ucapan
selamat tinggal darinya. Mengapa kau tidak sudi memandang wajahku?
Matanya terus memandang ke hadapan. Aku terus turun dari
pajero. Terasa kosong hatiku kala ini. Entah mengapa kekosongan itu terasa
begitu menyakitkan.
“Leo…”
Aku menoleh apabila namaku diseru. Amalina membuka kaca
mata hitamnya. Kulihat ada lelehan air jernih dari mata itu. Aku terus kaku dan
terdiam. Rupanya dia turut menyembunyikan kesedihan yang berladung dalam jiwa
kala ini. Dia menghulurkan secebis kertas. Kulihat tangannya sedikit menggeletar.
Kemudian pajero itu terus menderam pergi dengan laju.
Aku terpaku. Hatiku menjerit.
“Amalina!!!” Tanpa
sedar setitis airmataku gugur.
Perpisahan terjadi jua. Kuraba dada yang sebak. Aku
berjanji tidak akan menangis lagi selepas ini. Entah bagaimana hatiku jadi
rapuh dan boleh jatuh cinta pada si dia? Kubuka cebisan kertas pemberian
Amalina.
Leo,
Realiti dan
fantasi takkan bertemu. Seperti bumi dan langit. Tapi kita manusia. Tiada yang
mustahil bagi kita… Mungkinkah takdir akan mempertemukan kita sekali lagi?
***
“KENAPA kau balik ke sini? Aku ingatkan, kau dah ikut perempuan kota
tu…” Sergahan Perus mengejutkanku.
“Kampung ni tempat aku.”
“Di sini bukan tempat kau, Leo! Kau boleh berambus dari
sini! Aku tak suka kau kahwin dengan Pilar. Kau bukan dari golongan kami!” Perus
membentak.
“Kau orang Melayu! Sama macam perempuan tu!”
Aku terkejut mendengar kata-katanya. Cepat-cepat aku
berlari ke arah rumah Mak Upeh. Aku perlu mendapatkan penjelasan dari wanita
tua itu mengapa Perus berkata begitu.
“Kau baru balik cu?” Mak Upeh bertanya.
Aku tidak
menghiraukan pertanyaan Mak Upeh. Sebaliknya aku terus menghujani dia dengan
pertanyaan.
“Kenapa Perus sangat benci pada aku, nek? Sudah banyak
kali dia halau aku dari kampung ni! Dia cakap aku orang Melayu. Betul ke nek?”
Mak Upeh diam. Wajahnya kelihatan sedikit pucat.
“Kenapa nenek diam?”
“Bukan… bukan! Kau bukan orang Melayu. Kau cucuku!”
“Tapi rupa aku dan nenek tak sama. Muka aku lain nek!
Tolong beritahu aku dengan jujur. Tolonglah nek!” aku merayu.
Mak Upeh menangis mendengar permintaanku.
“Maafkan aku nek… Aku tahu neneklah yang menjagaku,
menyelamatkan aku semasa aku jatuh dari gunung dulu. Aku hampir mati. Tapi aku
perlu tahu asal usul aku nek. Sampai bila nenek
mahu merahsiakannya?”
“Aku terlalu
sayangkan kau, cu…” Kata Mak Upeh dalam sedu sedan.
“Aku tahu nek, aku tahu… Percayalah, aku faham perasaan
nenek. Aku faham apa yang nenek takutkan. Tapi kehidupan dan masa depanku biarlah aku yang
tentukan.” Pintaku dengan lembut, penuh mengharap.
Mak Upeh bergerak ke arah tempat tidurnya. Dari bawah
pangkin dia mengambil sebuah kotak sederhana besar. Dia membuka kotak itu
lantas mengeluarkan sebuah beg sandang berwarna hijau. Beg sandang itu sudah
amat buruk, berhabuk dan kotor.
“Ni beg kau. Ada barang-barang kepunyaan kau dalam beg
ni. Sepuluh tahun nenek simpan, merahsiakan semuanya dari pengetahuan kau. Hari
ni kau akan tahu siapa diri kau yang sebenar.” Katanya masih dalam sedu sedan.
Dia menemui aku yang cedera parah di kaki gua, lalu
dibawanya aku pulang ke kampung. Dengan pertolongan seorang dukun, semangat dan
kesihatan berjaya dipulihkan. Aku hilang
ingatan, tidak ingat kejadian lalu akibat kepalaku yang terhentak setelah jatuh
dari tempat yang tinggi. Sejak itu aku
menjadi cucunya.
Aku menemui identiti diriku di dalam beg sandang itu.
Kini kutahu mengapa fikiranku selalu bercelaru dan tidurku tidak pernah
nyenyak. Aku, Zakuan Dato Omar, anak seorang hartawan dari Kuala Lumpur. Aku
dan lelaki dari Gunung Ais adalah orang yang sama. Kini aku sudah pun menemui
diriku.
Amalina, tunggu aku datang kepadamu! Ayah dan bonda,
nantikan kepulangan anakmu.