Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
5,819
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 19

SELEPAS tiga jam lebih mengharungi perjalanan menggunakan bas ekspress dari Terminal Bersepadu Selatan, Megat tiba di Terminal Bas Lumut. Satu tempat yang cukup asing buatnya. Mujur ada kemudahan internet, banyak panduan yang boleh diikutinya ke situ. Menggunakan kemudahan itu juga dia sudah menempah bilik penginapannya di sebuah rumah tumpangan bajet.

             Perjalanan serterusnya, dia perlu menempuhi mabuk laut pula. Mengenangkan hal itu, hatinya sedikit kecut. Matanya melilau ke sekeliling seketika.

            “Auntie, tumpang tanya. Jeti ke Pulau Pangkor ke arah mana ya?” Dia menegur seorang pekerja pembersihan berbangsa India yang sedang menyapu dedaun pokok di persekitaran terminal itu.

            “Adik mahu pergi ke jeti yang mana satu?” Soal pekerja itu kembali.

            “Ada banyak jeti ke?” Pantas dahi jadi Megat berkerut. Rupanya carian yang dilakukannya di internet tidak lengkap.

            “Ada dua jeti, satu di Pekan Lumut ini. Yang satu lagi Jeti Marina Island di Teluk Muroh,” jelas pekerja itu dengan ramah.

            “Oh, begitu. Apa bezanya, auntie?” Soal Megat lanjut.

            “Dua-dua sama aje, adik akan sampai Pulau Pangkor juga. Harga tiket pun sama juga. Cuma kalau guna Jeti Marina Island, 10 minit sudah sampai.”

            “Kalau guna jeti satu lagi?” Mengenangkan dia seorang yang mabuk laut, cepat-cepat Megat bertanyakan soalan itu.

            “Lambat sikit, lebih kurang 45 lima minit.”

            “Oh, sangat beza tu. Ke arah mana saya perlu pergi untuk ke Jeti Marina Island?”

            “Adik terus aje guna jalan ini sampai ke hujung sana. Nanti Adik ada nampak sign board Jeti Marina Island.”

            “Terima kasih banyak-banyak, auntie,” ucap Megat sebagai tanda menghargai bantuan pekerja pembersihan itu.

            “Sama-sama.” Pekerja itu membalas dengan lirik senyuman. Keramahannya cukup menyenangkan hati Megat.

            Megat terus menyusuri laluan siar kaki menuju ke arah yang ditunjukkan pekerja pembersihan tadi. Beberapa minit kemudian, dia tiba di destinasi yang ditujunya. Selepas mendapatkan tiket, dia menapak ke tempat menunggu feri. Rupanya sebuah feri sudah menunggu waktu untuk berlepas. Tanpa membuang masa, Megat terus memasuki perut feri. Sudah ramai penumpang di dalam perut feri itu.

            Tak sampai 5 minit Megat melabuh punggung pada kerusi, feri itu memulakan perjalanannya ke Pulau Pangkor. Perut Megat mula berasa tidak sedap. Gejala mabuk lalutnya mula mendatanginya. Sememangnya selama ini, hidupnya cukup asing dengan laut. Apatah lagi melakukan perjalanan di atas permukaan laut sebegitu. Dia cuba menahan sedaya mungkin rasa tidak menyenangkan itu.

            Mujur kata-kata auntie pekerja pembersihan yang ditemuinya tadi benar. Perjalanan feri itu tepat-tepat memakan masa 10 minit. Berlabuh sahaja feri itu di Jeti Pulau Pangkor, cepat-cepat Megat keluar dari feri kerana perutnya sudah tidak dapat menahan lagi isinya yang mahu keluar. Tanpa sempat mencari tandas, dia muntah di susur kaki jeti. Mujur sempat dihalakan mulutnya ke air laut. Nasib baik juga orang yang lalu lalang di tepinya tidak mempedulikan tingkahnya itu. Kalau tidak, pasti dia akan menahan malu. Barangkali perkara itu sudah biasa dilihat mereka. Sekilas hadir juga kata-kata sinis mengejek dirinya sendiri, macam mana nak jadi James Bond kalau mabuk laut macam itu?

             Selepas perutnya kembali lega, Megat meneruskan langkah kakinya untuk keluar dari jeti itu. Menerusi penerangan pekerja rumah tumpangan yang ditempahnya semalam, dia perlu mengambil teksi atau perkhidmatan prebet sapu untuk ke tempat penginapan itu. 

           Belum pun sempat dia melangkah keluar dari pintu utama jeti itu, sudah ada beberapa orang yang datang menyapanya. Tanpa mahu berfikir panjang, dia menyahut sapaan seorang prebet sapu. Dia mahu cepat sampai ke destinasi, kerana waktu untuknya membuat pencarian di pulau itu cukup singkat. Dia perlu kembali semula ke Kota Damansara pada hari Ahad nanti. Bermakna dia cuma ada dua hari sahaja di pulau itu.

            Kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan van prebet sapu itu, Megat akhirnya tiba di Blue Inn, rumah tumpangan bajet yang ditempahnya. Selepas membayar harga tambang kepada pemandu van, dia terus menapak ke kaunter pendaftaran rumah tumpangan itu.

            “Selamat tengah hari, boleh saya bantu?” Seorang gadis di kaunter pendaftaran itu menyapanya dengan ramah. Daripada fizikalnya, anggaran usia gadis itu dalam lingkungan 24 hingga 26 tahun.

            “Selamat tengah hari, saya Megat. Semalam, saya ada buat satu tempahan bilik di sini.” Megat menyambut sapaan gadis itu.

            “Boleh beri kad pengenalan, saya buat semakan.” Gadis itu bersuara lagi. Di bibirnya tak lekang dengan senyuman. Menyerlahkan keayuan dan kemelayuanya.          

            “Okey, bilik Encik Megat sudah disediakan. Sekejap ya, saya panggilkan seorang pekerja untuk tunjukkan bilik itu.”

            Tak sampai dua minit gadis itu meninggalkan Megat di kaunter itu, dia kembali semula bersama dengan seorang pemuda.

            “Abang Putra, tolong tunjukkan bilik Encik Megat ini boleh? Indra keluar ke pekan sekejap.” Pinta gadis itu penuh formal sambil menghulurkan satu anak kunci.

            “Boleh, boleh. Jom Encik Megat, saya tunjukkan bilik,” ajak pemuda itu kepada Megat.

            Megat terus membuntuti pemuda berambut ekor kuda itu.

            “Hah, ini biliknya!” Selepas beberapa derapan kaki, mereka tiba di hadapan pintu sebuah bilik. Pemuda bernama Putra itu segera menghulurkan anak kunci kepada Megat.

            “Encik Megat berehat-rehatlah dulu ya, nanti kalau lapar boleh terus ke ruang makan. Atau kalau ada apa-apa mahu pertolongan juga, saya ada di situ untuk membantu.”Tambah pemuda itu lagi. Daripada riak wajahnya, terserlah keramahannya.

            Megat sekadar mengangguk. Pemuda berambut ekor itu mahu berlalu. Sekilas Megat teringatkan sesuatu.

            “Bang!” Panggil Megat kembali. Langkah kaki Putra terhenti dan dan dia berpatah semula ke arah Megat.”

            “Ya, Encik Megat ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu?”

             "Err, abang panggil saya Megat aje dah cukup." Megat sedikit berasa pelik bila dipanggil dengan formal sebegitu.

            "Okey, Megat. Ada apa-apa lagi yang boleh abang bantu." Putra mengubah bahasanya, menuruti permintaan Megat.

            Megat cepat-cepat meraba poket seluar untuk mengeluarkan telefon Vivo 1820nya.

            “Abang tahu tak apa-apa berkaitan dengan gambar di t-shirt ini?” Soal Megat sambil menunjukkan gambar di skrin telefonnya kepada Putra.

            “Nampak macam logo satu event yang dijanjurkan di pulau ini. Tapi abang tak pernah lihat pulak gambar logo ini sepanjang abang menetap di sini. Kebiasaannya, setiap event yang dianjurkan di pulau ini abang tahu, tapi yang ini abang betul-betul tak tahu. Maybe, ini bukan event yang besar-besar dan tak dihebah-hebahkan.”

            “Maksud abang, satu event yang dilakukankan secara rahsia?” Megat cuba mencungkil sesuatu yang lebih sahih.

            “Err, abang tak beranilah nak kata begitu. Tapi abang rasa, ianya satu event yang dilakukan secara tertutup.”

            “Hmm, abang tahu tak mana-mana pihak yang selalu buat event secara tertutup di pulau ini?” Ada sedikit kehampaan di hati Megat, namun dia tidak mudah patah semangat.

            “Abang tak tahu, tapi boleh tanya Indra.”

            “Indra?”

            “Ya, Indra, adik abang. Dia tahu semua tentang selok-belok pulau ini. Tapi kena tunggu dia balik dari pekan baru boleh tanya dia.”

            “Okey, terima kasih, bang. Nanti saya cari abang dan adik abang itu di ruang makan.

            “Okey, sama-sama.”

 

TENGAH HARI itu, selepas melepaskan penatnya di bilik, Megat menapak ke ruang makan untuk mencari Abang Putra dan Indra. Setibanya di ruang itu, hanya Putra yang kelihatan.

Putra sebenarnya lebih kepada seorang chef di rumah tumpangan itu. Namun, dia boleh melakukan apa-apa sahaja kerja rencam yang lain. Dia tiba di pulau itu beberapa

tahun yang lalu selepas mengalami satu konflik hidup. Bekas seorang graduan di sebuah universiti di Jepun dan pernah menjadi seorang pereka grafik di sebuah syarikat pengiklanan di ibu kota Kuala Lumpur. Seorang yang berbakat dalam bidang muzik juga. Kalau bukan kerananya, rumah tumpangan itu sudah lama berkubur. Dia telah memberi nafas baru kepada kelangsungan operasi rumah tumpangan itu. Juga memberi semula keriangan kepada semua warga penghuninya.

           “Megat, duduklah.” Putra mempelawa Megat selepas melihat kemunculannya di situ.

            Megat menarik sebuah kerusi sebelum melabuhkan punggungnya.

           “Di sini, kami menerapkan konsep kekeluargaan. Kebiasaaanya kamiwarga Blue Inn akan makan bersama-sama dengan pengunjung seumpama sebuahkeluarga,” jelas Putra dengan ramah. Segelas oren dituangnya dan disuakan kepada Megat.

           “Terima kasih,” ucap Megat menerima suaan itu. Sememang tekaknya tengah haus ketika itu dek kerana musim panas yang sedang berlangsung.

           “Sekejap lagi Indra datang, abang dah hantar mesej kepadanya.” Tanpa ditanya, Putra menjelaskan tentang hal itu.

           “Oh, terima kasih, bang.”

           Putra mengukir senyum. Cukup menyerlahkan maskulin kelakiannya. Walaupun kulit wajahnya sedikit gelap dek kerana dibakar bahang mentari, namun masih boleh dijejak ketampanannya. Ada iras-iras Takashi Sorimachi, seorang aktor terkenal Jepun yang cukup Popular dengan siri bersiri Great Teacher Onizuka dan Beach Boys suatu ketika dahulu.

           Tak lama kemudian, muncul seorang remaja lelaki lebih kurang baya-baya Megat juga.

          “Hah, panjang umurnya. Baru aje sebut namanya, dah muncul,” kata Putra lagi.

          “Indra,” ucap remaja lelaki itu sambil menghulurkan tangannya.

          “Megat,” balas Megat dan tangannya bertaut dengan tangan Indra.

           Rupa fizikal Indra lebih kurang tinggi Megat juga. Tapi bentuk badannya sedikit tegap. Daripada imej dan rambutnya, dia seperti seorang pencinta budaya skinhead.

          “Abang Putra cakap kau nak jumpa aku untuk tanya sesuatu, tentang apa ya?” Soal Indra dengan riak wajah yang sedikit serius, menepati rupa fizikal dan imejnya.

          “Hah, sebelum itu abang nak selesaikan dahulu rasa musykil di fikiran abang ini! Tadi abang lupa nak tanya Megat. Megat ini polis ke? Sebab cara Megat bertanya kepada abang tadi semacam Megat sedang menyiasat sesuatu kes.” Putra cepat-cepat menyampuk.

          Megat menggelengkan kepalanya.

          “Kalau bukan polis, penyiasat persendirian?” Soal Putra lagi. Dahinya masih berkerut.

          Sekali lagi Megat menggelengkan kepalanya.

         “Kalau bukan polis dan penyiasat persendirian, siapa sebenarnya Megat?” Putra masih belum berpuas hati.

         “Saya sebenarnya ke sini untuk mencari rakan sekolej saya. Namanya Emily. Dah lebih dua minggu dia hilang,” jelas Megat, tak mahu berselindung.

         “Oh begitu rupanya.” Putra seperti akur dengan jawapan Megat itu.

         “Tugas menyiasat orang hilang ini kerja polis atau penyiasat persendirian, kenapa kau sibuk-sibuk nak menyiasat? Dia girlfriend kau ke?” Nyata jawapan Megat itu tidak menghilangkan rasa musykil di fikiran Indra. Riak wajahnya seperti sebelumnya. Cukup untuk memberi pengertian kepada Megat, dia  seorang yang tidak mudah mesra dengan orang yang baru dikenali.

        “Bukan, err… macam mana ya saya nak jelaskan.” Kata-kata Megat tersekat. Dia bimbang Putra dan Indra akan sukar untuk mempercayainya. Dan dia mula rasa letih untuk menjelaskan perihal itu berulang kali.

        “Cuba Megat jelaskan sejelas-jelasnya.” Putra mendorong. Betapa riak wajahnya menjelaskan dia benar-benar ingin tahu asas perkara itu.

         “Sebenarnya, lebih kurang dua minggu jugaklah sudah saya menyiasat misteri kehilangan rakan saya ini. Saya sebenarnya mendapat visi atau klu berkaitan Emily dalam mimpi setiap kali saya tidur selepas menyentuh barang miliknya atau sesuatu yang pernah disentuhnya.”

         “Maksud kau, kau ada kuasa psikik?” Ternyata Indra cepat memahami maksud penjelasan Megat itu.

          Perlahan-lahan Megat mengangguk kepalanya.

          Reaksi Megat itu membuatkan Putra membeliakkan sedikit matanya. Namun, Indra tidak memberi apa-apa reaksi. Orang yang selalu terlibat dengan kerja-kerja membikin filem sepertinya pasti sudah biasa dengan cerita seperti itu.

         Indra sebenarnya seorang bekas pelajar jurusan filem, namun tidak menghabiskan pengajiannya kerana satu dakwaan yang menyebabkan dia digantung pengajian. Walaupun pihak universiti memanggilnya semula meneruskan pengajian selepas menyedari satu kesilapan telah berlaku dalam pendakwaan itu, dia memutuskan untuk terus berhenti belajar. Sayang seribu kali sayang, dia sebenarnya seorang pelajar yang pintar dan pembikin filem yang cukup berbakat sehinggakan pernah ditawarkan jawatan sebagai pengarah filem daripada sebuah syarikat penerbitan filem terkemuka tanah air. Namun, tawaran itu ditolaknya mentah-mentah. Sememangnya, dia seorang yang sukar dijangka.

         Kini, dia meneruskan kelangsungan hidupnya dengan mengambil upah sebagai jurugambar bebas di samping membantu kerja-kerja di rumah tumpangan milik keluarganya itu. Namun begitu, minatnya menghasilkan filem-filem pendek masih diteruskan. Sesekali juga dia diupah membuat filem peribadi berkaitan kenduri kahwin dan sesuatu event di sekitar pulau itu.

         “Jadi, apa yang kau mahu tanya daripada aku?” Indra kembali kepada persoalannya.

         Megat menarik sedikit nafas lega kerana Indra tidak mahu bersoal panjang soal kuasa psikik yang dimilikinya itu. Seolah Indra tidak meragui kata-katanya.

         “Saya mahu tahu tentang gambar ini.” Dia segera mengeluarkan telefonnya dan menunjukkan gambar di skrin telefonnya kepada Indra. Telefonnnya itu bertukar tangan.

         Indra meneliti gambar itu beberapa ketika.

         “Aku tak tahu di mana event ini diadakan.” Indra bersuara kembali selepas puas meneliti gambar itu. Telefon  dikembalikan semula kepada Megat.

         Mendengar kata-kata Indra itu, Megat menarik wajah kehampaan.

         “Tapi aku tahu siapa yang membuat t-shirt ini.”

         Riak kehampaan di wajah Megat tak sempat berpanjangan.

        “Betul kau tahu?”

        Indra mengangguk kepalanya.

        Cukup lega Megat melihat jawapan Indra itu. Dia memandang Putra dengan senyuman.

        Putra turut ikut tersenyum.

        “Kita kena pergi ke pekan Lumut untuk menjejak pembuat t-shirt itu.” Indra bersuara lagi.

        “Okey, okey.” Semakin lebar senyuman di bibir Megat. Semakin lebar juga lega di hatinya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan