Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,543
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6

STADIUM mini kolej seperti selalunya kala matahari tegak di kepala.Sunyi dan lenggang. Tak ramai pun sebenarnya pelajar menggunakan kemudahan itu.Adalah beberapa kerap pelajar yang aktif bermain bola mengeluar peluh di situ.Rata-rata pelajar di kolej itu lebih sukakan E-sport dan sukan-sukan indoor. Manja dengan ruangan yang yang berhawa dingin. Yang bukan kaki sukan pastinya menjauhkan terus diri mereka daripada tempat itu.

            Inspektor Razif memanjat anak-anak tangga untuk menuju ke grandstand. Selepas melewati 25 anak tangga, ternganga di depannya hamparan padang rumput tiruan yang menghijau.

           Dia tersenyum sendiri. Lelahnya dilepaskan seketika dengan memejam sejenak matanya. Sudah lama sebenarnya dia tidak mengunjungi lokasi seumpama itu. Ternyata tugasan sebagai seorang pegawai penyiasat yang sentiasa sibuk dengan kerja di lapangan telah membataskan masa sengangnya. Terimbau sejenak sewaktu dia di alam remaja dahulu. Boleh katakan, dia seorang ayam tambatan dalam pasukan bola sepak kampungnya.

          Perlahan-lahan kemudian dia memalingkan pandangannya. Matanya dapat menjejak seorang remaja lelaki di satu sudut. Langkah kakinya segera diaturkan ke arah itu.

          “Assalamualaikum,” sapanya sebelum melabuh punggung di sisi anak remaja itu.

          “Err… Waalaikumussalam.” Ternyata anak remaja yang tidak menyedari kehadirannya itu sedikit terperanjat.

         “Saya Inspektor Razif, kamu Megat kan?” ucap Inspektor Razif kemudian sambil menghulurkan tangan kanannya.

         “Err… ya betul, saya Megat,” balas Megat sedikit tergagap ketika menyambut salam Inspektor Razif. Manakan tidak tergagap, disapa orang asing sebegitu. Lebih-lebih lagi seorang pegawai polis. Pastinya ruang fikiran akan diganggu 1001 persoalan.

         “Kamu kenal Emily kan?” Dengan senyuman di bibir, Inspektor Razif bersuara lagi. Sememangnya dia tidak mahu Megat gemuruh dengannya.

          “Errr… dia rakan… dia satu kelas dengan saya.” Dalam nada yang tersekat-sekat Megat berusaha menyusun kata-kata jawapannya sebaik mungkin. Dadanya mula berombak.

          “Kamu tahu dia hilang?”

          Megat sekadar mengangguk.

          “Kamu tahu dia di mana?”

          Kali ini Megat menggerakkan kepalanya berlawanan daripada gerakan sebelumnya.

          “Saya dengar kamu berkelahi dengannya, betul?” Inspektor Razif cuba memancing reaksi Megat. Pegawai penyiasat yang berpengalaman sepertinya pasti mahir dalam ilmu siasatan.

          Megat merasakan soalan itu seperti satu jerangkap. Silap jawab, pasti dia akan dicop sebagai seorang suspek. Semakin kencang juga jantungnya berdetak.Seperti detakan genderang perang. Dia cuba mengawal rasa gemuruhnya.

         “Err, memang betul tuan, hubungan saya dengan dia tak berapa baik.Tapi saya tak pernah mendendaminya. Jauh sekali mahu melakukan sesuatu yang tak elok kepadanya. Walaupun dia selalu mencari masalah dengan saya, tapi saya sentiasa mahu mengelak daripadanya. Sebab itu saya selalu memencilkan diri saya di stadium ini, supaya saya dapat mengelak daripada dia dan rakan-rakannya.” Megat berkata sejujurnya. Baginya tiada apa yang perlu dirahsiakan.

        Inspektor Razif terdiam sejenak. Seperti fikirannya berfikir sesuatu.

        “Hmmm, saya percaya kepada kamu. Saya ada kenal seseorang seperti kamu dahulu,” ungkap Inspektor Razif. Di hujung ungkapannya itu ada secangkir senyuman.

         Megat menarik nafas lega. Debaran jantungnya juga beransur normal kembali. Inspektor Razif kemudian bangun dari labuhan punggungnya.

        “Baiklah Megat, maaf kerana mengganggu kamu berehat. Tapi jika kamu ada apa-apa maklumat yang mahu dikongsi, kamu boleh hubungi saya. Ini kad saya,” ujar Inspektor Razif sambil menghulurkan sekeping kad nama yang diambil dari dompetnya kepada Megat.

        Megat menyambut huluran Inspektor Razif tanpa berkata balas. Pandangannya menghantar Inspektor Razif sehingga ke anak tangga stadium. Bayang Inspektor Razif kemudian hilang.

        Megat melepaskan satu nafas kelegaan. Leganya seumpama terlepas dari kepungan zombie yang mengganas dalam siri televisyen kegemarannya, The Walking Dead.

Perlahan-lahan pandangannya berkalih ke arah beg sandang di sisinya.Lalu dia membuka beg itu dan mengeluarkan novel yang diperolehi daripada Alicia pagi tadi.

        Judul novel itu diamati. Juga nama penulisnya.

        NATALIA, Nami Cob Nobbler.

        Begitulah tertulis di kulit hadapan novel itu.  Di kulit hadapannya juga ada sebuah potret gadis berambut blonde. Barangkali itulah Natalia yang ingin diceritakan penulisnya.

        Emily juga berambut blonde. Mungkin itu berlaku secara kebetulan sahaja. Mungkin persamaan itu juga mendorong Emily membeli novel itu.

        Halaman demi halaman novel itu kemudian dibeleknya. Namun dirasakan tiada apa yang mencurigakan dengan novel itu. Tiada juga diselit apa-apa dalam novel itu. Adegan selit-menyelit nota rahsia dalam helaian buku banyak terdapat dalam movie-movie thriller yang pernah ditontoninya sebelum ini.

       Mungkin, aku harus membaca sehingga ke penghabisan novel ini terlebih dahulu. Satu kata putus berbisik di ruang fikirannya. Novel itu kemudian dimasukkan kembali ke dalam beg sandangnya kerana menyedari waktu rehatnya kian menghampiri detik penamat. Lalu beg itu digalasnya dan pantas dia mengatur langkah kembali ke kelas semula.

 

PULANG dari kolej petang itu, Megat terus merebahkan tubuhnya kekatil. Tubuhnya dirasakan seberat-beratnya petang itu. Jadi datang angin malas untuk dia keluar berjoging, seperti selalu dilakukannya saban petang.

            Menyedari dia belum solat asar, dia bangun semula. Terus dia masuk ke bilik air untuk menyucikan diri. Usai mandi terus dia menyarung kain pelikat dan baju melayu biru satin kegemarannya. Solat empat rakaat kemudian dikerjakannya.

            Usai solat, dia merebahkan semula tubuhnya ke katil. Rasa mengantuk mula menguasai bila bola matanya dikhayalkan oleh putaran kipas yang tergantung di siling. Seolah-olah dihipnosis. Namun, rasa itu pantas tersekat bila dia teringatkan novel di dalam beg sandangnya.

            Dia bingkas bangun dan mengambil beg sandangnya. Selepas mengeluarkan novel itu, dia kembali semula ke katil. Novel itu mula dibacanya.

            Beberapa jam telah berlalu. Terlalu asyik dia membaca novel itu sehingga ke titik noktah yang terakhir. Sebuah kisah sci-fi yang persis filem Back To Future lakonan Micheal J. Fox yang cukup mengasyikkan di era 80-an dahulu. Walaupun zaman sudah memasuki alaf baru, filem itu tetap tidak jemu ditonton generasi ke generasi.

           Sedar tak sedar, kisah seorang pemuda bernama Alif Akbar yang merentas masa mencari gadis dambaan hati bernama Natalia, yang menghilang secara misteri itu membawa Megat melewati angka jam 9.00 malam.

            “Alamak, aku dah terlepas solat maghrib.” Megat menepuk dahinya selepas menyedari kelalaian itu. Waktu isyak juga sudah beberapa minit berlalu. Lantas dia bangun untuk berwuduk.

            Solat qada maghrib dikerjakannya terlebih dahulu. Kemudian disusuli dengan solat isyak. Usai mengerjakankedua-dua solat itu, dia naik semula ke atas katil. Tubuhnya di sandarkan pada kepala katil. Telefon tangan yang terbaring sepi di atas meja pojok di sisi katil diambilnya.

            Sesepi hidupnya, begitulah juga sepi telefonitu. Dalam galeri telefon itu hanya tersimpan nombor telefon kakaknya, nombor telefon kolej, beberapa nombor pensyarah dan  talian kecemasan sahaja.

            Dahulu, sewaktu di kampung dan di bangku sekolah menengah adalah juga dua tiga orang rakan yang dekat dengannya. Namun, kini seperti juga dirinya telah dilupakan mereka. Oleh sebab itulah juga dia tidak aktif di media sosial. Dia hanya ada akaun Instagram sahaja. Itupun kerana dia sukakan gambar-gambar.

            Peti simpanan WhatsApp disemaknya. Hanya ada satu peti WhatsApp sahaja dimilikinya. Seperti diduga, kakaknya akan pulang agak lewat sedikit pada hari itu kerana timbunan tugasan yang perlu diselesaikan di pejabat. Selepas membaca mesej kakaknya itu, dia meletakkan semula telefon di atas meja pojok di sisi katil.

            Tekaknya terasa haus. Lalu dia bangun dan menapak keluar dari biliknya menuju ke ruang dapur di tingkat bawah. Segelas air kosong sejuk dari dispenser Coway diteguknya beberapa teguk. Gelas yang masih bersisa air kosong sejuk itu kemudian dibawanya ke ruang tamu.

            Dia melabuh punggung di sofa. Butang alat kawalan tv dan dekoder Astro kemudian ditekannya.Saluran demi saluran ditekannya. Namun, tiada satu pun rancangan yang menarik perhatiannya. Pencariannya itu terhenti pada saluran History HD. Ketika itu, ulangan siri Alone musim 6 sedang diulang tayangkan. Episod itu sudah ditontonya beberapa kali sebelum ini.

            Tubuh malasnya kemudian dibawa bersandar. Pandangannya kemudian perlahan-lahan lari dari skrin tv.  Beberapa saat selepas itu dia merebahkan terus tubuhnya ke sofa itu. Kedua-dua tangannya menyilang di dahi, lagak gaya seorang mat romeo yang mengalami konflik percintaan walaupun ironinya dia tidak pernah memiliki seorang kekasih.

            Pandangan matanya sekadar menatap kosong putaran kipas di siling. Sekilas datang ingatannya kepada isi kandungan novel Natalia yang telah selesai dibacanya sehinggakan ke halaman 231 tadi. Ternyata jalan cerita novel itu mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku kepada Emily. Dalam novel itu, Natalia juga menghilang secara misteri.

            Apakah Emily cuba meniru perbuatan Natalia?

            Sekonyong-konyong datang fikiran itu ke dalam benaknya.

            Apakah seseorang perlu menjadi Alif Akbar untuk mencarinya?

            Siapa?

            Aku…

            Ridiculous! Aku bukanlah pemujanya!

            Satu bentakan keras menelusi dua tubir bibirnya. Cepat-cepat dia meletakkan palang untuk menyekat fikirannya daripada terus hanyut berfantasi.

            Perlahan-lahan kemudian kelopak matanya meruyup.

            Secara tiba-tiba…

            Dalam pandangan yang berbalam-balam, berlegar-legar beberapa huruf vokal dan konsonan di layar matanya. Silih berganti.

            N

            A

            I

            r

            Disusuli dengan nombor 13.

            Dia seperti berada di dalam mesin basuh, berpusing-pusing bersama-sama dengan huruf vokal, kosonan dan nombor itu. Berulang-ulang kali sehinggakan memeningkan kepalanya.

           ARGHHHHHH!

           Dia menjerit kerana sudah tidak tertahan lagi dengan rasa pening itu.

           “Adik! Adik! Bangun!” Kedengaran satu suara memanggil-manggilnya.Terasa juga juga tubuhnya bergoncang. Lalu segera dia membuka matanya.

           “Astaghfirullahalazim, adik bermimpi rupanya.” Megat beristighfar selepas menyedari situasi sebenar. Dilihat kakaknya berada di sisi.

           “Adik mimpi apa?” Soal Putri Kamila. Jelas wajahnya cemas bila melihat situasi Megat tadi. Bimbang juga dia, takut-takut kejadian kemalangan ngeri lalu itu datang menganggu kembali fikiran adiknya itu. Ternyata bukan mudah Megat untuk melupakan kejadian itu. Hampir setahun juga Megat merancau selepas kejadian itu, sebelum pulih.

            “Err… entahlah,” jawab Megat. Dia sendiri tidak memahami maksud disebalik mimpinya itu.

             “Adik mimpikan kejadian kemalangan itu ke?” Puteri Kamila mahu lebih kepastian kerana doktor yang merawat Megat dahulu telah berpesan kepadanya, sekira Megat mengalami mimpi sebegitu lagi, dia harus membawa Megat berjumpa dengan doktor itu semula.

            “Bukan,” jawab Megat sepatah.

             Puteri Kamila menarik nafas lega.

             “Hmmm, mainan tidur aje kut. Ni mesti tak baca doa dahulu sebelum tidur tadi. Adik bangunlah, tidur di dalam bilik,” ujar Puteri Kamila dengan senyuman.

             Megat menuruti arahan kakaknya itu. Perlahan-lahan dia bangkit dan menapak naik ke biliknya.

             “Jangan lupa, baca doa dahulu sebelum tidur!” laung Puteri Kamila ketika Megat di anak tangga.

             Megat yang masih mamai sekadar mengangkat ibu jarinya.

             Puteri Kamila mengeleng-geleng kepalanya tatkala melihat telatah Megat yang mamai itu. Bertandang juga sedikit rasa bersalah di hatinya. Fikirnya, pasti Megat menanti kepulangannya sehinggakan tertidur di ruang tamu itu. Anak matanya kemudian menjeling jam yang tergantung di satu sudut dinding ruang tamu. Jarum jam itu sudah menunjukkan angka hampir 12 tengah malam.

            Selepas menutup suis tv, dekoder astro dan lampu di ruang tamu itu, Putri Kamila juga memanjat anak tangga untuk masuk ke biliknya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan