Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,541
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

PONDOK bas Seksyen 9, Kota Damansara. 7.15 pagi. Cuaca agak lembap kerana malam tadi membawa ke saat itu hujan masih merintih. Dalam kesuraman itu Megat berlari-lari anak menuju ke situ.

             Punggungnya dilabuhkan ke pelantar bangku marmar. Sudah menunggu disitu dua orang wanita. Seorang bertudung labuh, manakala seorang lagi hanya berserkup kepala. Kedua-duanya berpakaian sebuah syarikat pembersihan.

            “Eh, kau ada dengarcerita pasal anak gadis Kak Nab yang tinggal hujung blok kita itu?” Kedengaran wanita berserkup bertanya kepada rakannya. Daripada nada suara dan ekspresi muka wanita berserkup itu, menepati kriteria seorang mak cik bawang.

            “Cerita apa?” balas wanita bertudung labuh.

            “Jadi kau tak tahulah ni?” Reaksi bersungguh seorang pembawang.

            Kali ini wanita yang bertudung labuh sekadar mengangguk.

            “Anak gadisnya itu hilang!”

            “Hilang?” Ada sedikit ekspresi terkejut dari wajah wanita bertudung labuh.

            “Ya, hilang! Dah heboh satu blok kita tu!” Makin bersungguh wanita berserkup itu menyampaikan berita. Ekspresi terkejut berlebihan sememangnya kebiasaan seorang pembawang.

            “Bila?” Nada suara wanita bertudung labuh masih terkawal, menepati kewarakan wajahnya.

            “Dah dua hari.”          

            “Macam mana boleh hilang?”

            “Khabarnya dilarikan budak Lombok yang kerja tapak binaan depan blok kita itu.”

             Hisyy, objektif cowok-cowok Lombok ni berkelana ke Malaysia sebab nak bawak lari anak dara orang aje ke? Takkanlah kat Lombok sana tak ada cewek-cewek cantik?

Betul ke apa yang didakwa mak cik bawang ni? Atau serkap jarang dia aje? Mak cik bawang selalunya kan main sedap mulut aje.

           Tapi, mengikut statistik memang dah banyak kisah anak-anak dara Malaysia dilarikan sampai ke kampung halaman mereka di Lombok. Lepas dua tiga tahun menghilang baru masuk berita, merayu kepada kerajaan supaya membawa  mereka balik semula ke Malaysia sebab dah tak sanggup hidup melarat dengan anak-anak yang berderet-deret. Waktu lari ikut laki dahulu bukan main lagi, naik bot meredah lautan bergelora pun sanggup.

           Ada yang kata gadis-gadis Malaysia yang terperdaya ini telah disihir. Tapi pokok pangkalnya, kalau tak bertepuk sebelah tangan takkan jadikan? Kalau gadis-gadis ini sendiri tak membuka jalan kepada lelaki-lelaki asing ini mendekati, pasti ada palang yang akan menghalang.

          “Betul kau tak tahu cerita ini?” Mak cik bawang mengulangi soalan itu sekali lagi. Seperti ada modal baru untuk menempelak rakannya itu. 

            Wanita bertudung labuh dengan wajah lurusnya lambat-lambat mengangguk. Seperti juga dia sudah dapat mengagak hamburan yang bakal dilemparkan kepadanya kelak.

            “Macam mana kau nak tahu, tak bercampur dengan orang. Berkurung aje dalam rumah.” Hamburan cakap lepas yang sudah sinonim dengan pembawang. Semburan yang tak pernah tak berbisa, meresap terus ke ulu hati.

           Amboi-amboi, mak cik bawang! Tak bercampur dengan orang lebih baik daripada suka jaga tepi kain orang!

           Senyum kelat terukir di bibir wanita bertudung labuh. Dia sepertisudah lali dengan mulut tak ada insurans rakannya itu.

          Begitulah, walaupun zaman sudah masuk melenia, berita dari mulut ke mulut masih lagi tak lekang dek zaman. Tak perlu keluar belanja membeli surat khabar. Tak perlu juga menambah bil elektrik dan duduk melangut di depanTV. Semestinya juga tak perlu top up prepaid telefon atau bil internet. Cukup sahaja ada kawan yang suka membawang. Masih tak jauh beza dengan zaman dahulu.Kalau dahulu ada tukang panglipur lara.

         Tidak mahu terus mendengar perempuan bermulut kecoh itu membawang, Megat yang duduk di hujung bangku mamar itu memasukkan fon telinga tanpa wayar N-Pods serba putihnya ke kedua-dua liang telinga. Playlist di dalam telefon tangannya kemudian dipasang. Seperti biasa, seleksi lagu-lagu alternative hiphop daripada duo Twenty One Pilots. Walaupun gaya pemakaiannya macam pencinta punk rock sejati, tapi dia suka benar dengan lagu-lagu daripada duo itu.

          Bas yang ditunggu pun tiba. Perlahan-lahan membrek, betul-betul dihadapan pondok menunggu itu. Semua bingkas bangun dan memanjat anak tangga bas.Yang paling terkocoh-kocoh pastilah mak cik bawang itu, cuba mendahului sekelompok pekerja industri Bangladesh yang berkejaran dari arah flat berdekatan. Tangan rakannya disentap keras. Hampir tersadung rakannya yang bertudung labuh itu di anak tangga bas.

          Kerusi bas yang mulanya lompang-lompang, sekelip mata menjadi penuh.Pastinya didominasi lelaki-lelaki berkulit gelap dan ketiak  berbau bawang. Dua wanita pekerja pembersihan itu sudah awal-awal mengambil kerusi bahagian hadapan, maka terselamatlah liang hidung mereka berdua.

          Megat terus menapak ke punggung bas. Masih ada  satu kerusi yang masih kosong di bahagian itu.Dia melabuh punggung pada kerusi, saat bas tersenguk-senguk memulakan semula perjalanan. Kerusi di sebelahnya yang berhampiran tingkap sudah diduduki oleh seorang remaja Cina. Namun remaja perempuan itu tidak menyedari kehadirannya kerana sudah terlentok. Daripada kemeja yang dipakai, remaja perempuan itu seorang pekerja IKEA. Pasti destinasi remaja itu ke Mutiara Damansara.

          Di kerusi bertentangan dengan Megat pula terisi dua pelajar perempuan sebuah sekolah. Seorang bertudung dan seorang lagi menyisir rapi rambutnya dengan skaf. Anak-anak gadis zaman sekarang tak macam gadis-gadis zaman dahulu, berwajah polos. Anak-anak gadis zaman sekarang rata-ratanya dah pandai bermekap dan bergaya. Kalau ditanggal baju sekolah itu, orang dah tak perasan yang mereka itu masih di bangku sekolah.

         Perbualan kedua-dua gadis sunti itu kemudian menyusup ke liang telinga Megat kerana kejadian malam tadi membuatkan dia terlupa mengecas fon telinga tanpa wayarnya. Fon telinganya kehabisan bateri.

        “Kau ni pasal apa muka ketat semacam aje aku tengok? Ini mesti malas nak pergi sekolah sebab tak siap homework matematik Cikgu Zainal Hippotemus itu kan? Kau jangan risaulah. Nah, buku matematik aku! Tirulah cepat.”

         “No needlah, aku dahsiap homework tu.”

         “Eh, terrernya kau dapat siapkan homework matematik.Biasanya kau copy paste buku latihan aku.”

          Gadis bertudung itu menunjukkan giginya yang tersusun cantik.

          “Aku dah tiru buku Arman, dia datang lepak rumah aku malam tadi,”balasnya di hujung sengihan.

         “Amboi, mengambil kesempatan mak ayah tak ada kat rumah lah tu!”

         Senyum kembang mekar di bibir gadis bertudung sambil mengangkatnakal keningnya.

         “Kiranya dah merasalah malam tadi ya.” Pelajar berskaf membuat satu kesimpulan nakal.

         Perlahan-lahan gadis bertudung itu mengangguk. Malu-malu kucing kata orang.

         “Welcome to the club!”Ucap gadis berskaf dengan menghulurkan tangan kepada rakannya itu.

         “Shhh, jangan cakap kuat-kuat! Kau jangan bocor rahsia ni kepada sesiapa tau,” ungkap gadis itu perlahan sambil membuat isyarat jari di bibir.Matanya menjeling ke sekeliling, takut-takut ada yang memasang telinga.Lebih-lebih lagi ada dua tiga orang pelajar lain dalam bas itu. Sekilas juga dia menjeling ke arah Megat. Megat segera melarikan wajahnya.

         “Hmm... untunglah pakwe tinggal dekat,” kata pelajar berskaf dengan merendahkan sedikit volume suaranya.

         “Jangan jealous ya,” bisik balas pelajar bertudung.

          Astaga, rosak budak-budak sekarang! Dah terikut-ikut budaya barat!

         “Yang pergi Johor mak dan ayah kau aje kan?”

          Gadis berskaf sedikit musykil bagaimana rakannya itu boleh bawa boyfriend masuk rumah? Tak takut adik dia lapor kat mak dan ayah dia ke bila kedua-dua orang tuanya itu balik nanti?

         Gadis bertudung  mengangguk kepalanya, acuh tak acuh kerana mengganggap soalan itu biasa.

         “Adik kau tak ikut mak ayah kau kan?” Gadis berskaf terus cuba merungkai kecurigaannya.

         “Eh, pasal apa kau tiba-tiba tanya pasal adik aku pulak ni? Kau nak try dia ke? Budak tu baru aje lepas bersunat, kan tak pasal-pasal bentang pulak nanti!”

         “Hisyy, kau ni! Takkan ler aku nak try adik lelaki kau tu. Yang Joey punya dah lebih cukup memberi kepuasan kepada akulah. Aku cuma musykil, kalau adik kau ada macam mana kau boleh bawa masuk Arman ke dalam rumah kau?”

         “Oh, pasal itu. Small matter ajelah. Adik aku itu kaki rayap. Kalau dia dah keluar dengan geng-geng basikal lajaknya,  keluar petang lewat malam baru balik. Kalau dia tahu pun, senang-senang aje aku ugut dia balik.”Gadis bertudung menyusun jawapannya dengan lirikan sinis. Moral the story kat sini, bertudung pada zaman sekarang tak bermakna seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran agamanya. Sebab itulah segelintir artis di negara ini mengenakan tudung itu ibarat ikut musim aje. 

         “Kau ugut apa?”

          “Aku akan beritahu mak ayah aku dia balik lewat-lewat malam. Satu lagi dia dah pernah kantoi hisap rokok dengan aku. Kiranya win-win situationlah. Aku cover dia, dia cover aku.”

           Amboi, bukan main lagi budak-budak jaman now! Dah boleh sama level dengan orang-orang politik. Dah pandai sebut frasa win-win situation.

           “Oh, begitu rupanya. Alangkah bagus kalau adik aku pun macam itu. Eh, kalau kau dah siap homework tu, tadi kenapa kau moyok semacam aje?”

           “Kucing aku si Nona itu hilang malam tadi.”

            “Lah, pasal kucing rupanya. Ingatkan tadi pasal Cikgu Zainal Hippotemus itu.”

            “Tak baik kau cakap Cikgu Zainal macam itu,”

             Wait! Tahu pulak dia nilai baik. Ke mana pergi nilai baiknya malam tadi? Sungguh tak faham budak-budak jaman now ini.

             “Aku masih hangin satu badan kat Cikgu Zainal tu. Semalam, 15 minit dia berleter kat aku . Satu kelas dengar, malu siot. Dia lupa ke? Berleter pun dah dianggap satu kesalahan kepada guru sekarang!”

             Fuyoo! Macam peguam, dah hafal ilmu undang-undang. Tapi peliknya undang-undang sekolah tak mahu pulak diikutnya. No wonderlah budak-budak zaman sekarang naik toncang! Tapi nak salahkan siapa? Salah pelajar itu ke? Atau salah penggubal dasar?

            “Dah memang kau yang salah, asyik nak pergi ke tandas aje belek muka depan cermin. Kau itu tak payah belek muka selalu, dah memang sedia kala cantik.Tak larinya si Joey itu kepada orang lain.”

            “Terima kasih kerana selalu puji aku cantik. Eh,  macam mana pulak si Nona itu boleh hilang?”

            “Tiga hari yang lepas kucing aku tu keluar dari rumah sebab adik aku tak tutup rapat pintu rumah. Biasanya, kalau kucing aku tu  keluar, dia akan balik semula. Tapi, sampai ke pagi ini dia tak balik-balik.”

            “Kau dah cari sekitar rumah kau?”

            “Dah puas aku cari dengan adik aku. Tapi tak juga jumpa-jumpa. Itu yang aku lewat sikit tadi,”

            “Ikut kucing jantanlah tu kut, nanti adalah tu dia balik. Balik bawak anak-anak sekali,” ulas pelajar yang memakai skaf dengan ilai tawa kelucuan. Barangkali teringat akan satu kapsyen lucu dalam Instagram  yang pernah dibacanya.

            “Si Nona tu dah dikasi, dah tak ada seleranya pada kucing jantan. Bukannya macam kita, full of excitement and adrenaline.” Balas pelajar bertudung. Nada di hujung katanya itu diperlahankan.

             Kedua-duanya kemudian sama-sama mengekek tawa.

             “Entah-entah dah ditangkap oleh pekerja kilang Vietnam. Aku dengar, dia orang suka makan kucing.” Gadis berskaf menyambung kata di hujung tawanya.

             “Eeee, biar betul kau?”

             “Ya, itulah yang aku dengar daripada mulut mak aku.”

             “Ya Allah, lindungilah si Nona aku.”

             Amboi, waktu susah macam itu pandai pulak dia ingat Tuhan! Waktu syok-syok malam tadi, pasal apa tak ingat Tuhan? Kan dah kena bayar cash atas dunia lagi.

             Segala butiran dialog dua gadis sekolah itu telah masuk ke telinga Megat. Sekonyong-konyong dia teringat kepada rantai leher yang dijumpainya lewat petang semalam di Taman Riang Rimba. Mula datang kembali juga ingatannya kepada kejadian pelik malam tadi.

            NONA…

            Hati kecilnya mengeluh.

           Bas perlahan-lahan membrek dan berhenti berhampiran sebuah sekolah menengah. Gadis sekolah dua orang itu segera bangun dari kerusi dan menyertai pelajar-pelajar yang lain turun. Tempat-tempat kosong yang ditinggalkan kemudian diganti penumpang baru yang berpusu naik. Perut bas jadi kian sendat.

           Dalam kesesakan batang tubuh yang berdiri mencelah seorang ibu muda yang sarat mengandung menuju ke arah belakang bas demi mencari ruang yang lebih lapang. Tangannya memimpin seorang anak kecil yang berseragam sebuah tadika.Anak lelakinya itu kelihatan tersedu-sedan. Melihat dua beranak itu, Megat segera bangun untuk memberi tempat duduknya selepas melihat penumpang yang duduk lain semuanya menjual ikan, selfish! Sedikitpun tak tidak diendahkan ibu muda dan anaknya itu.

          “Terima kasih, dik,” ucap ibu muda itu. Anak lelakinya diangkat ke riba. Begitulah hebatnya seorang ibu. Walaupun beban yang dibawa di dalam perutnya sudahlah berat, pehanya masih mampu meriba beban tambahan.

           Megat mengukir sedikit senyum. Pendek dan seperti not big deal.

           “Nanti mama beli yang baru ya, gantikan spinner abang yang hilang itu. Mama beli yang lagi cantik. Abang pergi sekolah dulu ya, balik sekolah nanti kita pergi kedai, mama belikan spinner baru.” Pujukan ibu muda itu menyusup masuk ke liang telinga Megat.

           “Abang nak sekarang! Abang nak sekarang!” Nyata si anak kecil tak makan dipujuk. Sedu-sedannya makin jelas kedengaran. Wajah ibu muda itu berubah resah.

            Melihat situasi itu, Megat teringat sesuatu dalam poket beg sandangnya. Lantas dia meraba poket itu.

           “Yeay, spinnerrr!!!” Melihat objek yang dihulur oleh Megat, kanak-kanak itu terus menjerit riang. Sedu-sedangnya terus hilang. Semua penumpang lain yang melihat situasi itu sama-sama berkongsi keriangannya. Haih, ingatkan dia orang tak ada perasaan tadi!

           “Terima kasih sekali lagi dik,” ucap ibu muda itu lagi kepada Megat.Resah di wajahnya juga sekilas hilang. Megat sekadar mengangguk dan memberi satu lagi senyum. Sudah dua senyuman diukirnya pagi itu. Satu rekod buatnya yang susah untuk menggerakkan 16 otot mukanya setiap hari.

            15 minit perjalanan kemudian, bas menghampiri pondok bas di hadapan Kolej Segi. Megat segera menekan butang loceng. Bas perlahan-lahan membrek dan berhenti. Megat turun dari bas dan menapak ke arah jejantas untuk menyeberangi jalan. Kira-kira 100 meter dia menapak, akhirnya dia tiba di pintu pagar utama kolej.

Melewati pintu pagar, tiga orang pelajar kelihatan sedang mengagihkan helaian seumpama risalah kepada pelajar-pelajar yang lalu lalang di situ. Salah seorang pelajar itu menghulurkan sekeping risalah kepadanya. Namun, huluran itu tidak disambutnya.

           “Buat apa kau nak bagi kepada budak weirdo tu, dia mana peduli dunia sekeliling!” Sergah salah seorang rakan pelajar perempuan yang lain.

            Megat tidak mempedulikan kata-kata itu. Dia terus menapak lurus menuju ke kelasnya.

            Kata panggilan weirdo itu sememangnya setiap hari dilemparkan kepadanya. Disebabkan jolokan itulah dia memecilkan dirinya. Di kolej itu hanya pensyarah sahaja yang menjadi lawannya berkomunikasi. Jika tiada yang bersangkut-paut dengan soal pelajaran, dia akan menghilang dalam dunianya sendiri.  Tapi dia bukan autism!

             

TENGAH HARI itu, seperti biasa Megat menuju ke arah stadium mini kolej, lokasi rahsia memencil dirinya. Dalam perjalanan tak semena-mena dia terlanggar seorang pelajar perempuan. Barang-barang yang dibawa pelajar itu bertaburan di lantai. Dalam serba salah, Megat terus mendeku untuk mengutip barang-barang yang bertaburan itu.

           “Sorry,” ucapnya denganmenunduk sambil menghulurkan barang-barang yang dikutip kepada pelajar perempuan itu semula.

            “Its okay,” balas pelajar perempuan itu.

             Megat perlahan-lahan mengangkat sedikit kepalanya. Muka bertemu muka.Pelajar perempuan itu mengukir senyum kepadanya. Rupa-rupanya pelajar perempuan itu ialah salah seorang pelajar yang mengedar risalah di depan pintu pagar kolej pagi tadi. Orangnya sederhana tinggi, berbangsa Cina dan nampak seperti seorang gadis geek dengan kaca mata bingkai besar. Rambut gadis itu bertoncang dan giginya diapit pendakap. Cukup lengkap kriteria seorang gadis geek atau biasa orang gelar  Si Nerd. Megat kenal pelajar itu kerana sama-sama belajar di kelas yang sama.Namanya asalnya ialah Wong Mei Ling, tapi lebih dikenali sebagai Alicia Wong sejak menyertai satu kumpulan pelajar perempuan yang paling popular di kolej itu.

             Megat mahu segera berlalu.

             “Megat, wait!” Alicia cuba menahannya.

             Langkah kaki Megat entah mengapa kali ini seperti ditarik magnet? Kebiasaan dia menonong sahaja untuk melarikan dirinya. Perlahan-lahan kepalanya dipalingkan, seperti juga ada tali boneka yang menarik kepalanya itu untuk berkalih.

             Alicia menghulur kepadanya satu risalah, antara barang-barang yang bertaburan di lantai tadi.

            “Take it, mana tahu awak juga boleh membantu mencari Emily,” ungkap Alicia dengan nada suara yang berharap. Wajahnya ketara sugul. Walaupun dia tahu hubungan Emily dengan Megat tak berapa baik, namun tak salah untuk dia berikhtiar meminta pertolongan.

            Mahu tak mahu Megat menyambut huluran Alicia itu sebelum menyambung kembali langkah kakinya.

            What the heck? Semua orang cakap pasal hilang aje hari ni! Fikiran Megat melepaskan satu keluhan ketika dia melabuh punggung di bangku konkrit stadium.Matanya terlempar seketika kepada risalah di tangannya. Terpampang di risalah itu wajah Emily, rakan sekelas merangkap musuh ketatnya yang sudah seminggu gagal dikesan.

            “Ah, Not my business!”gerutu Megat sebelum risalah itu digumpal dan dilempar jauh-jauh ke arah padang bola. Bahang amarahnya terhadap Emily tak pernah padam. Punca perseteruan mereka tidaklah sebesar mana, hanya kerana Megat tak sengaja tertumpah minuman ke baju Emily sewaktu di café. Namun, ianya merebak menjadi api permusuhan yang besar. Walaupun Megat sedaya mungkin mahu mengelak, Emily sering sahaja mencarima salah dengannya. Orang yang sepopular Emily pastinya akan mendapat sokongan teramai.

            Perlahan-lahan kemudian dia merebahkan tubuhnya ke bangku konkrit.Wajahnya ditutup dengan cap dan fon telinga yang sudah dicasnya semula sewaktu di dalam kelas tadi dimasukkanke dua liang telinganya. Seperti biasa, lagu-lagu alternatif hip hop duo Twenty One Pilots menjadi hiburan halwa telinganya. Begitulah tingkahnya mengisi waktu senggang tengah hari. Dia sanggup berlapar daripada mengunjungi café kolej, kerana pastinya dia tidak dialu-alukan di situ.

            Saat dia khayal dibuai bunyi-bunyian dan lontaran rap Tyler Joseph yang tersendiri, kantung matanya perlahan-lahan memberat.

            Tiba-tiba…

            Emily!

            Megat tergamam. Di hadapannya ialah gadis yang sudah seminggu hilang dari pandangan semua orang.

            What the heck! Aku di mana ni? Bukankah tadi aku di stadium kolej? Megat bingung apabila melihat suasana di sekelilinya kini berbeza sama sekali. Sekelilingnya hanya berwarna putih.

           Megat berpaling semula kepada Emily. Wajah Emily kelihatan tidak bermaya dan keresahan.

           “Emily, di mana kita ni?” Soal Megat yang kecelaruan.

           Emily hanya berdiam diri. Hanya matanya sahaja merenung sayu ke arah Megat.

          “Emily, kita di mana ni?” Megat menukas soalannya. Kali ini nada suara separuh menjerit selepas melihat Emily berpaling darinya dan mahu melangkah pergi.

           Beberapa saat kemudian batang tubuh Emily lenyap dari penglihatan.Bertambah binggung Megat jadinya.

          “EMILY!”

           Megat akhirnya terkejut dari lena pendeknya. Dia yang kaget segera menghantar pandangannya ke sekitar untuk mencari Emily. Namun, tiada sesiapapun di situ.

          “Damn! Aku bermimpi rupanya.”

           Dia membuka kaca mata dan mengusap mukanya, cuba untuk menghilangkan kekamuran itu. Matanya dipejam demi membuang terus rasa bingung itu. Namun, saat dia membuka semula matanya, dilihat risalah yang dilemparnya tadi berada betul-betul di kakinya. Yang pelik, risalah itu sedikitpun tidak kelihatan seperti digumpal.

           Tiba-tiba sahaja bulu roma tengkuknya meremang. Dia segera bingkas bangun dan mengambil beg sandangnya untuk beredar dari tempat itu. Manusia normal mana yang tak rasa seram jika mengalami perkara seumpama itu?

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan