Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,474
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 16

KEESOKAN harinya, Megat bersua dengan Alicia. Mulanya ada sedikit rasa canggung antara mereka selepas peristiwa malam tadi. Namun, rasa itu sedikit demi sedikit beransur hilang. Masing-masing akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan normal baru kehidupan mereka itu. Yang pastinya, mereka sama-sama mengecap satu rasa yang berbeza dari hari-hari sebelumnya. Rasa apa lagi? Kalau bukan rasa bahagia. Tapi Megat tetap Megat, masih berlagak bersahaja  walaupun dia sebenarnya tak pandai nak menyembunyikan gelojak perasaannya. Situasi itu sudah tentu menghadirkan lagi pandangan yang adorable di mata Alicia terhadapnya.

            Bercinta, bercinta juga. Penyiasatan mereka pun harus diteruskan. Hari itu mereka berdua  merancang untuk berdepan dengan Alex. Selepas tamat waktu kuliah petang itu, mereka menunggu Alex di ruang parkir kereta.  

            Setelah beberapa ketika menunggu, kelihatan Alex menapak ke arah keretanya. Megat dan Alicia segera mendekati Alex.

            “Alex, boleh kami berbual dengan kau seketika?” Alicia terus menyapa Alex.

            Ternyata Alex sedikit terkejut dengan sapaannya itu. Mungkin juga terkejut bila melihat Megat ada bersama dengan Alicia.

            “Ada apa?” Soal Alex acuh tak acuh.

            “Kami nak bertanya kepada kau tentang Emily,” jelas Alicia.

            “Tentang Emily?” Dahi Alex sedikit berkerut.

            “Ya, tentang Emily. Kami sedang menyiasat kehilangan Emily.” Megat menyampuk.

            “Menyiasat?” Dahi Alex semakin berkerut.

            “Ya, betul.” Alicia memberi lebih kesungguhan kepada jawapan Megat.

            “Sejak bila pulak kau orang jadi penyiasat?” Ternyata sesiapa sahaja akan jadi skeptikal dengan jawapan Megat dan Alicia itu.

            Alicia mahu tak mahu terpaksa menjelaskan dari A hingga Z tentang apa yang sedang mereka usahakan itu kepada Alex. Mulanya, Alex seperti susah untuk mempercayai penjelasannya, lebih-lebih lagi kisah kuasa psikik yang dimiliki Megat. Namun akhirnya, dia akur dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Alicia dan Megat.Tapi kalau bukan kerana Alicia, pasti juga sukar untuk dia mempercayainya.

            “Jadi, apa kau orang berdua mahu tahu daripada aku?” Soal Alex selepas berfikir sejenak.

            “Kami tahu kau ada alibi yang cukup kukuh, sebab waktu kejadian kehilangan Emily itu kau berada di Australia. Namun, kami ada rakaman pertengkaran kau dengan Brian. Brian ada sebut tentang dia tahu sesuatu rahsia kau. Jadi kami nak tahu apakah rahsia itu?”Megat memulakan sesi soal siasatnya. Lagaknya kini tak ubah seumpama seorang pegawai penyiasat dalam siri dokumentari penyiasatan The First 48, di saluran CI yang selalu ditontonnya.

            Alex jadi sedikit tergamam tatkala mendengar soalan Megat itu. Riak wajahnya juga berubah daripada sebelumnya. Sungguh dia tidak menyangka penyiasatan Megat dan Alicia sudah sejauh itu. Dia jadi seperti berfikir seketika.

            “Okey, baiklah. Kalau benar kau ada kuasa psikik dan sungguh-sungguh mahu mencari Emily, aku akan ceritakan segala-galanya. Tapi dengan syarat kau orang berdua jangan bocorkan rahsia aku ini kepada sesiapa, terutamannya kepada Inspektor Razif. Aku tak mahu libatkan pihak polis dalam hal ini.”

            “Kenapa kau tak nak libatkan pihak polis?” Alicia yang kurang mengerti segera memotong kata-kata Alex.

            “Kalau pihak polis tahu, pastinya rahsia aku itu akan terbocor kepada umum. Brian juga ada mengugut aku, dia akan menyebarkan video itu di internet kalau aku melaporkan perbuatannya itu kepada pihak polis. Aku tidak mahu rahsia aku itu diketahui oleh umum. Kalau rahsia aku itu bocor kepada umum, kredilibiti dan maruah keluarga aku akan tercalar. Kau orang berdua faham?”

            “Okey, kami faham.Kami janji takkan beritahu rahsia kau itu kepada sesiapa.” Megat yang mengerti akan maksud Alex itu segera memberi persetujuan.

            Alicia juga mengangguk kepalanya.

            Alex menghela nafas sejenak. Seperti dia mencari kata-kata untuk disusun.

            “Hubungan aku dengan Emily tidak berapa baik lately. Sebelum aku ke Australia memang betul aku ada bertengkar dengannya. Puncanya dia telah mengetahui hubungan rahsia aku dengan Jenny. Macam mana dia tahu? Kerja Brian bedebah itulah! Dia khianati aku dengan merakam hubungan intim aku dengan Jenny. Dia mengintip dengan memasang kamera di bilik tidur aku. Aku rasa, video itu dirakam waktu malam tahun baru yang lalu. Waktu itu, memang aku ada bawa Jenny ke kondo aku sebab Emily ketika itu ada family trip di Paris. Kami mabuk teruk malam itu selepas berhibur dengan Brian di Bukit Bintang. Selain Emily, hanya Brian yang ada akses untuk masuk ke kondo aku itu. Dan sememangnya terbukti itu kerja Brian, apabila aku mendapat ugutan daripada Brian. Dia mengirim video yang dirakamnya itu kepada aku.” Alex memberi penjelasannya dengan panjang terlebar sebelum terhenti untuk mencari nafas ketenangan seterusnya.

            “Bagaimana kau tahu Brian yang menghantar video itu itu kepada kau?” Ruang itu segera diambil oleh Megat untuk mencari lebih kepastian.

            “Daripada nombor telefon video itu dihantar. Walaupun nombor itu bukan nombor yang kebiasaan Brian  guna, aku ada buat semakan dengan pihak syarikat nombor telefon itu dikeluarkan. Nombor itu sememangnya didaftarkan atas nama Brian.” Cepat Alex memberi reaksinya.

            “Apa motif Brian berbuat begitu?” Keluar pula soalan itu dari mulut Alicia walaupun sebelumnya dia dan Megat sudah dapat mengagak.

            “Sebab dia mahu pisahkan aku dengan Emily. Memang benar andaian kau orang berdua, dalam diam-diam dia sebenarnya ada menaruh hati kepada Emily,” jelas Alex dengan wajah yang kian sugul.

            “Jenny tahu rahsia hubungan gelap kau dengan dia dah terkantoi dengan Emily?” Soal Megat lanjut. Lebih banyak klu harus dicungkilnya.

            “Aku rasa dia belum tahu, sebab dia tak ada bertanya kepada aku apa-apa tentang video itu. Emily juga sebelum dia hilang, tak ada menyerang Jenny.”

            “Kau ada ugut apa-apa kepada Emily?” Megat terus dengan tanda tanya. Soalannya itu berpaksikan penjelasan Alicia sebelumnya yang mengatakan dia ada terdengar Emily bertekak dengan Alex.

            “Ugut? Buat apa pulak aku nak ugut Emily? Aku yang salah, curang terhadapnya. Kenapa pula aku nak ugut dia?” Alex yang berkerut dahinya memulangkan soalan. Seperti juga dia tiba-tiba diserang rasa bengang.

            “Aku bukan nak buat tuduhan kepada kau. Aku cuma mahu mencari perkaitan mengapa Emily mahu menghilangkan dirinya daripada kau. Kebiasaanya, hanya orang

yang takut sahaja akan cuba menyembunyikan dirinya.” Megat memberi rasional di sebalik soalannya itu.

            “Kalau Emily benar-benar berada dalam situasi ketakutan, dia tak akan pergi menonton konsert K-Pop,” jelas Alex dengan wajah yang masih bengang.

            “Betul jugak.”  Alicia bersetuju dengan rasional  Alex itu.

            “Hmm, sekarang kami dah tahu punca pertengkaran kau dan Emily. Mungkin benar, Emily bukan berada dalam situasi ketakutan sebelum dia menghilangkan diri. Mungkin dia hanya mahu menenangkan dirinya di sesuatu tempat. Kau tahu mana-mana tempat yang biasa dia pergi atau sesuatu tempat yang diimpikannya mahu pergi?” Megat memberi rumusan awalnya bersama satu soalan ke fasa penyiasatan selanjutnya.

            “Dia tak pernah bercerita apa-apa tempat rahsia kepada aku, tapi aku rasa gambar ini boleh membantu,” jawab Alex sambil menghulurkan telefonnya kepada Megat dan Alicia.

            Megat dan Alicia melihat gambar yang terpapar pada skrin telefon iPhone model terkini milik Alex. Secanggih telefon itu, sejelas-jelas juga foto yang dipaparkan.

            “Pantai?” Sama-sama mereka jadi tertanya.

            “Ya, pantai. Gambar ini dikirimkan oleh Emily dua hari selepas dia menghilangkan dirinya dari Stadium Melawati,” jelas Alex lanjut.

            “Kau ada tunjuk gambar ini kepada Inspektor Razif?” Alicia menyoal.

            “Kan aku dah cakap tadi, aku tak mahu libatkan pihak polis dalam hal ini. Aku ada plan nak upah penyiasatan persendirian menyiasat dan mencari lokasi gambar ini. Tapi, memandangkan kau orang berdua sudah melakukan penyiasatan, aku serah kepada kau orang berdua sahaja untuk menyiasat.”

            “Boleh kau send gambar ini ke WhatsApp aku?” Pinta Megat.

            “Sure,”balas Alex sebelum mengambil semula telefonnya daripada tangan Megat. Dia kemudian berbuat apa yang diminta oleh Megat.

            “Okeylah, Alex. Terima kasih kerana memberi kerjasama kau. Maklumat-maklumat yang kau beri sangat-sangat membantu. Tapi, kalau kau ada apa-apa maklumat lain atau maklumat terkini tentang Emily, cepat-cepat beritahu kami. Kami janji akan menyiasat perkara ini sebaik mungkin. Hope, kita akan dapat jumpa Emily semula,” ujar Megat

selepas merasakan segala maklumat yang diberi oleh Alex itu mencukupi kepadanya dan Alicia.

            Alicia turut mengangguk kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan Megat.

            “Okay, I will.Kau orang jugak, apa-apa perkembangan yang kau orang dapat nanti cepat-cepat beritahu aku. Kalau kau orang perlukan bantuan kewangan sepanjang penyiasatan, just beritahu aje aku. Aku jugak harap, kau orang berdua pegang janji tak akan bocor rahsia aku itu kepada sesiapa.” Alex mengujar balas.

            “Okay, we promise.” Serentak Megat dan Alicia menjawab.

            Alex kemudian meminta untuk berlalu pergi. Selepas bayang Toyota Skyline biru metalik milik Alex hilang dari mata, Megat dan Alicia saling berpandangan dengan wajah yang berbunga. Ada cahaya baru yang menerangi penyiasatan mereka itu.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan