Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,548
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

PUKUL 6.15 petang.Lokasi di Taman Rimba Riang, Kota Damansara. Seorang anak remaja sederhana tinggi dan berbadan kurus berjoging di atas trek mengelilingi kolam buatan. Kedua-dua liang telinganya tersumbat fon telinga tanpa wayar serba putih N-Pods yang diperolehinya secara percuma sewaktu membeli kasut joging Power di kedai Bata.

           Itulah aktiviti mengeluar peluh yang selalu dilakukan anak remaja itu saban petang untuk mengisi waktu sunyi terpencilnya. Riadah percuma dan tidak memerlukan peneman    untuk dilakukan. Cukup saja ada playlist muzik kegemaran di telefon tangan.

            Selepas lima pusingan, tenaganya beransur hilang seperti iklan bateri murah di televisyen. Dia berhenti di sebuah bangku untuk meredakan cungap. Peluh sejat membasahi t-shirt kelabu kosongnya.

           Tak semena hidungnya terbau sesuatu yang busuk. Seperti bau bangkai.Matanya melilau mencari arah datang bau itu. Namun, tiada kelihatan apa-apa  bangkai di sekitar itu.Sekonyong-konyong matanya terlihat satu rantai kecil di atas rumput. Tergerak hatinya untuk mengambil rantai itu.

           Diamati rantai itu. Rantai itu seperti yang biasa dipakaikan dil eher binatang peliharaan. Ada satu kepingan plat kecil yang tertulis sesuatu di atasnya, seakan satu nama.

Rantai itu kemudian dicampaknya semula ke lantai rumput kerana tidak merasakan apa-apa yang pelik. Fikirnya, barangkali rantai itu terlucut dari leher kucing atau anjing peliharaan yang dibawa pengunjung ke taman itu.

          Beberapa titis peluh telah menitis di atas cermin matanya. Lalu perlahan-lahan dia menanggalkan kaca matanya untuk dilap. Tak semena peluh dari dahi jatuh ke matanya pula. Akibat rasa pedih, dia memejam matanya beberapa saat untuk meredakan rasa itu.

         Meow!

          Eh, Kucing mana pulak mengiau ni! Anak remaja itu jadi terpinga-pinga.Bola matanya terkebil-kebil dan dililaukan ke sekeliling. Namun, pandangannya kabur. Lantas dia memakai semula kaca matanya. Tapi, tetap tiada seekor kucingpun dijejaknya berada di sekitar bangku konkrit itu.

         Hmmm, perasaan aku aje kot.Dia merumus sendiri. Selepas melepas lelah di situ beberapa minit, dia mengangkat sauh labuhan punggungnya semula. Langkah kakinya diatur menuju pulang.

         Itulah Megat, anak remaja yatim piatu yang berusia 19 tahun. Sekali imbas kalau dilihat dari sisi tepi, wajahnya persis Graham Coxon, gitaris kumpulan muzik Brit Pop, Blur yang cukup terkenal dengan lagu Song 2 sekitar 90-an dahulu. Bentuk muka dan gaya rambutnya  ada iras-iraspemuzik itu. Ditambah pula kaca mata yang dipakainya juga berbingkai tebal seumpama kaca mata yang selalu digayakan pemuzik itu.

         Dia menumpang berteduh dengan kakaknya, Putri Kamila. Satu-satu ahli keluarga yang dia masih ada selepas ayah, ibu dan adiknya meninggal akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu. Lori treler sememangya bukan lawan yang setara dengan kereta Proton Saga BLM milik ayahnya. Pemandu lori treler turut terkorban dalam kejadian ngeri itu.

         Namun, suatu yang tak masuk akal telah berlaku apabila dia satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian itu. Kalau tengok daripada situasi dan kondisi kemalangan itu, tiada siapa akan terselamat. Malah dia tidakmendapat sebarang kecederaan yang serius. Hanya luka-luka kecil di beberapa bahagian tubuh. Lebih pelik bila luka-lukanya itu juga cepat sekali sembuh.Tiada siapa yang tahu misteri di sebalik kejadian itu. Doktor-doktor yang merawatnya juga kebuntuan dan menyimpulkan kejadian itu hanya berlaku 1 dalam seribu.

          Setiba di rumah, kereta kakaknya masih belum kelihatan di ruang parkir. Pasti kakaknya itu masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.Kakaknya bertugas sebagai seorang juru audit di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya.  Jarak Putrajaya ke kejiranan Kota Damansara itu sememangnya agak jauh. Walaupun pihak kerajaan ada menyediakan kaurters berdekatan tempat kerja, namun kakaknya memilih untuk membeli dan tinggal di rumah sendiri. Kebiasaannya setiap hari, menjelang waktu isyak baru kakaknya itu sampai di rumah.

          Selepas meneguk air kosong yang diambil dari peti ais, tubuh memberatnya dicampak ke sofa di ruang tamu. Namun, kemalasanitu hanya bertahan seketika cuma. Dikerah kembali tubuhnya untuk bangun selepas telinganya menangkap laungan azan maghrib dari arah surau berdekatan. Lagipun juga seluruh tubuhnya rasa melekit.

          Dengan aturan langkah malas seumpama anak sekolah yang liat bangun pagi, dia menapak ke arah rak penyidai tuala di satu sudut bilik tidurnya.T-shirt lembab yang membalut tubuhnya kemudian ditanggalkan dan dicampak ke dalam bakul laundry di tepi rak tuala. Kemudian, dia mencapai tuala dan masuk ke bilik air.

          Usai mandi, dia menyarung kain palekat kotak-kotak dan sehelai baju melayu satin biru gelap. Baju melayu itu hari-hari dipakainya kerana nostalgia dijahit sendiri oleh arwah ibunya. Walaupun kian lusuh, dia tetap memakai baju itu.

          Solat maghrib kemudian dikerjakan. Selepas memberi salam, terus dia bingkas bangun dan melipat sejadah. Biasanya, sesi itu diakhiri dengan doa.Namun, tubuhnya terasa penat sekali. Barangkali kerana dia tidak melakukan warm-up dahulu sebelum berjoging petang tadi. Kelopak matanya juga terasa semakin meruyup.

          Tubuhnya direbahkan ke tilam. Tak sampai sesaat matanya terus terkatup.

          Meow! Meow!

          What the heck!

          Kedua-dua kelopak matanya tegang kembali. Penat dan rasa mengantuknya terus berlalu pergi.

          Dia bingkas bangun dan mencari arah datang suara kucing itu. Namun,anak matanya gagal menjejak. Bunyi kucing tadi seperti dekat sekali dengannya.Lantas dia mendeku dan menyelak cadai katil, dengan anggapan ada kucing tersesat masuk ke biliknya. Pandangannya dililaukan ke bawah katil itu. Tetap juga dia tidak terjejak kucing yang mengiau tadi.

          Ya Tuhan, apakah makna semua ini? Hatinya berbisik, mula cemas.

Matanya terus melilau. Bunyi suara kucing itu cuba diamati kembali demi mencari jejaknya. Namun, tiada lagi bunyi suara kucing yang kedengaran.Bertambah bingung kepala otaknya.

          Apakah hantu kucing di Taman Rimba Riang tadi menghambatnya sampai ke rumah?

          Hisyy, tak mungkinlah!

          Mana ada hantu kucing. Tapi bagaimana kalau hantu itu menyerupai kucing? Fikirannya mula dipengaruhi filem-filem seram yang pernah ditontonnya.Sekilas juga dia teringat malam itu malam Jumaat. Terus menegak bulu-bulu halus di sekitar tengkuknya. Sekilas juga dia teringat kata-kata ibunya, bila bulu roma meremang sebegitu pasti ada suatu entiti yang sedang memerhati.

          Wait!

          Sekarang baru pukul 8.00 malam, takkan awal benar hantu masuk syif? Bulu-bulu halus di sekitar tengkuknya yang menegang tadi sekelip mata kendur kembali.

          Barangkali mainan lelapan mata aku aje tadi. Dia menyedapkan hatisendiri. Tubuhnya direbahkan semula ke tilam. Lalu perlahan-lahan dia memejam sekali lagi matanya.

          Meow! Meow!

          Membuntang semula matanya.

          “Celaka betullah!”

          Matanya dililau ke sekeliling kembali. Kali ini dia mencari  di setiap sudut kamar tidurnya itu. Namun,tiada juga kucing itu kelihatan. Usahkan fizikal, bayangnya pun tak kelihatan.Hati Megat jadi makin pelik dengan situasi itu.

          Mungkin di luar rumah kut.

          Lantas dia mencapai telefon tangannya dan menapak ke arah pintu utama rumah. Nak mencari lampu suluh dalam saat begitu pasti akan mengambil masa. Dengan bantuan cahaya lampu di skrin telefon tangannya, dia mencari kucing yang mengiau itu di sekitar luar rumah. Namun,tiada juga kelihatan kucing itu.

          Megat mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

          “Cobaan apakah ini?” Gumamnya. Rasa seramnya bertukar menjadi geram.

          Ketika itu kelihatan kereta kakaknya masuk ke ruang parkir.

          “Adik buat apa kat luar ni?” Sapa kakaknya ketika keluar dari kereta.

          “Cari kucing, tadi ada dengar bunyi kucing. Tapi bila cari tak ada pulak,” balas Megat, masih menggaru-garu kepalanya.

           “Kucing jiran kut.” Cepat Puteri Kamila membuat konklusi. Dia tersenyum melihat telatah adiknya itu. Dia tahu adiknya itu sememangnya sukakan kucing. Dahulu waktu di kampung, keluarga mereka ada memelihara seekor kucing yang diberi nama Omel. Namun, hayat Omel tak lama. Serupa dengan ayah, ibu dan adik bongsu mereka. Omel dilanggar kereta sewaktu melintas jalan. Kucing kampung memang suka merayau-rayau.

            Megat cuba bersetuju dengan konklusi kakaknya itu walaupun masih ada tanda tanya di benaknya. Dia membuntuti kakaknya masuk ke dalam rumah semula.

           “Adik dah makan?” Soal Puteri Kamila ketika langkah kakinya terhenti di anak tangga menuju ke tingkat dua. Sejak menjadi penjaga Megat, soal kebajikan adiknya itu amat diambil berat. Sampaikan dia sanggup menunda dahulu urusan berumah tangga. Tekadnya, selagi Megat belum habis pengajian di kolej.Sudah ada dua orang pemuda yang menyerah kalah dengan keputusannya itu.Walaupun bersarang juga rasa kecewa di hatinya, namun sekurang-kurangnya dia mengetahui keikhlasan dua pemuda itu terhadapnya.

           “Dah,” balas Megat yang sudah melabuh punggung di sofa ruang tamu sepatah. Fikirannya masih memikirkan bunyi kucing yang didengarinya tadi.Sebelum berjoging petang tadi sememangnya dia sudah mengisi perut di kedai mamak berdekatan.

            “Kalau begitu, kakak naik ke bilik dululah. Nak mandi dan solat,”ujar Puteri Kamila lagi.

            Megat mengangguk kepalanya. Bayang kakaknya kemudian hilang dari pandangan mata.

            Betul ke kucing jiran? Tak pernah pulak aku lihat jiran dua belahrumah kakak aku ni bela kucing. Dia orang mana suka kucing. Kucing-kucing liar datang depan pagar rumah pun dihambat mereka dengan batang penyapu. Lebih-lebih lagi jiran berbangsa India sebelah kanan rumah kakaknya itu, sampaikan pintu pagar dipasang jaring. Anti benar dengan kucing. Kucing, tahu ajelah. Mana pernah pergi sekolah. Nak berak atau pancut, sesuka hatilah di mana-mana.

           Teori kakaknya diketepikan.

           Rumah kakak aku ni berhantu ke? Riak cuak hampir muncul di wajah Megat.

           Tapi, sebelum ini tak ada pula gangguan sebegini. Kalaulah rumah kakak aku ini berpenunggu, kenapa selama ini aku dengan kakak aku tak pernah diganggu? Takkanlah hantu pun pandai set hari bulan bila mahu menganggu mangsanya?

Makin banyak persoalan di fikiran Megat.

           Ah, persetankanlah kucing tu! Notmy business!

           Megat mahu segera menoktah kegilaan itu. Dia bangun dan kembali ke biliknya semula. Selepas menyumbat fon telinga ketat-ketat di telinganya, dia merebahkan tubuhnya ke katil untuk ketiga kalinya malam itu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan