Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Rainy Rose
11/11/2022 09:44:42
7,341
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 23

Sebuah perbukitan di Malaysia…

1980-an…

Kidman melihat padang rumput luas terbentang dilalui sekumpulan rusa berkeliaran bebas, antara penghuni habitat hidupan liar di rizab alam semulajadi yang ditemui sepanjang pencariannya. Kesempatan ini tidak disia-siakan Kidman, pantas dia memotret beberapa gambar menggunakan Nikon F3 dengan sensor 1.3 megapiksel. Antara gambar yang berjaya diambil Kidman apabila sekumpulan rusa sedang mengunyah daun-daun dan ranting kayu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kidman berdiri melebihi 50meter agar tidak terkepung dengan haiwan tersebut yang boleh mengundang kepada kecederaan fizikal parah.

Kidman berasa puas berada di situ, hujung minggu sering dihabiskan dengan meneroka alam semulajadi. Baginya, tiada kepuasan lain diingini selain daripada berinteraksi dan berbicara dengan alam. Kabus tipis masih menyelubungi memandangkan masih awal pagi. Kira-kira jam 7:00 pagi dia keluar dari rumah tumpangan tidak jauh dari situ. 

Sedang asyik memotret, dari lensa kamera Kidman tertangkap seseorang wanita sendirian sedang melukis di bawah pokok Semarak Api yang rendang berhampiran tasik membiru airnya. Dari sudut kedudukan dan pandangan Kidman, bunga rumput Semalu berwarna ungu dan Lalang tumbuh meliar menyempurnakan pengambilan fotonya.

“Perfect!” Komennya, sewaktu memotretkan momen itu.

Mungkin suaranya sedikit tinggi memecahkan kesunyian kawasan padang luas, wanita itu menoleh dengan senyuman di bibir. Spontan, jari Kidman menekan shutter release lalu mengambil beberapa tangkapan gambar reaksi bersahaja wanita itu.

Tidak semena-mena, Kidman terpukau dengan senyuman manisnya. Berdebar kencang jantungnya melihat wanita itu melambai tangan seakan mengajaknya untuk mendekat dan kedengaran sayup kata-katanya.

“Come on…” itu yang berjaya didengari Kidman dan tanpa banyak berfikir, dia menurut sahaja dengan lapang dada.


“HAI. Seorang diri sahajakah?” Tegur Kidman berbasa-basi sambil melihat lukisan terletak pada kanvas. “Cantik… hyper realism,” komennya, melihat lukisan itu terlalu bersifat sempurna dan menyerupai seperti hasil foto ditangkap kamera jika tidak dilihat dengan betul-betul.

“Terima kasih,” balasnya sambil tersenyum menyerlahkan matanya yang agak sepit bersama dengan lesung pipit di kedua belah tepi bibirnya.

Tergamam Kidman dibuatnya, hampir tersasul-sasul semasa menanyakan namanya, “Siapa nama awak?”

“Manisah.”

“Semanis senyuman awak,” meluncur laju keluar dari bibir sebelum malu sendirian.

“Tidak mengapa, sudah selalu saya dengar begitu,” ujar Manisah, ketawa kecil sambil ditutupi dengan telapak tangan.

Mulai dari situ, hubungan mereka menjadi rapat apatah lagi Kidman menawarkan gadis itu pekerjaan sebagai pembantu fotografi di syarikat yang baru ditubuhkannya.

Dalam diam, Kidman menyimpan perasaan melebihi seorang rakan mahupun majikan terhadap Manisah. Malang sekali, Kidman tidak langsung berani untuk meluah kerana takut cintanya bertepuk sebelah tangan. Manakala, pada amatan Kidman, Manisah itu seorang wanita yang tidak mungkin akan menunjukkan perasaan cinta secara terang-terangan terhadap seorang lelaki. 


Beberapa bulan kemudian…

“PELANGGAN terakhir malam ni,” beritahu Manisah kepada Kidman yang sudah keluar dari studio. 

Kidman mengangguk, memahami memandangkan mereka sudah menghampiri waktu penutupan operasi kedai. Dia memerhati sahaja Manisah mencetak keluar gambar ditangkap tadi sebelum diserahkan kepada pasangan suami isteri. Selalunya foto bersaiz A4 itu akan digantung di rumah.

“Selamat tinggal, hati-hati semasa dalam perjalanan,” tegur Kidman kepada pelanggan terakhirnya itu.

“Dah lewat ni. Mari saya teman awak balik, Manisah,” kata Kidman kepada Manisah yang sedang mengambil beg tangan diletakkan di dalam laci kaunter.

“Boleh saja,” balas Manisah dengan senang hati.

Memang sudah berbulan-bulan dia bekerja di situ dan Kidman juga kerap menemaninya pulang.

Setelah memastikan semuanya dalam keadaan baik, Kidman menutup suis lampu. Mereka berdua keluar dari bangunan kedai. Rantai besi dililit pada antara dua pemegang pintu sebelum dimangga.

Baru mereka mahu meninggalkan bangunan kedai, tidak semena-mena, mereka didatangi dua orang lelaki lalu menyimbah sesuatu bersifat cecair dan berwarna merah mengenai tubuh mereka. Terkejut mereka dibuatnya, Manisah menjerit ketakutan dan tidak sengaja memeluk Kidman.

“Apa semua ni?” Tengking Kidman, sudah mahu menumbuk lelaki itu namun ditahan Manisah.

“Kau tanya perempuan ni berapa banyak ayah dia hutang!” Kata lelaki itu, menuding jari ke arah Manisah yang sudah menangis dan mengigil satu badan.

“Ingat, kalau tak bayar…” lelaki kedua membuat reaksi seseorang seperti dibunuh.

Dengan pantas, dua orang lelaki itu berlalu meninggalkan mereka berdua.

Makin lebat tangis Manisah, dia jatuh terduduk.


“AYAH saya buat pinjaman sebanyak RM 10 ribu dari lintah darat sebab nak biaya pengajian adik saya di London. Sebaik sahaja adik pergi ke London, ayah bekerja siang malam untuk bayar pinjaman dan faedahnya sekali. Ayah kerani biasa sahaja di sebuah syarikat.

Suatu hari, hari yang sepatutnya adik pulang setelah tamat pengajiannya selama 5 tahun… adik tak jua kunjung tiba di rumah. Sudah berpuluh-puluh pucuk surat ayah kirim, satu pun tak dibalas. Sampailah kesihatan ayah merosot dan akhirnya meninggal dunia akibat sakit jantung. Kini, ayah tiada dan hutang itu berpindah ke saya menjadi bebanan,” cerita Manisah. 

Kidman khusyuk mendengar cerita Manisah sepanjang mereka berjalan kaki menuju rumah Manisah terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki.

“Kita dah sampai,” beritahu Kidman, memandang rumah papan dua tingkat dihuni Manisah sendirian.

“Duduklah di beranda dulu. Saya ambil tuala,” pinta Manisah, terus naik ke atas.

Kidman mengangguk lalu duduk di sofa diperbuat daripada kayu. Tidak manis kalau dia masuk ke dalam rumah itu. Di situ, dia sempat berangan suatu hari nanti dia akan memasuki rumah Manisah sebagai seorang suami sah kepadanya. Tersipu-sipu malu dengan imaginasi sendiri.

Tidak sampai satu minit, Manisah tiba dengan tuala dan baju t-shirt milik arwah bapanya.

“Manisah, awak dah ada ikhtiar untuk selesaikan hutang ni?” Soal Kidman, mengelap muka dengan tuala.

“Belum… saya belum ada ikhtiar dan buntu sampai saat ini.”

Entah macam mana, Kidman terpandang lukisan permandangan di tasik dihasilkan Manisah pada kali pertama mereka bertemu.

“Saya ada idea dan itu pun kalau awak sanggup untuk mendengarnya.”

“Apa itu, Kidman?” Soal Manisah dengan penuh berminat dalam keadaan terdesak sebegini.

Kidman tersenyum, mungkin dengan cara itu dia mampu membantu Manisah. Untuk membantu dari segi kewangan, dia tahu dia tidak mampu kerana wangnya sendiri hanya mencukupi untuk dirinya di samping baru sahaja mahu memulakan kerjaya. 

Untuk memastikan rancangannya berjalan lancar, dia teringat akan seseorang dan sebuah tempat yang tepat untuk melaksanakan misi mereka nanti.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.