Dahlia berlari-lari dalam keadaan cemas dan takut sampai tidak cukup nafas semasa menaiki tangga bangunan rumah pangsa. Sesekali dia menoleh ke belakang, terasa ada bayang-bayang hitam sedang mengincarnya dari jauh dengan laju sekali. Beberapa kali juga Dahlia tersalah memijak anak tangga sehingga hampir jatuh tersembam.
Dalam keadaan sebegitu, dia berasa menggunakan lif hanya akan melambatkan pergerakan dan dia turut bimbang kalau-kalau terperangkap bersama dengan bayang-bayang hitam tersebut. Entah apa yang akan berlaku kepadanya jika keadaan yang dibayangkan itu benar-benar akan terjadi.
Apabila tiba di depan pintu rumah, tombol dipulas-pulas dan tetap sahaja tidak terbuka kerana berkunci. Dahlia hampir menangis di situ, pintu ditendang-tendang dengan harapan dapat dibuka. Poket seluar diraba-raba, kalau-kalau dia menyimpan kunci pintu di situ. Akibat gelabah, dia langsung tidak dapat mengingat di mana dia menyimpan kunci rumah.
Jeritan terhambur sepenuh hati untuk beberapa seketika sehingga suaranya menjadi serak. Dahlia menarik rambutnya, perlahan-lahan dia jatuh terduduk sambil bersandar pada pintu lalu menangis teresak-esak. Dia menjadi tidak percaya dengan apa yang telah dialami selama ini.
“Kau lari daripada aku?” Suara Si gadis pembunuh menyapa di telinga bersama dengan huluran sekuntum mawar merah. Haruman bunga tersebut menyerbu masuk ke lubang hidung, haruman yang hanya membuatkan dia berasa merinding tiba-tiba.
Kemarahan Dahlia tiba-tiba memuncak, dia menepis mawar merah sampai tercampak ke lantai. Tercetus hilaian menyeramkan daripada Si gadis pembunuh. Dahlia terus terbangun bersama dengan dengusan kuat.
“Berhenti gunakan tubuh aku untuk buatkan agenda kau berjaya!” tengkingnya sambil menuding jari di depan wajah Si gadis pembunuh yang tertutup dengan selendang hitam.
“Gunakan tubuh kau? Aku? Kenapa aku perlu buat begitu?” jawabnya dengan main-main, dia tidak tergugat langsung dengan kemarahan Dahlia.
Dahlia menjerit lagi seperti orang sedang histeria. Rambutnya dikusutkan dengan laju sebelum menjatuhkan badan dengan sengaja lalu menghentak lantai berulang kali menggunakan penumbuk tangan.
“Mesti kau ingat mimpi kau mencuri karya lukisan di Galeri Seni Antonio tu hanyalah sekadar mimpi?”
Dahlia tersentak, dia kembali memikirkan mimpinya. Cuma, dia berasa hairan kerana tiba-tiba berada di Sunshine Café sedangkan sebelum ini dia berada di Galeri Seni Antonio.
“Kau belum pernah pulang ke rumah. Kau lupa… kau tertidur di Galeri Seni Antonio semalam?”
Sekelip mata, Dahlia berasakan dirinya berada di suatu ruang gelap yang tidak berpenghujung.
Imbas kembali…
Dua hari lepas…
Cawan yang terlepas dari pegangan tangannya tadi diambil lalu diletakkan di atas meja kaunter. Dahlia berwajah kosong memandang tumpahan kopi di atas lantai. Encik Antonio yang baru keluar dari bilik pejabatnya berjalan menuju ke arah Dahlia.
“Dahlia… boleh tak print-out kan saya senarai karya untuk pameran seterusnya?” pinta Encik Antonio tanpa perasan perubahan pada diri Dahlia.
Dahlia tetap bersikap seperti patung tidak bernyawa, dia tidak memberi sebarang reaksi kepada permintaan Encik Antonio sampaikan ketuanya terpaksa memetik jari di depan wajahnya. Namun, Dahlia membalasnya dengan renungan tajam penuh dengan dendam. Renungan yang tidak pernah dilihat Encik Antonio sepanjang wanita itu bekerja di Galeri Seni Antonio.
“What’s wrong with you, Dahlia?” soal Encik Antonio dengan curiga dan masa itu jugalah dia terpandang tumpahan minuman di atas lantai, “Macam mana boleh jadi macam ni? You ada hadapi sebarang masalah atau kesusahan ke… Dahlia? You boleh beritahu I… kita boleh berbual seperti kawan.”
Berkerut dahi dibuatnya mendengar tawa kecil Dahlia yang kemudian bertukar menjadi galak secara tiba-tiba menyebabkan berdiri tegak bulu romanya.
“Masalah… masalahnya ialah kau!” jerit Dahlia sambil menghentak meja dengan kuat.
“I cannot understand you, Dahlia! Cuba bagitahu dengan jelas,” pinta Encik Antonio melakukan diplomasi sambil perlahan-lahan menjauhi Dahlia yang agresif mendapatkannya di samping air mukanya kelihatan mahu melancarkan tindakan gila luar batas pada bila-bila masa.
Encik Antonio dapat melihat Dahlia mencapai gunting di dalam bekas pensil kaunter dengan kasar sambil kedengaran bunyi berderam. Dahlia mengetap gigi atas bawah, gunting dilibas-libas untuk menakutkan Encik Antonio. Gerakan tangan wanita itu lincah, pipi Encik Antonio tergores sedikit dengan bilah gunting sehingga menitikkan darah ke atas lantai. Dia hairan dengan diri sendiri yang pengecut, tidak berani melawan untuk menghentikan perilaku gila Dahlia.
Lama-lama, langkah Encik Antonio terdorong ke ruang pameran Galeri Seni Antonio. Dia terlanggar arca diperbuat daripada besi membuatkan dia tidak dapat mengimbangi tubuh lalu terjatuh. Mujur sahaja tidak mengalami kecederaan meskipun sakitnya bukan alang kepalang.
Terbutang besar mata Encik Antonio, dia turut menjerit nyaring melihat Dahlia terbeliak besar mata, menerkamnya menggunakan gunting. Spontan mata Encik Antonio tertutup, tidak sanggup apa yang akan terjadi kepadanya nanti. Dalam sepuluh saat juga matanya tertutup, namun masih tidak berasa sakit akibat tusukan gunting.
“Buka matalah pengecut!” sergah Dahlia sekali gus menyebabkan Encik Antonio membuka mata.
Gunting itu betul-betul di depan mata, bibirnya bergetaran menggigil dan takut-takut mencuri lihat ke arah Dahlia yang sudah bertukar bengis.
Dengan kasar, Dahlia menarik rambut Encik Antonio lalu meibusa lelaki itu untuk melihat lukisan-lukisan yang terpamer di situ. Encik Antonio hampir menjerit terkejut bercampur rasa kesakitan akibat cengkaman Dahlia pada kulit kepala, hampir melecet dibuatnya.
“Lihat… lihat! Cukup-cukuplah jadi orang buta! Lihat apa yang sedang kau lakukan selama ini! Lihat dosa kau kerana melindungi adik kau sendiri!”
Berdebar-debar kencang jantungnya sehingga mahu pecah rasanya. Encik Antonio berasakan rahsia yang tersimpan kemas selama ini sedang dibogel-bogelkan satu persatu. Apakah mungkin kurator muda itu tahu akan sesuatu mengenai hal itu? Dia cuba melarikan diri namun, tidak berjaya. Tindakannya hanya menyebabkan cengkaman Dahlia menjadi kuat.
Akhirnya, Dahlia memaksa Encik Antonio untuk melihat ke dalam matanya yang penuh dengan kemarahan. Wajah mereka sudah saling berhadapan. Encik Antonio melarikan pandangan, dia mengelak untuk melihat ke dalam bola mata Dahlia. Entahlah, dia berasakan sepasang mata Dahlia seseolah milik seseorang yang lain. Bagai ada sesuatu yang sedang merasuki ke dalam badan kurator muda, tekanya. Dia menutup mata dan berharap semua ini hanya mimpi yang akan berakhir tidak lama lagi.
“Buka… buka mata kau! Jangan berani-berani nak tutup mata. Tatap mata aku kalau tidak… aku cucuk biji mata kau sampai buta!” tengking Dahlia, berang dengan tindakan lelaki itu tadi.
Gunting turut dihalakan tepat dengan mata Encik Antonio. Lelaki itu membuka kembali mata dan tergamam, untuk menghela nafas saja dia tidak berani apatah lagi mengalihkan pandangan setelah mendengar ugutan yang menakutkan. Entah mengapa dia kehilangan rasa beraninya untuk melawan walhal tenaga lelaki lebih kuat berbanding dengan wanita. Dia menyumpah diri sendiri dalam hati.
Keadaan hening seketika, tiada sebarang bunyi terhasil. Hanya nafas Encik Antonio kedengaran kuat menguasai persekitaran. Dia turut mendengar betapa kuatnya bunyi jantungnya berdengup kencang menahan debaran. Dia mendengar Dahlia menghela nafas seperti baru lepas mengeluh akan sesuatu.
“Dari awal lagi… kau dah tahu karya-karya pelukis yang mengambil bahagian setiap kali pameran berlangsung… sudah ditukarkan dengan karya palsu! Siapa yang palsukan? Siapa lagi kalau bukan adik kau! Macam mana aku tahu? Hei… aku yang periksa kesemua karya tiap kali ia tiba… mestilah aku tahu!” Jerit Dahlia dengan mata terbeliak besar sambil menarik rambut Encik Antonio dengan kuat.
“Dahlia… ini tidak seperti yang awak sangka,” ujar Encik Antonio dalam kesakitan walaupun begitu terkejut dengan apa yang sudah diluahkan Dahlia.
Dahlia berasa tercabar, dia menghunuskan gunting ke leher Encik Antonio. Lelaki itu terbayang-bayang lehernya dikelar dengan begitu kejam sehingga kehilangan nyawa. Perlahan-lahan dia mencuba menjauhkan batang leher daripada bilah gunting. Ternyata Dahlia menyedari tindakannya, dia mendekatkan gunting bersama dengan bunyi deraman kuat.
“Tak seperti aku tahu? Bukan tak seperti yang aku tahu tapi… tak seperti kau jangka untuk pengakhiran hidup kau! Jangan fikir aku hanyalah seorang staff bodoh yang tak tahu bezakan mana satu karya palsu dan yang betul! Mesti kau fikir aku hanyalah pekerja yang hanya tahu ikut arahan macam kerbau dicucuk hidung! Aku dah lama perhatikan modus operandi korang!”
Ternganga terus mulutnya, dia tidak mampu untuk berkata apa-apa. Rahsianya sudah pecah, dia perlu melakukan sesuatu untuk menutup mulut Dahlia daripada membongkar segala-galanya kepada pihak berwajib. Dia masih memikirkan imejnya dan juga kerjaya yang dibina atas titik peluh sendiri. Mana boleh kerana kesalahan adiknya, kerjaya hancur seperti debu sebegitu sahaja.
Encik Antonio bagai mendapat kekuatan semula, dia menangkap tangan Dahlia yang sedang memegang gunting tadi. Berdenting-denting bunyi gunting besi berlaga dengan lantai marmar. Kedudukan mereka sudah berubah, kini Dahlia yang berada dalam cengkaman Encik Antonio.
Meronta-ronta Dahlia sambil mengetap gigi. Encik Antonio mengemaskan cengkamannya, dia akan berunding dengan perempuan itu agar rahsianya sentiasa tersimpan kukuh.
“Fikirkan tentang nyawa awak, Dahlia! Sekuat mana pun awak… awak takkan dapat melawan tenaga seorang lelaki. Saya nak tawarkan sesuatu pada awak… sesuatu yang membuatkan awak tak perlu berkerja keras sampai ke akhir hayat awak asalkan awak nak bersetuju untuk menutup mulut,” separa berbisik Encik Antonio ke telinga Dahlia dengan harapan perempuan muda itu termakan dengan pujukannya.
“Tawaran yang kedengaran lumayan. Aku pun tak nak kerja keras sepanjang hayat,” balas Dahlia, termakan umpan yang dilemparkan.
Secara tidak langsung, pemilik Galeri Seni Antonio menguntum senyuman sinis. Siapa saja tak terliur dengan tawaran yang memberi kesenangan duniawi. Dia sudah berasa menang dengan kata-kata terluah daripada mulut Dahlia.
“Awak boleh melancong ke mana sahaja awak suka. Awak… tentu penat bekerja sepanjang tahun ni.” Lembut sahaja tuturnya, tangannya merayap mengurut kedua-dua belah bahu Dahlia.
Dahlia beraksi senang dengan kelakuan Encik Antonio. Dia menutup mata, menghayati irama urutan tangan. Dia turut menyentuh tangan Encik Antonio.
“Melancong… goyang kaki. Seronok betul…” Dahlia ketawa kecil.
“Ya… mestilah,” balas Encik Antonio dengan begitu gembira.
“Dalam mimpi!” jerit Dahlia dengan kuat sekaligus menidakkan impian pemilik galeri itu.
Dengan pantas, Dahlia menyiku bahagian atas perut Encik Antonio sebelum meludah wajah lelaki itu yang sedang mengerang kesakitan akibat serangan tidak terjangka. Terbatuk-batuk sambil tercunggap-cunggap Encik Antonio dibuatnya.
“Kau buatkan aku kelihatan seperti perempuan murahan. Pergi mampuslah dengan harta benda kau tu!
“Dahlia… awak tak ada bukti untuk tuduh saya!”
Dahlia ketawa terbahak-bahak. Lama juga dia mengambil masa untuk berhenti ketawa. Dia menyeluk tangan ke dalam saku blazer yang dipakai, mengeluarkan sesuatu seperti berbentuk buku fizikal. Dia melayang-layangkan buku berkenaan di depan muka Encik Antonio.
“Tak ada bukti? Siapa kata aku tak ada bukti?”
“Apa maksud you?”
“Kau rasa kenapa aku bertahan sampai ke tahap ini? Untuk kumpulkan semua bukti berkaitan dengan kegiatan kaulah… bodoh! Buku ni… apabila dah masuk ke pasaran… semua orang akan tahu kegiatan jahat korang!”
Satu persatu muka surat diselak membuatkan Encik Antonio terbeliak mata. Dia merampas buku itu daripada tangan Dahlia yang sedang galak gelak.
“You… you bukukan apa yang pernah berlaku di sini?”
Encik Antonio tidak percaya apa yang dilihat dalam buku itu. Semuanya terjelas terdapat dalam buku itu.
“Ya… semua! Semua kegiatan jahat kau!”
Tanpa berfikir lama, buku itu dicarik-carik dengan rakus. Dahlia hanya memerhati dengan tawa yang tidak tahu bila akan berakhir.
“Jangan jadi bodoh! Itu bukan satu-satunya salinan yang aku. Dan, oh ya… kalau apa-apa berlaku kepada aku… aku dah berpesan kepada pihak penerbit untuk teruskan terbitkan buku itu. Kalau tak nak perkara buruk berlaku kepada kau… pastikan aku pulang dalam keadaan selamat,” ugut Dahlia, masih tidak berhenti ketawa. Dia geli hati melihat reaksi Encik Antonio yang sudah cuak semacam.
Tiba-tiba, Encik Antonio melutut di depan Dahlia. Dia sudah mengenepikan egonya, biarlah daripada nama baiknya tercemar. Malu akan ditanggung sepanjang hayat sampai mati, fikirnya yang semacam dapat meramal masa depan.
“Dahlia… I’m begging you! Saya akan turuti semua yang awak mahu,” rayunya sambil memegang kaki Dahlia.
“Macam… macam pernah nampak kelakuan kau ni. Haaa… macam anjing merayu untuk makanan,” hina Dahlia, suka dirayu sedemikian.
Encik Antonio terasa direndahkan dengan kata-kata sebegitu cumanya untuk kali ini, dia menahan rasa marahnya.
“Katakan… katakan apa sahaja permintaan awak.”
“Hmmm… apa ya?” Dahlia mengurut dagu sebelum duduk di atas kerusi, penat berdiri lama-lama sebegitu. “Argh… aku dahaga. Susah nak fikir dalam keadaan sebegini.”
“Dahaga? Kejap, saya ambilkan air,” kata Encik Antonio, laju sahaja dia berlari menuju ke mesin air berhampiran. Tergesa-gesa dia mengambil cawan tersedia, habis berterabur di atas lantai.
“Lupakan tentang air. Aku tak berselera nak minum air kosong,” kata Dahlia, bangkit dari duduk, dia berjalan menuju ke pintu keluar. “Tak perlu kejar… aku bukan sekejam itu terus laporkan kepada polis. Aku tahu apa dalam fikiran kau,” ujarnya sambil tersenyum sinis apabila melihat pemilik itu mahu mengejarnya.
Sudahnya, tinggallah Encik Antonio yang termangu sendiri. Dia menggaru kepala, memikirkan babak dramatis antara mereka tadi. Sekejap emosi takut menguasai, setelah itu emosi marah dan sebagainya. Mereka bagai pelakon teater yang sedang menghiburkan penonton.
“Menghiburkan penonton? Baiklah kalau kau rasa begitu… hiduplah dalam pentas lakonan selamanya!”
Meremang bulu roma apabila suara mirip Dahlia bergema di dalam hatinya, terduduk terus lelaki itu dibuatnya. Bola mata galak memerhatikan ruang pameran, kecut hatinya kalau-kalau makhluk yang tidak terlihat dengan mata kasar memunculkan diri secara tiba-tiba nanti.
Dahlia ketawa terbahak-bahak sambil bersandar di pintu, dahinya ditepuk berulang kali.
“Cerita kau… begitu menyakinkan sekali. Aku hampir terjerat dengan cerita bohong kau ni!” nafi Dahlia atau sebenarnya dia sendiri keliru dengan kesahihan kisah diceritakan Si gadis pembunuh tadi. Dia antara percaya dengan tidak percaya.
Si gadis pembunuh tersengih dari balik wajah terselindung dengan selendang hitam. Reaksi ditunjukkan Dahlia memang sudah dijangkakan.
“Terpulang… aku tak kisah kau ingin menafikan apa yang pernah kau buat.”
Dahlia sudah berhenti ketawa, dia mudah naik berang dengan kata-kata si gadis pembunuh. Dengan laju, dia menerpa Si gadis pembunuh lalu mendorongnya ke dinding dengan mencekak lehernya.
“Tipu… tipu! Kalau aku yang buat macam tu… kenapa aku tak sedar? Kau jangan nak provok aku!” Herdik Dahlia.
“Dahlia… Dahlia...” Si gadis pembunuh menepuk bahu Dahlia. “Kau tahu alasannya.”
Dengan mudah, Si gadis pembunuh dapat melepaskan diri daripada cengkaman Dahlia yang terduduk sambil memegang kepala dengan kedua-duanya. Dia tidak dapat menerima hakikat.
Si gadis pembunuh berpaling, memandang kawasan jalan raya yang lengang. Namun, dia sudah dapat mengesan dari jauh beberapa buah kereta polis melintasi jalan raya memecah kesunyian kawasan tersebut. Sayup-sayup kedengaran bunyi siren kereta polis, membuatkan Dahlia turut sama memandang ke kawasan jalan raya. Tidak lama itu, dia memandang pula Si gadis pembunuh di sebelah.
“Kau ada buat sesuatu guna badan aku ke… haaa?!” Terus Dahlia menerkam Si gadis pembunuh.
“Ada ke… aku rasa macam ada!” sindir Si gadis pembunuh.
Terbeliak mata Dahlia, dia sudah dikuasai dengan perasaan bimbang yang melampau.
“Dan… persoalan yang selalu berlegar dalam fikiran akan terus menghantui kau,” komen Si gadis pembunuh.