Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 35

Sewaktu mahu menutup pintu, tanpa diduga dia ternampak bayang-bayang seseorang atas lantai kamar mandi. Empunya bayang-bayang itu pula seperti sedang menyorok di sebalik pintu kamar mandi yang terselak sedikit. Keningnya berkerut dan dilihatnya bayang-bayang itu saiznya agak besar dan memanjang. “Mustahil Maya. Maya kecil dan tak adalah sebesar itu.” Spontan bulu tengkuknya mencuar pabila teringatkan saiz badan Munira. Tanpa bertangguh, pintu biliknya segera dirapatkan lalu dikuncinya dari dalam.

Tidak lama kemudian, kedengaran pula bunyi derap kaki berlegar-legar di luar biliknya. Bunyi desahan nafas menyusul dan kedengaran bersipongang dalam ruang legar telinganya. Sambil menarik nafas, Jiah membongkok dan cuba mengintai melalui ruang di bawah pintu. Dilihatnya ada bayang-bayang sedang mundar-mandir di situ. Tiba-tiba bayang-bayang tersebut berhenti lalu merapati daun pintu. Jari-jari kaki yang tersua di bawah pintu memeranjatkan Jiah lantas berundur mendadak. Ia kelihatan pucat dan membengkak.

Bunyi telefon bimbit turut menyentakkan Jiah. Sakit sungguh jantungnya seperti dihempuk sebiji batu. Waktu yang sama, telefon bimbit Maya juga turut mengalunkan bunyi yang sama. Bunyi ganjil tersebut memaksa Maya menghambur turun lalu mengetuk pintu bilik Jiah sambil memanggil gadis itu. Suara Maya melegakan Jiah. Dia terus saja membuka daun pintu dan terkejut apabila ternampak batang tubuh Munira di belakang Maya.

Amat rapat hingga bilah-bilah rambut Maya menyentuh kulit muka Munira yang telah terkopak hingga menampakkan tulang pipi. “Kenapa? Awak okey ke?” Maya hairan. Dilihatnya Jiah seperti mahu memberitahunya sesuatu namun suara gadis itu tersekat dalam rengkung pula. Namun Maya mula berasakan kehadiran sesuatu di antara mereka berdua. Sesuatu yang serasanya hanya berada di belakangnya saja.

Maya tidak segera bertindak melainkan menarik nafas sedalamnya lantas memejamkan kedua mata. Dia kemudiannya memutar tubuh tepat menghadap ke belakang. Mata Jiah terbuntang dengan mulut ternganga. “Tak ada pun,” katanya sesudah membuka mata seluasnya. Jiah menoleh ke belakangnya sebelum mengajak Maya ke ruang tamu. Dia masih berdebar-debar dan berasa takut ketika ini.

“Lebih baik kita ajak mana-mana kawan kita untuk datang menemani. Aku dah tak betah menanggung babak demi babak dalam rumah ini. Lebih-lebih lagi selepas kematian Ira. Semuanya semakin jelas dan menakutkan.” Jiah berasakan seluruh badannya panas berbahang. Agaknya selepas ini dia akan jatuh sakit. Almaklum, susuk tubuh Munira tadi berjaya menerbangkan semangatnya. “Kalau tak pun, kita keluar dari rumah ni dan berpindah ke tempat lain. Tempat yang arwah tu tak tahu.”

Maya menelan liur. Dia faham perasaan Jiah. Bahkan dia tahu sedalam mana ketakutan yang menghentam jiwa dan perasaan gadis itu. “Macam ni lah, lebih baik Jiah balik je kat apartment Jiah di...”

“Tak nak!” pangkas Jiah sambil menggelengkan kepala. “Takkan aku nak balik kat sana setelah apa yang berlaku pada Ira. Tempat tu lagi teruk. Mustahil Ira tak terfikir nak menjenguk apartment tu.”

“Jika begitu kita kena bertahan dulu di tempat ni. Kita tak akan ke mana-mana selagi masalah ini belum selesai.” Deringan telefon memeranjatkan Jiah. Gadis itu cepat-cepat bangun pabila melihat Maya membongkar duduk. Maya tidak pula menghalang apabila Jiah membuntutinya ke tingkat atas di mana biliknya berada. “Ada apa?” suanya setelah menyambut panggilan tersebut. Dikerlingnya Jiah yang kini sedang mengintai di tebing tingkap.

“Dah lama kita tak jumpa. Boleh tak kalau Maya luangkan masa malam ni?” Kedengaran satu suara yang seakan milik Zurhan.

Maya tidak segera bersuara. Gelagatnya semacam mahu mengecam suara tersebut. “Nantilah Zurhan. Aku pun sibuk sangat sekarang ni. Tambahan pula hari dah malam sangat.” Keluhan Zurhan kedengaran.

“Tolonglah Maya. Aku perlukan awak sekarang ni. Ada sesuatu yang aku nak cakap kat awak.” Nada suara Zurhan kedengaran seperti terdesak. Maya berfikir-fikir sekejap. Dia kemudiannya bersuara di samping memaku sepapan janji. Kerana janji ini jugalah Zurhan sudah tidak mendesak lagi. Mereka berdua berbual-bual sekejap dan ia berakhir sejurus kemudian. Maya sempat termenung sebelum mendapatkan Jiah.

Sekilas, teringas olehnya mayat Zurhan yang jatuh berdebuk di belakangnya. “Apa yang Jiah intai?” tanyanya sambil merapati Jiah. Pandangannya turut menjengah luar namun tiada apa pun yang dilihatnya tercampak di sana. “Jiah tengok siapa sebenarnya?” suanya lagi lantaran tidak berpuas hati. Dikerlingnya Jiah seakan mencari sesuatu melalui riak wajah gadis itu.

“Tak ada apa. Saja nak pandang kat luar.” Jiah melepaskan kain langsir lalu bergerak perlahan hala bangku kayu yang terdapat di situ. Maya meningkah gelagatnya. “Pelik. Kenapa aku tak nampak apa yang Maya nampak.”

“Janganlah macam meminta-minta pula. Lebih baik Jiah tak payah tengok apa yang aku nampak. Semua tu tak seindah suasana yang ada kat luar Jiah. Ia bagaikan mimpi buruk yang tak dapat dilupakan. Semuanya melekat dalam otak dan jadi barah,” katanya dengan muka rusuh. Jiah menarik nafas. Wajahnya keruh sungguh seolah sedang dibebani setambun masalah. Hakikat sebenar, dia masih bimbangkan kejadian sebentar tadi berulang semula.

“Apa? Kau nak ikut aku tidur kat sini?” Terkejut pula Maya apabila Jiah menyodorkan cadangan tersebut. Tunaknya tak berkelip sewaktu memantak muka Jiah. Jiah dengan selamba menabur alasan. “Engkau cubalah jangan fikirkan sangat benda tu,” nasihat Maya pula. Enggan menadah alasan Jiah. Baginya, tiada apa yang boleh menghalang kewujudan makhluk halus tersebut dari terus-terusan menghantui mereka berdua. Jiah mengetap bibir. Geram pula rasanya.

Terasa malam ini kelam sungguh. Tiada apa yang menghiasi kamar langit selain gelita. Sang rembulan juga tidak memperagakan diri sebagaimana malam-malam sebelum ini. Ternyata suasana ini hanya menambah kegetiran perasaan Jiah. Jiwanya berkecamuk memikirkan pelbagai situasi yang sungguh menyeramkan. Bahkan masih terbayang-bayang olehnya akan muka Munira yang pucat lesi itu. Wajah yang sungguh menakutkan hingga berjaya menyerpihkan semua kewarasan yang membalut dirinya.

Desiran angin yang tiba-tiba berhembus rakus di luar menyentakkan Jiah. Selimut yang sedia menutupi sekujur jasad miliknya ditarik hingga ke paras dagu. Terasa dadanya seperti diketuk batang alu hingga nafasnya jadi semput. Dia jadi rimas dan kurang selesa selepas setengah jam berlalu. Walaupun ketika ini kipas sedang berputar ligat namun bahang kepanasan tetap terasa meramas serata tubuhnya. Keadaannya bertambah gawat apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus.

Bunyi langit berderak memeranjatkan Jiah. Dia segera meraba di sebelahnya. “Mana pula telefon ni?” rungutnya dalam kepekatan malam. Apapun, tindakannya tergencat pabila tiba-tiba terbayangkan sesuatu lantas tangannya ditarik lalu disorokkan ke dalam selimut. Terpaksalah Jiah membatalkan niat untuk menghubungi Maya. Dia enggan meneruskan tindakan tadi kerana risau teraba jasad Munira pula. Sewaktu kecil dulu, ibunya sering mengingatkan supaya jangan membiasakan diri meraba dalam gelap.

Menurut ibunya, sesuatu akan berlaku jika perbuatan tersebut diamalkan. Tidak pula ibunya menjelaskan apa namun waktu itu dia sudah mengerti akan natijah tindakan tersebut. Jauh di dasar hati, Jiah amat berharap agar Maya mengetuk pintu biliknya dan mengajaknya bersembang di luar. Dia lebih rela bersengkang mata dari membiarkan diri dibelasah situasi ini. Senyumannya tersibak pabila tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu. “Maya ke tu?” suanya dengan suara kurang sabar. Almaklum, memang ketukan seumpama inilah yang diharap-harapkannya.

Kedengaran suara Maya menjawab perlahan. Pelik sungguh, suara itu kedengaran seperti bergema dalam gua telinganya. “Ah! Lantaklah.” Jiah cepat-cepat bangun dan terus saja menuju ke pintu. “Awak ke tu Maya?” tanyanya lagi inginkan kepastian. Ketika ini dia sudah pun mencengkam tombol pintu dan bersedia untuk memutarnya.

“Ya. Cepatlah...” sahut suara itu lirih sungguh. Jiah meneguk liur. Entah mengapa desir suara tersebut membuatkan bulu tengkuknya tiba-tiba saja menyangkak. Kini dia berasa serba salah pula sama ada mahu menyelak daun pintu atau pun kembali ke tempat tidur. Dia bukannya tidak sudi malah inilah yang diharap-harapkannya tetapi suara Maya kedengaran pelik sungguh. Ia seakan bukan kepunyaan Maya.

“Cepatlah...” Jiah terperanjat lantas menoleh dan terkejut pabila melihat sekujur tubuh kaku terpacak di sebelahnya. Sedar-sedar saja, dia sudah pun menguak luas daun pintu. Maya yang sedang membakar lilin di ruang tamu memandang hairan. Jiah terus saja meluru arahnya dalam keadaan menggeletar. Maya segera menenangkannya dan bertanya kenapa.

“Kan aku dah cakap tadi... jangan terlalu memikirkannya.” Maya mempersalahkannya pula. “Dahlah! Lupakan.” Ditepuknya bahu Jiah kemudian melanjutkan kerjanya. Ruang tamu kian terang pabila beberapa batang lilin dinyalakannya lagi. “Azhan telefon tadi. Dia dan Ferdy nak datang. Termasuk kawan Ferdy tu,” beritahunya sesudah melabuhkan punggung di sebelah Jiah. Jiah tidak berkata apa-apa. “Bertenanglah. Malam masih muda,” bisiknya dan pada masa yang sama, dia tertangkap kelibat seseorang melintas di depan mereka.

Bayang-bayang itu kemudiannya menghilang di dalam dapur. Dia tidak berkata apa-apa kerana bimbangkan keadaan Jiah bertambah teruk. “Dia berdiri terlalu hampir dengan aku tadi.” Jiah menjelaskan selepas setengah jam berlalu. “Patutlah suara pelik tu kedengaran seperti terngiang-ngiang dalam gegendang telinga. Rupanya arwah tu memang berada kat belakang aku je.”

Maya menghela nafas. “Tak payahlah cerita apa-apa. Penjelasan Jiah tu hanya menyusahkan kita berdua,” celahnya dengan gelagat semacam tidak berminat. Dia sebenarnya tidak mahu memburukkan keadaan dengan menadah cerita tersebut lalu mengupasnya. Lebih-lebih lagi tika gelita sedang menguasai mereka berdua. Ditambah pula dengan ketiadaan bekalan elektrik. Hari pula seperti hendak hujan.

“Simpan saja untuk besok,” lanjutnya berbisik. Jiah tidak berkata apa-apa lagi. Mungkin kerana berasakan Maya betul. Tidak banyak yang mereka sembangkan. Tambahan pula Maya sedang sibuk memeriksa inbox telefon bimbitnya. Entah Maya sengaja atau pun tidak namun itulah yang dilihat oleh Jiah. Tidaklah diketahuinya bahawa gadis itu memang sengaja menyibukkan diri untuk mengelak dari bersembang dengannya.

“Ada bunyi motorlah,” kata Jiah lantas bingkas.

“Ya ke? Tak dengar apa-apa pun,” komennya. “Jangan selak dulu langsir tu. Biar aku yang tengok,” tegahnya pabila melihat Jiah berura-ura mahu menyibak bucu langsir tingkap. Maya sebenarnya bimbangkan kejadian sebelum ini berulang semula. Mungkin dia boleh menghadapi semua babak tersebut walau pun ia terpentas berulang kali namun tidak Jiah. Dilihatnya ketenangan, ketabahan dan kecekalan gadis itu terlalu sedikit. Gadis itu lemah semangat dan tidak sekebalnya.

Jiah mengangguk seraya berpatah ke tempat duduk. Sementara bunyi enjin motor berderuman semakin jelas kedengaran. Serasa Jiah mungkin pemilik motor tersebut sudah pun berada di depan pintu pagar. “Kau pasti ke kau ada mendengar bunyi motor?” soal Maya lantaran tidak berpuas hati. Jiah mengangguk pantas. Keluhan Jiah bertaburan. “Tak ada sesiapa pun berada di luar.” Dilepaskannya bucu langsir lalu kembali mendaratkan punggung.

Jiah kehairanan. “Mustahil. Kan bunyi enjin motor tu...”

“Kalau aku dah cakap tiada... tiadalah.” Maya memarahinya pula. Sambil mengetap bibir, Maya mencapai telefon bimbitnya seraya menekan nombor telefon milik Azhan. Tanpa kata, Jiah bangkit dan terus saja menyelak langsir namun tidak melihat sesiapa pun di situ.

“Mustahil,” bisiknya tidak berpuas hati. Dia menoleh dan terkejut pabila ternampak kelibat seseorang berlalu pantas menuju ke tingkat atas. Tunaknya segera menghempap Maya dan gadis itu masih sedang berusaha mendapatkan Azhan dalam talian.

“Agaknya mereka dalam perjalanan sekarang ni,” kata Maya sambil meletakkan semula telefon bimbit. Jiah sekadar mengguman dan melabuhkan punggung. Dia berusaha untuk bertenang. Lagipun mendedahkan kejadian tadi bukanlah tindakan bijak. Mustahil Maya mahu mempercayainya lagi selepas dakwaannya tadi. Maka sebaiknya membatu dan membiarkan saja kejadian tadi berlalu dihembus waktu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.