Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 27

“Rindulah kat Maya,” kata Zurhan perlahan. Dia segera menutup pintu kereta selepas Maya melangkah masuk ke dalam. “Ingatkan Maya dah tak sudi nak jumpa dengan aku lepas pertemuan terakhir dulu.” Kereta itu mula bergerak perlahan. Dikerlingnya Maya yang hanya tersengih-sengih sedari tadi.

“Untuk apa pula aku tak sudi? Sebenarnya aku lebih dari sudi. Pucuk dicita ulam mendatang. Memang aku sedang menantikan pertemuan ni.” Maya menyelongkar beg sandangnya untuk mencari gelang getah yang selalu digunakannya untuk mengikat rambutnya. “Awak ke mana selama ni Zurhan? Sunyi je,” tukasnya memulakan perbualan.

“Aku tak ke mana-mana. Dulu aku bercadang nak jumpa Maya. Namun kesibukan Maya bagaikan penghalang untukku bersemuka denganmu.” Kata-kata tersebut membuatkan Maya teringat akan dialog dalam karangannya. “Maya berpindah tempat tinggal pun Maya tak bagitau.”

“Aku terlupa. Kalau aku teringat pun memang tak ada maknanya juga. Aku bukannya boleh menghubungi awak pun.”

“Ya tak ya juga.” Zurhan ketawa perlahan. “Maya tak rindukan rumah lama ke?”

“Memanglah aku rindu kat rumah tu.”

“Maya tak nak pergi ke situ ke?”

“Besoklah. Aku tak larat nak jenguk rumah tu malam-malam buta begini.”

“Aku kan ada,” kata pemuda itu semacam mahu memancing.

Maya berfikir-fikir sejenak. “Tak payah pergilah Maya. Manalah tau dia ada rancangan jahat sebab tu dia beria-ia sangat mengajak awak pergi menjenguk rumah lama tu,” bisik Zak mencuit bahu Maya. Sedari tadi dia hanya membisu dan menjadi tukang dengar. Namun kali ini dia tak tertahan hendak menyampuk apabila melihat kesungguhan Zurhan. Zak sebenarnya bimbangkan keselamatan Maya. Selepas dibelasah prasangka dan sederetan andaian, dia mula mencurigai Zurhan. Lebih-lebih lagi selepas teringat kisah sebelum kejadian penculikan tersebut.

“Kita ke Tanjung Lipat je. Aku nak bersembang dengan awak,” putus Maya. Zurhan tersenyum lantas menyodorkan persetujuan. Kelajuan kereta ditambah. Sejurus, mereka pun tiba di persisiran pantai tersebut. Waktu ini, lokasi tersebut masih dijelangi oleh para pengunjung. “Zurhan, awak berkawan baik dengan tunang Dyanna kan?” ajunya setelah melabuhkan punggung atas tembok batu. Zurhan yang duduk setengah jengkal darinya memandang sejenak.

“Ya Maya. Dari mana awak tahu fasal Zak?”

“Cakap je Maya dah lama mengenali aku,” suruh Zak.

“Aku dengan Zak dah lama kenal. Sungguh pun begitu aku tak berapa jelas mengenai latar belakang keluarganya. Maklumlah anak orang kaya... takkanlah dia nak berkawan rapat dengan perempuan hodoh macam aku ni.” Maya ketawa sumbang.

Zurhan berpeluk tubuh. Dia berasa sejuk sungguh. “Usahlah merendah diri Maya. Zak sebenarnya seorang lelaki yang baik dan bertimbang-rasa.”

“Uish... dia puji akulah,” celah Zak agak gembira.

“Aku, Zak dan Syah berkawan rapat. Namun Zak dan Syah lebih rapat. Mereka berdua berkongsikan sebuku rahsia. Sehinggakan Syah bebas keluar masuk dalam rumah tempat Maya menyewa sekarang ni.”

“Macam mana kau tahu fasal rumah tu?”

“Aku pernah mengekori Syah tanpa pengetahuannya. Semuanya berlaku tanpa disengajakan dan ianya bukanlah dirancang terlebih dulu. Aku cuma mahu menyatakan sesuatu tetapi ternyata nasibku tak berapa baik. Suatu hari, Syah bawa kereta Zak. Aku ingatkan pemandu kereta tu adalah Zak so aku ikutlah Subaru tu hingga sampai kat rumah Zak. Lepas tu, Zak keluar dari rumah dan mengambil-alih kereta tersebut. Sementara Syah pula tidak ke mana-mana melainkan menunggu di situ. Berselang sejam, Dyanna dan kawannya pun tiba. Mereka bertiga berbincang sekejap sebelum masuk ke dalam rumah.”

“Kawan Dyanna tu siapa?” Dada Maya dipentung debaran.

Zurhan angkat bahu. “Seorang pemuda. Aku tak kenal siapa namanya.”

“Apa yang mereka buat kat dalam rumah tu erk?”

“Entahlah Maya. Cuma apa yang aku tahu, Dyanna dan konconya itu ada rancangan jahat. Yang aku tertanya-tanya masa tu apa pula kaitannya Syah dengan mereka berdua? Gelagat mereka bertiga semacam ada perkara yang terlalu rahsia. Tidak lama kemudian, Dyanna dan Syah pun beredar pergi. Sementara kawan Dyanna itu pula masih berada di situ. Kerana berasa tak sedap hatilah aku menceroboh masuk. Pada perkiraanku, mungkin lelaki itu sengaja ditinggalkan berseorangan di situ sebagai persediaan untuk menyerang Zak. Sewaktu berada di dalam, aku ternampak lelaki itu sedang sibuk menyelongkar bilik Zak. Habis semua barang-barang dalam bilik tu disepahkan. Entah apa benar yang dicarinya.”

Zurhan berhenti sekejap lantas menarik nafas. Sementara Maya pula masih menanti dengan wajah penuh setia. “Lelaki tu bertubuh rendah dan tegap ke?” Anggukan Zurhan membuatkan darah Maya terus saja berderau. Dia berdebar-debar.

“Sewaktu lelaki itu sedang lekalah aku menyerangnya. Ternyata kekuatannya melebihi kemampuanku. Kedua kakiku patah apabila lelaki itu menghayunkan sebatang kayu sebesar belantan dari arah belakang.” Zurhan berhenti sejenak. Riak wajahnya seperti sedang berusaha mengingati sesuatu. “Selepas tu aku tak ingat apa-apa. Alih-alih saja aku dah berada di tempat lain. Kerana bimbangkan keselamatan Zak lah aku berusaha menghubunginya dan mengajaknya berjumpa. Namun ada saja masalah tiap kali aku cuba untuk mendekati Zak. Sehinggalah suatu hari aku kehilangan Zak. Aku tak pernah lagi bersua dengannya sehinggalah sekarang.”

“Aku rasa peliklah dengar cerita dia ni.” Zak yang berada di belakang meluahkan.

Maya mengangguk. Dia sendiri pun berasa pelik, bingung dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku. “Maksud awak kali terakhir tu bila?”

“Hmm... kat kawasan nahas tu.” Maya mengangguk sekali. Mereka berdua membatu sekejap. Maya melontarkan pandangan arah laut sebelum memandang sebelah kiri. Dilihatnya sekumpulan remaja perempuan sedang memandang arahnya sambil berbisik-bisikkan. Entah apa benar yang sedang dibisikkan sehingga pandangan mereka tampak berlainan sungguh. “Kerana terdesaklah aku cuba menghalang kereta tu. Tapi tak sangka pula kedua kereta tu berlanggar sesama sendiri.”

Maya tergelak kecil kerana berasa kelakar.“Sebabnya kerana mereka terkejut melihat awak tercancang di situ. Barangkali punca sebenar nahas tu adalah awak. Kemungkinan besar kemalangan jiwa itu tidak akan berlaku seandai awak tak terconggok di tengah jalan raya malam tu,” duga Maya masih mentertawakannya. “Apapun, elok jugalah awak berada di situ. Sekurang-kurangnya tindakan awak telah menggagalkan penculikan tersebut.”

“Ya. Cuma tindakanku itu telah meragut beberapa nyawa. Walau apapun aku tetap bersyukur seandai Zak selamat. Biarpun tak rapat dengannya namun aku tetap mengharapkan kesejahteraan buat dirinya.” Demikian harapan yang dipugar oleh Zurhan buat Zak. Zak yang masih berada di sebelah Maya terpaku dan seperti tidak percaya apabila mendengar Zurhan berbicara sedemikian rupa.

“Zak selamat.” Sekonyong-konyong angin berhembusan kasar. “Dah jauh malam ni... jom balik!” ajak Maya berusaha mencelah bingit angin.

“Okey.” Mereka berdua pun bertolak. Demikian juga para pengunjung yang lain. Masing-masing sibuk meninggalkan tempat tersebut.

Keesokan paginya, Maya menyelinap masuk ke dalam bilik tidur Zak. Dia terkejut apabila Zak menyapanya dari arah katil. Rupanya Zak bermalam dalam bilik tidur tersebut sekembali mereka dari Tanjung Lipat semalam. “Ada kat bawah meja tulis,” beritahu Zak. Maya segera membongkok dan meraba-raba. “Cuba Maya jenguk kat dalam,” suruh Zak setelah lima minit berlalu. Maya tidak berkata apa-apa melainkan terus saja menjenguk. Dia tersenyum pabila ternampak sebiji telefon selular terperosok di dalam.

“Macam mana telefon I-phone ni boleh tersorok kat dalam?” tanyanya sambil membelek-belek telefon tersebut.

“Tak tahu. Carilah chargernya.”

“Okey.” Maya melilaukan mata. “Tak nampak pun. Hmm... nantilah aku beli charger yang baru. Aku nak keluar.”

“Pelan-pelanlah. Kawan-kawan awak tu pun belum bangun lagi.”

“Perasaan aku berlainan sungguh tiap kali berada dalam bilik ni. Kita berbincang kat dalam bilik aku jelah. Jom.” Maya bergegas keluar dan terkejut apabila melihat Jiah terpacak di depan pintu biliknya. Jiah juga kelihatan terperanjat setelah melihatnya berada di situ.

“Awak ni buat aku terkejut jelah,” rungut Jiah. “Apa yang awak buat kat bilik tu?”

“Tak ada apa.”

“Telefon siapa pula yang Maya pegang tu?” celah Jiah seperti kurang sabar.

“Kawan...”

“Boleh aku tengok,” pintu gadis itu.

“Tengok boleh pegang tak boleh.”

“Amboi... kedekutnya awak ni.” Maya ketawa. Telefon milik Zak diunjukkannya. “Hebatlah telefon ni,” puji Jiah dengan riak wajah seperti berminat. “Tak ada nyawa. Chargernya tak ada ke?” Laungan Munira dari tingkat bawah memaksa Jiah berlari turun. Sementara Maya pula berlalu ke bilik tidurnya.

“Bolehlah aku pinjam telefon ni buat sementara waktu kan,” katanya tersengih-sengih.

“Ambil jelah Maya. Aku berikan kepadamu sebagai hadiah. Ada masa nanti... kau cuba telefon mama atau papa. Minta kepada mereka supaya membenarkanmu bercakap denganku melalui telefon. Aku ingin benar mendengar suaramu.”

Maya terkikih. “Bodoh betullah awak ni. Suara mana lagi yang awak nak dengar? Kan yang sedang bercakap-cakap ni pemilik kepada suara yang awak nak dengar.”

“Maksud aku, suara yang hanya kedengaran bergema dalam tempurung kepala. Aku nak kau menyemai kata-kata perangsang sewaktu aku terkedang koma.”

“Hmm... banyak sangatlah permintaan engkau ni. Tapi tak apalah yang penting semuanya okey.”

Zak ketawa perlahan. “Dulu aku dan Syah banyak berkongsi rahsia. Tapi sekarang dah jadi terbalik pula. Hmm... kau tak berasa pelik ke terhadap cerita Zurhan semalam?”

“Maksudmu?” Maya menarik bangku yang tersorok di bawah meja komputer lalu menghenyakkan punggung. Telefon bimbit milik Zak diletakkan atas setambunan kertas-kertas kosong.

“Aku dan Zurhan memang kawan. Tapi masalahnya aku tak ingat samada kami berdua rapat ke tak.”

“Zurhan kan dah beritahu semalam bahawa perhubungan kamu berdua tak seperti belangkas. Kau dan Syah lebih rapat, mesra dan saling mempercayai. Aku cakap macam tu berdasarkan kata-katanya mengenai kau dan Syah yang banyak berkongsi rahsia.”

“Kerana kami tak rapatlah aku tertanya-tanya kenapa dan mengapa Zurhan prihatin sangat kat aku mengalahkan Syah sendiri?”

“Kawan ni tak semestinya jujur dan setia. Macam yang awak cakap dulu... harapkan pegar, pegar makan padi. Barangkali Syah juga begitu. Bagaikan gunting dalam lipatan. Dulu aku pernah nampak Syah bersama dengan seorang gadis cantik. Jiah dan Munira juga menyaksikan kemesraannya dengan gadis tu.”

Zak terkejut. “Gadis tu seiras Imelda ke tak?”

“Tak tahu. Aku dah lupa sebab aku tak perhatikan betul-betul. Seganlah nak pandang-pandang. Nanti tak fasal-fasal Syah cakap aku ni cemburu pula. Walhal aku dan dia kawan biasa je. Macam awak dan Zurhan, aku anggap sebagai kawan je.”

Zak menarik nafas. “Tak mengapalah. Hmm... patutlah Zurhan tahu tempat ni. Rupanya dia pernah mengekori Syah tanpa sengaja sebelum ni. Dan apa pula tujuan Syah mengajak Imelda dan lelaki tu bertandang ke sini sewaktu ketiadaanku?”

Maya angkat bahu lantas berkata tak tahu. Mereka berdua membatu sekejap. “Patutlah barang-barang dalam bilik tidur awak tu bersepah-sepah. Rupa-rupanya konco Imelda yang melakukannya. Hmm kemungkinan lelaki yang dimaksudkan oleh Zurhan tu adalah lelaki gondok tu. Atau lebih tepat pak cik awak.”

“Tak sangka Imelda dan pak cik aku tu bersekongkol dan ada hubungan sulit. Tapi kan, mustahil aku tak kenal pak cik aku sendiri. Lelaki gondok yang membelasah aku tu bukan pak cik akulah. Dia orang lain.”

“Mungkin dia pakai topeng atau apa-apa saja untuk mengabui pandangan awak. Jangan percaya sangatlah kat pak cik awak tu. Entah apa tujuan dia mahu menculik awak? Bodoh betul manusia semacam dia tu. Tergamak dia hendak menganiaya anak saudara sendiri.” Maya mengetap bibir. Mukanya seperti bengang pula. “Jangan lupa sumbat dia dalam penjara selepas awak sedar nanti. Pastikan dia mendapat hukuman dan ganjaran yang setimpal setelah semua misteri ini terbongkar.”

“Ya Maya. Kerana dia dan sekutu dialah kita jadi macam ni. Hidup terkontang-kanting dalam lautan mistik. Dia dan Imelda harus bertanggungjawab. Aku harap mereka berdua belum mampus lagi. Terutama pak cik aku. Aku nak belasah dia hidup-hidup sebagaimana dia belasah aku dengan kayu sebesar belantan tu.” Nada suara Zak mengandung kebencian dan amarah yang teramat dalam.

“Huh, manusia macam pak cik awak tak wajar hidup. Menyusahkan. Rasa-rasanya teruk Zurhan tu dibelasah olehnya sehingga Zurhan tak sedarkan diri.” Maya tiba-tiba teringatkan sesuatu. Ketika mahu bersuara, tiba-tiba kedengaran suara Jiah melaungkan namanya di luar kamar tidurnya.

“Maya!” Panggil gadis itu. Sebenarnya dia dah lama berdiri di depan pintu bilik. Dia bercadang mahu mengetuk pintu menyuruh Maya keluar. Namun suara Maya bercakap-cakap dengan seseorang menumbuhkan kehairanannya. Lantas telinganya ditekap ke muka pintu. Dia terkejut apabila pintu bilik tiba-tiba ditarik dari dalam. Situasi tersebut membuatkannya hampir tersorong ke depan.

“Apa kena dengan awak ni?” Maya terkejut apabila melihat Jiah mahu menunjal tubuhnya. Jiah tersengih busuk. Sambil menggaru-garu kepala dia bersuara dengan ekor mata terhumban ke dalam bilik. “Aku baca dialog dalam manuskrip aku tadi.” Demikian alasan yang disajikannya untuk santapan Jiah. Jiah tidak berpuas hati. Suara lelaki tadi amat jelas menyusur dalam lohong telinganya. Mustahil suara tersebut milik Maya. “Masuklah kalau awak tak percaya. Cari pemilik suara tu sampai dapat,” suruh Maya lantas menguak pintu biliknya lebar-lebar.

“Aku cuma hairan.”

Maya mentertawakannya lalu berjerih turun. Kerana tidak disuakan pilihan seumpama peluang untuk memantau situasi sebenar dalam bilik Mayalah Jiah terpaksa membuntuti langkah kawannya itu. Tika ini rongga fikirnya masih diselirati banir-banir prasangka.


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.