Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
120,606
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

Amy : Kompres


Lukisan di AutoCAD itu kian kabur dalam pandangan. Dia meneguk kopi pahit yang sudah suam, cuba mengusir kantuk. Suasana pejabat yang sunyi tidak asing lagi baginya—malah, dia lebih suka menyelesaikan kerja di sini daripada membawanya pulang.

Tangannya laju menggerakkan tetikus, menambah label pada lukisan menara telekomunikasi. Baru tiga bulan bergelar pekerja tetap selepas setahun kontrak, dan tawaran itu disambut dengan penuh syukur. Dia berjanji untuk lebih gigih—tak mahu nampak kalah, terutama bila teringat pada Lisa.

“Tahniah, Lisa. Tak sangka kau naik cepat macam tu,” suaranya bergaung di ruang ingatan. Senyum dipaksa waktu itu, walhal dada terasa perit.

Lisa menekup mulutnya, separuh malu, separuh bangga. “Itulah… Aku pun terkejut bila diorang pilih aku. Kita kan baru je kat sini. Tiba-tiba aku dilantik jadi pembantu team leader…”

Ucapan tahniah yang bertalu-talu diterima Lisa sepanjang hari itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Dan setiap kali, seperti ada jarum halus menusuk di celah hatinya.

Amy hanya mampu mengukir senyum nipis—senyum yang lebih banyak menyakitkan daripada menggembirakan. Untuk kali kedua, Lisa mendahuluinya.

Dia masih ingat saat latihan industri berakhir dulu. Lisa yang dipanggil ke pejabat HR, Lisa yang menerima surat tawaran. Dia pula hanya berdiri di luar, menanti dengan dada berdebar.

“Jawatan permanent staff dah penuh. Kita memang cukup orang,” ujar Jenny, eksekutif HR dengan wajah tenang.

Amy kaku. Cukup orang? Bukankah dia sendiri pernah mendengar rungutan staf yang mengeluh kerja makin bertimbun? Namun, soalan itu hanya berputar dalam kepalanya. Lidahnya kelu untuk bersuara.

Jenny menyambung, “Tapi kalau you nak, ada jawatan kontrak dekat documentation department. Nak cuba?”

Amy tersenyum tawar. Hati menolak, tapi bibir berkata sebaliknya. Apa pilihan lain yang dia ada? Selagi masih dalam bidang yang diminatinya, biarlah status kontrak sekalipun—dia rela. "Saya terima," jawabnya perlahan, hampir berbisik, seolah-olah takut keputusannya dipatahkan jika diucap terlalu kuat.

Kerjaya kontraknya bermula dengan penuh harapan, tapi nyata tidak banyak berubah daripada zaman latihan industrinya dulu. Statusnya masih sama: yang paling senang dipersalahkan.

“Amy, drawing semalam reject. Aku dah email dekat kau. Cepat amend, ” arah Kak Shamala tanpa menoleh.

Alright…” jawab Amy perlahan. Dia tahu, kesilapan itu bukan dari tangannya.

Beberapa minit kemudian, suara lain pula memanggil.

“Amy, details untuk antenna proposal tak betul. Tolong betulkan sebelum jam satu, okay?” ujar Abang Mat, site surveyor yang terkenal tegas.

Amy hanya mengangguk. Bibirnya terpaksa mengukir senyum tipis.

“Macam tulah adik abang. Ringan tangan,” tambah lelaki itu dengan nada usik.

Amy diam. Adik? Masa aku kena herdik depan semua orang dulu, adik siapa aku?

Ingatan itu menikam kembali. Encik Faiz, pengurus projek, pernah melayangkan marah gara-gara proposal salah cetak. Padahal tugasnya hanya menyusun fail, bukan mencetak dokumen. Semua yang terlibat senyap membisu, menolak kesalahan jauh-jauh daripada diri sendiri.

Amy tersentak kecil, fokusnya kembali ke skrin di hadapan. Jarinya mencengkam tetikus, nafasnya terasa berat. Dia tahu tugas utamanya jelas — menyediakan laporan, membantu drafter — tapi di mata mereka, dia tetap sasaran paling mudah.

Rasa pedih itu belum hilang sepenuhnya. Setiap kali teringat, ada saja sisa marah yang menggigit hati. Perlahan, suaranya seakan bergema semula dalam kepala — luahan yang dulu pernah keluar tanpa mampu ditahan.

“Tapi benganglah, Lisa. Aku tak tahu apa-apa pasal projek tu. Kak Siti suruh aku tolong Abang Jai susun dokumen, aku ikut. Sekali, Encik Faiz marah aku sebab tak check dulu sebelum release. Logik ke? Kalau jadi kat kau, tak sakit hati?”

Tangannya mengepal buku lima, suara serak menahan sebak.

Lisa menepuk bahu sahabatnya perlahan.

“Manusia memang tak lari dari buat silap.”

Amy mendengus. “Eh, ni nak pujuk aku ke, nak backup diorang?”

Lisa menatapnya serius. “Aku tahu kau tak salah, Amy. Tapi yang salah, kau lari tadi. Kenapa kau diam je masa kena marah? Kenapa tak bela diri?”

Pertanyaan itu menikam. Amy terdiam, dada berombak. Memang benar. Kenapa dia bisu tadi?

“Aku… aku takut kalau aku melawan, aku kena pecat,” balasnya akhirnya. Suaranya tenggelam bersama rasa malu kerana menampakkan kelemahannya.

Ya. Biarlah orang kata dia penakut. Dia sendiri akui — pengecut. Dia tak punya keberanian melawan staf senior, bukan kerana dia bodoh, tapi kerana dia terlalu perlukan pekerjaan ini. Zaman sekarang, tukar kerja bukan macam tukar baju. Silap langkah, boleh melarat bertahun tanpa pendapatan.

“Kalau kau betul, kenapa nak takut? Aku kan ada. Kalau dari awal kau cerita, boleh jugak aku tolong tadi.” Suara Lisa kedengaran kesal, matanya redup menatap Amy.

Amy tunduk. Dia tahu Lisa ikhlas, tapi mulutnya terkunci.

Lisa menarik nafas panjang. “Kau ni… terlalu perahsia. Aku nak tolong pun susah. Tapi tak apa… sabar je, ya. Kadang-kadang bila kena macam ni, kita sebenarnya tengah kutip pengalaman kerja.”

Tanpa menunggu jawapan, Lisa bangun dan melangkah keluar.

Amy menjeling bayang sahabatnya yang makin jauh. “Sabar konon. Huh…” gumamnya.

Dadanya sesak. Nafas ditarik sedalam mungkin, tapi yang terasa cuma berat menekan. Hampir dua tahun dia pikul semua ini. Hampir dua tahun juga dia pendam, tanpa sesiapa benar-benar tahu.

Matanya melingas ke segenap ruang surau yang lengang. Kalau dia sendirian, sudah lama dia menjerit sekuat hati. Tapi kini, hanya genggaman erat di kain tudung yang mampu menahan getar jiwanya.

Bunyi notifikasi dari komputer menyentak Amy dari lamunannya. Dia terkebil seketika, lalu cepat-cepat menggerakkan tetikus ke WhatsApp Web.

Abang Mat:

Amy, lukis draf ni. Esok jam 10 abg nak.

Tangannya terhenti. Tetikus dilepaskan perlahan. Kopi di meja dicapai, diteguk separuh. Kerusi beroda digoyang ke kiri dan kanan, matanya masih terpaku pada mesej itu.

“Hari ni pun tak habis lagi, dah datang kerja esok…” bisiknya perlahan, separuh mengeluh.

Dia bangkit menuju ke pantri. Gelas dicuci bersih, seolah-olah itu rutin yang wajib bagi menutup tirai hari. Kembali ke meja, laporan projek Astana Raja diteliti sekali lagi. Lukisan AutoCAD disemak sudut demi sudut. Setelah yakin tiada kesilapan, dia menaip emel ringkas kepada Encik Faiz, melampirkan dokumen yang diperlukan.

Komputer dimatikan. Fail peribadi dikemas satu per satu. Suis lampu dan pendingin hawa ditutup sebelum dia melangkah keluar dari aras pejabat itu.

Kerja Abang Mat? Dia tangguhkan dulu. Esok pagi baru dia selesaikan — walau hatinya sudah terasa berat hanya dengan memikirkannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.