Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
120,615
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

Boyfriend 


Bedak asas serbuk tiga dalam satu itu diratakan nipis di wajah dengan berus mekap. Hanya lapisan paling ringan kerana krim muka sudah disapu lebih awal. Bibir pula disentuh beberapa kali dengan pelembap. Sejak akhir-akhir ini ia terasa kering. Panas terik di luar, sejuk berhawa dingin di pejabat, membuat kulitnya cepat merengsa.

Suraya memerhati pantulan dirinya di cermin besar bilik tidur. Wajah yang dirias sederhana tampak kemas. Cukup untuk keluar. Dia menghela nafas, lalu capai tudung.

Sebentar lagi dia akan keluar bersama Hanis ke pusat bandar. Ikutkan hati, mahu saja dia terus terperap di rumah. Namun Hanis sudah membantah: hujung minggu bukan untuk terkurung, lebih baik berjalan-jalan, ambil angin.

Ingatan Suraya melayang. Wajah di cermin tadi seakan bertukar bayangan dirinya di tapak projek tempoh hari. Panas, berdebu, menguji tenaga dan mentalnya. Jika tidak kerana pujuk diri, mungkin dia sudah tewas. Tapi tidak, dia enggan. Baru sekali turun padang, tak mungkin dia mengalah. Dia sudah berikrar: apa pun, dia memilih untuk bertahan.

Kenangan pahit itu segera disorok jauh ke sudut gelap dalam memorinya. Betul juga kata Hanis — sesekali lepaskan tekanan, apa salahnya.

Selesai mengenakan tudung bawal, pandangan Suraya jatuh pada Hanis yang sedang berdiri di sebelahnya. Temannya itu menilik cermin dengan penuh teliti, seakan tidak puas hati dengan pantulan diri sendiri. Hari ini lain benar gayanya — sehelai kemeja dress labuh belang hitam putih, ringkas tetapi menyerlah. Jarang sekali Suraya melihat Hanis begitu kecuali kalau ada acara rasmi.

“Cantik terlajak ni. Ada apa-apa ke?” Suraya mengusik, sambil menyarungkan kasut kerjanya yang serba guna.

“Sekali-sekala apa salahnya,” jawab Hanis, tenang tapi cepat, lalu melangkah keluar mendahuluinya.

Suraya hanya memerhati. Ada sesuatu pada gaya langkah dan nada suara itu yang membuatnya hairan. Dia simpan dulu tanda tanya yang mula menekan dada. Cepat atau lambat, dia tahu jawapannya akan terbongkar juga.

Seperti biasa, mereka menaiki kereta api yang hanya beberapa minit berjalan dari apartmen.

Hampir setengah jam kemudian, barulah sampai ke destinasi. Perut yang kosong jadi keutamaan — restoran makanan segera menjadi pilihan pertama.

“Lepas ni nak ke mana pula?” tanya Suraya sambil menyedut baki air berkarbonatnya. Spaghetti carbonara di pinggannya hampir licin.

Hanis yang sudah lama selesai makan hanya mengangkat bahu. “Kau ada benda nak shopping?”

Gelengan kepala jadi jawapan.

“Kalau macam tu, kita window shopping je lah,” cadangnya.

Suraya hanya tersenyum. Mereka berdua kemudian menapak ke tingkat atas, menyusuri deretan butik dengan langkah santai. Namun, belum separuh ruang kompleks dijelajahi, rasa penat mula menguasai.

“Jom keluar. Kita ambil angin dekat taman,” ujar Hanis.

Cadangan itu disambut baik.

Di luar, angin sepoi-sepoi bertiup, meski matahari masih garang di langit. Mujur pepohon hiasan memberi teduhan. Hanis menarik nafas panjang.

“Nasib baik redup. Kalau tak, aku tak sanggup nak duduk bawah panas macam ni.”

Suraya tersenyum sambil mengangguk. Walau badannya berehat, fikirannya masih bergerak jauh — teringat kembali pada wajah Dr. Adrian, pada suara Zamri, pada hari-hari sukar yang menanti di pejabat.

“Assalamualaikum.”

Suraya tersentak. Kepala yang tadinya menunduk mendongak serta-merta. Seorang pemuda berdiri di hadapan mereka. Tanpa menunggu pelawaan, dia duduk bersebelahan dengan Hanis.

Hati Suraya bergetar aneh. Rasa curiga menjalar, diikuti waspada. Spontan dia menggeserkan tubuh menjauh, tangan pantas menarik Hanis ikut bersamanya. Bahu gadis itu dipeluk erat, seolah mahu melindungi. Hanis sempat terpinga, sebelum menutup reaksi dengan tawa kecil.

Sorry lambat,” ujar lelaki itu santai. “Tadi ada member minta tolong hantar kereta ke bengkel. Dah makan?”

Hanis tersenyum nipis. “Sudah. You?”

Suraya mengerutkan dahi. “Eh… nanti dulu! Kau ada lupa nak bagitahu aku apa-apa ke?”

Hanis sekadar menjongket bahu, bibirnya menguntum senyuman penuh rahsia. “Kau tengok betul-betul… cuba teka.”

Suraya berpaling ke arah lelaki itu. Wajahnya berkulit hitam manis, jambang kemas, renungan redup—tapi penuh keyakinan. Ada sesuatu yang familiar. Jantungnya berdegup laju.

Beberapa detik berlalu sebelum matanya membulat.

“Irfan Muhsin??” suaranya hampir terlompat keluar.

Hanis dan lelaki itu saling berpandangan, lalu tersengih serentak.

Suraya tergelak besar. Dia tak sangka langsung akan bertemu lagi dengan Irfan, lelaki yang pernah jadi senior mereka di universiti dulu. Gelak tawa mereka bertiga terasa seperti memanggil semula helaian lama yang penuh warna.

“Banyak sangat kenangan kita, kan? Tapi yang paling aku tak boleh lupa… waktu korang berdua kenakan aku tu! Hisy!” Suraya merungut geram, bahu Hanis ditampar dengan penuh drama.

Hanis menutup mulut menahan tawa, sementara Irfan ketawa lepas.

Tawa itu seperti menolak pintu ingatan Suraya—membawanya kembali ke tahun akhir pengajian Irfan.

Hari itu, selepas kelas Wireless Communications, dia dan Hanis melangkah ke makmal untuk menyiapkan papan litar elektrik bagi presentation Analog Circuit. Bau hangit solder memenuhi ruang, beberapa pelajar lain sedang tekun di meja masing-masing. Baru sahaja Suraya melabuhkan punggung, Hanis meminta diri ke tandas.

Dan tiba-tiba—

“Suraya Anne!”

Dimitry Mikael, pelajar pertukaran dari Rusia, tiba-tiba muncul di muka pintu. Suraya cepat berpaling, sengih menempel. Wajah pemuda itu jelas meminta sesuatu.

“Boleh pinjam pemutar skru?” soalnya, loghatnya masih pelat tapi jelas bersungguh.

Suraya angguk laju. Dia tarik laci meja, keluarkan pemutar skru kecil. Belum sempat bangun, Mikael sudah menahan.

“Baling saja. Saya pandai tangkap,” katanya yakin.

Suraya hampir tergelak. Setiap kali Mikael bercakap, ada saja yang kedengaran lucu. Tapi dia tahan. Tak sampai hati ketawakan usaha pemuda itu yang gigih benar mahu mempraktikkan Bahasa Melayu.

“Okay. Ready?” Suraya memberi isyarat. Mikael angguk penuh yakin, kedua tangannya terbuka menadah.

Balingan Suraya tepat menuju ke arah lelaki itu. Mikael berjaya menyambut… tapi tiba-tiba tubuhnya terhuyung, lalu jatuh terhempas ke lantai.

“Eh! Mikael?!”

Beberapa pelajar lain serentak menoleh. Ada yang menjerit kecil. Suasana makmal sekelip mata bertukar riuh.

Suraya berdiri tegak, darahnya terasa beku. Anak matanya terbeliak melihat pemutar skru itu—entah bagaimana sudah ‘terbenam’ di dada Mikael. Dan… darah. Darah merah pekat mengalir perlahan dari celah jari lelaki itu yang menekup dada.

“Ya ALLAH!” Suraya menjerit, terus melutut di sisi tubuh Mikael. Tangannya menggigil, dada berombak-ombak. “Mika! Bangun! Please, Mika! Jangan buat saya takut macam ni!”

Mikael diam. Matanya terpejam rapat, tubuh kaku.

Suraya semakin panik. “Tolong! Korang!.. Tolong dia!” suaranya tersekat, hampir menangis.

“Yaya??”

Suraya pantas mendongak, mengharap Hanis akan menenangkannya. Tapi wajah temannya tenang… terlalu tenang. Begitu juga Irfan. Tiada tanda cemas, tiada resah.

Dia sempat terpinga-pinga, sebelum—

“BOOO!!!”

Satu kelas menjerit serentak. Mikael yang tadi ‘kaku’ di lantai tiba-tiba bangun dan ketawa terbahak-bahak.

Suraya membatu. Kolam mata yang hampir terbentuk dengan cepat menyurut. Perlahan-lahan, wajahnya berpaling ke arah Hanis dan Irfan—yang kini terkulai ketawa sampai berair mata. Suasana makmal riuh rendah dengan sorakan dan gelak tawa pelajar lain.

“Hah?!… korang… korang mainkan aku?!” suaranya pecah, antara marah dan lega.

Bertubi-tubi tumbukan kecil dilepaskan pada bahu Mikael. Tapi gelak pemuda Rusia itu tak berhenti. Giliran Hanis dan Irfan pula jadi sasaran. Suraya menjerit geram sambil mengejar mereka keluar hingga ke pintu gerbang kampus, disambut sorakan kawan-kawan yang masih ketawa mengekek.

“Rindu dekat Mika,” ujar Hanis perlahan, seolah masih terbawa dengan kenangan.

Suraya menoleh. Senyuman nipis terukir, cukup untuk menyembunyikan rasa rindu yang lebih dalam daripada sekadar kenangan.

“Korang tau tak,” Irfan tiba-tiba bersuara, “ada satu kumpulan volunteer pergi Afrika. Bekalkan elektrik untuk sekolah-sekolah pedalaman. Mika ikut sekali. Sekarang dia dekat Namibia.”

Hanis dan Suraya berpandangan, seolah tak percaya.

“Dari mana you tahu?” Hanis cepat bertanya.

Irfan hanya tersenyum, renungannya seakan ada makna tersirat. “Diorang ada website. Siap jual gifts untuk tabung projek. Aku terjumpa masa scroll semalam.”

Suraya menggenggam jemarinya sendiri. Ada getar kecil di dada. “Wow… tak sabar nak tengok projek Mika dekat sana.”

Hanis mengangguk laju, senyumnya terukir.

Namun, jauh di sudut hati mereka berdua, nama itu kembali menyalakan sesuatu yang lama terpadam.


• • •                               


Suraya duduk santai di ruang tamu, rambut basah dikeringkan dengan tuala kecil. Hanis keluar dari bilik, terus menyertai. Di kaca televisyen, sitkom The Nanny sedang rancak mengisi ruang dengan gelak ketawa rakaman studio. Walaupun lama, lawaknya masih menjadi.

Sebaik muka Hanis dijeling, terus dia tergelak.

“Dah kenapa muka macam pelakon opera Cina pulak? Putih sememeh semacam!”

“Geram betul. Jerawat pasir naik lagi. Benci!” rungut Hanis sambil mencemik, jari-jemari sibuk menekan pipi sendiri.

Suraya ketawa kecil. “Amboi… dah dapat jumpa buah hati pun masih sempat nak merungut.”

Setelah sitkom tamat, Suraya bangun, melangkah ke bilik sambil menyisir rambut. Hanis pula lesap ke dapur.

Tak lama, suara Hanis memecah.

“Yaya!”

Suraya berpaling dari jendela. Hanis berdiri di pintu, segelas air di tangan, wajah penuh misteri.

“Apa?” Suraya angkat kening.

Hanis tarik senyum panjang. “Bulan depan… aku nak bertunang.”

WHAT?!”

Sikat terlepas, jatuh ke lantai. Mulut Suraya terbuka luas macam tengok plot twist drama Jepun kegemaran Hanis.

“I. Hate. You.” Suraya sebut setiap patah dengan tekanan.

Dia capai semula sikat, tapi matanya sempat nampak Hanis yang kalut melarikan diri ke bilik. Bunyi klik pintu dikunci. Suraya bercekak pinggang di luar, mengetap bibir.

“Hanis! Kau tau aku sayang kau. Tapi baru couple, dah nak tunang? Awal gila, oi!”

Dari dalam, suara Hanis kedengaran, cuba meyakinkan.

“Kita dah kenal dia lama, kan? Dari zaman U lagi…”

Suraya menepuk dahi. Arrghhh! Perlu ke debat macam ni dengan pintu?!

“Sharifah Yuhanis! Bukak pintu sekarang!!” sergahnya.

Tak lama, bunyi selak dibuka. Hanis menjengul keluar separuh, tubuhnya masih bersembunyi di balik daun pintu. “Kau nak marah sebab aku nak bertunang ke?”

Suraya sengaja merenung tajam. Tangan masih bercekak pinggang. “Eh, please. Aku tak kuasa nak marah. Aku cuma—” dia berhenti sejenak, senyum sinis, “—nak pastikan kau tak buat keputusan ikut perut lapar je.”

Hanis gelak nervous.

“Ahh... sebenarnya aku bengang, okay! Tak ada ribut, tak ada angin, tiba-tiba kau drop bomb. Siang tadi aku tahu kau bercinta, malam ni dah nak tunang? Kau gila ke? Mak Long dah tahu belum?” Suara Suraya naik setingkat.

Hanis tersengih nipis, masih separuh bersembunyi di balik pintu. “Sebab diorang tak tahu lah aku kena cepat-cepat rancang. Kalau tak, kau tau perangai mama dan ayah aku macam mana.”

Suraya terdiam. Ya, memang tahu. Encik Syed Yusuf dan Puan Sharifah Hassanah tu pantang dengar anak dara dia keluar dating— dulu, belum habis sekolah pun dah kena soal macam polis. Rasanya, kalau yang ini mau pasukan peguam dan hakim sekali diheret.

Hanis menyambung, suara perlahan. “Kalau ikut ayah aku, memang takde istilah bertunang. Terus… kahwin.”

“Ha, betul lah tu.” Suraya menjuling mata. “Boleh pengsan aku kalau tiba-tiba kau send wedding card. "

Hanis ketawa kecil, menutup mulut. “Sebab tu aku cerita kat kau dulu. Nak minta tolong fikir alasan kukuh, bagi aku ruang tunang dulu.”

Suraya mengeluh, tangan jatuh di sisi. Dia pandang temannya lama. Adoi Hanis… kau ni memang masalah berjalan.

“Jom, bincang.” katanya akhirnya.

Pintu terus terbuka luas, menampakkan senyuman lebar Hanis macam baru menang cabutan bertuah.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.