Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
120,615
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

Separuh jiwaku


Sambil menutup mulut yang menguap, Suraya menyandar selesa pada bantal hiasan. Kedua kakinya dilunjurkan dengan rasa lega. Dari jauh, barisan pencakar langit berskala mega berdiri megah, mempamerkan keutuhan senibina masing-masing. Suasana petang nyaman. Langit biru dihiasi calitan awan larik, mentari tidak lagi garang, malah kilauannya memberi kepuasan kepada mata. Perasaannya gontai; andai ada bayu sepoi, mungkin dia boleh terlena.

“Amboi, jauh berangan,” sapa Kak Rin, tuan rumah apartmen itu, sambil bersandar di kerusi urut.

Suraya tergelak kecil. Dia bangkit sebentar, meletakkan buku From GSM to LTE-ADVANCED di rak mini yang melekat di dinding atas kepalanya. Buku itu kini teman akrabnya, sejak episod Dr. Adrian mengambil kembali laporan Prima miliknya. Jika pengalaman praktikal di pejabat terbatas, dia menggantikan dengan bacaan ilmiah. Ilmu bertambah, tak rugi sedikit pun.

“Eh, Kak Rin! Bila balik? Yaya tak perasan pun.” Suraya duduk semula.

“Pukul 3 tadi. Sunyi je rumah masa akak sampai. Ingatkan korang balik kampung. Anis mana?” soal Kak Rin.

Suraya membuat congakan pantas. Patutlah dia tak perasan—waktu itu dia baru bangun selepas tidur, sedar-sedar dah masuk waktu Asar. Dia menunaikan kewajiban sebelum ke dapur membancuh minuman petang.

“Anis keluar. Shopping katanya.”

“Aik, kenapa Yaya tak ikut? Korang ni macam belangkas, berkepit ke hulu hilir.”

“Tak nak kacau daun,” jawab Suraya lirih. Pandangannya dibawa ke luar, enggan Kak Rin menangkap perasaan hiba yang tiba-tiba menjenguk. Dia belum mampu move on dengan status Hanis sebagai tunangan orang. Bukan cemburu, cuma hampa kerana rancangan lama mereka tidak pernah dibangkitkan semula.

“Oh, keluar dengan Irfan. Berdua aje ke? Biar betul?” tanya Kak Rin lagi, suaranya penuh rasa ingin tahu.

Suraya melirik ke arah wajah manis tuan rumah. Pertemuan dengan Kak Rin jarang berlaku kerana wanita itu sentiasa sibuk. Tetapi latar belakang Anis dan Irfan tersimpan kemas di benaknya.

“Tak pastilah. Yaya rasa Anis ada bagitau untuk jumpa teman pejabat. Bukan berdua dengan Irfan,” jawab Suraya.

Sepi. Kak Rin tidak menyahut.

“Erm, Yaya rasa tak cepat sangat ke Anis bertunang?” soal Kak Rin sambil meneliti wajah cantik di hadapannya. Jika Hanis manis dengan darah kacukan peranakan, Suraya pula tidak kurang mempesona. Raut mulus dan sepasang mata bening itu sudah cukup membuat sesiapa berpaling kali kedua. Suraya punya tarikan yang halus, hanya dapat dihargai bila diperhatikan dengan lebih dekat.

Pertanyaan itu menarik perhatian Suraya. Sudah beberapa minggu sejak majlis berlalu, inilah pertama kali Kak Rin membangkitkan persoalan.

“Maksud akak?”

“Kak Rin bukan nak busybody, tapi akak dah anggap korang macam adik-adik. Nak jugak tahu apa saja yang jadi pada korang berdua. Tapi, kalau Yaya tak nak kongsi, akak faham.”

Suraya tersenyum pahit, menahan rasa yang berombak dalam hati. Dia biarkan sepi seketika mengisi ruang.

“Yaya pun… dah mula rasa Kak Rin ni macam kakak sendiri,” katanya sambil cuba mengukir senyum kecil.

Kak Rin tergelak manja, sengihnya tulus.

“Alah, suka pula Kak Rin dengar.”

Suraya mengangkat kening sedikit.

“Kenapa, Kak Rin risaukan Anis sangat ke?”

Kak Rin menahan senyum, sekilas melirik wajah polos di hadapannya. Naif sungguh budak ni. Orang tanya dia, dia pula sempat tanya balik.

“Akak tak risau pun. Duduk berdua dengan Anis ni, akak nampak dia bukan jenis buat dulu baru fikir. Akak cuma nak dengar pendapat Yaya je.”

Suraya sekadar menjungkit bahu. Pandangannya dialih ke sisi, seolah-olah ada sesuatu yang lebih menarik di dinding daripada wajah wanita itu.

“Irfan tu pulak… macam mana?” soal Kak Rin, nada bergurau memancing.

“Yaya tak nak komenlah,” balasnya perlahan sambil menyelak rambut ke belakang telinga. “Setakat Yaya kenal, Irfan tu baik orangnya. Lebih daripada tu… Yaya tak berani cakap.”

Kak Rin mengerling. Senyumnya masih melekat.

“Sebenarnya, Yaya okey ke dengan pertunangan Anis tu?”

Suraya menghela nafas ringan, mata sekali lagi melirik ke arah langit. Secebis senyuman kelat terukir di bibirnya.

Teliti betul Kak Rin ni… Ingatkan bila jarang berjumpa, hal ehwal kami berdua terlepas dari pandangannya. Rupanya setiap riak kecil aku pun dia perasan.

“Erm, okay. Cuma... Yaya sedih sikit,” akuinya, berani meluahkan setelah mata bertentang mata.

“Kenapa pula?” Kak Rin sedikit terkejut, tubuhnya condong ke depan.

“Kami ada banyak plan, kak. Macam bucket list. Yaya tak pasti Anis ingat lagi tak... Tapi, Yaya tak pernah lupa,” tuturnya, suaranya sarat dengan rajuk yang ditahan lama.

Kak Rin bangkit perlahan, lalu melabuhkan duduk di hujung kakinya. Suraya segera menegakkan tubuh, melipat kaki silang. Tatapan wanita itu lembut, senyumannya merekah—seakan menitipkan ketenangan ke jiwa Suraya yang masih gundah.

“Oh, Kak Rin faham sangat apa Yaya rasa. Sebab akak sendiri pernah lalui benda yang sama. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Sampai satu masa akak ambil keputusan untuk jalan sendiri. Tak sangka, jodoh datang... tapi sayang, walau dah kahwin, akhirnya terpaksa juga berpisah.”

Suraya terkedu. Matanya terbuka sedikit, dada terasa sesak. Seribu soalan bersusun dalam benaknya, namun lidahnya kelu. Dia tidak tahu yang mana harus ditanyakan dahulu.

“Dulu, Kak Rin ada dua orang kawan baik. Kami sama-sama fly. Macam-macam yang kami rancang, bucket list kami panjang… tapi tak lama. Tiba-tiba semuanya berpecah—seorang berhijrah ke luar negara, seorang lagi sibuk membina kerjaya,” ujar Kak Rin panjang lebar.

Sunyi seketika. Suara Kak Rin bergetar halus, matanya redup menahan sebak. Suraya ikut termenung, tapi jauh di sudut hati dia tidak sabar mahu tahu sambungannya.

“Akak bingung bila mereka pergi serentak. Tinggal akak… betul-betul sendirian. Mujur mama masih ada. Akak ceritakan semuanya, dan mama banyak beri nasihat.” Kak Rin menoleh ke arah Suraya, menghadiahkan segaris senyuman yang cuba menutup retak lama.

“Tau tak apa nasihat mama Kak Rin?”

Suraya masih hanyut dalam cerita itu, hanya kedua keningnya yang terangkat sebagai balasan.

“Setiap makhluk ada takdirnya sendiri,” suara Kak Rin lembut, penuh hikmah. “Belajarlah untuk merancang menerima yang tak dirancang. Kalau belum mampu terima… berhentilah dari terlalu merancang.”

Suraya terdiam. Kelopak matanya berkelip beberapa kali, dada terasa berombak. Kata-kata itu menusuk perlahan ke pintu hatinya yang paling rapuh.

“Akak, terima kasih,” tutur Suraya perlahan, suaranya hampir tenggelam.

Barulah dia sedar. Setiap rencana manusia hanyalah serpihan kecil dari takdir yang lebih besar—kenapa sebelum ini dia tidak terfikir?

Kak Rin melirik puas. Mudah rupanya menasihati gadis yang tahu merendah diri.

“Apa pun yang Yaya rancang dengan Anis, jangan sedih sangat kalau tak jadi kenyataan. Kadang-kadang ia cuma ditangguhkan, bukan dibatalkan. Yang penting, Yaya tetap ada untuk dia. Kalau Anis tahu Yaya rasa terbeban, tentu dia pun akan rasa serba salah, kan?”

Suraya hanya menggeleng. Dia tidak mahu rasa yang bersarang dalam hatinya terbaca oleh sesiapa, apatah lagi Hanis. Mungkin dia terlalu cepat risau, terlalu takut kehilangan rancangan yang belum sempat jadi nyata. Sedangkan, siapa tahu Hanis sendiri sedang menyimpan kejutan?

“Tapi… apa yang jadi dengan perkahwinan akak? Ditentang keluarga ke?” soal Suraya, wajahnya serius, seakan-akan takut mendengar kisah tragis.

Kak Rin tergelak besar sehingga tubuhnya sedikit bergoyang. Suraya terpinga-pinga.

“Tak ada lah, Yaya. Pandai-pandai aje buat drama. Suami Kak Rin offshore, lah.”

“Ohhh…” Suraya menepuk dahi perlahan. Malunya bukan kepalang.

“Hihi…” sahutnya, ketawa kecil sambil menunduk.

“Dekat mana?” tanyanya, ingin tahu.

“Teluk Mexico,” jawab Kak Rin ringkas, namun matanya redup.

“Jauhnya, kak…” Suraya bersuara perlahan, terbayang jauhnya lautan yang memisahkan.

Kak Rin hanya mengangguk. Pandangannya sarat makna, seolah mengajar tanpa kata.

Dan Suraya, dalam diam, merenung kembali. Kalau dia mahu merintih tentang bucket list yang belum pasti tercapai bersama Hanis, lebih baik dia renungi nasib orang lain. Hidup Kak Rin lebih mencabar, namun tetap kuat tersenyum. Sedang dia sendiri—masih dikelilingi keluarga, masih bersama teman baiknya.

Ya… hidupnya bertuah. Yang tinggal hanya belajar lebih banyak bersyukur.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.