Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
52,647
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

Ain memapah Zaarif masuk ke dalam rumah. Pada tangan kiri lelaki itu, Zaarif dibantu oleh tongkat lengan demi membantunya berjalan dengan lebih mudah. Kaki kananya turut semakin kuat untuk berjalan. 

Zaarif melangkah masuk ke dalam rumah sambil memberi salam. Terasa rindu kepada rumahnya biarpun baru sehari dia meninggalkan rumah.

“Abang dengan Hubby duduk dulu, Ain pergi buat air” tutur Ain dan terus menghilang ke arah dapur. Zaarif dan Syafiq berjalan beriringan. Syafiq sedang mendukung Fina hanya meletakkan anaknya di atas riba. Raida tidak menyertai mereka pada hari kerana isterinya terasa letih dek kerana mengandung. Syafiq akur.

“Dah berhubby sekarang” usik Syafiq. Zaarif hanya memandag Syafiq sekilas sambil tersenyum.

“Dulu, kau juga yang kata. Berustaz lagi ke?” Zaarif mengenakan Syafiq semula. Syafiq mengangkat kedua belah tangannya tanda mengalah. Tawa mereka berdua pecah. Fina yang tidak mengerti hanya memandang wajah Zaarif dan Syafiq silih berganti.

“Ni, macam mana boleh ‘tumbang’?” dahi Zaarif berkerut.

“Apa kau ni, aku belum mati lagi lah” Syafiq hanya memandang wajah Zaarif tajam. 

“Kau ni, bukan tu maksud aku”

“Iya, aku faham. Saja nak gurau dengan kau” Zaarif tersengih.

“Entahlah, sedar-sedar aku dalam longkang” tawa mereka berdua pecah.

“Itu yang terseliuh kaki tu?” Zaarif mengangguk.

Ain datang sambil menatang dulang. Ain mulai menghidangkan air buat abang dan suaminya. Fina diserahkan kepada Ain. Dengan penuh sifat keibuan, Ain menyuapkan air kepada Fina. Entah kenapa pandangan Syafiq dan Zaarif tertumpu pada pergerakan Ain. Zaarif hanya melihat Ain melalui hujung mata sambil meneguk air.

“Fiqah, dah boleh jadi Ibu ni” Fina tersedak. Ain segera meletakkan cawan di atas meja kecil dan mengusap lembut belakang badan anak saudaranya.

“Aih, Fina. Anak ayah yang tersedak?” tawa mereka bertiga pecah. Fina yang tidak mengerti hanya terus mencapai cawan dan menyambung meneguk air.

“Tak adalah, kau ni” Zaarif menyangkal kata-kata Syafiq. 

“Fina sayang, habiskan air lepas tu kita balik. Ni Mama seorang kat rumah ni” 

“Okey, Ayah”



“Ain” panggil Zaarif perlahan. Ain yang baru sahaja berbaring, menoleh memandang wajah Zaarif di dalam kegelapan.

“Kenapa Hubby rasa, Hubby sekarang ni bukan dengan Ain” Ain terkedu. 

“Maksud Hubby?” sengaja Ain bertanya untuk menghilangkan rasa janggal dalam dirinya.

“Isteri Hubby lain sangat sejak Hubby terbaring dekat hospital. Hubby tak nampak senyuman sayang. Hubby tak nampak keceriaan pada wajah sayang. Yang paling ketara, sayang dah tak sudi nak pandang mata Hubby. Sayang ada apa-apa nak kongsi dengan Hubby?” soal Zaarif. Ain tergelak kecil untuk merenggangkan ketengangan yang dirasainya.

“Tidurlah Hubby, dah lewat ni. Assalamualaikum” Zaarif menghembus nafas berat.

“Waalaikumussalam, sayang”



Pagi itu, mereka berdua menunaikan rutin harian mereka seperti biasa cuma kali ini, Zaarif tidak mengimamkan solat. Ain hanya mengambil keputusan untuk menunaikan solat secara sendirian. 

Ain menyiapkan sarapan sementara Zaarif sedang berada di ruang tamu. Entah apa yang dilakukan oleh lelaki itu. ain mengangkat bahu. Dia menghidangkan sarapan dan turut meletakkannya sedikit ke dalam bekas makanan. Ain meletakkan semua makanan yang telah disimpan ke dalam beg.

“Hubby, makan jom” dengan kudrat yang cuba dikumpulkan, Zaarif melangkah ke arah meja dengan bantuan tongkat. 

“Nasi goreng?! Wow” Zaarif mengetuai bacaan doa dan mereka mulai menjamah. 

“Hubby, nanti mandi lepas tu pakai baju yang Ain dah letak atas katil” Zaarif memandang Ain hairan.

“Kita nak pergi mana?” soal Zaarif. Kebiasaannya, Ain hanya akan menyediakan pakaiannya jika mereka ingin keliar atau jika dia bekerja. Namun, dia tidak pula diberitahu untuk ke mana-mana sedangkan dia masih dalam tempoh cuti sakit.

“Ikut sajalah, ya? Nanti Hubby tahu juga” Zaarif mengangguk. Mana dia nak bawa aku? terasa teruja pula. Zaarif teruja. 



“Sayang, tolong Hubby” pinta Zaarif dari arah bilik air. Ain menghampiri Zaarif.

“Kenapa?” soal Ain.

“Macam mana Hubby nak mandi? Boleh ke basahkan balutan ni?” soal Zaarif. Ain menggeleng kepala.

“Macam budak tadika” tutur Ain perlahan sambil menguruskan pakaian Zaarif. Zaarif mampu mendengar kata-kata Ain.

“Sampai hati sayang, kata Hubby macam budak tadika” sengaja Zaarif membuat lagak seperti sedang merajuk. Ain bangun lalu berhadapan dengan Zaarif.

“Hubby, jangan nak mengada eh. Memang Hubby macam budak tadika pun, manja terlebih” Zaarif tersengih. 

“Cepatlah bangun” Ain meletakkan tangan kanan Zaarif di atas bahunya dan tangan kiri Ain memeluk pinggang lelaki itu. 

“Duduk atas mangkuk tandas tu” Zaarif hanya menurut. Ain menutup pintu bilik air. Ain mengambil secebok air di dalam kolah mandi lalu dijiruskan melalui atas kepala Zaarif.

“Sayang, sejuk!!!”


Mereka berdua mengenakan baju yang sedondon berwarna ungu lembut. Zaarif mengenakan kurta berserta seluar jean manakala Ain mengenakan baju kurung pesak dan disertakan tudung bawal yang mempunyai tona warna yang sama dengan bajunya. Zaarif menuju ke arah tempat penumpang di hadapan manakala Ain menuju ke arah tempat pemandu.

“Sayang pandai pandu kereta?” soal Zaarif sedikit ragu. Ain memandang wajah Zaarif. Dia baru sahaja menutup pagar pintu rumahnya dan ingin memulakan perjalanan.

“Mestilah, Ain ada lesen eh”

“Sayang” baru sahaja Ain ingin menekan pedal kereta, kedengaran suara Zaarif memanggil namanya. 

“Kenapa Hubby?” soal Ain lembut.

“Hubby dapat rasa keriangan pada suara sayang, tapi bukan wajah sayang. Hubby rindukan senyuman sayang” tutur Zaarif lembut. Ain hanya tersenyum hambar.

“Hubby tidurlah dulu, nanti dah sampai Ain kejut” Ain terus menekan pedal kereta tanpa menjawab persoalan Zaarif.

Zaarif memandang ke arah jalan. Kenapa dengan sayang? Tak sudi kah sayang berkongsi dengan Hubby?

Zaarif menyandarkan kepalanya. Matanya perlahan-lahan terpejam. Menginginkan rehat yang cukup.

Malam tadi, hampir sepanjang malam dia berjaga. Jenuh dia menahan sakit di bahagian tangan kirinya. Kadang terasa gatal di luka. Kadang terasa ngilu apabila dia tersalah bergerak. Akhirnya Ain membawanya ke arahruang tamu. Ain menyediakan ruang yang selesa. Isterinya turut menyediakan snek sama seperti yang pernah dilakukan di rumah Puan Wafa suatu ketika dahulu beserta dengan air coklat yang cukup menghangatkan. Entah bagaimana, badannya terasa panas. Hatinya terasa tidak senang. 

Ain memasang zikir buatnya dan turut membasahkan badannya dengan air sejuk. Terasa dingin badannya. Setelah hampir beberaqpa jam bergelut dengan dirinya sendiri, Zaarif tertidur dengan sungguh lena di bahu Ain. Dengan perlahan Ain menyandarkan kepala Zaarif pada bantal. Tubuh lelaki itu turut diselimutkan. Setiap beberapa minit, Ain akan menukar air pada tuala yang telah dibasahkan dan diletakkan pada dahi Zaarif. 

Zaarif tersedar dari lenanya dan melihat Ain tertidur dalam keadaan tangan kiri memangku kepalanya. Tuala berada di tangan kanannya. Entah bagaimana, dia tertidur sekali lagi dan Ain telah pun tiada di sisinya ketika dia tersedar.

‘Ain, saya tak janjikan awak kemewahan dunia. Saya juga tak mampu menjanjikan kebahagiaan dunia. Saya nak awak dan saya berjanji untuk kita memiliki kemewahan di syurga dan kebahagiaannya’


“Hubby, bangun” kejut Ain sambil menepuk perlahan paha lelaki itu. Zaarif membuka matanya. Dia menegakkan badannya lalu melihat ke arah sekeliling. Masjid. Masjid yang terletak di sebuah jalan besar. Ain keluar dari kereta dan membukakan pintu buat Zaarif. Tongkat yang diletakkan di bahagian belakang di ambil oleh Ain. Zaarif turut keluar dari kereta.

“Kita solat sini dulu, ya?” soal Zaarif lembut. Ain mengangguk.

“Hubby pergilah, ruang solat lelaki ikut belah kanan” Ain mulai menoleh untuk bergerak ke arah ruang solat wanita. Zaarif mencapai tangan Ain.

“Sayang, sekejap” ain hanya menanti kata-kata Zaarif.

“Boleh ke sayang ambil wuduk tanpa Hubby?” Zaarif tersenyum. Ain mengerutkan dahinya. Tangganya spontan mencubit perut lelaki itu.

“’Gelenya’ lah Hubby ni” Ain terus melangkah ke arah ruang solat wanita. Zaarif tersenyum memandang isterinya. Dia akhirnya menurut ke arah yang telah ditunjukkan oleh Ain sebentar tadi.

Ketika sedang membuka tudung untuk mengambil wuduk, Ain teringat kata-kata Zaarif. Dia tersenyum dalam hati namun tidak secara nyata.



Zaarif menunggu Ain di kereta. Dia hanya memandang sekelilingnya. Terasa seperti dia pernah sampai di kawasan ini namun, dia tidak tahu bila atau mungkin ilusinya. Ramai yang menegurnya dia juga turut melemparkan senyuman ramah.

“Lamanya. Bersolek ke apa?” serentak dengan itu, terus kelibat Ain muncul. Wanita itu sedang menyarungkan kasutnya dan menuju ke arah Zaarif. Zaarif menegakkan badannya, membetulkan bajunya serta kopiah yang dipakainya. Dia tersenyum ketika Ain berada betul-betul dihadapannya. Zaarif ingin mencapai tangan Ain namun, wanita itu mengelak.

“Ain ada wuduk. Ni untuk Hubby” Ain menyerahkan buku kecil kepada Zaarif. Zaarif hanya menereima dan melihat ke arah buku itu. Yasiin? 

“Ada apa dengan yasiin?” soal Zaarif pelik. Ain menunjuk ke arah sesuatu. Tanpa ragu, Zaarif hanya memandang ke arah yang ditunjukkan.

“Kita dekat Perak? Perak? Jauhnya sayang bawa kereta? Kita nak pergi mana?” soal Zaarif dengan nada yang terkejut.

“Tenang Hubby, kuta dah sampai dah. Kita nak pergi situ” Ain menunding ke arah satu papan tanda. Zaarif sekali lagi hanya melihat.

“Jom”. Zaarif hanya mengikuti langkah Ain perlahan-lahan. Mereka berdua berjalan beriringan. Sampailah di satu pusara, Zaarif melabuhkan punggungnya pada kerusi yang disediakan. Ain mencapai tongkat Zaarif lalu meletakkannya. Ain turut melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Zaarif.

“Ain ikut Hubby eh?” Zaarif memandang wajah Ain. Buat pertama kalinya setelah sekian lama, Ain menguntumkan senyuman. Zaarif turut tersenyum apabila melihat senyuman isterinya. Kepala diangguk. Zaarif memulakan bacaan mereka dengan selawat.

Suasana menjadi sepi selepas mereka berdua menamatkan bacaan doa. Ain memandang tepat ke arah pusara manakala Zaarif memandag wajah isterinya. Mengalir air mata Ain. 

“Hubby, sudi tak Hubby dengar kisah seorang Ain yang tak berapa bermakna?” soal Ain sambil memandang wajah Zaarif. Bertakung air mata pada kelopak matanya saat dia memandang tepat ke arah mata Zaarif. Zaarif menyeka perlahan air mata isterinya dengan tangan kanannya. 

“Kalau sayang sudi nak berkongsi dengan Hubby, Hubby pun sudi untuk mendengar apa saja yang sayang nak katakan” Ain tersenyum kecil.

“Satu hari, Ain akan menduduki UPSR. Selama ni Ain pergi sekolah dengan Abang. Naik basikal. Ain jadi cemburu bila nampak kawan-kawan Ain semuanya mak ayah yang hantar pergi sekolah. Jadi hari Ahad tu, sehari sebelum UPSR. Ain minta dekat Ibu dengan Ayah, Ain nak Ibu dengan Ayah yang hantar Ain pergi sekolah. Cukup untuk sehari saja”

“Mula-mula, Ibu dengan Ayah tolak. Ibu kata, Ibu kena gerak awal pagi. Ain tak peduli, Ain tetap nak Ibu dengan Ayah hantar. Ain berkurung dalam bilik. Tak nak makan, tak nak keluar, tak nak cakap dengan Ibu dengan Ayah. Sampailah Ain dengar Ayah kata. Adik, adik keluar, ya? Ibu dengan Ayah janji, kami hantar adik pergi sekolah esok. Terus Ain keluar, Ain peluk Ibu dengan Ayah. Menyesal Ain tak dengar cakap Abang. Abang kata, kenapa nak susahkan Ibu dengan Ayah, tak faham ke Ibu dengan Ayah kerja. Ain pekakkan telinga”

“Esoknya, kami gerak awal. Ibu dengan Ayah hantar Abang pergi sekolah dulu, barulah Ain. Waktu dalam perjalanan nak pergi sekolah Ain, Ibu tanya dekat Ain. Adik sayangkan Ibu dengan Ayah tak? Ain tak tahulah kenapa dengan bodohnya Ain boleh jawab, tak. Ain jawab tak, Hubby. Lepas tu, Ayah pula tanya, betul ni? Ain masih jawab tak. Apa yang Ibu dengan Ayah tanya dekat Ain sebelum kemalangan, sama macam apa yang Hubby tanya dekat Ain dan kebetulan Hubby pun kemalangan tapi alhamdulillah, Ain masih mampu tatap wajah Hubby sekarang”

“Ain turun dari kereta. Ain pandang muka Ibu, muka Ayah. Ayat terkahir yang Ain dengar dari mulut Ibu, buat elok-elok sayang. Jangan fikir nak banggakan Ibu dengan Ayah tapi banggakan diri Adik sendiri. Ayat terkahir yang Ain dengar dari mulut Ayah, Kami berdua sayangkan Adik, nanti kita jumpa ya?”

“Ain duduk dekat kerusi. Ain pandang kereta Ibu dengan Ayah bergerak perlahan-lahan tinggalkan sekolah. Sampai dekat satu selekoh tajam, Ain ingat. Ain nampak ada sebuah kereta dari arah bertentangan dekat depan kereta Ibu dengan Ayah. Ain nampak kereta Ayah mengelak. Malang tak berbau, Hubby. Jalan yang Ayah pergi kebetulan ada lori tengah lalu pada masa yang sama. Dengan sekelip mata, Hubby. Ain dah tak nampak mana kereta Ayah. Hilang, Hubby. Hilang”

“Ain lari. Ain pergi dekat kawasan tu, Ain tak terfikir sama ada bahaya atau tak. Yang Ain fikir, Ibu dengan Ayah. Sepanjang Ain nak pergi ke arah selekoh tu, Ain tanya diri Ain. Mana Ayah? Mana ibu? Ain sampai dekat selekoh tu, Ain nampak kereta Ayah hancur Hubby. Ain tak nampak mana ayah. Tiba-tiba Ain terdengar satu suara. Lemah. Lemah sangat”

“Adik, Adik, Adik. Ain cari suara tu, dekat bahagian semak, Ain nampak Ibu. Ain tak berani nak sentuh Ibu. Ain takut. Darah Ibu melekat dekat baju Ain memandangkan Ain cuba nak peluk Ibu tapi Ain terlalu takut. Cikgu Ain datang dekat Ain, tarik Ain. Jauhkan Ain dari Ibu. Waktu tu Ain mula nampak ada polis, ada bomba, ada ambulans. Ramai murid-murid yang tengok apa jadi. Cikgu Ain bawa Ain pergi tukar baju. Bila sampai hospital, Ain nampak Ayah terbaring, Ibu terbaring. Kronolgi kemalangan tu, sebenarnya betul tapi Ain sengaja kata dekat mak Long dengan Abang. Semua salah, tak ada yang betul. Macam mana Ain nak beritahu dekat Mak Long, dekat Abang yang sebenarnya semua tu betul? Macam mana Hubby? Sejak daripada tu, Ain tak bagi Mak Long atau sesiapa panggil Ain sebagai Adik sebab Ain takut”

“Setiap kali Ain mimpi Ibu dengan Ayah, perkataan yang Ain selalu dengar. Bukan salah Adik” Zaarif memeluk tubuh Ain. 

“Ain rindu, Hubby” Zaarif megusap lembut ubun-ubun isterinya.

“Ibu, Ayah, Adik pergi dulu. Assalamualaikum” Zaarif menggenggam tangan isterinya. Akhirnya Ain mampu menenangkan dirinya dan mengajak Zaarif untuk beransur pulang. Zaarif hanya menurut. 

Benarlah, Zaarif memang pernah mengunjungi kawasan ini dahulu. Ini bukanlah kali pertama dia menziarahi pusara kedua mentuanya. Pertama kali dia mngunjungi, dia datang bersama Syafiq. Dia ingin ‘bertemu' dengan kedua mentuanya untuk meminta ‘restu’ terlebih dahulku sebelum dia menikahi Ain.

Barulah Zaarif mengerti mengapa tiada senyuman yang menghiasi wajah isterinya. Ain tidak menyalahkan dirinya. Zaarif tidak mengetahui apa-apa sebelumnya. Cukup sekadar Ain sudi untuk berkongsi cerita dengannya, dia amat mensyukuri segalanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal