Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
52,790
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

 

Akhirnya, setelah dua hari dia menyertai kursus itu, dia mampu merasakan kebebasan. Di dalam kereta,Ain menyandarkan badannya sambil memejamkan matanya. Syafiq menoleh ke arah adiknya.

“Baru dua hari kursus, dah penat dah?” soal Syafiq, sengaja dia ingin menduga reaksi adiknya.

“Penat lah, Abang. Buat kerja Ain yang dari pagi sampai tengah malam pun tak penat macam ni” ujar Ain dalam keadaan matanya masih terpejam.

“Nak makan tak? Akak tak masak hari ni” soal Syafiq perlahan.

“Akak ikut sekali, ke?” soal Ain.

“Tak” jawab Syafiq sepatah. Ain mengangguk.

“Tak nak lah, Ain tak lapar” Syafiq hanya mengangkat bahu lalu memandu kereta terus menuju ke arah rumahnya. Ain mengeluarkan telefon pintarnya lalu mendail nombor Raida.

“Akak, Abang ajak Akak pergi makan dekat luar. Akak siaplah nanti Abang sampai” Ujar Ain selamba tanpa bertanya kepada abangnya terlebih dahulu. Panggilan telefon itu ditamatkan. Syafiq memandang wajah Ain dengan penuh tanda tanya.

Untuk apa adiknya melakukan hal sebegitu? Syafiq sendiri tidak dapat meneka jawapannya.

“Abang, dalam tahun ni dah berapa kali Abang ajak Ain makan dekat luar tanpa Akak. Ain juga perasan yang dalam tahun ni, Abang hanya pernah ajak Akak keluar makan dua kali sahaja” Syafiq tersentak. Benarkah apa yang dikatakan oleh Ain. Dia hanya mengangguk lalu terus memberi perhatian kepada pemanduannya. Ain memejamkan matanya semula.

‘Betul ke selama ni aku hanya pernah makan dekat luar dengan Raida dua kali?’ Syafiq menyoal dirinya sendiri di dalam hati. Dirinya diselubungi rasa bersalah terhadap isterinya. Dia menghembuskan nafas berat.

Ketika Ain turun dari kereta, dia terserempak dengan Raida bersama Fina. Raida tersenyum kepada Ain.

“Ain tak ikut?” soal Raida. Ain tersenyum.

“Akak, nikmati masa Akak sekeluarga ya? Ain naik dulu” Ain terus meninggalkan mereka dua beranak. Raida tersenyum.

‘Terima kasih, adik Akak’ Raida tersenyum lalu membuka pintu kereta dan memasukkan dirinya ke dalam kereta.

Ain membaringkan tubuhnya ke sofa ruang tamu dan tanpa sedar, matanya perlahan-lahan terpejam.

Pintu utama rumah dibuka dari luar. Syafiq yang mendukung anaknya segera melangkah masuk ke dalam rumah dan mencari kelibat adiknya. Baru sahaja dua langkah dia memasuki ke dalam rumah, wajah Ain yang sedang lena dibuai mimpi kelihatan olehnya. Syafiq menuju ke arah Ain lalu mengejutkan adiknya perlahan.

“Fiqah, bangun. Dah solat asar dah?” soal Syafiq lembut. Ain yang berada dalam keadaan separuh sedar hanya mengatakan bahawa dia sedang cuti. Syafiq mengangguk perlahan kepalanya.

“Jagakan Fina sekejap, dia demam ni. Abang dengan Akak ada urusan dekat luar sekejap. Nanti Abang balik Abang fikir nak bawa Fina pergi klinik” Ain membuka matanya lalu mengambil Fina daripada dukungan abangnya. Anak buahnya itu dibaringkan di atas tubuhnya lalu dipeluk lembut. Syafiq terus keluar semula dari rumahnya. Raida sedang menunggunya di dalam kereta dan tujuan dia pulang hanya ingin menghantar anaknya supaya dapat berehat terlebih dahulu.

Secara spontan, tangan Ain mendodoikan si kecil itu. Semakin lama, dia turut terlena bersama dengan Fina. Sungguh selesa keadaan Fina yang terlena di atas tubuh Ain. Sejak kecil lagi, Ain merupakan teman baik kepada Fina dan begitu juga Fina. Mereka berdua tidak mampu dipisahkan namun Ain sedar, dia akan menjaga batasnya kerana dia tidak ingin Fina lebih rapat dengan dirinya berbanding ibunya sendiri.

 

Ain memimpin tangan Fina di sebuah jalan raya yang sungguh luas. Tiada kereta melalui jalan itu. Ain mulai hairan. Jalan itu sungguh sunyi. Tiada sesiapa kelihatan di kawasan itu bahkan, seekor haiwan juga tidak kelihatan. Hanya angin yang lembut menemani mereka berdua. Fina yang dipimpinnya, sedang menangis dek kerana ketakutan. Ain merendahkan badannya lalu memujuk si kecil itu.

“Fina, Mak Su kan ada.Kita jalan depan sana, nanti kita jumpa dengan Ayah dengan ibu, ya?” tutur Ain lembut. Tangisan Fina mulai reda, Ain tersenyum. Mereka berdua kembali kepada jalan yang sunyi itu. Pada pandangan Ain dia sungguh kenal dengan jalan ini.Disinilah kawasan dirinya membesar bersama kedua ibu bapanya sebelum Syafiq membawa dirinya tinggal bersama Mak Long di Selangor. Dia kini berada di negeri Perak!

Ain mulai menoleh ke arah kawasan persekitarannya. Kelihatan jalan itu masih tidak berubah dan dia terasa seperti dia berada pada tahun sewaktu dia masih bersekolah rendah. Ain memajukan langkahnya dan diikuti dengan Fina. Dia cuba untuk menuju ke arah rumah lamanya untuk melihat apakah sebenarnya keadaan yang dilaluinya. Ain mulai melangkah dengan seribu harapan. Sampai di satu pintu gerbang di satu kawasan perumahan, Ain terhenti dan air matanya mulai bertakung di kelopak mata. Benar, kawasan itu masih sama seperti dahulu. Langsung tidak berubah. Jirannya yang telah pun meninggal dunia masih ada di dalam rumah itu malah, sedang menyiram pokok sambil melambai tangan ke arahnya. Ain membalas lambaian itu perlahan kerana dia masih tidak mengerti apa sebenarnya yang telah terjadi.

Sepanjang perjalanan, tiada satu pun makhluk Tuhan kelihatan namun di sebalik pintu gerbang ini, kelihatan suasan sungguh riuh seperti kenduri kahwin sedang diadakan. Ain berjalan masuk melangkah ke dalam pintu gerbang itu lalu mulai memerhati kawasan sekelilingnya. Sampai sahaja di satu rumah yang tidak asing baginya, kelihatan sebuah kereta Proton Iswara sedang terletak elok dihadapan rumah. Ain melangkah perlahan ke rumah itu. Fina yang tidak mengetahui apa-apa hanya mengikut langkah Ain.

Dia kini berdiri betul-betul dihadapan rumah lamanya. Kedengaran suara insan-insan yang dirinduinya. Air mata Ain mengalir perlahan.

“Ibu, Ayah” ujar Ain. Pintu yang tertutup itu diketuk perlahan oleh Ain.

“Sekejap, ya” ujar suara dari dalam rumah. Pintu rumah itu dibuka, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan yang ceria sedang tersenyum memandang ke arahnya.

“Ibu, ada kakak ni kat luar” kanak-kanak perempuan yang berada di hadapannya ini adalah dirinya sewaktu kecil. Ain dapat melihat kelibat Syafiq. Air matanya jatuh lagi. Pintu rumah ditutup sedikit oleh kanak-kanak itu. Dia tersenyum.

Pintu rumah itu dibuka semula. Kelihatan wajah Puan Wardah terjenggul di muka pintu bersama suaminya Encik Ain Nursyazwan di belakang isterinya. Air matanya mengalir dengan deras.Tanpa berfikir, tubuh kedua insan itu dipeluk olehnya dan pegangan tangan Fina dilepaskan.

“Ibu, Ayah, Adik rindu dengan Ibu, dengan Ayah” pelukan itu dileraikan perlahan oleh Puan Wardah. Ain memandang wajah kedua orang tuanya dengan penuh perasaan. Dia ingin menikmati saat itu memandangkan dia jarang bermimpi bertemu dengan kedua ibu bapanya. Puan Wardah mengusap lembut wajah Ain.

“Adik ni, siapa ya? Mak Cik tak pernah nampak pun” tutur Puan Wardah lembut. Jujur, di saat itu hati Ain remuk. Namun dia tetap menguntumkan senyuman.

“Saya rindu Ibu dengan Ayah saya Mak Cik. Boleh tak, saya nak peluk Mak Cik?” pinta Ain lembut sambil air matanya mengalir dengan sungguh deras.

“Boleh” balas Puan Wardah lembut. Puan Wardah mendepakan tangannya lalu memeluk Ain. Ain sempat memandang wajah ayahnya yang hanya memerhatikan mereka berdua. Ain hanya mampu memandang wajah ayahnya memandangkan pasti lelaki itu tidak akan membenarkan dirinya dipeluk.

“Adik minta maaf. Disebabkan Adik, Ibu dengan Ayah dah pergi dulu. Ini semua salah Adik. Kalaulah Adik tak buat macam tu waktu dulu, mesti Ibu dengan Ayah ada dengan Adik sekarang. Adik minta maaf, adik punca Ibu dengan Ayah pergi” secara spontan, Puan Wardah mengusap lembut kepala Ain.

“Adik, bukan salah Adik. Ibu dengan Ayah pergi kerana ketentuan Allah, sayang. Ibu tahu anak bongsu Ibu dengan Ayah ni dah nak kahwin sebab inilah adanya Ibu dengan Ayah dekat sini. Kami nak ucapkan tahniah dekat Adik. Ibu minta maaf sayang sebab Ibu pura-pura tak kenal Adik. Ibu cuma nak tengok reaksi Adik. Dah lama kan, Ibu tak gurau dengan Adik?”

“Ibu” Ain menangis lagi. Kali ini, ayahnya menghampiri mereka lalu memeluk tubuh Ain.

“Adik sayang Ibu dengan Ayah. Adik rindu” tiba-tiba, tangannya digenggam erat oleh seseorang. Ain menoleh. Keliha tan Zaarif berada di belakangnya yang turut memegang tangan Fna. Tangan Ain ditarik oleh Zaarif yang menunjukkan wajah yang sayu. Puan Wardah turut melepaskan pelukan. Kelihatan kedua ibu bapanya serta Syafiq yang masih kecil dan Ain yang masih kecil melambai ke arahnya. Ain menangis. Suaranya tidak mampu dikeluarkan hanya air mata yang mampu digantikan dengan kata-katanya. Sampai di satu sudut, Zaarif mengangkat wajah Ain lalu tersenyum.

“Fiqah” ain mulai hairan, tidak pernah lelaki itu memanggil dirinya dengan nama Fiqah.

“Fiqah” lelaki tu mengulang kata-katanya.

“Fiqah” Ain membuka matanya. Kelihatan Abangnya sedang berada di sebelahnya. Syafiq perlahan-lahan mengambil Fina yang masih terlena di atas tubuh Ain.

“Sayang, dah kebah lah” tutur Syafiq kepada Raida.

“Iya?” soal Raida semula lalu menuju ke arah suami serta anaknya. Tangan diletakkan pada kulit anaknya lalu tersenyum.

“Alhamdulillah, nak dengan Mak Su dia juga” Raida tersenyum. Fina dibawa supaya dapat meneruskan lenanya di dalam bilik. Ain bangun lalu duduk di atas sofa itu. Kelihatan Syafiq ingin mengikut langkah Raida namun, tangannya sempat dicapai oleh Ain. Saat itu, Syafiq memandang ke arah Ain dengan wajah yang risau.

“Fiqah” belum sempat Syafiq meneruskan kata-katanya, Ain telah pun mencelah terlebih dahulu.

“Abang, Fiqah nak peluk Abang” tanpa menunggu kata-kata Syafiq, tubuh Syafiq telah pun dipeluk. Syafiq terasa ada cecair hangat yang menitik pada bajunya. Pelukan Ain dibalas. Kepala Ain diusap lembut.

“Mimpi Ibu dengan Ayah, ya?” soal Syafiq yang dapat mengagak keadaan Ain. Ketika dahulu, setiap kali Ain bermimpi mengenai kedua ibu bapanya, pasti beginilah ragamnya. Tangisan Ain tidak kelihatan seperti akan berhenti.

“Adik pergi tempat Ibu dengan Ayah kemalangan. Ibu dengan Ayah peluk Adik” syafiq terkesima. Buat sekian lamanya setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia, ini adalah kali pertama Ain membahasakan dirinya adik.

“Ibu dengan Ayah pun rindu Adik. Abang tau. Sekarang ni, adik baring, berehat. Adik demam ni” Ain melepaskan pelukannya. Syafiq menghadiahkan senyuman buat adiknya dan memimpin perlahan tangan adiknya.

Raida melihat keadaan itu dari jauh. Air matanya mengalir perlahan. Sungguh dia dapat merasakan kerinduan seorang anak kepada kedua ibu bapanya yang telah lama pergi. Kini, barulah dia benar-benar mengerti mengapa suaminya lebih mengutamakan adiknya berbanding dengan dirinya.

Sedang dia melayani pemikirannya, entah dari mana suaminya tiba-tiba hadir di hadapannya.

“Sayang nangis?” Syafiq mengusap lembut wajah isterinya dengan ibu jarinya. Raida tersenyum lalu menggeleng.

“Sayang nak keluar sekejap beli makanan. Sayang solat maghrib dekat surau sekali, ya? Nanti saya belikan sayang Tom Yam.” Raida mengangguk lalu bersalaman dengan suaminya.

“Pergi dulu”

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal