Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
52,831
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

Ain meletakkan baju kerja Zaarif di atas katil. Semua kelengkapan yang diperlukan Zaarif, semua turut diletakkan di atas katil. Sejadah turut dibentangkan bagi memudahkan lelaki itu untuk solat. 

Ain keluar menuju ke arah dapur untuk menyediakan sarapan. Manakan mungkin dia akan membiarkan lelaki itu pergi mencari rezeki dalam keadaan kelaparan. Sungguh lincah Ain melakukan kerja di dapur. Pagi ini, Ain hanya menyediakan bihun goreng dan juga ayam yang telah dicarik-carik. Mengikut selera Ain, dia lebih gemar untuk meletakkan daging. Kehadiran Zaarif dalam hidupnya membuatkan hampir keseluruhan seleranya berubah. Hampir setiap hari mereka akan menjamah ayam sebagai lauk. Ain menggeleng kepala sambil tersenyum apabila teringatkan suaminya. 

Bihun diletakkan di dalam mangkuk besar. Dua biji pinggan berserta dengan garpu diambil dan diletakkan di atas meja. Ain turut membancuh air kopi panas sebagai minuman mereka pada pagi itu. Zaarif keluar dari bilik dengan pakaian kerja yang lengkap. Rambut lelaki itu turut disikat kebelakang. Menampakkan ketampanan serta dahi lelaki itu yang agak luas. Zaarif meletakkan beg miliknya di sofa ruang tamu dan terus menyertai Ain di meja makan.

Ain menghidangkan makanan untuk Zaarif. Zaarif tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Ain hanya membalas ucapan suaminya dengan senyuman. Mereka berdua mengangkat tangan untuk membacakan doa. Sempat Zaarif mengusap lembut ubun-ubun isterinya terlebih dahulu sebelum menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

Selesai menjamah sarapan, Zaarif terus mencapai beg di ruang tamu. Ain hanya membuntuti langkah Zaarif. Sampai di muka pintu, beg diserahkan kepada Ain. Zaarif menyarung kasutnya. Ain menggalas beg milik Zaarif. Zaarif menegakkan badannya. Terus sahaja baju Zaarif dicapai oleh Ain.

“Ni apa ni, bahagian atas tak butang” bebel Ain sambil membutangkan baju Zaarif. Zaarif menyoal dirinya sendiri. Tak perasan pula. Ain menyerahkan beg kepada lelaki itu. 

“Terima kasih, sayang” baru sahaja Zaarif berpaling, lelaki itu terus memalingkan wajahnya semula memandang Ain.

“Sayang”

“Ain sayangkan Hubby tak?” soal Zaarif. Pandangan lelaki itu redup, senyumannya sungguh manis. Ain mengerutkan dahi. Dia terfikirkan sesuatu. Ain tersenyum.

“Tak” jawab Ain dengan selamba. Zaarif memandang mata isterinya tajam namun bibirnya masih menguntumkan senyuman.

“Betul ni?” soal Zaarif dengan suara yang bernada bergurau.

“Betul” jawab Ain selamba. Ain yakin, Zaarif pasti tahu dirinya bergurau. Zaarif mengusap ubun-ubun isterinya.

“Hubby pergi dulu, Assalamualaikum” ucap Zaarif.

“Waalaikumussalam” jawab Ain lembut sambil bersalaman dengan Zaarif. Lelaki itu mulai memandu motosikalnya. Ain menutup pintu rumah.



Pintu rumah diketuk. Ain yang sedang menunggu kepulangan Zaarif di ruang tamu, melirik ke arah jam dinding terlebih dahulu sebelum berdiri untuk membuka pintu. Pukul enam, lambatnya balik. Bisik Ain dalam hati. 

Sangkaannya jauh meleset apabila dia membuka pintu, ternyata wajah Syafiq yang kelihatan. Bukannya Zaarif. Ain tersenyum melihat kehadiran abangnya.

“Abang, Abang sihat? Lama Fiqah tak jumpa Abang” Fiqah membuka pintu rumah luas. Syafiq hanya tersenyum hambar memandang wajah adiknya.

“Abang sihat, alhamdulillah”

“Fiqah, jom siap” tutur Syafiq dengan nada mendatar. Suaranya agak menggeletar.

“Siap? Nak pergi mana? Abang okey tak ni?” soal Ain apabila dia dapat mengesan getaran yang hadir pada suara abangnya.

“Abang okey, cepatlah siap” 

“Abang cakaplah dulu dengan Fiqah, kenapa ni? Lagipun Fiqah tengah tunggu Abang Zaarif. Selalunya waktu macam ni dia balik” Syafiq marik nafas berat.

“Zaarif kemalangan. Dia ada dekat hospital sekarang sebab tu Abang minta Fiqah siap, kita pergi sana” Ain terpaku. Zaarif kemalangan? Soalnya sendiri. Syafiq menggenggam tangan Fiqah.

“Fiqah siap sekarang, ya?” Ain tersedar daripada lamunannya. Ain mengangguk dan terus menuju ke arah bilik tidur mereka. sungguh, Ain masih tidak mampu menerima kata-kata abangnya. Ain mengunci rumah mereka dan masuk ke dalam kereta milik Syafiq. Kelihatan, Raida dan Fina turut hadir bersama.

“Mak Su!” jerit Fina riang dan terus mendapati Ain yang berada di kerusi penumpang. Ain membalas pelukan Fina.

“Fina, jangan kacau Mak Su” tegur Raida. 

“Tak apa, Kak. Biar saja Fina dengan Fiqah” tutur Ain tenang. Tiada getaran pada suaranya. Syafiq turut melihat adiknya melalui cermin pandang belakang. Tiada kerisauan, tiada kesedihan, tiada ketakutan yang dapat dilihat pada wajah itu. 

Sampai sahaja di hospital, Ain mendukung Fina dan berjalan beriringan dengan kakak iparnya. Mereka berdua membuntuti langkah Syafiq. Sampai di satu wad, Syafiq terus berjalan, mencari katil yang menempatkan Zaarif. Langkah Syafiq terhenti. Lelaki itu menoleh ke belakang, memandang Ain. Fina diambil dari pangkuan Ain. Ain mampu melihat, seorang lelaki yang amat dikenalinya terbaring kaku. Matanya tertutup rapat. Tanpa bersuara, Ain terus berjalan perlahan-lahan mendekati katil lelaki itu. 

Wajah lelaki itu pucat. Bibir lelaki itu kering. Mata lelaki itu terpejam rapat. Ain mencari dada lelaki itu, kelihatan lelaki itu masih bernafas. Ain memejamkan matanya, kedua tapak tangannya meraup wajah. 

“Alhamdulillah” Syafiq menghampiri Ain.

“Doktor kata, Zaarif tak ada kecederaan yang serius pun. Cuma sekarang, dia tengah tidur sebab sakit sangat tadi. Kaki kiri dia terseliuh, badan dia banyak kesan calar dan tangan kanan dia luka. Kalau tak ada apa-apa, insha-Allah esok Zaarif dah boleh keluar” tutur Syafiq tanpa dipinta.

“Macam mana Abang tahu, Abang Zaarif kemalangan?” soal Ain tanpa memandang wajah abangnya.

“Kawan Abang telefon, kenalan Zaarif dekat tempat kerja” Ain mengangguk perlahan kepalanya. Syafiq meletakkan beg galas di sebelah kerusi Ain.

“Dalam beg tu, ada sejadah dan telekung. Abang ada letak duit sekali dalam tu, mana tahu Fiqah perlukan. Kalau boleh keluar esok, Fiqah telefon Abang nanti Abang ambil” Ain mengangguk.

“Terima kasih, Abang” Ain menghantar Syafiq dan Raida menuju ke arah kereta mereka. Malam ini, dia akan menemani Zaarif. Hanya dia seorang. Kelihatan Fina melambainya dari dalam kereta. Ain turut membalas lambaian anak saudaranya dengan penuh girang. Ain berjalan perlahan-lahan menuju ke arah katil yang menempatkan Zaarif.

Buat masa ni, hanya satu soalan yang sering diasak oleh dirinya sendiri. Hubby takkan tinggalkan Ain, kan?

Ain duduk di sebelah kiri Zaarif. Dia hanya merenung wajah suaminya. Hendak membaca Al-Quran? Dia masih lagi tidak mahir mengaji malah, dia masih belajar iqra’ bersama Zaarif. Ain membuka telefonnya. Dia membuka surah Al-Fatihah memandangkan hanya itu sahaja surah yang diketahuinya. Ain meletakkan kepalanya bersebelahan dengan Zaarif. Mengalir air matanya namun hanya sekali itu. Ain memejamkan matanya dan terus terlena di sisi Zaarif.


Zaarif membuka matanya. Dia memandang ke arah siling dan bahagian kanannya. Keadaan masih sama seperti awal tadi. Ketika dia masih sedar. Ketika Zaarif ingin memalingkan kepalanya ke sebelah kiri, dia terasa ada sesuatu di bahagian kepalanya. Zaarif menggerakkan kepalanya ke sebelah kanan sebelum dia menoleh ke sebelah kiri. Ain. Seseorang yang sedang berada di fikirannya. Zaarif tersenyum kecil. Dia melentokkan kepalanya pada kepala isterinya. Hangat. Sungguh hangat. 

Dengan kesakitan yang dialami, Zaarif memejamkan matanya dan tertidur sekali lagi namun kali ini dia berbaring di sebelah isterinya. Insan yang merupakan anugerah daripada Tuhan buatnya. Di mana dia mampu mencari anugerah seindah ini? Apakah mungkin wanita ini mempunyai pengganti? Tidak, mustahil ada melainkan Tuhannya.

Zaarif membuka matanya buat kali kedua. Tanpa diduga, dia terbatuk kecil namun mampu membuatkan Ain terjaga. Ain menegakkan badannya. Matanya kini tepat memandang wajah Zaarif yang turut memandang ke arahnya. 

“Assalamualaikum, hai sayang” ucap Zaarif sambil tersenyum memandang wajah Ain.

“Waalaikumussalam, hai” Ain membalas ucapan Zaarif namun tidak senyuman. Dia cuba untuk menguntumkan senyuman namun, terasa senyuman itu sungguh hambar.

“Dah lama sayang dekat sini?” soal Zaarif prihatin. Ain mengangguk.

“Hubby dah lama bangun?” soal Ain tanpa senyuman di wajahnya namun, nada suara isterinya masih bernada seperti kebiasaannya.

“Dah” Zaarif mengangguk sambil tersenyum.

“Hubby nak air?” soal Ain. Zaarif hanya mengangguk sambil tersenyum. Ain menuangkan air yang dibeli olehnya tadi ke dalam gelas. Dengan penuh kelembutan, Ain membantu Zaarif untuk meneguk air.

“Alhamdulillah” Zaarif kembali berbaring.

“Sakit macam mula-mula, tak?” Zaarif menggeleng.

“Tak sangat dah, Hubby rasa kalau nak jalan ni boleh dah. Cuma kena pegang apa yang patut” Ain mengangguk.

“Sayang”

“Hubby lapar” Zaarif menunjukkan mimik muka manja seperti kanak-kanak tadika yang inginkan gula-gula.

“Ain pergi belikan makanan untuk Hubby sekejap, ya?” Ain segera berdiri. Dia mencapai duit yang diberikan oleh Syafiq yang telah diletakkan di dalam beg galas. Tangan Ain kiri dicapai.

“Sayang, janganlah tinggalkan Hubby” mimik muka Zaarif bertukar kepada mimik muka sedih. Tangan kanan Ain memegang tangan Zaarif. Masih tiada senyuman manis yang menghiasi wajah wanita itu.

“Hubby, Ain nak beli makanan untuk Hubby. Hubby kata tadi Hubby lapar, kan? Ain pergi sekejap saja, ya?” Ain cuba memujuk Zaarif.

“Iyalah, tapi jangan lama. Janji?” Zaarif menghulurkan jari kelingkingnya. Ain cuba menguntumkan senyuman namun masih hambar. Ain menyambut huluran janji kelingkinbg Zaarif.

“Insha-Allah dan janji” jari mereka terlerai. Ain meninggalkan Zaarif di katilnya. Zaarif hanya memerhati pergerakan Ain sehingga isterinya hilang daripada pandangan.

“Aku ada buat salah ke? Ni bukan Ain yang Aku kenal selama ni” Zaarif dapat mengesan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada isterinya. Zaarif yakin, jika dia bertanya pasti jawapannya akan mengatakan bahawa tiada apa. Zaarif menghembuskan nafas berat.

‘Ya Allah tenangkanlah hati isteriku. Permudahkanlah urusan kami, Ya Allah. Sesungguhnya hanya engkau yang mampu mengubati’ 

Ain kembali bersama bungkusan plastik ditangannya. Ain menuju ke arah hujung katil. Zaarif hanya memerhati gerak geri isterinya. Kelihatan Ain seperti sedang memutarkan sesuatu. Tanpa sedar, katil di bahagian kepalanya mulai meninggi.

“Sakit tak?” soal Ain. Zaarif melihat keadaanya. Wah! Perak. Zaarif tersenyum memandang Ain sambil menaikkan ibu jarinya.

Comel! Bisik Ain dalam hati namun entah kenapa bibirnya tidak mampu mengutumkan senyuman,

“Nak tinggi lagi tak?” soal Ain.

“Sikit lagi” Ain akur. ain kembali memutarkan besi yang diletkkan di hujung katil dan terus menuju ke arah kiri Zaarif.

“Ain beli bubur daging” tutur Ain. Jelas kelihatan kekecewaan pada wajah Zaarif. Ain melihat wajah suaminya melalui hujung matanya. 

Comelnya lah laki aku ni! 

“Ain beli juga sup ayam” terus wajah Zaarif tampak bersinar. Bibir lelaki itu menguntumkan senyuman.

“Sayang suap, boleh?” Ain mengangkat wajahnya memandang Zaarif. Senyuman hambar dihadiahkan.

“Boleh” 

Di sekeliling mereka, ada pesakit lelaki yang dijaga oleh ibu, isteri, adik juga kawan. Dengan mudah, Ain mampu untuk bermesra dengan seorang mak cik yang berada di katil sebelah. Mak cik itu sedang menjaga anaknya yang turut terluka di tapak permbinaan. Ain hanya mengangguk serta menyuntuk sedikit semangat buat mak cik itu biarpun dirinya tidak lah mempunyai semangat yang tinggi.

“Sayang dah solat?” soal Zaarif. Ain yang sedang mengemaskan bekas makanan Zaarif hanya membalas tanpa memandang wajah suaminya. 

“Dah, Ain solat isyak sekali” jawab Ain dengan nada mendatar.

“Hubby nak solat” Ain memandang wajah Zaarif. 

“Sekejap, eh” Ain membuang bekas makanan plastik ke dalam tong kitar semula dan terus menyeluk ke dalam beg yang diberikan oleh Syafiq. Ain mengeluarkan botol semburan yang berisi air mutlak dan juga sebekas debu tayamum. Botol semburan dan juga debu tayamum itu diberikan oleh Mak Cik Seha, mak cik yang berada di katil sebelah. Mak Cik Seha yakin bahawa Ain tidak melakukan apa-apa persediaan. Jadi dia hanya memberikan alat-alat itu memandangkan dia telah menyediakan lebihan.

“Hubby kena ambil wuduk guna ni, ke? Tak boleh Hubby pergi bilik air?” soal Zaarif. Dia mulai berasa kurang selesa.

“Kalau Hubby kuat, silalah jalan. Bila Hubby dah ambil wuduk nanti Ain tak boleh papah” Zaarif mulai dilema.

“Hubby pergi bilik air lah” Ain mulai menutup langsir di kawasan katil. Dia tidak mahu Zaarif mendapat malu memandangkan Ain tahu, kaki Zaarif serta tenaga lelaki itu masih belum bersedia untuk itu. Zaarif cuba berdiri tanpa dipegang oleh Ain namun, hanya kaki kananya yang mampu berpijak nyata. Zaarif kembali terduduk.

“Iyalah, Hubby guna penyembur dengan debu saja” Zaarif mengalah. Ain membentangkan kain bersih untuk meletakkan debu tayamum. Ain hanya memerhati tingkah laku Zaarif. 

“Ni, cara kalau nak ambil wuduk tapi tangan dengan kaki berbalut” tutur Zaarif sebelum dia berniat untuk mengambil wuduk. Ain memerhati dengan penuh teliti. Banyak yang dipelajari olehnya pada hari ini. Ketika Zaarif menunaikan solat, Ain hanya duduk di sebelah lelaki itu. Matanya memandang setiap pergerakan Zaarif namun, fikirannya melayang entah ke mana.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal