Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
52,656
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Syafiq melihat ke arah jam dinding yang ada di ruang tamu. Dia segera menuju ke arah bilik tidur adiknya kemudian mengetuk perlahan permukaan pintu. Selepas ketukan pertama, masih tiada tindak balas daripada gadis itu. Ketukan kedua dibuat.

Pintu mulai dibuka perlahan. Kelihatan Ain dalam keadaan yang mamai dengan rambut yang tidak terurus serta mata yang terpejam. Syafiq mencekak pinggang apabila melihat keadaan Ain.

“Fiqah, pergi mandi. Lepas itu, bersiap pakai baju kurung dengan tudung. Cepat sikit” tutur Syafiq dengan nada yang mendatar.

“Apa Abang ni? Pagi-pagi dah suruh siap. Nak pergi mana?” soal Ain sambil menggaru pipinya perlahan.

“Kursus Kahwin lah, Fiqah lupa ke?” soal Syafiq hairan. Ain membuka luas matanya lalu melihat ke arah jam dinding. Tualanya segera dicapai.

“Abang ni, kejut lah awal sikit” ujar Ain di dalam bilik air dengan nada yang marah. Dahi Syafiq berkerut.

“Salah aku?” Syafiq menyoal kepada dirinya sendiri. Syafiq terlihat isterinya yang sedang memasak dan segera menghampiri wanita yang dicintainya. Tubuh Raida dipeluk dari belakang. Raida yang dapat mengagak gerangan yang memeluk tubuhnya, hanya membiarkan.

“Buat apa?” soal Syafiq perlahan.

“Sarapan lah, sayang” jawab Raida perlahan.

“Anak kita mana?” soal Syafiq lagi.

“Ada tu, tengah tidur dalam bilik”

“Wanginya, isteri siapalah ni ya? Kalau saya dapat genggam, tak lepas pegangan dia” seloroh Syafiq kemudian perlahan-lahan melepaskan pelukannya dan berlalu. Raida tersenyum. Bukan selalu suaminya i ngin bermanja dengannya. Raida berjanji kepada dirinya akan menyematkan kenangan ini di dalam hatinya.

“Cepatlah, lambat” Syafiq berkata kepada Ain dengan nada yang mendatar. Tidak pernah dia meninggikan suara terhadap adiknya memandangkan bukan itu cara arwah kedua ibu bapanya mendidik mereka dahulu.

Ain menjeling Syafiq. Dia membetulkan tudungnya supaya tampak lebih kemas. Dia menyemburkan sedikit minyak wangi pada pergelangan tangannya lalu segera mendekati abangnya yang sedang duduk di sofa ruang tamu.

“Dah siap” Syafiq memandang ke arah Ain dan terus mengangkat punggung.

“Sayang, saya pergi dulu” jerit Syafiq dengan kekuatan suara yang dikawal.

“Baik” sambut Raida dari dalam bilik. Mereka berdua berjalan menuju ke arah kereta yang diparkirkan ditempat yang disediakan. Tanpa banyak ragam, mereka berdua terus bertolak ke arah destinasi yang ditetapkan. Setelah beberapa kali ditangguh, akhirnya mereka menjumpai tarikh yang sesuai. Syafiq menyinggah di kedai runcit terlebih dahulu. Dua roti Delicia Butterscoth serta sebotol air mineral juga beberapa biji gula-gula diserahkan kepada Ain. Ain menerima sambutan abangnya dengan penuh senyuman. Syafiq telah pun meminta Ain supaya membawa sebuah buku serta pen, Salinan IC serta kad pengenalan.

Sebagai seorang yang berpengalaman, dia tidak mahu adiknya tertinggal sesuatu yang penting serta dia mengharapkan majlis itu berjalan dengan lancar buat adiknya. Kereta diberhentikan di kawasan yang berdekatan dengan masjid memandangkan kursus itu dijalankan di masjid. Ain segera bersalaman dengan Syafiq.

“Nanti Abang ambil, ya” pesan Syafiq kepada adiknya. Ain hanya mengangguk lalu tersenyum. Ain segera keluar lalu menutup pintu kereta. Sedang dia mendaki tangga menuju ke dalam masjid itu, dia terserempak dengan seseorang yang bakal menjadi imam kepadanya. Ain hanya memandang wajah lelaki itu sekilas. Manakala lelaki itu terpegun seketika dengan keayuan wanita itu apabila mengenakan hijab pada dirinya. Lelaki itu turut mengikut langkah Ain yang telah pun maju ke hadapan.

Sedang Ain berjalan dengan kelajuan yang serdehana, dia berhenti secara tiba-tiba. Mujur Zaarif pada ketika itu berada pada jarak yang agak jauh dengan Ain, membuatkan dirinya sempat untuk berhenti tanpa bertembung dengan gadis itu. Ain mencari sesuatu di dalam beg yang dibawanya lalu menyerahkan sebuku roti kepada Zaarif. Zaarif yang agak terpinga-pinga hanya menyambut huluran Ain.

“Abang beli dua, ustaz ambillah satu” tutur Ain dalam nada yang mendatar. Ain terus menoleh dan berlalu tanpa menunggu kata-kata daripada Zaarif. Sekali lagi, Zaarif mengikut langkah Ain.

Ain menunggu kehadiran Syafiq sambil duduk di sebuah bangku yang telah disediakan bagi orang awam.

“Assalamualaikum” sapa seseorang. Ain menoleh memandang wajah insan itu. Ain menoleh semula memandang ke arah telefon pintarnya.

“Amboi, sombongnya. Kalau sibuk sekalipun, jawablah salam saya. Berdosa bagi seorang muslim tidak menjawab salam” tutur insan itu selamba. Ain menjeling ke arah lelaki itu.

“Waalaikumsalam” jawab Ain tanpa memandang ke arah wajah insan itu. Insan itu tersenyum.

“Buat apa tu?” soal insan itu ingin bermesra.

“Saya tengah masak dekat tepi jalan ni” ujar Ain. Insan itu menguntumkan senyuman, cuba untuk menahan tawanya.

“Oh, masak. Masakkan untuk saya sekali boleh?” sengaja insan itu mahu bergurau dengan Ain. Sebaik sahaja kata-kata insan itu menyapa halwa pendengaran Ain, dia segera menoleh memandang lelaki itu.

“Ustaz, saya loyar buruklah tadi” Ain mula terasa sakit hati dengan kata-kata ustaz itu.

“Ya, saya tahu. Apa salahnya kalau saya ikut awak sekali, kan?” Zaarif tersenyum ikhlas sambil memandang Ain yang turut memandang wajahnya. Ain menoleh memandang jalan raya semula.

“Kenapa ustaz tak balik rumah lagi?” soal Ain. Tanpa sedar, dia prihatin kepada keadaan Zaarif.

“Saya teman awak sementara tunggu Abang awak sampai. Manalah tau kalau ada sesiapa yang cuba nak kacau awak, kan?” Ain memandang wajah Zaarif sekilas dan menoleh semula ke arah telefon pintarnya.

“Ikut uztaz lah” lima minit kemudian, kereta Syafiq kelihatan. Ain mulai berdiri dan menghampiri kereta Syafiq. Syafiq mulai melangkah keluar dari perut kereta. Sangka Ain abangnya akan menuju ke arahnya, Ain menghulurkan tangan namun Abangnya terus menuju ke arah Zaarif tanpa memandang dirinya. Ain kaku dengan keadaan tangannya dihulurkan. Dia menoleh perlahan ke arah mereka berdua dalam keadaan tangannya masih dihulurkan. Ain mengerutkan wajahnya dan segera menjatuhkan tangannya.

 Dia berjalan laju menuju ke arah kereta dan bercadang untuk menghempas pintu kereta abangnya untuk menunjukkan tanda protes. Apabila dia memegang sahaja tempat pembuka pintu kereta itu, dia cuba membuka dengan kasar namun pintu kereta di kunci. Wajah Ain berkerut buat kali kedua.

“Abang! Buka pintu ni, panas” tutur Ain dengan suara yang agak kuat. Mereka berdua yang agak terkejut dengan tindakan Ain hanya memandang sesama sendiri.

“Abang!” jerit Ain sekali lagi. Syafiq mula menekan punat penggera kereta saganya. Ain segera membuka pintu lalu masuk ke dalam perut kereta. Seperti yang telah dirancang olehnya, Ain menutup pintu kereta itu dengan menghempasnya. Hempasan itu agak kuat sehingga Syafiq terasa ingin mengalirkan air mata apabila satu-satunya kereta yang dimilik dihempas sebegitu rupa. Ain kelihatan sedang memeluk tubuh sambil memandang tepat ke arah wajah abangnya.

“Aku rasa baik kau pergi, Fiq” bisik Zaarif.

“Aku pun rasa macam itu juga, aku pergi dululah ya” tanpa bersalaman Syafiq terus menuju ke arah keretanya. Zaarif hanya melihat kereta sahabatnya meninggalakan kawasan perkarangan masjid itu. Dia mulai tertawa kecil sambil berjalan menuju ke arah keretanya.

Sejujurnya, Zaarif dapat melihat keadaan Ain yang tidak dipandang oleh Syafiq serta Ain yang cuba membuka pintu namun dikunci. Disebabkan oleh itulah dia mengerti punca sebenar Ain berasa marah atau tidak puas hati.

“Comel”

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal