Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Nino Si Pungguk
6/8/2022 16:47:28
14,199
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 31

Senarai

Mata bertentang mata. Terkelu tak berkata. Saya terbeliak dan dia pula terlopong. Apakah ini pertemuan sudah tertulis da;am suratan takdir? Hanya tuhan sahaja yang tahu.

"Inas? Macam mana kau boleh ada dekat sini? Kau kata kau balik kampung?" soal Rafie kehairanan. 

"Urrm... kampung saya memang dekat sini," jawab saya.

Jejaka ini makin tergamam. "Jap! Jap! Jap eh... bagi aku proses jap." Rafie memicit-micit pelipisnya dengan mata terutup rapat. Dia usap mukanya berkali-kali, seolah-olah tidak mempercayai sayalah yang berada dihadapannya sekarang.

"Maaf. Aku rasa macam tak percaya. Kau-"

"Eh, Inas!" Muncul seorang lelaki lalu berdiri di sebelah Rafie.

"Ehhh! Yusri? Awak pun ada sekali?"

Kak Iman yang berdiri di sebelah mula mengerut dahi. Kerana musykil, dia pun berbisik di telinga saya. "Wei, kawan kamu ke?"

"Ha'ah akak. Diorang nilah kawan sekelas Inas. Perkenalkan yang baju biru ni Rafie dan yang sorang lagi tu Yusri," terang saya dengan tangan ditujukan kepada dua orang lelaki ini.

"Oh. Selamat berkenalan ya," ucap Kak Iman.

Ucapan Kak Iman itu disambut baik oleh Rafie dan Yusri. Sejurus memperkenalkan diri, Rafie mula menghampiri saya kerana mahukan penjelasan.

"Okey, sekarang aku nak cuba fahamkan. Kampung kau dekat sini ke?"

"Ha'ah. Nenek saya tinggal dekat Sungai Rokam."

"Oh, ya ke. Aku dekat Rapat Jaya yang belakang Medan Gopeng tu."

"Laaahh... Dekat rupanya. Tak ada lah jauh sangat."

Melihat saya dan Rafie begitu rancak berbual, Kak Iman datang mencelah perbualan kami.

"Ehem! Maaf ya ganggu perbualan kamu berdua. Inas kita ada banyak lagi bahan yang nak kena beli. Cuba kamu tengok ni, senarai ni banyak sangatlah," kata kak sambil menunjukkan senarai bahan makanan. Jujurnya saya terlupa tujuan asal kami ke pasar ini.

"Alamak! Inas baru teringat."

Terlopong Yusri saat melihat senarai yang dipegang kakak. "Mak ai! Panjangnya list korang ni? Korang nak buat kenduri ke?"

Saya tersengih senget. "Nak buat macam mana Yus. Keluarga saya dekat kampung ni agak besar juga. Kena beli banyak-banyak."

"Tapi tu banyak sangat tu. Nak aku tolong sekali? Bolehlah aku kurangkan sikit beban korang ni?" Rafie menawar diri.

Yusri membuat wajah sinis. "Wuuu! Hero sudah mari." Katanya lagi sambil menepuk-nepuk lengan Rafie.

"Diamlah kau. Kau nak join ke tak? Kalau tak, kau kena tunggu aku lah," bentak Rafie. Bahu kawannya itu ditumbuk.

"Alah, Rafie. Mestilah aku join. Takkan lah aku biar je," jawabnya sambil mengusap bekas tumbukan.

"Eh, tak apa ke? Tak menyusahkan ke?" Saya meminta kepastian. Mana tahu kalau mereka hanya bergurau.

"Kitaorang okey je. Barang aku pun dah dibeli. Jadi... aku free sekarang. Lagipun, kalau aku bantu sama, mesti lagi cepat. Betul tak, Yush?"

"Yup! Jangan risaulah Inas, kami berdua boleh je tolong," kata Yusri sambil menyambung semula memakan cempedak goreng yang dibelinya.

"Oh ya, Rafie. Ni kuih apa ni? Sedap la," tanya dia sambil menunjukkan cempedak goreng itu.

Kami bertiga membuat memandang sesama kami. Lalu pandangan itu beralih kembali kepada Yusri. Biar betul, apakah dia tidak tahu cempedak goreng?

"Seriuslah kau? Ni kan cempedak goreng, takkan lah kau tak pernah makan?"

Muka Yusri berubah sememeh. "Eh! Cempedak goreng? Seriuslah? Cempedak pun boleh kena goreng ke?"

"Adoi, budak ni! Cempedak kalau nak makan memang kena goreng bang," omel jejaka berambut ikal ini.

Kak Iman tidak dapat menahan ketawa. Lantas tawaannya dilepaskan. "Inas kawan kau ni memang kelakar lah," bisiknya kepada saya.

"Nampaknya macam tu lah akak."

Sejurus mendengar jawapan saya itu, Kak Iman menepuk tangannya. "Okey, kalau korang berdua nak tolong, apa kata kita bahagikan senarai ni," cadangnya. Tanpa banyak bicara Rafie dan Yusri bersetuju.

*****************************

Tangan yang menggeletar dibukukan. Saya menunduk, malu dengan situasi sekarang. Saya benci kakak. Sungguh saya bencikan dia.

"Kau okey, Inas?" Suara lembut Rafie menyinggah halwa telinga.

Ya, Rafie. Dialah yang berjalan dengan saya sekarang ini. Semuanya gara-gara Kak Iman.

Sejurus itu saya memandangnya. Walau resah saya cuba mengulum senyuman.

"Saya okey je. Awak jangan risau." Rafie mengangguk faham. Perjalanan kami berdua diteruskan. Semuanya demi untuk mencari bahan makanan yang masih belum dibeli.

Sebenarnya saya selesa dengan Rafie. Cuma ada rasa sedikit gementar sebab ia berlaku secara mengejut. Entah mengapa Kak Iman memasangkan saya dengan Rafie. Walhal, kakak tahu yang saya takut akan lelaki.

Apa yang menghairankan lagi, saya langsung tidak pernah bercerita mengenai Rafie kepadanya, apatah lagi menyebut namanya. Ia seolah-olah kakak mengerti bahawa saya selesa apabila bersama dengan Rafie.

"Dup! Dap! Dup! Dap!"

Jantung berdegup kencang. Tidaklah saya mengerti mengapa jantung saya begini, sedangkan saya sangat selesa bersama dengannya.

Akibat curiga saya menjeling Rafie. Matanya kusyuk melihat senarai bahan makanan yang tertulis pada kertas. Secara kebetulan jejaka itu membuka bicara.

"Apa kata kita mulakan dengan order ayam dahulu? Sementara menunggu ayam tu disembelih, kita cari bahan yang lain," cadangnya.

Oh ya, lupa hendak beritahu. Di pasar ini, ayamnya bukan siap disembelih seperti pasar-pasar yang lain. Mereka sembelih ayam hidup secara langsung. Ya, ayam itu disembelih di depan mata kami. Dan ini bermaksud ayam yang bakal dibeli cukup segar untuk dimakan.

"Boleh juga. Nanti tak payah nak beratur panjang." Cadangan itu dipersetujui saya.

Kami berdua pun mulakan langkah menuju ke kedai yang menjual ayam untuk membuat pesanan . Sementara menunggu ayam itu disembelih, kami menuju ke arah reruai yang menjual ikan.

Sewaktu berjalan, wajah Rafie sememangnya tidak lekang dengan senyuman. Berbeza dengan personalitinya di sekolah.

"Kenapa awak senyum je, Rafie?"

"Eh? Errr... tak ada apa. Cuma... aku tak sangka kampung kau dekat Ipoh juga."

"Ooohh... itulah tu. Saya pun sebenarnya terkejut juga."

"Jadi, awak selalu balik sini?"

"Selalu juga. Sebab ni kampung ibu saya. Kalau kampung ayah kami dah lama tak pulang sebab Nek Mah dah tinggal dengan kami. Ayah saya ni anak tunggal, itu sebab kami jarang pulang ke kampungnya. Lagipun dekat sana bukannya ada sesiapa lagi," cerita saya lagi.

"Oooh... patutlah. Tapi tulah, tak sangka kan kita terjumpa dekat pasar ni."

"Kan. Saya pun tak pernah terfikir kampung awak pun dekat sini juga. Lagipun, kita tak pernah bincang fasal kampung masing-masing."

"Hahaha... Itulah tu." Kami berdua mula tertawa mesra.

"Tapi saya lagi terkejut yang Yusri ada sekali. Awak yang ajak dia ke?" tanya saya. Sungguh saya hairan tentang itu. Dia tak ada kampung ke untuk balik?

Rafie melepaskan nafas berat. "Huh, dia ke. Panjang ceritanya."

"Kalau macam tu pendekkan lah." Sengaja saya bergurau. Jejaka ini hampir ketawa.

"Untuk kau semua boleh. Ceritanya, Si Yush dapat tahu yang aku nak balik ke kampung. Dia pun apa lagi cepat-cepat mesej aku sebab nak ikut. Mulanya aku tolak, malangnya dia pergi merayu dekat ayah aku dengan muka tak malu dia tu. Apa boleh buat, ayah pun setuju je lah," terang Rafie sebelum mengeluh kecil.

"Boleh tahan juga perangai Yusri ni ya."

"Kan!" sokong Rafie meleret.

"Tapi Inas, sebelum kitaorang nak bertolak. Ada perkara kelakar berlaku tau," tambah Rafie.

"Apa dia?"

"Sebelum bertolak, Yush datang dengan bawa beg besar tau. Dia bawa beg camping, dalam tu penuh dengan baju. Katanya sebab dia nak main lumpur. Rupa-rupanya dia ingat kampung aku ni ada sawah padi. Itulah sebab dia bawa baju lebih."

Hampir tersembur saya mendengarnya. Nasib mulut ini sempat ditahan dengan telapak tangan.

"Hahaha! Macam dia boleh fikir macam tu?"

"Tak logik dek akal, kan?" Rafie dan saya mula melepaskan tawaan serentak. Ia kelakar. Macam dalam drama TV.

"Tapi bila fikir balik, bagus juga Yush ikut aku. Barulah tak sunyi dekat kampung ni." Rafie menoleh wajah saya.

"Inas, aku rasa... aku makin selesa berkawan dengan dia dan aku patut berterima kasih dekat kau sebab tolong aku. Aku gembira yang dia kawan aku." Ucapan itu sangatlah lembut. Ia kedengaran ikhlas. Sejuk hati saya mendengarnya. Rasa seperti dihargai.

"Sama-sama. Awak pun apa kurangnya. Tengoklah saya sekarang. Dah mampu nak ke pasar sorang-sorang. Jadi... saya pun nak ucap terima kasih," ucap saya. Jelas ucapan itu menggembirakan jejaka bertubuh kurus ini.

"Gembira aku mendengarnya." Tangan Rafie sudah mula mengusap belakang kepala. Bahkan kami juga tidak mampu melihat wajah masing-masing. Situasi berubah janggal. Ia berlarutan sehinggalah kami selesai membeli barangan.

*****************************

Apabila segala senarai telah dibeli, saya dan Rafie mengambil keputusan untuk menunggu Kak Iman dan Yusri di hadapan pintu pagar pasar.

"Sini kan, tempat yang kakak kau suruh tunggu tadi?"

"Ha'ah." Ringkas saya membalas.

Sementara menunggu, saya membuka skrin telefon.

'Oh, sudah hampir zohor rupanya,' gumam saya di dalam hati.

"Urrmm... Inas, aku nak tanya kau sesuatu boleh?" Tanpa disangka Rafie membuka mulut.

"Boleh je. Apa dia?" Telefon bimbit kembali disimpan ke dalam tas tangan.

"Bila kau pulang ke bandar?" soal Rafie.

"Tak pasti lagi. Biasanya kalau ayah tak ada hal dekat tempat kerja, mungkin lamalah dekat kampung ni. Ikutkan kami cuti seminggu je," terang saya.

"Ya ke." Jari-jemari Rafie mula bermain-main dengan rambutnya. Pelik, kelakuannya pada hari ini nampak berbeza.

Dia seperti... kekok.

"Hmm... Kalau macam tu... errm... kau free tak esok?" Pertanyaannya itu mengejutkan saya.

"Eh! FreeFree untuk apa?"

"Untuk keluar? Yalah sebab... aku ingat nak... urmm... bersembang dengan kau lagi. Aku rasa... tak puas." Mata jejaka itu beralih ke sekelilingnya.

"Oh, tuhan! Apa yang dia cuba katakan tadi? Dia ajak saya keluar? Adakah dia sukakan saya?' Muncullah pelbagai anasir di kepala ini. Macam tahu-tahu sahaja Rafie ini. Saya pun rasa tak puas untuk bersembang dengannya.

Akan tetapi, ada beberapa masalah sebenarnya. Sebagai seorang anak dara kepada pasangan suami isteri, sudah semestinya permintaan itu perlu ditolak. Hendak buat macam mana, keluarga saya agak tegas dalam hal ini.

"Maaf Rafie, sebenarnya saya bukan tak nak. Yapi... saya takut keluarga saya tak bagi saya keluar nanti."

Raut kecewa mula terpancar pada wajahnya.

"Ya ke. Mestilah kan. Aku tak terfikir pula tentang tu. Tak mengapalah, aku faham." Wajah Rafie tertunduk lalu mengangguk. Dia pasrah. Alahai, sedih pula melihatnya. Cepat-cepat saya mencelah.

"Tapi, Rafie!" Kepalanya pantas di angkat kembali.

"Kita boleh whatsapp, kan? Sebenarnya saya pun tak puas bersembang dengan awak. Bersembang dengan awak, seronok," cadang saya. Serta-merta wajah jejaka kurus ini berubah gembira.

"Eh, seriuslah!" Nada suaranya kedengaran teruja.

Saya mengangguk kepala. Malah, bibir ini juga mengukir senyuman.

"Sebenarnya aku memang dah lama nak mesej kau tapi... aku takut kalau-kalau kau sibuk."

"Laahh... ya ke. Ikutkan saya tak adalah sibuk sangat. Tak mengapa, awak mesej je, nanti saya akan balas."

"Baiklah, kalau macam tu nanti aku..." Rafie memberhentikan ayatnya sebelum berdehem. Kemudian, dia melemparkan senyuman manis.

"Malam nanti saya mesej awak, boleh?"

Jantung saya bagai terhenti satu detik. Apakah benar apa yang didengari olehku sebentar tadi? Adakah Rafie sudah mula membahasakan dirinya sebagai 'saya'? Tambah lagi... dia panggil saya 'awak'.

Tiba-tiba sahaja hati ini hendak bersorak. Ia seperti Rafie menerima saya sebagai seseorang yang istimewa baginya.

Bagaimana reaksi saya? Semestinya bibir ini sudah sedia menyungging senyuman lebar.

"Boleh je. Saya akan tunggu mesej malam nanti," kata saya kepada Rafie.

*****************************

Apabila sampainya saya dan kakak di parkir kereta, barangan yang sudah dibeli disusun baik di dalam but kereta.

Setelah selesai, kami berdua masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dinyalakan dan ketika itu Kak Iman memandang saya. Dia memandang dengan wajah sinis.

"Kenapa akak tersengih ni?" Pertanyaan itu disertakan kening yang terangkat.

"Inas, cuba kamu berterus terang. Dia kan lelaki yang kamu cerita hari tu?"

"Eh! Ermmm... siapa? Rafie ke?"

"Iyalah. Siapa lagi? Dia kan yang buat buatkan hati kamu berdebar-debar hari tu, kan?" Kak Iman meneka.

Saya terus memalingkan muka. Mahu menyorok wajah malu.

"Urmm... itu... errr..."

"Okeylah, akak tak nak paksa kamu. Kalau betul dia orangnya, akak setuju sebab dia pun nampak baik. Kamu nak tahu satu rahsia tak, Inas?" Perlahan-lahan saya memandang Kak Iman.

"Rah... sia?"

"Akak rasa dia sebenarnya suka kamu tau. Kalau tak, takkanlah dia nak tolong kita tadi, kan?" Begitu meleret perkataan 'kan' yang sengaja ditekankan kakak.

"Ap... apa akak ni! Tak mungkinlah. Di... dia tolong Inas sebab Inas pernah tolong dia je. Akak ni... tak nak kawan." Sekali lagi muka saya dipalingkan. Merajuk katakan.

"Alalala... Inas ni. Comellah bila merajuk. Hahaha... iya akak tahu. Sengaja akak nak kacau adik akak yang comel ni," katanya lalu mencubit pipi saya.

Apalah nasib, dekat sekolah saya sering diusik Rina. Bila dekat rumah diusik pula dengan kakak. Terpaksalah hati ini terus bertabah.

Tidak mengapalah. Apa yang penting, pada malam nanti, Rafie akan mesej saya seperti yang kami janjikan. Tak sabar nak tunggu waktu itu.

Bersambung...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk