Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 28

Sesi memasak telah lama bermula. Mei dan Rina ditugaskan untuk memotong sayur-sayuran. Irwan dan Yusri pula menyiang udang dan sotong di luar rumah.

Bagaimana dengan saya?

Hanya sekadar membantu Rafie untuk menggoreng empat ekor ikan jenahak di dapur. Selain menggoreng, kami juga ditugaskan untuk memasak kuah sweet sour. Itupun sebab Rafie bertegas yang dia mahu memasak kuah tersebut. Katanya, dia buat lagi sedap daripada kedai.

Apabila bahan-bahan masakan yang dipotong oleh Mei dan Rina siap, saya pun membawanya ke dapur.  

"Rafie, ni dia bahan untuk kuah kita nanti," beritahu saya kepadanya.

Akan tetapi, dia tidak memberi sebarang reaksi. Dia tegun, macam patung. Termenung ke dia ini. 

Mata saya beralih pada gorengannya. 

Ya Allah! Dia masih tak balikkan lagi gorengannya? Cepat saya menegur.

"Awak! Awak! Kenapa tak dibalikkan ikan tu? Dah lama saya tengok dia macam tu."

Malangnya dia tidak membalas.

"Rafie! Rafie!" Masih tidak berjawab. Lantas saya pun menghayunkan tangannya di hadapan mukanya sebelum memetik jari.

"Eh?"

Rafie tersedar dari lamunannya. Mukanya yang terperanjat mula memandang saya. 

Bibir saya dicebikkan. "Apa yang awak fikirkan tu? Sampai ikan ni pun awak tak balikkan dari tadi."

Langsung Rafie memandang gorengannya. "Alamak, aku lupa!."

Cepat-cepat dia mencapai penyepit ikan lalu membalikkan ikan tersebut. Sayangnya dia terlalu gopoh. Sebagai akibat ikan itu terlepas dari sepitan.

"Bamm!"

Bunyi percikan minyak kedengaran.

"Adoiiii!" Raungan saya memecahkan suasana.

"Arghh!" jerit Rafie pula.

Rupa-rupanya percikan minyak yang panas itu, secara tidak sengaja terkena pada tangan kami berdua. 

Bunyi tapak kaki begitu laju kedengaran. Rakan-rakan kami yang lain bergegas menuju ke dapur, mahu melihat apa yang telah berlaku setelah mendengar jeritan kami berdua.

"Wei sorry . Kau okey tak? Kau okey tak?" soal Rafie yang tampak risau.

"Tak apa Rafie tangan saya okey je," jawab saya.

"Inas, apa dah jadi." Rina datang menghampiri saya.

"Tangan kitaorang terkena minyak panas. Nasib sikit je yang kena. Cuma macam mana dengan tangan awak, Rafie?" Saya bertanyakan tentang keadaannya.

"Aku okey je, sebab aku dah biasa kena macam ni. Cuma kau je lah. Aku risau takut melecur je tangan tu." Jelas wajahnya semakin risau. Mana taknya, semalam sudah lah saya pengsan dekat sekolah, tiba-tiba hari terkena percikan minyak panas. Nasib percikan itu sikit, tak ada lah ia seteruk situasi semalam.

"Jangan risau. Saya kena sikit je. Tengok ni," kata saya sambil menunjukkan tangan ke arahnya. Wajah risau Rafie mulai reda. 

"Nasib baik. Risau aku."

"Kau ni, hati-hati lah lain kali, Rafie. Inas tu kan perempuan, tangan jenis sensitif lagi. Kalau kena lebih teruk tak ke naya nanti," bebel Irwan yang datang entah dari mana.

"Yalah, yalah aku hati-hati la lain kali," omel Rafie, jengkel.

"Kalau semua dah okey, mari kita sambung semula kerja kita," arah Mei kepada mereka semua. 

Sesi memasak kembali diteruskan. Rakan-rkaan kami mula beredar. Sekali lagi hanya saya dan Rafie berada di dapur. 

Saya tertawa kecil. "Tak sangka awak pun boleh jadi kelam kabut ya, Rafie." ujar saya kepada jejaka bertubuh kurus ini. Biasanya sifatnya sentiasa tenang. Tapi apabila saya dah saksikan kekalutannya tadi, ia mendatangkan kelucuan di hati ini. 

"Nak buat macam mana aku terkejut tadi." Defensif betul ayatnya.

"Apalah yang buatkan awak berfikir tu? Sampai hilang fokus."

"Aku musykil. Korang ke beli ikan jenahak ni. Tak ke ikan ni mahal? Yush ke yang beli semua ni?"

Itulah pertanyaan yang bermain dalam fikirannya sebentar tadi.

"Ooohh... itu ke yang buat awak mengelamun tadi." Sekali lagi, saya tertawa. Kali ini jari menahan bibir. 

"Tak adalah, Rafie. Diorang beli dengan duit sendiri je," terang saya.

"Aduhai! Buat susah-susah je korang ni. Nanti aku ganti balik eh." 

Cepat-cepat saya menolak.

"Eh, tak apa, tak apa! Awak, anggap je yang ini sedekah. Diorang semua ikhlas. Apa gunanya kalau bawa buah tangan tapi tuan rumah pula yang membayarnya. Tak gitu." 

Mendengar penjelasan saya itu, Rafie pun akur.

Setelah berhempas pulas, tepat jam 6.00 petang barulah santapan ini siap terhidang. Menu ikan jenahak masak sweet sour. Dari baunya sudah cukup untuk membangkitkan selera. Beramai-ramai, kami mula menjamah santapan itu bersama-sama dengan bersila di ruang tamu.

Kebetulan pula ayah kepada Rafie, Encik Razali baru sahaja pulang dari tempat kerja. Terus kami mempelawanya untuk menyantap sama. Maklumlah orang penat bekerja, mesti tengah lapar sekarang ni.

Encik Razali begitu terkejut. Kehadiran tetamu yang ramai seperti ini sangatlah tidak dijangka olehnya. Barulah dia tahu bahawa anak sulungnya ini mempunyai kawan.

*****************************

Segala sisa makanan telah disapu sebelum buang ke dalam tong sampah. Dapur juga sudah siap dikemaskan. Apabila waktu semakin hampir menjengah senja, barulah kami meminta diri untuk pulang ke rumah, memandangkan hari sudah hampir gelap.

Sewaktu dalam perjalanan, saya tersedar bahawa dompet saya tertinggal di rumah Rafie.

"Alamak, Rina! Inas rasa Inas tertinggal dompetlah."

"Haaah? Tertinggal? Aduh kau ni, macam mana kau tak perasan."

"Nak buat macam mana saya tak teringat. Hmm... awak baliklah dulu lah. Saya mesej Rafie sekejap."

"Iyalah, hati-hati tau."

Rina pun beredar. Sejurus itu saya pun menghantar mesej kepada Rafie. Nasib dia membalas. Disebabkan saya sekarang sudah separuh jalan, dia meminta saya untuk menunggunya di sebuah taman permainan.

Tidak sampai lima minit, bayang Rafie pun kelihatan. Dia menghulurkan dompet itu kepada saya.

"Nah, ni dompet kau. Nasib kau tertinggal kat rumah aku. Kalau rumah orang lain mesti dah hilang," beritahunya dengan suara mendatar.

"Baiknya awak, nasib saya berkawan dengan awak," puji saya.

Hidung Rafie sudah kembang. "Mestilah. Lagipun dompet ni bukan hak aku pun. Buat apa aku nak simpan. Lebih elok kalau aku pulangkan semula kepada pemiliknya."

Saya mula tertawa. "Tengok saya dah cakap awak memang baik orangnya. Sebab itu saya suka dekat awak," luah saya tanpa sengaja.

"Eh?" Rafie tekedu. Saya pula masih menyengih. Namun, sebaik matanya memandang tepat ke wajah ini, sengihan itu mulai surut.

Perbualan kami terjeda. Sudahlah jeda itu diiringi semilir. Saya yakin dia pasti terkejut. Perlahan-lahan saya mendekatinya.

"Jangan salah faham. Maksud saya... saya sukakan sifat baik awak tu. Lagipun..." saya berjeda seketika. Senyuman manis saya berikan.

"... awak kan ka-wan-ba-ik-sa-ya." Saya menyambung kembali ayat yang terjeda dengan menyebut sepatah demi sepatah.

Tatkala ucapan itu dilontarkan, tiupan angin mula meniup lembut wajah ini hingga membuatkan saya terpaksa menahan tudung.

Ekspresi wajah Rafie mula berubah. Matanya membulat, seperti sedang terpesona.

Wajahnya ditarik. "Ap... apa yang kau merepek. Dah tentulah kita kawan," tegasnya. Belakang kepalanya diusap. Gerak tubuhnya... janggal.

"Dah lah, hari pun dah nak gelap. Lebih baik kau pulang cepat," bebel Rafie lagi. Sekali gus, mengingatkan saya akan waktu yang hampir senja.

"Oh terlupa pula. Apa-apa hal terima kasih ya Rafie. Kita jumpa esok."

"Okey. Jumpa lagi esok."

Saya pun melambaikan tangan lalu meninggalkan taman itu.

*****************************

Sebaik bayangan Inas hilang dari pandangan, tubuh Rafie tidak berganjak walau sesaat. Dia mendiamkan diri seketika, melihat jejak yang dilalui rakan sekelasnya.

Tangan kirinya mula memegang dada. Dapat dirasai degupan jantung. Kencang, bagai laut dilanda badai. Kini, bibirnya diketap rapat.

"Lembab, kenapa kau cakap macam tu. Kau naif sangat Inas. Naif sangat," monolognya sendiri.

"Kau cakap kau suka aku? Kenapa? Kenapa kau bagi aku harapan? Kau tahu tak sekali lagi aku mungkin... jatuh cinta dekat kau, Inas. Sungguh, aku terjatuh hati dengan kau sekali lagi."

Itulah pengakuan Rafie pada hari ini.  Dia akui, hatinya sudah terpaut akan gadis itu. Perempuan yang pernah disukainya suatu ketika dahulu.

Bersambung...

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk