Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 24

Peristiwa (BHG 1)

Di dalam bilik kaunseling milik Cikgu Shuna, kami pelajar perempuan sedang giat menolong cikgu dengan menggunting perhiasan. Hiasan itulah bakal ditampal di sekitar dinding bilik kosong, yang kini dikemaskan oleh Rafie dan lain-lain. Alang-alang sudah mengemas, lebih baik kita mencantikkan lagi bilik itu.

Melihat kerajinan kami ini, timbullah rasa gembira terhadap Cikgu Shuna.

"Terharunya saya dengan korang. Saya ni ikutkan banyak hal lain nak kena buat. Tapi dengan adanya korang, kuranglah sikit beban saya ni. Terima kasih banyak-banyak ya." Terharu betul cikgu ini. Siap memuji dengan sengihnya yang sampai ke telinga.

"Sama-sama, cikgu. Alang-alang kami tengah free, apa salahnya kalau dapat tolong cikgu," balas saya.

Rina juga turut bersuara. "Betul tu cikgu. Kami tahu cikgu tengah penat. Sebagai pelajar inilah cara kami untuk membalas budi cikgu. Terima kasih sebab mengajar kami." 

Amboi, Rina! Bunyi macam nak membodek pula. Tapi saya tak nafikan kata-katanya itu. Sejujurnya jasa guru matematik ini terlalu banyak. 

Kalau nak tahu, disebabkan dialah saya mahir matematik tambahan. Jika dahulu mata ini berpinar, kini ia menjadi seperti alat mainan bagi saya. Ya, saya suka matematik. Tanpa cikgu, siapalah saya ini.

Guru muda ini mengusap matanya yang tidak berair. "Korang... terharunya saya. Rasa nak nangis tau." 

Kami sekawan, memandang sesama sendiri. Melihatnya sebegitu benar-benar merutunkan jiwa ini.

Saat demi saat, minit demi minit, kerja kami dimeriahkan lagi dengan perbualan sensasi dari mulut guru muda ini.

Kata cikgu Shuna, dia sememangnya mengajar mata pelajaran matematik. Namun, entah bagaimana pengetua sekolah kami memilih dia untuk turut menjadi guru kaunseling. Itupun kerana cikgu ini pernah mengambil kursus kaunseling ketika zaman belajarnya. 

Ia kedengaran bagus, tetapi sebenarnya tidak. Bagi Cikgu Shuna tanggungjawab itu membebankan, dia terpaksa membuat dua kerja, dan tentulah ia memenatkan.

Begitu tabah guru berbangsa india ini. Kalau saya yang berada ditempatnya, boleh pecah kepala dibuatnya.

Cikgu Shuna, orangnya muda dan juga bersemangat tinggi. Dalam kalangan guru, dialah satu-satunya guru yang paling kami rapat. Maklumlah, guru muda. Semestinya faham akan jiwa remaja kami ini. Cuma yang membezakan dia dengan kami hanya kematangan.

Kertas-kertas yang selesai digunting oleh saya diletakkan pada sebelah kanan. Setelah kesemuanya telah selesai digunting sepenuhnya, saya pun bertanya kepada Cikgu Shuna.

"Cikgu, yang dah siap ni letak dekat mana ya?"

"Oh, yang tu awak letak dekat atas meja sana tu." Jari guru muda itu dituju pada sebuah meja yang terletak di tepi pintu bilik.

"Okey cikgu." Segera saya pun meletakkan kertas-kertas itu di atas meja yang dimaksudkan. 


"Cikgu sepanjang jadi kaunselor kan, apa masalah yang cikgu selalu dengar? Teringin juga nak tahu." Nampaknya Rina seperti tertarik dengan tugas cikgu. Mungkin dia hendak tahu bagaimana cara Cikgu Shuna menggalas tugasnya sebagai kaunselor.

Pertanyaan itu  disokong oleh kami yang lain, terutamanya Wani dan geng-gengnya. Cikgu Shuna memberikan reaksi terkejut. Melihatkan anak-anak muridnya ini memandangnya dengan rasa ingin tahu, sama sekali membuatkan dia mengeluh.

"Haih... korang ni. Ini kan tanggungjawab saya. Jadi saya tak boleh ceritakan masalah pelajar dekat orang lain. Mereka pun ada privacy juga."

"Alaaaaa..." Rina, Wani dan Mona merungut serentak.

"Tapi!" Cikgu Shuna menekankan satu perkataan yang pastinya membuatkan mereka bertiga teruja.

"Saya boleh beritahu masalah yang selalu saya terima. Boleh kan?"

"Wah, baguslah! Nak dengar! Nak dengar!" pinta Rina dengan rasa teruja. Bukan dia seorang sahaja. Bahkan Wani dan Mona juga mengikut sama.

Cikgu Shuna tersenyum kecil. Sempat juga dia membetulkan rambutnya yang panjang paras bahu ke belakang.

"Masalahnya adalaaaaahhhh..." Debaran makin terasa. Kesemua mereka kecuali saya dan Mei menunggu dengan rasa minat.

"Kamu semua ni memang asyik fikir bercinta je ke dalam umur yang macam ni!" bentak Cikgu Shuna secara tiba-tiba.

"Eh?" Kami memberikan reaksi terkejut.

"Tahu tak cikgu penat nak dengar semua benda tu! Sampai saya sendiri sakit kepala. Sakit hati tahu tak. Saya sendiri masih lagi single dan dah nak masuk 30-an. Sepatutnya orang macam saya yang patut fikir fasal kahwin ni, dan bukannya kamu semua," bebelnya hingga membuatkan masing-masing memalingkan wajah hingga menyeringai bibir.

"Erk! Ahaha, betul tu cikgu. Ha-ha-ha." Rina pura-pura ketawa.

"Err... hehehe... kami ni mana pernah fikir fasal kahwin pun cikgu. Kan Rina, kan." Wani cuba berdalih. Padahal dialah yang selalu kecoh jika bercerita soal jodoh.

Melihat situasi menjadi kekok, saya dan Mei berpura-pura kembali membuat kerja. Sengaja memekakkan telinga. Dari ekor mata, sengajalah saya melihat Mona. Hairan, dia seorang sahaja yang tidak memalingkan muka. Malah dia merenung, bagai berasa musykil.

Tak lama selepas itu, gadis kecil molek itu bersuara. 

"Saya hairanlah cikgu, saya tengok cikgu ni cantik orangnya. Macam mana cikgu boleh single?" Tersedak kami mendengarnya. Pantas mata-mata memandangnya. 

Seriuslah Mona bertanya soalan itu dekat cikgu? Tahukah dia bahawa soalan itu begitu sensitif untuk orang yang belum berkahwin seperti cikgu ini.

Bagaimana reaksi Cikgu Shuna? Apa lagi terkesimalah dia hingga mukanya merona merah.

"Apa? Itu awak tak perlu tahu semua tu. Ooohh, korang semua nak kenakan saya ya," gertak cikgu. Dari suaranya bagai menahan marah. 

Mata Rina dan Wani tajam melihat Mona. Macam hendak memakan orang. Mona tertunduk sesal.

"Ma... maafkan saya," pohon gadis naif itu. Wajahnya pula ditunduk. Jika lihat dengan betul, dia seperti mahu menahan air matanya dari terkeluar. Alahai, rasa kasihan pula. Tabahlah Mona.

"Okey saya maafkan. Saya tahu awak cuma curious. Tapi!" Dia menjeda. 

"Sebagai denda saya nak korang bercakap dengan jujur tentang lelaki yang korang minat. Ingat, saya ni selalu perhatikan korang tau. Jangan ingat yang saya tak tahu." Bibir cikgu tersenyum sinis. Masing-masing terkejut dengan pernyataan cikgu. Bunyinya macam stalker pula. Semua benda dia tahu.

Tiba-tiba Wani bangkit dari duduk. "Errmmm... cikgu, saya nak ke tandas sekeja-".

"Jangan nak lari!" Belum sempat Wani hendak menghabiskan kata-katanya cikgu Shuna mencelah. Wani menelan payah air liurnya. Cepat-cepat dia duduk semula.

"Disebabkan awak nak larikan diri, saya nak mula dengan awak, Wani." 

Dengan itu, berterusanlah sesi soal jawab kami dengan cikgu. Habis satu per satu soalan ditanya olehnya. Akhirnya giliran saya tiba. 

"Awak pula Inas?"

"Eh! Eerr... urmm... saya rasa..." Lidah saya kelu untuk menjawab. Takkanlah nak bercerita mengenai Rafie. Sedangkan saya dan Rafie hanyalah kawan sahaja.

"Rasanya saya tak minat sesiapa pun." Jawab saya. Jari jemari saya bermain-main dengan hujung tudung, ia menunjukkan betapa tak selesanya saya sekarang. 

"Ohhh..." Cikgu menganguk faham. 

"Tapi!" Secara tiba-tiba nadanya menjadi tegas. 

"Awak jangan ingat saya tak tahu tentang awak dengan Rafie. Khabar angin korang hari tu pun tersebar luas tau. Mesti ada apa-apa ni." Sambungnya bersama persoalan lain.

Pipi saya akhirnya merona merah.

"Eh! Errr... i...itu... dia... dia cuma..." Suara saya tersekat-sekat. Habislah saya, kalau cakap yang kami hanya sekadar kawan nanti cikgu tak percaya pula. Mata-mata yang berada di bilik ini sudah beralih ke arah saya, menanti jawapan dari saya. Kepala ini ditundukkan. Tertekan dengan pandangan mereka.

"Di... dia cuma ka... kawan waktu sekolah rendah je, cikgu. Ka... kami balik sama-sama pun sebab satu jalan," jawab saya. Wajah cikgu berubah terkejut.

"Oh, ya ke? Jadi korang berdua memang tak ada apa-apa?" Aduhai cikgu, kenapa macam tak percaya cakap saya. Ini yang buat saya rasa nak menangis ni. 

Jari-jemari saya dimainkan lagi. Jika ada yang melihat saya begini, pasti mereka tahu saya berasa tidak selesa sekarang. Apa yang perlu saya katakan pada cikgu? 

"Cikgu!" Rina pantas memanggil. 

"Bahagian saya dah siap dah. Apa kata semua bahan-bahan ni kita hantar dekat budak lelaki untuk dihias?" Cantiklah Rina. Terima kasih tolong cover saya. Sungguh awak kawan yang paling baik. 

Saya memandang Cikgu Shuna. Ternyata celahan Rina membuatkan dia terlupa akan topik sebentar tadi.

"Oh, boleh juga. Kalau macam tu ada tak sesiapa yang boleh tolong hantarkan?" Sejurus itu Rina mendekati saya lalu mengangkat tangan kanan saya.

"Inas boleh tolong hantarkan, cikgu. Kan Inas, kan?" 

Tubuh ini tiba-tiba sahaja membatu. Lidah saya terkelu. Rina mahu saya hantarkan hiasan ke bilik kosong itu? 

Saya pasti ramai sudah tahu mengapa saya bertindak sebegitu. Lelaki. Saya masih takutkan lelaki. Memang benar saya sudah hampir pulih tetapi rasa takut itu masih lagi ada. 

"Kenapa Inas? Kamu tak okey ke?" soal Cikgu Shuna. Mendengar sahaja pertanyaan itu saya pun menggeleng.

"Eh, tak! Tak ada apa-apa cikgu. Saya okay je," nafi saya yang tidak mahu mengecewakan permintaannya. 

Akan tetapi, Rina perasan perubahan saya. Hanya beberapa detik barulah dia teringat akan masalah saya . "Oh, Inas! Sorry, aku tak ingat. Kalau tak nak janganlah paksa diri kau. Aku boleh je tolong hantarkan." Rina menawar dirinya.

Saya berkira-kira. Bukan apa, sepanjang empat bulan berlalu, trauma saya terhadap lelaki semakin hampir pulih. Walaupun tidak sepenuhnya, tetapi jika hanya setakat berhadapan dengan Rafie dan gengnya, pasti saya tidak akan menghadapi masalah. 

Setelah berfikir panjang. Saya menolak tawaran Rina.

"Tak apalah, saya yakin yang saya boleh."

Mata Rina sudah terbuntang. "Wei, kau jangan main-main, Inas. Betul ke ni?" Dia meminta kepastian. 

"Ya, Rina. Saya kan dah berlatih untuk hadapi semua ni. Lagipun, saya dah biasa dengan diorang berempat. Kita kan Geng Impian," ujar saya dengan yakinnya. Senyuman diberikan tanpa ada wajah kerisauan. 

Walau dalam risau, Rina akur dengan alasan itu. Barangkali kata-kata saya tadi berjaya meyakinkannya. 

"Yalah. Ikut kau. Hati-hati ya." Nasihatnya. 

Tanpa berlengah, saya mengambil segala perhiasan yang sudah siap digunting. Kini tinggal masa untuk membawanya ke bilik yang dikemaskan oleh budak lelaki.

*****************************

Nafas saya ditarik panjang. Perlahan-lahan ia dilepaskan. Saya kini berada di tangga. Hanya beberapa tapak sahaja lagi untuk tiba ke destinasi.

"Tak apa Inas, diorang cuma berempat je." Saya cuba menyedapkan hati. 

Setelah keyakinan itu kembali, langkah kaki ini dimulakan. Sesampai sahaja di hadapan pintu bilik, saya menarik nafas panjang sebelum membuka pintu.

"Maaf mengganggu korang, Cikgu Shuna ada suruh saya ba... wa-"

Sekelip mata tubuh saya menjadi kaku.

"Eh!" Hanya ayat itu yang terluah. Mata saya terbuntang. 

Le... laki? Bukan empat seperti yang saya sangka tetapi lebih dari sepuluh orang.

Apa yang sudah terjadi? Mengapa bilik ini dipenuhi dengan lelaki yang tidak saya kenali? Mana Rafie dan yang lain? Pelbagai persoalan timbul di fikiran. 

Badan saya sudah menggeletar ketakutan. Rasa resah mula bertamu bersama peluh yang datang dari kepala.

"Oh, Inas! Tu barang yang korang semua siapkan ke?" Yusri datang menyapa. Dia menyedari kehadiran saya. Malangnya, sapaan Yusri membuat kesemua mata lelaki tertumpu pada saya.

Soalannya tidak dijawab. Serangan panik menghantui diri ini.

"Tak. Tak." Saya tergumam. Mata saya terbayang akan peristiwa hitam yang berlaku empat tahun yang lalu. Peristiwa yang menyebabkan saya trauma terhadap lelaki. 

Hiasan yang berada di tangan dilepaskan serta-merta. Kedua-dua belah tangan saya menekup telinga. 

"Aaaaahhh!" Jeritan nyaring saya membingit suasana. 

Semua memandang hairan. Terkejut dan keliru pasti bermain dalam fikiran mereka. 

"Wei, Inas! Kenapa kau ada kat sini?" Saya memandang suara itu. Ternyata dia ialah Rafie.

"Inas, sabar Inas. Sabar." Dia cuba mendekati saya. Pantas saya mengundurkan diri ke belakang.

Ternyata tindakan itu membuatkan Rafie terkelu.

"Inas," panggilnya perlahan.  Saya pandang Rafie dengan rasa takut. 

Eh? Apa yang sudah jadi? Mata saya... kabur. Rafie, Apa sudah jadi dengan saya? Badan saya terasa lemah. 

"Duk!" 

Eh? Saya terlanggar seseorang ke? Saya cuba memusingkan badan. Sebaik mendongak, rupanya Hairi yang berada di belakang saya.

"Oh, Inas! Sorry, aku terlanggar-."

"Aaahhh! Jangan! Jangan!" Saya menjerit lagi, kali ini suara saya seperti manusia yang dilanda histeria. 

Oh, tuhan. Apakah ini ujian darimu? 

Tiba-tiba sahaja penglihatan saya semakin kabur. Rasa terhuyung-hayang seperti hendak hendak jatuh.

"Inas! Inas!" Jeritan satu suara kedengaran sayup. Saya cuba melihat tetapi penglihatan saya semakin gelap. Apa yang mampu saya lihat hanyalah tubuh Rafie yang bersungguh-sungguh berlari ke arah saya. Wajahnya seperti risau. 

Melihatkan dia begitu, barulah saya mengerti. Suara yang memanggil tadi datang daripada Rafie. 

'Maafkan saya, Rafie. Latihan kita gagal.'

Sekelip mata suasana menjadi gelap gelita.

Bersambung...

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk