Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 11

Sahabat

Imbasan memori ketika dia berumur 12 tahun. Rafie dahulunya seorang yang mempunyai ramai kawan. Namun begitu, hanya satu ketika, kesemua mereka lenyap dari mata.

Dia dipulau.

Dipinggirkan.

Dan tidak dihiraukan.

"Kau bukan kawan kitaorang." Inilah salah satu ayat yang terluah daripada seseorang yang pernah dianggap sebagai kawan.

"Kringggg!" Bunyi jam mengejutkan Rafie dari tidurnya. Penggera jam dimatikan. Sempat juga dia melihat jarum jam. Pukul 6.00 pagi rupanya. Seraya itu dia mengusap mukanya dengan tangan.

"Mimpi tu lagi," keluhnya sebal. Ikutkan, sudah berkali-kali dia bermimpi mengenai peristiwa itu. Walaupun dia sudah lali, tetapi rasa sakitnya hati itu masih berparut. Ia bagai luka yang terbuka semula di tapak yang sama, walhal luka itu telah dijahit.

"Perlu ke aku mencari kawan semula?" gumamnya sendiri. Hanya beberapa detik, wajah Inas secara tidak langsung muncul di fikiran. 

Tangisannya pada Sabtu lalu meninggalkan kesan dalam dirinya. Dia menangis kerana mahu mengatasi masalahnya. Tidak dinafikan cadangan Rina semalam agak efektif untuk membantu dirinya dan juga Inas.

Cumanya ada satu penyebab yang membuat Rafie menolak. Dia tidak mahu berkawan. Melainkan berkawan dengan Inas seorang. Bagi Rafie, gadis itu ikhlas mahu berkawan dengannya, tambah lagi dia sendiri tahu bagaimana perwatakan gadis itu.

Masalahnya Inas ini seorang yang gigih. Jujurnya Rafie tidak tahu mengapa Inas begitu bersungguh untuk dia mendapatkan kawan. Akan tetapi, persoalan itu terjawab pada Sabtu yang lalu.

Inas tahu tentang kisah silamnya.

Saat itulah Rafie teringat akan janjinya bersama gadis itu. Wajah jernihnya mengharapkan bahawa dirinya mampu untuk membuka ruang kepada rakan baharu.

"Yusri Iqmal, anak Dato' Mazlan. Bolehkah kita berkawan?" Kepalanya digelengkan. Dia kemudian bangkit dari katil. Hendak membersih diri sebelum bersiap ke sekolah.

*****************************

Rafie menjejakkan kakinya masuk kelas. Sedang dia berjalan menuju ke mejanya, Yusri datang menyapa.

"Yo! Selamat pagi sahabat." Wajah jejaka segak itu dipandang suram.

"Aha. Ya, selamat pagi," balas Rafie tanpa menampilkan ekspresi muka. Terus dia melabuhkan punggungnya untuk duduk di mejanya.

Hairi dan Irwan memandang sesama mereka. Hairan. Sebelum ini, tidak pernah-pernah Rafie mengeluarkan suara setelah disapa. Akan tetapi, lain pula yang terjadi hari ini.

"Wei, Yus. Ada apa-apa yang dah berlaku ke? Tak pernah-pernah aku nampak Si Rafie ni balas teguran kau. Kau berkawan tak ajak kitaorang, kan?" tanya Hairi sambil berseloroh.

"Bukan tak ajak. Cuma aku dengan Rafie baru je berkawan. Betul kan, Rafie?" Mereka bertiga mula memandang Rafie.

"Aha, tu pun sebab aku terpaksa," jawabnya malas. Cepat-cepat dia mengalihkan padangan lalu menongkat pipinya.

"Alah, janganlah macam tu. Aku tahu dalam hati kau kau mesti nak berkawan sangat dengan aku, kan? Lagipun, kalau kau terpaksa kenapa kau balas ucapan selamat pagi aku tadi?" Kata-kata Yusri itu buat Rafie tersentak.

"Tu cuma ucapan selamat pagi je. Takkan itu pun kau nak excited?" bidas Rafie yang cuba menafikan tindakannya.

"Excited lah. Sebab aku dah dapat kawan baru."

Terdengus si pendiam ini tatkala mendengarnya. "Tolong sikit eh. Kau bukan kawan aku."

Berkerut dahi Irwan setelah melihat perangai Rafie itu. "Wei, Yus. mana satu yang betul ni? Kau berkawan dengan dia ke tak."

"Entah, mamat ni poyo je lebih. Macam nak cari pasal pun ada ni," ujar Hairi yang makin panas. Tengok muka sinis Rafie pun sudah buat dua rasa meluat.

"Relaxlah korang. Janganlah nak bergaduh," pujuk Yusri. Dia tidak mahu rakan-rakannya tersalah faham akan perangai Rafie yang agak sinikal itu.

Kemudian Yusri mendekati Rafie.

"Tak apa, Rafie. Walau apa pun, aku pasti dalam hati kau tu masih perlukan seorang kawan. Setakat ni Inas je kawan kau kan. Aku faham kenapa kau lebih pilih dia dari kitaorang." Sengaja Yusri bergurau sinis. Makin tersentap jiwa si pendiam ini saat mendengarnya.

"Ikut suka kaulah. Tapi jangan harap aku dapat layan korang macam orang lain. Ingat aku tak tahu perangai korang."

Sentap jiwa Hairi dan Irwan hingga hampir mencetuskan perbalahan.

"Wei, kau memang nak cari pasal kan!" marah Irwan.

"Apa kau cakap tadi? Kau ulang sekali lagi," bentak Hairi pula. Namun, Rafie tidak menghiraukan mereka. Sebaliknya dia mengambil sebuah novel dari dalam beg lalu membacanya.

Geram dengan tindakan Si pendiam itu, Hairi mula menendang kerusi kosong yang berada di sebelahnya. Tendangannya cukup kuat, hinggakan rakan sekelas mereka mula memandang.

"Woi bedebah! Pandang sinilah!"

Laju Yusri menghalang. Dia tidak mahu perbalahan mereka semakin besar, "Wei, korang! Sabar," rayunya. 

Irwan dan Hairi sudah mula menunjukkan muka tidak puas hati. Dada kedua-dua rakannya ditolak perlahan.

Seketika itu, dia mengeluh sebelum menoleh pada Rafie.

"Okey, Rafie. Aku tahu kau perlukan masa untuk kitaorang berkawan dengan kau. Aku takkan paksa kau. Tapi aku berharap suatu hari nanti kita akan berkawan. Dan aku... akan tunggu waktu itu tiba." Itulah harapan Yusri. Dia ikhlas mahu berkawan dengan Rafie.

"Tak payah nak layan Si bebal ni, Yus. Buang masa kita je. Dah lah, aku nak gerak ke tandas. Pagi-pagi dah buat mood hilang," omel Hairi lagi. Dengan hati yang panas, dia pun beredar sebelum diikuti Irwan dan Yusri.

Akan tetapi, langkah Yusri terhenti. Dia menoleh kembali. Ada satu pesanan yang ingin dia sampaikan.

"Wei Rafie." Rafie yang sedang membaca kembali memandangnya.

"Aku tak kisah kalau kau nak judge kitaorang. Apa yang penting aku nak kau tahu. Kau... tetap kawan aku, Rafie," katanya lalu melemparkan senyuman. Sebaik ayat itu terucap, Yusri pun berlalu pergi.

Apabila bayang jejaka popular itu hilang dari pandangan, Rafie terus menutup bukunya. Dia termenung. Apakah dirinya yang bersalah sebentar tadi hinggakan Hairi dan Irwan memarahinya?

'Mungkin aku ada telanjur kata agaknya,' desisnya.

*****************************

Waktu persekolahan baru sahaja tamat. Sedang saya mengemas peralatan tulis, Rina dan Mei telah mengajak saya pulang bersama-sama. Baru sahaja kami hendak keluar dari kelas, terserempaklah kami dengan Rafie.

"Oh, Rafie!" tegur Rina. Rafie mengangkat tangan sebagai tanda membalas teguran.

"Seorang je ke?" soal saya pula.

"Ha'ah. Tapi nanti mungkin berdua sebab aku nak ambil adik aku."

"Oooh, yalah kan." Saya mengiyakan dengan bibir dimuncungkan.

"Alang-alang tu nak tak jalan bersama-sama dengan kitaorang? Lagipun, awak kan dah jadi kawan kitaorang sekarang," ajak Mei.

"Eh? Ja... jalan sama-sama? Errr..." Mata Rafie teralih ke arah saya. Barangkali meminta persetujuan dari saya.

Saya menyeringai lalu mengangguk. Memohon supaya dia bersetuju. Melihat jawapan saya itu, dia menerima pelawaan tersebut.

Perjalanan kami diteruskan. Akan tetapi, sewaktu kami berada di foyer sekolah, terserempaklah kami dengan Yusri.

"Eh, Rafie!" jerit Yusri kuat.

Sekelip mata wajah Rafie berubah. Dia menepuk dahi bersama rungutan. "Alamak, terjumpa pula dengan dia ni."

"Wah, dah upgrade nampak! Dulu sorang, lepas tu dua dan sekarang dah pasang tiga ya," usik jejaka tampan ini. Lengannya pula diletakkan pada leher Rafie.

Dari raut wajah jejaka pendiam ini, tampak dia tidak selesa. Serta merta dia mengalihkan tangan itu, seraya dia mengeluh, "Kenapalah aku boleh terserempak dengan kau?"

"Itu tandanya kita ada ... j-o-d-o-h," balas Yusri selamba. Sudahlah ayat itu yang terpacul dari mulutnya, ditambah pula bibirnya yang tersenyum lebar.

Meluat telinga Rafie mendengarnya, sampaikan dia buat-buat nak termuntah.

"Geli aku. Kalau nak join, cakap je lah nak join." Rafie mengomel.

"Eh, tak ganggu kau ke? Manalah tahu kalau-kalau aku ni ganggu masa suka ria kau dengan budak-budak perempuan," usiknya lagi. Bola mata Rafie diolengkan. Jelas dia berasa jengkel.

"Kalau awak nak join, boleh je, Yus! Awak pun kawan kami juga," pelawa Mei teruja. Macam biasa, bila berdepan dengan crush, dialah yang paling teruja.

"Betul tu. Lagipun kitakan Geng Impian," laung Rina semangat.

Geng Impian, inilah nama kumpulan kami. Mengapa ia diberi nama impian? Jawapannya ialah kami mahu mencapai satu matlamat, iaitu memulihkan trauma yang dihadapi saya, serta membolehkan Rafie untuk mendapatkan kawan.

Dan itu impian kami.

"Pssst!" bisikan seseorang seolah-olah memanggil saya.

Kepala ini ditoleh. Terlihat Rafie mendekati saya. "Inas, kau okey ke kalau mamat tu join kita? Risau aku kalau-kalau kau tak selesa"

Wah! Prihatinnya dia. Sungguh hati ini berasa terharu.

"Saya okey je, awak. Lagipun saya kan nak cuba atasi masalah saya ni." Saya membalas.

Kelegaan terpancar pada wajahnya. Sempat dia menguntum senyum kepada saya sebelum pandangannya beralih kepada Rina dan yang lain.

"Dah, dah!" Suaranya mula bergema. "Lebih baik kita gerak. Kesian adik aku, tertunggu-tunggu kelibat aku," tegas Rafie lalu mengorak langkah hingga meninggalkan kami di belakang.

Faham akan kerisauannya, kami pun memulakan perjalanan menuju pulang. Bertuah Iky kerana mempunyai abang seperti Rafie. Sejujurnya sifatnya itu mengingatkan saya kepada kakak sulung saya, Kak Iman. Insan yang selalu menjadi lubuk luahan hati saya.

*****************************

Langkah seorang gadis kecil molek terhenti secara tiba-tiba. Rakannya di sebelah mula berasa hairan.

"Kenapa dengan kau ni, Mona? Tiba-tiba je berhenti," soalnya.

Pertanyaan itu tidak dijawab. Hanya riak terkejut yang mampu dia tonjolkan. Mata bulat Si Mona memerhati sekumpulan pelajar dari jauh. Kumpulan pelajar yang terdiri daripada rakan sekelasnya.

Dia musykil. Apakah mereka berlima pernah rapat sebelum ini? Lebih-lebih lagi Rafie. Setahu dirinya, dia merupakan seorang yang pendiam, malah dia juga tidak mempunyai kawan.

"Wani, kau rasa khabar angin tu betul ke?" tanya Mona kepada rakannya, Wani mengenai khabar angin yang tersebar di sekolahnya, berita mengenai hubungan Rafie dan Inas. Matanya masih tidak lekang daripada melihat Rafie.

Pandangan Wani beralih ke sekumpulan pelajar tersebut. Lama dia memerhati, cuba menangkap apa yang dimaksudkan oleh Mona. Sebaik matanya terhenti pada seorang lelaki kurus yang berambut sedikit ikal, barulah dia mengerti pertanyaan Mona itu.

"I see... kau cakap tentang dia rupanya." 

Pandangan Mona sudah jatuh ke tanah. Hatinya terasa seperti kecewa.

"Aku pun tak tahu, Mona. Aku rasa diorang berdua ni mesti ada something." Gumamannya itu disertakan dengan anggukkan Mona.

"Kan, saya pun rasa macam tu," kata Mona yang bersetuju dengan rakannya. Seketika itu pula dia mendongak langit.

Teriknya mata hari hingga memaksa gadis kecil molek ini menutupi kepalanya yang bertudung litup. "Panas juga hari ini. Apa kata kita berehat dekat Rasa Cafe? Boleh sejukkan badan ni sikit." cadangnya. 

Wani bersetuju. Lantaran itu, perjalanan mereka dimulakan, menuju ke Rasa Cafe. Pun begitu, fikiran Mona masih terganggu. Dia mengharapkan khabar angin mengenai Rafie tidak benar.

Bersambung...

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk