Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 39

Hadiah

Bilik Impian. Inilah bilik yang kami kemaskan pada tahun lepas. Dahulunya bilik ini berhabuk. Sekarang ia tersergam indah, dihiasi dengan pelbagai hiasan. Bilik inilah markas kami, tempat untuk mengulang kaji,  tempat untuk bermain dan meluangkan masa setelah waktu persekolahan tamat.

Di hadapan pintu yang tertutup rapat, berdirinya saya bersama Rafie. Saya memandang Rafie. Dia hanya menyungging senyuman bersama tangan yang sudah sedia memegang tombol pintu.

"Awak dah bersedia?" tanya jejaka ini.

"Ya, saya dah bersedia,"

Pengesahan saya itu melebarkan lagi senyuman manis Rafie ini. Tombol pintu akhirnya dipulas. Sebaik pintu dibuka, kelihatan rakan-rakan kami sedang mengerumuni sebuah bungkusan panjang yang terletak di atas sebuah meja. Bungkusan tersebut ditutupi dengan kain putih.

Ia macam... keranda. 

Yusri, Rina, Mei, Mona dan juga Wani masing-masing memandang ke arah kami berdua yang sedang melangkah masuk ke dalam.

"Sampai pun awak, Inas. Yusri kata kitaorang tak boleh buka kalau awak tak ada dekat sini," kata Rina lalu berjalan mendekati saya.

"Eh, saya ke yang kena buka bungkusan tu?" Saya semakin curiga. Apakah ini 'sesuatu' yang dimaksudkan oleh Rafie tadi? 

"Betul tu, katanya hadiah untuk awak?" celah Mona lalu memegang kedua-dua belah bahu saya dari belakang.

"Hadiah? Besarnya. Memang betul-betul untuk saya ke?" Pernyataan itu membuat saya takjub. Sungguh tak disangka hadiah ini terlalu besar.

"Alah kau ni banyak tanya pula. Dah, pergi buka. Saya pasti awak akan gembira nanti," arah Rina. Dia menolak sedikit tubuh saya ke hadapan.

"Yalah, yalah saya bukalah ni." Saya mencebik bibir. Tak tahan didesak oleh mereka yang berada dalam bilik ini. 

Ikatan bungkusan tersebut ditarik, bersama-sama kain putih yang membaluti objek tersebut. Saat kain itu terbuka, mata saya mula bersinar. Saya menutup mulut.

"Tak mungkin. Ni bukan ke... keyboard!" jerit saya. Sungguh saya tidak mempercayainya. Inilah alat muzik yang seakan-akan piano. Keyboard namanya. Dan hadiah ini untuk saya?

Yusri datang menghampiri saya. Keyboard yang ada di atas meja disentuh lembut.

"Kalau kau nak tahu, ni keyboard kepunyaan Rafie. Kitaorang dengar, kau ni teringin nak kembali bermain piano. Jadi disebabkan rasa kasihan, kami suruhlah Rafie untuk bawa keyboard ni ke sekolah," terang jejaka popular ini, tangan kanannya disuakan ke arah Rafie. 

Rafie memberi riak terkejut. Cepat-cepat dia memalingkan wajah.

"Alah, tak ada benda sangat pun. Kebetulan keluarga aku ada simpan keyboard ni. Jadi apa salahnya kalau aku bagi kau guna, kan," ujar Rafie, dingin. Riak wajahnya sedikit pun tidak menunjukkan perasaan.

Saya tidak terasa hati. Sebabnya saya tahu bahawa itu hanyalah lakonannya dihadapan rakan-rakan kami. Semunya demi untuk merahsiakan hubungan rahsia kami daripada pengetahuan mereka. Itulah janji saya bersama Rafie.

Hati saya berasa terharu. Dahulu saya pernah bercerita kepada Rafie,  bahawa saya teringin untuk memainkan semula piano. Namun, apakan daya hajat itu tidak kesampaian. Piano milik saya telah pun dijual.

"Awak bawa keyboard ni dari rumah? Tapi kenapa? Kenapa korang sanggup buat semua ni untuk saya? Saya tak minta semua ni." 

Persoalan saya tidak dijawab oleh Rafie. 

"Inas." Rina mendekati saya.

"Sebenarnya sayalah yang suruh Rafie bawakan keyboard ni ke sini. Awak selalu cakap yang awak teringin nak main piano. Yalah, sejak keluarga awak jual piano kesayangan awak tu, saya tengok awak asyik mengidam je, sampaikan saya rasa kesian."

"Betul tu, Inas." Suara Mei pula kedengaran 

"Disebabkan kami kesian dekat awak, kami minta cadangan daripada Rafie. Kebetulan Rafie ada simpan keyboard di rumahnya. Jadi dia pun bawalah keyboard ni untuk awak."

Pandangan saya beralih pada Rafie. Mata-mata mula memandang ke arahnya. Terkedu jejaka kurus ini hingga pipinya merona merah. Lantas pandangannya dikalihkan.

Malu-malu pula dia ya. Nasib comel.

"Terima kasih awak. Terima kasih sangat-sangat." Lembut suara saya tatkala mengucapkan ayat itu. Saya yakin, ucapan itu sudah cukup untuk mencairkan hatinya. 

Dia pun apa lagi, cepat-cepat menyorok wajah.

"Sama-sama," balasnya tanpa melihat sedikit pun wajah saya. Sengaja belagak tenang tetapi lagaknya itu pantas dikesan oleh rakan-rakan kami.

"Wah! First time aku nampak Rafie malu-malu macam ni," usik Wani lalu diikuti Rina.

"Kan! Kan! Mesti cairkan hati kau tu." 

"Tak... tak ada lah! Dahlah lupakan semua tu. Alang-alang keyboard dah ada, apa kata kau mainkan keyboard ni. Susah-susah je aku bawa tapi tak dimainkan," suruh Rafie yang cuba untuk menukar topik.

"Eh! Itu..." Saya terkedu. Boleh pula dia menggunakan saya untuk menyelamatkan dirinya. Huhuhu, baru sahaja puji yang dia ini comel.

"Ha'ah lah kan. Boleh tak kitaorang tengok bakat awak yang terpendam tu." Nampaknya Mona termakan dengan taktik Rafie.

"Ya tak ya lah kan. Saya pun nak dengar juga. Mana tahu serupa Mozart ke," celah Wani. Terus mereka yang lain bersetuju.

"Cepatlah Inas, pun nak tengok juga you main keyboard," pinta Mei.

Desakan demi desakan. Hendak buat macam mana lagi. Terpaksalah saya akur.

"Yalah, yalah. Saya cuba ya."

Sebuah kerusi ditarik. Kemudian, saya melabuhkan punggung untuk duduk. Sebelum bermain saya menguji keyboard dengan menekan satu per satu not. Manalah tahu jika ada kerosakan. Apabila berpuas hati, saya pun memilih lagu Jeritan Batinku karya P. Ramlee sebagai lagu pilihan.

Jari-jemari menekan not keyboard. Alunan muzik mula berkumandang. Nikmatnya rasa. Perasaan yang sudah lama saya tidak rasai. Khusyuk. Sampaikan saya tidak menghiraukan setiap bisikan yang sayup kedengaran. 

Adapun ketika itu, muncul satu pancaran cahaya yang muncul secara tiba-tiba. Pun begitu, fokus saya tidak terganggu, masih khusyuk diresapi rasa gian. Saya yakin ada yang mengambil gambar.

Not akhir ditekan, serta-merta saya berhenti bermain. Seketika pula saya menoleh. Masing-masing terpaku. Tidak bersuara. Saya lihat mereka satu per satu dan terlihat sebuah kamera yang dipegang Irwan. Barulah saya tahu dari mana datangnya cahaya tersebut.

"Macam mana? Okey tak saya main?" Saya bertanyakan pendapat mereka. 

"Inas!" Mei meluru ke arah saya. Wajahnya kelihatan teruja.

"Tahu tak itu lebih dari baik," ujarnya.

"Eh, ye ke?"

"Betul tu wei! Cara awak bermain lebih kurang macam pemain profesional tau." Mona pula bersuara.

Saya tergelak kecil. "Tak mungkinlah. Saya biasa-biasa je. Untuk capai tahap profesional, banyak latihan yang saya kena buat."

"Tipulah, saya dengar pun dah macam profesional," balas Mona lagi.

"Inas, dah lama betul saya tak dengar awak main. Saya rasa permainan awak ni lagi baik dari sebelum ni," kata Rina lalu menepuk bahu.

"Eh! Tak mungkinlah. Korang ni... sengaja kan. Betul tak?" rungut saya manja. Ada, ada sahaja mereka ini, puji terlalu melebih. Malunya sampai terasa di pipi.

"Sekurang-kurangnya pujian itu positif bukan? Bukan ke itu lagi baik?" Suara tegas Rafie memecahkan perbualan kami. Saya memandangnya. Jangan risau, saya tidak terkejut. Malah satu senyuman sempat diberikan.

"Mungkin betul cakap awak tu. Terima kasih korang semua," ucap saya kepada mereka.

"Wah!" Jeritan suara Irwan mengejutkan kami. 

"Haish! Yang kau ni dah kenapa?" marah Rina. Terus semua tertumpu pada Irwan. Dia sedang melihat kameranya. Tak lama selepas itu, dia beralih pada kami sambil menunjukkan gambar yang diambilnya.

"Aku tak sangka gambar Inas sewaktu main piano tadi boleh jadi cantik macam ni."

"Pang!" Rafie menepuk kuat belakang Irwan. 

"Lembab, tu bukan piano lah," marahnya.

"Eh! Bukan ke?"

"Itu keyboard,  Irwan. Bukan piano." Yusri menerangkan kepada Irwan.

Irwan mengangguk lalu mengusap belakang kepala. "Oooohhh... ya ke. Aku mana tahu."

"Alah, aku pun baru tahu ni, Wan," gumam Hairi kepada rakannya itu.

"Tapi tak kisahlah. Janji aku dah dapat gambar yang aku nak. Bolehlah aku submit gambar ni untuk pertandingan gambar terbaik pada Hari Keusahawanan nanti."

"Oh, maksud kau, kelab fotografi ada buat pertandingan ke?" tanya Hairi.

"Ha'ah, pertandingan fotografi. Terbuka kepada semua orang tau. Tak kira pelajar ataupun pelawat. Nak submit boleh beritahu aku."

Masing-masing mulai bising. Terutamanya kami budak perempuan.

"Wah, macam menarik je! Apa kata kita masuk sekali, Inas?" Rina memegang tangan. Matanya bersinar, seperti menekan saya untuk menurut serta.

"Eh, tak mahu lah. Saya tak reti lah nak tangkap gambar." Saya memberi alasan.

"Aku tak suruh kau untuk ambil gambar lah. Aku cuma nak kau jadi model untuk gambar aku je. Boleh?" Rupa-rupanya ini idea gadis lincah ini. Berani dia memaksa saya. Apa tak ada orang lain ke yang boleh jadi model gambar?

"Ehhh! Lagilah saya tak nak," rungut saya sungguh.

"Bagus juga idea awak tu, Rina." Mona datang menyampuk. 

"Inas, kalau awak jadi model gambar mesti akan menang punya. Maklumlah awak kan comel, manis macam gadis melayu terakhir." Sambung Mona lagi. Saya tidak tahu hendak memberi reaksi. Bunyi macam melebih sahaja mereka ini. Tak mungkinlah saya sesuai jadi model. Tak boleh jadi macam ini, saya kena cari jalan keluar dari perangkap mereka.

Mata saya memandang Mona. Mungkin saya patut alihkan topik kepada dia pula.

"Aha! Mona pun apa kurangnya. Mona pun comel juga. Tiap kali saya nampak awak, mesti rasa macam nak peluk je," puji saya pula. Dia nyata terkejut. Langsung terseringailah gadis kecil molek ini.

"Hehehe... janganlah puji saya melebih, Inas. Malu pula rasa." Mona memegang kedua-dua belah pipinya. Malu bercampur gembira.

"Aku setuju fasal Mona tu, Inas. Sayangnya dia single lagi. Hehehe," usik Wani.

Mona mendibab bahu Wani. "Waniii!" jeritnya, meleret. Tahu-tahu Mona sudah tertunduk malu.

Kami budak perempuan mula tertawa. Begitulah kerenah kami sekawan di  dalam bilik ini. Sejujurnya inilah hari yang tak mampu saya lupakan. Hari yang membuatkan hubungan kami menjadi semakin erat.

Sedang saya tertawa, saya terpandang ke arah Rafie. Mata kami bertemu secara tidak sengaja. Jika dahulu kami memalingkan wajah, kini kami sudah boleh memberikan senyuman. Dalam masa yang sama dia melambaikan tangannya.

Bila diamati dengan elok, beg sekolah sudah digalas pada bahunya. Saya faham akan isyarat itu. Rafie mengambil keputusan untuk pulang terlebih dahulu. Saya mengangguk ke arahnya.

Lantaran itu, saya pun kembali bersembang dengan rakan-rakan sehinggalah kami mengambil keputusan untuk pulang bersama-sama.

*****************************

Rafie berjalan keluar dari Bilik Impian. Dia mahu pulang, itupun setelah merasakan tiada apa yang perlu dia lakukan di bilik itu. 

Akan tetapi, tindakannya itu mendapat perhatian rakan baiknya, Yusri. 

"Wei, Rafie! Nak balik dah ke? Awal lagi." Berlari-lari Yusri sambil memanggilnya. Rafie sempat menoleh, dan pada masa yang sama Yusri sudah tiba di hadapannya.

"Awalnya kau nak balik?" soal Yusri.

"Aku ada hal. Lagipun, kita kan dah tak ada benda nak buat dekat bilik tu," jawabnya dingin.

"Tapi kalau ya pun ucaplah selamat pulang dekat diorang? Kata kawan." Nasihat Yusri. Baginya agak tidak manis jika Rafie pergi tanpa ucap selamat pulang.

Bola mata Rafie sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Fikirannya mengatakan bahawa kata-kata Yusri ini ada betulnya juga. Tapi hendak buat macam mana, dia sendiri sudah keluar dari bilik itu.

"Tak mengapalah. Biarlah diorang bersembang. Yang penting aku nak balik." Sebaik membalas, Rafie kembali mengorak langkah. Balasan dinginnya itu membuatkan dahi jejaka popular ini berkerut. Dia hairan. Rafie seperti mahu mengelak dari sesuatu.

"Kenapa kau macam nak mengelak sesuatu? Hah?" Langkah Rafie terhenti. 

"Kau tahu tak. Perangai kau ni makin hari makin pelik. Aku perasan yang kau berubah lepas kita balik dari pertunjukan bunga api hari tu." Bukan apa, setelah peristiwa yang berlaku di pesta bunga api, Rafie sudah kurang bersembang. Dia lebih diam dari biasa. Tambah pula, Yusri semakin jarang melihat Rafie pulang bersama dengan Inas. Tak sama seperti tahun lepas.

Sejujurnya dia mengesyaki sesuatu. Barangkali ada sesuatu telah berlaku pada malam pesta bunga api.

Rafie hanya mendiamkan diri. Seketika pula menelan payah air liurnya. Dia risau jika Yusri sudah ketahui hubungan rahsianya bersama Inas.

"Ada apa-apa yang berlaku ke malam pesta bunga api hari tu?" Yusri mahukan jawapan.

"Entah?" balasnya ringkas.

"Kau... masih belum confess lagi dekat dia, kan?"

Pertanyaan itu tidak dijawab.

"Raf..."

"Lupakan je semua tu, Yush." Rafie memotong ayatnya. 

"Aku rasa belum sampai masanya untuk aku confess. Aku harap kau faham dengan kehendak aku ni." Sebaik ayat itu diucapkan, Rafie meneruskan perjalanannya.

"Wei, kau pasti?"

Rafie tidak mengendahkan pertanyaan itu. Dia terus berjalan tanpa menoleh.

"Rafie! Rafie!" Yusri menjerit. Melihatkan rakannya tidak membalas, dia akhirnya diam. 

"Apa kena dengan dia ni?" gumam Yusri bersama kemusykilannya.

Bersambung...

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk