Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 20

Impian

Tawaan, senyuman dan kegembiraan, semuanya terpancar pada wajah. Pengalaman baru hari ini begitu menyeronokkan. Rafie yang berada di sebelah hanya tersenyum. Mungkin berpuas hati setelah ajakannya ini berjaya membuat saya gembira. 

Setelah puas bermain di arked, masa yang terluang ini dimanfaatkan dengan bersiar-siar di sekitar kawasan luar kompleks beli belah. Jalan-jalan makan angin katakan. 

Dengan air fountain yang memancut indah di sekitar kompleks ini, membuatkan suasana kedengaran tenang dengan bunyi airnya.

Kebetulan ada satu bangku kosong berdekatan fountain itu. Segera saya dan Rafie duduk untuk berehat. Walaupun kami duduk sebelah menyebelah tetapi Rafie menjarakkan sedikit tubuhnya untuk memberikan ruang di antara kami berdua. Maklumlah kami berlainan jantina, perlu menjaga batas dalam pergaulan.

Suasana antara kami menjadi sunyi. Langsung tiada satu pun perbualan dimulakan. Hanya bunyi air fountain sahaja yang kedengaran.

"Urrmm... Inas." Rafie membuka bicara. "Tadi kat wayang kau cakap kau tak berapa suka dengan cerita seram, kan? Boleh aku tahu sebab apa?".

"Aha, saya tak suka sangat cerita seram. Sebabnya saya susah nak kawal ketakutan saya. Bila waktu malam nanti mesti saya tak boleh nak tidur," terang saya kepadanya

"Oh, sampai macam tu ya."

"Awak jangan risau. Sekarang saya dah okey sikit. Itupun sebab saya lebih teringatkan game yang kita main tadi. Seronok sangat." Terujanya saya sampai hingga hampir menepuk tangan. 

Wajah lega ditampilkan oleh Rafie. "Ya ke. Baguslah kalau kau suka."

"Tapi kan awak, boleh tak saya nak tahu kenapa awak bawa saya ke arked tu?" Persoalan itu diajukan. Sejujurnya saya masih keliru apa tujuan dia membawa saya ke arked itu.

"Saje. Sebab aku nampak kau takut sangat tadi."

"Sebab saya takut? Apa kaitannya?" Kepala saya yang bertudung litup digaru walaupun tidak berasa gatal. Rafie mengerling bersama senyumannya.

"Sebab aku ada dengar kalau nak atasi ketakutan terhadap benda yang menakutkan, buatlah sesuatu yang menyeronokkan. Macam positif, kan lawannya negatif. Jadi bila kita banyakkan sifat positif, secara tak langsung sifat negatif tadi akan hilang. Sakli gus, awak kembali tenang semula. So, sekarang macam mana? Rasa takut kau tu, dah okey?"

Saya diam sejenak. Bila dia kata begitu baru saya perasan bahawa ketakutan tadi sudah semakin reda. Telapak tangan juga diperiksa. Langsung tidak menggigil.

"Eh! Ha'ah lah! Bila awak cakap macam tu baru saya perasan tangan saya tak menggeletar pun. Biasanya lepas tengok cerita seram, tangan saya akan menggeletar," nyata saya, terkejut.

Rafie menunjukkan isyarat good job. "Cun!"

Saya tertawa kecil. Tangan saya pula menutup sedikit mulut kerana cuba menahan tawaan itu. "Terima kasih, awak. Terima kasih sangat-sangat."

"Tak da hal, Inas. Aku cuma buat yang terbaik je." Sekali lagi dia memberikan senyuman. Cuma kali ini lebih lebar.

Perbualan kami terjeda. Dalam tempoh jeda itu, mulalah saya mengerling wajah tenang jejaka ini. Hairan. Sudah banyak perkara sedih terjadi dalam hidupnya tetapi wajahnya masih tenang.  Seolah-olah dia tidak mempunyai masalah.

Beberapa bulan yang lalu, wajahnya tidak selalu begini. Kebiasaannya dia akan buat wajah muram. Sampaikan ada yang mengatakan dia nerd. Namun, itu cerita dahulu. Sekarang dia sudah lain. Dia sudah mampu untuk tersenyum dengan lebar.

"Saya gembira bila tengok awak senyum macam ni. Awak dah kembali," ujar saya secara tiba-tiba.

Rafie kembali memandang dengan dahinya berkerut. "Apa maksud awak dah kembali?"

Sebelum menjawab persoalannya, mata saya beralih pada corakan air fountain yang memancur indah di hadapan kami. 

"Rafie yang saya kenal waktu sekolah rendah, lebih cenderung untuk melemparkan senyuman. Walaupun awak ni pendiam, awak juga seorang yang ceria. Tapi sejak awak masuk sekolah menengah, awak asyik muram je. Dah tak sama macam dulu. Jadi sebab itulah saya cakap yang diri awak dah kembali semula," terang saya. Wajahnya yang tenang dipandang semula. 

"Saya bersyukur sebab tegur awak hari tu. Kalau tak mesti hubungan kita tak rapat seperti sekarang. Kan? Bila dah berkawan barulah tahu awak ni baik orangnya." Pujian saya itu membuatkan dia menarik wajahnya. 

"Ap... apa yang kau merepek ni. Aku baik dengan kau sebab kau kawan aku. Bukan sebab apa pun," nafinya. 

Alahai comelnya bila dia buat wajah begini. Wajah malu-malu.

"Tapi... aku pun nak ucap terima kasih dekat kau, Inas. Bila aku dah berkawan dengan kau, baru aku dapat rasa seronoknya berkawan ni. Nikmat yang dah lama aku tak rasa. Aku rasa... lebih gembira." Rafie menggaru pipinya. Matanya pula meliar ke sekeliling.

"Kau lebih kurang sama dengan Ammar. Selalu sapa aku walaupun aku ni tak ada kawan. Kau... penyuluh pelita hidup aku. Terima kasih sebab tegur aku. Aku... hargainya." Langsung jejaka ini melemparkan senyumannya. Kali ini senyumannya lebih manis dari biasa. Nampak seperti ikhlas.

"Sama-sama." Saya membalas. Dalam senyuman itu, ada sesuatu yang saya cuba sembunyikan. Rafie kata senyuman saya ini manis. Namun, dia tidak tahu senyuman saya ini menyimpan hanya menutup rasa sedih yang menyelebungi diri. Tanpa saya sedar, senyuman tadi sudah berubah kelat. 

"Kenapa kau tiba-tiba muram ni, Inas?" tanya dia setelah perasan perubahan wajah saya.

"Saya cemburu dengan sifat awak tu. Senyuman awak ikhlas. Tak sama macam saya, senyum sebab nak jaga hati orang. Sama juga dengan kehendak saya. Semuanya ikut orang dan bukan kehendak diri. Sampaikan saya terpaksa korbankan minat saya untuk penuhi permintaan orang lain." Luahan itu berasama suara yang kedengaran sebak.

"Apa maksud kau tu?" Wajah Rafie penuh kemusykilan.

"Rafie, boleh tak saya nak luahkan sesuatu dekat awak?" Dia diam, tetapi dia kemudian mengangguk.

"Awak ada impian tak, Rafie?"

"Ada."

"Saya pun sama. Cuma... impian tu terpaksa dilupakan." Pengakuan saya itu membuat Rafie tersentak. 

"Inas," panggilnya perlahan.

"Maaf kalau saya buat awak terkejut. Saya cuma nak luahkan apa yang saya rasa sahaja," terang saya lagi. Dengan perlahan bibir ini cuba untuk senyum. Mahu nampak kuat di matanya.

Entah mengapa saya luahkan isi hati yang terbuku kepada Rafie. Padahal sebelum ini saya tidak pernah bercerita dekat sesiapa, termasuklah Kak Iman. 

"Inas... aku tak tahu apa yang buat kau terfikir begitu. Tapi bukan ke itu juga kehendak kau? Kau yang pilih jalan begitu, jadi kenapa kau yang rasa sedih sekarang?" 

Saya menunduk kesal. Kata-kata jejaka ini ada benarnya. Tapi dia tidak tahu apa yang saya maksudkan dan saya tidak patut salahkan dia.

"Awak tak tahu tentang saya, Rafie. Keputusan saya buat sebab terpaksa. Ia bukan sesuatu yang saya nak. Saya... terpaksa." Air mata hampir menitis. Nasib saya sempat menahannya. 

Rafie mengangguk faham. Seraya itu dia menyilangkan tanganya pada dada. 

"Okey, aku dah faham. Ni mesti permintaan dari parents kau, betul tak?" Rafie meneka. Saya memberi riak terkejut.

"Eh, mana awak tahu?" 

"Dah agak dah. Tekaan saya betul," balasnya sebelum menyambung semula ayatnya. 

"Masalah dengan mak dan ayah ni susah aku nak selesaikan, Inas. Mak dengan ayah ni sebenarnya dia sayang sangat dekat kita. Diorang ni kalau boleh nak je buat yang terbaik untuk kita. Sebab itulah diorang suruh kita ikut cakap diorang. Tapi itulah... kadang diorang terlampau ikut impian diorang sampaikan terlupa impian anak-anak mereka." Panjang lebar penerangannya.

Pun begitu, saya setuju dengan penerangan itu. Bukanlah saya hendak menyalahkan ibu dan ayah tetapi itulah kebenaran yang berlaku sekarang ini.

Kepala Rafie mula mendongak langit. Nafasnya dihela perlahan. "Nak tahu tak Inas, sebenarnya aku ni ada impian nak jadi penulis tau. Sebab dengan menulis aku jadi lebih tenang. Makin menarik, bila aku boleh buat dunia aku sendiri dengan menulis."

Kepalanya itu diturunkan lalu menoleh muka saya.

"Kalau kau macam mana, Inas? Apa impian kau?"

"Eh? Impian saya? Ermm... saya..." Wajah saya ditundukkan. Malu untuk menyatakan impian itu kepadanya. 

"Jangan risau, aku takkan ketawa." Dia cuba meyakinkan saya.

Bibir ini dikemam seketika. Jari pula dimainkan perlahan. Diiringi pula dengan hembusan perlahan nafas saya. 

"Sebenarnya saya nak jadi pemain piano dekat okestra."

"Pemain piano? Wah, hebatnya impian kau tu! Kau pandai main ke?" Jejaka ini berubah teruja.

"Eh? Aha, dari kecil lagi saya dah main piano ni. Tapi saya dah jarang main sejak masuk form 1. Ibu saya tak bagi sebab dia nak saya fokuskan dengan pelajaran. Sebab itulah saya terpaksa lupakannya."

"Macam tu ke." Dia tertawa kecil. 

"Kau tahu tak Inas, impian ni sangat misteri tau. Kalau kita kejar, kita rasa mustahil nak capai. Tapi kalau kita berhenti, impian tu akan makin jauh dari kita, kan?"

"Cakap awak ada betulnya. Tapi..." Belum sempat saya menyambung Rafie mencelah.

"Tahu tak, kalau aku ada anak kan, aku akan biar je diorang untuk capai impian sendiri. Asalkan diorang berjaya dalam hidup, ia dah cukup untuk buat aku gembira. Bukan setakat anak aku je. Iky pun sama. Selagi dia ada cita-cita, aku akan tetap sokong impian dia tu," terangnya. Dia berjeda sebelum menyambung kembali.

"Itulah namanya dorongan. Tindakan tidak akan datang tanpa dorongan. Barulah hati ini akan kuat. Sama dengan situasi kau Inas. Ikut je hati kau, kalau kau rasa ia mustahil untuk kau, kau akan tahu yang impian tu bukan untuk kau. Tapi kalau betul kau mampu, teruskan. Insya-Allah sekiranya diizinkan."

Itulah nasihat Rafie yang pada saya sangat membantu. Mungkin ada betul kata-katanya itu. Hanya saya sahaja yang tahu sama ada impian ini mampu untuk diteruskan. 

"I see. Ikut kata hati ya." Wajah kelat saya mula mengukir senyum. "Terima kasih Rafie sebab beri nasihat tu. Mungkin nasihat tu akan membantu saya.".

Rafie mula tertawa. Entah apa yang diketawakan saya sendiri tidak tahu. 

"Ikutkan hari ni, dah banyak kali kau ucap terima kasih dekat aku. Tapi tak apa, aku faham. Kau ni naif orangnya. Sebab itulah yang buatkan kau ialah Inas dan bukan orang lain. Seriously, suka sifat kau tu, Inas." 

Sekelip mata, pipi saya merona merah.  Akibat malu tidak tertahan, pantas saya memalingkan muka dari memandang wajahnya.

"Kau mesti pelik sebab aku cakap macam tu. Tapi itu tak ubah pendirian aku. Kau sangat istimewa untuk aku, Inas. Kau kawan aku yang paling comel dan cantik." Makin lama makin melebih pula pujian dia. Mesti niatnya mahu mengusik saya yang sudah tidak mampu menahan malu.

"Janganlah cakap macam tu lagi. Malu tahu tak." Sungut saya sambil menutup muka. Bagaimanapun Rafie hanya tertawa dengan gelagat saya. Jelas dia memang nak kenakan saya.

*****************************

Tubuh Rafie direbahkan di atas katil. Sungguh dia penat hari ini hingga matanya kini hampir kuyu. Dalam kepenatan itu, ada kepuasan di dalam hatinya. Kepuasan apabila dapat meluangkan masa dengan rakannya setelah sekian lama. 

Tangannya mula mencapai telefon. Kemudian, dia membuka satu gambar pada telefonnya. Gambar itu ditatap lama. Ia memaparkan dua orang lelaki yang memakai baju biru pengawas. Gambar dirinya bersama Ammar, rakan baiknya sewaktu sekolah rendah.

"Mar. Aku dah jumpa pengganti kau, Mar.  Aku gembira sangat." Monolognya seorang diri.

Tak lama selepas itu, dia menutup skrin telefon lalu diletakkan disebelahnya. 

"Seronok berkawan dengan kau, Inas," gumamnya. Lama-kelamaan matanya perlahan-lahan tertutup. Dia tertidur. Akan tetapi, tidurnya ini tidak sama seperti dahulu. Dia tidur dengan senyuman.

Bersambung...

Previous: Bab 20
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk