Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,361
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3

BINGKAI foto keluarga yang terletak di atas meja kerja dipandang dengan pandangan yang tajam. Sesekali, giginya yang diketap saling berlaga. Aura bilik itu sungguh terasa bahang walaupun pendingin hawa telah dipasang. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu akan pulang ke pangkuan keluarganya setelah empat tahun Datuk Idris merangkap ketua keluarga pergi menghadap ilahi. Semuanya hanya kerana Datin Khalida yang ingin mengagihkan wasiat. Seolah-olah wanita itu sudah bersedia untuk meninggalkan anak-anaknya sahaja.

Masalahnya, kepulangan pemuda itu akan mengucar-ngacirkan rancangan yang telah dibina selama ketiadaan pemuda itu! Kalau pemuda itu pulang pasti segala rancangannya akan gagal. Lebih-lebih lagi pemuda itu bukan orang sembarangan! Bila-bila masa sahaja kerja gelapnya akan musnah sekelip mata.

Lantas saat kemarahan itu semakin bertambah, foto keluarga terus dimasukkan ke dalam laci meja kerja. Sungguh, foto itu menyakitkan sepasang matanya. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dibakar foto itu. Tapi pasti keluarganya akan bertanyakan tentang kehilangan foto itu nanti. Namun, saat dia teringat akan rancangannya malam ini membuatkan segaris senyuman sinis terukir di bibirnya. Dia harapkan, anak-anak buahnya dapat menghapuskan riwayat pemuda itu malam ini juga. Jadi, dia tidak payah bersusah payah untuk memakai 'topeng' lagi.

Dalam masa yang sama, seorang pemuda berjaket hitam semakin tangkas melawan tujuh orang lelaki yang mengepungnya berhampiran sebuah jalan berhampiran semak samun. Keretanya sudah tersadai di bahu jalan tatkala mereka melanggarnya dari belakang sebentar tadi. Hampir sahaja dia mengalami kemalangan akibat dilanggar dari belakang oleh sebuah van putih. Malahan, bonet kereta di bahagian belakang sudah kemek disebabkan kejadian itu.

Tendangan demi tendangan dihayunkan ke arah penyerangnya dengan tangkas. Sesekali, dia mengilas tangan lawan yang ingin memukul wajahnya dan membanting tubuh itu ke belakang. Erangan semakin kuat memenuhi kawasan yang sunyi itu. Semakin mereka mara menyerangnya, dia semakin tangkas membaca pergerakan musuh. Akibat terlalu lama tidak bertempur, dia jadi mengah. Namun, tidak akan sesekali dia membiarkan mereka terus mencelakainya!

Lantas, seluruh tenaga terus dikerahkan untuk mempertahankan diri. Kini dia berhadapan dengan empat orang lelaki lagi dan dua daripada mereka sedang memegang besbol. Apabila salah seorang daripada mereka mara menyerang, dia lantas menghayunkan tendangannya ke wajah lelaki itu. Namun, serangan dari belakang membejatkan pergerakannya. Seorang lelaki bertatu lipan di bahagian leher mencengkam lehernya dengan menggunakan lengan dari belakang. Dia ingin melawan. Namun semakin dia melawan, cengkaman dari belakang itu semakin ketat sehingga membuatkan dia sukar untuk bernafas.

Di hadapannya pula, seorang lelaki sudah mara dengan sebilah pisau untuk menyerangnya. Dengan kudrat yang masih tersisa dia tangkas melompat dan menghayunkan tendangan kuatnya ke dada lelaki itu. Segera dia menyiku kuat wajah penyerang yang masih mencengkam lehernya di belakang. Apabila cengkaman longgar, dia lantas berpusing dan menghayunkan sekali lagi tendangannya ke tubuh lelaki itu bertubi-tubi. Akibat serangan cekapnya, lelaki bertatu lipan itu rebah. Si lelaki berjaket hitam terus terbatuk-batuk ingin mencari nafasnya yang sesak. Sungguh, seluruh tubuhnya sudah terasa sengal.

"Siapa yang hantar korang ni?!" jerkahnya sekuat hati. Pandangannya ditebarkan ke arah tiga lagi lelaki yang masih gagah berdiri. Apabila sebuah tendangan hampir dilayangkan dari sisi, dia segera menunduk dan membentes kaki lawannya. Buru-buru dia mengilas tangan lawan ke belakang apabila lawannya rebah akibat serangan cekapnya. Erangan musuh kedengaran tatkala pemuda itu mematahkan tangan musuhnya sekelip mata. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi pemuda yang diserang itu. Cecair darah yang mengalir di pipinya akibat pukulan kuat tadi dikesat kasar. Kini, dua orang lelaki yang berbadan besar berada di hadapannya. Lawan yang sukar untuk dilumpuhkan!

"Kau orang dengar sini, aku dah penat kau orang tahu tak! Kau orang nak apa sebenarnya ni? Duit? Aku ni bukannya anak raja yang kaya raya nak bagi duit dekat kau orang. Nak duit pergilah kerja! Tak payah kacau hidup aku!" tegas lelaki itu seraya menyambar kayu yang tergeletak di sebelahnya. Setapak demi setapak dia berundur ke belakang. Sungguh, dia sudah kehabisan tenaga. Enam tahun dia tidak menggunakan stamina untuk bertarung dan langkahnya juga semakin canggung. Enam tahun dia hidup dalam keadaan aman tapi malam ini keamanannya hilang sekelip mata!

"Kami nak kematian kau. Kami nak cabut jantung kau dan bagi pada ketua kami!" tegas salah seorang daripada mereka seraya meluru ke arah pemuda yang sudah ketawa sinis itu. Mengejek kata-kata lelaki berkepala botak. Lantas, dia menghayunkan sebatang kayu ke tubuh lelaki itu. Namun, lelaki itu lebih tangkas mengelak dengan mengenggam kayu tersebut. Tendangannya ditujahkan ke perut lelaki malang itu sehingga kayu terlepas dari tangannya.

Si lelaki tersungkur di belakang keretanya sehingga kereta itu berbunyi dengan nyaring. Dahinya berkerut menahan sengal. Tangan dilekapkan di dadanya. Terasa mahu patah tulang rusuknya tatkala menerima tendangan kuat itu. Dia terus memikirkan sesuatu untuk meloloskan diri. Dalam keadaan dia kehabisan tenaga, dia tidak bisa terus-terusan berlawan. "Oh nak bunuh aku? Hah bunuhlah. Nak pisau? Aku ambil kejap dari kereta aku," katanya seraya membuka pintu kereta. Sengaja mencabar lawan yang bersisa dua orang.

Namun, si penyerang kembali mara dengan menghayunkan kayu ke tubuh lelaki itu dari belakang. Lelaki itu tangkas mengelak dan kayu terkena padu pada pintu keretanya.

PRANG!

Cermin tingkap berderai pecah sekelip mata. Melongo mulut si lelaki tatkala kereta kesayangannya dihancurkan. Tadi bonet keretanya yang dirosakkan dan sekarang cermin tingkap bahagian pemandu pula. Dia ketawa sinis apabila kemarahannya mula muncul. Wajah dua orang penyerang itu dipandang silih berganti sebelum dia kembali beraksi. Sungguh, dia benar-benar berang tatkala kereta yang dibeli dengan hasil titik peluhnya dirosakkan di hadapan matanya sendiri!

Sekali lagi, tendangan demi tendangan dihayunkan ke arah dua lelaki itu tanpa berkesempatan mereka mengelak. Dia sudah cuba cara baik tapi mereka tidak mahu melepaskannya. Ini jalan terakhir yang dia pilih setelah sekian lama dia tidak mengeluarkan skil mempertahankan diri. Wajah lelaki berjaket hitam itu semakin membahang apabila dia seolah-olah mengimbas pada detik hitam dalam hidupnya. Apabila dia menyaksikan rakan-rakannya mati di hadapan matanya sendiri. Salah seorang lawan yang ingin mengacukan pisau ke arahnya juga menerima habuan amukan Hud apabila Hud tangkas mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan lelaki itu sebelum tubuhnya dibanting ke belakang.

"Hud!"

Laungan kuat itu langsung tidak diendahkan. Hud terus-terusan menggila dengan menghentak kepala lawannya yang sudah lunyai di atas jalan tar. Nafasnya turun naik melepaskan amarah. Sayup-sayup kedengaran erangan lawannya itu. Terasa mahu pecah tempurung kepalanya apabila kepalanya dihentak ke atas jalan tanpa henti. Cecair merah sudah mengalir di jalan tar itu.

"Kau dengar ni baik-baik! Jangan... cari... pasal... dengan... yang... namanya... Hud Aidan!" jerkah Hud dengan perkataan yang disebut satu per satu sebagai penegasan sambil memijak kepala lawannya. Sepakan kuat ditujahkan ke tubuh lawannya yang sudah kaku. Mati atau tidak, Hud tidak pasti. Apa yang dia tahu dia berpuas hati menjatuhkan lelaki yang cuba membunuhnya.

Ibrahim sudah tercengang melihat ketujuh-tujuh lelaki yang sudah tumpas di tangan Hud. Enam tahun dia tidak melihat Hud menjatuhkan lawan setelah Hud membuat keputusan untuk keluar dari unit mereka. Buat seketika, dia dan Hud saling berpandangan sebelum sahabatnya itu tersengih seperti tiada apa yang berlaku.

"Kau lambat!" kata Hud sebelum dia terbatuk-batuk menahan perih di dada. Perlahan-lahan, dengan langkah yang lemah dia melangkah menuju ke keretanya.

"Hud, kau teruk ni. Kita pergi hospital sekarang. Pasal bedebah ni aku dah hubungi pasukan kita untuk uruskan," kata Ibrahim. Dia memapah tubuh Hud yang kelihatan longlai namun Hud menegah.

Dengan pandangan yang berbalam-balam, Hud menepuk bahu Ibrahim. Sungguh, kepalanya terasa pusing kala ini. "Pasukan kau. Bukan aku. Aku dah... lama keluar dari pasukan kau. Lagi satu, kalau kau orang nak siasat kenapa dia orang... cuba nak cederakan aku jawapannya sebab... ada orang nak aku... mati."

Setelah Hud menghabiskan kata-katanya, hampir sahaja dia rebah jika Ibrahim tidak memapahnya. Sungguh, pemuda itu merasakan tubuhnya dicucuk dengan berjuta-juta jarum. Sakitnya bukan kepalang! Persoalannya, kenapa ada yang mahu membunuhnya saat ini pun Hud tidak mengerti. Dia hanya membiarkan Ibrahim memapahnya masuk ke dalam kereta. Dalam fikirannya hanya ada satu tempat sahaja saat ini.

"Hantarkan... aku ke Atma Home nursing. Aku nak... menyusahkan mak su aku," kata Hud sebelum dia memejamkan mata. Berharap agar kesakitan itu bisa pulih jika dia terlena.

Ibrahim hanya mengangguk dengan arahan daripada sahabatnya. Suhu penghawa dingin direndahkan sebelum dia menghubungi Doktor Azizah. Ikutkan hati Ibrahim, mahu sahaja dihantarnya Hud ke hospital. Namun, dia mengerti bahawa hospital bukanlah tempat kegemaran seorang Hud Aidan.

..................................................

Nota penulis: Terima kasih sudi membaca karya seorang Syaf ✌😊 sesiapa yang ada wattpad bolehlah follow syaf sekali ye https://www.wattpad.com/story/232820056-kerana-aku-bukan-dia

Sedutan bab 4

"Afrina? Kenapa aku rasa aku pernah dengar nama kau dan tengok muka kau? Familiar," ujar Hud tiba-tiba. Tak semena-mena, suasana bilik pesakit jadi senyap. Tangan Afrina yang ligat membersihkan luka Hud juga terbejat. Sungguh, soalan Hud itu bagaikan halilintar yang memanah gadis itu. Jadi benar. Kata hatinya benar mengatakan bahawa pemuda itu merupakan pemuda yang berlegar di kotak memorinya saat pandangan pertama sebentar tadi.

Previous: Bab 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa