Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,360
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 18

SUASANA di dalam wad privasi berubah dingin setelah pengakuan yang dituturkan oleh Hud Aidan menyapa telinga Afrina. Situasi saat itu membuatkan mereka seolah-olah berada di gurun pasir yang tandus dan ditiup dengan angin yang kencang. Dua figura itu hanya beradu pandangan dengan pandangan yang terbias dengan emosi masing-masing. Tiada sebarang kata yang terzahir dari mulut lancang Afrina lagi setelah Hud mengungkapkan kisah silam yang memeritkan. Kisah silam yang telah mengubah Afrina dari seorang gadis yang lemah menjadi seorang gadis yang teguh seperti seteguh karang di lautan. Menjadi gadis yang mempunyai ketegasan dan tidak mudah tunduk dengan manusia yang cuba menjatuhkannya.

"Tak sangka, kita ditemukan semula setelah 14 tahun berlalu. Kau memang dah berubah seratus peratus. Bukan lagi gadis berkaca mata tebal yang mudah dipijak maruahnya. Bukan lagi gadis yang pemalu dan pendiam. Kau dah jadi seorang Naurah Afrina yang lancang dan tegas pendiriannya. Terlalu besar impak yang dah berlaku dulu sampai kau berubah drastik, Afrina," kata Hud. Ada nada kesal yang terselit di sebalik nada suaranya. Lantas, Hud mengalihkan pandangannya dari terus menatap wajah kaget gadis itu. Hud Aidan terlalu lemah saat ini. Bukan fizikalnya sahaja yang lemah bahkan mentalnya juga begitu lemah saat teringat detik-detik dia menghancurkan hidup Afrina dahulu. Dia kejam!

"Macam mana kau tahu?" soal Afrina. Ada getaran di sebalik suaranya. Pandangannya semakin kabur apabila air mata sudah memenuhi tubir mata. Detak jantungnya masih berdegup kencang dengan kebenaran yang dituturkan oleh Hud Aidan. Sesungguhnya, Afrina tidak bersedia andai perkara 14 tahun yang lalu diungkit semula! Hal itu melemahkannya. Itulah kebodohannya kerana menaruh perasaan buat seorang Hud Aidan.

Hud tersenyum kecil dengan soalan Afrina. Sukar sungguh untuk mengungkapkan jawapan buat gadis itu. Namun, Hud mahu menamatkan persengketaan di antara dia dan Afrina. Dalam keadaan nyawa Afrina sedang menjadi pertaruhan, Hud nekad untuk menamatkan masalah peribadi di antara dia dan Afrina meskipun pengakhirannya Hud sendiri tiada jawapan. Sama ada Afrina bisa memaafkannya atau tidak. Perlahan-lahan, Hud mengalihkan pandangannya ke wajah mendung Afrina semula. Nafas panjang ditarik namun hanya seketika apabila tulang rusuknya yang cedera membantutkan terapi pernafasannya untuk menenangkan diri. Spontan tangan kiri Hud melekap pada abdomennya.

"Jawablah! Macam mana kau tahu? Huh? Kau stalker aku lagi? Kau siasat siapa aku? Macam tu?" Tak semena-mena, julat suara Afrina meninggi lagi tatkala persoalan itu semakin membuak-buak. Dahi Afrina berkerut melepaskan amarah. Wajah kuning langsat gadis itu serta merta kemerahan apabila kemarahan menguasainya. Tiada langsung empati dalam diri Afrina melihat Hud Aidan menahan sakit. Tangannya digenggam erat sehingga kukunya menyucuk tapak tangan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Afrina menghayunkan penumbuknya ke wajah Hud. Namun, masih ada sisi yang menegahnya dari mencederakan lelaki itu.

"Kalau aku cakap yang aku... sukakan kau. Kau percaya?" soal Hud tak semena-mena. Raut wajah Afrina dipandang dengan penuh kasih walaupun wajah itu semakin terbias dengan kebencian.

"Apa yang kau merepek ni? Kau tak faham ke soalan aku? Macam mana kau tahu siapa aku? Macam mana kau tahu yang aku ni budak yang kau dah hancurkan dulu? Budak bodoh yang hampir hapuskan riwayat hidup sendiri sebab..."

"Sebab kau sukakan aku, kan? Ya, aku tahu apa yang dah jadi dulu. Aku tahu kau cuba bunuh diri dan hampir mati selepas kau koma selama dua minggu. Lepas kau sedar, kau pindah ke kampung nenek kau sebab parents kau nak kau berubat kat sana. Sebab kat sana tenang. Kat kampung nenek kau tulah kau berubah jadi Naurah Afrina yang kuat orangnya. Aku tahu semua tu daripada ayah kau sendiri. Sebab semakin aku dekat dengan kau, aku semakin yakin bahawa gadis yang selama ni rawat mama aku gadis yang aku dah sakiti dulu. Aku dah mengaku kepada ayah kau juga Afrina bahawa akulah punca kau hampir bunuh diri. Kau tahu tak, aku menyesal separuh mati. Sangat menyesal dengan apa yang aku dah buat dekat orang..."

Jeda.

Hud tersenyum sinis saat dinding hatinya diketuk bertalu-talu dengan rasa cinta terhadap Naurah Afrina. Ingin sekali dia mengungkapkan kata-kata keramat itu namun melihat pandangan Afrina, dia semakin merasakan bahawa dia tidak layak buat gadis itu. Dia kejam. Dia jahat. Dia hampir membunuh gadis yang sudah bertakhta di hatinya ini. Wajah Hud Aidan serta merta membahang panas. Dinding hatinya seakan-akan pecah menjadi kepingan kaca. Sakitnya melebihi sakit dibelasah oleh konco-konco musuh misterinya!

"Dekat orang yang selalu tolong aku rawat mama dengan seikhlas hati walaupun dia dihina. Orang yang selalu berikan kasih sayang buat anak buah aku yang tak pernah rasa kasih sayang ibu dan ayah. Aku dah tahu siapa kau, Naurah Afrina. Aku minta maaf sebab menyakiti kau. Kalaulah aku boleh kawal waktu tu..."

Hud jeda lagi. Dia terus mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Afrina. Jiwanya semakin sesak. Kerana itu juga Hud merasakan kesakitan pada tulang temulangnya kembali mencengkam. Dinding hatinya jadi sebu. Hud kecewa! Namun, semua itu sudah tak mampu diubah lagi. Dialah punca Afrina hampir mati! Saat ini dia jugalah punca Afrina dalam bahaya!

Tak semena-mena, Afrina ketawa sinis melihat kekecewaan dan penyesalan di sebalik wajah memar Hud Aidan. Dia puas hati! Setitis air mata yang mengalir ke pipinya dikesat kasar. Keluhan berat dilepaskan seakan-akan melepaskan beban yang dipikul di bahunya. Giginya dikacip menahan geram dan amarah. Wajah Hud Aidan dipandang dengan penuh rasa benci. Bagaikan pemuda itu adalah seorang musuh. Bukannya hero yang telah berkorban untuk melindungi nyawanya. Kini, Afrina sudah diselubungi dengan kemarahan. Tekanan yang diberikan kepadanya membuatkan dia tak mampu berfikiran rasional lagi. Lantas, mulutnya yang sentiasa lancang kembali bersuara.

"Bodoh! Kau ni memang bodoh kan sanggup bagi dia orang belasah kau semata-mata nak selamatkan aku! Kau dengar sini baik-baik, memandangkan kau dah tahu siapa Naurah Afrina ni jadi aku tak payah buat kau tertanya-tanya lagi kenapa selama ni aku layan kau dengan kasar! Satu sahaja jawapannya! Sebab... aku bencikan kau, Hud Aidan! Sangat membencikan kau dan apa yang kau dah buat pada aku dulu tu sukar untuk dimaafkan! Jadi semua pengorbanan kau ni sia-sia sahaja sebab aku bencikan kau!" bentak Afrina melepaskan kemarahan yang terbuku di dinding hatinya. Nafasnya turun naik setelah mengherdik dengan melontarkan kata-kata yang meragut hati Hud Aidan sekelip mata sahaja.

Hud benar-benar terkesima dengan kata-kata Afrina. Seolah-olah halilintar memanah dinding hatinya saat kata-kata penuh kebencian itu ditujahkan kepadanya bertalu-talu. Lidahnya kelu untuk berbicara. Terasa kelat liur yang ditelan saat Afrina memandangnya dengan penuh kebencian. Hud Aidan rasa dia sedang dihukum kerana menyakiti gadis itu. Lemah. Hud semakin lemah apabila telinganya terngiang-ngiang dengan perkataan benci daripada Afrina.

"Kau faham tak, aku bencikan kau! Sebanyak mana pun kemaafan yang kau pinta, kau tak mampu nak ulang balik masa 14 tahun yang lalu! Apa yang kau dah buat pada aku tu terlalu kejam! Aku dah buat perkara bodoh sebab aku terlalu sukakan kau. Tak gunalah kau nak menyesal dengan apa yang dah berlaku. Sebab aku... aku tak mampu nak bagi kemaafan buat kau. Kau dengar sini baik-baik, kau tak payah nak libatkan diri kau dalam hidup aku lagi! Mulai hari ni, aku tak nak kau masuk campur dalam urusan hidup aku. Satu hal lagi, aku harap lepas ni aku tak payah tengok muka kau lagi... Hud Aidan!" tambah Afrina lagi. Segala yang terpendam lantas diluahkan saat itu juga. Sungguh, Afrina puas! Puas melihat kekecewaan di sebalik wajah Hud Aidan. Itu yang dimahukan selama ini.

Ketika itu, Hud benar-benar tewas. Tewas dengan kekecewaan yang diberikan kepadanya. Hanya pandangannya sahaja yang saling bersatu dengan pandangan Afrina yang terbias dengan kebencian. Tiada lagi ketenangan, tiada lagi jenaka, tiada lagi senyuman yang terpancar di wajah Hud Aidan melainkan kekecewaan yang tak mampu disembunyikan. Hud kaku bagai patung cendana apabila akalnya seakan-akan beku untuk melontarkan kata. Tiada diksi yang bermain di benak fikirannya lagi tatkala kata-kata benci daripada Afrina melemahkan jiwa dan raganya.

BAM!

Pintu yang dihempas dari luar kedengaran. Pandangan tajam Hud Aidan dan Afrina lantas terlerai saat tangisan Sherina kedengaran di telinga. Kelihatan wajah sembab Sherina menghampiri Hud bersama dengan Farisha yang kelihatan resah melihat keadaan Hud yang cedera. Buat seketika, Farisha dan Afrina saling berpandangan. Kerutan di dahi Farisha membuatkan Afrina tersenyum sinis. Dia tahu, Farisha tidak menyukai dengan kehadirannya di sisi Hud.

"Kau patut buat dia jatuh cinta dengan kau. Kau jangan risaulah, aku tak akan kacau hubungan kau dengan Hud Aidan. Okay," bisik Afrina seraya meluru keluar dari wad. Meninggalkan sesi jejak kasih Sherina bersama abangnya. Afrina tak betah lagi berada di ruangan itu. Dia mula lelah tatkala dia melontarkan isi yang terpendam di lubuk hatinya kepada Hud. Setelah lima bulan mereka ditemukan semula, akhirnya dendam yang terpendam di lubuk hatinya diluahkan juga.

Hud hanya membiarkan Sherina memeluk tubuhnya dengan erat. Sesekali, dahinya berkerut menahan sakit pada tubuhnya dengan pelukan erat Sherina. Hanya pandangannya sahaja yang menghantar langkah Afrina keluar dari wad. Sungguh, ingin sekali dia menegah Afrina dari pergi namun mulutnya masih dikunci setelah Afrina melontarkan kata-kata penuh kebencian itu. Sakitnya masih terasa hingga ke lubuk hati yang paling dalam! Paling menyakitkan bila mana Afrina tak mahu memaafkannya lagi. Tidak mahu memberikan dia peluang kedua untuk dia melindungi gadis itu.

"Apa yang dah jadi sebenarnya ni? You tahu tak kita orang risau bila you tiba-tiba hilang? Mama sampai demam bila you menghilangkan diri! Siapa yang buat you macam..."

"Kau boleh diam? Aku tak nak bercakap dengan kau," tegas Hud. Nada suaranya yang dingin dan penuh dengan autoriti lantas mendiamkan Farisha. Lebih-lebih lagi melihat wajah Hud yang bengis tanpa senyuman.

"Abang, kenapa abang tak bagi tahu abang kena tahan dalam wad? Tiga hari kita orang lost contact dengan abang! Nasib baik Afrina dengan Rahim ada. Afrina yang bagi tahu abang masuk wad lepas kena serang. Abang..."

"Abang okay! Hidup lagi kan. Boleh tak bagi abang rehat sekejap?"

Sherina bungkam dengan kedinginan abangnya. Dia hanya membiarkan Hud menolak lembut tubuhnya sebelum Hud melabuhkan tubuhnya di pembaringan. Sungguh, melihat Hud yang begitu lemah membuatkan Sherina tak mampu mengungkapkan sebarang kata. Hanya pandangannya dan Farisha sahaja yang saling bersatu.

"Mama tahu?" soal Hud sambil memejamkan matanya.

"Tak. Afrina tak bagi Sherina bagi tahu mama. Dalam keadaan mama ada penyakit jantung membahayakan untuk mama kalau mama tahu pasal abang. Tak apa, Sherina cover untuk abang. Kalau abang nak rehat, abang rehatlah dulu. Sherina dengan Farisha jaga abang kat sini," jawab Sherina sambil menarik selimut melindungi tubuh abangnya. Sayu hatinya melihat keadaan Hud Aidan yang tak segagah dahulu lagi. Dengan dahi yang bertampal dengan kapas luka untuk menutup jahitan, tangan yang berbalut dengan kain anduh dan wajah yang penuh dengan memar benar-benar membuatkan Sherina sebak.

Saat itu, rasa sebu semakin mencengkam jiwa Hud Aidan. Bagaimana dia mahu menghilangkan rasa cinta itu buat Afrina andai Afrina menjaga keluarganya dengan baik? Walaupun dia sudah menyakiti gadis itu namun Afrina masih ikhlas menjalankan tanggungjawabnya dengan menjaga ibu kepada seorang Hud Aidan. Sungguh, Hud benar-benar lelah saat ini.

"AWAK okay? Awak nampak pucat semacam je? Ada apa-apa yang saya boleh tolong?" soal Ibrahim sambil berjalan beriringan dengan Afrina ke kotak parkir di perkarangan hospital. Resah di hati Ibrahim semakin membuak-buak tatkala wajah Afrina kelihatan tak bermaya sebaik sahaja keluar dari wad.

"Saya okay! Saya penat sikit lepas saya brainwash kawan kesayangan awak tu. Awak jagalah kawan awak tu baik-baik ye. Saya tak nak keluarga dia libatkan saya dalam masalah dia lagi. Lagi pun awak rapat dengan Hud. Bestfriend kut! Saya ni orang luar yang cuma bekerja di bawah Datin Khalida saja," kata Afrina. Segaris senyuman nipis terukir di bibirnya menyembunyikan amarah yang masih berselubung di dinding hati.

"Awak ada masalah dengan Hud ke? Taklah saya rasa macam something wrong di antara awak dengan Hud. Kenapa awak selalu layan Hud dengan kasar? Dia ada salah ke?"

Tak semena-mena, Afrina kematian langkah tatkala soalan cepumas bertalu-talu menyapa telinganya. Lantas, Afrina mengalihkan pandangannya ke wajah Ibrahim. Keluhan berat terlepas dari bibir. Ini lagi seorang manusia yang sedang mencabar kesabarannya. Dalam keadaan emosinya masih belum stabil, Afrina hanya mahu pulang ke Atma Home Nursing tanpa diganggu oleh sesiapa. Dia hanya mahu menyambung semula pekerjaannya.

"Inspektor Ibrahim, saya tahu awak polis dan memang hal siasat menyiasat ni kepakaran awak. Jadi kalau awak rasa banyak benda yang awak nak tahu pasal saya dengan kawan awak tu baik awak gunakan skil tu daripada tanya saya direct macam ni. Maaflah saya bukan apa. Saya cuma penat. Ya, penat nak bercakap pasal kawan kesayangan awak tu. Saya minta diri dululah. Saya dah lambat nak masuk kerja ni," tegas Afrina seraya berpamit pergi. Namun, dua langkah kemudian dia kematian langkah lagi. Segaris senyuman terukir di bibirnya sebelum Afrina kalih menghadap Ibrahim yang masih tercegat berdiri di lobi hospital.

"Oh ya sebelum saya terlupa, hujung minggu ni kalau awak free saya nak ajak awak makan tengah hari dengan keluarga saya. Anggap je sebagai salam perkenalan kita. Yelah selama ni kita asyik borak mesti selitkan pasal kawan awak tu saja. Apa kata kali ni kita berkenalan dengan lebih dalam. Kita cakap pasal hal kita berdua saja," kata Afrina. Inilah masanya untuk dia melupakan Umar dan memberikan peluang kepada orang baharu untuk menyelami diri seorang Naurah Afrina. Lagi pun, inilah caranya agar dia tidak dikaitkan dengan Hud Aidan lagi.

Ibrahim tersenyum senang dengan pelawaan daripada Afrina. Seolah-olah dia baharu sahaja memenangi cabutan bertuah apabila Afrina membuka hati untuk mengenalinya dengan lebih dalam. "Awak serius ke?"

"Ada nampak saya main-main ke encik polis? Takkan. Saya serius! Saya memang nak kenal awak dan saya memang nak kenalkan awak dengan keluarga saya. Mana tahu lepas ni turn awak pula kenalkan saya dengan keluarga awak, betul tak?" ujar Afrina. Terselit nada suaranya yang dibuat-buat teruja menandakan dia serius dengan pelawaannya untuk mengajak Ibrahim makan bersama keluarganya.

Kata-kata Afrina membuatkan senyuman Ibrahim melebar sehingga menampakkan gusinya. Dia terangguk-angguk dengan pelawaan daripada Afrina. Ini rezeki terlajak! Peluang sudah ada di depan mata jadi inilah peluang Ibrahim untuk maju ke hadapan. Tipu kalau dia tidak tertarik dengan gadis semanis Naurah Afrina. Berapa kali dia dan Afrina dikenakan oleh adik-adik mereka tiap kali itu juga dia suka memerhatikan ketegasan Afrina. Ketegasan gadis itu sedikit sebanyak membuatkan Ibrahim tertarik untuk mengenali peribadi Afrina dengan lebih dalam lagi.

Malam itu, makan malam keluarga Encik Talib terasa janggal apabila Afrina hanya senyap walaupun diusik oleh Arisha. Bagi Encik Talib, Puan Sofea dan Arisha kelakuan Afrina sungguh aneh. Sejak gadis itu pulang dari kerja lagi Afrina hanya senyap seribu bahasa. Bahkan, usai sahaja mereka sekeluarga menjamah makan malam Afrina duduk bersendirian di taman mini rumah teres dua tingkat itu. Memerhatikan rembulan yang dihiasi dengan butiran bintang di dada langit malam. Angin malam yang menyapa wajah membuatkan selendangnya beralun.

Sebenarnya, Afrina dihurung keresahan dengan marabahaya yang melibatkan nyawanya. Bermula dari dia dan Hud Aidan dikejar oleh musuh Hud dan kejadian tembak menembak yang hampir meragut nyawanya. Dia trauma. Kerana hal itu Afrina tertekan dan hanya mampu berdiam diri. Tidak mahu keluarga risau akan keadaannya yang mula terancam. Sebelum kemunculan Hud, hidupnya aman sahaja. Namun semuanya berubah drastik setelah kepulangan Hud. Bagaikan satu sumpahan sahaja bila mana dia harus berhadapan dengan pemuda itu. Bahkan, marabahaya yang melibatkan Hud Aidan membuatkan dia terpalit. Sungguh, Afrina takut.

"Jauh mengelamun anak abah seorang ni. Tak sejuk ke duduk luar malam-malam ni?" soal Encik Talib sambil mengusap kepala Afrina yang berbalut dengan selendang. Afrina tersentak dengan kehadiran ayahnya.

"Rasa nak ambil angin malam-malam ni saja. Abah nak air? Afrina buatkan," kata Afrina. Gadis itu sudah bangun dari duduk namun tangkas ditegah oleh Encik Talib.

"Eh, tak apa. Nanti abah nak air, abah suruh Isha buatkan. Sekarang ni abah nak tanya anak sulung abah ni. Afrina ada masalah ke? Kenapa abah tengok Afrina resah semacam je sejak kebelakangan ni? Tak nak kongsi apa-apa dengan abah?"

Perlahan-lahan, Afrina kembali melabuhkan duduk saat menerima soalan bertalu-talu daripada Encik Talib. Afrina sekadar menggelengkan kepalanya dan tertunduk menekur cincin di jari manisnya. Cincin yang masih tidak mampu dilepaskan. Cincin yang menunjukkan bahawa dia masih mencintai Umar dan belum bisa melupakan arwah tunangnya itu walaupun sudah lima tahun berlalu.

"Afrina..."

"Apa lagi yang abah bagi tahu Hud selain pasal Afrina pernah kemurungan?" soal Afrina dalam nada yang perlahan seraya memandang wajah abahnya.

"Okay. Jadi pasal Hudlah ni anak abah nampak resah semacam?" soalan dibalas dengan soalan. Encik Talib sudah tersenyum melihat wajah Afrina yang berubah cemberut.

"Afrina terkejut bila dia cakap dia ingat siapa Afrina. Dia ingat kejadian 14 tahun yang lalu. Dia kata abah dah bagi tahu semuanya pada dia. Siapa Afrina. Apa yang dah berlaku pada Afrina. Abah... kenapa abah bagi tahu dia? Abah dah maafkan dia ke? Tapi, sebab dia... anak abah dan mama hampir mati. Sebab dia... Arisha hampir hilang seorang kakak. Susah untuk Afrina maafkan kesalahan di.."

"Naurah Afrina. Apa cakap macam tu? Tak baik. Afrina seolah-olah menidakkan takdir. Ya, memang kita orang hampir hilang Afrina. Mental Afrina dibuli teruk sampai menjejaskan kesihatan mental Afrina. Memang abah marah lepas abah tahu siapa dia. Tapi siapa abah nak hukum dia? Abah bukan Tuhan. Sedangkan ALLAH pun ampunkan hambaNya jadi siapa kita untuk terus berdendam dan tak beri kemaafan di atas kesalahan orang tu? Lagi-lagi Hud nampak menyesal dengan apa yang dia dah buat pada Afrina. Beria-ia dia nak abah pukul dia, hukum dia supaya dapat lepaskan marah abah. Tapi abah tak buat. Sebab dia dah menyesal dan dia runtuhkan ego dia dengan memohon sebuah kemaafan," pintas Encik Talib. Nada suaranya yang tegas membuatkan Afrina tersentak. Hati Afrina jadi libang-libu dengan kata-kata abahnya. Tidak menyangka bahawa semudah itu abahnya memberikan kemaafan buat Hud Aidan.

"Hud memang salah dalam hal ni. Tapi dia betul-betul ikhlas mengaku kesalahan dia. Lagi pun abah nampak yang dia menyesal dengan apa yang dia dah buat dengan Afrina. Kalau hal ni yang buat Afrina resah, dengarlah cakap abah... kita tak berhak nak menghukum orang yang dah menyesal dengan kesalahan yang dia lakukan. Ingatlah, kita ni manusia yang tak sempurna. Masing-masing ada kesalahan dan tak berhenti dari melakukan kesalahan. Tapi belajarlah untuk memaafkan kerana dendam yang terindah itu ialah sebuah kemaafan. Jangan biarkan hati Afrina tu dikawal oleh perspektif yang buruk. Jangan biarkan ia diselubungi dengan kebencian. Hud tu, dia memang jahat sebab dah sakitkan anak abah. Tapi tu dulu... 14 tahun yang lalu. Sekarang semuanya dah berubah. Kalau Afrina nak tahu, dia selalu tanya abah... kalau Afrina tahu yang dia masih ingat kejadian 14 tahun yang lalu tu... Afrina akan bencikan dia ke?" tambah Encik Talib lagi. Segala perbualannya bersama Hud Aidan terus menjadi topik perbicaraannya dan Afrina malam itu. Encik Talib tidak mahu Afrina menjadi seorang yang pendendam.

"Kenapa dia tanya macam tu? Sebab... dia sukakan Afrina. Abah nampak yang dia betul-betul sukakan Afrina. Bila abah tanya, dia mengaku. Dia jujur dengan perasaan dia. Dia selalu bergurau dengan abah. Kalaulah masa tu dia boleh ulang kembali dia tak akan biarkan orang lain dan diri dia sendiri sakiti Afrina. Dia akan lindungi Afrina sebaik mungkin. Sebab apa? Sebab dia sayangkan Afrina. Tapi abah cakap yang hati Afrina hanya untuk arwah Umar sahaja. Tapi Afrina jangan risau, pasal arwah... abah tak ceritakan. Biarlah Afrina ceritakan pada dia kalau Afrina bersedia. Satu hal lagi... siapa pun pilihan Afrina, abah akan terima dengan hati yang terbuka selagi orang tu mampu lindungi anak abah dengan baik," pesan Encik Talib lagi sambil mengusap lembut kepala Afrina yang terlindung dengan selendang maroon. Segaris senyuman nipis terukir di bibir lelaki berumur pertengahan 50 an itu.

Sungguh tatkala itu, kata-kata Encik Talib yang terselit dengan nasihat ringkas membuatkan Afrina kematian diksi. Entah mengapa terzahir rasa sebu di ruang hati gadis itu. Seharusnya dia puas setelah menyakiti hati seorang Hud Aidan yang memang benar mempunyai perasaan kasih buatnya. Dia berjaya membuatkan Hud kecewa dengan kata-katanya yang lancang siang tadi. Kejamkah dia kerana tidak mahu memberikan sebuah kemaafan buat pemuda itu? Hud hampir mati disebabkan dia. Hud sanggup menjatuhkan reputasi demi keselamatannya sahaja. Oh sungguh, Afrina rasa dia semakin lelah. Konflik dalaman ini benar-benar membuatkan keadaannya bertambah rumit!

KEDATANGAN Farisha setiap hari membuatkan Hud Aidan semakin rimas. Sudah tiga hari gadis itu tahu bahawa Hud terlantar di dalam wad dan tiga hari itu jugalah Farisha sering datang dengan membawa bekalan yang dimasak dari rumah serta menjaganya. Puas sudah Hud menegah Farisha datang. Baik secara lembut mahupun kasar. Namun, Farisha masih berdegil untuk melawatnya setiap hari. Hud tiada pilihan lain selain berdiam diri sahaja. Dia penat untuk terus memarahi Farisha.

"Doktor kata esok you dah boleh keluar wad. Tapi tulah, sampai sekarang I tak tahu siapa pukul you sampai cedera parah macam ni sekali. Sampai I rasa ni bukan Hud Aidan yang I kenal. You tu nak dijentik sikit pun susah. I ingat lagi masa first year kita kat Kanada dulu, ada orang kacau I dan bila you nak tolong I, orang tu sikit je lagi nak pukul you. Tapi apa, you patahkan dulu tangan dia..."

"Kau ingat aku ni ada ilmu kebal ke boleh lawan orang yang nak cederakan aku setiap waktu? Masih ada masa-masanya bila mana aku tak boleh melawan. Kau boleh jangan tanya soalan ni banyak kali tak? Semaklah!" tegas Hud. Dahinya berkerut menandankan dia tidak menyukai kehadiran Farisha yang sedang mengupas buah epal. Perlahan-lahan, Hud bangun dari duduknya di birai katil.

Buru-buru Farisha membantu Hud membetulkan posisinya, namun Hud tangkas menegah dengan pandangan yang tajam. Membantutkan pergerakan Farisha. "You nak pergi mana? You tak boleh banyak bergerak. Tulang rusuk you tu dah patah, you tahu tak? Perlukan rehat..."

"Diam boleh tak? Kau nak sangat tolong aku kan? Tolong aku kemaskan barang-barang aku sekarang. Aku tak nak duduk sini lagi," arah Hud seraya mencapai t-shirt putih di dalam beg kertas yang dihantar oleh Sherina. Sungguh, dia tak betah lagi berada di dalam wad. Lima hari sudah memadai. Sudah tiba masanya untuk Hud memburu si musuh misteri semula atau dia yang diburu oleh musuh misteri. Hud mahu menamatkan semua kemelut ini.

"Tapi you tak sihat lagi! You tak nampak ke muka you tu masih bengkak? Tangan you tu pun masih..."

Sekali lagi, Farisha kematian kata tatkala Hud menanggalkan kain anduh yang dibalut pada siku dan lengannya. Tak semena-mena, gadis itu melongo dengan tekad Hud sebelum spontan Farisha mengenggam pergelangan tangan Hud. Menegah Hud dari terus membuka balutan pada tangannya. Buat seketika, mereka saling beradu pandangan. Masing-masing dengan pandangan yang tegang.

"Janganlah buat macam ni! I tak nak you sakit. Tak apalah kalau you sakitkan hati I tapi I tak sanggup nak tengok you sakit macam ni. You tahu tak luluhnya hati I bila tengok you terlantar macam tu. I tak tahu apa yang dah jadi tapi I rasa you buat benda ni sebab you nak berkorban untuk sesuatu. Hud, I tahu you tak sukakan I sebab I... you dibuang keluarga dulu. Tapi sungguh I nak kita macam dulu. Bila you mesra dengan I. Bila you layan I ni dengan baik. Hud, I care about you. Cause I... I'm still in love with you, Hud Aidan! Truly I'm still in love with you. I want you, only you!" luah Farisha apabila kesabarannya semakin berada di kemuncak. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi apabila rasa sebu itu menggigit sanubarinya. Wajah tampan Hud yang sudah ditutup dengan kesan lebam ditatap dalam-dalam. Perlahan-lahan, tangannya mengusap lembut raut wajah pemuda itu.

Tak semena-mena, Hud menolak kasar tubuh Farisha sehingga gadis itu terundur ke belakang. Wajahnya mula menyinga dengan tingkah Farisha yang tak dikawal. "Farisha! Kau dah gila..."

"Memang... memang I gilakan you. Sebab I nak you... I cintakan you Hud Aidan! Perasaan I tak pernah hilang sejak kita sama-sama belajar kat tempat yang sama lagi!" tegas Farisha. Dia terus meluru ke arah Hud seraya memeluk tubuh lelaki itu dengan erat. Lantas, gadis itu menggogoi melepaskan rasa sedih yang bermukim di dinding hatinya.

"Farisha! Apa yang kau cuba buat..."

Hud kematian kata tatkala pintu wad dibuka dari luar. Terpampang wajah seorang gadis bertudung selendang biru muda di hadapannya bersama seorang kanak-kanak perempuan yang sudah meluru ke arah Hud yang masih berada dalam pelukan Farisha. Tak semena-mena, mata Hud membuntang melihat senyuman sinis di bibir Naurah Afrina. Seakan-akan mengejeknya yang seolah-olah sedang melampaui batas.

"Maaflah sebab ganggu Encik Hud dengan Cik Farisha. Saya datang ni sebab nak hantar Dina je. Yelah Dina ni rindu sangat dengan pak cik dia. Hari-hari dia cari Encik Hud sampai saya pun tak tahu nak buat macam mana lagi dah. Tapi tulah tak sangka pula saya tak sengaja bagi tengok babak yang tak sepatutnya dekat Dina. Tak apa, kau orang dah selesai nanti boleh ambil Dina dekat kantin hospital ye," ujar Afrina dengan nada yang sarkastik.

"Dina, come. Bagi pak cik kesayangan Dina selesaikan hal dia dengan Kak Farisha. Tadi kata nak aiskrim coklat kan?" tambah Afrina lagi seraya menarik lembut tangan Dina yang sudah memeluk kaki Hud Aidan memandangkan pemuda itu jauh lagi tinggi jika dibandingkan dengan kanak-kanak itu.

Dengan pujukan lembut daripada Afrina, mudah sahaja Dina ditarik keluar tanpa membantah. Buru-buru Afrina menutup pintu wad lalu melangkah ke kantin hospital. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Kepalanya digelengkan dengan kejutan yang berada di depan mata sebentar tadi. Kesal datang dalam waktu yang tak sepatutnya!

Bersambung...

Hi guys ^_^ terima kasih sudi membaca karya Syaf. Maaf sebab Syaf lambat post dalam Portal Ilham. Kalau korang nak baca bab selanjutnya dengan lebih cepat korang boleh baca dalam wattpad Syaf  https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Syaf dah upload sampai bab 21 ^_^

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa