Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,367
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1

TITISAN air hujan yang mengalir di tingkap menjadi tatapannya. Sesekali, kedengaran bunyi guruh berdentum kuat serentak dengan panahan petir yang memancar kawasan itu. Gadis berambut ikal mayang itu hanya berdiri kaku seolah-olah patung mannequin. Menyaksikan hujan yang tak berhenti sejak dua hari yang lalu. Aneh sekali. Kalau dulu, dialah yang takut dengan guruh. Namun, sekarang semuanya jauh berubah semenjak dia merasakan hidupnya jadi kelabu. Dia rasa sesak. Semuanya terasa pahit untuk ditelan oleh gadis bernama Naurah Afrina itu. Tangan yang terluka dengan serpihan kaca perlahan-lahan diangkat sebelum dilekapkan pada tingkap.

Pandangannya terus tertancap pada tapak tangannya yang mengalir dengan cecair merah sebelum pandangannya berakhir ke jari manisnya yang tersarung dengan dua bentuk cincin.

Tatkala itu juga, hatinya merintih sayu apabila kotak memorinya mengimbas saat sepasang matanya memandang sekujur tubuh yang sudah kaku diselimutkan dengan selimut putih. Masih ada luka pada wajah itu.

Semakin fikirannya memutarkan kejadian itu, relung hatinya semakin sesak. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi dengan bibir yang sudah menggeletar. Lantas, Afrina memejamkan matanya sebelum berpaling bersandar di belakang dinding. Sayup-sayup suara itu terngiang-ngiang di telinganya dan semakin kuat suara itu menusuk gegendang telinganya, lutut Afrina semakin lemah menampungnya untuk terus berdiri.

"Awak sebenarnya memang dah tak sayangkan saya lagi kan? Ni alasan yang entah berapa kali saya dengar! Saya dah ambil cuti untuk uruskan pernikahan kita tahu tak. Tapi awak? Tak habis-habis dengan kerja! Kalau macam nilah, saya rasa baik awak kahwin dengan pekerjaan awak tu!"

Umar ketawa halus dengan rungutan Afrina. Bunyi siren kedengaran di balai bomba. Sesekali, pandangannya tertumpu pada pasukannya yang terburu-buru mengenakan baju kalis api. Ada juga yang baru turun melalui gelongsor. "Janganlah marah. Saya tak sanggup nak tinggalkan kawan-kawan saya memandangkan saya minta cuti lama sangat. Saya janji malam ni malam terakhir saya bekerja. Lepas..."

"Yelah Umar. Malam terakhir eh. Dahlah, saya dah penat dengan janji awak tu. Macam nilah, kalau awak tak yakin dengan diri awak baik tak payah berjanji. Memang yang nak kahwin tu saya seorang je kan! Saya yang terhegeh-hegeh nak kita cepat-cepat kahwin. Okay fine! Awak pergilah!" tegas Afrina. Naik turun dadanya melepaskan kemarahan kepada tunang yang lebih mementingkan pekerjaan. Wajah yang terasa membahang membuatkan wajahnya yang kuning langsat jadi merah.

"Sayang..."

"Umar! Kita dah lambat ni. Dah-dahlah tu dengan buah hati kau. Lepas kita selesaikan misi ni kau baliklah pujuk dia. Macam tak biasa kan nak hadap tunang kau yang kuat merajuk tu," pintas Faizul yang sedang menghulurkan helmet kepada rakannya. Umar hanya tersengih seraya mencapai helmet yang diberikan kepadanya. Segan apabila ditegur oleh rakan sekerja. Dia hanya mengangguk faham.

"Saya kena pergi..."

"Hah pergi jelah! Saya tak ada hak nak halang awak kerja. Dahlah, saya nak siapkan hantaran yang tak siap-siap tu lagi. Assalamualaikum..."

"Afrina! Saya minta maaf kalau selama ni saya buat awak kecewa dengan saya. Tapi jujur saya ikhlas sayangkan awak. Saya yakin dengan janji saya yang saya akan balik dan saya akan ucapkan aku terima nikahnya supaya kita boleh hidup bersama lepas ni. Afrina, janganlah merajuk macam ni. Ini tugasan terakhir saya dan lepas ni saya akan balik ke pangkuan awak juga," pujuk Umar. Lembut sahaja tutur bicaranya di halwa telinga Afrina sehinggakan hati gadis itu sedikit beransur sejuk.

"Awak tak nak cakap apa-apa ke?" soal Umar lagi sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di dalam lori bomba yang akan mengawal kebakaran besar di sebuah pusat membeli belah.

"Hati-hati."

"Tu je?"

"Ermm," jawab Afrina acuh tak acuh. Tangannya kembali ligat menggubah barang hantaran.

"Kita jumpa nanti. Saya janji ini tugas saya yang terakhir. Lepas ni awak marahlah saya depan-depan. Awak jangan nak diet sangat nanti awak sakit saya juga yang tak senang duduk. Saya cintakan awak, Naurah Afrina. Ingat ni sampai bila-bila. Assalamualaikum," ucap Umar seraya menekan punat berwarna merah. Terpapar gambar Afrina yang dijadikan sebagai latar dinding telefon pintarnya. Senyuman terkulum di bibirnya tatkala teringat akan setiap tingkah bakal isterinya itu.

"Umar... awak tipu saya. Awak balik tapi kenapa hanya jasad awak yang balik? Awak tahu tak sepatutnya hari ni hari perkahwinan kita? Segala persiapan perkahwinan saya dah siapkan cuma tinggal tunggu awak je duduk depan abah untuk ucapkan aku terima nikahnya. Awak tahu tak saya sakit? Awak tahu tak sakitnya hilang orang yang saya sayang setulus hati saya? Saya minta maaf Umar. Kalau saya tahu malam tu malam terakhir kita berbual, saya tak akan marah-marah awak macam tu. Saya tak akan suruh awak pergi dan saya akan ucapkan yang saya terlalu cintakan awak," rintih Afrina sambil memeluk erat baju kurung putihnya. Baju yang seharusnya menjadi bukti penyatuannya bersama Umar. Bahunya terhinggut-hinggut melepaskan tangis. Melepaskan beban yang dipikul di bahunya. Esakannya semakin kuat memenuhi biliknya. Sungguh, dia kesal kerana lebih melayan emosi berbanding rasional.

Penyesalan yang waktu tidak boleh diundur untuk dia menuturkan kata cinta buat arwah tunangnya itu.

"KAU tak makan ubat lagi ke?"

Hanya gelengan sahaja yang dijadikan sebagai jawapan. Pemuda yang sedang bersandar di belakang kerusi itu hanya memejamkan matanya sambil berpeluk tubuh. Namun, saat kejadian hitam itu berlegar-legar di ruang fikirannya serta merta dia mencelikkan mata. Wajah sahabatnya yang tegang itu dipandang sebelum dia tersengih. Keluhan berat dilepaskan dari bibir.

"Kau faham tak yang diri kau ni masih perlukan rawatan?" soal Ibrahim lagi. Jelas ada ketegasan di sebalik suaranya.

"Ya tuan. Aku faham aku masih perlukan rawatan. Orang tak waras macam aku ni hanya mampu bergantung dengan ubat kalau nak keadaan terkawal. Kan?"

"Kau tak gila, Hud. Kau cuma..."

Hud ketawa sinis dengan omongan sahabatnya. Buat seketika, pandangannya tertumpu di perkarangan hospital yang kelihatan sibuk. Inilah rumah keduanya semenjak kejadian hitam itu berlaku. Dalam seminggu, pasti dua tiga kali dia menjadi pelawat di hospital itu jika keadaannya tidak terkawal. Sama seperti malam semalam.

"Cuma apa? Cuma trauma? Macam tu? Rahim, kau tak faham apa aku rasa lepas apa yang dah jadi. Hidup aku hancur. Kerjaya aku musnah hanya dalam sekelip mata sahaja padahal aku baru je dinaikkan pangkat. Kalau bukan sebab aku salah arahan, tiga orang rakan kita tak akan mati macam tu! Semua ni salah aku. Kau faham tak kematian mereka tu salah aku!" bentak Hud melepaskan amarah yang disimpan di lubuk hatinya. Wajahnya diraup kasar.

"Aku tak boleh nak tidur sebab aku akan teringat pada darah yang mengalir kat tangan aku. Aku akan teringat pada pesanan Badrul supaya aku jaga mak dan ayah dia sebelum dia... dia hembuskan nafas terakhir dia di sebelah aku. Aku dah penat dengan semua ni. Aku rasa aku hidup dalam ancaman. Hidup aku tak tenteram dan sebab tu jugalah aku rasa aku patut mati. Aku tak nak ambil ubat tu sebab ubat tu hanya mampu bantu aku buat seketika," tambah Hud lagi. Dia tertunduk menekur tangan yang digenggam erat. Sesak dadanya saat menghadapi ujian yang Maha Esa. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Dia tewas. Semenjak kejadian itu dia tewas dengan trauma yang dihadapinya.

Ibrahim bungkam buat seketika. Perlahan-lahan, dia menepuk bahu Hud. Sahabatnya itu benar-benar kelihatan lemah. Seolah-olah orang yang hanya menunggu hukuman mati. Nafas panjang ditarik sebelum dihembuskan perlahan-lahan. Dia juga terkilan dengan omongan Hud. Tapi sebagai sahabat, sudah semestinya tugas utamanya memberikan semangat kepada pemuda itu. 

"Ya, aku tak faham apa yang kau rasa. Aku bukan kat tempat kau. Tapi aku percaya yang kau kuat orangnya. Buktinya, kau dah berjaya berjuang dengan kematian lepas dua butir peluru tu hampir terkena pada jantung kau. Kalau aku percaya kau mampu lawan semua ni jadi kau harus belajar untuk redha. Masa akan mengubati semua kesakitan yang kau rasai saat ini. Ambillah sebanyak mana masa yang kau perlukan. Cuma satu, antara nak atau tak nak semuanya bergantung dengan kau," pesan Ibrahim.

"Kalau ibu bapa Badrul redha dengan pemergian anak dia orang, kenapa kau tak mampu nak redha? Bukan salah kau Hud. Semua ni percaturan Tuhan. Siapa kita nak hukum diri kita sendiri?" tambah pemuda bermata sepet itu lagi. Saat pandangannya bersatu dengan Hud, dia tersenyum nipis. Dari pandangan mata Hud yang sayu, Ibrahim beranggapan bahawa sahabatnya itu seolah-olah sedang mencerna nasihatnya.

Hud bungkam. Tiada kata yang mampu diucapkan saat itu. Dalam diam, dia membenarkan kata-kata Ibrahim. Siapa dia untuk menghukum diri sendiri? Kalau orang lain boleh redha kenapa dia tidak bisa? Hampir setahun kejadian itu berlaku tapi dia masih dalam posisi yang sama. Hanya mampu meratapi dan menghukum diri. Amanah Badrul langsung diendahkan. Sungguh, Hud benar-benar rasa khilaf. Khilafnya dia kerana menyiakan peluang yang diberikan oleh ALLAH untuk dia menjadi pengembara di dunia yang fana ini.


Sedutan bab 2...

"Biadab betul mulut kau ni kan! Tak ada siapa boleh..."

"Ya datin. Tak ada siapa yang boleh lawan cakap datin. Sekarang, datin makan dulu sarapan yang Mak Timah dah buatkan untuk datin. Lepas tu saya nak masukkan insulin dalam badan datin. Saya nak bersihkan gelas datin yang mahal ni dulu. Nanti kalau saya ada duit saya ganti yang baru," kata Afrina seraya melangkah keluar dari kamar Datin Khalida.


NOTA PENULIS: 

Siapa ada wattpad jemputlah baca karya Syaf yang lain dalam wattpad juga ^_^  https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa