Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,361
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5

SEMERBAK bau masakan memenuhi ruangan dapur. Puan Sofea dan Encik Talib yang baru menuruni anak-anak tangga berasa hairan melihat anak sulung mereka sibuk menyediakan sarapan pagi itu. Encik Talib pandang wajah Puan Sofea dan menggunakan isyarat tangan bertanya mengenai anak sulung mereka. Puan Sofea sekadar mengangkat bahunya. Keduanya tidak mengetahui apa yang dimimpikan oleh Afrina menyediakan sarapan buat mereka sekeluarga pagi itu.

"Kenapa mama dengan abah pandang Afrina macam tu? Pelik ke Afrina buat sarapan?" soal Afrina sambil membawa keluar kek pelangi dari oven lalu diletak di atas meja makan. Kemudian, dia kembali ke dapur membawa nasi goreng kampung kegemaran Arisha pula.

"Biar mama teka. Ni mesti rasa bersalah sebab tak sambut ulang tahun Isha semalam kan?" tebak Puan Sofea. Dia membantu Afrina dengan membawa keluar sedulang minuman ke ruang makan.

"Yelah mama. Tadi lepas je kita solat Subuh berjemaah, dia langsung tak nak bercakap dengan Afrina. Merajuklah tu! Nak buat macam mana dah tugas Afrina tak selesai lagi kan semalam," kata Afrina sambil memotong kek pelangi yang merupakan salah satu kek kegemaran Arisha. Hari ini, Afrina hanya mahu memujuk Arisha dengan menyediakan makanan kegemaran adik bongsunya itu.

Encik Talib ketawa dengan rungutan Afrina. Tercuit hatinya melihat telatah keluarga kecilnya itu. "Kenapa abah gelak? Afrina bersalah tahu dengan adik dan abah boleh gelakkan Afrina?" soal Afrina. Geram pula bila rungutannya diketawakan oleh abahnya.

"Kamu ni melayan sangat merajuk adik kamu tu. Cuba kamu tengok macam abah ni, mama kamu merajuk abah biarkan je. Lama-lama terpujuklah dia sendiri. Isha tu dia ikut mamalah tu sebab mama kuat merajuk. Afrina pula ikut abah hadap orang yang kuat merajuk sebab Afrina tak suka merajuk. Hah baguslah tu!" ujar Encik Talib dengan sisa tawanya. Macam-macam ragam sungguh keluarga kecilnya ini.

"Oh terpujuk sendiri ye? Dah tu siapa yang suka jadikan Afrina sebagai orang tengah kalau mama merajuk? Bukan abah ke? Mama, kalau mama nak tahu abah ni kan kalau mama merajuk..."

"Haip! Afrina kena berkomplot dengan abah. Mana boleh bagi tahu mama rahsia kita kalau mama merajuk," bidas Encik Talib. Dia meletakkan jari telunjuknya di hadapan bibir sebelum dia memandang wajah Puan Sofea yang sudah mencerlungkan mata ke arahnya.

"Habis tu abang nak salahkan Sofealah si Arisha tu suka merajuk sebab mama dia suka merajuk? Macam tu?"

"Haish. Tengok tu abang bergurau pun Sofea terus nak merajuk. Tak cantiklah kalau asyik nak merajuk. Monyok pagi-pagi ni. Betul tak anak abah?" soal Encik Talib pada Afrina yang sudah melabuhkan duduk bertentangan dengannya.

"Abah nak cakap Isha tak lawa ke? Yelah dalam rumah ni memang Kak Afrina tu je paling cantik. Dia kan anak kesayangan abah," suara Arisha mula kedengaran. Serentak mereka bertiga memandang Arisha yang sudah bersiap untuk ke kuliah. Gadis itu membuka grill rumah teres dua tingkat itu. Masih ada sisa rajuknya memandangkan Afrina tidak menyambut ulang tahunnya bersama-sama.

Tak semena-mena, Encik Talib mendapat cubitan daripada Puan Sofea. Lelaki pertengahan 50 an itu mengadu sakit sambil mengusap lengannya. "Tengok tu, tak pasal-pasal budak tu tambah moody. Abanglah ni tak pandai jaga mulut!" tegas Puan Sofea. Encik Talib sekadar tersengih seraya mencapai sepotong kek yang diletak di atas pinggan.

"Isha, jomlah sarapan dulu. Kakak dah sediakan sarapan untuk Isha. Kek pelangi dan juga nasi goreng kampung. Dah lama kakak tak buat kek kegemaran Isha, kan? Jom sarapan dulu. Lepas tu kakak hantar Isha ke kolej," ujar Afrina. Dia berdiri di muka pintu agar auratnya terjaga.

"Tak nak! Masa tu tak boleh diganti tahu. Kakak juga yang janji yang kakak akan sambut hari jadi Isha. Tapi kakak dah mungkir janji! Kita orang tunggu kakak sampai dekat pukul 12 pagi kot. Akhirnya apa? Memang kerja kakak tu lagi penting kan daripada adik sendiri!" marah Arisha. Dia menjelingkan matanya ke atas seraya menerobos masuk ke dalam kereta MYVI berwarna putih. Tak betah memandang wajah kakaknya yang kelihatan bersalah.

Afrina mengeluh berat. Dia hanya mampu menghantar pemergian Arisha dengan pandangan. Masih terasa berat kantung matanya setelah diberikan pekerjaan mendadak semalam. Masih terasa lelah lagi rasanya pagi ini lebih-lebih lagi dia diberikan kejutan mengenai Hud. Semalaman dia tidak bisa lena kerana memori silam itu menghantuinya semula. Bahkan, dalam lenanya juga dia didatangkan dengan mimpi mengenai kejadian yang sudah menjatuhkan dirinya. Hampir hancur hidupnya kerana kejadian itu.

"Mari sarapan dengan mama dan abah. Tak apalah si Isha tu. Nanti-nanti dia oklah tu. Dia kecewa sangat tu sebab tak dapat sambut ulang tahun dengan kakak dia. Bagi dia masa untuk dia sedar apa yang dia buat ni salah," pujuk Puan Sofea sambil mengusap bahu anak sulungnya. Tangan Afrina dipimpin ke ruangan makan.

"Sedap betul anak abah ni masak! Abah rasa abah nak pergi pejabat ni pun mesti bersemangat nak buat kerja. Sofea, tolong bekalkan abang nasi goreng kampung Afrina ni. Biar abang habiskan seorang kalau Isha tu tak nak makan. Tak baik membazir," ujar Encik Talib. Dia tersenyum sambil menaikkan ibu jarinya kepada Afrina yang hanya tersenyum melihat wajah abahnya yang ceria. Terpujuk sedikit hatinya tatkala dia dapat menggembirakan ibu dan abahnya.

"YA mama. Hud ada hal sikit sebab tu Hud tak dapat nak balik lagi buat masa ni. Nanti bila urusan Hud dah selesai Hud baliklah pada mama. Hud minta maaf sebab Hud mungkir janji," helah Hud. Hanya itu yang mampu dilakukan agar ibunya tidak risau akan dirinya. Berdesing telinga dibuatnya apabila ibunya mengherdiknya kerana tidak pulang ke rumah mengikut janji.

Dalam keadaan Hud beransur pulih setelah kejadian dia diserang, pemuda itu tidak bisa pulang ke rumah ibunya. Malahan saat ini, dia hanya menumpang berteduh di rumah Ibrahim. Risau kalau-kalau ahli keluarganya tiba-tiba datang ke rumah Doktor Azizah.

"Mama nak uruskan wasiat arwah papa. Tolonglah Hud jangan lengahkan masa lagi. Makin hari mama makin tak sedap hati dengan keluarga kita ni. Macam ada je yang tak kena. Lagi pun mama rindukan Hud sangat-sangat. Mama nak Hud yang jaga mama bukan jururawat peribadi mama," tegas Datin Khalida. Suaranya sudah beransur kendur. Sebak tatkala anak-anaknya tidak mempedulikan dia yang berpenyakit tiga serangkai. Jantung, darah tinggi dan diabetes.

Hud jadi bungkam dengan omongan ibunya. Ruang memorinya mula mengimbas pada kejadian dia diserang oleh samseng yang mahu membunuhnya. Adakah orang yang mahu membunuhnya merupakan ahli keluarganya sendiri memandangkan ibunya juga merasakan sesuatu yang tidak kena dengan keluarga mereka? Kalau benar, apa kesalahannya sehingga mereka mahu membunuhnya? Semakin Hud berfikir, kepalanya terasa sakit. Dahi yang berkerut lantas dipicit. Sungguh, Hud tidak menyangka bahawa ada yang ingin menghalangnya pulang ke pangkuan ibunya dengan cuba untuk membunuhnya.

"Hud, baliklah cepat sikit. Mama rindukan Hud. Enam tahun terlalu lama kita berjauhan," rungut Datin Khalida lagi. Sesak hatinya mengenangkan kerinduannya terhadap anak kandungnya itu.

"Baiklah, kalau itu yang mama mahukan Hud akan balik secepat yang mungkin. Hud pun rindukan mama sangat-sangat. Hud minta maaf sekali lagi sebab tak tepati janji. Tapi kali ni, Hud akan pastikan Hud akan duduk depan mama," kata Hud. Tergaris senyuman hambar di bibirnya apabila hatinya terasa sebu. Benar. Enam tahun masa yang terlalu lama dia tidak melihat wajah ibunya. Tetapi, mana mungkin dia pulang dalam keadaannya yang lebam-lebam. Pasti ibunya makin khuatir akan dirinya.

Setelah panggilan ditamatkan, Hud menarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. Seakan-akan melepaskan beban yang dipikul dibahunya. Angin yang menyapa malam itu tidak bisa menenangkan hatinya yang berkecamuk. Sudah seminggu kejadian itu berlalu namun Hud merasakan hidupnya terancam. Trauma kejadian enam tahun yang lalu seakan-akan kembali semula kerana kejadian dia diserang. Adakah semuanya berkaitan dengan kejadian yang membuatkan dia trauma juga memandangkan dia sudah kembali ke kawasan itu setelah enam tahun dia berpindah ke Melaka untuk menjaga kedua orang tua Badrul?

"Hud!" sergah Ibrahim seraya duduk di sebelah sahabatnya yang sedang termenung di balkoni rumah kondominium. Terhinggut bahu Hud dengan sergahan Ibrahim itu.

"Kau ni adab simpan mana? Datang sergah macam tu saja!" rungut Hud seraya mendebik bahu Ibrahim. Dia bagaikan kembali ke alam realiti dari memikirkan mengenai traumanya itu. Ibrahim hanya tersengih dengan ketegasan Hud.

"Alang-alang kau dah terkejut ni, aku nak tambah lagi kejutan untuk kau. Aku ada berita nak sampaikan pasal kes serangan ke atas kau tempoh hari. Berita ni, betul-betul buat aku terkejut dan aku pasti berita ni akan buat kau lebih terkejut dengan apa yang dah jadi dengan malaun yang kau dah belasah tempoh hari," ujar Ibrahim. Air mukanya sudah berubah tegas. Tiada lagi sengihan mahupun senyuman tatkala menyampaikan khabar tersebut. Buat seketika, dua sahabat itu saling berpandangan. Hanya melalui pandangan mata Ibrahim yang tajam sahaja Hud sudah diserang debaran yang maha hebat.

"Apa dia?"

"Aku harap kau bersabar dengan berita ni. Jangan cepat melenting. Kau tahu kan musuh akan suka bila kita melenting dan takut? Kalau kita takut, lagilah musuh akan tahu titik kelemahan kita. Kau dah pernah dilatih untuk hadap situasi macam ni, bukan?" kata Ibrahim. Menyalurkan sedikit kekuatan kepada sahabatnya yang berada dalam situasi yang membahayakan. Masakan tidak, nyawa Hud seolah-olah sedang dipermainkan oleh individu yang tidak dikenali. Malahan, mereka sendiri tidak tahu siapa yang ingin menghapuskan riwayat seorang Hud Aidan!

Bersambung...

Nota penulis: Hi korang, terima kasih kerana sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan korang 😊 siapa ada wattpad jemputlah baca karya saya yang lain dalam wattpad ni https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Sedutan bab 6

"Kau nak bunuh anak kau ke hah?! Tak cukup ke kau kurung dia dalam bilik air tempoh hari sampai masuk wad? Aku tak sangka kau masih berani dera anak kau sampai macam ni sekali! Kau ni memang mak dari neraka, Sherina!" bentak Afrina. Melepaskan kemarahannya melihat keadaan Dina yang cedera. Sesekali, dia menunduk memandang Dina yang menangis kesakitan dalam pelukannya. Luluh hati gadis itu melihat dahi cucu majikannya sudah mengalir dengan darah. Bahkan, betis dan lengan gadis kecil itu juga menunjukkan kesan lebam dari libasan rotan.


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa