Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,398
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 7

WAJAH polos Dina yang nyenyak tidur sambil memeluk patung beruang berwarna coklat direnung dalam-dalam. Tangisan dan ketakutan Dina masih berlegar-legar di ruang fikiran gadis itu. Tangan Dina yang masih menggenggam tangannya dilepaskan perlahan-lahan. Jelas, Dina semakin trauma dengan penderaan daripada Sherina. Masakan tidak, hari ini dahi gadis kecil itu dijahit dengan tiga jahitan. Tubuhnya juga lebam-lebam akibat sebatan rotan. Ikutkan hati Afrina, mahu sahaja dia melaporkan ke pihak polis. Biar Sherina tidak dapat mendera anaknya lagi.

Ketukan pintu di luar bilik mematikan lamunan Afrina. Dia bangun dari duduk bersimpuh di hujung katil seraya membuka pintu bilik. Saat itu juga, terpampang wajah seorang pemuda berkulit sawo matang dengan sebuah senyuman di hadapan Afrina. Gadis itu lantas memberikan laluan kepada Hud untuk masuk ke dalam bilik. Wajahnya masih kelat walaupun Hud sudah ramah dengan senyuman.

Sebaik sahaja Hud melabuhkan duduknya di birai katil, luluh hatinya melihat keadaan si gadis kecil yang kelihatan pucat. Tangannya ligat mengelus ubun-ubun Dina. Inilah kali pertama dia melihat wajah anak buahnya di hadapan matanya sendiri. Comel. Hidung si gadis kecil yang mancung tak ubah seperti adik perempuannya Hud. Rambutnya yang separas bahu tak ubah seperti Sherina ketika kecil dahulu. Sememangnya, wajah Dina saling tak tumpah seperti wajah Sherina. Malangnya, gadis kecil itu tidak diterima dengan baik oleh ibu kandungnya sendiri.

Melihat Hud sibuk mengusap wajah Dina membuatkan Afrina pergi tanpa pamit. Tidak mahu menganggu anak beranak itu. Lagi pula, selagi Hud berada di depan matanya, Afrina jadi sesak. Kenangan lama itu terus-menerus menganggu kotak fikirannya sehingga dia tak betah jika Hud berada di depan mata.

"Tunggu!"

Afrina kematian langkah tatkala Hud melangkah keluar dari kamar anak kecil itu. Dia segera berpaling. Perlahan-lahan, Hud menutup pintu bilik. "Ya encik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" soal Afrina. Dia mendongak memandang wajah Hud yang lebih tinggi darinya.

"Dina macam mana?" soal Hud.

"Macam yang encik nampaklah. Dahi dia dah ada tiga jahitan sebab terkena pada bucu meja. Betis dengan lengan dia tu pun perlu disapu dengan ubat supaya cepat sembuh. Jangan biarkan dia main lasak selagi luka dia tak sembuh," jelas Afrina. Sesekali dia mengalihkan pandangannya dari terus menatap wajah Hud. Sungguhlah kebetulan apakah ini bila mana dia harus berhadapan dengan seseorang yang ingin sekali dia elak selama 14 tahun ini?

Suara Afrina yang kedengaran dingin membuatkan Hud tersenyum. Aneh sekali gadis ini. Dalam diam dia cuba menganalisis wajah kuning langsat gadis berbaju t-shirt Atma Home Nursing itu. Entah mengapa dia merasakan dia seolah-olah pernah melihat wajah kelat Afrina. Tapi dia sendiri tidak ingat bila mana dia bertemu si gadis berwajah beku ini. Dejavu barangkali? Bila mana seseorang merasakan dia pernah berhadapan dengan seseorang atau sesuatu perkara.

Afrina berdeham sebaik sahaja dia menyedari bahawa Hud sudah ralit memerhatikan wajahnya. Apakah Hud benar-benar melupakan siapa dia dalam hidup lelaki itu dahulu? Tidak! Kalau bisa Afrina tidak mahu perkara itu diungkit lagi. Bagi Afrina, biarlah Hud melupakannya kerana seorang Naurah Afrina hanya mahu bersikap profesional dalam pekerjaannya. "Tak ada apa-apa lagi kan encik? Saya nak minta..."

"Aku nak tahu pasal mama aku. Boleh?" pintas Hud. Senyumannya terukir lagi di bibir sebagai tanda keramahannya terhadap Afrina.

"Tapi syif saya dah tamat untuk hari ni encik..."

"Hud. Panggil aku Hud. Tak payahlah encik-encik tu. Formal sangat. Jadi aku dapat tahu yang kau ni jururawat peribadi mama yang keenam. Betul?" soal Hud lagi.

Afrina mula rasa membahang apabila Hud asyik memintas kata-katanya. Bahkan, tak putus-putus soalan diberikan oleh pemuda itu. Afrina mula rimas. "Apa pun encik tetap klien saya dan saya mengamalkan etika semasa bekerja dengan menggunakan panggilan formal. Pasal jururawat keenam tu, ya saya jururawat yang keenam menggantikan rakan sekerja saya yang berpindah mengikut suami ke Johor. Maaf ya encik. Kalau encik nak tahu pasal keadaan Datin Khalida, encik boleh ke Atma Home Nursing. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum," tegas Afrina. Semakin dia berhadapan lelaki itu, dia semakin terasa dirinya penuh dengan kepura-puraan. Itu sahaja jalan terbaik supaya dia boleh cepat-cepat pergi dari berhadapan dengan Hud.

Hud mengulum senyum lagi dengan ketegasan Afrina. Nampaknya, jururawat peribadi ibunya ini seorang yang dingin dan tidak bersifat terbuka. Dia hanya memerhatikan langkah gadis itu menuruni tangga rumah agam dari tingkat atas rumah. "Terima kasih staff nurse Naurah Afrina sebab rawat aku tempoh hari," ucap Hud sekali gus mematikan langkah Afrina di depan pintu. Gadis itu berpaling dan mendongak memandang tingkat atas. Pasti Hud tahu nama penuhnya berdasarkan baju t-shirt Atma Home Nursing yang tersarung pada tubuhnya turut tertulis dengan namanya. Afrina sekadar mengangguk seraya melangkah keluar dari rumah itu.

"Pergi mampus dengan terima kasih kau tu, Aidan. Macam mana kau musnahkan zaman remaja aku dulu," desis Afrina seraya meluru masuk ke dalam kereta. Masih ada kemarahan yang berselirat di dinding hati gadis itu. Lantas, pacuan empat rodanya dipecut meninggalkan perkarangan rumah agam yang kelihatan mewah namun tiada kebahagiaan yang dirasakan oleh penghuni rumah itu.

USAI melipat sejadah dan diletakkan di penyangkut, Hud meletakkan al-quran di rak bukunya seraya melabuhkan duduk di meja kerja. Dua hari dia berada di rumah agam itu dua hari itu jugalah dia tidak melihat kelibat Mirza dan Amelia. Ke mana abang sulung dan isterinya berada pun Hud tidak tahu. Abang tiri. Tak penting buat Hud ingin mengetahui tentang abang tiri yang diagungkan oleh arwah papanya. Apa yang penting, dia mahu melindungi tiga perempuan kesayangannya. Termasuk ingin berjaga-jaga memandangkan nyawanya dalam ancaman. Walaupun sudah hampir sebulan kejadian itu berlaku namun Hud masih merasakan bahawa dia tidak selamat.

Dia mencapai telefon pintarnya. Mahu bertanyakan kepada Doktor Azizah berkaitan keadaan ibunya. Segera nombor Doktor Azizah dicari di dalam ikon kenalan. Sekali dua deringan, telefon berjawab. Hud memberikan salam terlebih dahulu seraya bersandar di belakang kerusi.

"Waalaikumusalam. Hah kenapa Hud call mak su malam-malam ni?"

"Hud nak tanya pasal mamalah. Macam mana dengan prestasi kesihatan mama? Apa yang perlu Hud buat supaya kesihatan mama terkawal?" soal Hud. Dia menanggalkan kopiah di atas kepala.

"Macam tak ada esoknya ye kamu ni. Tak tanya dekat Afrina ke keadaan mama kamu? Dia yang selalu bagi suntikan insulin. Buat rawatan bed sore dekat mama kamu. Mak su cuma pergi periksa mama kamu tu dalam sebulan tiga kali saja."

Hud ketawa kecil. Dia memicit dahinya tatkala teringat akan gadis sombong itu. "Kalau dia jawab tak adalah Hud tanya mak su. Bila Hud tanya dia, dia kata pergi Atma Home Nursing kalau nak tahu. Lah, buat apa Hud nak pergi kalau mak su Hud owner klinik tu. Betul tak?"

Doktor Azizah turut ketawa dengan kata-kata Hud. Dia mengerti. Pekerjanya yang seorang itu lebih gemar mencadangkan keluarga pesakit untuk bertanya kepadanya mengenai prestasi pesakit kecuali jika gadis itu sudah bekerja dalam tempoh yang hampir setengah tahun. "Mungkin Afrina masih tak biasa nak berurusan dengan Hud. Okay, buat masa ni, Afrina punya laporan tentang mama kamu tu ada naik turun. Kalau mama kamu langgar pantang habislah terbuka bed sore dekat lutut dia tu. Baru-baru ni dia terkena infeksi. Kesian budak Afrina tu kena hadap pesakit cerewet macam mama kamu lepas tu degil pula tu. Hah kamu ni alang-alang dah balik pastikan mama kamu jaga makan. Hari tu mak su lawat dia pun dia tak dengar cakap mak su. Sekarang ni tugas kamu pula pujuk dia supaya tak langgar pantang," ujar Doktor Azizah sambil menonton televisyen bersama suami dan dua orang anak gadisnya. Sesekali, kedengaran tawa Batrisya menonton siaran komedi di televisyen.

"Baiklah doktor. Terima kasih sebab jagakan mama selama Hud tak ada kat sini. Hud nak tanya soalan lagi boleh?"

"Apa dia?"

"Afrina. Afrina tu kenapa dia nampak sombong eh? Hud cuba nak berkawan..."

"Oh kamu usya pekerja mak su ye? Kenapa? Lepas kepala tu kena balut dah jatuh hati dekat Afrina ke?"

Tak semena-mena, Hud ketawa lagi. Geli hati dengan tuduhan ibu saudaranya. Pelipis yang tak gatal digaru. "Ke situ pula mak su ni. Tak adalah. Hud pelik dengan dia. Lagi pun Hud rasa Hud pernah nampak dia sebelum ni. Tapi semuanya samar-samarlah sebab dah lama sangat. Mungkin masa Hud sekolah, kut?" tebak Hud. Dia ingin mengingati zaman sekolahnya yang penuh dengan kekejaman. Masakan tidak, dia terkenal dengan sifatnya yang suka membuli dan menganiaya orang lain.

"Kamu ingat ke budak-budak zaman sekolah kamu tu? Bukan kamu cuma tahu merosakkan zaman sekolah budak yang jadi mangsa buli kamu ke?" ujar Doktor Azizah, sinis.

"Kejam sangat ayat mak su untuk orang yang dah bertaubat ni. Ok..."

Bunyi ketukan pintu di luar bilik mematikan kata-kata Hud. Dia pantas pamit dari Doktor Azizah dan membuka pintu. Terpampang wajah Mirza di hadapan matanya dengan sekuntum senyuman yang kelihatan manis. Lantas, dia berjabat tangan sebelum tubuhnya dipeluk oleh Mirza dengan erat. Memulakan jejak kasih di antara dua beradik tiri itu.

"Sihat?"

"Macam nilah abang. Masih bernafas dan masih mampu berdiri," ujar Hud. Dia membalas senyuman lebar Mirza yang ramah. Tapi entah mengapa Hud merasakan sesuatu di sebalik senyuman abang tirinya itu. Barangkali, gerak hatinya yang sering berjaga-jaga sahaja.

"Baguslah kalau kau baik-baik saja. Aku dengan Kak Amy baru balik dari Jordan uruskan hal syarikat papa. Kau kenapa lambat sangat balik? Bukan kau dah janji dengan mama kau nak balik dua minggu awal ke? Ke kau ada masalah yang aku perlu tahu?" soal Mirza bertalu-talu.

"Oh pasal tu. Aku ada urusan yang aku tak selesaikan lagi sebab tu aku terpaksa mungkir janji dengan mama. Ala, aku okay! Kau jangan risaulah. Terima kasihlah sebab prihatin dengan anak terbuang macam aku ni. Tak macam kau, anak kebanggaan papa," ujar Hud diselit dengan tawa sinisnya. Bahu abangnya ditepuk. Pelik kenapa si abang tiba-tiba bersikap prihatin walhal selama ini mereka sering bergaduh.

"Tapi bukan anak terbuang untuk mama. Berkat doa mama juga kau masih boleh bernafas sampai hari ini kut. Kalau tak entahlah apa jadi dengan kau kat luar sana sebab banyak melawan cakap papa dengan mama. Macam tak berkat hidup..."

"Hud? Wow Hud welcome back to our home!" pintas Amelia dengan nada ceria. Dia yang baru menaiki anak tangga meluru ke arah dua beradik yang berwajah tegang itu. Masakan tidak, kata-kata sinis sudah dilemparkan antara satu sama lain.

"Terima kasih Kak Amy," ujar Hud. Namun, pandangannya masih bersatu dengan anak mata Mirza. Seakan-akan cuba membaca apa yang tersimpan di lubuk hati anak sulung keluarga Datuk Idris itu. Namun sayang, pandangan kosong itu menyukarkan Hud untuk menafsirkan kata-kata Mirza sebentar tadi.

TUBUHNYA melorot ke lantai setelah menerima tamparan kuat daripada seorang gadis berbaju kurung berwarna putih yang disingsing hingga lengan. Cecair merah mengalir di birai bibir gadis berkaca mata itu. Dia sudah tersedu-sedan apabila diserang oleh empat orang senior. Ini sudah kali ketiga dia menerima habuan setelah kejadian dia dimalukan minggu lepas. Perlahan-lahan, dia ingin berdiri. Namun, gadis berambut pendek menyiram tubuhnya dengan menggunakan gayung yang dicedok dari tandas. Berkali-kali dia disiram sehingga untuk dia bernafas pun terasa payah.

"Aku minta maaf. Aku..."

"Apa dia?" soal gadis yang menampar sebentar tadi. Dia mengangkat tangan kepada rakannya tanda berhenti.

Perlahan-lahan, gadis berkaca mata itu mendongak memandang seniornya yang berwajah bengis. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Dia takut. Dua hari lepas, pergelangan tangannya baru sahaja dicucuh dengan rokok. Sakitnya bukan kepalang! Bahkan, dia turut ditampar bertalu-talu sehingga meninggalkan kesan lebam pada pipinya. Bila ditanya oleh orang sekeliling, dia terpaksa membuat helah kerana diugut.

"Aku minta... maaf sebab aku... tulis surat untuk Aidan. A..."

Gadis itu terdiam apabila Nisha yang menjadi ketua duduk mencangkung di hadapan gadis dengan tanda nama Naurah Afrina. Rahang Afrina dicengkam kuat oleh Nisha sehingga kukunya yang panjang mencucuk pipi gadis malang itu. "Kau tahu kan dia tu boyfriend aku? Aku rasa kau dah cukup tahu bila aku dapat tangkap orang yang taruh perasaan dekat Aidan tak akan pernah aman lagi. Aku masih ada setahun lagi dekat sekolah ni dan itu bermaksud kau ada setahun lagi untuk jadi mangsa aku," ujar Nisha. Dia tersenyum sinis tatkala melihat air mata Afrina semakin deras. Darah di birai bibir gadis itu dikesat kasar.

"Malang betul nasib kau ni. Aku tak rasa lepas ni kau akan dapat gelaran pelajar cemerlang lagi. Kau akan tertekan dan kau tak akan fokus untuk belajar lagi lepas jadi mangsa aku. Ya, nak buat macam mana kan?" kata Nisha lagi. Tawanya terhambur sebelum dia menggagau sesuatu di dalam poket baju kurungnya. Tatkala mata Afrina menangkap barang itu, dia terus menggeleng dan menolak kuat tubuh Nisha. Sekuat mungkin dia cuba melawan sehingga dua orang daripada kawan Nisha menahan tubuhnya. Gadis berambut pendek sudah merakam aksi menyeronokan itu.

"Aku... aku tak nak. Tolonglah... aku..."

PANG!

"Diamlah! Ini momen menarik untuk kita orang. Baik kau diam sebelum aku rendam muka buruk kau tu kat jamban!" tengking Nisha seraya menyumbatkan stoking yang sudah sebulan tak dicuci ke dalam mulut Afrina. Gadis itu cuba mengelak namun mereka semakin mencengkam bahunya dengan erat.

"Sedap kan stoking tu? Ni stoking Aidan yang lama tak kena cuci tahu. Gila kalau stoking orang yang kau syok ni tak sedap!" kata Shila pula sambil mengetatkan cengkaman di bahu Afrina. Gadis malang itu semakin terasa sesak saat stoking itu disumbat ke dalam mulutnya. Bau yang kurang menyenangkan membuatkan dia loya. Hina sangatkah jika dia menaruh perasaan pada seniornya itu? Inikah balasan yang harus dia terima akibat menyukai lelaki bernama Hud Aidan?

"JANGAN!"

Saat Afrina terjaga dari lenanya, saat itu juga jantungnya berdegup kencang dengan mimpi buruk itu. Dia segera meluru masuk ke dalam tandas apabila dia terasa ingin memuntahkan isi perutnya. Sungguh, mimpi itu membuatkan dia loya serta merta. Rintik-rintik peluh yang mengalir ke pipinya dikesat lembut sebelum dia berkumur-kumur. Kemudian, Afrina keluar dari tandas dengan langkah yang longlai. Dia terduduk di birai katil. Sungguh, semenjak Hud muncul semula dia sering terbawa-bawa kenangan buruk itu.

"Aku jadi macam ni sebab dia. Dia patut mati sama macam Nisha. Tapi kenapa dia hidup lagi? Kenapa aku kena berhadapan dengan dia lagi?" desis Afrina seraya meraup wajahnya kasar. Bisikan-bisikan syaitan terus menerus menusuk telinganya. Dia mahu Hud mati seperti mana Nisha mati akibat pengambilan dadah yang berlebihan.

Namun, azan Subuh yang berkumandang di masjid yang berhampiran membuatkan dia tersedar. Lantas, dia beristighfar apabila fikirannya mula terbawa-bawa dengan dendam dan kemarahan. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. 14 tahun sudah berlalu tetapi kenapa ya dia sukar mahu melupakan kejadian itu?

"Afrina! Bangun solat berjemaah," suara Encik Talib di luar bilik bersama ketukan pintu mematikan lamunan Afrina.

"Ya, abah! Afrina dah bangun." Lantas, Afrina kembali ke tandas bagi menyucikan dirinya. Perihal kenangan buruk itu lantas ditepis buat sementara waktu.

Bersambung...

Nota penulis: Terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan korang 😊 Sesiapa ada wattpad bolehlah jenguk karya saya yang lain dalam wattpad ye https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Sedutan bab 8

Berkerut dahi pemuda itu tatkala menerima panggilan yang tak dikenali. Punat hijau disentuh. Tatkala telefon dilekapkan ke telinga, bunyi tembakan dilepaskan kedengaran. Hud kaget. Dia segera meluru masuk ke dalam kamarnya. Serta merta jantungnya berdegup kencang mendengar bunyi tembakan itu. Tangannya tiba-tiba menggeletar seiringan dengan kenangan buruk yang silih berganti melintas di kotak fikiran. Seseorang benar-benar ingin bermain dengannya saat ini!


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa