Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,427
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 22

CECAIR merah pekat yang membasahi tangannya membuatkan Afrina semakin menggigil ketakutan. Hilang sudah ketenangannya melihat keadaan Hud Aidan yang semakin lemah itu. Fikiran Afrina benar-benar bercelaru dengan kejadian yang mengejutkan di depan mata.

"Hud..."

Tiada sahutan.

Hanya esakan Afrina sahaja yang kedengaran di bangunan usang itu. Mata Afrina mula melilau memandang sekelilingnya. Bangunan usang yang terletak di belakang hutan belantara itu sangat menggerunkan. Kegelapan seolah-olah menyusup ke dalam hidupnya melihat suasana dingin itu. Sekejap tangisan Afrina menjadi kuat sekejap tangisannya menjadi sendu. Afrina seolah-olah hilang kewarasan. Dia takut!

"Hud, janganlah... takutkan aku... tolonglah... cakap sesuatu," rintih Afrina sebelum pandangannya jatuh ke laman wajah Hud. Gadis itu dapat melihat betapa seksanya Hud ingin mencari nafas tika itu. Dada pemuda itu seakan-akan berombak kencang menyedut oksigen yang masih tersisa.

"Hud Aidan! Bangun! Tak... kau tak boleh... pejamkan mata kau, Hud!"

Tak semena-mena, suara Afrina naik seoktaf sambil menepuk pipi Hud yang lebam bertalu-talu. Tangan Hud yang masih mengenggam erat tangannya dieratkan lagi sambil menghalang darah yang membuak-buak keluar dari abdomen pemuda itu. Selendang yang sudah ditanggalkan dibetulkan letaknya sambil menekup luka Hud. Hanya inner neck labuh berwarna hitam yang menutup aurat Afrina.

"Tolonglah, aku merayu... aku takut... aku... nak buat apa? Hud... tolonglah jangan... jangan pejamkan mata kau. Aku merayu..." rintih Afrina lagi sebelum tangisannya kembali kuat kedengaran. Jiwanya lemah. Tiada lagi Afrina yang garang dan tegas kala ini.

Titisan air mata Afrina jatuh ke wajah Hud tanpa henti. Pemuda itu cuba mencelikkan matanya tatkala mendengar rintihan sayu Afrina. Hatinya luluh mendengar rayuan Afrina yang ketakutan. Namun, kesakitan yang maha hebat menghalangnya dari berbuat demikian. Hud hanya mampu memejamkan mata dengan kesedaran yang semakin hilang.

"Hud, kau... kau ingat tak... kau pernah... selamatkan aku 14 tahun... yang lalu?"

Soalan yang tiba-tiba meluncur laju daripada bibir Afrina membuatkan Hud sedikit tersentak. Perlahan-lahan, Hud mencelikkan mata. Samar-samar di pandangannya seorang gadis berwajah pucat sedang memangku kepalanya. Inilah kali pertama dia melihat wajah sayu Afrina. Sungguh, Hud sebak.

Afrina kaget apabila Hud masih menunjukkan respons. Cepat-cepat dia mengesat air matanya dengan tangan kiri yang masih bersih dengan darah. Mana mungkin dia membiarkan Hud melihat dia menangis! Masih ada sisa egonya dalam diri Afrina. Dia tidak mahu Hud memandangnya seperti seorang gadis yang lemah lagi!

Melihat tingkah Afrina membuatkan Hud tersenyum pahit. Melihat muka comot Afrina membuatkan hatinya tercuit lucu. Ingin sekali dia mengusik namun Hud sudah kehabisan tenaga.

"Kau nak ejek aku? Huh?" soal Afrina dengan suara yang bergetar. Dia mengerti pandangan dan senyuman Hud Aidan itu. Itulah wajah yang sering ditonjolkan apabila Hud mula dalam mood mengusik.

"Sa... sam... bung..."

"Sambung? Pasal tadi?" soalan diajukan kepada Hud sebagai kepastian.

Hud sekadar mengerdipkan matanya. Mengiakan. Dia memerlukan perbualan agar dia tidak tenggelam dengan kesakitan. Kelembutan Afrina mengenggam tangannya dengan selendang yang dijadikan lapik membuatkan Hud seolah-olah mendapat sedikit kekuatan.

Afrina mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Hud. Tubuh kaku dua orang penculik di hadapan matanya menjadi tatapan. Entah hidup atau mati Afrina tidak tahu. Pukulan yang dihambat pada salah seorang penculik bukan calang-calang! Darah berlumuran dengan begitu banyak di bahagian kepala dan bila-bila masa sahaja penculik bertopeng itu akan mati kehabisan darah.

Perlahan-lahan, Afrina menghela nafas. Menenangkan sedikit hatinya yang ketakutan. Dia perlu berbicara dengan Hud dan memastikan pemuda itu dalam keadaan sedar sebelum pertolongan datang.

"Masa tu, aku baru balik dari sekolah lewat petang sebab pada hari kejadian... aku bertugas di pusat sumber. Aku ingat lagi masa tu hujan lebat. Aku terpaksa berteduh di perhentian bas. Sendirian," kata Afrina.

Bunyi siulan yang datang daripada tiga orang pelajar lelaki di sebelahnya membuatkan Afrina tidak selesa. Berkali-kali dia bermain dengan kuku sambil memandang deretan kenderaan di jalan raya. Mengharapkan abah mengambilnya secepat yang mungkin setelah dia menghubungi abahnya menggunakan telefon awam.

Salah seorang pelajar lelaki yang sedang menghisap puntung rokok menghampiri Afrina. Wajah kelat Afrina dipandangnya dengan pandangan sinis.

"Hai cik adik. Seorang saja? Nak abang temankan?" soal si remaja lelaki sambil bersandar di belakang palang bertentangan dengan Afrina.

Afrina hanya diam. Buku teks sekolah dipeluk erat. Pandangannya dihalakan ke kiri. Dia tahu Budin, Amri dan Saiful itu gengster sekolah dan Afrina tiada kekuatan untuk menentang mereka. 

"Sombong!" cemuh Budin yang sedang memetik kuntuman bunga Asoka merah yang ditanam berhampiran gerbang sekolah.

Saiful mencebik geram dengan sikap angkuh Afrina. Lantas, dia menghampiri gadis itu lalu melabuhkan duduk di sebelah Afrina. Laju sahaja tangannya menarik kasar buku teks gadis malang itu.

"Apa ni! Kau orang nak apa?" bentak Afrina tak semena-mena. Geram apabila mereka sudah semakin ligat mengganggunya. Lantas, Afrina bangun dari duduk. Wajah Budin, Amri dan Saiful dipandang silih berganti.

"Aip! Jangan marah-marah nanti lekas tua cik adik. Kita orang bosan sebab tu kita orang nak bermain dengan cik adik manis ni," kata Saiful sambil tersengih dengan kemarahan Afrina.

"Aku tak nak..."

Tak semena-mena, Afrina kematian kata tatkala Amri mula menyentuh kulit wajahnya. Akibat kejutan itu, Afrina terundur setapak ke belakang. Namun, Budin pula yang menahan pergerakannya. Ketakutan mula menyelubungi Afrina apabila dia dikepung oleh tiga budak 'Setan' itu.

"Kau orang nak apa? Jangan kacau akulah!" jerkah Afrina sekuat hati. Namun, dek hujan semakin lebat membuatkan suaranya tenggelam. Sungguh, bau-bau rokok membuatkan Afrina lemas. Lebih-lebih lagi dia dikepung oleh budak-budak nakal itu.

Tak semena-mena, Budin ketawa terbahak-bahak sambil mencuit pipi Afrina. Segera Afrina menepis kasar tangan lelaki itu dan berganjak ke belakang sehingga dia terlanggar tubuh Amri.

"Kau, apa hubungan kau dengan Aidan?" soal Saiful tiba-tiba.

"Hah? Apa yang kau orang merepekni?" soalan dibalas dengan soalan. Afrina kaget dengan soalan mengejut itu.

"Merepek? Kau jangan pura-pura tak tahulah. Kau report pada cikgu disiplin kan yang kita orang bergaduh dengan si jahanam itu!" bentak Amri seraya menolak kasar tubuh Afrina ke arah Budin.

Tambah berkerut dahi Afrina dengan omongan Amri. Bila masa dia buat laporan ke Cikgu Manaf pun dia tidak tahu. Gerangan Aidan yang disebut oleh mereka juga Afrina tidak kenal. Manakan tidak, setiap saat Afrina berada di pusat sumber menelaah pelajaran. Kalau tidak, pasti dia bertugas sebagai seorang Pustakawan. Pokok pangkalnya, pusat sumber sekolah sudah menjadi rumah kedua Afrina.

"Sebab tu, kita orang nak bagi hadiah..."

"Apa masalah kau orang pergi usik budak tu?" soalan yang tiba-tiba muncul mematikan kata-kata Saiful. Serentak mereka berpaling memandang si figura yang berbaju sukan sekolah sedang menghampiri.

"Hero dah datang bhai!" ejek Saiful sambil membuat siulan menjengkelkan.

"Bukan budak tu yang buat report. Kau orang dah salah sangka," ujar si lelaki berkulit kuning langsat seraya menolak kasar bahu Amri dan menarik Afrina keluar dari kepungan mereka.

Tak semena-mena, ketiga-tiga gengster sekolah itu ketawa dengan tingkah Hud Aidan. Masing-masing sudah saling berpandangam bersedia untuk menyerang. Hud Aidan itu musuh utama mereka!

"Bagi balik buku budak ni," arah Hud.

"Buku? Boleh. Tapi ada syaratnya. Kau sanggup nak tunaikam syarat itu?" kata Saiful yang sedang memegang buku teks Afrina.

Hud sekadar tersenyum sinis sambil menggaru pelipis yang tak gatal. Dia tiada modal mahu bergaduh ketika itu. Sekadar bergaduh dengan budak-budak hingusan itu hanya akan menjatuhkan maruahnya sekali lagi sebagai anak kepada usahawan ternama. Lagi pula, dia tidak mahu dimarahi oleh papanya.

"Bagi..."

Buk!

Tak semena-mena, wajah Hud terteleng ke kanan dengan tumbukan padu Amri. Rahang yang seakan-akan dipatahkan diusap lembut sebelum tangannya menyentuh cecair merah yang mengalir di birai bibir.

"Ayuhlah, Aidan! Balaslah!" Saiful mula memprovokasi

"Aku tak nak bergaduh. Bagi balik..."

Sekali lagi Hud kematian kata apabila Budin pula ingin melayangkan penumbuk ke wajahnya. Malangnya, Hud tangkas mengelak lalu memulas tangan Budin ke belakang dengan kuat. Melolong budak lelaki bertindik di telinga kiri itu apabila bahunya seolah-olah dipatahkan.

Melihatkan itu, Afrina melopong dengan ketangkasan Hud memulas kuat tangan Budin sehinga lolongan kesakitannya kedengaran. Siapa budak lelaki yang tinggi itu? Dia bagaikan hero buat Afrina. Menyelamatkannya meskipun sudah menerima tumbukan percuma.

"Kau lepas..."

Satu tendangan kuat pula ditujahkan ke tubuh Saiful yang ingin menyerang. Akibat serangan tangkas itu, Saiful terduduk di atas jalan. Lantas, Hud mencapai buku teks Afrina lalu menarik pergelangan tangan gadis itu menyelamatkan diri daripada samseng sekolah.

Akibatnya, mereka yang sudah basah kuyup dikejar dari belakang. Tercungap-cungap nafas Afrina mengikut langkah Hud yang semakin laju. Dia terasa berada di awang-awangan dengan larian laju Hud itu. Tangan yang sedang menggenggam pergelangan tangannya dipandang. Pegangan itu terlalu erat bagi Afrina. Pelbagai persoalan semakin bermain di benak fikiran mengenai gerangan pemuda itu.

Tiba di sebuah kedai runcit, larian mereka terhenti. Afrina dan Hud bersembunyi di belakang rak bahagian alat peralatan tulis yang tersorok di belakang. Mata helang Hud hanya mengekori larian tiga sekawan yang sudah terkial-kial mencari mereka. Terukir senyuman sinis di birai bibir.

"Kau okey?"

Senyap.

"Girl! Are you okay?" soal Hud lagi seraya mengalihkan pandangannya ke laman wajah Afrina yang sudah kaku sambil tercungap-cungap mencari nafas.

"O... okay. Terima kasih... sebab tolong saya," ujar Afrina seraya melepaskan tangannya daripada genggaman Hud. Wajahnya serta merta membahang kepanasan tanpa sebab. Dinding hatinya mula bermain dengan irama. Kenapa? Aneh sekali rasanya.

"Dia orang tak cederakan kau kan?" soal Hud prihatin dengan dahi yang berkerut.

Afrina sekadar menggeleng sambil menundukkan pandangannya. Tak betah dia mahu memandang Hud Aidan apabila degupan jantungnya mula berdebar kencang dengan keprihatinan Hud Aidan.

"Kalau macam tu, aku balik dulu. Kau hati-hati. Aku tak mahu dia orang kacau kau lagi," kata Hud. Tanpa menunggu jawapan daripada Afrina, Hud melangkah keluar dari kedai runcit itu.

"Tu... tunggu!"

Suara Afrina yang menyapa membuatkan Hud kematian langkah. Lantas, pemuda itu berpaling memandang wajah Afrina yang merah menahan malu. Tergaris senyuman di bibir melihat tingkah Afrina. Dengan kaca mata yang tebal, gadis itu kelihatan comel di pandangan mata Hud. Gadis buku yang sering dilihat di pusat sumber sekolah.

"Bi... bibir awak luka lagi. Ni, sapu tanganni... ambillah," ujar Afrina seraya menghulurkan sehelai sapu tangan yang disulamkan dengan namanya kepada Hud. Lantas, buru-buru Afrina melangkah keluar dari kedai runcit itu. Sesak rasanya apabila dinding hatinya seakan-akan meloncat melihat wajah pemuda itu.


"AKU... sukakan kau, sejak kejadian itu. Kalau kau tak ada, entah apa yang akan dia orang lakukan pada aku. Tapi sebab aku sedar kau ibarat prince charming dekat sekolah dan akuni ibarat ugly duckling membuatkan aku hanya mampu suka kau dalam diam. Aku sedar yang aku... tak sesuai nak bergandingan dengan kau," ujar Afrina. Tanpa sedar, segaris senyuman terukir di bibirnya. Itulah kali pertama dia bermain soal hati.

Melihat senyuman pahit Afrina membuatkan Hud kembali kesal. Seketika, dahinya berkerut tatkala kesakitan itu semakin menggigit tubuhnya yang sudah terbaring lemah. Raut wajah Afrina kemudiannya ditatap dalam-dalam. Walaupun gadis itu sudah kusut dengan wajah yang lebam dan sembap namun Afrina masih kelihatan indah di kornea mata Hud.

'Kau dah berubah menjadi beautiful swan, Naurah Afrina. Aku yang tak layak dengan gadis seindah kau. Aku terlalu kejam buat kau terluka' desis hati Hud tatkala pandangannya tak lekang dari memandang raut wajah Afrina.

"Tapi saat ini... perasaan tu dah hilang. Aku..."

Jeda.

Buat seketika, Afrina menundukkan pandangannya menatap wajah Hud. Apabila mereka saling bertentangan mata, saat itu juga kornea mata mereka seakan-akan saling berkomunikasi antara satu sama lain. Hud dengan pandangan yang penuh rasa cinta dan Afrina dengan pandangan yang seolah-olah cuba meredhakan sesuatu.

"Perasaan aku dah hilang untuk kau. Aku rasa kosong lepas kau hina aku. Kau cemuh dan hukum aku sebab aku sukakan kau. Aku rasa perasaan aku untuk kau merupakan satu sumpahan. Tapi... aku cuba maafkan kau. Aku cuba lepaskan dendam aku. Sebab tu, bertahanlah Hud. Aku akan maafkan kau kalau kau bertahan," pujuk Afrina sebelum titisan air matanya mengalir lagi ke pipi. Luluh hatinya melihat keadaan Hud yang terseksa bertarung dengan kesakitan. Kenapa dia harus merasakan kesedihan yang luar biasa? Aneh.

"Af..."

Uhuk!

Tak semena-mena, Hud terbatuk sehingga darah terpercik keluar dari mulutnya. Saat itu, tak putus-putus nama ALLAH yang maha mengasihani meniti di sudut hatinya. Merintih agar ALLAH menarik kesakitan itu. Sunggguh tika ini, sakitnya luar biasa! Hud merasakan seluruh tubuhnya seakan-akan lumpuh untuk digerakkan kerana kesakitan itu.

"Genggam tangan aku kuat-kuat. Aku salurkan kekuatan aku untuk kau. Tapi kau kena temankan aku dekat sini. Aku takut. Aku tak tahu nak buat apa. Aku... perlukan kau saat ini, Hud," pujuk Afrina tatkala pandangan Hud kembali layu. Afrina mahu memberikan ketenangan buat pemuda di pangkuannya itu.

Kenapa dengan dia? Bukankah selama ini hanya kata-kata cemuhan yang dilontarkan buat Hud Aidan? Afrina merasakan dirinya terlalu aneh tika ini tatkala dia tak putus-putus menyalurkan kata-kata semangat buat Hud. Malahan, Afrina merasakan bahawa dia ikhlas menuturkan kata-kata itu. Bukan sekadar mahu menenangkan Hud sahaja.

Sungguh, kata-kata semangat yang sayup-sayup kedengaran di gegendang telinga membuatkan Hud semakin terpujuk untuk melawam sakit. Afrina yang membencinya sedang menyalurkan kekuatan. Inilah kali pertama dia mendapat layanan baik daripada Afrina. Sekali lagi, Hud merasakan dia seolah-olah mimpi di siang hari sahaja. Kalau bisa, Hud tidak mahu bangun dari mimpi ini. Dia hanya mahukan Afrina melayaninya dengan baik seperti saat ini.

"Nanti kalau kau dah sembuh... kita bawa Dina ke mana saja dia nak pergi. Aku janji... aku akan tolong kau... jaga Dina kalau kau sibuk. Tapi... kau kena kuat. Kau..."

Afrina kematian kata serta merta apabila tubuh penculik di hadapannya mula bergerak. Keadaan cemas semakin mencengkam sanubari. Esakannya terhenti. Hanya tinggal sedu yang masih tersisa. Senjata yang tergeletak di sebelah si penculik bertopeng dipandang sebelum Afrina berganjak ingin mencapai.

Namun, si penculik yang mula sedarkan diri terlebih dahulu mencapai memandangkan Glock terletak di sebelahnya sahaja. Tergaris senyuman sinis di bibirnya melihat wajah biru Afrina.

Perlahan-lahan, tangannya diangkat lantas Glock diacukan ke tubuh Afrina. Seenaknya sahaja gadis itu memukulnya sehingga kepalanya terasa begitu berat. Namun, amaran yang dilontarkan oleh ketuanya membejatkan tindakannya. Ah! Dia tertekan. Kenapa ketuanya itu tidak mahu Afrina disentuh oleh mereka?

Afrina semakin menggeletar dengan tindakan lelaki bertopeng itu. Dia memejamkan matanya dan kembali tersedu-sedan akibat ketakutan. Adakah dia akan mati? Dia redha. Tapi bukan dengan cara dibunuh!

"Afrina!"

Namun, bukan bunyi tembakan yang kedengaran melainkan bunyi beberapa derapan tapak kaki yang menghampiri. Laungan kuat itu serta merta membuatkan Afrina mencelikkan matanya. Nafasnya turun naik dengan situasi tegang sebentar tadi. Matanya melilau memandang pasukan penyelamat yang sudah muncul. Si penculik yang mahu mencelakainya pula hilang serta merta!

"Ya ALLAH Afrina... Hud. Afrina saya minta maaf sebab lambat. Saya..."

Ibrahim yang meluru ke arah Afrina dan Hud terus kematian kata tatkala melihat sahabatnya yang sudah tidak sedarkan diri di atas pangkuan Afrina. Mahu luruh jantung Ibrahim melihat tubuh Hud yang berlumuran dengan darah. Lantas, denyutan nadi Hud diperiksa. Lemah!

Ibrahim lantas mengarahkan pasukannya memberkas penjenayah yang berada di bangunan itu sebelum wajah Afrina yang semakin membiru dipandangnya lagi. Gadis kesayangannya itu juga kelihatan benar-benar lemah dengan wajah yang sembap. Sungguh, Ibrahim kesal kerana lambat. Lalai melindungi gadis itu.

"Rahim... dia orang nak bunuh Hud. Dia orang nak bunuh kawan awak. Rahim, saya nampak dia orang tembak Hud depan mata saya sendiri. Rahim..."

Tatkala itu, mulut Afrina tak henti-henti menuturkan perkataan 'bunuh' dengan tubuh yang menggigil ketakutan. Kegelapan benar-benar menyelubunginya tika ini. Takut! Itu sahaja yang dirasakan oleh gadis itu saat ini.


AFRINA hanya memandang sepi sebungkus roti Gardenia berperisa jagung dan sebotol air mineral yang dihulurkan oleh jururawat kepadanya sebentar tadi. Pesanan yang diberikan oleh jururawat seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja.

"Buat masa ini, cik jangan buat aktiviti lasak seperti senaman yang berat ya. Tablet ni pula cik kena makan selepas makan bagi membantu membina semula sel-sel darah yang telah cik dermakan," pesan jururawat yang sedang bersiap untuk menghantar beg darah yang didermakan oleh Afrina ke wad pembedahan. Tablet zat besi dan asid folik diletakkan di sebelah Afrina.

Afrina sekadar mengangguk lemah. Ya, dia tahu itu. Jawatan mereka sama. Apa yang membezakan, dia hanyalah seorang jururawat peribadi. Namun tika ini, Afrina yang masih diserang kejutan seolah-olah tidak mengendahkan perkara yang telah dipelajari dahulu.

Dengan tangan kiri menekan kuat bekas cucukan jarum sambil berehat di atas katil, fikiran Afrina kembali bermain dengan kejadian buruk yang sudah menimpanya dan Hud. Sungguh, Afrina tahu bahawa dia mula trauma. Tambahan pula keadaan Hud yang parah itu menambahkam ketakutan dalam dirinya.

Saat Hud ditembak di depan mata. Saat Hud berjuang menahan penyeksaan terhadap kesakitan. Saat tangan Hud mengenggam tangannya dengan erat. Tatkala Afrina menghulurkan kekuatannya buat pemuda itu. Apabila mereka sudah diselamatkan, Hud kehilangan darah yang terlalu banyak dan memerlukan penderma. Mujur, Afrina mempunyai golongan darah yang sama dengan Hud Aidan. Maka, di sinilah Afrina menjadi penderma walaupun dia masih dalam keadaan yang lemah.

15 minit berlalu, Afrina keluar dari ruang kecemasan dengan langkah longlai diatur ke wad pembedahan semula. Namun, langkahnya terbejat apabila kepalanya terasa pusing. Hampir sahaja dia rebah jika tiada tangan yang memaut bahunya. Tatkala Afrina mendongak, terpampang wajah gusar Ibrahim. Segera dia menepis lembut tangan pemuda itu.

"Duduk dulu Afrina. Awak lemahni. Awak makanlah dulu roti ni. Isi perut yang kosong," ujar Ibrahim sambil membuka plastik roti yang diberikan kepada Afrina sebentar tadi.

"Hud macam mana?"

"Pembedahan belum selesai. Awak jangan fikir pasal dia dulu. Awak fikir pasal keadaan awak. Awak perlukan rehat..."

Afrina kembali mengatur langkah meninggalkan Ibrahim. Dalam kepalanya hanya mahu memastikan Hud Aidan selamat. Sekali lagi, Afrina rasa aneh. Kenapa dia merasakan perasaan seperti ini pun Afrina tidak tahu. Walhal, kebenciannya terhadap Hud selama ini terlalu tinggi. Mahu melihat wajah Hud sahaja pun kemarahannya sentiasa membuak-buak.

"Afrina! Boleh tak awak jangan degil? Makan..."

"Awak jangan paksa saya boleh tak? Saya tak suka. Ya terima kasih sebab selamatkan kami! Tapi saya nak tunggu Hud keluar dari dewan bedah tu!" bentak Afrina tak semena-mena. Rimas apabila Ibrahim asyik memaksanya.

Ibrahim mengeluh berat dengan kedegilan Afrina. Lantas, dia meluru ke arah gadis itu dan menahan langkah Afrina. Seketika, mereka saling beradu pandangan. Masing-masing dengan wajah yang tegang.

"Saya tahu awak risaukan Hud. Tapi kalau dia ada depan mata awak pun saya yakin dia akan risaukan keadaan awak. Afrina, tolonglah jangan macam ni. Awak makan dulu untuk bagi tenaga dalam badan awak. Awak pucat ni Afrina," pujuk Ibrahim dalam nada yang tegas. Sungguh, luluh hatinya melihat keadaan Afrina yang tidak terurus. Di sini si gadis sedang berdegil. Di dewan bedah, sahabatnya sedang berjuang dengan kematian.

"Saya okay. Jangan risau..."

"Okay apanya kalau awak dah nak pitam depan saya tadi? Jangan degil boleh tak! Lagi satu, lepas ni saya akan letak awak dalam jagaan saya! Awak..."

"Kenapa dengan awak ni eh? Beria-ia nak jaga saya? Awak ingat saya ni lemah sangat ke? Saya tak perlukan jagaan daripada awaklah! Saya boleh jaga diri saya sendiri!" bentak Afrina melepaskan tekanan yang membeku di dinding hatinya.

Ibrahim mengeluh berat. Tangannya digenggam erat apabila Afrina semakin mencabar kesabarannya. Tidakkah Afrina mengerti bahawa dia terlalu risaukan gadis ini?

"Setuju atau tak, saya akan tetap lindungi awak! Tolonglah jangan berdegil. Dengar sini baik-baik, saya... sukakan awak Naurah Afrina. Saya dah mula sayangkan awak dan saya tak nak awak berada dalam keadaan yang membahayakan lagi. Hampir putus nyawa saya bila awak hilang! Saya rasa apa gunanya saya jadi polis kalau saya tak mampu lindungi orang yang sayang? Saya tahu saya tak mampu buat awak cintakan saya seperti mana awak cintakan arwah Umar. Tapi tolonglah bagi saya peluang untuk jaga awak!" luah Ibrahim dengan satu nafas panjang. Ya, dia mencintai Naurah Afrina. Dia menyayangi gadis di hadapannya saat ini. Bila perasaan itu mula wujud pun dia tidak sedar.

Luahan Ibrahim membuatkan Afrina bungkam. Pandangannya terus dialihkan dari memandang wajah pemuda itu. Kaget. Dia tidak menyangka bahawa secepat itu rakan barunya mula memendam rasa buatnya.

"Umar? Macam mana awak tahu pasal tunang saya?"

"Isha dah ceritakan semuanya pada saya. Afrina, tolonglah saya nak bahagiakan awak. Saya..."

"Maaf Inspektor Ibrahim. Buat masa ni, saya tak nak fikir apa-apa pasal hal ini. Saya cuma nak tunggu kawan awak. Jangan halang saya lagi," kata Afrina seraya melangkah pergi meninggalkan Ibrahim. Dia terlalu lelah. Terlalu banyak kejutan. Kepalanya juga semakin berdenyut. Afrina sudah terlalu banyak bermain dengan emosi selama dia dan Hud diculik. Kini, Ibrahim seakan-akan menambahkan lagi kesesakan itu.

"Awak dah mula cintakan Hud Aidan ke Afrina?" soal Ibrahim tanpa memandang wajah Afrina. Entah kenapa, tingkah Afrina yang terlalu merisaukan sahabatnya tanpa memikirkan keadaan diri sendiri membuatkan Ibrahim membuat andaian sedemikian rupa. Dalam diam, Ibrahim cemburu!

Langkah Afrina terbejat. Senyuman sinis terukir di bibirnya yang lebam dengan soalan drastik Ibrahim. Keluhan berat terlepas dari bibir tatkala satu lagi kejutan ditujahkan ke dalam hidupnya. Dia cintakan Hud Aidan? Soalan apakah? Sudah semestinya tidak! Dalam hatinya, hanya ada Umar. Selamanya hatinya hanya untuk pemilik nama Umar Al-Fatah!

Bersambung...

Nota penulis: Karya ini juga boleh dibaca di dalam wattpad dan sudah dimuatnaik sehingga ke bab 33 ^_^ https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa