Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,416
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 21

DUA hari berlalu begitu pantas sejak tragedi penculikan Hud dan Afrina yang masih belum berjaya dijejaki. Malahan, kejadian itu juga membuatkan Ibrahim yang mengetuai misi pencarian Hud dan Afrina semakin buntu. Pasukan Ibrahim bukan sahaja tidak mempunyai saksi kejadian malahan bukti yang boleh membawa mereka kepada bayangan tentang penculikan Hud dan Afrina juga tidak menemui titik jawapan.

Kehilangan mereka terlalu misteri bagi Ibrahim. Malahan, bersilih ganti Ibrahim memanggil semula suspek yang pernah menyerang Hud dahulu. Malangnya, mereka tidak mahu membuka mulut. Kadangkala terselit ketakutan di sebalik wajah mereka. Maka, dek kerana tiada pilihan lain Ibrahim terpaksa menyoal siasat orang terdekat Hud pula. Terutamanya Mirza dan Zanif yang mempunyai konflik dengan seorang Hud Aidan.

"Sekarang ni aku tak faham kenapa kau orang nak jadikan ahli keluarga Hud sebagai suspek. Ya, memang kita orang tak sehaluan tapi takkanlah sanggup nak aniaya keluarga sendiri!" tegas Zanif sambil menyilangkan tangannya di dada. Wajah Ibrahim yang duduk bertentangan dengannya di pandang silih berganti dengan wajah Lans Koperal Latif yang berdiri bersebelahan Ibrahim sambil memerhatikan riak wajah Zanif yang tegang.

"Relaks boleh? Aku tak mulakan soalan aku lagi kau dah nak melenting kenapa?" soal Ibrahim sambil mengamati wajah Zanif. Baginya di antara Zanif dan Mirza, Mirza lebih kelihatan tenang dan tidak membantah ketika dalam sesi soal siasat. Alibi yang diberikan oleh Mirza juga kukuh. Cuma satu, Mirza tak pernah lekang dari menuturkan kata-kata sinis yang seolah-olah mempersendakan Hud.

"Sebab aku tak ada masa nak menjawab soalan mengarut kau orang ni! Tu kerja kat ofis aku dah berlambak dan kau orang dah makan masa aku nak selesaikan kerja. Masa aku dah dekat dua jam terbuang semata-mata nak turutkan arahan daripada kau orang ni. Yelah nanti kalau aku tak turutkan tak pasal-pasal aku jadi suspek di atas kehilangan abang ipar aku tu!" ujar Zanif seraya memalingkan wajahnya ke cermin gelap yang berada di ruangan soal siasat itu. Senyuman sinis terukir di bibirnya seakan-akan mengejek kredibiliti pegawai polis yang berada di luar bilik. Dia tahu, dia sedang diperhatikan. Malahan, bila-bila masa sahaja dia boleh ditangkap jika mereka mengetahui penderaan domestik yang dilakukan ke atas Sherina.

"Macam tu ke Encik Zanif? Kerja kau lagi penting berbanding abang ipar kau yang dah berada dalam ancaman penjenayah?" soal Lans Koperal Latif.

"Aku baru jumpa dia lima bulan. Aku bukannya kenal sangat dengan Hud. Lagipun aku tak rasa keserasian melainkan ketegangan bila aku bercakap dengan dia. Mestilah kerja aku yang membawa keuntungan tu lagi penting berbanding Hud. Apa saja yang Hud boleh bagi aku? Harta? Huh! Selepas dia dibuang keluarga, bagi aku dia tak layak nak dapatkan harta pusaka arwah papa! Tu, adik dia Sherina tu yang lagi layak dapat harta lagi banyak berbanding dia," tegas Zanif dalam nada yang angkuh. Bergelegak panas dinding hatinya di kala dua orang pegawai polis itu mengujarkan soalan yang berbaur cabaran kepadanya. 

Buat seketika, Lans Koperal Latif dan Inspektor Ibrahim saling berpandangan. Mereka sedikit terperanjat dengan jawapan yang diberikan oleh Zanif. Jelas, keluarga Hud ini seolah-olah tidak menyukai dengan kepulangan Hud Aidan. Bermula dengan siasatan terhadap Amelia, Mirza dan kini Zanif ketiga-tiga daripada mereka jelas menunjukkan ketidakpuasan mereka terhadap Hud Aidan. Tapi, masalahnya siapakah dalang utama di sebalik kejadian malang yang menimpa Hud selama lima bulan ini? 

"Pada 20 haribulan lapan pada pukul 7 petang di manakah kau berada ketika itu?"

Soalan spontan Ibrahim yang ringkas itu membuatkan jantung Zanif serta merta berdebar kencang. Giginya sudah saling berlaga menahan geram. Tangan yang sedia digenggam sudah mencucuk tapak tangannya. Soalan itu benar-benar padu sehingga membuatkan Zanif merasakan dia seolah-olah masuk ke dalam perangkap dua pegawai polis itu. Mana mungkin dia mengatakan bahawa dia dan Khadijah sedang bersama setelah gadis itu menguruskan ibu mertuanya? Itulah peluang yang ada bila mana Sherina tidak berada di rumah.

"Kenapa kau diam? Terkejut?" 

Tak semena-mena, Zanif ketawa sinis dengan soalan Lans Koperal Latif. Dahinya yang tak gatal digaru bersama keluhan berat yang terlepas dari bibir. Dia perlu bertenang dan santai seperti yang sering dilakukan di hadapan ibu mertuanya di kala Datin Khalida seolah-olah mempunyai syak wasangka terhadap hubungannya dan Khadijah. "Aku terkejut dengan soalan kau tadi. Formal sangat lepas kau api-apikan aku. Dua hari lepas ya? Sudah tentunya aku baru balik kerja memandangkan masa tu dah pukul 7," helah Zanif.

"Oh ya? Setahu aku setiausaha Encik Zanif kata Encik Zanif tak masuk kerja pada hari kejadian. Jadi ke mana Encik Zanif berada?" soal Latif pula. Laporan yang diperolehi daripada Melisa merangkap setiausaha Zanif lantas dilontarkan. Sejak tadi dia memerhatikan reaksi Zanif yang aneh di pandangannya. Sesekali pemuda berpakaian kemas itu kelihatan gelisah.

Sekali lagi, Zanif masuk ke dalam perangkap soalan. Namun, sebaik mungkin dia cuba mengawal emosinya agar dia selamat dari menjadi suspek di atas kehilangan Hud dan Afrina. "Aku site visit. Memanglah aku tak masuk ofis. Pada waktu kejadian sepenuh masa aku outdoor dan aku banyak berurusan dengan klien. Macam nilah, kalau kau orang nak tuduh aku silakan tuduh. Carilah bukti yang menyatakan akulah dalang tu secepatnya!" jawab Zanif dengan keyakinan  diri yang tinggi. Dia memang mempunyai bukti bahawa dia melawat tapak pembinaan walaupun hanya seketika cuma.

"Relaks! Aku tak jadikan kau suspek  lagi  dan aku cuma nak bertanya. Jadi, soalan seterusnya kau ada menerima sebarang ugutan?" soal Ibrahim. 

"Tak ada.  Aman saja hidup aku selamani. Kenapa? Musuh Hud nak libatkan kita orang pula ke?" soal Zanif acuh tak acuh. Sungguhlah Inspektor Ibrahim dan Lans Koperal Latif semakin mencabar kesabarannya saat ini. Dia sudah terlambat untuk menemui Khadijah dan pasti kekasih gelapnya itu akan berang di atas kelewatannya.

Soalan daripada Zanif sekadar dibawa arus angin. Mereka sekadar melepaskan Zanif pergi usai sesi soal siasat. Perlahan-lahan, Ibrahim bersandar di belakang kerusi sambil mengetuk meja dengan kukunya. Akalnya ligat memikirkan jawapan daripada tiga anggota keluarga Hud Aidan yang masing-masing sekadar bersifat acuh terhadap sahabatnya. Ketiga-tiga mereka juga jelas menunjukkan mempunyai rasa yang sama terhadap Hud. Tidak menyukai kehadiran pemuda malang itu. Memikirkan hal itu membuatkan Ibrahim berasa simpati dengan nasib Hud Aidan. Dalam cerianya, ketenangannya dan suka mengusiknya seorang Hud Aidan itu menyimpan sebuah derita yang tersemat di lubuk hatinya.


"MAAFKAN saya mak cik, pak cik. Pasukan kami masih tak dapat klu untuk menjejaki keberadaan Afrina. Saya minta maaf kalau saya kecewakan pak cik dan mak cik. Tapi macam yang saya dah janji sebelum ni, saya akan berusaha sedaya upaya untuk bawa Afrina balik dalam keadaan yang selamat," ujar Ibrahim sebaik sahaja Encik Talib dan Puan Sofia duduk bertentangan dengannya. Sungguh, pilu hatinya melihat keadaan Puan Sofia yang pucat dengan mata yang sembap di atas kehilangan Afrina. 

"Apa yang dia orang mahukan sebenarnya? Setahu pak cik, anak pak cik tak ada musuh. Dia sentiasa cuba menyenangkan orang sekeliling walaupun dia tu lancang dalam berkata-kata. Kalau dia orang nak wang tebusan pun pak cik sanggup cari asalkan dia orang pulangkan Afrina pada kami," kata Encik Talib sambil mengusap bahu isterinya yang sering bersedih. Tak henti-henti isterinya itu menangis memikirkan nasib anak sulung mereka. Afrina itulah tanda permulaan pengikat kasih di antara dia dan isterinya. 

"Rahim, kalau boleh kamu... carilah Afrina secepatnya. Entahkan makan ke tidak... anak mak cik tu. Dia tu... cepat sakit. Mak cik risau kalau... dia diapa-apakan oleh penculik tu. Patutlah... sejak dua menjak ni... mak cik tengok yang Afrina tu... susah hati. Macam ada yang menggusarkan... hati dia," kata Puan Sofia dengan nada suara yang bergetar menahan tangis. Sesak hatinya memikirkan keadaan Afrina. Gerak hatinya sebagai seorang ibu seolah-olah merasakan bahawa Afrina terlalu lemah kala ini. 

Mendengarkan kata-kata penuh harapan daripada Puan Sofia menambahkan rasa bersalah dalam diri Ibrahim. Seakan-akan ada bisikan-bisikan yang mengejek di atas kelalaiannya melindungi gadis itu. Bukannya dia tak mahu meletakkan Afrina di bawah perlindungannya tetapi Afrina sendiri menegah. Maka, demi untuk mengelakkan hubungannya dan Afrina retak dia terpaksa menurut perintah Afrina. 

"Abang Rahim minumlah dulu. Isha minta maaf sebab suruh abang Rahim datang rumah. Isha nak abang Rahim jumpa mama dengan abah sendiri supaya mama ni boleh lega sikit. Nak minta tolong abang jelaskan pada mama yang Kak Afrina akan baik-baik saja," pelawa Arisha sambil meletakkan sedulang teh panas di atas meja kopi lalu meletakkan secawan teh panas di hadapan Ibrahim.

"Terima kasih Isha. Ya mak cik,  sekarang paling penting mak cik kena jaga kesihatan dan saya minta tolong mak cik percayakan saya yang saya akan bawa Afrina balik dengan selamat. Kalau saya dah berjanji saya akan tunaikan janji saya. Apa yang paling penting sekarang ni kita kena sama-sama berdoa untuk keselamatan Afrina. Saya yakin Afrina kuat dan dia boleh bertahan," pujuk Ibrahim dengan nada yang tenang. Itu sahajalah yang mampu dia lakukan buat keluarga mangsa. Namun, kes kali ini turut memberikan impak terhadap peribadi pegawai polis itu sendiri. Manakan tidak, nama Afrina sudah tersemat di lubuk hatinya. Dia mula menyukai gadis yang bersifat tegas itu.

Puan Sofia hanya mengangguk lemah dengan kata-kata Ibrahim. Setitis air mata yang mengalir ke pipinya dikesat lembut. Sungguh sunyi rasanya rumah mereka dengan kehilangan Afrina. Jiwanya meruntun pilu merindukan Afrina yang sering bergaduh dengan anak bongsunya. Dia rindukan telatah dua beradik itu. Anak yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari. Terlalu banyak dugaan Afrina sehingga Puan Sofia tidak tega membiarkan anaknya itu terus ditimpa masalah. Cukuplah dia melihat Afrina kemurungan sebanyak dua kali selepas dianiaya dan kematian tunang dahulu.

"Isha bawa mama naik bilik. Temankan mama rehat. Abah nak bincang sikit dengan Inspektor Rahim," arah Encik Talib. Arisha mengangguk seraya memimpin tangan ibunya menaiki anak-anak tangga.

Sepeninggalan isteri dan anaknya, Encik Talib lantas mengeluh berat dengan berita yang disampaikan oleh anak muda di hadapannya itu. Pelipisnya dipicit saat kepalanya terasa berdenyut memikirkan nasib anak gadisnya. Terngiang-ngiang di halwa telinga saat Afrina sering menasihatinya untuk membuat pemeriksaan kesihatan memandangkan dia sering sakit kepala jika menghadapi sesebuah masalah. Kini, dapatkah dia mendengar nasihat dan omelan Afrina lagi? 

"Pak cik jangan risau. Kan saya dah cakap saya akan uruskan masalah ni dengan cepat. Afrina tu kawan saya dan sebagai seorang kawan saya tak akan biarkan dia terus dalam kesusahan. Saya harap pak cik dapat pegang kata-kata saya ni," pujuk Ibrahim lagi. Luluh hatinya melihat kekecewaan terserlah di wajah Encik Talib.

"Pak cik percayakan kamu. Tapi pak cik kecewa sebab pak cik tak dapat nak lindungi anak pak cik sendiri. Terlalu banyak dugaan yang Afrina tempuhi selama ni. Pak cik tak sanggup nak tengok anak pak cik menghadapi satu lagi dugaan. Siapa sebenarnya musuh Hud sampai anak pak cik terpalit dengan masalah dia?" ujar Encik Talib melepaskan kekecewaan yang berselirat di dinding hatinya. 

"Pasal Hud pun masih dalam siasatan kami sebab kami masih tak dapat bukti yang kukuh siapa yang berdendam dengan Hud. Pak cik, lepas ni saya akan letakkan Afrina di bawah penjagaan saya sampai pelaku dapat ditemui. Sebab tu saya dah berjanji yang saya akan bawa Afrina balik dengan selamat. Saya tak akan biarkan sesiapa sentuh dia lagi," kata Ibrahim. Kalau bisa, dia mahu sentiasa ada di sisi gadis itu supaya kejadian ini tidak berulang lagi.

Buat seketika, Encik Talib mengalihkan pandangannya ke wajah sugul Ibrahim. Wajah anak muda yang berseragam polis itu diamati seolah-olah dia sedang menganalisis omongan yang baru saja menyapa telinganya. Segaris senyuman nipis terukir di bibirnya. Entah mengapa gerak hatinya mengatakan bahawa anak muda itu begitu tekad ingin mengotakan janjinya. "Pak cik nak minta maaf juga sebab Isha selalu kenakan kamu dengan Afrina. Afrina selalu mengadu dekat pak cik yang Isha selalu kenakan kamu dengan dia. Bagi pihak Arisha, pak cik minta maaf. Isha tu cuma nak tengok kakak dia bahagia macam orang lain," kata Encik Talib seraya bersandar di belakang sofa. Merehatkan tubuhnya yang tegang akibat tekanan menghadapi kehilangan Afrina.

Senyuman nipis terukir di bibir Ibrahim tatkala teringat akan omelan Afrina setiap kali dia dan gadis itu dikenakan oleh adik-adik mereka yang nakal. Dia tahu Afrina tak suka tapi lama kelamaan Ibrahim suka dengan kedajalan Diana dan Arisha itu. Ibrahim suka melihat ketegasan Afrina. Gadis itu sememangnya mempunyai pendirian yang kukuh. Perlahan-lahan, Ibrahim  mencicip teh panas yang dihidangkan oleh Arisha. 

"Tak mengapalah pak cik. Saya faham adik-adik kita orang ni cuba nak satukan kami. Cuma saya tahu Afrina tak suka dengan apa yang adik kami cuba lakukan," kata Ibrahim seraya meletakkan semula secawan teh di atas meja kopi.

"Kamu akan tahu kenapa Afrina tak suka bila Isha cuba kenenkan kamu dengan dia suatu hari nanti. Apapun pak cik percayakan kamu untuk bawa Afrina balik. Pasal Hud, pak cik tak salahkan dia tapi untuk lebih berhati-hati pak cik tak nak Afrina berhubung dengan Hud lagi. Tapi memandangkan kamu ni seorang pegawai polis, pak cik nak minta tolong jagakan Afrina bila kamu dah dapat jejak keberadaan dia," tegas Encik Talib dengan nada yang penuh dengan autoriti. Ini keputusannya. Dia tak mahu Afrina berhubung dengan Hud Aidan walaupun hal tersebut merupakan hal pekerjaan lagi.

Arahan daripada Encik Talib membuatkan Ibrahim kelu buat seketika. Hanya senyuman yang semakin pahit terukir di bibirnya. Sungguh besar amanah yang diberikan kepadanya saat ini. Sungguh dia juga tidak menyangka bahawa kes ini akan menamatkan terus pertemuan di antara Afrina dan Hud Aidan. Semuanya hanya demi kebaikan Afrina sahaja.


IKATAN yang sedang dileraikan pada tangannya menimbulkan persoalan dalam diri gadis berselendang biru laut itu. Sesekali, pandangannya tertancap ke arah si lelaki bertatu ular dengan pandangan yang menjengkelkan. Bau rokok yang menusuk hidungnya membuatkan dinding hatinya kembali marak dengan kemarahan. Itu kebenciannya! Bertambah benci bila bau itu datang daripada seseorang yang membuatkan dia ketakutan separuh mati.

"Aku buka ikatan kau sebab bos suruh kau makan. Aku tak tahulah kenapa bos aku tu prihatin sangat dengan betina jalang macam kau ni! Kau memang cantik tapi mulut kau ni kalau ikutkan hati aku dah lama aku pecahkan sampai bisu," omel si penculik seraya menarik lengan Afrina agar bangun dari duduk. Gadis itu hanya menurut sebelum tubuhnya ditolak kasar ke belakang dinding. Tak semena-mena, Afrina mendesis kesakitan sambil mengusap bahunya.

"Kau jangan risaulah. Bos aku tak letak racun pun dalam makanan dengan minuman kau tu. Dia tak akan bunuh perempuan kesayangan dia ni. Cuma itulah, kau tak akan keluar dari sini selagi bedebah tu tak bagi tahu mana dia simpan dokumen harta," tambah si penculik seraya menghulurkan sebungkus nasi dan sebotol air mineral kepada Afrina. 

Lambat-lambat Afrina menyambut sebelum penculik tersebut bersandar di belakang dinding sambil memerhatikan Afrina. Sudah dua hari mereka tidak diberikan makan dan minum sekali gus membuatkan Afrina kehabisan tenaga. Tambahan pula dia penat bertarung dengan emosi takut saat Hud Aidan tak henti-henti diugut oleh penculik-penculik tersebut. Namun saat itu juga akalnya mula kembali mengingati perbincangannya dengan Hud untuk menyelamatkan diri. Saat ikatan pada tangan dibuka saat itulah peluang terpampang di hadapan mata. Tambahan pula si penculik hanya bersendirian. Afrina mula menyusun strategi perlahan-lahan. 

Penutup botol lantas dibuka seraya Afrina meneguk rakus air mineral untuk membasahkan tekaknya yang kering. Air yang diteguk serta merta membuatkan Afrina kembali segar. Nikmatnya membuatkan Afrina yang semakin lemah kembali bertenaga. Namun tegukannya terbejat tatkala Afrina menyedari bahawa hanya dia sahaja yang diberikan makan dan minum. Dalam keadaan seperti ini, Hud juga memerlukan tenaga untuk mereka kembali menentang penculik-penculik tersebut. Lantas, Afrina meluru ke arah Hud yang hanya tertunduk.

"Hud, bangun! Kau kena minum," kata Afrina sambil duduk melutut di hadapan Hud yang kelihatan longlai. Namun, tiada sahutan daripada pemuda itu. Hanya kedengaran nafas Hud yang seakan-akan pendek menyapa telinga Afrina. Pemuda itu seakan-akan mengalami kesukaran untuk bernafas. Rasa gerun kembali mengetuk dinding hati Afrina melihat keadaan Hud yang tak berdaya.  Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi pemuda yang dipenuhi dengan kesan lebam itu. Malahan sesekali bibir Hud menggeletar.

"Hud!" ujar Afrina lagi sambil menepuk bahu Hud dengan botol mineral di tangannya. Melihat Hud masih statik tertunduk sambil memejamkan mata membuatkan hati Afrina semakin gusar. Lantas, belakang tangannya dilekapkan ke dahi Hud. Saat itu juga Afrina terus memandang wajah si penculik yang hanya tersenyum sinis.

"Dah mati? Baguslah kalau dah mati..."

"Bagi dia ubat. Dia demam panas!" pintas Afrina dengan nada yang tegas. Entah mengapa hatinya luluh melihat kesakitan yang terpampang di wajah Hud yang pucat itu. Afrina yakin bahawa tulang rusuk Hud yang patah mengakibatkan lelaki itu mula diserang demam dan itu sangatlah membahayakan kerana bila-bila masa sahaja Hud akan diserang pneumonia!

Si penculik ketawa terbahak-bahak dengan permintaan Afrina. Kepalanya digelengkan. Tercuit hati dengan ketakutan yang kembali terpampang di wajah gadis itu. "Kau ingat aku ni farmasi ke nak minta ubat? Eh kira okaylah aku tak pukul dia lagi hari ni! Baik kau makan dan jangan buang masa aku!" jerkah si penculik. 

Tak semena-mena, terhinggut bahu Afrina dengan jerkahan si penculik. Dia mengeluh berat. Namun, Afrina masih degil. Pandangannya melilau mencari peralatan yang bisa membantunya mengoyakkan hujung selendangnya. Serpihan kaca yang terletak berhampiran dinding lantas dicapai sebelum hujung tudungnya dicarik dengan kaca tersebut. Perlahan-lahan, Afrina menuangkan sedikit demi sedikit air mineral ke kain tudungnya yang sudah dikoyakkan seraya membasahkan wajah Hud perlahan-lahan untuk menyedarkan pemuda itu dari lenanya. 

Sekali lagi, si penculik ketawa sinis melihat Afrina yang berkali-kali menyapu wajah Hud dengan kain yang sudah dibasahkan. "Nampak kau risau sangat dekat jantan tu. Kenapa? Dia seseorang yang istimewa untuk kau ke? Patutlah bos marah gila bila nampak jantan tu selalu ada dengan kau kau. Cinta tiga segi dalam diamlah ya kes kau orang ni. Menarik siot! Macam dalam drama," ejek si penculik sambil bertepuk tangan.

Mendengarkan cemuhan si penculik membuatkan tangan Afrina terbejat. Kata-kata itu membuatkan Afrina mula mengesyaki dalang di sebalik penculikan ke atasnya dan Hud. Nampaknya, si penculik memang mahu bermain api dengan Afrina. Cabaran itu segera disahut saat Afrina bangun dari duduknya dan menghampiri si penculik yang masih ketawa.

"Bos kau tu mesti seorang yang pengecut. Tak berani nak berhadapan dengan Hud sampai aniaya Hud macam ni. Kalau dia marah Hud selalu kacau hidup aku kenapa dia tak berdepan dengan aku terus? Mana tahu dia boleh dapatkan aku. Betul tak?" kata Afrina dengan nada yang sinis.

Si penculik serta merta kematian tawa dengan keberanian Afrina menentangnya. Wajah memar Afrina dipandang dengan pandangan yang berselirat dengan kejutan. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya! Mahu sahaja dia mengetuk kepalanya akibat terlepas kata. Dia sudah memberi klu terhadap kepala yang merancang di atas penculikan Afrina dan Hud saat ini!

"Aku suruh kau makan! Susah sangat ke nak makan? Kau nak aku sumbat nasi tu dalam mulut..."

Tak semena-mena, si penculik kematian kata tatkala bahunya ditusuk dengan benda tajam. Matanya membulat dengan kesakitan yang maha hebat. Malahan tusukan yang semakin dalam itu membuatkan dia menjerit kesakitan. Tangan kanannya lantas diangkat ingin melawan. Namun Afrina terlebih dahulu menendang kelengkangnya sehingga dia tersandar di belakang dinding dan tertunduk menahan sakit. Erangannya semakin kuat kedengaran. Sungguh sakitnya bukan kepalang! Gadis itu seperti orang yang kerasukan serta merta apabila Afrina menusuk pula pahanya bertubi-tubi. Malahan, satu tendangan kuat ditujahkan ke wajahnya sehingga telinganya seolah-olah berdengung.

"Ni balasan untuk jahanam macam kau!" jerkah Afrina seraya mencapai kayu yang tergeletak berhampiran Hud lantas dihayunkan ke kepala si penculik dengan kuat. Akibatnya, si penculik rebah serta merta. Buru-buru Afrina mencari telefon di poket seluar dan jaket si penculik.  Inilah saat kebebasannya! Sesekali, dia memandang pintu yang tertutup rapat sebagai tanda berjaga-jaga. 

"Af... Afrina lari," suara bernada lemah yang kedengaran di belakang membuatkan Afrina kaget. Kepalanya lantas dikalih ke belakang memandang Hud yang kembali bangun. Lantas, Afrina meleraikan ikatan pada tangan dan kaki Hud seraya menghubungi talian kecemasan. Jantungnya kembali berdegup kencang takut kalau-kalau strategi mereka tidak berjaya! Dia mahu keluar dari sini dengan secepatnya.

"Kau... dengar..."

Pandangan tajam Afrina mematikan omongan Hud. Hanya pandangan mereka sahaja yang saling bersatu sebelum Afrina meluru ke arah jendela yang bertutup dengan jeriji besi. Pandangannya menerawang memandang sekelilingnya yang begitu asing. Kelihatan sebuah van putih dan kereta berwarna hitam di tingkat bawah. Enam orang lelaki berpakaian hitam kelihatan keluar dari kereta berwarna hitam dan kelihatan seorang lelaki bertopeng turut meluru keluar dari kereta tersebut. Nampaknya, mereka harus berjaga-jaga dengan konco-konco musuh yang berada di tingkat bawah!

Sesudah Afrina menghubungi pihak polis, Hud lantas menghampiri Afrina dengan langkah yang terhincut-hincut menahan sakit pada seluruh tubuhnya. Lengan Afrina lantas ditarik ke belakang apabila gadis itu tidak menyedari bahawa perlakuannya bisa membuatkan penjenayah mengetahui mereka sudah menumpaskan seorang penculik.

"Aku tak yakin... pihak polis boleh datang... secepatnya. Jadi, memandangkan... kita dah buat langkah pertama... kita..."

"Hoi! Kau orang buat apa ni hah!" 

Tak semena-mena, dua orang lelaki berambut punk menyerbu masuk ke dalam bilik tersebut. Hud lantas menarik Afrina ke belakangnya sambil mengenggam erat pergelangan tangan gadis  yang berlapik dengan kemeja itu. Fokus mula dialihkan pada dua orang musuh apabila mereka meluru ke arahnya. Kesakitan yang semakin menyengat ditepis buat seketika. Selagi masih ada kudrat, Hud akan menentang!

"Lepaskan aku! Kau nak tambah sakitkan diri kau ke?" bisik Afrina dengan nada yang tegas. Berkali-kali dia ingin meleraikan genggaman tangan Hud namun pemuda itu semakin kuat menggenggam pergelangan tangannya. 

Hud tidak mengendahkan ketegasan Afrina. Lantas tendangannya ditujahkan ke tubuh penyerang yang meluru dari arah hadapan. Sesekali Hud melangkah beberapa tapak ke kiri sambil kakinya tak henti-henti menerajang musuh-musuh yang berada di depan mata. Sesekali dahinya berkerut apabila abdomennya semakin sengal dengan tendangan yang dihayunkan. 

"Kau jangan jadi gilalah, Hud Aidan! Kau tu sakit kau tahu tak!" tegas Afrina lantas menolak kasar tubuh belakang Hud. Afrina akhirnya terlepas. Bukan niat Afrina mahu berkasar namun Hud yang memaksanya untuk berkasar saat itu juga. Lantas, mereka sama-sama bertarung melawan musuh. Masing-masing saling bekerjasama menyelamatkan diri. Tak semena-mena, bilik itu mula berantakan dengan bunyi erangan dan pukulan. Sebaik mungkin mereka cuba menjatuhkan dengan tekad di dada.

Apabila kedua lawan berjaya ditumpaskan, Hud lantas menarik pergelangan tangan Afrina meluru keluar dari bilik terbiar itu. Mereka tidak mempunyai masa yang banyak. Sesekali mereka bersembunyi di sebuah bilik kosong yang terbiar apabila tiga lagi konco-konco menaiki anak-anak tangga bangunan terbiar itu. Malahan dua daripada mereka membawa senjata di tangan. 

"Jahanam! Diorang dah larikan diri! Jangan biarkan si bedebah tu hilang selagi kita tak dapat apa yang bos mahukan," jerkah si lelaki bertopeng merangkap orang kanan musuh Hud. Glock lantas dilepaskan secara rambang melepaskan tekanan di sudut hatinya.

Saat itu juga, Hud mula dihurung dengan debaran yang maha hebat. Samar-samar ingatannya mula mengimbas detik dia dan rakan seperjuangannya diperangkap. Situasinya sama seperti saat ini. Kejadian itu juga berlaku di sebuah bangunan usang seperti tempatnya dan Afrina berada. Namun, berkali-kali Hud mencuba memujuk hatinya untuk bertenang.

"Jangan sentuh aku..."

"Sorry Afrina! Aku nak kau... ada dekat sisi aku dan... aku tak akan lepaskan genggaman... selagi kita tak selamat. Sekarang, bergerak dua langkah... ke kanan perlahan-lahan... dan pastikan... tiada musuh. Lepas tu aku nak... kau lari dan cari tempat berlindung... sebelum pihak polis datang. Biar aku... alihkan perhatian... mereka," arah Hud. Kesakitan pada tubuhnya membuatkan dia sukar untuk berkata-kata. Malahan, Hud tiada modal mahu bergaduh dengan Afrina di saat genting seperti itu. Bukannya dia sengaja mahu memegang tangan Afrina namun dia takut kalau-kalau gadis itu terlepas di tangan penculik lagi.

Buat seketika, Afrina dan Hud saling berpandangan. Masing-masing dengan pandangan yang menegangkan. Sungguh, Afrina sedikit tersentak dengan kata-kata Hud. Jelas, Hud nekad mahu melindunginya dan membawanya keluar dengan selamat. Lantas, Afrina menurut arahan daripada Hud sambil melilau melihat persekitaran. Apabila lampu hijau berada di depan mata, Hud melepaskan tangan Afrina dan mencapai sebatang kayu yang berada di hadapannya.

Seperti yang dijangkakan, dua orang musuh yang menyedari kelibat Afrina lantas mengejar gadis tersebut. Hud segera meluru keluar dari bilik tersebut seraya menghayunkan kayu ke wajah seorang musuh terlebih dahulu. Akibat pukulan kuat itu, musuh tersebut rebah dan Glock yang berada di pegangannya lantas dicapai oleh Hud. Inilah langkahnya untuk keluar dari trauma. Demi keselamatannya dan Afrina!

"Kau!"

"Maaf, tapi... kau patut lumpuh sebelum kau... kerjakan aku... dengan perempuan tu!" jerkah Hud seraya melepaskan tembakan ke kedua belah kaki musuh berantai emas bertubi-tubi. Erangan kuat si penjenayah yang kesakitan terus memenuhi bangunan terbiar itu. 

Tanpa berlengah, Hud segera membawa langkah seribu sambil mengenggam Glock di tangannya. Tak putus-putus hatinya memujuk agar dia bertahan melawan sakit yang semakin mencengkam tulang-temulangnya. Belum masanya untuk dia rebah selagi Afrina dalam bahaya. Namun, lariannya terbejat tatkala seorang musuh menyerang hendap dari arah kanan sehingga Hud tersungkur berhampiran kotak yang tersusun berhampiran sebuah meja. 

Buru-buru Hud mencapai Glock yang terlepas dari tangannya seraya bangun. Seorang lelaki berparut panjang di pipi kanan sudah bersedia untuk menyerang. Dek kerana dia tidak mempunyai tenaga, Hud melepaskan tembakan ke arah penjenayah tersebut malangnya dia sudah kehabisan peluru. Keluhan berat terlepas dari bibir dengan nasib malang yang semakin bertambah. 

Bang!

Tak semena-mena, tembakan disasarkan dari tingkat atas. Akibat kejutan itu, Hud mendongak memandang si figura yang sedang menuruni anak-anak tangga. Malahan, saat itu juga Hud merasakan tenaganya diragut sekelip mata. Pandangannya mula kabur apabila kesakitan pada abdomennya seakan-akan disiat-siat. Spontan tangannya melekap pada abdomen. Terpampang cecair merah mengalir dari t-shirt putih yang tersarung pada tubuhnya. Namun, tekad yang sudah tertanam dapat melawan kesakitan yang maha hebat itu.

"Mana kau simpan dokumen tu? Kau dah lunyai buat cara..."

Si lelaki bertopeng kematian kata apabila Hud terlebih dahulu menyerang konconya dengan menghunus kaca ke perut orangnya itu. Bukan sekali, malah bertubi-tubi sehingga musuh tersungkur akibat kesakitan yang maha hebat. Kini, Hud hanya berhadapan dengan orang kanan musuh misterinya sahaja. Dalam keadaannya yang bahaya dia harus bertindak gila dengan mengotorkan tangannya. 

"Aku dah... bunuh... orang..."

Kesakitan yang bukan kepalang itu akhirnya membuatkan Hud rebah di hadapan musuh. Tangannya tak henti-henti melekap pada abdomen yang semakin membuak dengan darah. Kakinya sudah mengerekot menahan sakit. Malahan, kesakitannya bertambah tatkala abdomennya ditendang oleh musuh. Bibir lantas diketap menahan sakit. Sungguh, Hud dapat merasakan nyawanya sudah berada di hujung tanduk.

"Mana dokumen tu?"

Diam.

"Bodoh! Dokumen tu mana!" jerkah musuh bertopeng itu lagi seraya memijak luka tembakan pada abdomen Hud dengan kuat. Tiada langsung empati dalam dirinya melihat Hud sudah mengerang kesakitan sambil mengenggam pergelangan kakinya. 

"Hud Aidan. Kau dah nak mampus..."

Buk!

Tak semena-mena, lelaki bertopeng itu rebah akibat hentakan kuat yang datang dari belakang. Malahan, figura itu terus menghayunkan kayu ke tubuhnya bertalu-talu. Kepalanya yang semakin pusing dengan darah yang membuak-buak mengalir membuatkan pandangannya semakin berpinar-pinar. Pandangan terakhirnya tertancap ke arah seorang gadis yang masih memukul kepalanya sebelum semuanya menjadi gelap.

Sungguh, Afrina puas setelah mereka dapat menumpaskan penculik-penculik yang zalim itu. Nafasnya sudah turun naik melepaskan amarah sebelum matanya tertancap pada Hud yang sudah mengerekot menahan sakit. Buru-buru Afrina membuang senjatanya lantas meluru ke arah Hud. Air matanya lantas mengalir ke pipi melihat Hud yang seolah-olah terseksa menahan sakit. Perlahan-lahan, kepala Hud diletakkan di atas pangkuannya.

"Hud, tolonglah bertahan. Aku tahu selama ni aku selalu berkasar dengan kau! Aku sakitkan hati kau sebab aku terlalu layan dendam aku. Aku minta maaf Hud Aidan! Tapi kalau kau mati, sampai bila-bila aku tak akan maafkan kau Hud!" gogoi Afrina sambil melekapkan hujung kain selendangnya pada abdomen Hud yang sudah membuak-buak dengan darah yang mengalir laju. Wajah Hud yang dipenuhi dengan lebam dan semakin pucat dipandang sayu. Sungguh, Afrina rasa sesak. Dia rasa bersalah kerana melayan dendam dan amarahnya selama pertemuan semula di antara dia dan Hud. Malahan, hanya untuk melindunginya, Hud sanggup melawan kesakitan yang bukan kepalang.

Hud hanya mampu merenung raut wajah sayu Afrina. Inilah kali pertama dia mendapat layanan lembut daripada Afrina. Momen ini mahu diabadikan dalam memorinya di saat dia berjuang dengan kesakitan. Kalau dia mati saat ini juga, inilah kenangan terindah buatnya. Diberikan layanan yang baik oleh seorang gadis yang sudah tertulis dalam kamus hidup seorang Hud Aidan.

Apabila kesakitan itu semakin menyucuk, spontan Hud mengenggam pergelangan tangan Afrina dengan kuat. Sungguh, nafasnya terasa sempit di dada. Mahu bernafas sahaja dia tidak mampu. Perlahan-lahan matanya terpejam rapat dengan dahi yang berkerut menahan sakit. Tangisan Afrina sangat meluluhkan seorang Hud Aidan. Dia mahu memujuk namun kesakitan itu sudah meragut seluruh kekuatannya. Namun begitu, siapa sangka gadis garang dan tegas itu bisa menangis hanya kerana nyawanya sudah berada di hujung tanduk? 


Bersambung...

nota penulis: Terima kasih sudi membaca karya saya ^_^ saya nak minta maaf sangat kepada pembaca karya ini kerana menanti terlalu lama. Saya terlalu sibuk sehinggakan saya terlupa nak update dalam portal ilham :(

para pembaca juga boleh membaca karya ini di dalam wattpad yang sudah dimuatnaik sehingga ke bab 33 https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: BAB 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa