Home Novelet Thriller/Aksi KERANA AKU BUKAN DIA
KERANA AKU BUKAN DIA
Syaf_Asriqa
13/7/2020 15:02:46
130,425
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 6

"AKU bukan polis lagi, Rahim. Aku dah jadi orang biasa dan dah enam tahun aku hidup tak dikelilingi dengan jenayah. Jadi, tak salahkan kalau aku dah tak tahu nak hadap musuh macam mana?" kata Hud. Dia mengeluh berat seraya menyandarkan tubuhnya di belakang kerusi. Sesak rasanya saat mengenangkan bahawa dirinya sudah tak sama seperti dahulu. Cita-citanya hancur hanya kerana sebuah tragedi yang tak akan dilupakan hingga hujung nyawa.

Ibrahim bungkam buat seketika. Dia merehatkan dirinya yang tegang seraya bersandar di belakang kerusi. Bangunan pencakar langit di kota raya yang dihiasi cahaya lampu yang begemerlapan menjadi tatapannya. Benar. Hud bukan lagi Inspektor Hud Aidan yang sentiasa dingin ketika berhadapan dengan jenayah. Kerana trauma yang hebat dalam diri, Hud meletakkan jawatannya. Hidup seperti orang biasa dan mengalihkan pekerjaannya menjadi seorang usahawan sebuah Restoran Western di Melaka.

"Kenapa kau diam? Apa dia berita tu? Tak apalah. Aku cuba terima apa sahaja berita yang akan dikhabarkan pada aku. Sekurang-kurangnya aku boleh siapkan mental dan fizikal aku. Tak adalah sewenangnya aku kena belasah macam haritu lagi. Kan?" kata Hud. Dia ketawa kecil teringat akan dirinya yang menerima kecederaan walaupun berjaya menumbangkan enam orang lawan terlebih dahulu. Kalau dulu, jarang sekali dia cedera jika melawan musuh kerana kekuatan fizikal dan mentalnya yang selalu dalam keadaan bersedia.

Ibrahim terus mengalihkan pandangannya ke wajah Hud semula. Bahu sahabatnya ditepuk-tepuk. Senyuman nipis terkulum di bibir pemuda itu. Senang hatinya tatkala suara Hud yang seakan-akan bersemangat menusuk halwa telinga. "Hah! Ini barulah Hud Aidan yang aku kenal! Betul tu Hud. Kau memang kena jadi Hud yang dulu. Kau kena kuatkan stamina dan sedia fizikal dan mental kau semula. Biar dia orang gerun nak berhadapan dengan kau. Tapi kau jangan risau, pasukan aku dah siasat kes ni memandangkan ini berkaitan dengan kes percubaan membunuh. Pasal berita tu... kami temui dia orang semua mati dalam penjara lepas dua orang daripada dia orang bagi klu tentang siapa yang arahkan dia orang untuk bunuh kau," ujar Ibrahim sekali gus menyampaikan sebuah berita kepada sahabatnya.

Tatkala berita mengejut itu sampai kepada Hud, dahinya serta merta berkerut. Duduknya lantas ditegakkan semula dan dia berpaling menghadap wajah Ibrahim. "Kenapa?"

"Diracun. Kami syak dalam penjara tu ada orang dalam. Mesti ketua dalang ni orang yang berkuasa atau main rasuah. Pelik bila dia orang mati serentak lepas makan tengah hari!" kata Ibrahim. Sungguh, dia juga kaget setelah mendapat khabar itu.

Hud menggaru pelipisnya yang tak gatal. Kepalanya tergeleng tidak mengerti kenapa samseng-samseng itu harus dibunuh. Mereka kehilangan jejak sekelip mata sahaja! Sungguh, Hud bungkam dengan berita ini. Tiada kata yang keluar dari mulutnya. Apalah yang dimahukan oleh orang yang mahu membunuhnya sebenarnya sehingga sanggup membunuh konco-konconya sendiri?

"Tapi sayang, klu yang dia orang bagi tu pula tak begitu jelas. Dia orang cuma cakap yang dia orang hanya diupah untuk bunuh kau sebab ada orang berdendam dengan kau. Jadinya, berdasarkan hasil siasatan itu kami klasifikasikan bahawa kes kau ni motif dendam. Tapi setahu aku, kau tak pernah aniaya orang Hud! Tu yang aku pelik tu," kata Ibrahim lagi. Dia kenal Hud Aidan itu seperti mana orangnya. Tak akan sesekali Hud menganggu kehidupan orang lain. Tetapi mengapa pula sahabatnya ini mahu dibunuh atas asbab mahu melepaskan dendam?

Ketika itu, angin kencang pada malam itu tidak lagi terasa nyaman. Jantung Hud sudah berdebar kencang tatkala Ibrahim menjelaskan mengenai motif percubaan bunuh ke atasnya. Wajah Hud juga sudah mula membahang apabila denyutan jantungnya semakin berdebar kencang. Samar-samar kejadian buruk itu bermain di benak fikirannya. Malahan, tiada lagi kata yang terzahir dari mulut pemuda itu melainkan seribu tanda tanya yang bermain di benak fikirannya dan keresahan yang bermain dalam jiwa.

SESEKALI, pekerjaan Afrina terganggu apabila dia mendengar suara tengkingan di luar bilik Datin Khalida yang sudah tidur nyenyak setelah diberikan insulin. Hari ini sudah masuk seminggu dua bulan dia berkhidmat di rumah agam Datin Khalida. Semakin dia berkhidmat dia semakin terganggu dengan masalah keluarga wanita itu. Lebih-lebih lagi tingkah Sherina dan Zanif. Suami isteri itu memang gila pada padangan Afrina. Masakan tidak, yang seorang miang malahan yang seorang lagi tidak henti-henti mendera anak kecil mereka. Kadang-kadang Afrina turut menangkap Sherina memukul anaknya yang baru berusia empat tahun. Gila!

"Sakit mummy! Dina minta... maaf sebab kacau... mummy. Tapi... Dina cuma nak bagi lukisan ni... Dina nak... tunjukkan pada... mummy," rintih Dina sambil teresak-esak. Kertas lukisan yang melakarkan wajahnya dan ibunya sudah renyuk digenggam olehnya. Wajah ibunya yang menyinga membuatkan dia gerun. Lebih-lebih lagi rotan panjang yang sering menjadi 'hadiah' apabila ibunya mengamuk.

"Kau boleh kejutkan aku masa aku tidur? Aku dah cakap banyak kali dengan kau kalau aku tidur jangan kacau! Kau tak faham bahasa ke hah?! Bodohlah kau ni! Sama macam bapak kau yang gatal tu!" tegas Sherina sambil melibas kaki kecil Dina dengan rotan. Makin kuat esakan Dina saat kulitnya seakan-akan disiat-siat. Lantas, dia mengengsot ke belakang seraya bangun dari duduknya. Dengan kaki yang terhincut-hincut, gadis kecil itu meluru menuju ke bilik Datin Khalida. Hanya neneknya sahaja yang menyayanginya di rumah ini.

Sherina yang seolah-olah dirasuk syaitan itu merengus seraya mencengkam lengan Dina. Gadis itu meronta-ronta ingin dilepaskan sebelum satu tamparan kuat dihayunkan ke pipinya. Tak cukup dengan itu, Sherina menolak kasar tubuh anaknya ke belakang dinding. Gadis kecil itu tersungkur sehingga dahinya terkena pada bucu meja perhiasan. Makin kuat tangisan Dina apabila kesakitan itu semakin bertambah. Tubuhnya sudah menggeletar akibat penangan Sherina.

Senyuman sinis terukir di bibir Sherina tatkala anak kecil itu memandangnya dengan pandangan sayu. Lantas, kakinya dihayunkan ingin memijak tubuh kecil yang semakin tak berdaya itu. Namun, Afrina tangkas menolak kuat tubuh Sherina. Buru-buru dia mendapatkan Dina yang teresak-esak. Tubuh kecil yang sedang menggigil itu segera dipeluk erat. Buat seketika, Sherina dan Afrina saling beradu pandangan. Masing-masing dengan kemarahan yang terpapar di ruang mata.

"Kau nak bunuh anak kau ke hah?! Tak cukup ke kau kurung dia dalam bilik air tempoh hari sampai masuk wad? Aku tak sangka kau masih berani dera anak kau sampai macam ni sekali! Kau ni memang mak dari neraka, Sherina!" bentak Afrina. Melepaskan kemarahannya melihat keadaan Dina yang cedera. Sesekali, dia menunduk memandang Dina yang menangis kesakitan dalam pelukannya. Dahi gadis kecil itu sudah mengalir dengan darah. Bahkan, betis dan lengan Dina juga menunjukkan kesan lebam dari libasan rotan.

"Kau jangan masuk campur urusan aku! Kau tak rasa apa yang aku rasa jadi kau ke tepi. Budak ni pembawa malang dalam hidup aku! Aku benci dengan budak ni. Patut aku bunuh kau masa kau bayi lagi atau aku gugurkan saja kau dari kandungan aku!" jerkah Sherina seraya menarik-narik tangan Dina. Dia masih tidak berpuas hati apabila gadis kecil itu menganggu lenanya.

"Sudahlah Sherina! Teruk dah Dina ni kau kerjakan. Tolonglah jadi waras. Kalau kau benci sekali pun anak ni, kau tak ada sifat kemanusiaan ke tengok dia?" tegas Afrina. Wajahnya serta merta membahang kemerahan apabila hatinya semakin bergelegak panas.

Sherina kaku. Dia terangguk-angguk seraya melangkah masuk ke dalam kamarnya. Afrina benar-benar mencabarnya ketika ini. Lantas, rotan yang tersadai di atas lantai di dalam biliknya dicapai sebelum dia kembali keluar. Makin kuat tangisan Dina dalam pelukan Afrina tatkala matanya tertancap pada rotan yang panjang itu. Gadis kecil itu semakin ketakutan. Sekali lagi, Sherina ingin melibas rotan ke tubuh Dina. Namun, pergerakannya terbejat apabila satu tangan kekar mengenggam pergelangan tangannya. Rotan ditarik dari tangannya lalu dibuang jauh.

"Apa semua ni Sherina?!" tegas lelaki yang tiba-tiba muncul bersama Mak Timah. Segera Mak Timah bertanyakan Afrina jika dia dicederakan. Afrina hanya menggelengkan kepalanya sahaja. Matanya masih tunak memandang wajah Sherina yang kejam itu. Sungguh, selama hayatnya inilah pertama kali dia ditemukan dengan seorang ibu yang tidak berperikemanusiaan.

Sherina yang masih dengan amukan mengalihkan pandangan ke pemuda yang masih mengenggam pergelangan tangannya. Saat itu, tak semena-mena setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Jantungnya serta merta berdegup kencang tatkala pandangannya tertancap pada wajah itu. Bibirnya menggeletar sebelum dia tiba-tiba teresak-esak. Lantas dipeluknya erat tubuh pemuda itu. Emosinya serta merta berubah. Dari pemarah menjadi sedih. Afrina pelik melihat emosi Sherina yang tiba-tiba berubah drastik.

"Abang pergi mana je selama ni? Abang tolong Sherin, bawa Sherin dengan abang sekali. Ya? Tolonglah abang... Sherin dah tak tahan hidup kat rumah ni lagi," rintih Sherina sambil mengongoi dalam pelukan abangnya. Dia tidak mahu melepaskan pelukan itu. Apabila dia melepaskan pelukan itu abangnya akan tiba-tiba hilang sekelip mata. Sama seperti dulu. Puas dipujuk untuk pulang tapi abangnya tetap berdegil.

Sungguh, luluh hati pemuda itu tatkala adiknya merintih sayu. Dia dapat rasakan kesakitan Sherina. Dia kesal. Namun, apa gunanya kekesalan itu jika semuanya sudah terjadi? Perlahan-lahan, dia menolak lembut tubuh Sherina. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Air mata si adik dikesat lembut sebelum dia memandang tiga figura yang ralit memerhatikan sesi jejak kasih itu. Tatkala pandangannya tertancap ke laman wajah Afrina, serta merta matanya membuntang. Kaget dengan kehadiran Afrina di rumah keluarganya.

Afrina juga tergamam melihat wajah Hud di depan matanya. Abang? Adik? Adakah lelaki ini mempunyai kaitan dengan majikannya? Kalau ya, hal itu merupakan dugaan buat seorang Naurah Afrina! Dek tak mampu berhadapan dengan Hud, tanpa pamit dia mendukung tubuh Dina yang masih menangis kesakitan seraya dibawa ke bilik gadis kecil itu. Mak Timah turut mengekori dari belakang meninggalkan sesi jejak kasih dua beradik.

HUD tersenyum lebar tatkala dahinya tak henti-henti dikucup oleh Datin Khalida. Sungguh, dia rindu dengan setiap belaian ibunya. Enam tahun mereka hanya berbual melalui telefon sahaja. Luluh hati Hud melihat keadaan ibunya yang lumpuh separuh badan. Di meja sisi sahaja dipenuhi dengan ubat-ubatan. Sungguh, Hud khilaf kerana masih melayan ego konflik di antara dia dan arwah ayahnya.

"Hud sayang mama kan? Hud tak akan tinggalkan mama lagi kan?" soal Datin Khalida. Dia mengenggam erat tangan Hud. Anak matanya tunak merenung anak mata Hud dalam-dalam. Takut kalau-kalau anaknya hilang dari pandangan matanya lagi.

"Tak. Hud tak akan tinggalkan mama. Lepas ni biar Hud yang jaga mama dan Hud akan pastikan mama akan selalu gembira. Hud sayangkan mama dan sebab Hud sayangkan mamalah Hud balik. Hud tahu Hud dah jadi anak derhaka. Hud tak temankan mama uruskan jenazah papa. Mama pun tahu kan papa dah tak nak mengaku Hud ni anak dia lepas apa yang jadi dulu?" ujar Hud. Dia megucup lembut tangan ibunya bertalu-talu. Hatinya juga rasa sebu teringat akan konflik yang dilalui bersama arwah papanya. Dia terkilan kerana tidak sempat memohon sebuah kemaafan. Walau apa pun Datuk Idris itu tetap ayah kandungnya.

Datin Khalida mengeluh berat saat terkenang akan konflik Hud dan Datuk Idris. Mana mungkin dia lupa kejadian yang telah memporak perandakan keluarga ini. Setelah pemergian Hud juga, Sherina menjadi mangsa ketamakan suaminya. Teganya suaminya mengahwinkan anak gadisnya bersama anak kepada seorang Tan Sri. Semuanya hanya kerana wang!

"Hud maafkan papa?" soal Datin Khalida.

"Siapa Hud untuk hukum papa? Kalau ALLAH yang maha kuasa tu pun maha pengampun apatah lagi Hud yang kerdil ni. Mama jangan risaulah. Hud dah banyak belajar tentang kehidupan kat luar sana. Ada hikmahnya juga kenapa Hud lebih pilih keluar dari rumah berbanding ikut cakap papa. Hud dapat kejar cita-cita Hud dan Hud dapat belajar jadi orang yang lebih baik. Yalah selama ni, Hud sombong. Hud terlalu selesa dengan apa yang diberikan," ujar Hud. Dia tertawa sinis teringat akan khilafnya sebelum dia keluar dari rumah keluarganya.

"Anak mama dah matang. Tapi kalau jadi polis tu cita-cita Hud, kenapa Hud berhenti? Ada apa-apa masalah yang mama perlu tahu?" soal Datin Khalida. Tidak pernah dia tahu punca anaknya berhenti menjadi pegawai polis. Padahal dulu Hud berkeras untuk menjadi seorang anggota polis walaupun dia diarahkan untuk menguruskan perniagaan keluarga.

Hud menggeleng. Mana mungkin dia ceritakan pada ibunya bahawa dia menghidap Post Traumatic Stress Disorder. Apatah lagi bercerita bahawa dia hampir mati kerana kejadian enam tahun yang lalu. Dalam keadaan ibunya yang sakit, Hud tidak tega menambahkan kesakitan wanita kesayangannya itu lagi. Hud mencapai sepinggan nasi yang sudah dicampurkan dengan lauk lalu sudu berisi makanan disuakan ke mulut ibunya.

"Hud nak fokus dengan restoran Hud kat Melaka. Mama tahu kan Hud suka masak. Jadi, Hud rasa uruskan restoran tu lebih menguntungkan dari kerja makan gaji," helah Hud. Dia menyuapkan makanan ke dalam mulut ibunya. Segaris senyuman terkulum di bibir pemuda itu.

Sungguh, luluh hati Datin Khalida apabila dia dimanjakan oleh anaknya. Tiga tahun dia sakit tak pernah sesekali anak-anaknya memanjakannya. Apa yang mereka tahu buat hal masing-masing sahaja. Mereka hanya bertanyakan jika dia sihat atau tidak. Tiada langsung belaian daripada anak sulung dan anak bongsunya itu. Datin Khalida mengerti keadaan Sherina. Anak bongsunya itu tertekan setelah didesak untuk menikah dengan lelaki yang tak dicintai.

"Hud dah makan?"

"Belum. Hud pujuk Sherin tadi sampai dia terlelap. Hud rasa Hud nak bawa Sherin pergi psikiatrilah mama. Jelas dia ada masalah..."

"Tapi dia tak gila. Dia cuma meroyan sebab Zanif. Dia tak rela dengan apa yang Zanif buat pada dia. Bila dia dah sihat dia jadi macam tu. Dia langsung tak boleh dekat dengan Dina. Kesian cucu mama tu. Kamu tolong tengok-tengokkan Dina. Budak tu tak bersalah apa-apa pun dalam hal ni," kata Datin Khalida. Nada suaranya sudah kedengaran bergetar di halwa telinga. Sebak melihat kehidupan Sherina dan Dina yang menjadi mangsa keadaan.

"Tapi pergi psikiatri tu tak bermaksud adik Hud tu gila. Dia cuma perlukan rawatan sebab Hud nampak dia ada masalah sampai pukul anak dia. Hud tahu adik Hud bukan macam tu. Dia sukakan budak-budak dan dia tu penyayang orangnya. Apa pun, mama jangan risau pasal keluarga kita. Selagi Hud hidup, Hud akan jaga mama, Sherin dan Dina," pujuk Hud. Dia menghulurkan segelas air suam kepada ibunya.

Sungguh, saat ini Datin Khalida benar-benar senang hati dengan kemunculan Hud semula. Hatinya beransur sejuk apabila kata-kata Hud menusuk ke relung hatinya yang paling dalam. Dia tenang. Dia sedikit lega tatkala pujukan Hud seakan-akan memberikan sinar baharu dalam hidupnya. Seakan-akan, dia bisa meletakkan amanah kepada Hud untuk melindungi Sherina dan Dina. Dua kesayangannya yang menjadi mangsa keadaan suaminya yang tamak.

Bersambung...

Nota penulis:  terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian ^_^ jemputlah jenguk wattpad saya sekali ye https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa