Mail Keding sudah masuk ke dalam rumah Deris Mamak. Bau hapak menerjah ke hidungnya. Deris Mamak menghidupkan api lilin dengan mancis. Keadaan ruang tamu jelas kelihatan pada penglihatan Mail Keding.
Kertas berselerak di sana sini. Hanya ada dua kerusi rotan usang di ruang tamu. Nyamuk mula menyerang tubuh badan Mail Keding.
“Kau duduklah. Aku masuk bilik sekejap. Maaflah. Hanya ada kerusi rotan je dalam rumah,” pelawa Deris Mamak.
Mail Keding mengangguk.
“Cepat sikit ya. Seriau pula aku duduk rumah kau ni,” pesan Mail Keding.
Deris Mamak hanya mengangguk lalu melangkah masuk ke dalam bilik.
“Ish. Tak bawa lampu ke?” gumam Mail Keding.
Dia mengitari pemandangan di dalam ruang tamu yang diterangi oleh cahaya lilin. Pandangannya melirik ke arah gambar lama yang digantung di dinding. Mail Keding bergerak ke arah dinding dimana gambar digantung.
Mail Keding memandang gambar hitam putih yang pertama. Gambar Deris Mamak sewaktu kecil. Mungkin pada usia 4-5 tahun. Mail Keding memandang gambar yang kedua. Gambar Deris Mamak di samping ayah dan ibu. Gambar ketiga pula ketika Deris Mamak di sekolah. Bersama kawan-kawan termasuk Mail Keding sendiri. Ketika itu mereka satu tim dalam pasukan bola sepak sekolah.
“Gambar nipun kau ada Deris?” kata Mail Keding lalu tersenyum.
Mail Keding menyentuh gambar tersebut. Kenangan waktu kecil bersama Deris Mamak bermain di fikiran. Dia mengakui dahulu dia dan Deris Mamak berkawan baik sehingga tingkatan 3 sebelum Deris Mamak berhenti mencari kerja di Ipoh. Mail Keding melihat gambar seterusnya. Gambar Deris Mamak berpakaian...
“Jap. Tak salah ni gambar Deris Mamak sehari sebelum dia...”
Baru Mail Keding teringat. Itu gambar hari raya pertama. Gambar yang diambil olehnya sebelum Deris Mamak dijumpai mati dibunuh oleh samseng yang diupah oleh along di dalam rumah ini. Bukan sahaja Deris Mamak, tetapi ibunya juga yang cuba mempertahankan nyawa anaknya.
Mail Keding menelan air liur. Baru dia teringat tentang kisah pembunuhan kejam yang berlaku di dalam rumah ini. Mail Keding melangkah berundur ke belakang.
Si... Si... Si... Si... Siapa yang menegur aku tadi?” tanyanya sendiri.
Lampu lilin terpadam dengan sendirinya. Kaki Mail Keding mula terketar-ketar. Dia cuba membaca surah yang diingatinya. Tetapi akibat terlalu takut, bacaannya tunggang langgang.
“Hehehe. Mail... Mail...” seru seseorang di dalam bilik.
“A... A... Aku... Balik dululah ya. Mak aku risau tu... Lagipun,”
Kerusi rotan di ruang tamu kedua duanya tiba tiba beralun. Mail Keding segera memusingkan badannya. Dia terperanjat apabila melihat Deris Mamak kini berhadapan dengannya. Kali ini tubuh Deris Mamak berbungkus dengan kain kapan yang dipenuhi dengan debu tanah. Hanya wajahnya sahaja kelihatan tetapi berbungkus dengan kaki kapan.
“Mail... Kau kawan baik akukan. Tolong hantar aku balik....”
“Mak!” jerit Mail Keding lalu berlari menuju ke tingkap dan melompat keluar ke bawah.
Walaupun berjaya mendarat, tetapi lututnya terasa sakit. Mungkin disebabkan impak hentakan yang kuat pada tapak kaki apabila mendarat.
“Mail. Kau nak pergi mana nak? Tolong hantar kami ke jalan pulang,” rayu satu suara yang mendayu.
Mail Keding menoleh ke arah tingkap. Dia terlihat Mak Deris Mamak pula yang berselubung putih yang dipenuhi oleh darah memandang. Tanpa membuang masa, Mail keding mengambil langkah seribu.
“Mail! Mail! Mail! Hahaha! Hahaha! Hahahaha!” kedengaran ketawa dari rumah peninggalan keluarga Deris Mamak.
Mail Keding terus berlari tanpa mempedulikannya