Home Novelet Cinta Mahar Cinta Mama
Mahar Cinta Mama
Isha Idiaz
20/10/2013 18:13:48
7,564
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

ITU kali pertama Fasiha melihat senyuman mamanya. Mungkin juga itu senyuman pertama di bibir mamanya setelah begitu lama wajah itu kelihatan sugul. Namun, sesekali dapat Fasiha lihat titik-titik jernih mengalir di wajah tua itu. Barangkali mamanya masih belum dapat melupakan kesemua kisah yang memberi calit-calit hitam di atas kanvas hidupnya. Jauh di sudut hati, Fasiha dapat merasakan hati mamanya mungkin lebih tenang kini.

Perlahan-lahan Fasiha menghampiri mamanya. Mamanya yang sedari tadi leka mengait sebuah sarung untuk kotak tisu sambil melayan perasaannya memandang ke arah Fasiha. Melihat sahaja wajahnya, mama mengukir senyum. Jarum kait, benang dan juga sarung kotak tisu yang sedang dijahit diletakkan di atas katil. Pantas juga tangan tua itu mengusap-ngusap lembut pipi Fasiha. Fasiha memaut tangan mama lalu mencium tangan itu. Senyuman terukir seperti biasa di bibir Fasiha setiap kali dia bertemu mamanya di sini.

“Assalammualikum mama,” ujar Fasiha sekali lagi memandangkan sewaktu dia masuk tadi mama tidak perasan kehadirannya.

“Waalaikummussalam,” jawab mama Fasiha perlahan. Suaranya sedikit serak. Mungkin akibat kurang minum air di musim panas begini.

“Siha tengok mama termenung je dari tadi. Sampai Siha masuk pun mama tak perasan. Mama fikir apa?” Soal Fasiha sambil memegang erat tangan mamanya.

Mendengar soalan Fasiha tadi, cepat-cepat mama tertawa. Pantas juga tangan mama mengambil kembali jarum kaitnya. Melalui gerak-gerinya, Fasiha tahu, mama tidak mahu dirinya risau.

“Mana ada mama termenung. Kan mama tengah mengait ni. Mama nak beri sarung kotak tisu pada Siha,” ujar mama tenang. Fokusnya kembali kepada kerja-kerja mengaitnya yang terbantut kerana kehadiran Fasiha tadi.

Fasiha tersenyum. Mama memang pandai menutup rasa hatinya.

“Siha dah makan?” Mamanya menyoal setelah suasana dibiarkan sepi antara mereka buat beberapa ketika.

Fasiha mengangguk seraya memberikan sebuah senyuman kepada mama.

“Mama pula? Tadi makan apa?” Biasanya, mama memang akan diberikan makanan untuk makan tengah hari sekitar jam dua belas tengah hari. Sekarang sudah menunjukkan jam dua petang. Sudah pasti mama sudah menjamah menu makan tengah harinya sebelum Fasiha berkunjung ke situ.

“Sudah. Makan nasilah Siha. Takkan mama makan spaghetti pula,” ujar mama berseloroh. Pecah tawa Fasiha mendengar jawapan mamanya sebentar tadi. Ya, Fasiha tahu, di sini pastinya makanan yang diberikan adalah nasi. Tidak mungkin akan ada makanan seperti spaghetti dan makanan barat yang lainnya.

“Mama nak makan spaghetti ke? Siha belikan?”

Mama menggeleng perlahan. Pantas tangannya mengusap lembut kepala Fasiha.

“Tak usah. Tekak mama ni tekak orang tua. Bukan tekak orang muda nak makan macam-macam. Bukan mama mengidam nak makan spaghetti tu macam orang mengandung. Mama tak nak pun Siha,” ujar mama satu-persatu. Sesekali, mama berdehem apabila tekaknya mungkin terasa perit.

“Kamu tu Siha, mama tengok makin hari makin kurus. Kamu berdiet ke kamu sibuk bekerja sampai tak sempat nak makan?”

Ya telahan mama yang kedua itu memang tepat. Fasiha memang sibuk sampai kadang-kadang, setelah seharian Fasiha ke sana dan ke mari, akhirnya bila Fasiha pulang ke rumah, dia tidak ada selera untuk makan kerana terlalu penat.

“Siha makan je mama. Cuma kadang-kadang bila dah penat tu, Siha tak ada selera nak makan. Siha terus je masuk tidur,” ujar Fasiha menerangkan duduk perkara.

Mama melepaskan sebuah keluhan.

“Kerja tu kerja juga Siha, tapi jangan lupa, kesihatan tu kena jaga juga. Tak lama lagikan kamu dah nak bernikah. Nanti selepas nikah, kamu bukan sahaja kena jaga diri kamu, tapi kamu kena jaga Faris tu juga. Kalau kamu sendiri tak sihat, macam mana kamu nak jaga keluarga kamu,” nasihat mama.

Fasiha mengangguk sambil tersenyum sumbing. Bila dah besar-besar begini dan dia masih ada seorang mama untuk menasihati dan mengingatkannya seperti ini, hatinya merasa bahagia teramat.

“Isk mama ni. Sampai ke situ pula,” ujar Fasiha sambil memeluk pinggang mama. Sempat dia mengucup pipi mama sambil memerhati mama meneruskan kerja-kerja mengaitnya.

“Yalah. Mama sekadar mengingatkan. Jangan nanti hidup kamu jadi macam mama sekarang ni,” ujar mama sedikit tegas. Intonasi suaranya sudah mula berubah.

Fasiha perhati setiap gerak-geri mama saat itu. Tangan yang tadinya leka mengait telah berhenti daripada meneruskan kerja-kerja itu. Jarum kait yang tadinya galak disorong tarik ke bawah dan ke atas kini sudah dipegang dalam posisi mahu menikam di dalam genggaman tangan mama.

Fasiha tahu mama kini berperang dengan perasaannya sendiri. Sejarah itu tidak mungkin luput daripada ingatannya. Dendam yang disimpan di dalam hati mamanya masih belum terluah semuanya.

Pelukan di pinggang mama Fasiha eratkan lagi. Dia menyandarkan kepalanya di atas bahu tua itu. Perlahan-lahan, Fasiha mengusap lembut tangan mama. Dan ketika itu, genggaman mama tadi semakin longgar lalu jarum kaitnya tadi Fasiha ambil daripada tangannya.

“Mama baring ya. Mama penat dah tu mengait daripada tadi,” ujar Fasiha berbisik di telinga mamanya.

Mama Fasiha mengangguk lemah. Fasiha pula terus bangun dan membaringkan mama di atas katil. Barang-barang mengaitnya tadi Fasiha masukkan ke dalam laci meja sebelah katilnya itu.

Setelah dia yakin mamanya benar-benar tenang, Fasiha meminta izin untuk pulang. Mama menghantar pemergian Fasiha dengan sebuah senyuman.

Senyuman yang tadinya sewaktu Fasiha mula-mula melihat mama tidak sama seperti senyuman yang dia lihat sekarang. Fasiha tahu walaupun perkara itu telah lama berlalu, namun mama masih tidak dapat melupakannya.

*****

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.