ITU
kali pertama Fasiha melihat senyuman mamanya. Mungkin juga itu senyuman pertama
di bibir mamanya setelah begitu lama wajah itu kelihatan sugul. Namun, sesekali
dapat Fasiha lihat titik-titik jernih mengalir di wajah tua itu. Barangkali
mamanya masih belum dapat melupakan kesemua kisah yang memberi calit-calit
hitam di atas kanvas hidupnya. Jauh di sudut hati, Fasiha dapat merasakan hati
mamanya mungkin lebih tenang kini.
Perlahan-lahan Fasiha menghampiri mamanya. Mamanya
yang sedari tadi leka mengait sebuah sarung untuk kotak tisu sambil melayan
perasaannya memandang ke arah Fasiha. Melihat sahaja wajahnya, mama mengukir
senyum. Jarum kait, benang dan juga sarung kotak tisu yang sedang dijahit
diletakkan di atas katil. Pantas juga tangan tua itu mengusap-ngusap lembut
pipi Fasiha. Fasiha memaut tangan mama lalu mencium tangan itu. Senyuman terukir
seperti biasa di bibir Fasiha setiap kali dia bertemu mamanya di sini.
“Assalammualikum mama,” ujar Fasiha sekali lagi memandangkan
sewaktu dia masuk tadi mama tidak perasan kehadirannya.
“Waalaikummussalam,” jawab mama Fasiha perlahan.
Suaranya sedikit serak. Mungkin akibat kurang minum air di musim panas begini.
“Siha tengok mama termenung je dari tadi. Sampai Siha masuk pun mama tak perasan. Mama fikir
apa?” Soal Fasiha sambil memegang erat tangan mamanya.
Mendengar soalan Fasiha tadi, cepat-cepat mama tertawa.
Pantas juga tangan mama mengambil kembali jarum kaitnya. Melalui gerak-gerinya,
Fasiha tahu, mama tidak mahu dirinya risau.
“Mana ada mama termenung. Kan mama tengah mengait
ni. Mama nak beri sarung kotak tisu pada Siha,” ujar mama tenang. Fokusnya
kembali kepada kerja-kerja mengaitnya yang terbantut kerana kehadiran Fasiha
tadi.
Fasiha tersenyum. Mama memang pandai menutup rasa
hatinya.
“Siha dah makan?” Mamanya menyoal setelah suasana
dibiarkan sepi antara mereka buat beberapa ketika.
Fasiha mengangguk seraya memberikan sebuah senyuman
kepada mama.
“Mama
pula? Tadi makan apa?” Biasanya, mama memang akan diberikan makanan untuk makan
tengah hari sekitar jam dua belas tengah hari. Sekarang sudah menunjukkan jam
dua petang. Sudah pasti mama sudah menjamah menu makan tengah harinya sebelum Fasiha
berkunjung ke situ.
“Sudah.
Makan nasilah Siha. Takkan mama makan spaghetti pula,” ujar mama berseloroh.
Pecah tawa Fasiha mendengar jawapan mamanya sebentar tadi. Ya, Fasiha tahu, di
sini pastinya makanan yang diberikan adalah nasi. Tidak mungkin akan ada
makanan seperti spaghetti dan makanan barat yang lainnya.
“Mama nak
makan spaghetti ke? Siha belikan?”
Mama
menggeleng perlahan. Pantas tangannya mengusap lembut kepala Fasiha.
“Tak
usah. Tekak mama ni tekak orang tua. Bukan tekak orang muda nak makan
macam-macam. Bukan mama mengidam nak makan spaghetti tu macam orang mengandung.
Mama tak nak pun Siha,” ujar mama satu-persatu. Sesekali, mama berdehem apabila
tekaknya mungkin terasa perit.
“Kamu tu
Siha, mama tengok makin hari makin kurus. Kamu berdiet ke kamu sibuk bekerja
sampai tak sempat nak makan?”
Ya telahan mama yang kedua itu memang
tepat. Fasiha memang sibuk sampai kadang-kadang, setelah seharian Fasiha ke
sana dan ke mari, akhirnya bila Fasiha pulang ke rumah, dia tidak ada selera
untuk makan kerana terlalu penat.
“Siha makan je mama. Cuma kadang-kadang bila dah penat tu, Siha tak ada selera
nak makan. Siha terus je masuk
tidur,” ujar Fasiha menerangkan duduk perkara.
Mama melepaskan sebuah keluhan.
“Kerja tu kerja juga Siha, tapi
jangan lupa, kesihatan tu kena jaga juga. Tak lama lagikan kamu dah nak
bernikah. Nanti selepas nikah, kamu bukan sahaja kena jaga diri kamu, tapi kamu
kena jaga Faris tu juga. Kalau kamu sendiri tak sihat, macam mana kamu nak jaga
keluarga kamu,” nasihat mama.
Fasiha mengangguk sambil tersenyum
sumbing. Bila dah besar-besar begini dan dia masih ada seorang mama untuk
menasihati dan mengingatkannya seperti ini, hatinya merasa bahagia teramat.
“Isk mama ni. Sampai ke situ pula,”
ujar Fasiha sambil memeluk pinggang mama. Sempat dia mengucup pipi mama sambil
memerhati mama meneruskan kerja-kerja mengaitnya.
“Yalah. Mama sekadar mengingatkan.
Jangan nanti hidup kamu jadi macam mama sekarang ni,” ujar mama sedikit tegas.
Intonasi suaranya sudah mula berubah.
Fasiha perhati setiap gerak-geri
mama saat itu. Tangan yang tadinya leka mengait telah berhenti daripada
meneruskan kerja-kerja itu. Jarum kait yang tadinya galak disorong tarik ke
bawah dan ke atas kini sudah dipegang dalam posisi mahu menikam di dalam
genggaman tangan mama.
Fasiha tahu mama kini berperang
dengan perasaannya sendiri. Sejarah itu tidak mungkin luput daripada
ingatannya. Dendam yang disimpan di dalam hati mamanya masih belum terluah
semuanya.
Pelukan di pinggang mama Fasiha
eratkan lagi. Dia menyandarkan kepalanya di atas bahu tua itu. Perlahan-lahan,
Fasiha mengusap lembut tangan mama. Dan ketika itu, genggaman mama tadi semakin
longgar lalu jarum kaitnya tadi Fasiha ambil daripada tangannya.
“Mama baring ya. Mama penat dah tu
mengait daripada tadi,” ujar Fasiha berbisik di telinga mamanya.
Mama Fasiha mengangguk lemah. Fasiha
pula terus bangun dan membaringkan mama di atas katil. Barang-barang mengaitnya
tadi Fasiha masukkan ke dalam laci meja sebelah katilnya itu.
Setelah dia yakin mamanya
benar-benar tenang, Fasiha meminta izin untuk pulang. Mama menghantar pemergian
Fasiha dengan sebuah senyuman.
Senyuman yang tadinya sewaktu Fasiha
mula-mula melihat mama tidak sama seperti senyuman yang dia lihat sekarang. Fasiha
tahu walaupun perkara itu telah lama berlalu, namun mama masih tidak dapat
melupakannya.
*****