Home Novelet Cinta Kisah Jamil: Kerria Si Kembang Kuning
Kisah Jamil: Kerria Si Kembang Kuning
BERUKA MAKINO
23/7/2015 00:27:14
11,058
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
1

1998, Kuala Lumpur

Kereta Proton Saga Megavalve Cikgu Mutalib berhenti di hadapan pagar Sekolah Rendah Taman Tun Dr Ismail. Apabila melihat ramainya pelajar dari sekolah lain yang datang ke pertandingan peringkat kebangsaan bercerita bahasa melayu itu, Azad kecut perut. Dia mengelap tangannya yang berpeluh pada seluar hitam yang dipakainya. Tanjaknya pula dalam pegangan Jamil yang masih di dalam kereta. Sahabatnya itu sedang menyandang beg ke bahu. Dia tersengih-sengih.

“Rilek la Zad, kau kan tukang karut sekolah.”, bahu Azad ditepuk. Tanjak diletakkan pada kepalanya.

Jamil mengikut cikgu Mutalib ke meja pendaftaran. Sedang dia melihat cikgu mendaftar peserta, seorang perempuan dengan bunga kuning terselit pada telinga menolaknya ketepi. Dia memakai persalinan lagak seorang puteri serba kuning. Wajahnya pula tebal dengan bedak. Dah macam pengantin je budak ni, Jamil menyumpah dalam hati.

Dalam dewan pertandingan, dia bertemu lagi dengan budak perempuan serba kuning yang menolaknya hampir ke longkang tadi di atas pentas. Petah bercerita budak itu dengan watak Puteri Santubongnya. Azad pula asyik bercakap sendiri dan cikgu Mutalib berborak dengan rakannya. Jamil yang hilang punca menonton dari mula perempuan itu bercerita sehingga ke akhirnya. Yang dia ingat, budak itu berpantun empat kerat sebelum bercerita.

“Cantik si dara mengatur talam,

Di pagi hari fajar yang hening;

Puteri Santubong hulurkan salam,

Hamba Kerria si kembang kuning.”

Hari itu, Azad menjadi johan. Teringat wajah Puteri Santubong berbunga kuning yang menjelingnya tadi apabila dia menjerit untuk Azad. Dia tidak pernah lupa nama perempuan yang pelik itu.

Kini, Pulau Pinang

Dia melihat jam di pergelangan tangan. Hampir menginjak ke waktu senja. Rambutnya yang ikal panjang sedikit terjuntai menutupi pandangan ditolak ke belakang. Orang ramai mula beransur-ansur hilang. Kaunter tiket bas yang terletak bertentangan dengannya dipandang kosong sambil menongkat dagu.

“Betul dik. Tiket ke Johor habih dah. Tak faham bahasa ka?”, wanita berusia 30-an yang menjaga kaunter tiket bas naik angin.

“Kak, saya kena balik la ni jugak. Lagi 3 hari nak raya. Tolonglah saya kak. Takkan langsung takdak tiket. Pukul 11 malam pun takkan dah habih.”, dia terus mendesak agar diberikan tiket pulang.

Sementara dia sedang merayu di kaunter tiket, orang ramai yang beratur di belakang mula mengeluarkan suara-suara kurang senang. Akhirnya dia mengalah. Rancangannya untuk ke rumah nenek dibatalkan dan dia terpaksa pulang ke Butterworth. Beg travel yang diletakkan di kaki kanan disandang ke bahu. Wajahnya kelat. Dia berjalan perlahan-lahan mencari tempat duduk. Kini sudah satu jam dia duduk seperti orang dungu sambil sesekali memandang sinis wanita penjual tiket di kaunter.

Sedang dia duduk-duduk, seorang wanita bersama anak kecil berusia dalam lingkungan 3 tahun duduk disebelahnya. Seorang lelaki meletakkan bagasi wanita tersebut bersebelahan tempat duduknya. Kanak-kanak itu sedang menyedut minuman Oren dengan penuh berselera. Sementara itu, ibu dan ayahnya sedang berbual sambil berdiri. Tekaknya menelan liur.

“Nanti kalau you dah sampai telefon I. Ok. Jaga Nafiz baik-baik. You take care of yourself too.”, telinganya sempat menangkap butir-butir perbualan lelaki tersebut.

Kanak-kanak lelaki itu masih merenungnya sambil menyedut minuman. Mereka berpandangan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Sekali lagi, dia menelan liur. Dia perlu mencari minuman, kata hatinya berbisik.

“Terima kasih Jam. I tak tahu kalau you tak ada. I dah buntu.”, wanita itu mula menangis.

“Tapi you tak boleh macam ni terus. Lepasni you pergi buat follow up pasal report polis semalam. I dah kena gerak ni. Again, jaga diri. ”, lelaki itu sudah mahu meninggalkan wanita itu.

Wanita itu menyeka air mata dan menarik anaknya kedalam pangkuan. Selepas mencium pipi kanak-kanak lelaki itu, lelaki itu pergi sambil menggengggam kunci kereta. Dia pula menyandang kembali beg travel dan beg tangan ke bahu untuk mencari kedai runcit. Matanya membelek bosan air minuman dalam peti sejuk di hadapan mata dengan pintu yang terbuka.

“Dik, jangan buka pintu lama-lama. Ghosak peti sejuk kak, dik.”, wanita tua itu dipandang sinis sambil tangannya mengambil botol 100 Plus 500 Ml.

“Dua ghinggit dua kupang dik.”, tangannya mencapai dompet dalam beg tangan.

Sebaik dompetnya dikeluarkan, seorang peragut merampas dompetnya. Dia yang terkejut terkaku seketika sebelum menjerit dan berlari mengejar peragut tersebut. Botol 100 Plus 500 Ml ditinggalkan begitu sahaja.

“Woi! Duit aku…tolong….”, lariannya terhad dek menyandang beg travel yang berat.

Orang yang lalu lalang tidak ramai kerana remang maghrib sudah memunculkan dirinya. Hanya pengusaha kedai melihat dengan terpinga-pinga. Akhirnya, lariannya terhenti di kawasan parkir bersebelahan jalan raya bertingkat. Peragut pula sudah lesap entah ke mana. Dia tercungap-cungap dan terduduk di tepi bahu jalan.

Dihadapannya pula kereta Proton Preve Putih berbunyi menandakan pemandunya menekan punat lock-off. Tanpa mempedulikan derap langkah kaki yang semakin hampir, dia mula tersedu-sedu sebagai mukadimah sebelum menangis. Selang beberapa sendu, tangisannya mula kedengaran seperti anak kecil. Kenderaan yang lalu lalang tidak mampu menenggelamkan suara tangisnya. Dia terus-terusan meladeni nasibnya di tepi bahu jalan sambil terduduk bersama beg travel besar di belakang bahu.

Jamil yang baru meletakkan panggilan telefon ibunya tersentak apabila mendengar bunyi tangisan wanita berdekatan kawasan dia memarkir kereta proton Prevenya. Bulu romanya sedikit meremang. Dah nak maghrib ni, hatinya berbisik. Dia berdiri di tepi pintu pemandu sambil menoleh kiri dan kanan, mencari-cari suara tangisan wanita tadi. Tangisan itu semakin kuat dan kuat. Telinganya memicing mencari frekuensi yang tepat. Kawasan tempat duduk penumpang di hadapannya seperti memanggil-manggil dirinya datang. Jamil menelan liurnya sekali sebelum menapak ke arah bahu jalan.

“Heaa….mama…kalau tak sebab budak tu minum air oren, aku mesti tak pergi kedai tu. Hea….mama…Kay nak balik. Nenek, Kay nak jumpa nenek…”, Jamil mendengar seorang wanita merungut-rungut sambil menangis di hadapannya.

Dahinya berkedut penuh kehairanan. Dia yang menangis rupanya, hatinya berbisik lagi. Jamil teragak-agak mahu bertanya. Wanita itu terduduk dengan rambut panjang ikal yang serabai. Kakinya terlunjur ke bawah kereta Jamil. Beg tangannya bergolek di atas jalan manakala pada bahunya tersandang beg travel besar sebesar Nafiz yang baru dia hantar ke stesen bas tadi. Sebaik menyedari kehadiran Jamil di situ, dia mendongakkan wajah. Eyeliner yang dilukis pada mata sudah tercalit-calit ke pipi dan kawasan hidung. Wajahnya basah dengan air mata. Wanita itu tersedu-sedu sambil matanya tidak lepas memandang Jamil.

“Er…cik tak apa-apa ke? Kenapa menangis sorang-sorang ni?”, akhirnya Jamil bersuara dengan penuh gugup.

Wanita itu hanya diam sambil tersedu-sedu. Tangisannya sudah reda. Tangan kanan yang penuh dengan gelang-gelang aneh menyeka baki air mata di pipi. Tiba-tiba, wanita itu bangun merentap beg tangannya di atas jalan dan membuka pintu sebelah pemandu kereta Jamil. Jamil terkedu dan panik. Dia bergegas mendapatkan wanita itu. Menghalangnya untuk masuk ke dalam kereta.

“Eh..eh…eh…apa ni cik.”, Jamil tersentuh pergelangan tangan wanita itu.

“Hah!! Maaf-maaf saya tak sengaja pegang tangan cik.”, wanita itu hanya memandang kosong tampang Jamil yang seperti orang kebingungan.

Tanpa mempedulikan Jamil, wanita itu masuk ke dalam kereta. Beg travelnya dicampak ke tempat duduk penumpang belakang. Kemudian dia menarik pintu sekuat hati sehingga Jamil terpaksa melepaskan pegangannya pada pintu kereta. Kemudian, dia meraup muka sekali sebelum ke tempat duduk pemandu. Sebaik Jamil duduk di tempatnya, enjin kereta dihidupkan. Dia menarik nafas sekali sebelum menoleh wanita di sebelah kirinya.

“Saya nak tumpang. Tolong bawa saya sampai Parit Buntar.”, wanita itu berkata perlahan.

“Eh, cik. Saya tak kenal pun cik siapa, tiba-tiba nak minta tumpang.”, Jamil berkerut seribu.

Wanita itu mengesat tangan kanannya pada seluar jeans yang dipakai.

“Saya Kay.”, dia menghulurkan tangan untuk berjabat.

Jamil melihat sahaja. Wanita itu mengunjukkan tangan kanannya sekali lagi. Kedua-duanya berpandangan. Kay dengan pandangan kosong, manakala Jamil penuh tanda tanya. Radio mula mengeluarkan lagu-lagu raya selepas DJ selesai berceloteh. Kay kemudian meletakkan semula tangannya di atas peha dan memandang ke hadapan. Jamil masih tidak berkutik.

“Saya tak ada duit, IC, dengan lesen. Saya cuma ada pasport dalam handbag. Saya boleh bagi awak kalau awak tak percaya kat saya.”, Jamil mengangguk kecil bagai burung belatuk.

Kay menyelongkar beg tangannya mencari kelibat pasport. Dia mengeluarkan beberapa tisu yang ada kesan gincu, dan mekap di atas peha. Ada juga plastik bungkusan makanan ringan Nips dan coklat Vochelle yang tinggal suku. Akhirnya, tangannya menjumpai pasport berwarna merah hati itu.

“Hah, jumpa pun. Nah.”, Kay kembali memasukkan segala benda yang sudah dikeluarkan ke dalam beg tangannya semula.

Sambil melepaskan nafas beratnya sekali, dia menurunkan suhu penghawa dingin dan menghalakannya ke arah wajah. Selesai dengan urusan penghawa dingin, dia bersandar malas sambil memejamkan mata. Selang beberapa saat, azan maghrib berkumandang. Jamil yang membatukan diri sejak tadi tersedar dan memusingkan badan ke hadapan.

Fikirnya dia mahu mengejar waktu untuk bersolat di kawasan rehat Juru tetapi tiba-tiba wanita bernama Kay ini datang tanpa diundang. Pasport Kay dibuka dan dia melihat umur wanita itu. 24 tahun. Nama penuhnya pula ialah Kerria binti Abdul Majid. Wajahnya berkerut sambil mindanya menerawang teringatkan kuih keria. Tiba-tiba, tawa kecilnya meletus. Wajah wanita disebelahnya dicuri lihat. Kay walaubagaimanapun diam tidak berkutik. Setelah meletakkan pasport di kocek pintu, dia mula memandu.

Jamil berhenti sebentar di masjid kawasan Butterworth untuk bersolat Maghrib. Kay yang tertidur dikejutkan namun Kay hanya membuka matanya sambil mengangkat kening sekali.

“Saya period. Ok. Terima kasih.”, kemudian kembali memejamkan matanya membiarkan Jamil termanggu-manggu.

Selesai bersolat Jamil mendapat panggilan daripada Rini. Ketika itu dia sudah masuk semula ke dalam kereta. Kay sudah terbangun dan sedang mengunyah coklat yang tinggal suku tadi.

“Ya, Rini. Assalamualaikum. Ada apa?”, Jamil mencuri pandang sekilas Kay disebelahnya.

“Jam, I dah naik bas dengan Nafiz. You dah sampai lebuhraya ke?”, kata Rini.

“I masih kat Butterworth. Nafiz macam mana?”, Jamil tidak berterus terang tentang apa yang baru berlaku kepadanya.

“Dia diam je. You berbuka kat mana tadi?”

I minum air mineral. Sekejap lagi kat Sg Perak I cari makan.”, Kay dilihatnya sudah merenyukkan bungkusan coklatnya dan sekali lagi mencampakkan sampah itu ke dalam beg tangannya.

Jamil menggeleng sekali. Jam di kereta sudah menunjukkan pukul 8 malam. Tiba-tiba Kay mengeluarkan sendawa yang agak kuat.

“Bunyi apa tu Jam?”, Rini di talian pun terdengar bunyi sendawa itu.

“Bunyi… teka bunyi Era. Eh, Rini, kalau tak ada apa lagi you nak cakap I nak letak. I nak memandu ni. Apa-apa hal telefon I lagi. Assalamualaikum.”, Jamil berusaha mengelak daripada menjawab soalan itu.

“Okey Jam. I tak nak kacau you. Selamat jalan. Selamat hari raya.”, kemudian talian pun putus.

Kay di tempat duduknya mula memikirkan siapa Rini yang berbual di telefon dengan lelaki di sebelahnya. Wanita itu isterinyakah, fikirnya. Nafiz itu mungkin anak mereka. Tiba-tiba dia teringat peristiwa petang tadi di Terminal Bas Butterworth. Baru dia menyedari setelah mencuri lihat lelaki yang sedang memandu itu dari pandangan sisi. Dia teringatkan nama Nafiz yang lelaki itu sebutkan petang tadi. Jadi, mungkin wanita yang menangis itu ialah Rini. Sekali lagi, Kay melihat lelaki di sebelahnya. Kali ini dia memusingkan tubuhnya ke arah lelaki itu. Matanya dipicingkan.

“Awak cakap dengan siapa tadi?”, Kay bertanya penuh sarkastik.

Jamil yang sedang memandu mula rasa terganggu apabila Kay memandangnya tanpa berselindung. Dia merasa dirinya diperhatikan oleh wanita yang sedikit aneh itu.

“Kenapa awak nak tahu?”, dia menjawab sambil menoleh sekilas Kay.

“Dia isteri awak? Ke…kekasih gelap awak?”, Jamil tersentak dengan pertanyaan itu.

BERSAMBUNG

Next: 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.